[SNEAK PEEK] PERMAISURI HATIKU

9789670907369-medium
PERMAISURI HATI Oleh Izz Jaja

Prolog

AKU menitiskan air mata tatkala bunyi tangisan bergema di sekitar bilik sederhana besar itu. Kesakitan yang aku tanggung sebentar tadi seakan terbang jauh. Yang ada hanyalah rasa bahagia yang sukar aku terjemahkan dengan kata-kata.

Doktor Haslina sudah tersenyum melihatku. Dia menarik nafas lega. Mungkin bersyukur kerana seorang insan telah selamat lahir ke dunia ini.

“Tahniah sayang… baby boy.” Kudengar suara insan yang paling aku kasihi berbisik di telinga. Dia tersenyum memandangku. Aku tahu kelahiran ini begitu menggembirakan hati lelakinya. Dari dulu kami punya impian untuk mempunyai anak yang ramai.

“Terima kasih sebab sanggup temankan Lina bersalin.” Ujarku lemah. Anak di pangkuan aku riba penuh cinta.

“Cinta kita berdua.” Katanya penuh makna.

Aku mengangguk. Mula berasa lemah. Aku penat sangat. Rasanya mahu sahaja aku tidur.

“Keluarga abang dan keluarga Lina on the way ke sini. Abah tu bukan main gembira lagi bila abang cakap Lina dah bersalin. Kan patutnya minggu depan. Tergesa-gesa diaorang datang sini.” Banyak pula celotehnya. Namun aku hanya setia mendengar.

“Dah fikir nama baby?” soalku sedikit manja.

Dia mengangguk. Tangannya mengusap kepalaku.

“Muhammad Haikal bin Muhammad Nizam, okey tak sayang?”

“Apa-apalah. Asalkan baby kita ada nama.” Ucapku seraya memejamkan mata. Maaf… aku sudah tidak sanggup meneruskan perbualan ini. Kepenatan menyelubungiku. Tiba-tiba, pipiku dikucup lembut. Hatiku diserbu hangat. Selepas itu, aku sudah tidak ingat apa-apa.

****

Bab 1

AKU menggeleng-geleng kepala melihat gelagat Haikal yang sudah boleh berjalan. Penat betul aku melihat tingkahnya. Aku yang tukang tengok ini pun seakan lelah, aku tidak tahulah apa yang dirasai anak kecilku ini. Pipinya aku cubit geram.

Haikal membalas dengan gelak perlahan. Dia menepis manja tanganku.

Nizam yang berbaring di sofa aku pandang penuh cinta. Setiap kali kupandang dirinya, ada cinta yang mengalir. Tiga tahun hidup bersamanya, aku tahu pilihanku tidak salah. Aku mengalih pula pada buku-buku yang berselerakan di meja belajar. Letih rupanya menjadi pelajar dan ibu dalam masa yang sama. Mungkin sebab itu ramai yang menolak berkahwin muda. Tapi aneh, aku boleh mengatasi semua itu, mungkin kerana aku bahagia dengan kehidupanku. Tentulah kadang-kadang perasaan serabut itu ada apabila Haikal meragam sedangkan assignmentku masih banyak lagi yang tertunggak.

Aku berkahwin dengan Nizam seawal umur 19. Dialah cinta pertamaku. Sudah sekian lama aku menyulam cinta dengannya daripada Tingkatan 1, akhirnya kami tekad untuk hidup bersama. Biarpun pada mulanya keputusan kami mendapat tentangan keluarga terutamanya abah dan abang-abangku, akhirnya mereka mula menerima takdir hidup aku.

Aku kini menjadi penuntut di UiTM Kuala Lumpur manakala Nizam pula berada di UPM. Kami bahagia begini sekalipun mungkin ada yang tidak percaya bagaimana aku mampu menerima beban ini tatkala remaja seusiaku masih galak menikmati zaman muda mereka.

“Kenapa Lina termenung ni? Tak baik untuk kandungan tu.” Aku dikejutkan dengan suara Nizam yang sedang tersenyum melihatku. Aku tergelak. Dah bangun nampaknya suamiku ini.

Aku menyentuh perut yang masih tidak kelihatan. Dua bulan yang lalu aku dikejutkan dengan berita kehamilanku buat kali kedua. Aku menerima rezeki ini dengan penuh syukur. Aku tahu Nizam juga menginginkan zuriat cinta ini.

“Abang pergi mandi dulu. Busuklah. Nanti Haikal tak nak dekat dengan ayah dia lagi.” Balasku.

“Kejap lagi abang mandi. Sayang… abang lupalah… abang dah janji nak chat dengan kawan abang dari oversea. Alamak, kesian dia.” Nizam menepuk dahi tiba-tiba lantas cepat-cepat bangun dari perbaringan dan membuka laptopnya.

Aku tergeleng melihatnya. Kata Nizam, dia berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook yang juga mengambil jurusan sama dengannya di luar negara. Mereka saling bertukar pendapat mengenai course masing-masing. Pertama kali aku mendengarnya, macam pelik sahaja hatiku, tetapi bila dia tidak kisah aku menyendeng di sebelah apabila di berchatting dengan ‘pakwenya’ itu, aku tahu dia jujur dalam meluahkan kata-kata.

smallimej
AKU HANYA mampu terkebil-kebil tidak percaya mendengar perkhabaran yang singgah di telinga dua hari yang lalu. Perit hatiku menerima semua itu. Bagaikan ada tusukan di dada dan kemudian aku ditikam pula bertubi-tubi. Aku hanyut dalam pelukan emak. Aku menangis dan terus menangis. Sungguh, aku tidak dapat menerimanya.

Bagaikan masih terbayang rempuhan motosikal yang mengena tubuhku tatkala aku berjalan di kampus dua hari lalu. Aku tidak tahu dari mana datangnya motosikal berkuasa tinggi yang bergerak laju itu. Aku yang sedang berjalan mengusung perut bagaikan terpaku. Kakiku seolah-olah dipaku. Tidak sempat aku mengelak, aku jatuh bergolek di atas jalan tar. Serentak itu juga, darah pekat mengalir di celah kelengkangku dengan banyak sekali. Aku pula hanya mampu meraung sebelum pandanganku bertukar gelap.

“Sabarlah… tak ada rezeki Lina agaknya.” Pujuk abah yang sedari tadi hanya melihat aku menangis dalam pelukan emak.

Terkejut aku melihat ketiga-tiga abangku turut memandangku sayu. Bila mereka pulang? Ibu bapa mentuaku juga sama. Kata emak, aku koma selama seminggu. Nizam pula hilang entah ke mana bersama Haikal. Aku tahu dia kecewa dengan berita keguguranku sedangkan tinggal 3 bulan lagi kami bakal menambah ahli baru.

Tapi apakah dia juga tahu, aku lebih terluka daripadanya? Aku yang mengandungkan anak kami. Aku merasai tendangannya, pergerakannya. Akulah ibunya. Bukankah seharusnya dia berada di sini, menemaniku, memujukku? Apakah Nizam marah di atas kecuaianku?

Namun dalam diam aku mengerti sendiri, bukan itu yang membuatkan Nizam kusut. Aku terdiam, meleraikan pelukan emak.

‘Berlaku kecederaan yang agak teruk pada rahim Puan Amalina. Berdasarkan pemeriksaan, puan berkemungkinan besar tidak dapat mengandung lagi.’

Masih terngiang-ngiang ucapan doktor di telinga. Aku bagaikan mati kata. Dapat aku lihat raut wajah Nizam yang berubah keruh. Dia kecewa.

“Mana Nizam pergi agaknya ni?” Kedengaran bapa mentuaku bertanya, mungkin geram dengan tindakan Nizam yang masih tidak menjengukku di sini sejak semalam. Ya, sejak dia dengar berita itu, Nizam hilang entah ke mana.

“Lina tak boleh mengandung lagi, mak.” Ucapku tiba-tiba. Seisi bilik bagaikan terkedu.

“Apa Lina cakap ni?” Abang sulungku bertanya. Jariku diusap lembut.

“Doktor dah sahkan semalam.” Sambungku bersama air mata

smallimej
Beberapa tahun berlalu…

KUPANDANG HIDANGAN istimewa yang aku sediakan dengan segala susah payah sejak pukul enam petang tadi. Siap menelefon emak lagi bertanyakan resipi. Aku sebak sendiri. Sedih mengenangkan segala usahaku langsung tidak dihargai. Dari pukul 8 aku menunggu dirinya, sudah pukul 12 begini, kelibat Nizam masih juga tidak kelihatan. Ada sayu yang bertamu dia hati, apakah Nizam tidak ingat hari ini ulang tahun perkahwinan kami yang keenam? Sudah lupakah dia pada tarikh keramat kami bersatu hati?

Malas melayan perasaan, aku masuk ke bilik tidur Haikal yang bersebelahan bilikku. Aku tersenyum melihat aksi Haikal yang tidur dengan kaki terbuka luas. Haikal kuselimut dan kukucup penuh kasih. Sudah besar Haikal ni. Sudah bersekolah di tadika.

Aku masih ingat, beberapa tahun yang lalu, ketika aku disahkan tidak mampu melahirkan zuriat untuknya lagi, dia memang kecewa tapi tidak pula memarahiku. Dia tahu kami tidak punya rezeki. Lalu katanya, cukuplah baginya Haikal seorang. Mendengar kata-katanya, air mataku mencurah-curah keluar. Betapa tulusnya dia. Dan hari-hari seterusnya, kami hidup seperti biasa, tanpa ada seorang pun antara kami yang mengungkit tentang ‘kecacatanku’ itu.

Namun aku sudah mulai berasa letih dengan perangai Nizam sejak setahun yang lalu. Banyak perubahan yang berlaku kepada dirinya sejak dia berjaya menjawat jawatan sebagai pengurus di sebuah syarikat. Pulangnya sentiasa lewat, entah ke mana perginya, aku tidak pasti.

“Lewatnya abang balik.” Ujarku sekadar berbasa-basi apabila dia muncul di pintu bilik. Rasa sakit dihati aku tolak jauh-jauh.

“Ermm…” Itu sahaja komen Nizam. Dengan muka tidak bersalah, dia menyalin pakaian. Tidak mahukah dia bertanya khabar tentangku yang menunggunya bagaikan orang bodoh ataupun paling kurang bertanya tentang anak kami? Sampai hati dia…

“Abang pergi mana?”

“Kerja.”

“Kerja sampai lewat malam ke?”

“Lina ni kenapa? Abang penat tau. Abang balik aje, dah tanya soalan bukan-bukan. Abang letihlah!” balas Nizam kasar, semakin merobek hatiku.

“Baguslah…”

“Apa yang bagus?” tanya Nizam dengan dahi berkerut.

“Bagus sebab abang masih tahu macam mana rasa letih. Lina pun rasa letih juga ni bang. Letih dengan perangai abang sejak akhir-akhir ni. Abang dah tak hiraukan Lina lagi. Abang ingat Lina tunggul ke dalam rumah ni?” terjahku tidak mampu menahan rasa.

Dia seperti terpaku dengan kata-kataku. Mungkin terkejut dengan sergahanku kerana selama ini aku memang tidak banyak komen pun tentang apa yang dia lakukan. Aku biarkan sahaja dia dengan perangainya.

“Lina nak cakap apa ni? Kalau tak ada apa-apa, abang nak ti…”

“Satu lagi… Lina penat sangat sebab tunggu abang dari lepas maghrib sampai sekarang. Letih sebab Lina perbodohkan diri sendiri semata-mata nak sambut anniversary kita. Ulang tahun perkahwinan kita yang keenam. Tapi abang langsung tak hargainya.” Kataku dengan kasar seraya menarik bantal. Aku malas mahu mempedulikannya lagi.

Dari ekor mata, aku lihat dia masih terpaku. Hatiku menangis sendiri. Nizam benar-benar tidak ingat tarikh keramat itu. Ah! Sakitnya hati aku dibuat lelaki yang seorang ini.

smallimej
KERJA DI pejabat aku bereskan dengan teliti sekalipun kadang-kadang aku teringat juga masalahku dengan Nizam. Walau bagaimanapun, setakat hari ini tidak pernah lagi rasanya aku mencampuradukkan masalah peribadi dengan hal-hal di pejabat. Aku merupakan ketua di bahagian pemasaran, wajarlah kiranya aku menunjukkan teladan yang baik untuk para pekerja.

“Puan, bos panggil.” Setiausahaku memberitahu.

Alamak… apa hal pula Datuk Razif panggil? Macam-macamlah orang tua ni. Rungut hatiku. Aku kepelikan. Sudah dua tahun bekerja di bawah Datuk Razif, aku tahu tingkahnya yang agak cerewet itu. Pantang ada yang salah, mulalah hendak membebel. Pernah juga aku berdoa supaya dia bersara. Haha… jahat betul hatiku ini. Tapi sebenarnya, Datuk Razif itu baik orangnya. Aku cuma tidak berkenan kecerewetannya itu sahaja.

“Duduk Bashira.”

Arahan Datuk Razif aku terima. Terkejut aku melihat seorang lelaki yang mungkin sebaya dengan Datuk Razif sedang duduk di sisiku.

“Kenalkan… ni Tan Sri Musa dan Tan Sri, ini salah seorang pekerja I yang cukup pakej, Amalina Bashira.” Datuk Razif dengan bangganya memperkenalkan aku kepada kenalannya itu.

Aku jadi malu sendiri dengan pujian melambung tinggi bosku itu.

“Assalamualaikum Tan Sri, apa khabar?”

Tan Sri Musa membalas salamku seraya tersenyum. Aku mengangguk sebagai tanda penghormatan dan perkenalan.

“Well… Bashira… I panggil you sebab I nak you jumpa client I petang ni kat Shah Alam. You tak ada masalah, kan?”

Aku menggeleng. Kalau ada masalah pun, masakan aku hendak mengiakan. Mahu aku dipecat oleh Datuk Razif?

“Good… nanti I akan inform pada you apa yang dia mahu. Sepatutnya I yang jumpa dia tapi nak buat macam mana, kan… kawan I ni dah ada kat sini. I am stuck…” Ujar Datuk Razif tergelak kecil, turut mengundang tawa Tan Sri di sebelahku. Rapat benar mereka berdua nampaknya.

“Lagi satu… client I tu isteri Tan Sri kat depan ni. So make sure you layan dia elok-elok, okey.” Pesan Datuk Razif sebelum aku melangkah keluar.

Oh… aku tersenyum sahaja.

“Ada-ada ajelah kau ni Zif.” Aku dengar Tan Sri Musa ketawa.

Tengah hari itu, aku memandu keseorangan ke Shah Alam. Katanya mahu bertemu di Shah Alam. Jalan raya yang agak sibuk itu tidak membataskan pemanduanku. Tenang sahaja aku memandu seperti tiada masalah.

Aku melangkah masuk ke dalam restoran dengan langkah yang agak perlahan. Mataku mencari pelanggan yang dimaksudkan dan aku tersenyum apabila melihat seorang wanita melambai-lambai ke arahku.

“Amalina?” Puan Sri Rohaiza bertanya. Aku mengangguk. Sekilas aku pandang wajahnya. Cantik. Bertuah Tan Sri Musa. Aku jangka umur wanita ini mungkin sudah menjangkau 50-an tapi kelihatan muda sahaja lagaknya.

“You look gorgeous in your dress.”

Err… terkedu aku mendengar pujian yang tidak terduga itu.

“Terima kasih Puan Sri… ermm… boleh kita mula?”

“Sure…”

Mulutku terus berbunyi rancak menerangkan perihal kerja yang dimintanya. Dalam perbualan kami, aku tahu dia orang yang sangat peramah. Gelaran Puan Sri di hadapan namanya itu hanya sekadar gelaran baginya. Tidak pula dia menyombong diri seperti sesetengah golongan yang berpangkat tinggi.

Hampir sejam perbualan kami, dia meminta diri. Aku pula menghabiskan makanan sebelum berjalan ke kereta. Sebaik sahaja aku membuka pintu kereta, mataku tiba-tiba menangkap satu kelibat yang membuatkan jantungku berdegup kencang.

Dari jauh, kelihatan Nizam sedang bergelak tawa dengan seorang wanita bertudung cantik. Aku lihat wanita itu menepuk-nepuk bahu Nizam dengan gaya yang aku kira bukan main gedik lagi. Kuperah ingatan kalau-kalau mungkin wanita itu saudara-mara atau sepupu-sepupu Nizam. Tidak! Tidak ada. Seingatku inilah kali pertama aku lihat wanita itu. Nizam pula begitu ralit melayan si gadis. Hatiku hancur lumat. Adakah ini sebabnya? Nizam sudah punya pengganti diriku.

Aku bergegas masuk ke dalam kereta. Tidak mampu lagi menonton drama sebabak yang menyiat-nyiatkan hati dan perasaanku kala itu. Namun sebelum aku menghidupkan enjin kereta, sempat pula aku mengeluarkan handphoneku. Perhitungan harus dibuat. Aku tidak sanggup terus-terusan diperlakukan seperti tidak punya maruah diri.

smallimej
AKU TIDAK punya mood untuk melayan kerenah Haikal malam itu. Anak terunaku itu sibuk mahu mengajak aku mewarna buku lukisan yang aku beli untuknya beberapa minggu lalu.

“Mama…” Haikal merengek supaya aku memberi perhatian kepadanya. Dia sudah duduk di ribaku.

“Ekal sayang.” Pipinya yang tembam itu aku kucup. “Boleh tak Haikal dengar cakap mama malam ni.” Pintaku. Aku mahu sekali dia mengerti perasanku yang sedang terluka ini, yang menunggu kepulangan ayahnya dalam debar. Walaupun mungkin dia tidak memahami maksud pertanyaanku, Haikal mengangguk juga.

“Haikal tidur awal ya sayang malam ni. Mama banyak kerja.”

“Boleh… tapi Ekal nak tidur dengan mama.” Dia bersuara manja sekali. Pantas aku membawanya masuk ke bilik. Aku mahu Haikal tidur supaya dia tidak akan mengganggu ‘kerjaku’ dengan Nizam sejurus dia pulang nanti.

Hampir setengah jam kemudian, Haikal terlena dalam pelukanku. Anak kecil itu sungguh aku kasihi. Tanda penyatuan cinta aku dengan Nizam.

Seperti yang aku jangka, jam hampir menunjukkan pukul 12 malam, bunyi enjin kereta Nizam kedengaran. Pintu rumah terbuka dan mukanya terjengul di balik pintu. Dia memandangku sekilas.

“Sampai bila abang nak balik lewat malam ni?” soalku mematikan langkahnya.

“Kenapa Lina asyik soal abang je bila abang balik kerja? Lina ada cita-cita nak jadi polis ke? Mulai malam ni, Lina tak perlu nak tunggu abang. Kalau nak tidur, tidur ajelah dulu.”

“Masalahnya Lina risau tau bang. Kalau ada apa-apa yang berlaku pada abang…”

“Huh, bosan!!! tahu bosan!!!” Dia meninggikan suara.

Aku pula yang terkedu. Jarang sekali dia bersuara kasar apabila bercakap denganku.

“So… sekarang abang dah bosan dengan Lina?” soalku sedikit sayu. Kusembunyikan perasan sakit di dada dengan riak muka selamba. Aku tidak boleh kalah dengannya.

Nizam kulihat meraup mukanya dengan telapak tangan berkali-kali.

“Come on Lina, kalau Lina marah pada abang sebab abang tak ingat anniversary kita… I’m so sorry okay. Abang betul-betul terlupa.”

“Bukan cuma pasal tu bang. Banyak lagi yang buatkan Lina makan hati dengan sikap abang. Abang dah lama tak kisahkan Lina. Dalam kepala otak abang cuma ada kerja dengan Haikal sahaja. Tu pun waktu pagi sahaja abang layan dia. Malam-malam abang balik lambat. Apa yang buat abang berubah sampai macam ni?” Aku menyoal lembut. Aku tidak mahu nampak terburu-buru.

“Kan abang dah cakap abang banyak kerja kat ofis. Kenapa tak faham ni?”

“Lina pun kerja bang… dan setahu Lina kerja pejabat habis pukul 5. Tapi abang balik selalu tengah malam. Okey… Lina faham kalau abang balik lambat sehari dua, tapi bukan untuk sepanjang tahun ni. Lina dah penat dengan perangai abang ni.”

“Lina nak cakap apa lagi ni? Kenapa tak terus terang aje?”

“Abang ada masalah?”

“No!”

“Abang suka orang lain?”

“No!”

“Jujur ke jawapan abang ni?”

“Kalau Lina tak percaya, lebih baik jangan tanya!” sinisnya.

“Jadi siapa dia ni?” Aku tunjukkan handphoneku kepadanya yang jelas terpampang gambar mesranya dengan wanita itu. Berubah terus raut wajah Nizam. Aku lihat dia seperti terkedu.

“Siapa ni?” Pandangan Nizam menikam mataku.

Aku tergelak sinis apabila dia buat-buat tanya. Apakah Nizam sudah buta?

“Entahlah! Lina pun tak tahu. Abang tahu?” Aku berlagak sinis.

“Lina intip abang?” Akhirnya…

“Kalau ya kenapa?”

“Dia kekasih abang, Lina.” Bagaikan peluru yang menikam jantungku, aku terhenyak di kerusi. Silap dengarkah aku?

“Apa abang cakap?”

Nizam mengeluh. Dia mendekatiku dan cuba meraih pergelangan tanganku namun pantas sekali aku mengelak.

“Jangan sentuh Lina, bang!”

“Tak ada gunanya abang nak tipu lagi. Abang pun dah penat dengan semua ni. Abang tak nak sembunyi-sembunyi lagi. Abang cintakan dia.” Ujar Nizam perlahan, langsung tidak menatapku.

Air mataku menitis tanpa aku sedari, tergamak dia berterus terang begitu. Tahukah dia… ucapannya begitu menyakitkan hati? Nizam curang… curang… curang… Aku mengulang-ulang dalam hati. Seakan- akan mahu perkataan itu terpahat dalam hatiku, biar aku sedar, dia telah bersalah terhadap aku.

“Abang minta maaf. Abang tak boleh halang perasaan abang. Abang dah cuba… tapi tak boleh.” Sambungnya lagi.

Aku menangis di tempatku. Tidak mahukah dia menarik balik ucapan itu?

“Abang… kenapa abang buat Lina macam ni? Selama ni, Lina setia pada abang. Abang dah hancurkan hati dan perasaan Lina.” Aku merayu dalam tangisan.

“Kita bercinta dari kecil lagi, bang. Hanya abang yang Lina sayang.”

“Abang nak ramai anak Lina. Lina tahu, kan?” Nizam menukar topik.

Aku cuba mencari kaitan hal itu dengan kecurangannya, tapi aku bingung.

“Apa maksud abang?”

“Abang nak anak tapi Lina tak boleh lahirkan anak untuk abang. Lina mandul!” Nizam memandangku dengan senyuman sinis.

Terpempan aku melihatnya. Tidak sekalipun selama aku hidup dengannya, aku melihat dia tersenyum begitu. Senyuman yang memberi sejuta kesakitan. Dan tiba-tiba aku berasa sungguh terhina dengan sikapnya.

“Tapi bang… mungkin doktor silap. Lagipun doktor tak kata yang Lina tak boleh mengandung terus. Lina masih tak berhenti berdoa supaya kita dapat anak.”

“Nak berdoa apa lagi? Termakbul ke doa Lina tu? Tengok, sampai sekarang tak mengandung pun. Dahlah… abang dah tak ada rasa dengan perempuan mandul macam Lina!” ujarnya lagi sebelum menghempas pintu sekuat mungkin. Nizam pergi lagi.

Aku tergeleng-geleng mendengar ucapannya. Tidak takutkah Nizam menghina permintaan doaku? Doa yang aku panjatkan itu adalah kepada Allah, Pencipta Yang Satu. Dialah yang menentukan segala-galanya.

Aku meraung-raung di sofa sendirian. Menangisi nasib hidupku. Apakah itu sebab utamanya? Dia menduakan cintaku lantaran aku tidak mampu lagi melahirkan zuriat untuknya… aku tidak mampu menjadi ibu kepada anak-anak yang diimpikannya… rahimku tidak berdaya untuk menghadiahkan keturunannya, yang ada cuma Haikal. Itu pun dia tidak berpuas hati. Tapi bukankah… bukankah dia pernah berkata, Haikal sudah cukup! Dan bukankah dia juga pernah berjanji untuk sehidup semati denganku?

Aku terus menangis tanpa henti.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90448/PERMAISURI-HATI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *