[SNEAK PEEK] SEBELUM NAFAS TERHENTI

9789831246740-medium
EBUKU Sebelum Nafas Terakhir oleh Juriah Ishak

BUNGA-BUNGA mawar menari-nari dibelai angin. Harum baunya menyamankan. Taman mini di Vila Kencana Emas kini semakin berseri. Datin Rabiatul berjalan dari satu pasu ke satu pasu yang lain. Matanya asyik memerhati daunan yang tumbuh menghijau dan subur. Bibirnya mengukir senyuman. Hatinya berasa puas melihatkan bunga-bunga yang disemai di taman di halaman rumahnya mulai berbunga dan berdaun segar. “Alhamdulillah… Lisa, terima kasihlah kerana telah menjaga semua pokok-pokok kesayangan saya ni dengan baik.  Wah!  Semuanya dah mula hidup dengan segar kembali.  Hmm… tengok ni, bunga orkid ni dah mula keluarkan kudup untuk berbunga!” Datin Rabiatul bersuara dengan riang. Nurlisa hanya tersenyum. Tidak ada apa-apa yang dapat diperkatakannya. Namun hati kecilnya berasa gembira melihat keceriaan yang terpancar di wajah Datin Rabiatul.  “Alhamdulillah. Saya cuma menjaganya. Menjirus air,  letak baja. Dengan kehendak-NYA, semua bunga-bunga ini hidup subur dan berbunga lebat. Kurniaan ALLAH untuk kita kan, mak cik?” Nurlisa bertanya bagaikan pertanyaan seorang anak gadis kepada emak yang telah melahirkannya.  “Mak cik, boleh tak kalau Lisa ubahkan pasu-pasu ni?” Walaupun telah diberi tanggungjawab untuk menjaga taman itu, tidak manis rasanya jika membuat sesuatu tanpa meminta keizinan daripada tuannya. “Ubah?” Datin Rabiatul memandang ke wajah Nurlisa yang dibasahi peluh. Sudah hampir sejam mereka di situ. Matahari pagi sudah mulai menggigit.  Nurlisa mengganggukkan kepala sambil memandang ke wajah Datin Rabiatul yang sedang tersenyum mesra.  ‘Gadis ini memang pandai berbudi dan berbahasa. Keyakinannya terhadap kekuasaan ALLAH seolah telah bertunjang di dalam hatinya. Syukurlah kerana telah dipertemukan dengan gadis ini.’  Hati Datin Rabiatul berbisik sendiri. “Ikut suka hati Lisalah nak buat macam mana pun. Tapi Lisa tak bolehlah nak angkat pasu-pasu ni semua. Kaki Lisa pun belum sembuh sepenuhnya. Jangan sampai tercedera. Kalau nak ubah pasu, Lisa panggil Pak Dollah, ya,” kata Datin Rabiatul dengan nada lembut. Matanya mengerling pembantu rumahnya itu. Nurlisa berbaju T lengan panjang.  Berseluar sukan warna biru. Baju pemberian Datin Rabiatul.  Baju-baju yang tidak dipakai lagi oleh Adzman dan Aldi. “Hmm… bila lagi temu janji Lisa dengan doktor?”  tanya Datin Rabiatul lagi sambil menyembur semut yang mengelilingi pasu pokok keladi. Walaupun mempunyai ramai pembantu rumah, dia bukanlah jenis wanita yang suka bersenang lenang dan tidak mahu melakukan suatu kerja pun. Dua tiga minggu sekali dia akan melakukan sendiri semua kerja-kerja di rumah itu jika ada kesempatan. “Kaki saya sudah baik, mak cik. Hmm… tak payah jumpa doktor lagilah mak cik.” Nurlisa rasa keberatan memberitahu tarikh temu janjinya dengan doktor. Budi baik Datin Rabiatul sudah terlalu banyak terhadapnya.  “Hai! Sejak bila kamu dapat tauliah menjadi doktor ni Lisa?” Datin Rabiatul bersuara agak kuat. Namun tujuannya bukanlah untuk memarahi gadis itu. Gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Tambahan, dia pun tidak memiliki anak perempuan. “Kamu mesti pergi, Lisa! Sewaktu mak cik ambil Lisa untuk bekerja di sini, mak cik dah berjanji dengan mak Lisa untuk menjaga Lisa macam anak sendiri!” pujuk Datin Rabiatul.

“Yalah mak cik! Nanti saya pergi. Temu janji Lisa dengan doktor hari Rabu depan.” Nurlisa mencungkil-cungkil tanah di pangkal pokok asam batu yang berdaun seperti baldu itu.  “Hari Rabu depan. Hmm… Pak Dollah kena bawa mak cik dan datuk ke Pulau Langkawi. Tak apalah Lisa, nanti mak cik minta Adzman tolong bawakan Lisa.” Spontan, Datin Rabiatul memberi cadangan. Cadangan yang amat mengejutkan Nurlisa.   “Adzman?”  Seingatan Nurlisa dia belum sempat bertemu dengan anak lelaki Datin Rabiatul yang bongsu itu. Adzman pun balik ke rumah itu sekejap-sekejap sahaja. Kerap kalinya, sewaktu anak muda itu pulang ke rumah, Nurlisa sedang berada di biliknya atau melakukan kerja di belakang rumah.   “Tak apalah, mak cik. Nanti Lisa pergi sendiri.” Dia berasa serba salah dengan kehendak wanita itu. “Segan?” Datin Rabiatul menyoal pula.  Nurlisa hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda menyetujui apa yang diteka oleh Datin Rabiatul. Yang sebenarnya dengan Adzman pun dia tidak sempat berkenalan dan bertemu muka lagi. Hanya mendengar namanya sahaja. “Tapi, Adzman tu tak boleh diharap sangat. Selalu tidak balik ke rumah ini. Macam inilah. Lisa pergi dengan teksi. Boleh?” Datin Rabiatul memberi cadangan. “Seperkara lagi Lisa, mak cik benar-benar berharap supaya Lisa dapat membantu dan memujuk Aldi.” Datin Rabiatul sedikit mengeluh. Wajahnya muram seketika. Dia bimbangkan masa depan anak sulungnya itu. “Lisa bersabarlah dengan karenahnya, ya. Sebelum ditimpa kemalangan itu, Aldi tidak pernah bersikap kasar dengan sesiapa pun. Cuma dia tu keras kepala sikit. Tapi hatinya baik dan sangat mengambil berat terhadap orang lain.”  Sambil berkata, mata Datin Rabiatul memandang ke wajah Nurlisa.   Nurlisa mendengar dengan teliti apa yang diceritakan oleh Datin Rabiatul berkenaan dengan Aldi. Benarkah lelaki itu sama seperti apa yang digambarkan oleh emaknya? “Dia tu dulu tak banyak cakap orangnya. Kalau bercakap pun berhati-hati sangat. Tambah-tambah dengan mak cik ni, bercakap kasar memang tak pernah walaupun sekali. Bila dia jadi begitu, mak cik rasa mak cik dah kehilangan anak mak cik.” Nada suara Datin Rabiatul seolah bersedih. “Insya-ALLAH, mak cik. Saya akan cuba.” Nurlisa berjanji. Apa lagi yang hendak dikatakannya jika orang sudah berharap. Suara tengkingan Aldi seolah terngiang-ngiang di telinganya.  “Lisa tengok tu. Aldi sedang mengintai kita dari sebalik langsir di biliknya. Sedari tadi mak cik perhatikan. Dia tak bergerak-gerak dari belakang langsir tu. Sebenarnya dia ada keinginan untuk bersama kita semula tetapi dia tu dah jadi ego. Bongkak. Tak mau redha menerima ketentuan ALLAH!  Lisa pujuk dia perlahan-lahan, ya. Manalah tahu lembut hati anak sulung mak cik tu!” Datin Rabiatul menarik tangan Nurlisa supaya mengikutnya berselindung di sebalik pokok jambu yang rendang dan berbuah merah itu. Dari celahan daun-daun jambu itulah, kedua mereka mengintai pula telatah Aldi yang masih berada di sebalik langsir di jendela.  Datin Rabiatul tertawa kecil melihat telatah anaknya itu, namun Nurlisa hanya mendiamkan dirinya. Perasaan simpatinya semakin melebar. PAGI itu cuaca amat cerah sekali. Awan memutih, langit membiru. Bunga-bunga sudah berkembangan. Embun di taman sudah mengering tetapi kamar itu tetap berwajah muram dan bergedup. Langsir tidak pernah dirungkaikan daripada ikatannya. Kaca jendela tidak pernah bergerak dari gelansarnya.

Bunga-bunga di jambangan yang diletakkan di beberapa sudut sudah kering dan menghitam. Ada bau hapak dan pengap. Aldi akan mengamuk jika Bibik Sunarti ingin mengemas dan membuang bunga-bunga yang sudah mengering dan kehitaman itu. Aldi masih di atas kerusi rodanya. Matanya melihat ke hujung katilnya. Semalam sebelum tidur dia telah melonggokkan beberapa buah buku bersama sehelai blaus kesayangan Arishal. Pagi ini semuanya telah hilang daripada pandangan mata. Tempat longgokan bukunya semalam telah digantikan dengan senaskah al-Quran dan sejadah serta dua buah buku lagi yang tidak diketahui judulnya. Dia tidak berminat untuk menyentuhnya apatah lagi untuk membaca buku-buku itu.   Hatinya tiba-tiba menjadi berang. Teringat kepada gadis kecil molek itu. Mungkin dia yang meletakkan barang-barang itu di atas katilnya sewaktu dirinya masih lena. “Budak!” Pantas tangannya menekan punat interkom berhampiran meja kecil di sisi katil. Lalu suaranya bergema di seluruh ruang di rumah itu. “Budak!” Aldi terus memekik-mekik dari biliknya memanggil Nurlisa. Di perkarangan vila, Nurlisa sedang membedek-bedek bunga-bunga orkid yang sedang berkembangan terkejut mendengar jeritan Aldi. Terhencut-hencut gadis itu kembali ke dalam rumah. “Lisa! Tak payah naik ke atas sana! Biar dia menjerit begitu! Dia memang begitu. Nanti bila Lisa naik, dia akan mengusir Lisa keluar dari biliknya. Biar ibu saja yang menguruskan anak itu. Lisa teruskan dengan kerja di luar sana,” kata Sunarti. “Tapi, dia panggil saya!” Nurlisa menjadi serba salah seketika. Teringat pula janji yang telah dibuatnya bersama dengan Datin Rabiatul. Dia akan bersabar dengan karenah Aldi.  Membantunya sehingga dia sembuh.  Kalau boleh biarlah Aldi dapat menjalani kehidupan yang normal kembali. “Tak apa,” ujar Sunarti sambil melangkahkan kakinya menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas rumah itu. “Bibik, nanti Encik Aldi meradang!” Suara Nurlisa seolah meminta pengertian daripada wanita separuh umur itu. “Biarkan dia meradang! Kadang-kadang panggil, sekejapan kemudian sudah diusir kita seolah anjing!” Bibik Sunarti seolah merungut.   Mahu tidak mahu, Nurlisa terpaksa akur dengan nasihat Bibik Sunarti. Bukankah Bibik Sunarti orang yang lebih tua darinya. Tambahan pula dia telah lama bekerja di situ. “Kenapa ni Aldi! Pagi-pagi lagi sudah ribut-ribut, marah-marah?” Bibik Sunarti menghampiri Aldi yang masih tersandar di kerusi rodanya. Wajah Aldi yang murung dan masam mencuka direnungnya.   “Kenapa bibik yang naik ke sini? Budak itu mana?”   Sunarti pula dimarahi Aldi. Dia menjegilkan matanya apabila memandang Bibik Sunarti. Nafasnya kencang tanda perasaan berangnya sudah mulai membakar hati. “Budak mana?” Sunarti berpura-pura tidak mengerti.  Matanya merenung Aldi yang duduk di kerusi roda.

Aldi kelihatan gelisah. Sepagi ini dia belum melihat wajah gadis itu. Mungkin awal pagi tadi Nurlisa ada datang ke bilik untuk mengejutkannya tetapi dia masih lena. Kerusi roda digerakkannya ke depan dan ke belakang. “Buang tu semua! Aku tak mahu tengok! Tak mahu!!!”  Aldi terus memekik sambil menudingkan tangannya ke arah sejadah, buku serta al-Quran yang terlonggok di sudut katilnya.  “Masyaallah! Aduh! Aduh! Anak ini! Kerana sehelai sejadah dan al-Quran marah-marah begini, ya?” Sunarti mencapai sejadah tersebut lalu menyimpannya di dalam almari. Al-Quran dan buku-buku diletaknya kembali di almari buku. Setelah itu wanita tua itu terus meninggalkan Aldi bersendirian.   Aldi menolak kerusi rodanya ke tepi jendela. Dari sebalik langsir berwarna ungu muda itu, dia mengintai ke perkarangan rumah. Dia memerhatikan gadis tempang itu menyiram pokok-pokok bunga yang banyak tertanam di sekeliling vila itu. Semenjak dipelihara rapi, pokok-pokok bunga itu berbunga lebat. Mawar, orkid, bunga raya bermacam warna, bunga kertas dan semuanya nampak berseri dan berwarna warni.  Dia juga dapat mendengar dengan jelas suara tawa Nurlisa yang sedang bergurau dan berbual dengan Wak Dollah sambil menyiram bunga. Hatinya bagai disiat-siat. Sudah lama dia tidak merasai keriangan itu. Segala keriangan seolah sudah berakhir di hatinya. “Bibik!” Wanita tua itu pula yang dipanggil. Beberapa ketika kemudian, Bibik Sunarti sampai di sisinya. “Bibik! Saya mahu ke taman! Panggil budak itu ke sini!” Aldi memberi arahan. “Alah! Kalau nak Aldi mahu ke taman, bibik pun boleh tolakkan kerusi ni. Si Lisa kan kakinya masih belum sembuh betul. Kasihan dia.” Sunarti membujuk dengan suara yang lembut. Mujur pemuda itu dapat menerima pujukan daripada Bibik Sunarti.  Dia hanya mendiamkan diri apabila pembantu rumahnya itu menolak kerusi rodanya dan membawanya ke taman di Vila Kencana Emas itu. “Tinggalkan saya di sini, bibik!” Aldi memberi arahan apabila kerusi rodanya yang didudukinya sudah berada hampir dengan  kolam di tepi rumah. Suaranya tetap seperti selalu. Tegas dan tegang. Sepeninggalan Sunarti, Aldi cuba menggerak-gerakkan kerusi rodanya sendiri di atas rumput-rumput di halaman vila itu. Dari kejauhan, dia memerhatikan Nurlisa melakukan kerja dengan tekun. Menyiram pokok bunga dan mengubah kedudukan pasu-pasu mengikut kesesuaiannya walaupun dalam keadaan yang amat payah.  Apabila hendak bergerak jauh, gadis itu akan menggunakan tongkat. Bila hendak bergerak dengan jarak yang dekat, dia akan berpaut kepada para-para yang menempatkan pasu-pasu di taman itu. Sekiranya dia ingin mengubah pasu yang berada di kedudukan atas tanah, gadis itu akan duduk dan mengesot perlahan-lahan sambil menolak pasu dengan tangannya. “Wak! Tolong angkat pasu yang ini!”  Terdengar suara Nurlisa di telinga Aldi. Suara gadis itu kedengaran riang dan ceria. Pada waktu itu Nurlisa sedang duduk di atas rumput. “Perlahan-lahan, Wak. Di depan tu ada lubang.”  Jeritan kecil Nurlisa itu menarik perhatian Aldi yang berada beberapa meter dari tempat Wak Dollah dan Nurlisa sedang bekerja. Lelaki tua itu tidak menghiraukan pesanan daripada gadis itu. Dia mengangkat pasu dan melangkah dengan gagah. “Allah hu akhbar…” Kaki Wak Dollah terseradung timbunan tanah lalu terjatuh. Pasu yang ditangan terlepas dan tergolek di atas tanah. Dia terjatuh bagaikan seekor katak. “Wak!” Nurlisa menerpa dengan merangkak ke arah lelaki separuh umur itu.

Wak Dollah bangun dan ketawa berderai. “Dah lama Wak tak tangkap katak!”  Dia cuba bergurau dengan gadis itu sambil ketawa.   Nurlisa turut ketawa bersama. Suara tawa mereka membuatkan hati kecil Aldi berasa cemburu. “Nasib baik Wak tak terbaham tanah.” Dia ketawa tanpa menyedari ada sepasang telinga yang sedang mencuri dengar tawa riangnya. Tanpa disedari, Aldi sudah menggerakkan kerusi rodanya hampir dengan mereka. Ketawa Nurlisa terhenti.  Wak Dollah terus menyapa Aldi yang berwajah muram. “Budak tu rajin dan kuat semangat!” Suara Wak Dollah tiba-tiba menyinggahi telinga Aldi. Wak Dollah kelihatan berpeluh-peluh kerana menyapu daun-daun kering di sekitar taman mini di situ.   Aldi tidak mengulas apa-apa. Dia terus memerhatikan Nurlisa. “Dia melakukan segalanya tanpa rungutan dan bersabar.”  Wak Dollah terus memuji-muji Nurlisa di hadapan Aldi. “Kecacatannya diterima dengan redha!”  Kata-kata Wak Dollah langsung tidak menarik perhatian Aldi. Yang lebih menarik perhatiannya hanyalah gadis itu.  Gadis yang terhencut-hencut berjalan ke sana dan ke sini menyelesaikan tugas yang diberi dengan senyuman. “Saya nak balik ke bilik saya!” Aldi benar-benar berasa malu dengan dirinya sendiri. Apabila mendengar kata-kata pujian Wak Dollah terhadap Nurlisa dan melihat telatah gadis itu yang cukup tabah melakukan itu dan ini, dia merasakan yang dirinya terlalu lemah. Mahu tak mahu lelaki itu berusaha sedaya upaya menggerakkan tayar kerusi rodanya dengan seluruh kudratnya yang ada. Dirinya terasa amat kecil. Mampukah dia terus bertahan dalam keadaannya yang seperti itu? PEJAM celik, pejam celik sudah hampir empat bulan Nurlisa bekerja sebagai pembantu rumah di Vila Kencana Emas itu. Setiap hari dia menjalankan tugas rutin di kamar Aldi.  Namun kerap kalinya Aldi menghalangnya. Lelaki itu lebih rela keadaan biliknya berselerak, muram dan hapak. Suasana bilik seolah menggambarkan hatinya yang gelap dan tidak bercahaya. “Encik Aldi, boleh saya buka tingkap bilik encik?”  Nurlisa memberanikan diri meminta kebenaran daripada Aldi pada suatu pagi. Dia berasa rimas dengan keadaan bilik itu.  Mujurlah bukan dirinya yang menghuni bilik itu. Dia hanya datang sekejap-sekejap untuk menjenguk Aldi sekiranya ada perkara yang perlu dibantu.  Namun kadangkala, lelaki itu yang akan memanggilnya melalui interkom yang suaranya berkumandang di seluruh rumah itu. Budak! Itulah yang akan dilaungkan oleh Aldi dan gadis itu akan terhencut-hencut dengan kakinya yang tempang menaiki tangga menuju ke tingkat atas. “Tak usah!” Aldi melarang tegas. Dia yang sedang duduk di atas kerusi rodanya memandang ke wajah gadis itu sekilas. Nurlisa mempunyai kecantikan yang tersendiri.  Berkulit cerah dan berwajah tenang serta bersih. Matanya yang lembut dan redup dihiasi dengan bulu mata panjang lurus. Tanpa mengukir senyuman pun, wajah gadis itu tetap kelihatan manis. Mungkin kerana lesung pipit yang comel di hujung kedua bibirnya itu. Menggerakkan bibirnya untuk mengucapkan sesuatu pun, dia seolah sedang tersenyum. “Encik, sudi tak jika saya bawa encik bersiar-siar ke taman.” Nurlisa cuba memujuk dengan lembut dan sabar.  Wak Dollah telah memberitahunya bahawa Aldi sudah lama tidak keluar dari bilik itu. Bukan itu sahaja. Aldi juga tidak berbual dengan orang lebih lama daripada itu. Bercakap sekadar yang perlu sahaja. Selebihnya dia akan mendiamkan diri dan berkurung di dalam bilik itu.

Sepanjang tempoh dia bekerja di situ, Aldi hanya keluar dari bilik itu ke halaman rumah dua kali. Iaitu pada hari pertama Nurlisa bertugas di situ dan hari Wak Dollah terjatuh kerana mengangkat pasu. Selepas hari itu, Aldi tetap berkurung di dalam bilik dan termenung di sisi jendela tanpa jemu. “Tak mahu! Pergi! Aku tak mahu diganggu! Leave me alone!” Aldi bersuara agak kuat dan keras nadanya. Matanya terus memandang keluar jendela tanpa berkelip. Sebenarnya dia sentiasa menunggu-nunggu dan sentiasa memerhatikan kehadiran gadis itu di muka pintu. Apabila gadis itu berada di dalam kamarnya, dia berpura-pura tidak menginginkan kehadiran gadis itu.   “Tapi…” Nurlisa merenung wajah Aldi yang sedang menggerakkan kerusi rodanya ke arah almari buku yang bercermin kaca tidak jauh dari jendela. “Leave me alone!” Bagai petir, suara Aldi memekik sambil menghentak cermin kaca pada almari berkali-kali.  Bergemerincingan bunyi kaca itu pecah dan berderai di atas karpet. “Keluar!!!” Sekali lagi dia bersuara seumpama petir mengusir Nurlisa dari biliknya. Nurlisa terkejut. Untuk mengelakkan Aldi semakin mengganas dan kemungkinan mencederakan dirinya, gadis itu terpaksa keluar dari bilik itu. Namun kekerasan suara Aldi kali ini tidak lagi boleh merebakkan kolam matanya.   “Bibik! Bibik! Tolong bibik!” panggil Nurlisa sebaik sahaja melihat kelibat Bibik Sunarti di dapur. “Mengapa? Orang itu mengamuk lagi?” Sunarti cuba meneka. Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya. “Bibik! Dia tumbuk almari buku. Habis pecah cermin kaca! Jomlah bibik, tolong tengok. Tangannya sudah berdarah tadi!” Nurlisa mengadu kepada Bibik Sunarti dengan suara yang cemas dan risau.   “Eh! Anak itu tak habis-habis amuknya! Lisa pergi naik dulu, sekejap lagi bibik pergi tengok!” Bibik Sunarti bersuara perlahan. Dia sudah bosan dengan amukan dan sikap panas baran Aldi.  Dengan perasaan yang berbelah bahagi, Nurlisa gagahkan diri masuk ke bilik Aldi. Perlahan-lahan daun pintu bilik itu dikuak sambil menjengukkan kepalanya memerhatikan keadaan Aldi yang masih berada di tempat tadi, tidak bergerak walau seinci.   ‘Astaghfirullahaladzim!!!’ bisik Nurlisa di dalam hatinya apabila melihat keadaan Aldi. Kanan dan kiri telapak tangannya dipenuhi darah. Dia rasa sangat bersalah. Kalau tidak kerana dia membantah percakapan Aldi tadi, sudah tentu perkara itu tidak berlaku. “Aldi! Subhanallah! Mengapa jadi begini nak oiii!!!”  jerit Bibik Sunarti yang baru muncul di bilik itu. Dia mencapai tangan Aldi dan melihat kecederaannya. “Lisa, pergi ambil vakum dan bersihkan semua kaca-kaca ni! Biar bibik bersihkan luka Aldi. Nanti bawa kotak ubat sekali.”  Bibik Sunarti mengarahkan Nurlisa yang sedang mengutip kaca yang jatuh di pangkuan Aldi.  “Lisa?” Aldi yang sedari tadi mendiamkan dirinya bersuara kuat dan matanya mencerlang pada Bibik Sunarti apabila mendengar kata-kata wanita itu. Kemudian matanya beralih ke kaki Nurlisa. Nurlisa yang berdiri di hadapannya dengan tongkat di celah ketiak kirinya. “Aduh! Bibik lupa! Maaf! Tak apa! Biar bibik yang pergi ambil. Lisa cucikan luka di tangan Aldi.” Bibik Sunarti membantu menolakn kerusi Aldi ke singki yang berhampiran diekori Nurlisa. Permaidani yang berselerakan dengan kaca dilipat dua untuk mengelakkan Nurlisa terpijak kaca sewaktu berjalan terhencut-hencut dengan tongkatnya. Wajah Aldi masam mencuka. Perasaannya bercampur baur. Sesal. Marah. Kecewa dengan diri sendiri. Namun hatinya akan terlebih sakit lagi jika dia bersama wanita Indonesia itu di dalam kamarnya.

Nurlisa semakin rasa serba salah dengan tugas barunya itu. Perasaan malu mengintip di kalbu. Walau bagaimanapun, dia mencapai juga tangan Aldi dan membuka paip di singki dengan aliran air yang perlahan. Di bawah aliran air itu dia mencuci tapak tangan Aldi yang luka dengan berhati-hati dan penuh kelembutan. “Aduh!” Aldi terjerit kecil apabila terasa tapak tangannya ada benda yang mencucuk dan menghiris.   Nurlisa memberhentikan cuciannya. Wajahnya ditundukkan untuk melihat tapak tangan Aldi dengan jarak yang lebih dekat. “Ada kaca ni! Saya keluarkan. Minta maaf encik, saya terpaksa tekan tapak tangan ni!” Dengan penuh kelembutan, Nurlisa cuba mengeluarkan sisa kaca daripada tapak tangan lelaki itu. Telapak tangan Aldi didekatkan dengan matanya untuk melihat serpihan kaca yang halus itu. Hembusan nafasnya menyentuhi tangan lelaki itu.   Dahi Aldi berkerut-kerut menahan pedih sewaktu Nurlisa cuba mengeluarkan serpihan kaca. “Nah! Lisa, ada ubat luka dan plaster serta kapas. Lepas cuci dengan air tu, cuci dengan anti kuman ni. Setelah itu, letak ubat luka dan balut.” Selepas itu, Sunarti meneruskan tugasnya menvakum bilik itu dan mengutip semua kaca-kaca yang tidak mampu disedut oleh vakum. Aldi diam seribu bahasa. Satu demi satu tangannya dibersihkan oleh Nurlisa. Dia hanya memerhatikan wajah gadis itu dari jarak yang amat dekat. Alisnya, bulu matanya yang panjang dan lurus serta lebat, bibirnya, pipinya, giginya yang kelihatan apabila dia bersuara bagaikan mutiara yang tersusun. Segala-gala yang ada pada diri gadis itu menarik hatinya.  Nurlisa tersenyum setiap kali pandangan mata mereka bertemu. Senyuman itu begitu indah.  Menatap indahnya senyuman di wajah gadis itu, membuatkan Aldi terdiam dan terpaku. Hanya senyumannya yang membeku. Dia tetap berwajah kering dan selamba. “Bibik!  Saya belum sarapan!”  Terasa perut berkeroncong, barulah lelaki itu bersuara tatkala Nurlisa sedang meletakkan ubat luka di tapak tangan dan jari jemarinya dengan sabar. “Oh! Bibik terlupa. Sebentar ya. Bibik siapkan ini dulu.  Nanti bibik bawa naik ke sini,” jawab Sunarti. “Budak! Suap aku makan!” Aldi bersuara garang sebaik sahaja Nurlisa selesai merawat tangannya dan makanan telah dihidangkan Bibik Sunarti di meja makan di bilik itu.  Nurlisa dan Bibik Sunarti saling pandang memandang.  Sunarti menganggukkan kepalanya lalu meninggalkan mereka berdua di situ. Sukar sungguh memahami anak lelaki majikannya itu.  Nurlisa mengambil sudu dan mencedokkan makanan yang disajikan menggunakan sudu. Sudu yang berisi makanan disuakan ke mulut Aldi. Lelaki itu merapatkan bibirnya. Berkali-kali Nurlisa cuba menyuap tetapi Aldi enggan membuka mulutnya.  “Kenapa, encik?”  Nurlisa menyoal dengan lembut sambil bibirnya tersenyum lagi.  Matanya memerhati makanan yang tersaji. Spageti goreng itu nampaknya menyelerakan tetapi mengapa Aldi enggan makan? “Suap dengan tangan!”   Permintaan daripada Aldi seolah meruntuhkan perasaan Nurlisa. Masakan lelaki itu mahu makan, makanan yang disuap oleh tangannya.  Kalau makan nasi, tidaklah menjadi halangan. Mahu atau tidak, permintaan itu diturutinya juga. Dia menyuap Aldi dengan sabar. Tambahan pula mengenangkan yang tangan lelaki itu mengalami kecederaan.

****

“BUAT apa kamu datang ke sini?” Aldi terkejut dengan kehadiran Nurlisa yang tiba-tiba muncul di hadapannya pada pagi itu. Dia sedang bermenung di balkoni. Lamunannya terhenti tiba-tiba. Yang dilamunkannya pun hanyalah gadis itu. Gadis yang tabah dan sabar, miliki keistimewaan yang tersendiri.  Hatinya mulai rindu jika tidak dapat merenung wajah gadis itu dalam sehari. Bukan sahaja sehari. Bahkan sejam pun dia berasa sudah terlalu lama. Bibirnya mengukir senyuman apabila terkenangkan detik-detik gadis itu mencuci tangannya sewaktu dia mengalami kecederaan semalam. Saat itu amat indah dirasakannya. Namun senyuman itu segera hilang apabila menyedari Nurlisa berada di sampingnya.  Wajahnya kembali serius.  “Bibik suruh tanya encik, tengah hari ini encik nak makan apa?” Nurlisa bertanya dengan lembut. Matanya menatap wajah Aldi.  Aldi diam. Nurlisa menunggu dengan sabar. Aldi menggerak-gerakkan kerusi rodanya di sekitar balkoni.  “Terubuk bakar!” Suara Aldi agak perlahan.  “Yang lain encik?” Nurlisa bertanya lagi. Bimbang jika disaji makanan yang tidak bertepatan dengan seleranya, makanan yang disajikan akan menjadi santapan permaidani.   Aldi hanya diam. “Saya beritahu bibik, ya.” Nurlisa melemparkan senyumannya kepada lelaki itu walaupun tidak pernah mendapat balasan sebelum beredar dari situ. Beberapa minit kemudian, gadis itu muncul lagi.   “Err… encik! Bibik suruh saya…”  Nurlisa tergagap-gagap apabila Aldi merenung tajam kepadanya. “Bibik suruh saya cuci luka di tangan encik!” Sambungnya. Dia bimbang, Aldi akan melenting dengan permintaannya itu.   Aldi diam, namun perlahan-lahan dia menggerakkan kerusi rodanya menuju ke bilik dan terus ke singki. Di situ Nurlisa telah menyiapkan peralatannya.  “Alhamdulillah. Luka-luka di tapak tangan encik ni, tidak bernanah,” ujar Nurlisa sambil matanya menumpu kepada tapak tangan Aldi yang luka masih ada calar-calarnya.   Aldi memasamkan mukanya. Tidak memberi respons kepada kata-kata gadis itu. “Nanti kamu suapkan aku makan tengah hari!” Dia memberi arahan sebaik sahaja Nurlisa menyelesaikan tugasnya dan beredar daripada bilik itu.   Nurlisa tidak menjawab. Dia akur dengan kehendak Aldi kerana memahami situasi lelaki itu pada waktu itu.  Kedua-dua tanganya luka. Jari jemarinya pun luka. Hampir kesemua jarinya dibalut dengan plaster.   TERUBUK bakar sudah tersaji di atas meja. Air asam yang disediakan oleh Sunarti begitu menyelerakan sekali. Sayur campur goreng mungkin akan membuka selera Aldi kerana warna-warna sayurannya.  Kuahnya likat. Udang serta sotong menjadi rencahnya. Pencuci mulut, puding sago berkuah.   Nurlisa menanti dengan sabar arahan lelaki itu. Pinggan nasi sudah berada ditangannya. Sekiranya Aldi enggan duduk di meja makan, tugasnya menjadi rumit. Bagaimana hendak menyuap nasi berlaukkan terubuk bakar yang banyak tulang itu, yang pastinya perlu dicicah dengan air asam terlebih dahulu? Kalau dicurahkan dengan air asam awal-awal,  ikannya akan menjadi kembang pula dan tidak menyelerakan lagi.

Dengan lafaz bismillah, dia memulakan tugasnya menyuap Aldi. Nurlisa melakukan segalanya dengan sabar tanpa bersuara. Tugasnya dilakukan tanpa rungutan. Dia bersyukur kerana Aldi nampaknya berselera untuk makan. Mudah-mudahan dia segera sembuh. Diberi pertunjuk dan hidayah oleh ALLAH dan kembali seperti dulu. Begitulah doanya di dalam hati dan setiap kali selepas bersolat. Sama ada solat wajib atau solat sunat. Dia mendoakan untuk semua orang.    Aldi memerhatikan gelagat Nurlisa memisahkan tulang ikan terubuk daripada isinya tanpa berkelip dan bibir yang terkunci. Gadis itu melakukan segalanya dengan sabar dan tekun. Sebelum gumpalan isi ikan terubuk itu dicicahkannya dalam air asam, Nurlisa memperhatikannya sekali lagi kalau-kalau ada tulang yang masih terlekat. Barulah disuapkannya ke dalam mulut Aldi yang mengangakan mulutnya macam anak burung. “Minta maaflah encik, kalau masih ada tulang yang saya tidak nampak,” ucap gadis itu sambil tersenyum apabila memandang Aldi.   Aldi tetap berwajah selamba sambil mengunyah perlahan gumpalan nasi bercampur lauk yang telah menghuni mulutnya. Tiba-tiba kunyahannya terhenti. Ada tulang yang mencucuk lelangitnya. Dia tersedak.   “Tulang ke encik? Maaf, saya tak nampak.” Suara Nurlisa agak terketar.  Dia bimbang Aldi akan mengamuk lalu menolak serta menepis pinggan mangkuk yang di sisi lengannya.  Namun lelaki itu tidak menunjukkan wajah marah.   “Tapak tangan kamu!” Aldi bersuara kasar sambil menolak tulang dari dalam mulutnya ke hujung lidahnya lalu dikapit dengan gigi kacipnya. Tanpa membantah Nurlisa menadah tapak tangannya di tepi bibir lelaki itu. Lantas, tulang-tulang halus yang terkumpul dua tiga diluahkannya di atas tapak tangan gadis itu.   Nurlisa membuang tulang-tulang itu ke dalam bekas yang disediakannya dari tadi lalu membasuh tangan. Tugasnya untuk menyuap lelaki itu makan diteruskan semula dengan sabar dan senyuman. “Nak tambah nasi lagi, encik?” Barulah dia bersuara sebaik sahaja sampai ke suapan yang terakhir.   Aldi menggelengkan kepalanya.  Nurlisa menghampirkan pula gelas minuman ke bibir Aldi. Bagaikan anak kecil yang disuapkan oleh ibunya, Aldi mencicip air minuman itu perlahan-lahan. Dia memandang ke arah lain, apabila gadis itu merenungnya. “Encik nak makan puding?” soal Nurlisa sambil matanya merenung ke wajah lelaki itu. Mata mereka bertentangan lagi. Kali ini Aldi membalas renungannya seketika sebelum membuang pandangan ke arah lain. “Sikit saja!” Aldi menjawab agak perlahan. Nadanya masih seperti selalu. Keras dan tegang. Tiada kemesraan. Segalanya seolah asing. Lelaki itu hanya membatukan dirinya apabila Nurlisa mengesatkan sekitar bibirnya yang basah dengan tisu. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia meninggalkan Nurlisa seorang diri di meja makan itu.    Nurlisa memahami yang Aldi tidak mahu makan lagi. Dia menyusun pinggan mangkuk ke atas troli dan ingin beredar dari bilik itu. Sebentar lagi, Sunarti akan membawa turun semua pinggan mangkuk itu ke dapur. “Jangan pergi!”  Aldi tiba-tiba bersuara. Tanpa gadis itu di sisinya dia berasa kesuraman di hatinya bertambah menebal.  Kesuraman jiwanya kian lama seolah disuluhi cahaya apabila gadis itu berada di sampingnya. Hatinya berasa tenang dan damai untuk beberapa ketika. Apabila ditinggalkan keseorangan, dia berasa seolah ditusuk buluh runcing yang amat tajam. Tusukan itu membawa rasa sakit ke seluruh urat sarafnya. Perasaan itu sudah dirasakannya lama. Sejak kali pertama melihat gadis itu.  Perasaan itu bertambah dari saat ke saat. Hari demi hari.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66604/sebelum-nafas-terhenti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *