[SNEAK PEEK] Terus Cintai Aku

9789831247662-medium
EBUKU Terus Cintai Aku oleh  Aleya Aneesa

PROLOG

SEPASANG mempelai yang mengenakan baju warna hijau kelihatan manis di atas singgahsana. Sekejap-sekejap si suami menjeling manis pada si isteri. Si isteri yang masih malu-malu tersenyum manja demi membalas jelingan yang dilihat lewat ekor mata. Jelas terpamer bahagia pada wajah mereka berdua, gembira bila mimpi akhirnya jadi kenyataan. Langsung tidak peduli pada hiruk-pikuk yang kedengaran di sana sini, seolah-olah di ruang itu hanya ada mereka sahaja. “Aduh, sakitnya!” keluh Zalis perlahan saat terasa bahunya disenggol kuat. “Khilfie!” jeritnya dengan mata melotot seperti ingin menerkam Khilfie yang sudah pun mempamerkan sengihan seperti biasa. Sakit hati bila keasyikannya melihat pasangan pengantin yang dirasakan sangat cantik di hadapan mereka terganggu dengan tingkah nakal Khilfie.  “Awak kenapa ni?” tanyanya garang. Masih lagi mempamerkan riak wajah tidak puas hati. “Cantik!” Khilfie terus tersengih-sengih mempamerkan gigi putih bersih miliknya. “Cantik? Apa yang cantik?” “Cantik!” Khilfie terus mengulang kata yang sama dengan mata masih tertancap tepat di atas singgahsana raja sehari berwarna putih bercampur ungu itu.  “Siapa? Kita ke yang awak kata cantik tu?” Zalis bertanya dengan wajah malu-malu. Mendengar pertanyaan Zalis, pantas Khilfie berpaling. Dia menjelirkan lidahnya seperti biasa. “Awak nak buat apa? Kita cakap pengantinlah. Awak mana cantik. Rambut panjang macam hantu kubur, berserabai pulak tu kalau kena tiup angin. Hingus asyik meleleh aje. Comot lagi adalah!” kutuk Khilfie selamba. Langsung tidak menjaga hati Zalis yang terus menadah telinga dengan mata terkebil-kebil. “Comot sangat ke kita ni, Khilfie?” Kepala bertocang dua yang tiba-tiba terasa gatal di tengah-tengah, Zalis garu perlahan. Kalau ada cermin ketika ini, dia mahu melihat wajahnya yang sudah disapu bedak oleh mamanya pagi tadi. Kata Zafran sebelum sama-sama melangkah keluar rumah, dia sudah cukup comel. Tapi lain pula yang dikata Khilfie saat ini. Takkan abangnya itu menipu? Kemudian disentuh pula hidung sendiri. Tidak ada! Mana ada hidungnya berhingus? Khilfie sengaja mengada-adakan cerita. “Tapi… tadi Abang Zaf kata, kita dah comel dah. Lagipun, mana ada hidung kita berhingus sepanjang tahun. Minggu lepas aje. Itu pun sebab Abang Han bawa balik kucing jiran sebelah. Kita kan tak boleh dekat-dekat dengan kucing. Kata doktor kita alergi. Mama pun kalau nampak hidung kita berhingus, cepat-cepat bawa kita pergi klinik,” terang Zalis panjang lebar. Kepala dijengukkan ke kiri dan ke kanan. Dalam saratnya orang di ruang tamu rumah jiran mereka itu, dia mencari kelibat Zafran. “Abang Zaf tipu awak tu. Percaya cakap kita, awak memang selalu nampak comot.” Khilfie masih cuba meyakinkan Zalis yang muda dua tahun daripadanya itu. “Abang Zaf tak pernah tipu kita. Dia sayang kitalah!” “Kita tak tipu awak.” “Tadi mama kita dah letak bedak kat muka kita. Dah ikat rambut kita cantik-cantik,” kata Zalis bagaikan hendak menangis. Seperti biasa, Khilfie selalu saja berkata yang bukan-bukan tentang dirinya. Semua yang ada padanya tidak pernah cantik di mata kawannya itu. Kalaupun orang lain kata cantik, Khilfie akan kata tidak cantik. Khilfie juga selalu membuatkan dia menangis di sekolah walaupun mereka tidak sama kelas. Peliknya, dia tetap suka berkawan dengan Khilfie kerana Khilfie tidak pernah lokek dengannya. “Rambut macam ni buruklah. Macam lipan merayap atas kepala!” ejek Khilfie lagi. “Tapi…” “Zalis, Khilfie… nak bergambar dengan pengantin tak? Kalau nak, biar Abang Zaf ambik gambar kamu berdua,” tawar Zafran tiba-tiba. Dia muncul di tengah-tengah ruang tamu yang masih ramai dengan orang. Ada kamera di dalam genggamannya. Sejak kenal kamera, dia memang suka mengambil gambar apa-apa saja yang melintas di hadapan matanya dan dia paling suka mengambil gambar Zalis. Adiknya itu memang suka kalau disuruh bergaya di hadapan kamera. “Nak!” balas Khilfie. Dia nampak begitu teruja dengan cadangan Zafran. “Tak nak!” jawab Zalis pantas. Kepalanya menggeleng bersungguh-sungguh dengan wajah sugul. Hatinya agak terasa dengan kutukan Khilfie. Kalau sudah rupanya buruk, untuk apa dia bergambar dengan pengantin yang Khilfie kata sangat cantik itu? Dia tidak mahu bila Khilfie melihat gambar itu kelak, Khilfie akan terus mengutuknya. “Kita naklah Zalis!” Mata Khilfie terhala tepat ke wajah cemberut Zalis yang bermulut muncung. “Kita tak nak!” “Kita nak juga!” “Kalau awak nak, awak bergambar sorang-soranglah. Kita tak nak!” “Zalis, kita…” Dahi Zafran berkerut sedikit. Tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku dengan dua kanak-kanak itu. Mendengar Zalis tidak mahu bergambar, lebih-lebih lagi dengan pengantin, dia rasa pelik. Setahunya, Zalis bukan jenis itu. Kemudian, dipandang pula wajah penuh harap Khilfie. Lambat-lambat bibirnya mengukir senyum nipis, pasti ada sesuatu yang dikata Khilfie sehingga Zalis nampak seperti merajuk. “Kenapa ni? Gaduh lagi ya?” “Kita tak nak bergambar dengan pengantin. Khilfie kata kita comot. Muka kita buruk. Tak cantik!” adunya dengan mata bergenang. Dia menghampiri Zafran, memandang wajah abangnya seketika bagaikan meminta simpati sebelum memeluk kaki Zafran kuat-kuat. Dia tidak mahu memandang wajah Khilfie. “Khilfie kata rambut kita macam lipan. Buruk!” adunya lagi dengan wajah yang sudah tersembam di paha Zafran yang terus berdiri. “Lepas ni… kita tak nak mama buat rambut kita macam ni. Kita nak potong rambut kita pendek-pendek!” Zafran mengulum senyum. Kepala Zalis diusap perlahan. “Taklah! Khilfie bergurau aje tu. Kan Khilfie, kan?” tanya Zafran beria-ia. Khilfie diam. Dia hanya memandang kedua-dua beradik  itu. “Khilfie tak cakap pun dia gurau. Memang kita buruk, kita tau Abang Zaf tipu kita, kita tak nak kawan dengan Abang Zaf lagi sebab Abang Zaf selalu kata kita cantik. Abang Zaf tipu kita.” “Khilfie…” Zafran kenyit mata pada Khilfie meminta kawan Zalis itu berkata sesuatu. Dia tidak mahu Zalis terus sedih begitu kerana Zalis itu adiknya. Satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Kalau bukan dia sebagai abang sulung yang melindungi Zalis, siapa lagi. Dalam senyuman, Khilfie menghampiri Zalis. Lama memandang Zalis yang tidak langsung mahu berganjak. Dipegang perlahan tangan Zalis yang sedang sedih. “Sorry… kita acah-acah ajelah. Awak cantik! Rambut awak pun cantik. Nanti kalau dah besar, kita nak kahwin dengan awak. Kita janji, nanti awak dengan kita duduk atas pelamin macam tu. Awak mesti tunggu kita, tau?” Zalis mengangkat kepala, matanya dan Khilfie yang masih tersenyum saling berpandangan. Zafran yang melihat, ketawa kecil.

*****

SUMPAHAN! Hanya sepatah perkataan itu yang berlegar-legar di kepala Zalis saat ini. Kalau bukan sumpahan, Khilfie tidak akan muncul di hadapan matanya lagi. Atau barangkali juga, dia terlupa membaca bismillah kerana Zahfir sudah membebel-bebel, kononnya dia bersiap terlalu lama. “Zahfir… Zalis. Korang buat apa kat sini?” tanya Khilfie teruja. Tangannya dan Zahfir saling bertaut. Sejak di restoran malam itu, dia tidak pernah lagi bertemu dengan Zahfir. Cuma ada sekali dua dia bercakap di telefon dengan Zafran, saling bertanya khabar. “Cik kak ni ajak tengok wayang,” balas Zahfir. Bahu kiri Zalis disiku sedikit. Pelik, kenapa tanpa dirancang Zalis selalu saja dipertemukan dengan Khilfie?  “Tengok wayang?” “Yup! Mimpi apa entah pagi-pagi lagi dah telefon aku, kata dia bosan duduk rumah sebab kawan-kawan dia semua nak pergi dating. Itu yang cari aku. Dia ni memang teruk sikit, cari aku bila dah bosan atau terdesak aje. Kalau tak, nak telefon aku pun payah.” Telinga Zalis yang bertudung, ditarik sedikit. “Apa Abang Fir ni tarik telinga Zalis!” Perlahan saja suara Zalis memprotes. Masam wajahnya kerana diperlakukan begitu di hadapan Khilfie yang sudah tergelak. “Buat malu Zalis aje depan Khilfie,” protes Zalis tidak puas hati. Masam mencuka wajahnya. Bibir pula diketap geram. Sudahlah bertembung dengan Khilfie, kini abangnya seperti mahu memalukan dirinya pula. “Malu eh?” tanya Zahfir sambil tergelak-gelak. Melihat perubahan Zalis, dia lega. Zalis tidak lagi mempamerkan air muka yang keruh. Selera makan Zalis pun sudah kembali macam biasa. Mereka percaya yang luka hati adiknya itu akan sembuh seiring dengan putaran waktu. “Sorry ya? Jangan marah-marah, nanti tak comel. Baik-baik ada orang nak tackle, nanti tak jadi sebab takut Zalis cepat tua.” “Abang Fir!” “Sorry again…” “Naik lorilah!” balas Zalis pantas. Ketawa Zahfir dan Khilfie bergabung dengan kata-kata Zalis kali ini. Dan Khilfie, terasa seperti dihadiahkan dengan bulan dan bintang melihat seraut wajah itu. Wajah yang tidak mahu lagi melihat wajahnya. Syukur, permintaan Zalis tidak diperkenankan ALLAH. Dalam diam dia berharap, selepas ini akan ada banyak lagi pertemuan dengan gadis itu. Tidak kiralah secara kebetulan ataupun memang dirancang.  “Buat lawak pulak dia.” “Abang Fir…” Suara Zalis yang seperti hendak menangis gara-gara terus disakat Zahfir, mencuit hati Khilfie. Membuatkan dia terasa tidak mahu mengalihkan matanya ke lain kecuali pada wajah yang comel itu. Hati berdetik dalam diam, sudah dihunikan hati gadis itu? Atau, masih kosong? Tapi apa bezanya dihuni atau kosong? Yang penting, dia masih mahu berkawan dengan gadis itu dan sesiapa pun yang memiliki hati itu tidak menghalang persahabatannya dengan Zalis “Okey… Abang Fir tak sakat lagi dah. Janganlah marah, nanti tak comellah adik Abang Fir ni,” pujuk Zahfir. Kerongsang di bahu kiri Zalis yang senget sedikit, dibetul-betulkan. Benarlah kata Rubina dan Irma, mereka adik-beradik terlalu memanjakan Zalis.  “Kau pula buat apa kat sini Khilfie? Kau dating dengan tunang kau ya?” usiknya pada Khilfie pula. Dalam hati berharap, hati Zalis tidak terusik kalau benar Khilfie datang ke KLCC itu bersama-sama tunangnya.  “Tak. Sorang aje.” “Okeylah… kita orang pergi dulu. Lambat karang kena beratur panjang pula. Tau ajelah KLCC ni.” “Fir… aku ikut boleh?” “Hah, nak ikut? Tapi kita orang nak tengok cerita…” “Cerita apa pun aku tak kisah. Yang penting boleh join korang berdua,” potong Khilfie pantas, tidak mahu mendengar alasan Zahfir. Soal cerita tidak penting, paling penting dia dapat bersama-sama Zalis dalam masa beberapa jam lagi. “Okeylah kalau kau dah cakap macam tu. Jom…” Zahfir terus berpusing, tapi langkahnya terhenti saat terasa tangan kirinya ditarik. “Kenapa? Jomlah…” Tangan kanan Zalis pula yang ditarik. Mengheret tubuh kecil Zalis supaya menyaingi langkahnya. Dia tahu sebenarnya apa yang hendak dikatakan Zalis. Adiknya tentu tidak mahu Khilfie menyertai mereka. Tapi, dia tetap akan mengajak Khilfie. Tidak mahu Zalis terus mengelak daripada berjumpa Khilfie.  “Zalis tunggu sini dengan Khilfie. Abang Fir beli tiket.” “Abang Fir…” Zalis bagaikan merayu. Tidak mahu ditinggalkan berdua dengan Khilfie. “Kejap ajelah. Dapat tiket nanti Abang Fir datang cepat-cepat. Berbual dulu dengan Khilfie ya?” pujuk Zahfir lembut. “Abang Fir…” Zahfir tidak mengendahkan Zalis, terus dia melangkah menuju ke kaunter tiket. “Awak tak suka jumpa saya, kan? Tak suka saya join awak dengan Fir, kan?” tanya Khilfie sebaik saja kelibat Zahfir hilang di tengah-tengah orang ramai yang beratur hendak mendapatkan tiket wayang. Tidak perlu Zalis berkata tidak suka, dia sudah tahu. Gadis itu nampak berat hati bila dia mengatakan mahu bersama-sama mereka. Ketika Zahfir menyuruh tunggu dengannya pun, Zalis nampak seperti hendak menangis.  Zalis diam tidak tahu menjawab apa. “Awak bencikan saya sangat, kan?” Tajam matanya merenung Khilfie. Tidak suka dengan tuduhan lelaki itu. Benci-membenci tidak ada dalam kamus hidupnya. Khilfie salah kalau menganggap dia kejam begitu. Tapi dia mengaku yang dia tidak mahu Khilfie menyertai dia dan Zahfir. Pun bukan sebab dia benci, hanya dia tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan lelaki itu lagi. Mereka tidak harus bertemu, apalagi sampai menonton wayang bersama-sama walaupun Zahfir ada sekali.  “Ada saya cakap yang saya bencikan awak?” tanya Zalis dengan nada suara tidak mesra. “Tak ada.” “Jadi atas dasar apa awak tuduh saya macam tu?”

 SEBELUM sempat Zahfir masuk, cepat-cepat Khilfie memintas kerana dia mahu duduk di sisi Zalis. Dia sedar lelaki itu agak terpinga-pinga dengan tindakan spontannya, tapi dia buat-buat tidak perasan. Biarlah dia menebalkan muka kerana hanya inilah masa yang dia ada untuk bersama-sama Zalis. Selepas ini, dia harus menunggu sekali lagi keajaiban takdir kalau hendak bertemu dengan Zalis. Mengajak Zalis keluar dengannya, dia tahu sampai kucing bertanduk pun, Zalis tidak akan mahu. “Abang…” Kata-kata Zalis terhenti. Terkedu kerana bukan Zahfir yang duduk di sisinya, tapi Khilfie. “Ya, ada apa?” sahut Khilfie. Dia tersenyum nipis. Tidak pasti kenapa di hatinya ada bunga-bunga halus walaupun dia pasti yang Zalis bukan memanggilnya. “Awak nak apa-apa ke Zalis?” tanya Khilfie perlahan. Sengaja tidak mengendahkan kebekuan Zalis yang tiba-tiba.  “Tak ada apa-apalah, Khilfie…” balas Zalis lemah. Apa sebenarnya yang dimahukan Khifie? Lelaki itu seperti tidak mahu melepaskannya. “Khilfie? Bukan abang?” bisik Khilfie, tidak mahu Zahfir mendengar kata-katanya.  Pantas Zalis berpaling merenung wajah Khilfie dalam samar-samar cahaya.  Khilfie memanjangkan sedikit lehernya. “Jangan marah, saya lebih tua daripada awak. Sebaya Zahfir, kalau awak rasa nak panggil saya abang pun, saya tak kisah. Sangat dialu-alukan,” bisik Khilfie lagi. Lembut suara Zalis menyebut perkataan abang tadi meresap dalam ke jiwanya. “Merepek!” bidas Zalis. Lebar senyuman Khilfie. Gembira kerana dapat mengenakan Zalis. Kalau tidak disebabkan cahaya yang suram, pasti dia dapat melihat wajah Zalis yang tentu saja berubah. Malu atau marah, dia tidak tahu. Yang pasti, warna di wajah Zalis tentu saja merah. Tiba-tiba saat ini dia sangat berharap kalau tidak ada Zahfir di antara dia dan Zalis. Bimbang tersilap cakap, buku lima Zahfir naik ke wajahnya. “Zalis…” Serentak Zalis dan Khilfie berpaling ke arah Zahfir. “Abang Fir keluar kejap. Nak jawab telefon.” Wajah Zalis berubah. Zahfir keluar bermakna dia harus ditinggalkan sekali lagi dengan Khilfie. Dia tidak mahu. “Zalis ikut!” kata Zalis.  “Kejap aje…” “Abang Fir…” Zahfir pegang kepala Zalis walaupun di tengah-tengah ada Khilfie. “Abang Fir nak jawab telefon. Khilfie… kau jangan sentuh adik aku walaupun pegang baju dia. Kalau aku nampak, siap!” Dia memberikan amaran kepada Khilfie. Kemudian, dia terus bangun dan pergi.   Melihat Zahfir melangkah, Zalis mencapai beg tangannya. Namun Khilfie lebih pantas bertindak, pergelangan Zalis dicapai dan digenggam erat. Sudah menduga Zalis pasti mahu mengikut langkah Zahfir. “Nak ke mana? Temankan saya tengok cerita ni sampai habis,” bisiknya. Zahfir sudah memberi amaran yang dia tidak boleh menyentuh walaupun baju Zalis, tapi sekarang ini dia bukan setakat menyentuh baju adik Zahfir itu, tapi pergelangan tangan Zalis. Hangat tapak tangannya bertemu kulit halus milik gadis itu.  “Lepas!” kata Zalis tegas walaupun dalam nada perlahan.  Mata Khilfie terus melekat pada wajah bengang Zalis. “Kalau saya tak nak lepas, awak nak buat apa pada saya?” Sengaja dia mencabar Zalis kerana dia merasakan gadis itu sudah banyak kali mencabar kesabarannya.  “Lepaslah!” “Tak mahu…” “Khilfie…”  Khilfie senyum. Nada seperti merayu itu mencuit hatinya. Zalis tidak menggoda, tapi dia rasa tergoda. Dia sedar dia tidak boleh merasakan perasaan itu kerana antara dia dan Zalis, tidak ada apa-apa. Mereka hanya sahabat lama yang ditemukan kembali selepas lama terpisah. Dia pun sudah ada Jaznita. Tapi entah apa merasuk, dia rasa gembira dapat berdua-duaan dengan Zalis walaupun hanya seketika.  “Dulu-dulu… lebih daripada ini saya pernah buat pada awak. Tapi awak tak pernah kisah pun. Sekarang, baru saya sentuh pergelangan tangan, awak dah kecoh macam saya dah buat lebih-lebih pulak,” usik Khilfie dengan kening yang sengaja dijongketkan.  Mahu saja Zalis menampar wajah Zalis sebagai hadiah atas kata-kata lelaki itu. Khilfie fikir dia apa boleh diperlakukan sesuka hati? Waktu itu, dia masih terlalu kecil dan tidak tahu apa-apa. Takkanlah bila sudah sedewasa ini, Khilfie masih mahu memperlakukan dia begitu?  “Awak jangan lupa, Zalis. Saya lelaki pertama yang pernah cium awak, peluk awak. Tidur sebelah awak. Bukan sekali pulak tu. Setiap kali awak merajuk, saya pujuk awak dengan cara tu. Awak dah lupa?” “Khilfie!” “Walaupun masa tu kita sama-sama kecil, saya tetap orang pertama dapat peluang itu. Saya dah mendahului bakal suami awak,” bisik Khilfie bangga. Sebenarnya, dia tidak menyimpan niat apa-apa tapi sekadar mengusik Zalis. Teringin melihat Zalis marah-marah macam masa mereka kecil-kecil.  “Awak ni biadab!” “Ingat… saya tetap yang pertama. Sesiapa pun tak boleh ubah hakikat tu, Zalis.” Pergelangan tangan Zalis dilepaskan kerana dia melihat Zahfir sudah semakin mendekat. Tapi tangannya sempat mencapai bekas minuman milik Zalis. Cepat saja dia menyedut air tersebut sebelum diletakkan kembali ke tempat asal. Bahkan dia hanya tersenyum melihat mulut Zalis yang seperti terlopong melihat aksi kilatnya .”Tak lama, kan?” tanya Zahfir pada Zalis. Ada senyuman di bibirnya. Sekali lagi tapak tangannya diletakkan di kepala adiknya itu. Lama. Mungkin sejak kecil mama dan papa mereka suka meletakkan telapak tangan di kepala anak-anak setiap kali memujuk. Bila sudah dewasa, Zafran turut meletakkan tapak tangan di kepala Zulhan, dia dan Zalis. Kemudian Zulhan juga meletakkan tapak tangan di kepalanya dan Zalis. Dan kini, dia pun akan melakukan perkara yang sama pada Zalis.

Tradisi keluarga! Itulah yang sering Rubina dan Irma katakan. Tapi mereka langsung tidak kisah. “Tak.” Khilfie yang memilih menjawab kerana dia tahu Zalis pasti masih marah dengan perbuatan dan kata-katanya semasa ketiadaan Zahfir tadi. Ditambah lagi dia meminum air milik gadis itu tanpa izin. Memang tak lama Fir, tapi sorry sebab aku terpegang tangan Zalis. Kulit adik kau lembut macam dulu-dulu juga, detik hati kecil Khilfie nakal.  Sebenarnya, jauh di sudut hati, Khilfie terasa mahu menyentuh kepala Zalis sama seperti yang dilakukan Zahfir tadi kerana dia dapat merasakan betapa dengan cara itu Zahfir menyalurkan kasih buat Zalis. Bahkan, dia pernah melihat Zafran dan Zulhan melakukan perkara yang sama pada Zalis. Buat seketika tidak ada kata-kata daripada bibir mereka bertiga. Namun, Zalis terasa tangan kasar Khilfie mengelus lembut belakang tangannya. Sungguh, tingkah Khilfie dirasakan sangat menyebalkan. Lelaki itu seperti lupa batas yang wujud antara mereka berdua. Khilfie kelihatan seperti galak mahu mengulang sejarah mereka yang sudah semakin jauh ditinggalkan masa.  “Gatal!” Khilfie senyum. Dia mendengar dengan jelas apa yang Zalis katakan dan dia tahu kata-kata itu ditujukan padanya. Kebetulan filem yang dipaparkan di skrin besar di hadapan mereka sedang mempamerkan aksi-aksi 18SX. “Tulah… Abang Fir dah cakap kita tengok cerita lain. Tapi Zalis nak juga tengok cerita vampire handsome ni. Kan dah malu sendiri.” Kali ini, Khilfie tergelak. Cukup untuk pendengaran mereka bertiga. Lega kerana Zahfir langsung tidak mengesyaki apa-apa. Dia percaya Zalis tidak akan tergamak mengadu perbuatannya pada Zahfir. Lantas dengan tidak malunya, cepat saja tangannya menggenggam buku tangan Zalis. Dia tahu dia tidak patut memperlakukan Zalis begitu. Tapi hati di dalam seperti tidak mahu membiarkan Zalis duduk dengan tenang. Mahu terus mengacau gadis yang sudah terganggu sejak melihat wajahnya tadi. “Aduh… sakit, Zalis!” bisik Khilfie. Kalau tadi Zalis diam, hanya menahan hati, kini Zalis sudah mula membalas. Sakit lengannya dicubit gadis itu. “Lepas!” “Tak naklah…” Inilah peluang yang dia ada, kenapa dia harus menurut kata-kata Zalis? “Jangan salahkan saya kalau lepas ni lengan awak biru.” “Kalau berdarah sekalipun, saya tetap tak akan lepaskan awak.” Matanya dan Zalis bertentangan. Lama. “Janji Zalis… lepas ni, jangan mengelak daripada saya lagi. Jangan jauhkan diri daripada saya. Lepas ni kita keluar berdua. Hanya  awak dan saya. Janji…” tagihnya penuh harap. Khilfie mahu terus bertemu dengan gadis itu. Bukan kerana dia mahu mengambil kesempatan seperti hari ini, tapi entahlah… dia sendiri tidak mengerti. Hanya yang pasti, dia berat hati mahu melepaskan Zalis pergi. Tidak dari hidupnya, tidak juga dari hatinya. Gila! Ya… tapi itulah, itulah kata hatinya saat ini!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66591/terus-cintai-aku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *