[SNEAK PEEK] MARCO POLO

MARCO POLO Oleh Al Ghazali

 

BANDAR Lop adalah sebuah kawasan yang terletak di timur laut, permulaan sebelum para pengembara dan pedagang yang melalui Laluan Sutera masuk merentasi Gurun Gobi. Gurun Gobi adalah kawasan tandus sejauh seribu batu yang mendapat namanya daripada perkataan Mongol gobi yang bermaksud gurun. Kawasan ini berada di bawah pemerintahan Khan dan majoriti penduduknya terdiri daripada orang Islam. Marco memanggil mereka sebagai Mahomaten, iaitu gelaran sebagai pengikut Nabi Muhammad S.A.W.

Setiap pengembara singgah di sini bagi melepaskan lelah sebelum memulakan perjalanan merentas gurun. Mereka akan membuat persiapan seperti menukar haiwan tunggangan, mengisi tabung bejana air, menambah bekalan makanan, mendapatkan penunjuk arah, membeli ubat-ubatan, dan apa sahaja perkara yang perlu.

Bagi memastikan mereka dapat merentasi Gobi dengan cepat, Niccolo mendapatkan beberapa ekor keldai dan unta. Haiwan ini dimuatkan dengan bekalan yang diperlukan.

Sekiranya makanan mereka habis sebelum sempat menyeberangi gurun dan keadaan terlalu mendesak, mereka boleh memilih untuk membunuh haiwan ini sebagai makanan. Unta lebih diperlukan berbanding keldai kerana ia boleh mengangkut bebanan yang lebih berat, dan tidak memerlukan makanan yang banyak.

Polo bersaudara menukar penunjuk arah yang baru. Alaodin digantikan dengan orang lain yang lebih mahir tentang selok-belok di gurun.

“Terima kasih banyak atas segalanya, Alaodin,” kata Marco semasa dia bersalaman dengan penunjuk arah yang banyak membantu dalam kembara mereka. Marco tidak dapat melupakan Alaodin, terutamanya kerana arak kurma yang diberi menyebabkan dia terlantar sakit selama setahun di Balashan.

“Saya juga begitu, tuan muda,” kata Alaodin. “Kalau keluarga Polo datang ke sini, jangan lupa jumpa saya.” “Untuk apa?”

“Supaya kita boleh mabuk-mabuk lagi dengan arak kurma,” kata Alaodin seraya berseloroh.

“Cukuplah pengalaman menyedihkan selama setahun itu. Saya tidak sanggup mengulanginya lagi,” kata Marco apabila mengenang kejadian pahit itu.

“Selamat jalan saya ucapkan. Perjalanan merentasi Gobi ini bukan mudah,” kata Alaodin. “Dan berhati-hati supaya tidak mengikut semangat gurun.”

“Semangat gurun?” tanya Marco.

Alaodin menjelaskan, “Perjalanan kita selama ini tidak seberapa jika mahu dinilai dengan kesukaran menempuh pasir Gobi. Di kawasan yang luas, tandus, dan banyak memakan nyawa seperti Gobi, macam-macam yang boleh berlaku.”

Marco menelan air liurnya apabila mendengar Alaodin berkata begitu. “Nyawa siapa? Beritahu aku lagi tentang semangat gurun yang kau maksudkan itu.”

Di sepanjang kembaranya ke timur, belum pernah lagi Marco mendengar sesuatu seperti itu. Niccolo jarang bercakap tentang perkara seperti ini. Mereka berdua hanya berbual perkara-perkara yang penting. Maffeo pula selalunya tidak mempercayai perkara- perkara yang karut, terutamanya legenda, dan juga kisah aneh yang biasa disampaikan penduduk tempatan.

Jika penduduk tempatan menceritakan perkara tahayul seperti ini kepada Maffeo, Marco tahu yang bapa saudaranya tidak berminat. Sebaliknya dia akan ketawa keldai seperti yang biasa dilakukannya.

Tetapi Marco tidak begitu. Cerita atau legenda orang tempatan biasanya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sebagai satu bentuk teladan. Dia tidak boleh mengabaikan perkara sepenting ini.

“Ceritalah cepat,” Marco mendesak kerana Alaodin cuba berlengah-lengah. Sedangkan dia tidak tahu bilakah Niccolo akan mengarahkan mereka untuk bertolak. Marco tidak mahu terlepas peluang mendengar cerita tentang gurun. Perkara-perkara seperti inilah yang menjadi sebab utama kenapa dia memilih untuk mengikuti bapanya mengembara.

“Sabarlah sedikit.”

Marco menjengahkan kepalanya dan melihat Niccolo sedang tawar-menawar dengan seorang peniaga tempatan yang menjual tali gentian. “Aku perlu tahu sebelum mereka siap,” katanya.

Alaodin tidak mahu menghampakan permintaan seorang rakan. Lagipun mereka berdua bakal berpisah dan dia tidak tahu bila lagi mereka akan bersua muka. Alaodin membuka mulut dan mula bercerita tentang semangat yang berkeliaran di Gobi.

Marco tidak dapat menutup mulutnya daripada terus melopong semasa mendengar cerita Alaodin yang penuh mempesonakan.

Kawasan gurun yang kering itu jadi bergema dengan gelak ketawa Maffeo yang tidak banyak beza dengan suara keldai yang menjadi tunggangannya. Perutnya pula terasa seperti kekejangan kerana tidak dapat menahan perasaan geli hati.

“Ulang sekali lagi apa yang Alaodin ceritakan kepada kamu?” kata Maffeo.

Marco jadi jengkel dengan sikap bapa saudaranya yang sangat menyakitkan hati itu. Tetapi dia perlu mempertahankan perkara yang didengarinya daripada bekas penunjuk arah mereka. “Semangat gurun,” kata Marco.

“Tolong ulang semula? Apa dia?”

“Semangat gurun. Dia berpesan supaya kita berhati-hati supaya tidak tersesat,” Marco meninggikan suaranya. Kalau boleh dia mahu menjerit di telinga Maffeo.

“Yalah, semangat gurun… semangat gurun,” kata Maffeo menahan rasa ketawa yang masih bersisa, “macamlah aku mahu percaya.”

“Betul, pak cik.” Marco berusaha meyakinkan bapa saudaranya itu.

Dalam gelak yang masih bersisa, Maffeo bertanya lagi, “Apa yang betul?”

“Daripada ceritanya, saya tidak fikir yang Alaodin menipu.” Maffeo menepuk dahinya lalu berkata dengan nada mengejek, “Oh, tolonglah Marco. Niccolo, engkau dengar tidak apa yang anakmu katakan ini? Semangat gurun konon? Tolonglah, ini perkara paling mengarut yang aku dengar sepanjang menyertai kembara ini.”

Muka Marco bertukar merah padam kerana menahan perasaan marah. “Dia tidak akan beritahu saya kalau perkara ini tidak betul.”

“Jangan mudah percaya cerita karut.” Maffeo mencebik.

“Saya tidak berbohong, pak cik,” Marco mempertahankan diri.

“Aku tidak kata engkau berbohong, aku cuma kata engkau bodoh kerana mempercayai cerita yang merepek seperti itu.”

Marco sudah cukup panas hati mendengar Maffeo merendah- rendahkan kepercayaannya kepada kisah dan kepercayaan penduduk tempatan. Bapa saudaranya itu tidak selalu betul dan dia tidak selalu salah.

“Kita lihat siapa yang betul nanti,” kata Marco, sedikit marah. Maffeo sekadar ketawa mendengar Marco seolah-olah sedang mencabarnya. “Kamu marahkan aku?”

Marco tidak menjawabnya.

Seperti perkara biasa yang dilakukannya bagi mengusik Marco, Maffeo ketawa keldai yang panjang. Semakin lama Marco mendengar suara bapa saudaranya itu, semakin sakit hatinya. Dia cuma mahu segera bertolak ke Gobi dari Bandar Lop kerana satu perkara sahaja, dia mahu membuktikan bahawa Maffeo tersilap jika menyangka yang kisah tentang semangat gurun itu hanyalah satu dongeng yang diceritakan kepada budak-budak.

Gurun yang luas itu bukannya padang permainan kanak- kanak. Permukaannya yang tandus dan kering menyukarkan perjalanan. Padang pasir menagih korban nyawa setiap pengembara yang melaluinya.

Marco percaya roh-roh pengembara yang mati di gurun ini tersesat dan merayau-rayau di gurun pada waktu malam untuk mencari mangsa seterusnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93910/marco-polo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *