[SNEAK PEEK] SETELAH CINTA ITU PERGI

Setelah Cinta Itu Pergi oleh East Diani

 

SEKALI lagi terjadi pertelingkahan antara Marina dan Ikram. Disangkakan cemburu Ikram kepadanya akan berakhir begitu sahaja, rupanya tidak. Ikram kembali bertandang ke sekolah, semata-mata ingin berjumpa dengan lelaki yang bernama Muiz Lukman.
Nama itulah yang bermain di butir bibir Marina semalam. Dan lelaki itulah yang bertandang semalam ke rumahnya. Apa yang disangkakan Ikram adalah benar. Marina hanya tertunduk membisu. Terpempan dengan tindakan Ikram kali ini. Terasa pedih dan berpinar sahaja bila tangan Ikram yang lebar itu singgah kuat di pipi.
Air mata yang menitis tidak mampu untuk melembutkan hati amarah Ikram. Sangkanya hubungan mereka yang sudah pulih pagi tadi akan terus berterusan, berlaku sebaliknya. Ikram sekali lagi bersikap dingin dengannya.
“Seronoklah sebab dapat tipu abang!”
Marina menggeleng. Tidak mengerti dengan apa yang dimaksudkan Ikram. Rasanya sudah tiada apa-apa lagi yang disembunyikannya. Semuanya sudah diceritakan. Hubungan mereka berdua juga sudah pulih dan Ikram sendiri sudah memaafkannya.
“Kenapa Rina buat abang macam ni?” Mendatar sahaja kata-kata Ikram. Kecewa.
“Rina tak faham. Apa maksud abang?”
“Faham atau buat-buat tak faham?” Bulat mata Ikram jegilkan ke arah Marina. Jelas Ikram betul-betul naik angin.
“Apakah Rina ada lakukan kesalahan lagi?” Soal Marina.
“Sanggup Rina tipu abang. Siapa lelaki yang bertandang ke rumah kita semalam? Muiz Lukman? Siapa dia? Kekasih Rina?” Bertalu-talu soalan itu diajukan kepada Marina.
“Dia bukan sesiapa, bang. Dia cikgu sekolah. Kami memang tak ada apa-apa hubungan. Sumpah, bang.” Tangan kanannya diangkat tinggi. Berani sumpah dengan apa yang tidak dilakukannya. Dirinya tidak bersalah. Untuk apa dia takut dengan kesalahan yang tidak dilakukannya.
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa dia cari Rina di rumah semalam? Tak tahu, Rina isteri orang?”
“Muiz tahu Rina dah kahwin.”
“Dah tahu Rina isteri orang, kenapa masih mahu ganggu? Sudah tak ada perempuan lain yang nak diganggunya?” Tidak senang hati Ikram. Marina pun satu, jika tidak melayan, takkanlah Cikgu Muiz Lukman ingin mengganggunya.
“Abang cuma salah faham aje tu.”
“Dah jelas Rina. Abang izinkan Rina berkerja bukan sebab untuk berikan Rina peluang bercinta dengan lelaki lain.” Ikram terus dengan bebelannya.
Selepas berjumpa dengan Cikgu Muiz Lukman, hatinya terus terbakar. Apatah lagi, lelaki yang Marina maksudkan rupanya lelaki yang bertandang ke rumahnya semalam. Hatinya belum puas, walaupun muka Cikgu Muiz Lukman lebam ditumbuknya. Baginya itu masih belum cukup. Mujur ada pengawal yang menjaga di situ.
“Kenapa nak dibuka kembali cerita semalam? Kan kita dah sama-sama janji takkan sentuh lagi hal salah faham tu.”
Tidakkah Ikram mempercayai dirinya? Selama tiga tahun perkahwinan ini, takkan Ikram langsung tidak memahaminya. Sepatutnya Ikram tahu, betapa mendalamnya cinta itu kepadanya. Tidak perlu dipersoalkan lagi akan kejujurannya.
“Argh! Itu sebelum abang tahu cerita yang sebenaranya.” Dengus Ikram kasar.
“Cerita apa lagi, bang? Kan semuanya dah selesai. Rina ingat lepas pagi tadi, kita akan terus berbaik. Tapi lain pulak jadinya.” Mendatar sahaja luahan hati Marina itu diluahkan.
“Muiz tu kekasih Rina, kan?” Tuduh Ikram.
“Tak! Muiz bukan sesiapa pun. Cubalah abang faham dan percaya isteri abang sendiri. Takkan Rina nak buat semua tu di belakang abang.” Sungguh tersentuh dan terluka hatinya, bila Ikram mengesyaki hati dan perasaannya.
“Kalau bukan kekasih, siapa? Kekasih gelap?”
“Ya Allah, bang! Apa yang abang merepek ni? Sepatutnya abang faham diri Rina. Sepatutnya abang kenali siapa diri Rina. Ini tidak, abang tuduh Rina bukan-bukan. Abang tuduh perkara yang betul-betul Rina tak buat.” Suaranya sudah tenggelam dengan esakan.
Bila dirinya disyaki suaminya sendiri, memang dia cukup kecewa. Hatinya cukup terluka dan tergores. Kepercayaan Ikram kepadanya, bagaikan sudah terbang ditiup angin. Mudah sahaja ia pergi menghilang begitu sahaja.

INSYIRAH MENYEDIAKAN sarapan hari ini. Rajin pula dari hari-hari biasa. Walaupun dilarang Marina daripada melakukan semua itu, dia tetap berdegil.
Pelik pula melihat Insyirah yang rajin. Berbeza sikapnya itu dari biasa. Pagi ini sahaja, sarapan pagi sudah siap disediakannya.
“Kenapa Syirah buat semua ni?” Soal Marina.
“Alah, kak. Syirah rasa tak sedap hatilah pulak. Sudahlah Syirah menumpang di rumah akak. Semua akak yang buatkan untuk Syirah. Hari ni, biar Syirah yang buat semua tu. Lagipun Syirah pun dah rasa sihat.” Lembut sahaja, Insyirah menuturkan bicaranya.
“Terima kasihlah Syirah, susahkan diri. Tapi tak perlulah nak buat semua ni lagi. Selagi Syirah tak habis pantang, janganlah Syirah susah-susahkan diri. Akak ada, boleh buat semua tu.”
“Tak ada apa-apalah kak. Dan satu lagi, Syirah perasan. Akak dengan abang Ikram macam ada masalah. Akak dengan abang Ikram bergaduh lagi ke?” Soal Insyirah, walaupun dia sudah tahu kedudukan sebenarnya yang terjadi antara Ikram dan Marina. Sengaja dia ingin menyakitkan hati Marina lagi dengan soalannya itu.
Marina diam. Wajahnya kembali suram. Dia juga tidak tahu, kenapa hingga ke saat ini hubungannya dan Ikram sudah tidak seperti dahulu. Sekelip mata sahaja Ikram berubah sikap kepadanya. Marina tidak dapat mengelak lagi. Ikram sendiri yang seakan menjauhkan diri daripadanya.
“Akak bergaduh dengan abang, kan?” Wajah Marina dipandang simpati. Jemari Marina digenggamnya rapi. Cuba memberi semangat kepada Marina.
“Akak tak tahulah Syirah, apa dah jadi dengan hubungan kami berdua ni. Abang asyik dingin aje. Abang pun macam dah tak kisah dekat akak lagi. Mungkin dia dah tak sayangkan akak lagi.” Insyirah dipandangnya kosong. Hingga ke saat ini, dia begitu makan hati dengan layanan Ikram kepadanya. Takkanlah semua kemarahannya itu, dibawa hingga berminggu-minggu?
“Maafkan Syirah kak. Mungkin kehadiran Syirah ni, yang membuatkan akak dan abang Ikram bergaduh.” Insyirah menyalahkan dirinya dengan apa yang sudah berlaku antara pasangan suami isteri itu.
“Syirah tak salah. Semua ni terjadi sebab salah faham dan cemburu abang. Abang terlalu percayakan orang lain, berbanding akak isterinya sendiri. Akak kecewa sebenarnya dengan abang.” Luah Marina akan kekecewaannya.
“Sabarlah kak. Tuhan akan sentiasa ada dengan orang yang benar.”
Marina membalas dengan senyuman hambar. Jauh ingatannya kepada suaminya Ikram yang bekerja luar. Kenapalah hingga ke saat ini, Ikram langsung tidak menghubunginya? Tidak rindukah Ikram kepadanya?
“Oh, lupa pulak kak. Semalam abang Ikram ada call Syirah. Mungkin hari ni, abang balik.” Cerita Insyirah.
Marina diam. Pandangannya terus menapak ke wajah Insyirah. Ikram menelefon Insyirah? Mengapa Ikram tidak menghubunginya sendiri? Apakah hubungan Insyirah dengan Ikram? Sehinggakan Ikram begitu lebih utamakan Insyirah daripada isterinya sendiri. Marina jadi penasaran.
“Abang call Syirah?”
Insyirah menganggukkan kepalanya.
“Apa yang abang cakap?”
“Abang cuma cakap nak balik hari ni. Dan dia cakap, dia rindukan Nasuha. Nanti sampai rumah, terus nak peluk cium Nasuha.” Cerita Insyirah. Langsung tidak dipedulikan hati Marina yang kini cukup tergores.
“Itu aje yang abang cakap?” Soal Marina lagi. Ikram melayannya seperti orang luar. Seperti dirinya sudah tidak bermakna apa-apa lagi.
Insyirah menganggukkan kepala. Senyuman terus mekar di bibirnya. Sekali-sekala Marina mencuri pandang melihat Insyirah dengan ekor matanya.
“Akak, kenapa tak makan lagi? Makanlah. Nanti lewat pulak, akak pergi kerja.” Insyirah mempelawa Marina menjamu makanan yang dimasakkannya tadi.
Setelah selesai bersarapan. Marina terus keluar. Lagipun dia sudah terlewat beberapa minit. Tanpa sebarang pesanan kepada Insyirah, Marina terus berlalu. Insyirah hanya memerhati Marina keluar dari kawasan rumah melalui jendela yang tirainya sudah terbuka luas. Satu senyuman mekar di wajahnya.
“Bagus! Kau akan terus sengsara Marina. Kebahagiaan kau, aku akan rampas. Tunggulah masanya!” Insyirah terus ketawa. Puas dengan rancangan yang diaturkannya selama ini. Rancangannya benar-benar berjalan dengan baik.
Kertas yang terlipat dibuka. Serbuk abu hitam itu dicubitnya sedikit dan ditaburkan ke dalam teko yang berisi dengan air kopi panas. Dikacau perlahan-lahan agar serbuk itu lebih sekata.
Bunyi kereta di luar rumah. Sekali lagi dia memandang ke luar melalui jendela. Kereta Ikram sudah memasuki ke kawasan rumah. Tanpa berlengah lagi, Insyirah terus ke dapur. Pinggan mangkuk yang banyak terhimpun di singki, dicucinya. Perutnya pula dipicit-picitkan. Dia tahu, Ikram pasti akan ke dapur sebentar nanti.
“Aduh!” Insyirah makin kuat memegang-megang perutnya, sambil mengaduh kesakitan.
“Eh, Syirah. Kenapa ni?”
“Aduh, sakit perut bang.” Mengerang kuat Insyirah, bagaikan benar-benar sedang mengalami kesakitan. Ikram menghampiri Insyirah. Dipapah badan Insyirah ke atas, hingga ke bilik. Direbahkan badan Insyirah ke katil.
“Syirah tunggu sekejap, abang call doktor.”
“Eh, tak payahlah bang. Sikit aje ni.”
“Sikit apanya kalau mengerang macam ni.”
“Perut Syirah sakit, mungkin sebab banyak sangat buat kerja. Banyak berdiri.” Tipu Insyirah.
“Kenapa Syirah buat semua tu? Kan Kak Marina ada. Dia balik kerja nanti, dia buatlah semua tu.” Insyirah menarik muka sedih. Kepalanya digelengkan. Matanya mula berkaca. Mukanya kalut diraup lama.
“Kenapa ni Syirah?” Soal Ikram lembut.
“Tak ada apa-apalah abang.”
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa macam ni? Kenapa buat semua kerja ni? Jom, pergi berehat.”
“Tapi kerja rumah tak siap lagi.” Insyirah diam. Bibirnya diketap. Kepalanya digeleng. Wajahnya nampak serba salah. Air mata yang menitis di pipi diseka dengan hujung jarinya.
“Kan Syirah masih berpantang. Perlukan rehat yang cukup.” Ikram memujuk.
“Nanti apa pula Kak Rina cakap. Syirah tak siapkan semua kerja ni.” Adu Insyirah. Sengaja mengadu domba.
“Dah… Jangan nak fikirkan pasal Kak Rina.” Badan Insyirah terus dipimpinnya. Dipimpin hingga ke bilik. Sampai sahaja ke dalam bilik, dibaringkan Insyirah.
“Berehat. Jangan buat kerja. Kalau Kak Rina marah, cakap abang yang tak izinkan.” Pesan Ikram baik hati.
“Terima kasih abang.” Oh, terharunya! Hati terlonjak girang tak terkata.
“Sama-sama. Abang nak mandi dulu. Abang nak kena pergi ke pejabat pula, ada meeting tergempar.” Beritahu Ikram. Lalu terus berlalu selepas puas mengucup Nasuha yang terbaring tidur.
“Abang…” Lembut sahaja suara Insyirah memanggil Ikram. Langkah yang baru diaturkan terhenti itu dipandang.
“Tadi Syirah ada buat kopi. Minumlah, masih panas lagi agaknya.” Sambung Insyirah. Ikram hanya mengangguk. Kelat sahaja dileretkan senyuman.
“Nanti abang minum.”
“Abang jangan marah Kak Rina ya. Syirah tak mahu ada masalah dengan Kak Rina.” Pesan Insyirah seraya Ikram kembali mengaturkan langkahnya.

DARI TADI, Marina hanya berdiam. Dia tidak banyak bicara seperti hari biasa. Emosinya terganggu. Berkecil hati Marina dengan layanan Ikram. Terasa dirinya seperti sudah disingkirkan. Perasaannya langsung tidak diendahkan. Langsung tidak dipujuk. Jauh Marina bermenung. Tidak disedari kedatangan Cikgu Muiz Lukman yang sudah duduk di sisi.
“Rina…” Lembut tutur Cikgu Muiz Lukman menyapa. Tetapi tetap tiada tindak balas. Dia leka dengan lamunannya.
“Marina!” Sekali lagi ditegurnya. Terpempan Marina. Terkejut dengan suara Cikgu Muiz Lukman yang tiba-tiba memecah ke gegendang telinga.
“Jauhnya termenung. Sampaikan saya duduk sebelah pun tak sedar.” Sinis Cikgu Muiz Lukman sambil tersenyum kelat.
Marina menggelengkan kepala. “Cikgu buat apa kat sini?” Soal Marina pelik. Senyuman hambar turut dileretkan di wajah.
“Cikgu Aini tak cakap?” Soal Cikgu Muiz Lukman. Marina kerutkan mukanya. Kepalanya digelengkan. Tak ada pula Cikgu Nur Aini beritahunya apa-apa.
“Kan Cikgu Aini ada kursus. Guru besar minta saya gantikan sementara.” Terang Cikgu Muiz Lukman.
Terkedu lidah Marina. Mulutnya terkunci untuk terus bicara. Terlupa pula apa yang Cikgu Nur Aini cakapkan pagi tadi. Selepas jam 9 pagi tadi, Cikgu Nur Aini terus bergegas keluar. Dia pula sibuk memasak di dapur hingga lupa semuanya.
“Awak ada masalah ke Rina?” Soal Cikgu Muiz Lukman. Dari riak wajah sahaja sudah dapat di agak.
Marina menggelengkan kepala. Cikgu Muiz Lukman bukan sesiapa kepadanya untuk diceritakan masalah rumah tangganya bersama Ikram.
“Saya tak ada apa-apa cikgu. Cuma kurang sihat.”
“Kalau awak tak sihat berehatlah. Saya boleh tolong uruskan anak-anak ni semua.”
Marina menggelengkan kepalanya. Dia tidak perlu berehat, dia cuma perlukan ketenangan. Tapi, bukan pada waktu ini.
“Saya mampu buat semua kerja tu. Lagipun ini tugas saya cikgu.”
“Kan awak tak sihat.” Prihatin sekali Cikgu Muiz Lukman.
“Saya masih boleh lakukan kerja.” Marina terus melakukan kerjanya.
“Saya tahu, awak jadi begini sebab tak sihat. Tapi, awak ada masalah dengan suami, kan?” Tanpa segan silu Cikgu Muiz Lukman meneka. Lirik sahaja renungan Marina. Pergerakannya tadi juga terhenti.
“Jika saya ada masalah dengan suami sekalipun, cikgu tak perlu ambil tahu dan masuk campur. Itu urusan saya.” Kurang senang bila Cikgu Muiz Lukman dapat menghidu masalah yang dihadapinya.
“Maafkan saya Marina. Saya tak berniat nak masuk campur urusan awak. Cuma saya rasa, permasalahan ni berlaku disebabkan saya.” Cikgu Muiz Lukman tetap berkeras.
“Cikgu tak perlu rasa bersalah.”
“Saya tetap rasa bersalah. Lebam di mata saya hari tu, tak mampu kembalikan salah faham suami awak tu. Saya betul-betul minta maaf Rina. Saya tak sangka semua ni akan terjadi.” Sekali lagi kata maaf dipinta.
“Tak apalah… Saya reda.” Mendatar kata-kata Marina. Kerja-kerjanya tadi disambung kembali. Dulang yang berisi cawan-cawan kosong dibawa ke meja ruang hadapan. Beberapa saat kemudian dia kembali ke bahagian dapur.
“Macam tu ke gaya orang reda? Dengan duduk bermenung. Kalau awak nak saya bantu, saya boleh jumpa suami awak. Saya terangkan kedudukan yang sebenar.” Cikgu Muiz Lukman mempelawa dirinya untuk jadi orang tengah dalam permasalahan ini.
Marina gelengkan kepala. Dia tidak perlukan bantuan Cikgu Muiz Lukman. Hubungannya tidak perlu dicampuri oleh orang luar. Dia tidak selesa.
“Saya tak mahu tambahkan masalah yang dah sedia ada ni cikgu. Saya boleh selesaikan sendiri.” Marina menolak pelawaan itu dengan baik.
“Rina…” Nama itu dipanggil. Dan dia terus diam langsung tidak berkutik. Keras berdiri dengan mata merenung tepat ke anak mata wanita di depannya.
“Apa lagi cikgu?”
“Adakah awak bahagia dengan kehidupan sekarang ni?” Entah kenapa ringan sekali mulut Cikgu Muiz Lukman berbicara.
“Saya bahagia! Suami saya, adalah segala-galanya kepada saya cikgu. Walau ada masalah sekalipun antara kami berdua, itu hanya dugaan.” Tegas balasan jawapan Marina.
“Baguslah kalau awak bahagia. Saya harap, suami awak tak pukul dan cederakan awak lagi.” Ujar Cikgu Muiz Lukman. Terbayang di mata apa yang telah dilakukan Ikram kepada Marina. Tubuh itu disakiti.
“Apa maksud cikgu?” Tidak berkelip mata Cikgu Muiz Lukman membalas renungan Marina.
“Malam saya datang ke rumah awak hari tu, saya nampak apa yang terjadi. Dia cederakan awak. Dia berkasar dengan awak.” Beritahu Cikgu Muiz Lukman.
Liur ditelan kelat sahaja. Bibirnya diketap. Memang dia terkejut. Jadi selama ini, Cikgu Muiz Lukman tahu apa yang Ikram lakukan kepadanya.
“Kalau awak perlukan seseorang, awak boleh cari saya.” Tersusun sahaja tutur Cikgu Muiz Lukman.
“Saya tak perlu cikgu untuk luahkan apa yang ada dalam hati. Saya harap cikgu mengerti. Terima kasih dengan perhatian cikgu…” Marina terus berlalu. Tidak berminat langsung untuk menceritakan masalahnya kepada Cikgu Muiz Lukman.

KALI INI hati Marina makin robek. Dia tidak pernah menyangka, Insyirah mengkhianatinya. Prasangka hatinya sebelum ini, adalah benar. Layanan baiknya kepada Insyirah dibalas dengan tuba. Tergamak Insyirah memfitnahnya begitu. Berkali-kali Marina menggelengkan kepalanya. Tidak mengaku akan tuduhan yang Ikram perjelaskan kepadanya. Insyirah memang berhati busuk.
“Abang, apa yang Syirah cakapkan kepada abang tu, semuanya tak betul. Itu semua fitnah.”
“Fitnahnya apa, kalau macam tu? Kenapa Rina berubah teruk sangat ni? Tergamak Rina suruh Syirah buat semua kerja-kerja rumah. Kalau Rina tak mahu tolong tengokkan Syirah, cakap awal-awal. Tak payah abang minta Rina jagakan. Syirah tu amanah Idlan kepada abang. Rina tahu tak?” Kuat badan Marina digoyangkan.
Bibirnya digigit kuat. Kali ini, entah ke berapa kali hatinya luruh dan hancur dengan sikap Ikram. Ikram lebih mempercayai Insyirah daripada dirinya sendiri. Semua perasaan yang dipendam dan disimpannya selama ini, tidak mampu ditahan lagi. Begitu menyeksakan.
“Amanah Idlan, abang ingat. Amanah abah untuk abang jaga Rina, abang tak ingat?”
Tangan Ikram yang mahu ditampar ke pipi terhenti tepat-tepat pada wajah Marina. Kuat tamparan itu mengena pipi Marina. Sedikit berganjak Marina dengan tamparan yang baru singgah di pipinya itu. Pipi Marina terasa pedih. Sakit itu, baginya tidak begitu seksa seperti mana hatinya rasakan kini. Memang Ikram sudah berubah dan tidak seperti dahulu lagi. Tiada lagi layanan baik dan tiada lagi kasih sayang yang diberikan. Yang ada setiap hari, hanya jamahan tengkingan dan amarah Ikram.
“Berani Rina nak kurang ajar dengan abang. Berani Rina menjawab?” Kasar Ikram melayan Marina.
“Sampai hati abang buat Rina macam ni. Sebab Syirah, abang buat Rina macam ni. Rina ni amanah abah untuk abang. Amanah yang Allah berikan kepada abang. Boleh pula abang sia-siakan! Amanah yang Idlan berikan, senang-senang sahaja abang ikut. Siapa Rina buat abang? Abang lebih pentingkan orang lain daripada diri Rina.” Pipinya yang rasa berpinar dan pedih itu terus dipegangnya. Bergetar badan Marina. Suaranya terus ditenggelami dengan tangisannya. Laju kakinya mengatur langkah. Tidak dihiraukan lagi apa yang bakal terjadi. Hatinya betul-betul sakit.
“Nak ke mana?” Marina tidak menjawab. Marina terus meredah masuk ke dalam bilik Insyirah. Apa yang bakal terjadi, biarlah terjadi.
“Syirah!” Terus dihampiri Insyirah yang senang berbaring di katil. Bukan main lagi. Sudah diberi betis mahu peha pula.
“Kenapa ni kak?” Insyirah menarik nafasnya, bila Marina menariknya kasar.
“Apa Syirah buat pada akak? Kenapa Syirah fitnah akak? Apa salah akak pada Syirah?” Bertalu-talu soalan itu disoalnya. Genggamannya tadi dilepaskan. Mana mungkin dia mampu berkasar. Dia tidak sekejam itu. Jika mahu, diikutkan amarahnya itu, pasti ditampar dan ditolak Insyirah keluar dari rumahnya.
“Akak… tolonglah kak. Tolonglah jangan buat Syirah lagi. Kesiankanlah Syirah kak. Janganlah buat Syirah macam ni.” Wajah Insyirah yang melebar dengan sengihan, tiba-tiba sahaja berubah. Dia sendiri yang menapak ke hujung kaki Marina. Merayu-rayu.
“Rina!” Ikram menarik Marina kasar. Dilihat dengan matanya dan didengari dengan telinganya sendiri. Insyirah merayu-rayu kepada isterinya supaya tidak di apa-apakan dirinya. Diheret Marina keluar mengikut langkahnya.
“Abang, lepaskan Rina.”
“Rina tak puas lagi ke, seksa Syirah? Tak puas lagi?” Terduduk Marina selepas Ikram menolaknya kasar. Terhinggut badan Marina dengan tangisan yang makin kuat. Air mata yang makin laju membanjiri pipi dibiarkan sahaja.

SAKIT HATI memang sudah tidak terkata. Robek di dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Esakan tangisannya bagaikan sudah tidak bermakna apa-apa kepada Ikram. Apakah Ikram sudah tidak mahu mempedulikan dirinya lagi?
Mata Marina sudah membengkak. Terlalu banyak menangis. Dari tadi dia hanya berkurung di dalam bilik. Kakinya berat untuk melangkah keluar dari bilik. Apa yang dia inginkan saat ini adalah pujukan daripada Ikram. Namun semua itu tidak terjadi.
Berlari dia ke jendela, bila mendengar deruman enjin kereta yang sengaja diderum kuat. Kelihatan Ikram berlalu. Makin sakit hatinya. Bukannya mahu dipujuk, malah dibiarkan dia dengan rajuk.
Tergenggam rapi jemari Marina. Mengapa Ikram seperti tidak ada perasaan? Langsung tidak terasakah bila melihat air mata dan esakan daripadanya? Apakah perasaan Ikram kepadanya sudah mati begitu sahaja. Tapi, mengapa ia terlalu mudah terjadi?
Marina kembali ke birai katil. Punggungnya dihenyakkan. Menerewang kepalanya berfikir. Terasa pelik dengan perubahan Ikram sejak kebelakangan ini. Dia seakan menjauhkan diri daripadanya. Selalunya jika Ikram rajuk dengannya, tidaklah dibawa hingga lama begini. Ikram tidak betah duduk bila jauh daripadanya.
Kepalanya yang tidak sakit dipicit-picit. Puas dia berfikir, masih belum ada jawapan. Marina menarik nafas sedalam-dalamnya. Melepaskannya kembali dengan tenang.
“Macam ada yang tak kena.” Marina bercakap sendiri.
Keluhan dilepaskan. Pantas dia berdiri. Mengutip kembali semangatnya yang jatuh berkecai. Dia tidak akan biarkan rumah tangganya musnah begitu sahaja. Dia perlu pertahankannya. Dia akan buktikan, dia tidak bersalah. Insyirah perlu bertanggungjawab!

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/55971/Setelah-Cinta-Itu-Pergi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *