[SNEAK PEEK] REVENGE

REVENGE Oleh Muhammad Fatrim

ARIANA CITRA memandu kereta Audi R8 menuju ke Crystal Suria Holdings. Hari ini dia akan memulakan tugas sebagai Setiausaha merangkap Pembantu Peribadi kepada Megat Huzair di Crystal Suria Holdings. Dia akan membantu Megat Huzair dalam banyak perkara. Kemasukan Ariana Citra ke syarikat itu bukanlah jalan pintas, sebaliknya dia telah menjalani temuduga secara online yang dikendalikan oleh bahagian sumber manusia Crystal Suria Holdings yang membolehkan dia ditugaskan jawatan tersebut.

Ariana Citra tahu, kelulusan serta pengalaman yang dia miliki sebagai graduan undang-undang adalah salah satu kelebihan yang membolehkan dia ditawarkan tugasan tersebut. Tapi itu pun bukanlah satu kelebihan buat dirinya. Alam arena pekerjaan masih ramai lagi orang yang berkemampuan. Ariana Citra perlu meyakinkan yang dia benar-benar layak. Nasib baiklah dia tahu lebih awal mengenai kekosongan jawatan itu. Jika tidak, Ariana Citra akan masuk ke dalam syarikat itu juga tapi dengan jawatan yang lain.

“Ya Allah, Ya Tuhanku… Permudahkanlah semua urusan aku hari ini.” Ariana Citra berdoa. Dia tidak tahu kemungkinan apa yang akan mendatang atau langkah permulaan. Baginya semua itu akan terus dijalankan apabila kakinya melangkah masuk.

Jejak saja kakinya ke pintu masuk syarikat, dia melihatnya betapa gahnya Crystal Suria Holdings yang dibina datuknya Tan Sri Abdullah dengan darah dan kudrat sehingga ia mampu gah begitu membuatkan tekad Ariana Citra untuk merampasnya kembali menggunung.

“Ariana Citra janji atas nama datuk dan atas nama mama yang suatu hari nanti, semua ni akan jadi milik kita kembali. Ariana Citra janji, mama.” Ariana Citra berdesis sendiri melangkah perlahan menuju ke lif.

Ariana Citra masih tak percaya betapa mudahnya seorang peguam syarikat merampas sebuah syarikat dengan nilai berbilion ringgit tersebut hanya dengan penipuan cinta dan perkahwinan. Syarikat Crystal Suria Holdings yang mempunyai hartanah, perhotelan dan pelancongan itu memiliki pelbagai hotel dan resort di pelbagai tempat. Tiada satu sen pun duit yang diberikan kepada ibunya Khadijah dan tiada satu sen pun digunakan untuk Ariana Citra sendiri selepas umurnya 7 tahun. Jika dikirakan kejamnya seorang lelaki bernama Zakaria Abdullah itu kepada dirinya membuatkan Ariana Citra tidak tahu bagaimana dia akan berkompromi selepas 17 tahun dia diabaikan.

Ini darah keringat atuk. Mulai hari ini aku sendiri menganggap aku bukan lagi anak kau, Zakaria. Aku Ariana Citra akan mengambil hak aku! Ini semua hak Ariana Citra, bukan orang luar! Ariana Citra segera melangkah dengan tekad.

Masuk saja di dalam lif Ariana Citra terus menekan tingkat lif di mana dia akan bertemu dengan orang atasan syarikat.

“Tunggu!”

Sebaik saja mendengar suara tersebut segera Ariana Citra menekan punat buka lif.

Seorang lelaki masuk. Kacak dan bergaya.

“Terima kasih, cik.”

“Terima kasih kembali.” Ariana Citra membalas. Dan apabila diamati. Ariana Citra tahu, dia sedang berdepan dengan antara tiga daripada anak Zahara. Semalam bertemu Megat Huzair, hari ini bertemu pula dengan Khai Huzair, anak kedua Zahara dan ayahnya.

“Encik di tingkat mana?” tanya Ariana Citra sekilas.

“Lif dah gerak. Saya tak payah tekan. Mungkin kita sama tempat.” Khai Huzair menjawab.

Ting!

Sekejap saja lif tersebut tiba di aras 20. Ariana Citra dan Khai Huzair keluar.

By the way, cik ada urusan apa dekat sini?” tanya Khai Huzair, riak wajahnya bak pelakon Azlee Khairi, serius tapi sopan.

“Saya Dewi Uqasha. Setiausaha merangkap Pembantu Peribadi CEO Crystal Suria Holdings yang baru nak melapor diri.” Ariana Citra memberitahu sekali gus memperkenalkan dirinya.

“Okey. Awal kita bertemu. Saya Khai Huzair, orang yang berbalas e-mel dengan awak sebelum ni. Saya Pengurus Kanan Crystal Suria Holdings yang juga uruskan human resource department.” 

“Saya tahu,” balas Ariana Citra spontan.

“Macam mana awak tahu?”

“Encik Khai Huzair perkenalkan diri tadi. Tak ingat, ya?”

“Okey. My mistake. By the way, CEO tak ada buat masa ni. Tapi sepertimana yang awak minta sebelum ni. Saya akan bawa Cik Dewi meninjau syarikat sebagai sesi perkenalan. Tugas Cik Dewi sebenarnya banyak since kami tahu Cik Dewi adalah graduan Undang Undang daripada universiti terkemuka. Crystal Holdings perlukan seorang yang efisien dan tangkas dalam membuat keputusan. Saya tahu Cik Dewi faham apa yang saya maksudkan.”

“Saya faham.”

“Bagus. Saya suka orang macam Cik Dewi. Tak banyak tanya.”

Errr, kalau saya tanya sikit boleh?”

“Baru nak puji. Apa dia?”

“Syarikat ni besar. Kenapa lantik seorang saja peguam syarikat merangkap penasihat undang-undang?”

“Sebab ayah saya adalah orang yang mahir dalam undang-undang. Dia akan meneliti kesemua cadangan dan nasihat daripada peguam syarikat. Dia macam legal advisor dalam syarikat ni. Saya harap itu menjawab soalan.”

“Saya faham.”

Dan benar seperti sangkaan Ariana Citra. Ayahnya masih lagi berkuasa dalam undang-undang syarikat dan pembuat keputusan. Halangan besar ini perlu Ariana Citra hadapi dan untuk itu, dia akan selalu bertemu dengan ayahnya yang dibenci itu!

“Kalau macam tu, mari kita berkenalan dengan para staf. Nanti kalau dah kenal senang bekerjasama. Dekat syarikat ni kami tak mengamalkan sebarang kasta dan mempunyai integriti yang tinggi.”

Integriti? Bapak kau orang rampas harta dan syarikat ni daripada atuk aku dan kau orang pula menjawat jawatan tinggi? Wahai abang-abang tiriku, integriti di sini tak wujud! Ariana Citra geram sendiri.

Khai Huzair membawa Ariana Citra berkenalan dengan staf atasan. Syarikat besar seperti Crystal Suria Holdings mempunyai staf yang sangat ramai. Ariana cuma berkenalan dengan semua ketua-ketua jabatan yang juga terbahagi kepada beberapa bahagian. Usai bersuai kenal, Ariana Citra dibawa ke aras pejabatnya.

“Ini pejabat Cik Dewi. Staf-staf dekat luar ni adalah mereka yang akan membantu Cik Dewi.”

Okey, just a nice office. Thank you.”

“Untuk Cik Dewi, kenalah lawa-lawa macam ni, selawa orangnya.” Khai Huzair memuji, sempat mengangkat keningnya.

“Mind your gap, Mister Khai Huzair.” Ariana Citra membalas.

“Well, harap selesalah on your first day.”

“Thanks again sebab bawa saya meronda.”

“Its okay, most welcome. Enjoy your work here. Kalau ada apa-apa bolehlah hubungi saya. Nak ajak minum ke, makan ke, dinner sama ke…” Khai Huzair sempat lagi menyusun kata-kata, almaklumlah pantang nampak perempuan cantik.

“Well, if you insist. Maybe boleh next time.”

“I mark you word. Okay, see you later, Cik Dewi. Ada kerja nak kena buat. Make yourself comfortable. If you need anything, just tell me.” 

“I will.”

Ariana Citra memerhati Khai Huzair keluar daripada pejabatnya sambil menguntum senyuman.

“Dia ni setahun muda daripada aku atau aku ni kakak dia?” Ariana Citra berteka-teki sendiri, tapi tak mempedulikan. Sekurang-kurangnya, dia dapat mengenali salah seorang daripada anak si ular Zahara.

Melalui pandangan mata kasar Ariana Citra, Khai Huzair tidaklah seperti Megat Huzair, tapi itupun Ariana Citra belum pasti. Ini hari pertama di syarikat, masih belum mengenal sedalamnya lagi peribadi setiap seorang daripada mereka walaupun dia telah ada maklumat mengenai mereka yang diperlukan. Ariana Citra tarik nafas, duduk dan menyelesakan diri. Memandang kiri dan kanan pejabat. Kemudian memegang meja dan menggerakkan tangannya mengusap meja tersebut perlahan.

“Ariana, ini satu permulaan. Ini hari pertama kita. Jejak saja ke sini bererti kita akan mula memasang strategi dari sekarang.” Ariana Citra bersuara kecil penuh tekad.

 

****

DOKTOR rasa dia akan selamat?” Megat Huzair bertanyakan kepada doktor sambil memandang Ariana Citra yang terbaring di atas katil.

“Masa akan menentukan.”

“Tapi berapa lama?”

“Encik Megat kena bersabar.”

“Saya faham dan saya dah menunggu terlalu lama untuk dia.”

“Jangan risau, ingat pada Allah dan kuasanya. Selalulah berdoa.”

Ariana Citra buka matanya. Perlahan-lahan, pandangannya masih kabur. Siling putih kelihatan seolaholah bergerak ke sana sini. Dia pandang sekeliling, bertanya-tanya di mana dia berada. Perkara terakhir yang dia ingat adalah dia ditembak oleh Datin Zahara yang nyawa-nyawa ikan. Ariana Citra masih pandang ke siling, berharap dendamnya sudah berakhir.

Dia juga masih ingat perempuan bertopeng yang menunjukkan video mengenai apa yang berlaku kepada ibunya adalah ibunya sendiri iaitu Khadijah yang selama ini terpaksa berpura-pura gila agar tak diapa-apakan oleh Zahara.

“Dewi, Dewi…”

Dan saat itu juga Ariana Citra dengar namanya disebut, panggilan Dewi yang disebut oleh orang yang tak mengenalinya. Selajur itu matanya terbuka penuh dan pandangannya semakin terang, dia melihat Megat Huzair di sisinya dengan senyuman. Masih memanggil namanya dengan panggilan Dewi, nama palsu yang digunakannya sebagai anak kepada Tan Sri Rashid. Dia masih ingat bagaimana dia bertukar tempat dengan Megat Huzair.

Nuh yang membawanya selepas diselamatkan malam itu meneruskan rencana mereka, mereka kembali ke banglo dengan Ariana Citra sudah siap memakai topeng lateks yang dipasang segera. Sampai saja di sana, Megat Huzair yang berada di luar rumah telah dipengsankan oleh Isa dan Majid, Ariana Citra tahu Megat Huzair takkan sanggup mencederakan ibunya sendiri walaupun telah tahu siapa dirinya yang sebenar. Ariana Citra masuk ke dalam sebagai Megat Huzair dan menunggu kedatangan Farouk.

“Dewi, Dewi tak apa-apa?”

“Me… Megat,” panggilnya perlahan.

“Ya Dewi, syukur kau selamat. Syukur pada Tuhan.”

“Aku dekat mana, Megat?”

“Kita kena serang masa balik lepas dinner dekat Pavilion. Terima kasih lindungi aku, Dewi. Aku berhutang nyawa pada kau. Doktor kata peluru yang terkena di dada kau tak masuk dalam, mereka dah berjaya keluarkan. Aku takut Dewi, aku takut kehilangan kau…”

Megat Huzair pegang erat tangan Ariana Citra. Kemudiannya Ariana Citra tutup mata dan buka matanya kembali.

Aku, aku masih belum mati ditembak Zahara dan semua yang aku ingat selama ni hanya mimpi?’ desis Ariana Citra yang kelihatan sedikit terkejut.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/116169/Revenge

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *