[SNEAK PEEK] Suami Tuan Puteri

Suami Tuan Puteri oleh Wardina Aisyah

SUARA gelak tawa anak dan menantu membuatkan anak mata Datin Paduka Syarifah Mastura memicing ke arah pasangan itu. Meluat sungguh dia melihat kemesraan yang dipamerkan. Apatah lagi dengan sikap manja yang Eshal Rania tunjukkan pada suaminya. Semakin sakit rasa hati Datin Paduka Syarifah Mastura melihat.

Lantas, satu desahan kasar dilepaskan.

“Kenapa ni?” Datuk Paduka Tengku Azlan yang baru melabuhkan punggungnya di atas kerusi berlorek cantik itu menegur. Mendengar desahan kasar isterinya, pasti ada yang tidak kena.

“You tengoklah tu!” Bibirnya dimuncungkan ke arah anak dan menantu.

Seraya itu juga anak mata Datuk Paduka Tengku Azlan bergerak memandang pasangan muda yang sedang bergurau senda. Senang hatinya melihat pemandangan bahagia itu. Semoga anak dan menantunya bahagia hingga ke akhir hayat.

Melihat senyuman yang terukir di bibir suaminya, semakin digigit geram hati Datin Paduka Syarifah Mastura. Lantas saja dia bersuara, “Menyampah!”

Datuk Paduka Tengku Azlan berpaling.

“Kenapa nak menyampah pula? Sepatutnya you tumpang gembira tengok rumah tangga anak dan menantu kita bahagia. You patutnya bersyukur tau. Dapat menantu yang mampu ubah Rania menjadi Rania hari ini.”

Sakit hati Datin Paduka Syarifah Mastura mendengar kata-kata suaminya. Sejak Ihraz Zahin menjadi menantu di dalam rumah ini, suaminya selalu saja menangkan lelaki itu. Kata-katanya ada saja yang tidak kena. Tapi Ihraz Zahin, semua baik-baik belaka!

“I tahu you kecewa tak dapat berbesan dengan Nerina. Tapi… You kenalah terima kenyataan. Jodoh Rania dengan Zahin, bukannya Ameer.”

“You bercakap senanglah! Tapi I ni… Hati I tak dapat terima semua ni. I dah lama bercadang nak satukan Rania dengan Ameer. Alih-alih, Rania kahwin dengan orang lain. Dah tu, driver kita pula. Malu tau! Dah macam tak ada lelaki lain nak dijadikan suami. Driver jugak yang dia pilih,” gumam Datin Paduka Syarifah Mastura. Sejak bermenantukan pemandu suaminya itu, dia sudah jarang keluar berjumpa teman-teman. Malu menjadi bahan usikan. Dapat menantu, kerjanya sebagai pemandu.

“Astagfirullahalazim… Boleh tak kalau you tak berfikiran macam tu? Kerja apa sekali pun, yang penting rezekinya halal,” tegur Datuk Paduka Tengku Azlan. Perangai isterinya ini semakin lama semakin menjadi-jadi. Terlalu memandang rendah pada golongan yang tak setaraf dengan mereka.

Tercebik-cebik bibir Datin Paduka Syarifah Mastura mendengar teguran suaminya. Itulah suaminya, selalu sangat bagi muka pada orang-orang sebegitu. Mana tidak kepalanya dipijak-pijak. Kalau kena dekat dia, jangan harap nak bagi muka. Disebabkan itu, kesemua pembantu rumah mereka cukup gerun padanya.

“Hisy! Susahlah nak cakap dengan you ni. Itu salah, ini salah. Yang baik semua menantu kesayangan you tu. Dah… I malas nak layan you! Buat sakit hati aje.”

Dengan muka masam mencuka, Datin Paduka Syarifah Mastura berlalu meninggalkan Datuk Paduka Tengku Azlan bersendirian. Tidak kuasa hendak menghadap kemesraan yang tercipta antara Eshal Rania dan Ihraz Zahin. Sakit mata dan hati.

Melihat isterinya berlalu, Datuk Paduka Tengku Azlan hanya menggelengkan kepala. Keras sungguh hati isterinya itu. Langsung tidak dapat menerima hakikat perkahwinan anak dan menantu mereka. Entah apalah istimewa sangat anak muda bernama Syed Ameer Rayyan itu di mata isterinya? Sampai isterinya begitu kecewa anak perempuan sulung mereka ini tidak memilih pemuda itu sebagai suami.

Jika ditanya pendapatnya, dia lebih suka Ihraz Zahin menjadi menantu daripada Syed Ameer Rayyan. Hati tuanya ini seolah-olah berkata, ada rancangan yang ingin dilaksanakan Syed Ameer Rayyan melalui perkahwinan dengan Eshal Rania. Cuma, dia tidak mahu menuduh. Takut menjadi fitnah.

“Datuk… Makan malam dah tersedia.” Mak Mun datang dan dengan penuh hormat dia bersuara.

Datuk Paduka Tengku Azlan mengangguk. Kemudian dia bangun dari duduk.

“Mak Mun tolong panggilkan budak-budak tu. Seronok sangat mereka berdua sampai tak ingat masa nak makan.”

Akur dengan arahan tuan rumah, Mak Mun menghampiri pasangan suami isteri yang baru saja mendirikan rumah tangga. Bau-bau pengantin baru masih melekat lagi pada pasangan ini. Bukan main mesra lagi nampaknya mereka. Macam orang sedang hangat bercinta saja.

Entah-entah, mereka berdua ini betul-betul bercinta agaknya? Kalau betullah telahannya ini, dia tumpang gembira dan memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana telah menyatukan dua hati.

“Zahin, Puan Muda Rania… Datuk panggil masuk ajak makan malam bersama.” Formalnya Mak Mun bila berdepan dengan Eshal Rania. Bila berdepan dengan Ihraz Zahin seorang, tidak pula dia seformal ini. Main lepas saja.

“Mak Mun… Lain kali tak payah panggil dia ni Puan Muda Rania lagi. Panggil Rania aje. Mengada-ada pula Zahin dengar Mak Mun panggil dia macam tu. Gelaran tak bawa apa-apa makna tau,” tegur Ihraz Zahin.

“You… Tak baik tau cakap macam tu. I tak mintak pun Mak Mun panggil I macam tu. Mak Mun, lepas ni panggil Rania aje. Tak usah nak berpuan muda. Nanti ada telinga orang bernanah dengar Rania kena panggil macam tu depan dia,” balas Eshal Rania dengan mata dijeling manja ke arah suaminya. Bibir sengaja dimuncung. Konon hendak merajuk dengan ejekan suaminya itu. Sedangkan hakikatnya, dia cukup senang bergurau senda dengan suaminya ini. Terasa bahagia.

Selalunya Eshal Rania tidak seperti ini. Cakapnya tinggi melangit. Sikapnya tidak ubah seperti bondanya yang sombong dan berlagak. Mak Mun bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata Eshal Rania yang lembut seperti gula- gula kapas. Benarlah, tuan puteri ini telah berubah laku.

“Mak Mun… Dengar tak ni? Yang Mak Mun pergi tenung muka dia ni sampai macam tu sekali kenapa? Tak percaya ke? Percayalah, Mak Mun… Tuan puteri saya ni dah berubah. Dah tak kerek macam dulu. Kan, sayang?” ujar Ihraz Zahin menyiku lengan sang isteri.

Bagaikan burung belatuk Eshal Rania mengangguk mengeyakan kata-kata suaminya. Dia mahu berubah. Mahu menjadi Eshal Rania yang baru. Eshal Rania yang tidak lagi berlagak diva seperti dulu.

“Yalah tu. Dah, dah… Datuk dengan Datin dah tunggu tu. Pergilah masuk. Makan malam dah tersedia. Kang sejuk, tak sedap pula. Malam ni Mak Mun masak khas untuk Zahin dan Rania.”

“Ni yang tak sabar nak makan. Mak Mun ada masak ikan pari masak asam pedas tak?” kecur liur Eshal Rania mengenangkan pari asam pedas Mak Mun yang super-duper sedap hingga menjilat jari itu.

“Adooo…”

“Aik? Sejak bila awak makan asam pedas ni? Bukan lidah awak lidah minah salih ke?”

“You… Boleh tak jangan nak mengata I? Tak kesahlah bila pun, yang penting I nak jadi Eshal Rania wanita Melayu terakhir.”

Terkekeh-kekeh Ihraz Zahin ketawa mendengar omongan isterinya itu. Besar sungguh impian tuan puterinya ini. Mahu menjadi wanita Melayu terakhir. Tapi padanya,

Eshal Rania tetap seorang tuan puteri. Tuan puteri yang telah menambat hatinya ini.

SILIH berganti wajah Eshal Rania dan Ihraz Zahin menjadi santapan mata Datin Paduka Syarifah Mastura. Kemesraan pasangan itu cukup menyebalkan. Eshal Rania, anaknya itu secara terang-terangan menunjukkan rasa hatinya terhadap Ihraz Zahin. Lelaki itu dilayan bagaikan raja.

“Ehem…” Datin Paduka Syarifah Mastura berdeham.

“Esok bonda nak korang pergi Butik Aneez. Cuba baju pengantin yang bonda dah pilihkan untuk korang,” ujarnya kemudian. Mata tidak lagi berlabuh pada anak dan menantu. Menyakitkan hati saja melihat kemesraan yang dipamerkan.

“Hari lain tak boleh ke, bonda? Esok Rania sibuk sikitlah.”

Kebetulan esok dia ada mesyuarat dengan pihak penaja yang hendak menaja majlis syarikatnya hujung bulan ini. Dia perlu menyelesaikan semua urusan sebelum mengambil cuti untuk menjayakan majlis resepsinya.

Datin Paduka Syarifah Mastura panggung kepala. Tajam anak matanya merenung Eshal Rania.

“Rania kalau dengan bonda ada aje alasannya. Tapi kalau dengan orang lain, tak ada pula alasan sibuk ni. Tak ada alasan! Esok korang berdua kena pergi Butik Aneez. Bonda dah buatkan janji temu untuk korang berdua.”

Siapa orang luar yang dimaksudkan bonda? Ihraz Zahinkah? Tidak patut bonda berkata begitu. Ihraz Zahin bukannya orang luar. Ihraz Zahin juga merupakan salah seorang anggota keluarga mereka kini. Terkilan sungguh Eshal Rania dengan sikap bondanya ini.

“Bonda…”

Ting tong! Ting tong!

Bunyi loceng di pintu utama membantutkan niat Eshal Rania untuk terus bersuara.

Tanpa diarah, Mak Mun bergerak ke muka pintu. Lalu menyambut tetamu yang datang berkunjung. Entah siapa gerangan tetamu yang datang malam-malam begini?

“Assalamualaikum…”

Mendengar suara itu, laju saja Datin Paduka Syarifah Mastura berpaling. Senyuman pada bibirnya mula merekah.

“Ameer? Kenapa datang tak bagi tahu?”

Dengan mesra Datin Paduka Syarifah Mastura menyambut kedatangan anak muda itu. Sedangkan hakikatnya dialah orang yang telah menelefon Syed Ameer Rayyan supaya datang ke sini. Tujuannya cuma satu, mahu Eshal Rania bertemu Syed Ameer Rayyan. Soal Ihraz Zahin, dia tidak mahu peduli. Meski Eshal Rania telah menjadi isteri lelaki itu, dia tetap berhasrat mahu menyatukan anaknya dengan Syed Ameer Rayyan. Walau dengan cara apa sekali pun!

“Saje aunty, nak buat surprise. Tak sangka pasangan pengantin baru pun ada kat sini.”

Mata Syed Ameer Rayyan melirik ke arah Eshal Rania dan Ihraz Zahin. Tenang saja dilihatnya wajah lelaki itu. Langsung tiada riak cemburu. Malah dengan senang Ihraz Zahin berjabat tangan menyambut kedatangannya. Tanda hormat pada tetamu yang datang bertandang.

“Aunty jemput dia orang dinner kat sini. Kesian Rania… Sejak kahwin ni dah jarang sangat makan sedap. Sebab tu yang aunty masak sedap-sedap khas untuk dia. Maklum la… Kat rumah tu makan berlaukkan telur goreng aje.” Sinis kata-kata Datin Paduka Syarifah Mastura. Langsung tidak menjaga hati dan perasaan menantunya.

“Kebetulan Ameer dah datang ni… Jemputlah makan sekali,” jemput Datin Paduka Syarifah Mastura. Lebar sekali senyumannya.

Jelingan mata Datuk Paduka Tengku Azlan yang tajam menikam langsung tidak dihiraukan wanita itu. Seolah-olah menjadi satu kepuasan dapat menyakiti hati Ihraz Zahin. Padan muka! Jika dia sudah membenci, buatlah apa sekali pun dia tetap akan membenci. Jangan harap dia akan sukakan lelaki itu.

Ihraz Zahin berlagak tenang. Cuba tidak menghiraukan sindiran sinis ibu mentuanya yang secara terang-terangan ditujukan buat dia. Jari Eshal Rania yang mendarat ke pahanya dibalas. Digenggam erat dan hati kecilnya berkata, Jangan risau… Saya okey.

Seolah-olah mengerti dengan bisikan hati lelaki itu, Eshal Rania mengukir senyuman kecil. Jemarinya semakin digenggam erat. Dia mahu Ihraz Zahin tahu, dia sentiasa ada di sisi meski halangan datang menimpa.

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;

https://www.e-sentral.com/book/info/338315/Suami-Tuan-Puteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *