[SNEAK PEEK] Terus Cintai Aku

9789831247662-medium
EBUKU Terus Cintai Aku oleh  Aleya Aneesa

PROLOG

SEPASANG mempelai yang mengenakan baju warna hijau kelihatan manis di atas singgahsana. Sekejap-sekejap si suami menjeling manis pada si isteri. Si isteri yang masih malu-malu tersenyum manja demi membalas jelingan yang dilihat lewat ekor mata. Jelas terpamer bahagia pada wajah mereka berdua, gembira bila mimpi akhirnya jadi kenyataan. Langsung tidak peduli pada hiruk-pikuk yang kedengaran di sana sini, seolah-olah di ruang itu hanya ada mereka sahaja. “Aduh, sakitnya!” keluh Zalis perlahan saat terasa bahunya disenggol kuat. “Khilfie!” jeritnya dengan mata melotot seperti ingin menerkam Khilfie yang sudah pun mempamerkan sengihan seperti biasa. Sakit hati bila keasyikannya melihat pasangan pengantin yang dirasakan sangat cantik di hadapan mereka terganggu dengan tingkah nakal Khilfie.  “Awak kenapa ni?” tanyanya garang. Masih lagi mempamerkan riak wajah tidak puas hati. “Cantik!” Khilfie terus tersengih-sengih mempamerkan gigi putih bersih miliknya. “Cantik? Apa yang cantik?” “Cantik!” Khilfie terus mengulang kata yang sama dengan mata masih tertancap tepat di atas singgahsana raja sehari berwarna putih bercampur ungu itu.  “Siapa? Kita ke yang awak kata cantik tu?” Zalis bertanya dengan wajah malu-malu. Mendengar pertanyaan Zalis, pantas Khilfie berpaling. Dia menjelirkan lidahnya seperti biasa. “Awak nak buat apa? Kita cakap pengantinlah. Awak mana cantik. Rambut panjang macam hantu kubur, berserabai pulak tu kalau kena tiup angin. Hingus asyik meleleh aje. Comot lagi adalah!” kutuk Khilfie selamba. Langsung tidak menjaga hati Zalis yang terus menadah telinga dengan mata terkebil-kebil. “Comot sangat ke kita ni, Khilfie?” Kepala bertocang dua yang tiba-tiba terasa gatal di tengah-tengah, Zalis garu perlahan. Kalau ada cermin ketika ini, dia mahu melihat wajahnya yang sudah disapu bedak oleh mamanya pagi tadi. Kata Zafran sebelum sama-sama melangkah keluar rumah, dia sudah cukup comel. Tapi lain pula yang dikata Khilfie saat ini. Takkan abangnya itu menipu? Kemudian disentuh pula hidung sendiri. Tidak ada! Mana ada hidungnya berhingus? Khilfie sengaja mengada-adakan cerita. “Tapi… tadi Abang Zaf kata, kita dah comel dah. Lagipun, mana ada hidung kita berhingus sepanjang tahun. Minggu lepas aje. Itu pun sebab Abang Han bawa balik kucing jiran sebelah. Kita kan tak boleh dekat-dekat dengan kucing. Kata doktor kita alergi. Mama pun kalau nampak hidung kita berhingus, cepat-cepat bawa kita pergi klinik,” terang Zalis panjang lebar. Kepala dijengukkan ke kiri dan ke kanan. Dalam saratnya orang di ruang tamu rumah jiran mereka itu, dia mencari kelibat Zafran. “Abang Zaf tipu awak tu. Percaya cakap kita, awak memang selalu nampak comot.” Khilfie masih cuba meyakinkan Zalis yang muda dua tahun daripadanya itu. “Abang Zaf tak pernah tipu kita. Dia sayang kitalah!” “Kita tak tipu awak.” “Tadi mama kita dah letak bedak kat muka kita. Dah ikat rambut kita cantik-cantik,” kata Zalis bagaikan hendak menangis. Seperti biasa, Khilfie selalu saja berkata yang bukan-bukan tentang dirinya. Semua yang ada padanya tidak pernah cantik di mata kawannya itu. Kalaupun orang lain kata cantik, Khilfie akan kata tidak cantik. Khilfie juga selalu membuatkan dia menangis di sekolah walaupun mereka tidak sama kelas. Peliknya, dia tetap suka berkawan dengan Khilfie kerana Khilfie tidak pernah lokek dengannya. “Rambut macam ni buruklah. Macam lipan merayap atas kepala!” ejek Khilfie lagi. “Tapi…” “Zalis, Khilfie… nak bergambar dengan pengantin tak? Kalau nak, biar Abang Zaf ambik gambar kamu berdua,” tawar Zafran tiba-tiba. Dia muncul di tengah-tengah ruang tamu yang masih ramai dengan orang. Ada kamera di dalam genggamannya. Sejak kenal kamera, dia memang suka mengambil gambar apa-apa saja yang melintas di hadapan matanya dan dia paling suka mengambil gambar Zalis. Adiknya itu memang suka kalau disuruh bergaya di hadapan kamera. “Nak!” balas Khilfie. Dia nampak begitu teruja dengan cadangan Zafran. “Tak nak!” jawab Zalis pantas. Kepalanya menggeleng bersungguh-sungguh dengan wajah sugul. Hatinya agak terasa dengan kutukan Khilfie. Kalau sudah rupanya buruk, untuk apa dia bergambar dengan pengantin yang Khilfie kata sangat cantik itu? Dia tidak mahu bila Khilfie melihat gambar itu kelak, Khilfie akan terus mengutuknya. “Kita naklah Zalis!” Mata Khilfie terhala tepat ke wajah cemberut Zalis yang bermulut muncung. “Kita tak nak!” “Kita nak juga!” “Kalau awak nak, awak bergambar sorang-soranglah. Kita tak nak!” “Zalis, kita…” Dahi Zafran berkerut sedikit. Tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku dengan dua kanak-kanak itu. Mendengar Zalis tidak mahu bergambar, lebih-lebih lagi dengan pengantin, dia rasa pelik. Setahunya, Zalis bukan jenis itu. Kemudian, dipandang pula wajah penuh harap Khilfie. Lambat-lambat bibirnya mengukir senyum nipis, pasti ada sesuatu yang dikata Khilfie sehingga Zalis nampak seperti merajuk. “Kenapa ni? Gaduh lagi ya?” “Kita tak nak bergambar dengan pengantin. Khilfie kata kita comot. Muka kita buruk. Tak cantik!” adunya dengan mata bergenang. Dia menghampiri Zafran, memandang wajah abangnya seketika bagaikan meminta simpati sebelum memeluk kaki Zafran kuat-kuat. Dia tidak mahu memandang wajah Khilfie. “Khilfie kata rambut kita macam lipan. Buruk!” adunya lagi dengan wajah yang sudah tersembam di paha Zafran yang terus berdiri. “Lepas ni… kita tak nak mama buat rambut kita macam ni. Kita nak potong rambut kita pendek-pendek!” Zafran mengulum senyum. Kepala Zalis diusap perlahan. “Taklah! Khilfie bergurau aje tu. Kan Khilfie, kan?” tanya Zafran beria-ia. Khilfie diam. Dia hanya memandang kedua-dua beradik  itu. “Khilfie tak cakap pun dia gurau. Memang kita buruk, kita tau Abang Zaf tipu kita, kita tak nak kawan dengan Abang Zaf lagi sebab Abang Zaf selalu kata kita cantik. Abang Zaf tipu kita.” “Khilfie…” Zafran kenyit mata pada Khilfie meminta kawan Zalis itu berkata sesuatu. Dia tidak mahu Zalis terus sedih begitu kerana Zalis itu adiknya. Satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Kalau bukan dia sebagai abang sulung yang melindungi Zalis, siapa lagi. Dalam senyuman, Khilfie menghampiri Zalis. Lama memandang Zalis yang tidak langsung mahu berganjak. Dipegang perlahan tangan Zalis yang sedang sedih. “Sorry… kita acah-acah ajelah. Awak cantik! Rambut awak pun cantik. Nanti kalau dah besar, kita nak kahwin dengan awak. Kita janji, nanti awak dengan kita duduk atas pelamin macam tu. Awak mesti tunggu kita, tau?” Zalis mengangkat kepala, matanya dan Khilfie yang masih tersenyum saling berpandangan. Zafran yang melihat, ketawa kecil.

*****

SUMPAHAN! Hanya sepatah perkataan itu yang berlegar-legar di kepala Zalis saat ini. Kalau bukan sumpahan, Khilfie tidak akan muncul di hadapan matanya lagi. Atau barangkali juga, dia terlupa membaca bismillah kerana Zahfir sudah membebel-bebel, kononnya dia bersiap terlalu lama. “Zahfir… Zalis. Korang buat apa kat sini?” tanya Khilfie teruja. Tangannya dan Zahfir saling bertaut. Sejak di restoran malam itu, dia tidak pernah lagi bertemu dengan Zahfir. Cuma ada sekali dua dia bercakap di telefon dengan Zafran, saling bertanya khabar. “Cik kak ni ajak tengok wayang,” balas Zahfir. Bahu kiri Zalis disiku sedikit. Pelik, kenapa tanpa dirancang Zalis selalu saja dipertemukan dengan Khilfie?  “Tengok wayang?” “Yup! Mimpi apa entah pagi-pagi lagi dah telefon aku, kata dia bosan duduk rumah sebab kawan-kawan dia semua nak pergi dating. Itu yang cari aku. Dia ni memang teruk sikit, cari aku bila dah bosan atau terdesak aje. Kalau tak, nak telefon aku pun payah.” Telinga Zalis yang bertudung, ditarik sedikit. “Apa Abang Fir ni tarik telinga Zalis!” Perlahan saja suara Zalis memprotes. Masam wajahnya kerana diperlakukan begitu di hadapan Khilfie yang sudah tergelak. “Buat malu Zalis aje depan Khilfie,” protes Zalis tidak puas hati. Masam mencuka wajahnya. Bibir pula diketap geram. Sudahlah bertembung dengan Khilfie, kini abangnya seperti mahu memalukan dirinya pula. “Malu eh?” tanya Zahfir sambil tergelak-gelak. Melihat perubahan Zalis, dia lega. Zalis tidak lagi mempamerkan air muka yang keruh. Selera makan Zalis pun sudah kembali macam biasa. Mereka percaya yang luka hati adiknya itu akan sembuh seiring dengan putaran waktu. “Sorry ya? Jangan marah-marah, nanti tak comel. Baik-baik ada orang nak tackle, nanti tak jadi sebab takut Zalis cepat tua.” “Abang Fir!” “Sorry again…” “Naik lorilah!” balas Zalis pantas. Ketawa Zahfir dan Khilfie bergabung dengan kata-kata Zalis kali ini. Dan Khilfie, terasa seperti dihadiahkan dengan bulan dan bintang melihat seraut wajah itu. Wajah yang tidak mahu lagi melihat wajahnya. Syukur, permintaan Zalis tidak diperkenankan ALLAH. Dalam diam dia berharap, selepas ini akan ada banyak lagi pertemuan dengan gadis itu. Tidak kiralah secara kebetulan ataupun memang dirancang.  “Buat lawak pulak dia.” “Abang Fir…” Suara Zalis yang seperti hendak menangis gara-gara terus disakat Zahfir, mencuit hati Khilfie. Membuatkan dia terasa tidak mahu mengalihkan matanya ke lain kecuali pada wajah yang comel itu. Hati berdetik dalam diam, sudah dihunikan hati gadis itu? Atau, masih kosong? Tapi apa bezanya dihuni atau kosong? Yang penting, dia masih mahu berkawan dengan gadis itu dan sesiapa pun yang memiliki hati itu tidak menghalang persahabatannya dengan Zalis “Okey… Abang Fir tak sakat lagi dah. Janganlah marah, nanti tak comellah adik Abang Fir ni,” pujuk Zahfir. Kerongsang di bahu kiri Zalis yang senget sedikit, dibetul-betulkan. Benarlah kata Rubina dan Irma, mereka adik-beradik terlalu memanjakan Zalis.  “Kau pula buat apa kat sini Khilfie? Kau dating dengan tunang kau ya?” usiknya pada Khilfie pula. Dalam hati berharap, hati Zalis tidak terusik kalau benar Khilfie datang ke KLCC itu bersama-sama tunangnya.  “Tak. Sorang aje.” “Okeylah… kita orang pergi dulu. Lambat karang kena beratur panjang pula. Tau ajelah KLCC ni.” “Fir… aku ikut boleh?” “Hah, nak ikut? Tapi kita orang nak tengok cerita…” “Cerita apa pun aku tak kisah. Yang penting boleh join korang berdua,” potong Khilfie pantas, tidak mahu mendengar alasan Zahfir. Soal cerita tidak penting, paling penting dia dapat bersama-sama Zalis dalam masa beberapa jam lagi. “Okeylah kalau kau dah cakap macam tu. Jom…” Zahfir terus berpusing, tapi langkahnya terhenti saat terasa tangan kirinya ditarik. “Kenapa? Jomlah…” Tangan kanan Zalis pula yang ditarik. Mengheret tubuh kecil Zalis supaya menyaingi langkahnya. Dia tahu sebenarnya apa yang hendak dikatakan Zalis. Adiknya tentu tidak mahu Khilfie menyertai mereka. Tapi, dia tetap akan mengajak Khilfie. Tidak mahu Zalis terus mengelak daripada berjumpa Khilfie.  “Zalis tunggu sini dengan Khilfie. Abang Fir beli tiket.” “Abang Fir…” Zalis bagaikan merayu. Tidak mahu ditinggalkan berdua dengan Khilfie. “Kejap ajelah. Dapat tiket nanti Abang Fir datang cepat-cepat. Berbual dulu dengan Khilfie ya?” pujuk Zahfir lembut. “Abang Fir…” Zahfir tidak mengendahkan Zalis, terus dia melangkah menuju ke kaunter tiket. “Awak tak suka jumpa saya, kan? Tak suka saya join awak dengan Fir, kan?” tanya Khilfie sebaik saja kelibat Zahfir hilang di tengah-tengah orang ramai yang beratur hendak mendapatkan tiket wayang. Tidak perlu Zalis berkata tidak suka, dia sudah tahu. Gadis itu nampak berat hati bila dia mengatakan mahu bersama-sama mereka. Ketika Zahfir menyuruh tunggu dengannya pun, Zalis nampak seperti hendak menangis.  Zalis diam tidak tahu menjawab apa. “Awak bencikan saya sangat, kan?” Tajam matanya merenung Khilfie. Tidak suka dengan tuduhan lelaki itu. Benci-membenci tidak ada dalam kamus hidupnya. Khilfie salah kalau menganggap dia kejam begitu. Tapi dia mengaku yang dia tidak mahu Khilfie menyertai dia dan Zahfir. Pun bukan sebab dia benci, hanya dia tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan lelaki itu lagi. Mereka tidak harus bertemu, apalagi sampai menonton wayang bersama-sama walaupun Zahfir ada sekali.  “Ada saya cakap yang saya bencikan awak?” tanya Zalis dengan nada suara tidak mesra. “Tak ada.” “Jadi atas dasar apa awak tuduh saya macam tu?”

 SEBELUM sempat Zahfir masuk, cepat-cepat Khilfie memintas kerana dia mahu duduk di sisi Zalis. Dia sedar lelaki itu agak terpinga-pinga dengan tindakan spontannya, tapi dia buat-buat tidak perasan. Biarlah dia menebalkan muka kerana hanya inilah masa yang dia ada untuk bersama-sama Zalis. Selepas ini, dia harus menunggu sekali lagi keajaiban takdir kalau hendak bertemu dengan Zalis. Mengajak Zalis keluar dengannya, dia tahu sampai kucing bertanduk pun, Zalis tidak akan mahu. “Abang…” Kata-kata Zalis terhenti. Terkedu kerana bukan Zahfir yang duduk di sisinya, tapi Khilfie. “Ya, ada apa?” sahut Khilfie. Dia tersenyum nipis. Tidak pasti kenapa di hatinya ada bunga-bunga halus walaupun dia pasti yang Zalis bukan memanggilnya. “Awak nak apa-apa ke Zalis?” tanya Khilfie perlahan. Sengaja tidak mengendahkan kebekuan Zalis yang tiba-tiba.  “Tak ada apa-apalah, Khilfie…” balas Zalis lemah. Apa sebenarnya yang dimahukan Khifie? Lelaki itu seperti tidak mahu melepaskannya. “Khilfie? Bukan abang?” bisik Khilfie, tidak mahu Zahfir mendengar kata-katanya.  Pantas Zalis berpaling merenung wajah Khilfie dalam samar-samar cahaya.  Khilfie memanjangkan sedikit lehernya. “Jangan marah, saya lebih tua daripada awak. Sebaya Zahfir, kalau awak rasa nak panggil saya abang pun, saya tak kisah. Sangat dialu-alukan,” bisik Khilfie lagi. Lembut suara Zalis menyebut perkataan abang tadi meresap dalam ke jiwanya. “Merepek!” bidas Zalis. Lebar senyuman Khilfie. Gembira kerana dapat mengenakan Zalis. Kalau tidak disebabkan cahaya yang suram, pasti dia dapat melihat wajah Zalis yang tentu saja berubah. Malu atau marah, dia tidak tahu. Yang pasti, warna di wajah Zalis tentu saja merah. Tiba-tiba saat ini dia sangat berharap kalau tidak ada Zahfir di antara dia dan Zalis. Bimbang tersilap cakap, buku lima Zahfir naik ke wajahnya. “Zalis…” Serentak Zalis dan Khilfie berpaling ke arah Zahfir. “Abang Fir keluar kejap. Nak jawab telefon.” Wajah Zalis berubah. Zahfir keluar bermakna dia harus ditinggalkan sekali lagi dengan Khilfie. Dia tidak mahu. “Zalis ikut!” kata Zalis.  “Kejap aje…” “Abang Fir…” Zahfir pegang kepala Zalis walaupun di tengah-tengah ada Khilfie. “Abang Fir nak jawab telefon. Khilfie… kau jangan sentuh adik aku walaupun pegang baju dia. Kalau aku nampak, siap!” Dia memberikan amaran kepada Khilfie. Kemudian, dia terus bangun dan pergi.   Melihat Zahfir melangkah, Zalis mencapai beg tangannya. Namun Khilfie lebih pantas bertindak, pergelangan Zalis dicapai dan digenggam erat. Sudah menduga Zalis pasti mahu mengikut langkah Zahfir. “Nak ke mana? Temankan saya tengok cerita ni sampai habis,” bisiknya. Zahfir sudah memberi amaran yang dia tidak boleh menyentuh walaupun baju Zalis, tapi sekarang ini dia bukan setakat menyentuh baju adik Zahfir itu, tapi pergelangan tangan Zalis. Hangat tapak tangannya bertemu kulit halus milik gadis itu.  “Lepas!” kata Zalis tegas walaupun dalam nada perlahan.  Mata Khilfie terus melekat pada wajah bengang Zalis. “Kalau saya tak nak lepas, awak nak buat apa pada saya?” Sengaja dia mencabar Zalis kerana dia merasakan gadis itu sudah banyak kali mencabar kesabarannya.  “Lepaslah!” “Tak mahu…” “Khilfie…”  Khilfie senyum. Nada seperti merayu itu mencuit hatinya. Zalis tidak menggoda, tapi dia rasa tergoda. Dia sedar dia tidak boleh merasakan perasaan itu kerana antara dia dan Zalis, tidak ada apa-apa. Mereka hanya sahabat lama yang ditemukan kembali selepas lama terpisah. Dia pun sudah ada Jaznita. Tapi entah apa merasuk, dia rasa gembira dapat berdua-duaan dengan Zalis walaupun hanya seketika.  “Dulu-dulu… lebih daripada ini saya pernah buat pada awak. Tapi awak tak pernah kisah pun. Sekarang, baru saya sentuh pergelangan tangan, awak dah kecoh macam saya dah buat lebih-lebih pulak,” usik Khilfie dengan kening yang sengaja dijongketkan.  Mahu saja Zalis menampar wajah Zalis sebagai hadiah atas kata-kata lelaki itu. Khilfie fikir dia apa boleh diperlakukan sesuka hati? Waktu itu, dia masih terlalu kecil dan tidak tahu apa-apa. Takkanlah bila sudah sedewasa ini, Khilfie masih mahu memperlakukan dia begitu?  “Awak jangan lupa, Zalis. Saya lelaki pertama yang pernah cium awak, peluk awak. Tidur sebelah awak. Bukan sekali pulak tu. Setiap kali awak merajuk, saya pujuk awak dengan cara tu. Awak dah lupa?” “Khilfie!” “Walaupun masa tu kita sama-sama kecil, saya tetap orang pertama dapat peluang itu. Saya dah mendahului bakal suami awak,” bisik Khilfie bangga. Sebenarnya, dia tidak menyimpan niat apa-apa tapi sekadar mengusik Zalis. Teringin melihat Zalis marah-marah macam masa mereka kecil-kecil.  “Awak ni biadab!” “Ingat… saya tetap yang pertama. Sesiapa pun tak boleh ubah hakikat tu, Zalis.” Pergelangan tangan Zalis dilepaskan kerana dia melihat Zahfir sudah semakin mendekat. Tapi tangannya sempat mencapai bekas minuman milik Zalis. Cepat saja dia menyedut air tersebut sebelum diletakkan kembali ke tempat asal. Bahkan dia hanya tersenyum melihat mulut Zalis yang seperti terlopong melihat aksi kilatnya .”Tak lama, kan?” tanya Zahfir pada Zalis. Ada senyuman di bibirnya. Sekali lagi tapak tangannya diletakkan di kepala adiknya itu. Lama. Mungkin sejak kecil mama dan papa mereka suka meletakkan telapak tangan di kepala anak-anak setiap kali memujuk. Bila sudah dewasa, Zafran turut meletakkan tapak tangan di kepala Zulhan, dia dan Zalis. Kemudian Zulhan juga meletakkan tapak tangan di kepalanya dan Zalis. Dan kini, dia pun akan melakukan perkara yang sama pada Zalis.

Tradisi keluarga! Itulah yang sering Rubina dan Irma katakan. Tapi mereka langsung tidak kisah. “Tak.” Khilfie yang memilih menjawab kerana dia tahu Zalis pasti masih marah dengan perbuatan dan kata-katanya semasa ketiadaan Zahfir tadi. Ditambah lagi dia meminum air milik gadis itu tanpa izin. Memang tak lama Fir, tapi sorry sebab aku terpegang tangan Zalis. Kulit adik kau lembut macam dulu-dulu juga, detik hati kecil Khilfie nakal.  Sebenarnya, jauh di sudut hati, Khilfie terasa mahu menyentuh kepala Zalis sama seperti yang dilakukan Zahfir tadi kerana dia dapat merasakan betapa dengan cara itu Zahfir menyalurkan kasih buat Zalis. Bahkan, dia pernah melihat Zafran dan Zulhan melakukan perkara yang sama pada Zalis. Buat seketika tidak ada kata-kata daripada bibir mereka bertiga. Namun, Zalis terasa tangan kasar Khilfie mengelus lembut belakang tangannya. Sungguh, tingkah Khilfie dirasakan sangat menyebalkan. Lelaki itu seperti lupa batas yang wujud antara mereka berdua. Khilfie kelihatan seperti galak mahu mengulang sejarah mereka yang sudah semakin jauh ditinggalkan masa.  “Gatal!” Khilfie senyum. Dia mendengar dengan jelas apa yang Zalis katakan dan dia tahu kata-kata itu ditujukan padanya. Kebetulan filem yang dipaparkan di skrin besar di hadapan mereka sedang mempamerkan aksi-aksi 18SX. “Tulah… Abang Fir dah cakap kita tengok cerita lain. Tapi Zalis nak juga tengok cerita vampire handsome ni. Kan dah malu sendiri.” Kali ini, Khilfie tergelak. Cukup untuk pendengaran mereka bertiga. Lega kerana Zahfir langsung tidak mengesyaki apa-apa. Dia percaya Zalis tidak akan tergamak mengadu perbuatannya pada Zahfir. Lantas dengan tidak malunya, cepat saja tangannya menggenggam buku tangan Zalis. Dia tahu dia tidak patut memperlakukan Zalis begitu. Tapi hati di dalam seperti tidak mahu membiarkan Zalis duduk dengan tenang. Mahu terus mengacau gadis yang sudah terganggu sejak melihat wajahnya tadi. “Aduh… sakit, Zalis!” bisik Khilfie. Kalau tadi Zalis diam, hanya menahan hati, kini Zalis sudah mula membalas. Sakit lengannya dicubit gadis itu. “Lepas!” “Tak naklah…” Inilah peluang yang dia ada, kenapa dia harus menurut kata-kata Zalis? “Jangan salahkan saya kalau lepas ni lengan awak biru.” “Kalau berdarah sekalipun, saya tetap tak akan lepaskan awak.” Matanya dan Zalis bertentangan. Lama. “Janji Zalis… lepas ni, jangan mengelak daripada saya lagi. Jangan jauhkan diri daripada saya. Lepas ni kita keluar berdua. Hanya  awak dan saya. Janji…” tagihnya penuh harap. Khilfie mahu terus bertemu dengan gadis itu. Bukan kerana dia mahu mengambil kesempatan seperti hari ini, tapi entahlah… dia sendiri tidak mengerti. Hanya yang pasti, dia berat hati mahu melepaskan Zalis pergi. Tidak dari hidupnya, tidak juga dari hatinya. Gila! Ya… tapi itulah, itulah kata hatinya saat ini!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66591/terus-cintai-aku

[SNEAK PEEK] Abah, Adik Nak Kahwin!

9789831248522-medium
EBUKU Abah, Adik Nak Kahwin! oleh Aireen Erina

BIARPUN kecewa dengan perkahwinan Jaya Hezmi, mujur juga Farhana masih mampu berfikiran waras. Hidupnya diteruskan seperti biasa walaupun hatinya sudah tidak punya rasa. Dia kembali menjadi Farhana yang asal. Melakukan rutin hariannya seperti sebelumnya dan tidak lagi bertapa di hadapan komputer saban malam.  Pergi kerja, balik kerja. Bergelumang dengan dunia andaman tanpa memikirkan lagi soal Jay Hezmi. Dia bertekad merawat kelukaan itu sendiri. Tidak mahu lagi mengingat kebodohan dirinya. Pejam celik, pejam celik sudah tiga bulan kepahitan itu ditinggalkan. Sedikit demi sedikit ingatan pada lelaki buaya itu mulai pudar. Tengahari itu, sewaktu di Butik Andaman Amy, Farhana turun ke restoran di tingkat bawah untuk mengisi perutnya yang sudah berlagu riang minta diisi. Sejak pagi dia sibuk menjahit baju pengantin yang akan diambil oleh pelanggan keesokan harinya. Restoran Mukmin Jaya sudah menjadi tempat wajib bagi Farhana makan tengahari. Ada lagi sebuah restoran mamak di hujang deretan kedai itu, tetapi dia lebih suka dengan cara masakan Cina muslim di restoran itu. Dia dan pekerja di situ pun sudah akrab seperti adik-beradik. “Nasi Goreang Cina satu kak. Macam biasa, bungkus.” Farhana membuat pesanan makanan sebaik sahaja seorang pelayan menghampirinya. “Letih saja akak tengok. Banyak kerja ke?” Wanita berusia 40-an yang mesra dengan panggilan Kak Mah itu menegur. “Haah kak. Penat rasa badan ni.” Farhana menarik kerusi dan duduk di meja bulat. Keadaan restoran agak lengang. “Biasalah tu. Kerja. Nak buat macam mana.” Kak Mah senyum. Dia berlalu ke bahagian dapur meninggalkan Farhana sendiri di meja itu. Farhana bermain-main dengan telefon bimbit menghilangkan kebosanan menunggu makanannya siap. Cuaca yang panas terik menambahkan keletihan yang sedia ada. Dia rasa rimas dan resah. “Farhana? Farhana kan?” Tiba-tiba suatu suara menegur Farhana yang tunduk leka. Farhana mengangkat wajah. Seorang lelaki yang pernah ditemui dahulu berdiri di hadapannya. “Alif! Buat apa kat sini?” Farhana sedikit terkejut. Tidak sangka akan bertemu dengan lelaki itu lagi. “Ni kan restoran, saya datang makanlah. Takkan nak datang baiki jalan pulak.” Alif berseloroh. Dia tersenyum memandang Farhana. Farhana tergelak kecil. “Tahulah datang makan. Maksud saya buat apa kat area sini? Awak bukan kerja kat sini kan?” “Ada hal tadi kat Kota Laksamana. Nak balik ke pejabatlah ni. Lapar, singgah makan dulu. Tak sangka pulak jumpa awak kat sini.” Alif menerangkan. Farhana mengangguk perlahan. “Tak nak jemput saya duduk ke?” Alif mengangkat kening. “Lah… ingatkan awak memang nak berdiri saja kat situ, tu yang tak ajak tu.” Farhana pula berseloroh. Kedua-duanya tergelak kecil. Alif menarik kerusi dan duduk mengadap Farhana. Farhana membetulkan sedikit duduknya. Dia rasa janggal. Tidak tahu apa yang harus dibicarakan. Alif juga begitu. Diam menyepi. Masing-masing mungkin mencari topik yang sesuai untuk dibualkan. “Lama tak nampak ya?” Farhana memecahkan kesunyian antara mereka. “Macam mana nak nampak, kalau telefon pun tidak. Entah-entah kad nama saya hari tu, dah awak campak dalam Sungai Melaka.” Alif senyum. Farhana juga senyum. Senyum malu sebenarnya apabila hal itu diungkitkan. Memang dia tidak pernah menelefon Alif sejak kali pertama mereka bertemu. Langsung dia tidak teringat pada Alif lagi. Sibuk di tempat kerja dan sibuk melayan Jay Hezmi yang akhirnya memakan diri sendiri! “Maaflah. Saya banyak kerja, tu yang lupa. Kad awak ada lagi dalam beg ni. Tak baik campak-campak dalam sungai. Nanti kena saman dengan majlis perbandaran tau!” Farhana bergurau, cuba menutup malu pada Alif. “Ada? Kenapa saya rasa macam tak percaya saja?” Alif  sengaja menduga. “Tak percaya? Nanti ya saya tunjukkan. Ada kat dalam ni.” Farhana terus membuka dompet dan mencari-cari di celah kad-kad. Seingatnya di situlah dia meletakkan kad nama Alif. Tapi mana pulak? Alif menunggu penuh minat. Gelagat Farhana diperhati. Gadis itu terkial-kial mengeluarkan kad satu per satu dari dalam dompetnya untuk mencari kad nama itu. “Haah… kan saya dah kata. Memang awak dah buang kan?” Alif meneka. “Tak! Saya tak buang. Ada kat dalam ni. Tak pernah usik pun.” Farhana bertegas mempertahankan kata-katanya. “Tak pernah usik pun?” Dahi Alif berkerut. “Err… maksud saya, kad tu saya tak keluarkan pun. Memang ada kat dalam ni.” Farhana jadi serba salah, bila Alif seolah-olah terasa dengan ‘layanannya’ pada kad nama itu. Tapi memang itu kenyataannya. Kad itu tidak pernah terusik sejak Alif memberinya dahulu. “Kasihan kad tu. Lemas duduk lama-lama dalam dompet yang sempit tu. Tu yang dia cari jalan keluar agaknya.” Alif seolah-olah memerli Farhana. “Okey! Salah saya. Saya hilangkan kad awak.” Farhana angkat bendera putih. Malas hendak mencari lagi. “Bagi lagi sekeping boleh?” Farhana menutur perlahan. Alif gelak kecil. Raut wajah Farhana menampakkan ketakutan gadis itu akan kehilangan kad namanya. “Bagi lagi? Lepas ni awak nak buat apa pulak? Campak dalam Tasik Ayer Keroh ya?” Alif sengaja membuat Farhana makin serba salah. “Tak adalah! Saya nak buat umpan api. Kat rumah saya tak guna gas, guna dapur arang. Kad tu campak dalam api tu nanti, cepat sikit nasi saya masak!” Farhana jadi geram. Orang minta baik-baik, nak perli-perli pulak? Tak nak bagi sudah! Gerutunya dalam hati. “Oh… marah ya! Bukan saya ke yang patut marah?” Alif gelak lagi. Suka dia melihat wajah Farhana yang merah padam kerana geram. “Apa kata kali ni, awak pulak yang bagi kad nama pada saya. Mana tahu lepas ni saya pulak boleh campak dalan unggun api.

“Awak perli saya ke? Awak nampak muka macam saya ni ada kad nama ke?” Farhana membulatkan mata. Semakin geram dengan bahasa anak muda itu. “Oh maaf! Saya tak berniat pun. Bukan apa, kalau saya bagi tapi awak lupa mana awak letak, tak ada gunanya kan? Baik saya saja yang ambil nombor awak sebab saya tak akan lupa.” Alif mengangkat kening. Menunggu persetujuan daripada gadis itu.  “Kalau saya tak nak bagi? Awak nak buat apa?” Farhana menggertak. “Hmm… apa ya?” Alif berpura-pura berfikir. “Apa kata saya buat macam ni?” Serentak itu Alif menarik telefon bimbit Farhana yang diletakkan di atas meja. Farhana terkejut. Tidak sangka Alif setekad itu. Pantas dia bangun, cuba merampas semula telefon bimbitnya dari tangan Alif. Tapi Alif segera mengelak. Cukup tiga saat, deringan telefon berbunyi. Alif tersenyum girang. Telefon Farhana dipulangkan kembali. Alif menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia melihat di skrin, missed call kepada dirinya sendiri daripada telefon bimbit Farhana tertera di situ. Dia ketawa. Farhana pula mencuka. “Dah dapat! Terima kasih,” ucap Alif tanpa rasa bersalah. “Mana boleh macam tu? Itu tipu namanya” Farhana tidak puas hati. “Anggap saja itu hukuman sebab hilangkan kad saya.” Farhana kehilangan kata-kata. Geram ada. Marah pun ada. Tapi dalam hati dia mengakui, comel jugak lelaki ni!  “Nah dik, nasi goreng.” Kak Mah muncul menghulur bekas polistren putih di dalam beg plastik berwarna oren. “Eh, adik dah order ke?” Wanita itu baru tersedar kehadiran Alif yang duduk semeja dengan Farhana. “Tulah, saya tunggu jugak. Ingatkan kat sini kena order di kaunter. Macam kat KFC ke McD ke?” Alif memerli dalam nada bergurau menyebabkan Farhana ketawa kecil. “Amboi… marah sungguh bunyinya tu. Maaflah akak tak perasan tadi. Sekarang cakap, nak makan apa? Akak suruh tukang masak buat special untuk adik.”  “Tak marahlah. Gurau saja kak. Bagi saya nasi goreng hailam dan jus epal. Boleh?” “Boleh. Kejap ya. Lima minit siap.” Kak Mah berlalu dengan senyuman di bibir.  Farhana mencapai nasi gorengnya dan menolak kerusi untuk bangun. “Awak nak ke mana?” Sepantas itu Alif bertanya. “Nak balik ofis.” Farhana menjawab selamba. “Saya datang jauh-jauh, awak tak nak temankan saya makan ke?” soal Alif, berpura-pura sedih. “Laa… awak datang sini sebab saya ke? Takkan? Jadi, atas dasar apa saya kena teman awak makan? Kalau saya tak ada, tak kenyang ke awak makan?” Farhana masih dengan nada selamba menjawab.  “Memanglah kenyang. Tapi awak lupa ke awak masih ada hutang dengan saya hari tu?” Alif mengangkat kening. “Hutang?” Farhana pula mengangkat kening. Berfikir tentang hutang yang diperkatakan Alif. “Ya, awak hutang belanja saya lagi satu kali. Ingat tak?” Alif mengingatkan cerita lama .

“Oh, pasal tu? Alah, lain kalilah. Lagipun, dalam perjanjian tak kata kena bayar hutang tu hari ni kan?” Farhana bijak mencari helah untuk melarikan diri. “Lain kalilah ya!” Tanpa menunggu Alif menjawab, Farhana terus berlari-lari anak meninggalkan Alif termangu-mangu sendiri. “Nanti dulu…” Laungan itu sudah terlambat apabila kelibat Farhana sudah hilang dari pandangan. Alif senyum sendiri. Entah mengapa dia rasa bahagia melihat gelagat Farhana. Perasaan dukanya rasa terubat.

*****

“SAYA balik dulu bos,” ujar Farhana sebelum menutup pintu Butik Andaman Amy. Tanpa menunggu Amy yang sedang asyik mengira bajet untuk membeli perkakasan butik yang baru menjawab, gadis itu laju menghayun kaki ke luar.   Bila tiba di tingkat bawah, Farhana mengecilkan mata. Silau matahari yang sedang memancar mengganggu pandangannya. Sebelah tangan di angkat ke dahi menutup mata daripada terkena bahang yang sedang membakar. Hari ini dia mengambil cuti separuh hari. Dia perlu ke pejabat Amanah Saham Nasional Berhad yang terletak di Kompleks Perniagaan Al-Azim untuk melapor tentang kehilangan buku akaunnya. Dia sendiri tidak sedar bila buku itu hilang. Yang dia pasti kali terakhir dia melihat buku itu ialah dua bulan lalu semasa menambah simpanannya.  Dua hari lepas, baru dia perasan, buku itu sudah tiada di dalam laci almarinya. Tidak mungkin tersalah letak. Dia pasti sekali. Jadi, mahu tidak mahu terpaksa juga dia melaporkan kehilangan itu dan membuat buku akaun yang baru. “Minta Mykad cik?” Petugas kaunter bersuara dengan nada yang lembut dan sopan. Farhana membuka dompet dan menarik kad pengenalannya. Serentak itu juga, sekeping kad berwarna putih terkeluar dan terjatuh di lantai. Farhana tunduk dan mengutipnya. Melihat kad itu, dia tersenyum. Baru dia ingat, sewaktu mengeluarkan semua kad di depan Alif tempoh hari, dia tidak mengeluarkan Mykadnya. Sebab itulah dia tidak menemui di mana kad itu terselit. “Cik?” Petugas itu memandang Farhana. “Oh, maaf. Ini Maykad saya.” Farhana menghulurkan kad biru itu. Hampir sepuluh minit, urusan selesai. Farhana bercadang hendak ke Pasaraya Mydin pula. Dia perlu membeli sedikit barang dapur yang dipesan ibunya. Tetapi sebelum itu, dia mahu mencari rumah bakal pengantin yang menggunakan khidmat Andaman Amy sempena majlis pernikahan hujung minggu nanti. Kalau sudah tahu di mana rumahnya, senanglah kerjanya nanti. Tidaklah terkial-kial mencari saat si pengantin menunggu untuk disolek dan dihiaskan. Pasti haru-biru pula nanti.  Menurut alamat yang tertera pada kad jemputan, rumah pengantin berkenaan terletak di Taman Tasik Utama. Dia tahu, taman itu terletak berhampiran dengan Pasaraya Mydin. Kiranya sambil menyelam minum airlah. Dua kali juga dia terpaksa berpusing mengelilingi taman perumahan itu sebelum berjumpa dengan rumah bakal pengantin perempuan. Setelah itu, dia menyusuri jalan taman perumahan untuk ke Pasaraya Mydin tanpa melalui jalan utama. Sewaktu melintasi sebuah bangunan, ada sesuatu pada bangunan itu yang menarik perhatiannya. Dia memperlahankan kereta untuk membaca nama yang tertera di pagar masuk. “Selia Senggara Sdn. Bhd? Macam pernah dengarlah. Kat mana ya?” Farhana berkata pada diri sendiri.  Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Kad nama Alif! Kakinya menekan brek, memberhentikan kereta di bahu jalan. Dia mengambil dompet dan mengeluarkan kad nama itu dan membacanya penuh minat. Ya, betul! Inilah alamatnya. Kat sini rupanya tempat kerja dia. Omel Farhana sendiri.

Farhana meletakkan kad nama di atas kerusi di sebelah apabila dia melihat menerusi cermin pandang belakang,  sebuah kenderaan 4WD Selia Senggara berhenti di belakang keretanya. Alamak! Janganlah Alif. Apa aku nak jawab kalau dia tanya apa aku buat kat sini? Sah-sah mamat ni perasan aku datang cari dia. Aduh… Cermin kereta Farhana diketuk. Farhana sengih. Melambai dari dalam kereta melihat Alif tercegat di luar. Alif menunjukkan isyarat menyuruhnya menurunkan cermin kereta. Farhana rasa mahu pitam saat ini. Dengan perasaan serba salah, dia menekan butang. “Assalamulaikum?” Alif memulakan bicara. “Waalaikumussalam.” Farhana menjawab perlahan. Ada getar yang berdegup laju ketika ini. “Kalau ya pun rindu kat saya, tak payahlah datang cari saya kat sini. Buat susah-susah saja.” Alif gelak kecil. “Jangan nak perasan! Saya cari rumah pengantin tadi. Tak sengaja terlalu kat sini. Tak ada kena-mengena dengan awaklah.” Farhana mencebik geram. Kata-kata Alif tadi membuatkan dia geram. “Janganlah malu-malu. Saya faham!” Alif gelak. “Oh, kad saya! Mana awak jumpa?” Alif bertanya apabila ternampak  sekeping kad di atas kerusi sebelah pemandu.  Farhana berpaling ke kiri. Alamak, kantoi! Laju sahaja tangannya mengambil kad itu dan memasukkannya semula di dalam dompet. “Oh… patutlah tak ada dalam dompet, awak letak bawah bantal ya! Buat peneman tidur ke?” Alif semakin galak mengusik.  “Eeii… tolonglah. Tak kuasa. Dah, tepi! Saya ada banyak kerja lagi nak buat. Melayan awak, sampai malam pun tak habis!” marah Farhana. Tangan Alif yang diletakkan di atas cermin tingkap yang terbuka tiga per empat diketuk. Kemudian dia menekan butang panel automatik untuk menaikkan semula cermin itu. “Eh, nanti! Sabarlah. Janganlah marah. Anak dara tak elok marah-marah nanti cepat kedut.” Alif menaham cermin dari memisahkan mereka berdua. “Awak nak apa?” Farhana sudah mula rimas. “Awak bagi saya tiga minit. Boleh tak?” Alif merayu. “Awak nak buat apa?” Farhana menyoal semula. “Boleh tak?” Alif bertanya lagi. “Yalah! Tiga minit saya. Lebih, saya blah!” Farhana menjawab dengan wajah mencuka. “Okey, janji tak lebih!”  Alif berlari-lari ke Toyato Hilux itu. Seketika kemudian, 4WD itu sudah hilang, masuk ke dalam kawasan bangunan Selia Senggara. Farhana menunggu cemas. Apa yang Alif nak buat ni? Tak lama kemudian, dia melihat Alif berlari-lari pula keluar dari pintu masuk pula. Alif menuju ke arahnya. Kali ini cermin tingkap sebelah pemandu pula yang Alif ketuk. Farhana tidak punya pilihan. Dia menurunkan cermin tingkap. Belum sempat dia bertanya, Alif sudah menghulur tangan ke dalam kereta dan menolak kunci di pintu itu. Secepat kilat, Alif masuk dan duduk di sebelah. Farhana ternganga melihat tingkah pemuda itu.

Awak buat apa ni?” “Nak jalan-jalan dengan awaklah. Awak datang cari saya jauh-jauh, takkan saya nak biarkan macam tu saja. Saya tak macam orang tu. Saya ni baik tahu?” Alif senyum, mempamerkan raut wajah tidak bersalah pada Farhana. “Ya, ALLAH! Awak ni betul ke tidak? Saya tak datang cari awaklah. Memang kebetulan saya lalu kat sini. Sekarang awak turun! Saya tak ada masa nak layan awak.” Farhana mula naik darah. Geram dengan perangai selamba Alif. “Ya ke? Kenapa raut wajah awak tu macam tengah rindukan saya saja?” Alif memang mencari pasal. Dia ketawa. “Alamak! Cepat jalan. Bos saya tu. Cepat, nanti dia nampak saya ponteng pulak.” Alif tiba-tiba jadi gelabah. Dia merendahkan sedikit badannya ke bawah, melindungi daripada dilihat oleh pemandu sebuah kereta yang baru keluar dari pintu masuk pejabatnya. Farhana melihat di cermin pandang belakang. Dia nampak kereta yang dimaksudkan Alif. Tanpa berfikir panjang, dia terus menolak gear, menurunkan brek tangan dan memecut meninggalkan kawasan itu. Alif rasa mahu ketawa berdekah-dekah. Farhana terpedaya dengan helahnya. Bukan kereta bosnya, tetapi kereta setiausaha bosnya saja! Kalaulah Farhana tahu, pasti gadis itu akan meninggalkannya di tepi jalan begitu. Mahu berpeluh ketiak hendak menapak pulang ke pejabat!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66572/abah-adik-nak-kahwin

REVIEW 3 KATA HATI

9789831247808-medium
EBUKU 3 KATA HATI OLEH NORZAILINA NORDIN

Rindu – Mr. Rahsia! Pening kepala Hanani apabila terfikir nama yang sering mengganggu hidupnya melalui SMS. Dalam keterpaksaan melayan kerenah lelaki yang dikenali sebagai Mr. Rahsia itu, Hanani mula jadi rindu! Dia tersenyum bila lelaki tersebut mengatur bait-bait indah tetapi mula bengang bila asyik sahaja disakat.

Kasih – Kehadiran Iskandar membuatkan Hanani diulit bahagia. Namun, ada sahaja yang menjadi penghalang. Kacau daun sungguh! Hanani geram dengan keadaan itu, tetapi hatinya nekad untuk mempertahankan kasih sucinya.

Cinta – Hanani keliru. Cintanya sudah mekar, tetapi untuk siapa sebenarnya? Antara Mr. Rahsia dan Iskandar, mungkinkah kata hati mereka turut merasakannya?

Siapakah yang menjadi pilihan Hanani? 3 KATA HATI milik siapa? Iskandar yang membuatkan dia panasaran atau Mr. Rahsia yang mencuit hatinya melalui kiriman SMS?


 

Ulasan bagi novel ini, BEST! Admin membaca sambil tersengih sebab cerita ni ada mixture sedih happy dan banyak babak yang bagi admin sweet sangat.  Emak dan anak berebut jejaka yang sama. Mana mungkin. Kalau perempuan tu dah sayang, mana boleh berkongsi kasih. TIDAK MUNGKIN! Selain itu, bila membaca novel ni, kita akan terbayangkan rupa paras Iskandar dan peminat rahsia. Bagaimana agaknya rupa mereka dalam dunia sebenar?Dalam novel ini, penulis berjaya membuat plot twist yang kita sangka cerita akan berakhir dengan gaya klishe, tetapi tidak. Tidak ku duga ini terjadi. Haha. Kalau nak baca , admin rasa, jangan sengih banyak- banyak sebab takut orang kata kurang waras.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66273/3-kata-hati

 

REVIEW KASIH KE SYURGA

9789831245309-medium
EBUKU KASIH KE SYURGA OLEH RAIHAN ZAFFYA

PERTEMUAN ini tidak dipinta. Namun, takdir TUHAN telah menemukan Yusuf dan Zulaikha. Kesederhanaan Zulaikha memikat hati Yusuf. Tapi pantaskah dia memiliki sekeping hati Zulaikha sedangkan antara mereka ada jurang yang menghalang?

Keimanan dan ketakwaan Zulaikha bagai satu tembok jurang pada Yusuf. Dia merasakan dirinya amat kerdil kerana Islamnya hanya pada kulit saja. Telah lama dia mengabaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH SWT. Perubahan diri Yusuf menyentuh hati Zulaikha. Di saat mereka hendak diijabkabulkan, umi Yusuf menentang kerana hasutan orang ketiga.
Mampukah mereka menghadapi rintangan yang mendatang?

 

 

Dalam cerita ini, banyak konflik yang berlaku. Contohnya Yusuf dengan Raihana. Kisah cinta mereka yang sangat complicated membuatkan kita tertanya- tanya, dapatkah mereka bertahan dan sejauh manakah episod cinta mereka.  Selain daripada itu, wujud orang ketiga yang membuatkn kita bertambah geram dengan watak- watak mereka.Cerita ni sedih kalau baca betul- betul. Tak sangka ending akan menjadi begitu tragis. Tapi untuk mengetahui pengakhiran cerita ini, dinasihatkan untuk tidak langkau mana-mana babak, so kita tidak akan terlepas momen penting yang menjadi highlight novel ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66153/kasih-ke-syurga

[SNEAK PEEK] Trilogi Ajaib #3: AKSARA

9789670954127-medium
EBUKU Trilogi Ajaib #3 : Aksara oleh Syafiq Aizat

Dekat 4,000 tahun, pelayar-pelayar dulu merenung bintang untuk tahu kat mana halatuju dan lokasi diorang. Bintang-bintang tu membentuk buruj. Dan buruj merupakan satu aksara – lambang yang mewakili isyarat tertentu untuk manusia baca dan faham. Sampai sekarang, buruj tak pernah berubah, tetap macam mula-mula ditemui – menunjuk arah yang sama. Sementara kita yang hidup kat atas muka bumi ni sentiasa bergerak menuju ke arah yang belum tentu kita tahu. Ke arah takdir yang kita tak pilih, dan tak mampu elak.

Tapi, bintang cuma boleh nampak bila langit gelap. Kan? Kalau tak gelap, kita tak nampak.

Perumpamaan. Kita tengok sekeliling, dan kita sedar macamana apa yang jadi dekat alam ni boleh dijadikan tauladan. Tapi kenapa kena tunggu gelap? Tak sedar ke yang –

Ah!

Benda tu datang lagi. Benda –

“Argh!”

“Wei, kau OK tak ni?”

Dalam menahan satu rasa berat yang ada dalam kepala, aku pandang ke arah budak yang tegur tu.

“Apasal ni weih?”

Aku senyum dan geleng, cuba bagitahu aku tak apape – aku tipu.

“Kau… selalu macam tu. Bila orang tanya kau taknak jawab. Kau sakit pe?”

Aku tarik nafas panjang. Kalaulah aku boleh bagitahu budak yang duduk dekat depan aku sekarang ni apa yang aku rasa, aku dah bagitau lama dah. Tapi sayangnya, tak boleh.

Aku sendiri pun tak tahu apa benda ni. Benda tu macam… isyarat. Aksara yang aku tak boleh baca. Tapi aku nampak. Daripada setiap benda yang aku pandang, atau aku dengar, seolah-olah ada isyarat yang cuba berhubung dengan aku.

Ada masa aku boleh baca, kalau benda tu benda ringkas macam lagi berapa minit lagi loceng balik bunyi, atau Mak masak apa untuk makan tengahari nanti. Tapi ada masa isyarat tu terlalu complicated. Aku tak dapat baca.

Atau aku taknak cuba baca?

“Zaid! Jangan pandang belakang!” tegur cikgu yang ada dekat depan kelas.

Zaid menurut perintah. Kebanyakan budak kelas ni pandang Zaid macam budak tu yang bersalah. Padahal dia cuma ambil kisah pasal aku. Hmm…

“Izwan?”

Aku tersentak bila Cikgu Munah sebut nama aku.

“Tak payah terkejut sangat. Ke depan, jawab soalan nombor tiga dekat papan putih.”

Aku bangun dengan perlahan dan berjalan menuju ke arah papan putih. Satu kelas pandang. Tiba-tiba macam rasa diri ni rusa yang tumpang lalu dekat tengah-tengah sarang dubuk – direnung pemangsa, tunggu masa untuk baham aku dengan tanggapan. Yelah, aku kan budak baru. Baru empat bulan pindah dekat sekolah ni.

Aku tak endahkan. Sebaliknya, aku perhatikan soalan nombor tiga tu baik-baik

Given a : b : c = 8: 2 : 9 and a = 3.2.

Calculate the values of b and c using unitary method.

Kacang.

Terus aku sambar marker pen daripada tangan Cikgu Munah, dan cuba tulis jalan pengiraan untuk dapatkan jawapan di papan putih.

Argh! –

Rasa tu datang balik. Ada benda yang aku kena tahu. Tapi apa?

Tapi apa?!

Apa yang aku kena tahu ni?!

“Izwan!”

Aku tersentak bila Cikgu Munah pekik nama aku. Satu kelas pandang dengan wajah pelik.

Apasal?

Aku toleh ke arah papan putih –

1.618

Benda ni jadi lagi. Sama macam enam bulan yang lepas – Aku TER-salin isyarat yang aku nampak ke dalam bentuk aksara yang aku tahu buat kali pertama.

____________________

Masa tu aku dekat seat belakang kereta sorang-sorang, isi petak Sudoku dengan pensel. Ayah tengah drive, dan Mak dekat seat sebelah Ayah. Diorang bawa aku pulang semula ke rumah. Pulang lepas tiga tahun aku tinggal dekat tempat lain. Dalam masa tiga tahun tu, diorang dah pindah rumah. Dulu duduk kondominium. Sekarang duduk kawasan perumahan yang jejak tanah.

Tiga tahun aku tak ‘balik rumah’. Tapi aku tak kisah. Sumpah. Yang aku kisah, sebelum tiga tahun tu, aku langsung tak ingat apa-apa.

Tak ingat apa-apa kecuali Abang.

Dalam memerah otak mencari nombor yang tepat untuk diisi dalam petak Sudoku, isyarat tu datang lagi. Isyarat yang aku tak dapat baca, dan kali ni aku tertulis isyarat tu –

4452

Mula-mula aku tak tahu apa tu. Sampailah…

“Ish. Astaghfirullah, teruknya…” kata Mak bila kereta kitorang lalu melintasi kawasan kemalangan – dua buah kereta yang remuk tersadai di tepi jalan.

Masa tu aku ternampak nombor plat salah sebuah kereta –

CAD 4452

Sama. Tapi aku sendiri tak sedar masa aku tulis tu. Start haritu, aku takut nak pegang pensel atau pen. Aku takut aku tahu isyarat ni. Aku takut aku dapat terjemah. Aku takut, sebab dalam kepala aku macam ada suara berbisik – jangan, atau benda buruk akan jadi.

1.618

Harini jadi lagi. Daripada nak tulis jalan penyelesaian bagi soalan nombor tiga, aku tertulis benda ni. Masalahnya kalau tulis benda ni je takpe. Tapi aku tulis benda ni semuat-muat papan putih ni – besar-besar.

Apa maksud nombor ni aku pun tak tau.

“Kamu ingat boleh main-main ke dalam kelas saya?” Cikgu Munah mula naik angin.

Tak ada apa aku boleh buat selain pandang tangan sendiri yang turut terkena dakwat marker biru yang aku pegang. Sampai macam ni sekali.

“Saya suruh jawab! Bukan suruh main-main!”

Aduh. Habislah. Ni yang aku malas ni.

“Apa ni? Hah?!” Cikgu Munah datang dekat dengan aku. “Apa ni? Dah tak boleh jawab?! Ha?! Dah bisu?!”

Tak boleh jadi. Aku terus hentak kaki dan keluar daripada kelas.

“Nak pergi mana tu?! Hoi! Izwan! Tengok tu!!”

Aku tak endahkan. Langkah semakin laju, aku pergi tinggalkan kelas, tinggalkan semua budak-budak kelas yang tengah fikir yang bukan-bukan pasal aku, tinggalkan cikgu matematik tu yang tengah membuak-buak marah dekat aku.

Tak. Diorang tak faham aku.

Cuma sorang yang faham aku – Abang.

Aku perlahankan langkah bila dah nampak pintu belakang sekolah. Aku tuck out baju sekolah dan lengan baju aku lipat. Kemeja sekolah ni besar bukan main. Yelah, mana tak besar, kemeja Abang. Kemeja budak Form 4. Aku baru Form 2.

Bila aku berhenti, aku dapat baca yang lagi 12 minit 24 saat sebelum loceng sekolah berbunyi, sebelum aku boleh keluar ikut pintu berkunci dalam tatapan aku sekarang. Otak aku start countdown detik-detik nak balik.

Pak Guard datang. Dalam genggaman dia ada segugus kunci – terdiri daripada 18 anak kunci. Yakin betul pengetua bagi kepercayaan pada Pak Guard ni – semua kunci pintu sekolah ada kat situ kot. Kalau ada kes kecurian, memang tak ada orang lain yang akan kena tuduh.

Pak Guard ni mula belek dan cuba satu-persatu kunci – dia sendiri tak cam mana satu kunci mangga pintu belakang. Secara jujur, fed-up aku tengok. Kalau dia nak try satu-satu, ada aku balik minggu depan ni.

Aku bangun dan pergi ke arah pakcik berbaju putih tu. Aku tadah tangan.

“Apa? Nak apa?” dia tanya.

Tak bergerak, aku still posing sambil tadah tangan.

“Nak kunci ni? Nak bukak?”

Aku angguk.

“Dah, dah, dah… Jangan sibuk. Gi masuk kelas.” Sombong betul pakcik ni. Nak tolong pun tak kasi.

Aku berdiri kaku memandang wajahnya dengan rasa lebih fed-up. Dia jadi makin rushing dan berdebar tiba-tiba. Itu je cara nak bagi orang yang tengah buat kerja jadi tak tenteram: bagi pandangan tak puas hati.

“OK lah, nah,” dia putus asa dan bagi kunci pada aku.

Aku sengih menyindir dan capai kunci yang dihulur. Tangan kiri aku pegang mangga yang seberat batu-bata sambil mata ushar lubang pada mangga tu. Lepas beberapa saat, tangan kanan aku usap satu persatu anak kunci – macam menguntai tasbih. Tunggu isyarat, kunci yang mana kena guna. Bila sampai pada anak kunci yang ke-11, aku berhenti.

“Boleh?” Pak Guard tu cuba psiko aku. Aku buat tak layan, pandangan aku masih pada lubang mangga.

Dalam genggaman aku sekarang cuma ada satu anak kunci yang terpisah daripada 17 kunci yang lain. Aku masukkan ke dalam lubang mangga – checkmate! Mangga tu terbuka.

Aku sengih pada Pak Guard yang sedang ternganga. Aku hulurkan semula gugusan kunci tu pada Pak Guard. Dia ambil dengan perlahan, malu sendiri.

Tu lah. Lain kali jangan sombong bila orang nak tolong. Apa lagi, aku keluar dari pintu yang aku baru buka tadi dengan penuh ke-awesome-an dan berjalan pulang like a boss. Harini aku balik awal 5 minit. First time. Juga kali pertama aku guna pintu belakang sekolah. Biasanya aku balik awal setengah jam dengan lompat keluar ikut tembok belakang sekolah. Memang dinding tu ada dawai besi, tapi aku letak tilam terbuang yang aku jumpa dekat belakang semak luar kawasan sekolah sebagai alas supaya dapat melompat dengan lancar dan tanpa calar-balar. Jangan tanya apa fungsi tilam ni kat situ sebelum jadi alas aku keluar tembok.

Tak faham aku kenapa sekolah kat Malaysia ada dinding dan berpagar. Aku tengok cerita omputeh sekolah dia lagi mewah dan tak suram; tapi takde pun nak berpagar bagai.

Aku mula melangkah lebih laju bila sampai kat blok bangunan kedai. Tak tahulah kenapa, tiba-tiba jadi macam ni. Macam yang aku cakap, kadang-kadang aku dapat isyarat macam aku tahu apa yang akan jadi.

“Aduh!” Seorang perempuan melatah bila terlanggar aku. “Ou, ou, ou… I’m so sorry… I was…”

Foreigner ke kakak ni? Tapi muka ada gaya Melayu sikit. Rambut ikal mayang, bibir merah berlipstick, baju kemeja putih.

“You OK tak?”

Apa yang aku buat cuma perhatikan muka dia dalam-dalam sambil mengangguk. Aku dapat rasa yang harini aku memang patut jumpa kakak ni.

“You sure? Sebab…” Dia tunjukkan tangannya ke arah aku.

Aku angguk lagi – berlagak OK.

Bila pandang badan sendiri – Pergh, aku tengah berlumuran chocolate smoothie! Macamana aku boleh tak perasan? Lagi pelik, macamana smoothie tu boleh tumpah kat aku? Kuat sangat ke aku langgar dia sampai boleh tumpah sebegini banyak?

Aku perhatikan tangan dia, ada cawan plastik bersaki-baki smoothie. Bahagian atas tempat tebuk straw dah terkoyak luas. Gayanya macam dia tebuk berkali-kali sambil tergesa-gesa. Agaknya sebab tak bagi perhatian masa cucuk straw tu, sebab dia tengah buat benda lain.

Benda lain tu tak lain dan tak bukan ialah jawab phone call. Sebab tangan kiri dia ada handphone dan cara dia pegang handphone tu adalah cara pegang bila jawab call, bukan cara pegang biasa. Kalau pegang handphone macam biasa, ibu jari akan ada pada skrin, tapi bila jawab call ibu jari ada kat bahagian sisi handphone. Daripada casing phone Samsung yang dia pakai, aku dapat cam yang dia ni bukan foreigner.

Tiba-tiba dia terdiam. Kemudian mata kakak ni terbeliak memandang ke satu arah sambil ternganga. Pelik. Apa kena dengan kakak ni? Aku toleh ke arah yang sama dia sedang tengok – tak ada apa. Aku pandang dia semula.

Sawan ke?

Dia berkelip dan menarik nafas dalam-dalam seperti terkejut. Dia pandang aku dengan jelingan yang mendalam sebelum dia mendengus seperti singa.

“Oh my God.” Dia hayun-hayun tangannya yang memegang handphone, cuba mencari perkataan sesuai. “You’re gonna meet ‘something’.”

Berkerut dahi aku dengar dia tiba-tiba cakap macam tu.

“Something very horrific. Well…Nice knowing you.” Dia terus menapak pergi dengan laju.

‘Something very horrific’? Benda apa tu?

Kakak ni boleh nampak masa depan?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/64995/trilogi-ajaib-3-aksara

[SNEAK PEEK] Halusinasi

9789831248973-medium
EBUKU Halusinasi oleh Jessy Mojuru

Bunyi kaki bangku menggeser lantai mengisi suasana. Maya menghenyak punggung dengan pandangan sudah pun tersua ke arah monitor komputer. Apapun gadis itu bangkit semula dan berundur dengan muka tegang. Dia terkejut apabila sederetan ayat bertinta merah darah muncu l satu per satu di dada skrin komputer.  Awak akan menerima padahnya, Maya! Ayat-ayat itu kemudian mencair lalu berluyutan deras ke bibir skrin dan kini menitik-nitik menimpa meja komputer. Situasi tersebut tidak berakhir di situ. Cairan yang semacam darah manusia itu kini menyimbah lantai pula.  Maya panik dan berasa amat takut. Dia terus berundur tanpa mengacuhkan lagi bangku tempatnya mendarat tadi terpelanting berhampirannya. Tiba-tiba darah hanyir yang kini menggelegak di depannya itu bangkit lalu membentuk sesusuk tubuh. Lembaga tersebut menyerupai seorang wanita yang memakai jubah hitam.  Maya terpekik apabila lembaga yang terbentuk daripada cairan darah merah itu bergerak perlahan arahnya. “Jangan! Jangan apa-apakan aku! Jangan! Tolongg!” Dia terus berundur dan menjerit histeria. Tersentak dia apabila jatuh tersungkur dari bangku. Dia terlentang dengan belakang kepala terhantuk di dinding bilik.  “Cis, aku tertidur rupanya!” Maya meradang apabila mendapati dia cuma bermimpi tadi. Dalam keadaan mamai, dia bangun sambil mengusap tulang pundaknya. Bangku kayu yang tergolek didirikan. Dengan muka berkerut-kerut dia duduk. “Kan aku dah terbangun dari tidur sebelum ni. Macam mana aku boleh tertidur semula?” Dia mengetuk kepala, semakin bingung memikirkan semua fenomena ini. “Mungkin aku berhalusinasi,” fikirnya mengandaikan situasi dirinya. Lantas ekor matanya tercari-cari mug berisi air Nescafe yang dibancuhnya tadi.  “Kalau benar aku tak berhalusinasi, mesti mug tu masih berada kat sini dan tak berisi apa-apa,” lanjutnya seraya bangun. Dia terkejut tatkala ternampak mug yang dicarinya itu berada dekat dengan balang penapis air. Asap nipis dari dalam mug seramik tersebut masih meliuk-lentok.  “Eh, sakitnya kepala aku.” Maya semakin bingung memikirkan keadaan dirinya serta enigma-enigma yang menghantuinya. Dia kembali duduk dengan pandangan kembali tersua ke arah skrin monitor. Tika ini bendang fikirnya masih dipugar misteri tadi.  Bunyi berderak-derak di luar menyentakkan Maya. Pandangannya beralih sekejap sebelum terjingkit-jingkit menghampiri bunyi tersebut. Bunyi tadi lesap apabila dia melekapkan telinga ke tepi dinding. Lama dia ternanti-nanti di situ sebelum berpatah semula ke tempat duduknya.

“Mungkin aku yang terlalu terikut-ikutkan perasaan.” Sengaja dia berkata begitu untuk menyedapkan hati.  Waktu ini hari dah lewat malam. Suasana dalam kawasan setinggan ini juga agak sunyi. Tiada apa lagi yang kedengaran selain bunyi kucing dan anjing yang menyalak sekali-sekala.  Maya meneruskan kerjanya. Menaip dan terus saja menaip. Dia hanya terfikir hendak berehat selepas jarum jam dinding menuding angka 3.00 pagi. Dia berganjak ke balkoni untuk mengambil angin di samping mahu melegakan urat sarafnya yang terasa kebas. Entah mengapa, dia berasa seperti sedang diperhatikan dari kejauhan.  “Itu semua hanyalah mainan perasaan,” katanya perlahan dengan muka selamba. Apapun, hatinya bagaikan digamit untuk mengetahui siapa gerangannya yang sedang memerhatikannya ketika ini. Lantas dia berpaling dan terkejut apabila sesuatu melayah pantas melintasinya, hingga dia tak sempat mengenal pasti bendanya yang melayang di depannya tadi.  Perkataan ’hantu’ yang tiba-tiba bercambah dalam batas fikirnya membuatkan dia terus saja terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik. Selepas merapatkan daun pintu, dia merebahkan tubuh di atas katil. Dia ingin berehat dan melapangkan fikiran. Ketika sedang terkebil-kebil itulah dia akhirnya terlelap. Tidak diketahui mahupun disedari oleh Maya, sesuatu sedang merangkak-rangkak keluar dari cermin muka yang tergantung dalam bilik air. Ia menyerupai susuk tubuh seorang wanita muda. Pergerakannya tampak kaku dan amat menakutkan. Susuk tubuh yang semacam mayat reput itu terus saja merangkak keluar dari dalam bilik air dan kini menuju arah ranjang, di mana Maya sedang berbaring.  Kepalanya terteleng-teleng dengan mulut ternganga pucat. Kolam matanya yang putih kelihatan terbelalak. Lembaga itu kemudian bangkit dan berjalan pincang dengan sebelah tangan terhulur. Dari mulutnya tercicir perkataan ‘Maya’. Lembaga itu tiba-tiba berjalan ke belakang, kemudian merangkak dan masuk semula ke dalam cermin mengikut urutan kejadian.  Toyol yang entah sejak bila berada di sebelah Maya menyeringai dengan mata berkilau. Kucing hitam itu masih memandang ke arah bilik air sewaktu Maya terjaga. “Toyol… bisinglah awak ni,” marah Maya lantas terlelap semula tidak lama selepas itu.    “MAYA…”  Maya tersentak apabila satu suara bergema dalam terowong telinganya. Matanya tercelik luas, walhal seingatnya baru seketika tadi dia terlena.  “Mari ikut aku, Maya.”  Maya berasa pergelangan tangannya dicengkam oleh seseorang. Seseorang yang tidak diketahuinya siapa.  “Mari, Maya,” ajak suara itu lagi seakan terdesak. Namun, nada suaranya kedengaran lembut menusuk hati.

“Hisy! Awak ni, Maya… ada-ada ajelah. Awak akan tahu nanti. Marilah!” “Bagi tahulah dulu supaya aku ikut awak.” Maya sengaja bertele-tele. Dia sebenarnya mencurigai niat manusia halimunan tersebut.  Suara itu kedengaran menarik nafas. Maya menanti penuh setia. Sesekali dia tersengih seolah sengaja mahu menayangkan logam pandakap gigi yang dipakainya.  “Tahu tak, Maya… awaklah perempuan paling hodoh yang pernah aku nampak.” Suara itu ketawa kecil.  Maya mencebik. Dia sedikit pun tidak berasa sakit hati. Baginya, itu kata-kata yang jujur dan telus. Orang yang suka memuji tak semestinya ikhlas. Dalam diam, dia berasakan semacam ada kemesraan antara dia dengan lelaki halimunan itu. Dia sikit pun tidak berasa tersinggung dengan usikan suara itu.  “Tapi aku tahu, di sebalik kehodohan itu ada kecantikan yang tersembunyi. Awak cantik sebenarnya, Maya.”  Senyuman Maya spontan melebar dengan sinar mata semacam malu-malu pula.  “Apapun, awak janganlah perasan pula.” “Aku tak perasan pun. Awak tu yang perasan.” Senyuman tadi hilang dan wajah Maya kembali masam.  Suara itu ketawa perlahan. Gelagat Maya membuatkannya terhibur walau di hati berisi derita yang amat dalam.  “Marilah, Maya. Aku harap petunjuk ni dapat membongkar satu misteri.” “Maksud awak?” “Awak akan tahu jugak nanti.” Suara itu menggumam. “Terima kasihlah, Maya… kerana menulis watakku. Kalaulah bukan kerana cita rasa awak sebagai seorang penulis, aku mungkin tak wujud di tengah-tengah medan ceritera awak. Aku benar-benar bersyukur, Maya.”  Terasa jari-jemari Maya digenggam erat. “Tapi haba badan awak macam…” “Aku juga manusia biasa seperti awak, Maya. Sebab itulah kita kena mulakan langkah pertama untuk membongkar satu misteri. Aku akan bantu awak dan awak jugak mesti berjanji akan membantu aku keluar dari lembah ni.” “Cakap awak ni berbelit-belitlah,” keluh Maya semakin bingung. Dipandangnya suara itu, namun hanya dinding bilik terarca depan matanya. Keluhannya berhamburan. “Pejam mata, Maya,” suruh suara itu. Maya segera memejamkan mata, namun membukanya semula. Ada sesuatu melintasi benaknya. “Awak nak bawa aku ke liang lahat ke?” Demikian prasangka yang mengacah ketenangannya. Suara itu ketawa perlahan. “Aku orang baik, Maya. Percayalah padaku.” “Jangan-jangan awaklah hantu yang selalu mengganggu aku,” tuduh Maya pula.“Tak adalah. Itu semua hanyalah mainan perasaan awak. Ia tak berkaitan dengan sesiapa. Terutama aku.” “Aku harap awak betul.” Maya memejamkan mata.    “BUKA mata, Maya,” arah suara itu selepas beberapa ketika.  Maya mencelikkan mata dan terkejut apabila mendapati dirinya berada di tepi hutan. Pokok-pokok yang hitam berbalam di situ sungguh menakutkan. Lokasi tersebut lengang dan tiada apa yang berada di tempat ini selain… Dia menoleh ke belakang apabila terdengar desup kereta. Dia terkejut apabila mendapati sebatang jalan raya di situ dan dia seperti mengenali lokasi ini.   “Suara, awak kat mana?” soalnya perlahan dan seperti berbisik. Sunyi. Tiada siapa yang menyahut dan menjawab pertanyaan yang diajukannya tadi. Tika ini hanya bunyi cengkerik dan bunyi-bunyian lain yang entah milik siapa kedengaran tingkah-meningkah.  “Suara, awak jangan main-mainkan aku. Ni tepi hutan awak tahu tak?” Geram pula Maya tatkala menyedari dia ditinggalkan berseorangan di situ. Dia berasa amat menyesal kerana mengakuri permintaan suara halimunan itu.  “Awak ni betul-betul tak gunalah.” Dia cepat-cepat berundur apabila tertangkap bunyi tayar berderit kuat. “Siapa pulak yang sibuk berlumba kereta tengah malam buta ni?” ajunya kepada diri sendiri dan sekali lagi berpaling menghadap jalan raya arah kiri pula.  Dia kemudian memandang hala kanan semula apabila ternampak terjahan cahaya lampu yang tersorot garang dari arah tersebut. Nampaknya, ada dua buah kereta sedang sakan berkejar-kejaran ketika ini.  “Alamak! Matilah aku!” Maya cepat-cepat berlari menjauhi jalan raya.Waktu ini dadanya dihentam debaran yang tiada terkira hebatnya. Dirasakan nyawanya seperti tercabut apabila dua buah kereta itu tiba-tiba berlanggar dan salah sebuah daripadanya terpelanting ke arahnya. Dia cepat-cepat tunduk sambil menutup mukanya dengan kedua-dua tangan. Sementara kereta yang sebuah lagi terbalik beberapa kali sebelum menggeser permukaan jalan raya.  Dia tidak segera membuka mata melainkan menggigil di tempatnya tadi. Dia berasa sungguh takut dan enggan melihat apa yang telah terjadi. Sedetik kemudian suasana bertukar hening dan sunyi sepi.    BEBERAPA saat kemudian, barulah Maya memiliki keberanian untuk membuka mata termasuk merenggangkan jari-jemarinya yang menutup sebahagian muka. Ketika ini dia seperti terdengar bunyi kipas biliknya berputar ligat. Dia terkejut apabila mendapati dia berada di dalam bilik tidurnya dan sedang berdiri dengan tangan menutup muka.  “Tak mungkin.” Dia seperti tidak berpuas hati. Apa yang dilihatnya tadi bukanlah khayalan mahupun imaginasi. Kejadian tersebut memang benar-benar berlaku di depan matanya. Ketika ini dia semacam masih terasa kehangatan rerumput yang dihujani embun pagi di tebing jalan raya tadi

“Mungkin misteri inilah yang dimaksudkan oleh suara tadi. Misteri mengenai punca kemalangan yang melibatkan dua buah kereta…” Ayat yang dipetiknya tergantung di situ. Dia kemudian terkocoh-kocoh membancuh semug minuman lalu duduk menghadap komputer.  Tanpa bertangguh, dia mengetuk papan kekunci dan segala apa yang dilaluinya tadi diterap ke dalam karyanya. Menjelang pagi barulah dia tergerak hati hendak melelapkan mata. Kali ini dia tidak melalui apa-apa. Dia hanya terjaga ketika matahari sudah meninggi.  Bunyi telefon bimbit memaksa dia bangun. Dia meraba-raba di bawah bantal dan persekitarannya dengan mata masih terpejam.  “Eh, mana pulak benda bedebah ni?” Maya terpaksa menguak sedikit matanya, lalu dengan pandangan mamai, disorotinya kesemua tempat. Dia kembali tidur bertimbun dengan selimut apabila telefon bimbitnya sudah tidak berdering. Keseronokannya menguliti mimpi kembali terjejas apabila telefon bimbitnya memekik semula.  “Alah…” Dengan muka kusut dan lesu, Maya berusaha bangun lalu mencicirkan pandangan. “Huh!” keluhnya malas dan dalam rasa terpaksa terpisat-pisat ke tubir katil. Dia kemudian melangkah malas ke arah meja komputer. Telefon bimbitnya yang terdampar sepi di situ diambil.  “Hah! Ada apa?” tanyanya kasar setelah menjawab panggilan itu. “Amboi, garangnya!” usik Jiah, sengaja mengacah. “Ada apa?” ulang Maya lagi semacam kurang sabar. “Awak tak keluar ke petang ni?” “Tak. Aku sibuk.” “Sibuk menulis ke? Alah, keluarlah sekali-sekala. Tenangkan minda,” tingkah Jiah.  Maya diam.  “Ada kawan nak meraikan hari jadi kat Kingfisher malam ni. Dia jemput awak, aku dan Munira.” “Aku tak dapat. Aku sibuk sangat ni.” “Sekejap pun tak dapat ke? Kita bukannya nak berlama-lama kat rumah kawan tu.” Suara Jiah seperti mendesak. Maya menghela nafas. “Aku tak dapat pergi walaupun sekejap saja. Setiap detik amat berharga buat aku. Aku perlu habiskan manuskrip-manuskrip yang lain selain manuskrip yang sedang dalam penulisan ni,” katanya panjang lebar.  Jiah akhirnya mengalah. “Okey.”  Sejurus kemudian perbualan pun dimatikan. Maya tidak segera kembali ke tempat tidur. Dia ke bilik air. Dia ingin buang air kecil. Kali ini pintu bilik air sengaja tidak dikatupkannya. Dia sebenarnya risau seandai muka yang muncul di cermin itu menjengahnya semula.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66150/halusinasi

REVIEW KOTA TERORIS: ZODIAK

9789670774381-medium
EBUKU KOTA TERORIS: ZODIAK OLEH AMIRUL IDHAM

 

Seluruh rakyat Malaysia gempar apabila Datuk Alex menjadi mangsa penculikan ketika beliau pulang dari majlis perasmian wisma perniagaan miliknya. Semua pengawal peribadi dan pemandu beliau mati dibunuh oleh penculik.

Tiga hari selepas penculikan Datuk Alex, semua saluran televisyen di Malaysia telah digodam dan memaparkan rancangan Zodiak TV. Orang yang menculik Datuk Alex muncul dalam rancangan tersebut dan memperkenalkan diri sebagai Zodiak. Datuk Alex telah dibunuh secara langsung di kaca televisyen yang ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.

Shah dan Badri, dua inspektor muda telah ditugaskan untuk menyiasat kes Zodiak yang diketuai oleh ASP Hasnan. Namun, siasatan mereka menemui jalan buntu apabila Zodiak sekali lagi muncul dalam rancangan Zodiak TV untuk membunuh mangsa seterusnya secara langsung di kaca televisyen.


Satu perkataan yang sesuai untuk review novel Kota Teroris : Zodiak ini ialah ‘Wow!’. Sangat tak sangka novel ini membawa jalan cerita yang saya tak jangka. Pembunuhan dengan kejam (Ye!kejam sampai anda rasa mual dan nak muntah) berjaya membuatkan adrenalin pembaca naik mendadak. Zodiak ialah teroris yang cuba menegakkan keadilan. Zodiak tahu Datuk Alvin, Datuk Razali dan rakannya bukanlah orang baik sebelum ini, jadi Zodiak membunuh mereka dengan sangat kejam untuk memberitahu dunia mengenai kesalahan mereka.

Jika ada watak jahat, pastinya ada watak baik yang cuba menghentikan keganasan Zodiak. Shah dan rakannya yang merupakan pihak polis menerima cabaran tersebut dalam merencanakan taktik bagi memerangkap Zodiak. Ada konflik dan plot twist yang kita tidak jangka berlaku sekaligus menambahkan perisa kepada novel ini.
Tidak dinafikan Zodiak memang licik, namun apakah Zodiak akan mencari mangsa lagi bagi menegakkan keadilan yang dia mahu? Apakah Shah dan rakan seperjuangan dia mempunyai masa yang cukup utnuk mematahkan segala rancangan Zodiak.
 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66271/kota-teroris-zodiak