[SNEAK PEEK] PILLOW FIGHT

Pillow Fight Oleh Yussamir Yusof

 

UNTUNG DAPAT SUAMI MACAM DIA

Pernah dengar ungkapan ‘ramai orang boleh bersabar, tetapi tak ramai orang boleh bersyukur?’ Saya mendengar ungkapan ini buat kali pertama daripada seorang penceramah di sebuah program islamik di kaca TV.

Betul ungkapan ini, tidak ramai yang tahu erti bersyukur, malah sering kali mengkufuri nikmat yang diberi. Sebab itu Allah pernah menyatakan perihal syukur dalam al-Quran. Adakah makna syukur hanya terletak pada lidah yang lembut dengan mengucapkan alhamdulillah? Ataupun syukur itu jauh lebih besar maknanya daripada sebuah ungkapan?

Syukur itu adalah redha atas nikmat yang Allah berikan kepada kita. Tidak bermakna ungkapan syukur itu jika hati masih tidak berpuas hati dan tidak redha dengan apa yang diberi.

 

SYUKUR SEORANG ISTERI

“Sayang, bulan ni kita kena berjimat. Abang boleh bagi RM300 je untuk belanja dapur. Duit poket Sayang bulan ni abang tak dapat nak bagi,” beritahu seorang suami selepas pulang dari kerja.

“Alhamdulillah. Tiga ratus tu pun dah cukup banyak. Yang penting, ada rezeki halal yang boleh kita gunakan. Saya ada buatkan kopi untuk abang,” kata si isteri sambil menghulurkan secawan kopi buat suami yang penat mencari rezeki.

Syukur seorang isteri kadangkala membuatkan hati seorang suami berasa lapang. Lapang kerana isteri memahami dan mensyukuri apa yang ada. Bahkan kadangkala, suami tidak perlukan kopi yang panas atau nasi lemak yang sedap bagi menenangkan hati. Cukuplah isteri mengucapkan syukur dan berterima kasih atas usaha mereka.

Betapa ramai keluarga di luar sana yang hidup kaya-raya, tetapi isteri tidak pernah mensyukuri rezeki yang diberi. Malah memarahi suami kerana duit poket tidak pernah cukup-cukup untuk dibelanjakan. Walau kaya-raya, hati tidak pernah tenang dan lapang.

Saya bercerita tentang syukur kerana saya tertarik kepada sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari tentang perkara ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Wahai kaum wanita, bersedekahlah. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan bahawa kalian adalah majoriti penghuni neraka.” Salah seorang wanita yang fasih dan bijak bertanya, “Mengapa, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Kalian banyak melaknat dan derhaka terhadap suami.”
(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menceritakan dengan baik perihal isteri. Hadis ini adalah peringatan kepada isteri, dan pada masa yang sama menyedarkan suami. Seperti yang saya katakan tadi, ungkapan syukur tidak terhad pada lidah yang tidak bertulang. Namun kerana lidah yang tidak bertulang itu jugalah, seorang isteri akan ke syurga ataupun neraka.

SELAMATKAN ISTERI DARI NERAKA

“Abang harap, abang dapat selamatkan Sayang dari api neraka.”

“Kenapa abang cakap macam tu?” soal isteri saya kehairanan.

“Sebab lidah tu tak bertulang.”

Isteri saya bertambah hairan.

Saya hanya tersenyum. “Nanti bacalah tulisan abang, fahamkan betul-betul apa yang abang maksudkan.”

Sanggupkah kita melihat para isteri masuk neraka hanya kerana lidah? Sudah pasti tidak ada seorang suami pun yang sanggup melihat isteri kesayangan mereka ke neraka. Ada isteri yang melawan suami, meninggikan suara, bahkan ada yang keluar tanpa meminta izin suami. Semua itu antara tanda isteri memerlukan bantuan kerana mereka sedang ‘sakit’.

Sakit mereka tidak mempunyai penawar yang tetap, ia bergantung kepada seteruk mana sakit yang sedang dialami. Tidak mudah mengubati penyakit sebegini. Silap-silap, semakin bertambah sakit tersebut. Suami mempunyai peranan yang besar dalam mengubati sakit-sakit ini. Suami perlu mengingatkan isteri bahawa selagi suami tidak menyuruh kepada yang haram, dia wajib taat kerana ketaatan isteri kepada suami adalah jaminan syurganya. Kadangkala para isteri terlupa bahawa jalan paling mudah untuk mereka menuju ke syurga adalah dengan mentaati suami. Itulah jalan paling singkat untuk ke sana selepas mentaati Allah dan Rasul.

 

PENAT BUKAN ALASAN, YANG KECIL HARUS DIBESARKAN

Tidak dinafikan, para isteri banyak bebanannya dalam rumah tangga. Penat menguruskan anak-anak, mengurus rumah, dan menguruskan keperluan suami. Namun, ia bukan alasan untuk isteri mengabaikan hak-hak suami dan sanggup menderhaka dengan lidah mereka. Suka saya memetik tulisan Ustaz Pahrol mengenai perkara ini. Kata beliau:

“Belajarlah daripada Asiyah, isteri kepada Firaun. Walaupun suaminya sejahat-jahat manusia, tetapi dia masih mampu menjadi isteri solehah hasil ketaatan dan kebaikan yang dicurahkan kepada suaminya. Kecuali menyembah tuhan selain Allah, itu sahaja yang tidak dituruti oleh Asiyah. Segala suruhan Firaun yang selain itu dilaksanakannya dengan sepenuh hati. Ertinya, beliau terus melaksanakan perintah yang baik walaupun datangnya daripada seorang yang jahat. Para isteri harus sedar bahawa mereka tidaklah sebaik Asiyah dan suami mereka tidaklah sejahat Firaun. Hanya kadangkala suami terlupa, sedikit berang kerana keletihan, menjadi penyengap kerana ada sesuatu yang dirisaukan, tidak senyum kerana masalah di luar rumah, maka si isteri jadi pemarah, pendendam dan peleter yang tidak mengenal maaf.”

Penat menguruskan rumah tangga ada ganjaran di sisi Allah untuk para isteri. Membuat kerja untuk suami dan keluarga dengan niat mendapatkan keredhaan Allah, adalah kurnia yang sangat besar untuk para isteri.

Sukakah kita apabila ganjaran yang akan diberikan oleh Allah nanti adalah syurga Firdaus yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan? Tidak sukakah kita, apabila kepenatan kita itu nanti akan diganjari ketenangan hati dan kelapangan jiwa?

Masalah pada zaman kini adalah apabila kita terlupa bahawa setiap yang kita lakukan akan mendapat ganjaran daripada Allah. Oleh sebab itu, isteri harus mengingatkan diri bahawa setiap yang mereka lakukan adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan hanya mendapat keredhaan suami.

“Hari tu Yus belikan aku kek. Sedap sangat. Untung dapat suami macam dia.”

Saya terdengar perbualan isteri saya dengan kawannya. Senang hati saya, bahkan berbunga-bunga kerana saya dihargai. Kek itu tidaklah semahal mana, hanya tujuh ringgit, tetapi nilai itu menjadi besar kerana isteri mensyukuri dan memberitahu perkara baik tentang suaminya kepada orang lain.

Para isteri harus pandai memuji suami mereka. Walaupun kadangkala pemberian suami tidaklah seberapa mana nilainya, tetapi nilai ikhlas dan titik peluh mereka mencari rezeki sangat besar. Jangan malu memuji suami kita di hadapan orang.

 

HATI-HATI DENGAN LIDAH

Lunakkanlah lidah bagi menambat hati suami.

Secara teorinya semua orang tahu, tetapi bagi melaksanakannya, seberat batu di atas lembah. Adakah sebab malu?

Psikologinya hanya dengan bahasa yang lembut, intonasi yang lunak, dan adab yang sopan, sudah pasti hati suami akan ‘cair’ dan kasih. Sebaliknya, kata-kata yang kasar dan intonasi yang tinggi akan ditolak secara terang-terangan atau secara diam-diam walaupun isinya benar dan baik. Bukankah Allah telah berpesan kepada Nabi Musa dan juga Nabi Harun supaya berdialog dengan Firaun menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut?

Allah berfirman yang bermaksud:

Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. (43) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut. (44)”
(Surah Thaha 20: ayat 43-44)

Jika kita renungi ayat ini, kita akan dapati manusia akan menerima sesuatu daripada perkataan yang baik dan lunak. Sedangkan dengan Firaun pun Allah memberi arahan untuk bercakap dengan lunak, inikan pula dengan suami sendiri. Para isteri, syurgamu sudah terbuka di hadapanmu. Pilihlah jalan mana yang kalian mahukan, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Menyayangi.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277340/Pillow-Fight

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *