[SNEAK PEEK] KISAH PEREMPUAN

9789674062132-medium
EBUKU Kisah Perempuan oleh Aina Emir

BERDOSAKAH AKU?

BAB 1

SEJAK dulu lagi aku selalu tertanya-tanya, kenapa aku ini sangat berbeza daripada mereka semua? Kami tujuh beradik, rupa pun tak banyak beza, tapi kenapa aku ini selalu diperlakukan seperti anak angkat, bukan seperti mereka? Padahal wajahku tiada beza daripada mereka. Malah, rupaku sangat sama dengan kakak nombor dua dan juga kakak yang di atasku. Banyak seperti wajah ayah. Kalau ada yang kata aku ini anak angkat, aku memang tak akan percaya pun. Mustahil! Tapi aku tetap hairan sebab aku tidak pernah mendapat perhatian seperti mereka semua.

Kami ini dilahirkan daripada dua orang ibu kerana ayahku pernah ada dua orang isteri. Aku dan dua beradik lagi, kami dilahirkan daripada ibu yang kedua dan malangnya ibuku sudah pun meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang. Sejak dulu lagi, kami semua dipeliharai ibu pertama kami dan sepanjang hidupku, ibu yang ku panggil ‘ibu’ itu memang merupakan seorang ibu yang baik hati pada kami semua, walaupun ada di antara kami bukan merupakan anak kandungnya. Tetapi kami tetap dilayan seolah-olah kami pernah duduk selama sembilan bulan dalam rahimnya.

Aku tak pernah rasa apa-apa yang tak enak dengan ibu tiriku itu, tetapi aku tak senang dengan adik-beradikku yang lain. Selama ini pun, kami semua tak pernah beranggapan yang kami berbeza kerana kami mempunyai ayah yang sama. Pun begitu, aku selalu rasa yang diriku tetap berbeza. Aku tidak tahu mengapa tetapi aku memang tahu yang mereka tidak menyukaiku.

Malah, ayahku sendiri kadang-kadang melayanku dengan layanan yang agak berbeza membuatkan jiwaku yang sensitif itu terasa-rasa. Sudah lapan belas tahun aku dilahirkan dan sudah 12 tahun arwah emakku meninggal dunia. Sejak umurku enam tahun, memang ibu lah yang menjagaku dan adik-adik daripada arwah emak. Malah, aku tak ingat pun arwah emak itu macam mana. Aku hanya kenal ibu sahaja.

“Lin… kau ni malas betul lah! Cuba kau basuh kain baju yang ada kat belakang berlonggok tu. Ini tidak, kau main tengok aje. Yang kau tahu, asyik main handphone kau tu aje! Macam kau aje yang pandai guna handphone tu!”

Malas betul aku mendengar bebelan kakakku itu. Kak Ani memang macam tu, padahal dia pun pemalas juga. Yang rajin hanyalah mulut dia sahaja, rajin membebel! Kalau nak kutuk orang, suruhlah dia. Memang pantas dan cekap. Cuma aku malas melawan. Kalau membalas kata-katanya itu, akan berpanjanganlah sampai ke malam. Baik aku diam. Lagipun, kain kotor yang berlonggok di belakang itu, tak ada pun kain baju aku. Aku dah pun membasuh pakaianku sendiri. Memang nampak benar Kak Ani yang pemalasnya, bukan aku!

Semalam pun aku berasa hati dengan abang sulungku. Abang Halim perli aku. Kata dia, aku ni jenis pandai mengipas orang. “Kau tu memang lah Lin, kalau nakkan sesuatu, pandailah kau mengampu sampai dapat. Esok kalau kau berlaki, macam tu lah agaknya. Mesti kau cekap mengikis duit laki kau.”

“Eh, kenapa pulak abang cakap macam tu?” soal aku.

“Kau ingat kami semua tak tahu ke? Kau nak keluar kat bandar, kan? Kau nak melepak dengan kawan-kawan kau, kan? Itulah yang kau rajin sapu sampah, mop lantai ni. Bukannya apa, kau nak suruh ibu bagi duit kat kau, kan?”

“Laa… apa salahnya kalau Lin tolong ibu? Orang lain tak tolong pun, biarlah Lin yang tolong!”

“Bukan pasal kau tolong ibu, tapi pasal kau mengharapkan upah dari ibu. Itulah yang aku kata kau pandai mengampu! Pandai mengipas. Bukannya ikhlas pun tolong tu!”

Aku jadi hairan. Takkanlah salah besar kot sekalipun ibu memberi aku sedikit wang untuk ke bandar? Bukankah aku memang tak mampu? Aku belum bekerja lagi. Kalau nak harapkan ayah, memang tak merasalah aku. Mujurlah ibu baik hati.

Mereka kerap mengungkit dengan aku seolah-olah semua yang aku lakukan itu memang salah, sedangkan mereka jauh lagi teruk daripada aku. Aku betul-betul tak faham kenapa mereka tak suka dengan aku. Dengan adik-adik seibu dengan aku, macam tak ada masalah pun. Hanya dengan aku sahaja yang ada masalah.

Pernah aku mengadu pada ayah tetapi ayah buat tak tahu sahaja membuatkan aku rasa yang ayah menyokong tindakan mereka. Dulu, semasa usiaku 15, aku pernah lari dari rumah kerana merajuk dengan ayahku sendiri. Ketika itu, aku memang ada melakukan kesalahan tetapi aku rasa kesalahan itu terlalu kecil untuk ayahku mengeluarkan kata-kata kesat hingga menggoreskan hati kecilku. “Kau ni anak yang tak ada gunanya! Anak yang menyakitkan hati! Anak yang buat aku menyampah! Menyusahkan hidup aku!” Aku masih ingat lagi kata-kata ayah yang bagaikan pisau tajam menikam lubuk hatiku.

Aku lari ke rumah kakak kepada ibu dan dari situ, ibulah yang memujukku untuk pulang. Bila hatiku lembut, aku bersetuju untuk kembali ke rumah. Tapi aku tahu, apa sahaja yang aku buat, semuanya salah!

Kalau diikutkan, memang ibu merupakan ibu tiriku, tetapi ibu lebih menjaga perasaanku kalau dibandingkan dengan ayahku, seolah-olah ayahku itu bukan merupakan ayah kandungku. Kalau adik-beradik yang lain, tak pernah sensitif dengan perasaanku, macamlah aku ini sebenarnya seekor monyet yang tinggal di hutan! Malah, adik-adikku seemak denganku sudah pandai mengeluarkan kata-kata sindiran. Aku dapat rasakan bahawa ahli keluarga bertindak seperti orang asing terhadap diriku. Tetapi, apa salahku yang sebenarnya? Apakah dosa yang telah aku lakukan hinggakan aku ibarat orang asing dalam keluargaku sendiri?!

BAB 2

AKU memang tak rapat dengan adik-beradik ayahku. Mereka pun buat tak kisah dengan aku, kecuali Ayah Cha, abang kepada ayahku yang memang jarang-jarang ada di kampung kami. Kebetulan Ayah Cha bekerja dengan sebuah syarikat besar kapal perdagangan dan selalu berada di lautan. Mungkin kerana itu juga Ayah Cha tidak berapa tahu apa yang berlaku di kampung kami. Bila Ayah Cha pulang, aku ternanti-nanti untuk berjumpa dengannya. Adik-beradik aku yang lain tak pernah kisah pun. Malah, mereka tak kisah dengan sesiapa pun! Masing-masing pentingkan diri sendiri.

“Lin… kalau Ayah Cha balik, kau tak payahlah sibuk nak ke rumah arwah Tok Wan tu. Kau duduk aje kat rumah ni… tak payah kacau dia.” Itulah yang dikatakan ayahku pada diriku. Agaknya ayah tak suka aku mengganggu ketenteraman ayah saudaraku itu. Maklumlah, Ayah Cha masih belum berkahwin lagi walaupun usianya sudah banyak.

“Alah, orang kerja kapal memanglah macam tu.” Aku ingat lagi cakap-cakap yang berbisik antara adik-adik perempuan ayahku. “Tak payah kahwin…” aku tak tahu apa lagi yang mereka katakan, tapi aku tahu mereka suka mengata-ngata Ayah Cha, walaupun itu adalah abang kandung mereka.

Agaknya kaum kerabat ayahku memang begitu, suka mengata-ngata sesama sendiri. Kini, penyakit itu turut turun kepada anak-anak ayah. Masing-masing suka benci-membenci, dendam-mendendam, umpat-mengumpat. Adoi, kalaulah aku boleh lepas daripada penyakit ini, betapa aku akan berasa lega.

Tetapi pagi itu, aku memang marah sangat-sangat dengan ayahku. Kata ayah kepadaku, “Kau tak payahlah nak belajar lagi, Lin. Kau tu perempuan, kau kerja lagi baik. Tak menyusahkan aku!” Aku menangis teresak-esak kerana berasa hampa sangat-sangat dengan percakapan ayahku itu. Kenapa aku tak boleh belajar sedangkan adik-beradik yang lain semuanya ayah benarkan untuk teruskan pengajian? Lagipun, keputusan SPM aku jauh lagi baik daripada adik-beradik yang lain.

“Kenapa ayah buat macam ni kat Lin, ibu? Kenapa ayah tak sayang Lin?” Aku mengadu pada ibu. Ibu sekadar memandang wajahku dengan rasa simpati.

“Tak apalah, Lin… nanti kita usahakan supaya Lin pun boleh belajar jugak. Nanti ibu cakap dengan ayah okey?”

Aku menaruh harapan yang tinggi, semoga hati ayah jadi lembut untuk membenarkan aku teruskan pengajianku. Takkanlah aku nak tolak tawaran UiTM untukku itu? Bukan mudah untuk dapat. Lagipun, kalau aku ke UiTM, tidaklah melampau besar perbelanjaanku nanti. Ayah tak payah melampau bersusah payah untukku. Tidak seperti adik-beradikku yang lain

yang belajar di kolej swasta. Sudah itu, macam Abang Din dengan Su, dua-dua gagal. Buat buang beras sahaja! Aku tahu, kalau aku diberi peluang, insya-Allah akan aku usahakan hingga berjaya. Aku tak mahu gagal.

Tapi ayahku tetap protes. Kata ayah, “Alah, Lin tu perempuan. Nanti berlaki, tak guna ada pelajaran tinggi-tinggi pun. Duduk di dapur jugak!”

“Tapi ayah… orang sekarang bukannya macam dulu. Semua perempuan sekarang bekerja. Lin pun ada cita-cita jugak. Nak jadi macam orang lain jugak.” Aku cuba membalas.

“Tengok arwah mak kau. Tengok ibu kau… ada kerja ke? Kerja kat dapur jugak! Aku jugak yang kena keluarkan belanja. Orang perempuan tak payah gatal nak kerja kat luar, duduk aje kat rumah! Sekarang ni, kau pergi cari kerja. Cari duit sendiri. Bila dah kahwin nanti, kau duduk aje kat rumah jaga laki kau. Kalau kerja, nanti kau meliar pulak!”

Ya Allah… aku jadi geram dengan ayahku itu. Seolah-olah ayah tidak sensitif langsung dengan perasaanku.

Kebetulan, Ayah Cha aku pulang ke kampung dan aku cuba meluahkan perasaan marahku pada Ayah Cha.

“Ayah Lin tu, tak tahulah kenapa… dia tak suka dengan Lin, Ayah Cha. Semuanya tak kena dengan Lin ni. Kalau adik-beradik yang lain, semuanya okey aje. Bayar yuran mahal pun ayah sanggup. Tapi dengan Lin, seciput pun ayah tak mahu berbelanja. Macam lah Lin ni anak angkat dia.”

Ayah Cha tidak komen, dia hanya mendengar sahaja. Aku pun tidak mendesak untuk dia memberi respons kerana aku juga sedar Ayah Cha aku itu, dia jenis tak banyak cakap. Kadang-kadang aku tertanya-tanya juga, kenapa Ayah Cha tak pernah kahwin. Aku teringat juga dengan ‘gosip’ yang pernah aku terdengar.

“Abang Cha tu… dia bukannya apa, dia frust. Bercinta, tapi tak menjadi. Awak asyik di laut aje, macam mana nak menjadi? Habislah buah hati dikebas orang.”

Kata-kata begitu melekat di benakku. Aku bersimpati pada Ayah Cha aku itu. Agaknya dia pernah dikecewakan dan kerana itulah dia terus membujang. Kesiannya pada Ayah Cha aku. Dalam hati, aku berkata-kata juga. Aku tak mahu hidup membujang hingga ke tua. Aku terbayang wajah Hilman, rakan sekolahku yang pernah menjadi pujaanku. Kini tidak lagi. Tapi aku tak kisah pun, aku tahu aku masih muda. Suatu hari nanti aku pasti akan bertemu dengan lelaki yang mungkin akan jadi jodohku. Aku ternanti-nanti untuk diberi peluang untuk jatuh cinta. Tentu seronok bila hatiku nanti berbunga-bunga seperti bunga mawar yang berkembang di taman. Aku mahu hidup seperti orang lain juga. Tapi kalau boleh, aku tak mahu hidup seperti ibu dan arwah mak aku. Dimadukan. Walaupun pada lahirnya, semua kelihatan seperti baik-baik, sebenarnya aku tahu ibu tidak pernah rasa bahagia.

Tiba-tiba aku melihat sendiri pada kisah yang mampu membuat aku bertambah sedih. Entah macam mana, aku terjumpa surat lama. Hari itu, aku ke rumah arwah Tok Wan ku. Mak Udaku meminta untuk aku mengemas bilik Ayah Cha. Kata Mak Uda, Ayah Cha bukannya pandai mengemas. Aku tak kisah untuk menolong kerana bila Ayah Cha pulang ke kampung, Ayah Cha memang rajin belikan aku hadiah. Baju barulah, seluar jean lah, kasutlah. Kadang-kadang Ayah Cha beri aku duit poket. Kata Ayah Cha, “Lin janganlah bagi tahu orang lain ya?” Memang aku tak cakap pada sesiapa pun. Aku tak mahu mereka fikirkan yang aku sedang ambil kesempatan. Tetapi aku memang kesian dengan Ayah Cha aku itu.

Bila aku membuka surat lama yang aku jumpa tersorok di dalam kotak kecil, di bawah katil antik di kamar Ayah Cha, aku jadi ingin tahu. Bukanlah aku ini jenis busy body, tetapi buat sedetik, aku mahu memahami hati Ayah Cha aku itu.

Berkali-kali aku membaca surat cinta yang tertulis di atas kertas yang kini sudah berubah ronanya. Aku baca dan baca dan aku melihat nama yang tertera di akhir surat itu. Betapa aku terasa pilu dan terharu. Betapa aku terasa akan sakit yang pernah terhinggap pada Ayah Cha ku. Aku bersimpati padanya.

Aku doakan yang terbaik buatmu, sayang. Aku tahu kau akan bahagia walaupun aku di sini pasti akan terluka. Dulu, aku sangkakan Lautan Hindi yang aku sering lalui tak mungkin akan kekeringan, namun kini aku tahu, lautan apa sekalipun mampu dikeringkan, sama seperti rasa cinta antara kita berdua. Akhirnya terpaksa dikeringkan juga. Aku rela kau pergi, aku rela kau menikahinya. Bukankah dia juga adikku? Apa yang mampu aku lakukan, cuma memberi kerelaanku, walaupun hatiku akan tergores dan terluka hingga bila-bila. Kau adalah nyawaku. Tanpa kau dalam hidupku, aku bagaikan bergerak tanpa ada rohnya lagi. Semuanya tidak ada makna buatku. Biarlah aku pergi, terus belayar di atas lautan yang kini akan menjadi gurun buatku. Biarlah aku menangis seorang diri, agar kau mampu tersenyum nanti. Biarlah, mawarku… biar kau terus kembang di jiwaku ini sekalipun aku akan teruskan hidup yang pasti sunyi.

Aku tahu surat itu adalah surat Ayah Cha yang dikirimkan untuk kekasihnya dan surat itu telah dipulangkan kepadanya dan Ayah Cha terus menyimpannya, mungkin untuk dijadikan kenangan. Cuma aku tak pasti, siapakah kekasih Ayah Cha itu?

Ibu atau pun arwah emakku? Atau mungkin orang lain yang aku tak tahu!

****

BUKAN AKU

AKU merenung tikar sejadahku. Sudah lebih setahun aku menggunakan tikar sejadah ungu itu. Setiap kali masuk waktu solat, sejadah itulah yang aku gunakan tatkala menunaikan solat. Meskipun aku kini berada di tempat yang boleh kukira ‘menakutkan’, namun aku tetap redha dengan apa yang menimpaku ini. Harapanku, semoga apa yang terjadi ini mempunyai hikmah di sebaliknya walaupun aku tidak nampak hikmahnya setakat ini.

Aku mengenali dia lebih kurang tiga tahun yang lepas. Ketika itu, usiaku baru menginjak 19 tahun. Jarak umurnya denganku hanyalah dua tahun. Dia merupakan seorang lelaki yang budiman dan pandai mengambil hatiku. Aku memanggilnya Robin meskipun nama sebenarnya ialah Borhan.

Aku masih ingat saat kali pertama aku bersua muka dengannya. Ketika itu, aku dan kawan-kawanku, Rita, Suraya, Miza dan Nasha pergi ke sebuah konsert di ibu kota. Kami semua terkinja-kinja melompat beramai-ramai apabila mendengar kumpulan kegemaran kami bernyanyi. Sedang aku melompat-lompat melayan lagu, mata aku tertancap pada Robin yang sedang memerhatikan gelagatku. Dia tersenyum padaku. Aku turut tersenyum melihatnya. Itulah detik perkenalan kami.

“Hi there…” tegurnya sebaik sahaja dia menghampiri aku.

Aku berhenti dari melompat-lompat lalu menegurnya kembali. “Hai…”

Kawan-kawanku memandangku sambil tersengih-sengih. Mereka masih seronok melayani lagu yang sedang dinyanyikan oleh kumpulan tadi.

“Awak datang dengan kawan-kawan aje ke?” soalnya.

“Ada boyfriend saya sebelah ni, tak nampak ke?” sengaja aku mengusik.

Dia kelihatan tercari-cari, tetapi sebaik sahaja dia melihat aku yang tersenyum kambing, dia tahu bahawa aku sengaja mengusiknya.

“Nama saya Robin.” Dia memperkenalkan diri.

“Wah… awak ni Robin mana ya? Robin Hood ke Robin kawan Batman?” Aku semakin seronok mengusik jejaka yang boleh kukira kacak ini.

Dia ketawa kecil dengan jenakaku. Kemudian, aku memperkenalkan diri pula.

“Awak sorang aje ke ni? Takkan datang konsert sorang-sorang kot?” Kini, tumpuanku adalah pada Robin. Aku sudah hilang tumpuan pada konsert yang sedang berlangsung. Sebenarnya, aku datang ke konsert ini pun atas desakan kawan-kawanku. Jadi, bagiku apalah sangat kalau aku tak beri tumpuan pada nyanyian penyanyi yang sedang bertungkus-lumus memberikan persembahan yang terbaik itu.

“Dengan kawan-kawan. Tapi dia orang dah hilang entah ke mana-mana,” kata Robin.

Kami terus cuba untuk berbual walaupun suasana agak bising. Dia terpaksa merapatkan dirinya denganku agar kami dapat mendengar suara masing-masing.

SEMENJAK malam konsert itu, aku semakin rapat dengan Robin. Kebetulan, dia tinggal berhampiran dengan tempat tinggalku. Aku tinggal di sebuah apartment yang dikongsi bersama tiga orang rakan. Robin pula tinggal lebih kurang 15 minit perjalanan dari apartmentku.

Ketika itu, aku sedang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang fotografi. Aku memang meminati bidang fotografi sejak menuntut di sekolah menengah. Bagiku, setiap gambar yang diambil mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri. Aku bukanlah jenis yang suka mengambil gambar orang berkahwin dan sebagainya, aku lebih suka mengambil gambar berkaitan dengan alam semula jadi. Aku suka mengambil gambar pemandangan, aku juga suka mengambil gambar pokok dan daun. Kadangkala, aku gemar mengambil gambar burung yang bertenggek di atas tiang elektrik mahupun pokok. Namun, tidak semua orang menghargai apa yang aku minati.

Bapaku yang menetap di kampung kerap membebel padaku berkenaan pilihan jurusan pengajianku. Baginya, program yang kupilih ini tiada masa depan yang cerah.

“Aku suruh jadi cikgu, kau tak nak. Jadi cikgu tu jauh lagi bagus daripada kau jadi jurugambar. Bukan berfaedah pun ambik gambar sana-sini.” Itulah bebelan bapaku setiap kali aku pulang ke kampung. Dan kerana itu juga, aku jarang pulang ke kampung kecuali bila cuti semester yang panjang.

Ibuku pula tidak pernah berkata apa-apa. Tidak pernah menentang, tidak juga memberi sokongan. Kadangkala, aku terasa seperti ibuku hidup dalam dunianya sendiri. Ada masa dia kelihatan termenung. Ada masa dia kelihatan sedih. Entahlah… mungkin layanan bapaku terhadapnya yang menjadikan dia sebegitu. Bagiku, jarang sekali bapaku melayaninya dengan baik. Memanglah bapaku tidak pernah memukul ibuku, namun bapaku tidak pernah menunjukkan sikap penyayang terhadap ibuku, juga adik-beradikku.

Aku mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan. Kami hanya tiga beradik. Abangku sudah lama menghilangkan diri di ibu kota. Adik perempuanku pula masih berada di sekolah menengah ketika itu. Aku pernah terdengar perbualan bapaku bersama Pak Zainal, bapa saudaraku. Kata mereka, abang aku mungkin terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah. Namun, sejauh mana berita itu, aku tidak dapat pastikan. Mungkin kerana itu juga ibuku berubah. Mungkin dia kecewa dengan abangku. Entahlah… hanya ibuku sahaja yang tahu.

Yang pasti, semenjak aku melanjutkan pengajian di ibu kota selepas menamatkan tingkatan lima, aku semakin renggang dengan keluargaku. Keluargaku juga tidak begitu kisah dengan diriku. Mungkin kerana itu juga, aku semakin rapat dengan Robin yang kerap kali mengambil berat tentang diriku.

“Kenapa panggil Robin? Kan nama awak Borhan.” Pernah aku menyoalnya ketika kami keluar makan malam.

“Kawan-kawan sekolah saya yang mulakan dulu. Mula tu lebih kepada usik, tahu-tahu melekat sampai sekarang.” Dia memberi penjelasan. Sambil itu, dia menikmati nasi goreng kampung yang terhidang.

“Awak pula, macam mana boleh jadi Mia? Nama awak sikit punya canggih, tapi panggil Mia?” dia menyoalku kembali.

“Canggih ke nama Kamilia?” Aku tertawa kecil. “Sebenarnya, masa kecik dulu saya pelat… jadi sampai la sekarang ni semua orang panggil Mia.”

“Boleh tak kalau saya panggil awak Mia sayang? Biarlah saya panggil awak lain dari semua orang…” lembut sahaja suaranya bertanya.

Jantungku bagai nak gugur. Terasa sungguh istimewa tatkala dia meminta sedemikian. Terasa diri ini begitu penting bagi Robin. Mungkinkah ini yang dikatakan jatuh cinta? Adakah aku sudah jatuh cinta pada jejaka di hadapanku ini? Tapi, masih banyak yang aku perlu tahu tentang dirinya. Siapa keluarganya? Dari mana asalnya? Aku baru mengenalinya selama dua minggu. ‘Ahh… apa salahnya? Bukan nak kahwin terus…’ bisik hatiku.

 

SEPANJANG berada di samping Robin, aku terasa begitu gembira. Dia seorang yang penyayang dan pandai berkata-kata untuk mengambil hatiku. Namun, dalam begitu, dia merupakan seorang yang kuat cemburu. Dia pantang melihat kiranya ada lelaki lain yang datang berbual bersamaku. Aku tetap menyayanginya walaupun aku perlu bersabar dengan perangainya yang satu itu.

Meskipun sudah hampir dua tahun kami bercinta, aku tidak pernah bercerita tentangnya pada keluargaku. Aku pasti bapaku akan menentang percintaan kami. Apatah lagi Robin tidak pernah menamatkan pengajian di universiti. Kini, dia membantu seorang temannya menjalankan perniagaan sewa studio untuk ‘jamming’. Aku pula, sudah mula bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah. Kalau ikutkan hati, aku mahu bekerja secara bebas, namun ini bukanlah masa yang sesuai. Aku perlu mengumpulkan pengalaman terlebih dahulu, selain perlu mempunyai modal untuk membeli peralatan yang bagus.

Sebenarnya, aku bercadang untuk melanjutkan pengajian sarjana muda pula, namun aku memilih untuk bekerja terlebih dahulu agar dapat mengumpulkan wang. Manalah tahu kalau Robin ingin mengajakku berkahwin, adalah duit yang aku boleh gunakan. Aku tidak harap sangat dengan bantuan ibu bapaku di kampung. Lagipun, Robin sendiri tidak stabil dari segi kewangan.

Pernah Rita bertanya padaku, “Kau ni betul ke nak teruskan dengan Si Robin tu?”

“Kenapa kau tanya macam tu?” berkerut-kerut dahiku menyoal.

“Aku bukan apa, Mia… tapi, Robin tu aku tengok macam tak ada masa depan aje. Tengoklah, dia banyak melepak kat studio kawan dia tu.”

“Dia tolong kawan dia lah. Bukan lepak saja-saja.” Aku mempertahankan kekasihku.

“Memanglah… tapi, sampai bila? Dah lah belajar pun tak habis, kerja pun main-main aje. Macam mana kau nak kahwin dengan dia nanti? Silap-silap kau kena tanggung dia pulak.” Rita masih mempersoalkan tentang pilihan hatiku.

“Alah… pandai lah dia nanti. Dia pun muda lagi. Baru 23 tahun. Dia pun tak pernah minta duit aku ni.” Aku tidak berpuas hati dengan Rita. Bagiku, Robin adalah lelaki yang baik untukku walaupun banyak kekurangannya.

“Sekarang memanglah tak minta, Mia. Esok-esok, mesti dia minta. Kau pulak dah kerja. Kau jangan sampai menyesal Mia. Nanti rugi aje. Kau dah lah cantik. Apalah sangat yang ada pada Robin tu?” Masih Rita cuba mencucuk aku.

“Ehh, kau ni kenapa Rita? Aku bahagia dengan Robin tu. Dia baik. Dia sayang aku.” Aku bersungguh-sungguh mempertahankan Robinku.

“Hmm… kau betul ke tak nak sepupu aku tu? Si Haikal tu memang suka kat kau, Mia.”

“Sebenarnya, kau nak suruh aku tinggalkan Robin sebab Haikal tu kan? Tak nak lah. Baik kau aje yang ambik Si Haikal tu.” Aku rimas dengan cara Rita. Bagiku, sebagai kawan dia perlulah menghormati pendirianku.

Haikal. Lelaki yang merupakan sepupu Rita itu sudah banyak kali menghubungi aku sejak kebelakangan ini. Lelaki itu tiga tahun tua daripadaku. Aku mengenalinya ketika baru belajar di kolej yang sama dengan Rita. Sepupunya yang tinggal berdekatan kolej kami kerap datang ke kedai makan yang selalu kami kunjungi bersama rakan-rakannya.

Bagi mataku, Haikal merupakan seorang lelaki yang sedap mata memandang, namun perangainya membuatkan aku kurang selesa untuk rapat dengannya. Dia suka mengusik aku terlebih-lebih hingga kadangkala menyakitkan hatiku. Dia pernah meluahkan perasaannya terhadapku, namun, aku tahu aku tak mungkin akan bahagia bersamanya.

Meskipun dia tahu sudah dua tahun aku menjadi kekasih kepada Robin, dia tidak peduli semua itu. Baginya, dia masih berpeluang untuk bersamaku. Apatah lagi, dia kini sudah bekerja di sebuah syarikat swasta yang agak besar. Baginya, dia jauh lebih hebat daripada Robin yang masih terhegeh-hegeh untuk menentukan masa depannya.

Mia, kalau awak dengan saya kahwin… mesti kita akan bahagia. Saya akan beri semua yang awak nak…

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/64993/kisah-perempuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *