[Sneak Peek] Pengantin Ramadan

Pengantin Ramadan oleh Ameera Ameer

“Maaf mencelah tapi kalau pak Harun tak keberatan, saya bersedia berkahwin dengan Ara.” – Herman Sebaris ayat itu benar-benar merubah kehidupan seorang Adra Nur. Kerana fitnah, dalam sekelip mata sahaja dia bakal menjadi seorang isteri kepada lelaki yang tidak dikenali. “Macam mana Ara nak reda kak kalau Ara tak kenal dengan bakal suami Ara?” – Adra Bagi Herman pula, peluang itu ibarat bulan jatuh ke riba. Keinginannya untuk beristeri sudah terpampang di hadapan mata setelah beberapa orang calon pilihannya ditolak mentah-mentah oleh ibunya. “Elehhhhh! Buat muka kesian konon. Tapi ada mak tak bagi kau kahwin? Ada? Ada?” – Mak Cik Yah “Memanglah tak ada tapi calon Man asyik mak reject aje,” – Herman “Cuba kau fikir, macam mana mak nak setuju kalau pilihan kau tak senonoh semuanya? Si Milah tu, umur dah 45 tahun. Tak ada yang muda lagi kau nak kahwin? Baru kahwin lima enam tahun dah menopos dah dia. Berangan nak anak selori. Kau ingat dia kucing boleh beranak lima enam kali setahun?” – Mak Cik Yah Sayangnya perkahwinan itu tidak disenangi oleh mak cik Semah dan Suhaila kerana rancangan mereka untuk menyatukan Adra dan samseng kampung bernama Leman tidak berjaya. Sejak itu juga kebencian mereka kepada Adra semakin menjadi-jadi. “Tapi, betul ke mak abang Herman akan ceraikan dia?”- Suhaila “Iya. Kau percayalah cakap aku. Herman tu kahwin dengan dia sebab kesian aje. Emak si Herman terima pun sebab terpaksa aje tu. Kau bukan tak tahu mak cik Yah tu orangnya macam mana. Garang nak mampus dan jahat mulut pulak tu,” – mak cik Semah Adra dan Herman, mereka berbeza tetapi perbezaan itu semakin merapatkan mereka. Melayan sikap Herman yang agak kebudak-budakan dan gila-gila, hidup Adra penuh dengan gelak dan tawa. “Elehhh! Takut abang Man mengintailah tu kan?” – Herman “Eh! Tak. Bukan macam tu. Hurmmm….Ara…Ara…tak selesa.” – Adra “Alaaa…kalau abang Man mengintai pun bukannya berdosa. Bini abang Man bukannya bini jiran sebelah.” – Herman Tapi benarlah, bukan namanya manusia jika tidak diduga. Sedang mereka asyik mencipta bahagia, dugaan datang tanpa dipinta. Herman terduduk dan Adra pula diam tak terkata. Akan berjayakah kasih sayang dan cinta mereka mengatasi semua rintangan atau rebah dek dengki khianat manusia?


Herman. Tak sanggup dia ada menantu hantu macam gitu. Sudahlah mulut tak ada filter, pemalas nauzubillah dan bukan main gelenyar lagi. Kalau perempuan perangai macam itu sudah sah-sah tak pernah masuk dapur. Apa tidaknya, asyik merayap ke sana sini tayang muka dia yang dia ingat lawa sangat tu. Hurmmm… lawa lagi aku masa belasan tahun dulu. Kutuknya.
Herman garu kepala. “Adoiiiii! Mak. Bukan si Ila tu lah,” keluhan dilepaskan. Tak tahu hujung pangkal main terjah aje mak ni. Hati menyambung bebelan.
“Kalau bukan Ila, siapa? Harun tu bukannya ada anak berderet-derat yang kau boleh pilih! Anak kucing aku tahulah dekat rumah dia memang berlambak-lambak!” Suara Mak Cik Yah semakin meninggi.
“Ara.”
Mak Cik Yah terdiam. Ara mana pulak ni? Soalnya dalam hati.
“Man nak kahwin dengan Ara. Anak saudara Pak Harun,” ucapnya berani. Barulah rasa aura hero siang tadi datang kembali.
“Si Adra tu?” Bulat matanya memandang Herman. “Sejak bila kamu kenal dia?” Berkerut-kerut dahi Mak Cik Yah mendengar penjelasan anak terunanya. Setahunya anak saudara Harun tu susah sangat keluar rumah. Macam mana Herman boleh kenal? Haih, pelik ni!
“Siang tadi.”
Mak Cik Yah mendengus keras. Nasib baik Herman duduk jauh sedikit di hadapannya, kalau tidak memang sudah diketuk kepala anaknya itu. “Ya Allah, Herman. Kamu ni mimpi ke apa? Aku lesing karang baru tahu!” bedilnya geram. Eh! Boleh dia main-main pulak.
“Kau jangan nak cakap dengan aku yang kau baru kenal dengan budak Ara tu siang tadi dan kau terus ajak dia kahwin!” bebelnya agak keras.
“Haih!” Herman garu kepala semula.
“Apa haih! Haih! Kau jangan main-main Man. Atau kau dah buat apa-apa dekat budak tu?” Mak Cik Yah mulai cuak.
“Adoi mak! Apa pulak fikir macam tu? Mak ingat anak mak ni jahat sangat ke? Man ni mak… adalah salah seorang lelaki budiman dalam dunia ni. Mak aje yang selalu tak percayakan Man. Selalu pandang serong dekat Man,” ucapnya meninggi diri sambil dadanya ditepuk-tepuk. Selalu sangat berprasangka dengan dia.
Mak Cik Yah cemikkan muka. “Budimanlah sangat kan? Yang aku tahu nama kau memang Man… Herman. Aku pun tak tahulah kenapa arwah ayah kau beria sangat nak beri nama kau macam tu. Kut ya pun minat Herman Tino, tak payahlah letak nama anak gitu. Nasib baiklah rambut kau tak bergulung macam Herman Tino, Man. Jadi adalah juga rupa kau,” bebelnya.
Herman tersengih. Geli hati mendengar bebelan emaknya.
“Tak payah tersengih-sengih macam kerang busuk depan aku. Sekarang kau cerita macam mana kau boleh kenal anak sedara si Harun tu.”
“Macam ni mak…” Herman mula bercerita tentang apa yang telah berlaku tanpa ada yang tertinggal walau sebaris ayat pun.
“Oh! Berlagak herolah ni? Kau ingat kau Superman? Hei Man, bukan setakat Superman, bayang-bayang Cicakman pun kau tak ada tau,” kutuk Mak Cik Yah selamba sambil dengan gaya tangannya sekali.
“Bukan nak jadi hero lah mak tapi nak jadi penyelamat. Man kesian sangat dengan dia mak. Mak Cik Semah dengan Ila tak habis-habis burukkan dia. Pak Harun pulak dengar aje cakap bini dan anak dia. Hish! Geram pulak Man tengok,” balasnya beria sambil tangannya ditumbuk-tumbuk ke meja.
“Errmmm… kau nak kahwin ni, kau suka tak dengan dia? Jangan nanti dia keluar dari mulut harimau, masuk mulut ular sawa pulak. Kau tu pun bukannya aku boleh percaya sangat,” bedilnya.
Herman tersengih sambil kain lap meja di tangannya dipintal-pintal.
“Dah kau tersengih-sengih macam orang biang tu kenapa?”
“Man tak nampak sangatlah muka dia tapi Man tengok tengah menangis pun lawa aje. Kalau tak menangis tentu lagi lawa,” balasnya dengan sengih yang semakin melebar.
“Hurmmm… dah gatal benor nampak gayanya kau ni, Man,” Mak Cik Yah gelengkan kepala. “Dah! Cepat makan. Lepas tu solat maghrib. Balik dari tarawih nanti kita pergi rumah Pak Harun bincang tentang hal ni.”
“Mak setujulah ni?” Muka Herman mula berubah ceria.
Mak Cik Yah terus berdiri. Terus hilang selera dia hendak makan dibuat dek anak bertuah seorang ini.
“Mak izinkan tapi kalau lepas kahwin nanti kau dera dia macam Semah dan Ila buat, kau yang mak benam-benam dalam kolam ikan keli kau tu. Ingat pesan aku ni!” Ugutnya dan terus berlalu.
Herman sengih sambil dadanya diurut lega. Fuh! Nasib mak setuju kalau tidak krik… krik saja lah dia nak cari jalan untuk memujuk.
“Hurmmm… Adra. Sedap juga nama tu kan. Haishhhh! Mulalah rasa tak sabar pulak nak berbini. Ahaiiiiii! Akhirnya kahwin juga kau, Man!” bisiknya sambil menyengih suka.
“AKU SETUJU aje Harun apa pun rancangan kamu untuk satukan budak berdua ni,” beria Mak Cik Yah bersuara. Malaslah dia hendak pusing belit sana sini. Lagipun dah memang niat dia ke situ hanya untuk tujuan tersebut, jadi setujukan sahajalah apa yang telah diputuskan keluarga Adra.
“Aku tak nak tangguh-tangguh perkara ni, Yah. Kalau boleh dalam minggu ni juga aku nak budak dua ni bernikah,” tegas Pak Harun bersuara.
Mak Cik Yah tercengang. Dalam minggu ini dan nikah di bulan Ramadan? Herman yang sedang tersengih-sengih di tempatnya dipandang. Alahai Man, bukan main suka lagi kau ya. Menggedik bukan main nak kahwin. Kalau dekat memang dah lama aku cubit-cubit! Hati membebel geram.
“Ya Allah, yang beria-ia nak dikahwinkan budak berdua tu kenapa bang? Tunggu-tunggulah lepas raya nanti. Bulan puasa ni kot,” celah Mak Cik Semah tak puas hati. Kalau dengan Leman, memang esok juga dia suruh mereka dinikahkan. Ini dengan Herman, haish! Kalau boleh biarlah ditangguh-tangguhkan sampai tak jadi.
“Aku tak nak perkara ni ditangguh-tangguhkan Mah. Lagi cepat lagi bagus.” Pak Harun tetap bertegas. Makin ditangguh pening kepala dia nanti. Apa tidaknya, pasti tak diam mulut isterinya membebelkan Adra. Sudahlah sejak dulu lagi anak saudaranya itu dimusuhi. Entah apa yang isterinya benci sangat dengan Adra, dia pun tak tahu.
“Jadi macam mana, Yah? Herman?” Mak Cik Yah dan Herman dipandang silih berganti.
Herman tersengih. “Ermmm… saya… saya okey aje Pak Harun. Kalau esok pun boleh,” jawabnya sambil tersengih-sengih.
Mendengar jawapan Herman, laju Mak Cik Yah gelengkan kepala. Kau memanglah gatal Man! Marahnya dalam hati. Nasib baik rumah orang kalau tidak memang sudah disekeh kepala anak bujangnya itu. Haih!
“Kalau nak nikah esok tu memang tak dapatlah Man. Kau ingat nak kahwin tu macam sembelih kambing? Setakat baca doa dan baca bismilah terus selesai?” celah Tok Imam dengan tawa kecil di bibir.
“Tak boleh, Tok Imam?” Herman garu kepala sambil kerutkan dahi.
“Iya tak boleh. Nak kena uruskan dulu dokumen-dokumen yang perlu untuk memohon kebenaran bernikah.” Beritahu Tok Imam pula.
“Kalau gitu lambat lagilah saya boleh kahwin, Tok Imam?”
Tawa Tok Imam terhambur lepas. “Man… Man. Tidaklah lama mana pun dan taklah sampai berbulan-bulan prosesnya cuma tak sempatlah kalau nak kahwin esok,” jelasnya geli hati.
“Oh!” Melopong mulut Herman mendengar penjelasan Tok Imam. Begitu rupanya. Dia ingat nak kahwin senang sahaja. Akad nikah je, dah selesai.
“Imam buatlah apa yang patut, imam. Apa yang penting selamat semuanya,” Mak Cik Yah mencelah pula. Dibiarkan Herman yang bercakap, lain pula jadinya nanti.
Tok Imam mengangguk sahaja dan meneruskan perbincangannya dengan Pak Harun dan Herman. Mak Cik Yah pula hanya mendengar sahaja.
“Yah, aku peliklah dengan kau anak beranak,” tidak dapat menahan geram mendengar rancak perbualan suaminya, ketua kampung, pak imam dan Herman berbincang mengenai majlis yang dirancang, Mak Cik Semah terus berbisik di telinga Mak Cik Yah.
“Apa yang nak dipelikkan? Orang nak bina masjid. Nak buat pahala. Baguslah tu,” balas Mak Cik Yah bersahaja.
“Masalahnya, yang anak kau nak kahwin tu atau bakal menantu kau tu… bukan perempuan yang baik-baik untuk dibuat bini.”
Mak Cik Yah mencemik. Eh! Menyampah pulak dia mendengarnya. Macamlah anak dia baik sangat. Kutuknya dalam hati.
“Eh! Semah, aku tak kisahlah dengan siapa yang anak aku nak kahwin. Yang penting, dia suka. Kalau tak baik bukannya tak boleh diajar jadi baik. Tak pandai mengaji, solat? Hurmm… tak payah risau, anak aku tu calon imam pilihan tau,” selambanya memuji anak sendiri.
“Lagipun Semah, bukan sejak kecik si Ara tu kau yang jaga? Ermmm… kalau tak baik tu maknanya kau lah yang tak pandai mendidik,” sambungnya lagi bernada sinis. Mak Cik Semah dikerling.

Untuk menyelami ebook yang lain boleh ke esentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/319208/Selagi-Jantung-Berdegup