[SNEAK PEEK] MUNGKINKAH DIA

MUNGKINKAH DIA Oleh Anis Ayuni

Suara azan berkumandang, tapi aku rasa tidak berdaya hendak bangun. Kepala terasa berat dan berdenyut-denyut. Ini mungkin kesan daripada tidur yang tidak lena dan asyik terjaga. Gelisah dan serba tak kena. Semalaman yang meresahkan.

Aku memicit-micit tengkuk, namun denyutannya tidak juga reda. Aku menarik-narik rambut hingga terasa sampai macam hendak tercabut kulit kepala.

“Tolonglah hamba-MU ya ALLAH! Tolonglah redakan rasa sakit ini,” rayuku.

Akhirnya, aku menggagahkan diri bangun. Berpaut pada birai katil sebelum berjalan terhuyung-hayang ke bilik air. Mandi dan berwuduk, namun denyutan di kepala tidak juga reda.

Kalau diikutkan rasa sakit, terus saja aku lontarkan tubuh di atas katil. Tapi kenangkan manalah tahu kalau-kalau ini merupakan solat subuhku yang terakhir, aku kuatkan juga semangat. Walaupun berdiri membuatkan aku rasa seperti hendak tumbang, tetap aku bertahan hingga selesai solat dua rakaat.

Aku cuba meredakan pening dengan menyapu minyak angin di dahi, tengkuk dan hujung mata. Kemudian, diikuti dengan urutan lembut. Adalah rasa lega sedikit. Ketika ini baru aku terfikir, mungkin perut yang kosong membuatkan angin naik ke kepala. Selain itu, penanggungan rasa kecewa tahap maksima memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan jiwa.

Ketika mata hampir terlayang, aku terdengar bunyi ketukan di pintu. Hendak diabaikan saja, rasa tidak sampai hati pula. Lalu, aku gagahkan diri bangun membuka pintu.

“Nisa baru bangun ke?” terpa mama sebaik-baik saja daun pintu terkuak.

Aku menggeleng.

“Dah pukul berapa ni belum siap lagi?”

Tubuh terasa sangat lemah hingga aku rasa macam hendak rebah.

Lalu, aku bertongkat tangan di jenang pintu.

“Tak sihat. Hari ni tak pergi kerja.”

“Demam ni,” kata mama setelah dia mendemah dahi.

Aku mengangguk lesu.

“Nak baring,” maklumku dalam suara yang antara dengar dengan tidak. Terus aku berbaring di atas katil.

“Bila nak pergi klinik?”

“Tunggu dululah ma. Sekarang ni nak jalan pun tak daya.”

“Rasanya dalam peti ais ada mama simpan ubat demam, nanti mama pergi ambil.” Seiring melahirkan kata-kata, mama terus keluar dari bilik.

Berselang lebih kurang lima minit, mama muncul semula dengan sebuah dulang kecil. Terus diletakkan di atas meja di sisi katil. Ada air coklat, roti bakar dan satu plastik kecil berisi ubat.

“Nah, makan dulu… lepas tu baru boleh makan ubat!” suruh mama sambil menyuakan piring berisi roti bakar.

Walaupun tekak terasa kelat dan pahit, namun aku unggis juga sedikit sebagai tanda menghargai susah payah mama menyediakan dan membawanya hingga ke bilik.

“Malam tadi makan ke tak?”

Aku menggeleng.

“Haa, tu akibat tak makan… angin dalam perut tu dah naik ke kepala sebab tu pening.”

Memang aku sudah agak mama akan merumus begini. Dari dulu lagi itulah modalnya apabila aku mengadu sakit kepala.

“Tapi, demam ni?”

“Penyakit ni berkait-kait. Mula-mula pening, demam ….” jawab mama. Dibiarkan ayatnya tidak sempurna.

“Dah, habiskan cepat roti… lepas tu boleh makan ubat!” tambah mama setelah dia berjeda seketika.

‘Licik sungguh mama ni!’ Agaknya tidak dapat hendak menjelaskan dengan pasti, disuruhnya aku cepat-cepat habiskan roti.

Memang rasa tidak tertelan, jadi aku tolak dengan air coklat. Akhirnya habis juga sekeping roti. Aku menggeleng apabila sekeping lagi mama hulurkan.

“Mana kenyang makan sekeping,” omel mama sambil dia menghulurkan ubat.

Aku senyum saja. Selepas makan ubat, aku berbaring semula.

“Rehatlah,” pesan mama sebelum dia keluar sambil menatang dulang.

Aku menghantar mesej kepada Encik Mahasan dan Ren Effazulita untuk memaklumkan yang aku terpaksa mengambil cuti kecemasan selama dua hari. Selesai urusan itu, telefon bimbit aku letak semula di atas meja. Walaupun ada banyak mesej yang kalau dijumlahkan mungkin lebih daripada seratus, tapi aku tidak ada mood hendak baca.

‘Dua hari,’ ulangku mengenangkan mesej yang aku kirim tadi.

Dua hari sebagai waktu untuk bertenang dan muhasabah diri. Bukan waktu ‘berkabung’ kerana aku tidak tahu status hubungan kami. Tapi sejujurnya, aku sudah tawar hati. Selepas ini, hendak jadi apa jadilah. Aku tidak menaruh harapan lagi. Cuma, rasanya aku perlu beri peluang kepada Qashfi untuk membela diri.

Hingga ke waktu itu, aku tidak mahu fikir apa-apa kerana beriya sangat mengerah otak memikir itu dan ini, sudahnya kepala aku jadi pusing. Aku perlu berehat. Seiring itu aku memejamkan mata rapat-rapat. Belum pun lama membayangkan padang menghijau yang luas terbentang, aku sudah terlena.

Kala terjaga, jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.00 pagi. Lama juga aku tidur. Lena kerana tiada yang mengganggu. Kalau ada pun, memang aku tidak sedar bahana dek ubat yang aku makan tadi.
Aku mendemah dahi. Sudah suam-suam kuku. Tidak lagi panas seperti tadi. Kalau diukur dengan jangka suhu, bacaannya hampir normal. Kepala pun sudah terasa ringan. Syukur Alhamdulillah.

AKU mencapai telefon bimbit. Mencari daripada sejumlah nama pengirim mesej, belum ada daripada Qashfi. Barangkali dia masih tercari-cari alasan dalam usaha untuk menyelamatkan hubungan kami.

Tapi, dia harus fikirkan juga tentang penerimaan aku. Tidak semudahnya boleh aku terima kecuali kalau Qashfi dapat buktikan yang dia tidak bersalah.

“Ah, tepuk sebelah tangan masakan boleh berbunyi!” ejekku dalam nada jengkel.

Lalu sekilas persis terlayar di tubir mata hal yang terjadi, namun cepat-cepat aku usir pergi. Tidak aku izinkan melintas, walaupun hanya dalam bayangan.

Tentang keluarga kami yang sudah lama saling mengenali, terpulanglah kepada penerimaan dan cara mereka meladeni. Yang melakukan cela ialah Qashfi, bukan ibu bapanya. Tapi, tempiasnya kepada mereka juga. Apa pun alasan Qashfi, perkara itu memang sangat memalukan. Dia sudah menconteng arang ke muka keluarga.

Malas memikirkan hal yang berkait-kait itu, telefon bimbit terus aku matikan. Biarlah seketika memisahkan aku daripada dunia luar yang terlalu banyak drama dan sandiwara yang menekan jiwa.

‘Biarlah. Biarlah nak jadi apa pun, jadilah…’ Aku pasrah. Aku tidak sanggup lagi menanggung sakit kepala dek kerana terlalu tertekan memikirkan hal ini.

AROMA ikan goreng yang harum semerbak membuatkan aku berasa lapar. Memang logiklah kerana sejak petang semalam hinggalah pagi ini, hanya sekeping roti yang singgah di dalam kantung perutku.

“Demam lagi?” tanya mama sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dapur.

Aku menggeleng sambil menarik kerusi, lalu duduk.

“Nak bawak ke mana pulak dulang ni?” Aku bertanya soalan yang sudah aku jangka jawapannya.
“Ingatkan tadi nak bawak ke atas. Ni dah turun, makan ajelah kat sini.”

Pada mulanya aku mempamer reaksi enggan. Sejurus kemudian, aku mencapai pinggan. Tanpa diminta, mama mencedukkan nasi. Beginilah apabila sakit. Selalu dimanjakan.

“Lepas makan ni bolehlah pergi klinik.”

Aku menggeleng.

“Dah okey!”

Sungguh, aku tidak perlu pergi ke klinik kecuali yang merawatnya doktor cinta. Namun, belum tentu sembuh. Jadi, aku akan rawat sendiri, malah takkan aku biarkan diri lama terkurung dalam nestapa.

Hidup ini terlalu singkat untuk aku persia dengan mendera akal dan hati meratapi cinta yang tidak kesampaian atau memikir tentang dia yang berpaling tadah.

“Demam ni jangan buat main. Kalau yang sekejap demam sekejap baik ni tanda demam denggi. Kena check darah baru tau.”

Kalaulah mama tahu rasa kecewa dan terkejut mendengar kisah yang dibawa Arief yang membuatkan aku sampai demam, mungkin mama pun pitam. Jadi, biarlah mama tidak tahu. Untuk setakat ini, biarlah aku rahsiakan dahulu.

“Kalau lepas ni demam balik, baru pergi klinik.”

“Degil ni ikut perangai siapalah agaknya!” omel mama dalam keluhan.

Aku tertawa kecil kerana tahu gerangan yang dimaksudkan. Yalah, siapa lagi kalau bukan abah!

Selepas makan, aku berehat dan menonton televisyen. Seharian itu saja kerja aku. Membawa ke malam pun begitu juga. Walaupun terasa sangat aneh apabila telefon bimbit ‘tidak bernyawa’, tapi aku biarkan saja hingga akhirnya rasa aneh itu berlalu.

Rupa-rupanya tanpa telefon bimbit, aku mempunyai banyak masa untuk diriku sendiri. Selepas solat Isyak, aku baca surat khabar. Kemudian, barulah aku tidur.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183249