[SNEAK PEEK] KERANAMU LAILA AZWA

Keranamu Laila Azwa Oleh Dilla Ahmad

 

AKU sedar mata Hadi sesekali memandangku. Sekeping piza yang dia letakkan di dalam pinggan di hadapanku, aku pandang kosong. Macam tak ada selera nak makan.
“Laila Azwa…” Panggilnya lembut.
Aku yang sedang menongkat kepala mengangkat muka sedikit memandangnya.
“Makan dulu. Lepas tu baru boleh fikir.” Dia menyorongkan jus oren padaku. Air itu aku tarik lalu menyedutnya. Terasa segar sedikit lorong tekak aku.
Kemudian dia mengambil piza lalu menggigit perlahan. Matanya memandangku sekali lagi. Dia menghela nafas lalu meletakkan kembali piza itu dan memandangku.
“Kau kenapa?” Tanya Hadi memerhatikan aku.
“Aku rasa bersalahlah, Hadi. Sebab buat Abang Zali macam tu,” kataku dengan muka muram.
“Habis, kau nak kahwin dengan dia ke?” Tanya Hadi lagi sebelum menyedut minumannya pula.
“Aku pun tak tahu apa yang aku nak buat. Otak aku buntu!” Aku terus menjatuhkan kepalaku ke lenganku yang berada di atas meja. Terasa lemahnya aku.
“Mak Wan cakap apa?” Hadi memotong sedikit pizanya lalu disuap ke dalam mulut.
“Emak tak cakap apa-apa. Dia serahkan keputusan tu pada aku. Aku yang nak kena kahwin dengan anak mak long tu, jadi akulah yang kena buat keputusan.” Jawabku sambil mengacau-ngacau jus orenku dengan straw.
“Sooo… Apa keputusan kau, Azwa?”
“Aku tak nak kahwin dengan Abang Zali tu!” Ucapku tiba-tiba.
Mata memandang Hadi. “Ini hidup aku dan aku yang akan tentukan sendiri.” Aku mengangguk pula.
Rasa yakin pada diri sudah ada dalam hati aku. Dan kata-kataku tadi pada Abang Zali pasti akan disampaikan pada mak long. Takkan mak long nak marah pulak?
Hadi sudah tersenyum lebar. Terus nampak dia berselera mengunyah pizanya. Hari ini dia belanja aku makan piza. Okeylah tu. Lagipun, jelak jugak hari-hari makan nasi goreng kampung atau mee goreng dengan sirap limau.
“Terima kasih, Hadi. Sebab tolong aku. Nanti aku belanja kau makan pulak ya.” Kataku sambil tersenyum lebar.
Terasa lega hati aku bila dah buat keputusan begini. Piza yang berada di dalam pinggan, aku angkat dan bawanya ke mulut. Tak payah nak potong dengan pisau lepas tu cucuk dengan garfu. Tak puas makan macam tu.
Aku tengok Hadi makan piza tu sopan aje. Aku pulak yang nampak gelojoh sangat. Ah, yang ada kat depan aku ni HADI! Bukan lelaki lain. Kalau lelaki lain kenalah control ayu sikit! Ha…ha…ha
“Aku nak mintak tolong kau ni, Azwa.” Hadi berdeham sedikit. Mulutnya dilap dengan kertas tisu.
Aku terhenti mengunyah dan pandang dia. “Tolong apa?” Tanyaku pula.
“Jadi partner aku!” Jawab Hadi dengan muka bersahaja.
“Hah?” Aku sudah berkerut pandang dia. Kertas tisu dihulurkan kepadaku sambil memberi isyarat menyuruh aku mengelap mulut. Aku buat apa yang Hadi suruh.
“Partner yang macam mana ni?” Tanyaku lagi. Macam nak tercekik pulak apabila mendengar permintaan Hadi itu.
“Partner untuk pergi ke majlis tahunan sebuah syarikat ni. Aku malas nak pergi sebenarnya sebab aku tak suka dengan satu mamat ni. Dia anak owner syarikat yang aku kena pergi nilah.” Cerita Hadi. Aku mengunyah pizaku sambil mendengar cerita dia.
“Pergi ajelah. Ajak Insyirah!” Syorku pula. Mata dia dah tak berkelip pandang aku.
“Dia dah ada boyfriendlah! Lagipun, dia ada hal malam tu. Takkan sebab aku bos dia, dia nak kena kensel date dia dengan boyfriend dia tu?” Tanya Hadi pula. Muka dia, aku lihat dah nampak ketat sikit.
“Wah, berani jugak kaukan? Panggil girlfriend orang, sayang?” Balasku sinis. Mata dia memandangku tegak.
“Boleh tak ni?” Tanya dia lagi. Suara macam sudah hilang harapan. Muka tu pulak dah nampak tak bersemangat.
“Kau ni tak ada teman wanita ke, Hadi? Di mana Hadi Aiman Amsyar yang terkenal dengan kaki aweknya tu?” Aku dah ketawakan dia.
“Nak ajak aku pulak?” Jelingku pula. Sikit-sikit nak merajuk. Perangai langsung tak berubah.
“Kalau aku ada girlfriend, aku tak ajak engkau la, Azwa!” Balas Hadi keras. Macam sentap sebab aku ketawakan dia.
“Eh? Mana perginya girlfriends kau yang ramai tu dulu?” Aku masih nak menyakat dia. Asyik aku aje kena buli, dulukan?
“Kau nak tolong aku ke tak ni?” Tanya Hadi dengan suara yang sudah mendatar.
“Jumpa emak dulu. Mintak izin.” Balasku selamba.
Mata hitam Hadi tunak merenungku. Apa? Dia ingat aku main-main? Walaupun dah besar panjang macam ni, ke mana-mana aku nak pergi pun kena cakap dengan emak aku dulu tau! Jadi emak tak risau sangat dan tahu aku pergi ke mana.
“Okey. Nanti balik kerja aku jumpa Mak Wan. Aku tunggu kau habis waktu kerja. Lagipun, aku dah lama tak jumpa dia. Rindu betul aku dekat dia. Kaulah punya pasal ni!” Dia salahkan aku pulak. Bibirnya sudah menyenget ke tepi sedikit.
“Yelah! Semuanya salah aku!” Malas aku nak bertekak lagi. Hadi ketawa saja.
“Aku pun rindu jugak dengan engkau. My bff forever!” Dia tambah forever tu lagi. Aku mencebik saja.
“Betul ke Pakcik Manaf tak sihat, Hadi?”
“Orang tua, biasalah. Kejap-kejap sakit. Sekarang dia dah tak pergi ofis. Duduk relax aje sambil goyang kaki melayan makcik kat rumah tu. Abang Rushdie dah ada anak sekarang. Jadi masa dia orang tu dengan cucu ajelah.” Kata Hadi lagi, bercerita perihal keluarganya.
Aku panggung kepala. Betapa cepatnya edaran masa. Yang aku ingat dulu, Abang Rusdie tu masih belajar di luar negara walaupun dah bertunang dengan Kak Suhaila. Bila dia orang kahwin pun aku tak tahu.
“Laila Azwa…” Panggil Hadi perlahan. Segera aku memandangnya.
“Kenapa kau tak kahwin lagi? Umur dah dua puluh enam macam ni, dah patut kahwin tau. Kak Iza kahwin pun umur dua puluh tiga. Dah ada dua orang anak sekarang.” Kata Hadi lagi, tentang kakak nombor dua dia tu.
“Kau ingat, jodoh tu datang bergolek ek? Lagi pun, aku tengah tunggu Mr Right ni.” Jawabku tersengih.
“Tak payah cari jauh-jauh. Mr Right kau ada depan mata kau sekarang ni!” Jawabnya selamba. Bibir sudah tersenyum menawan.
“Kau okeylah, tapi aku nak cari lelaki yang boleh buat jantung aku bergetar. Buat aku rasa nak pandang aje muka dia…” Balasku sambil buat-buat muka khayal.
Senyuman Hadi langsung mati. Tangan dia terus mencapai gelas minumannya dan menyedut jus orennya hingga habis.
“Dah habis makan ke?” Tanya Hadi seraya menilik jam di tangan kirinya.
“Aku ada kerja lagi dekat ofis ni. Aku hantar kau balik.” Dia tiba-tiba berdiri. Cepat-cepat aku menyedut minumanku dan turut bangun juga.
Hadi sudah melangkah beberapa tapak di hadapanku. Dah kenapa pulak Si Hadi ni? Pelik sungguh aku dengan perangai dia. Sejak dulu hingga sekarang, aku memang tak faham perangai dia.
Sepanjang perjalanan ke pejabatku, kami tak berbual. Muka dia pun aku nampak ketat aje macam memikirkan sesuatu. Aku tak berani nak tanya dia. Dia memberhentikan keretanya di hadapan pejabatku.
“Nanti petang, aku tunggu kau kat sini. Jangan kau lupa pulak.” Kata Hadi, mengingatkan aku sebelum aku keluar dari kereta. Aku mengangguk sebelum membuka pintu keretanya.
Aku segera keluar. Tak sempat aku nak melambai dan ucap terima kasih kat dia, dia blah macam tu aje. Angin betullah Si Hadi ni!
Aku segera mengeluarkan telefon bimbitku. Sebelum aku lupa, baik aku beritahu emak yang Hadi nak datang ke rumah petang ini. Emak tentu suka.
“Assalamualaikum, mak!” Jeritku. Maklumlah aku kat depan jalan raya ni. Sana sini kedengaran bising dengan bunyi kenderaan.
“Waalaikumsalam Wa. Ada apa call mak ni? Kamu dah jumpa Abang Zali kamu ke tadi? Kenapa mak long call emak marah-marah? Kamu tolak pinangan anak dia ke?” Soal emak bertalu-talu. Aku sudah terlopong.
Cepatnya berita tersebar. Aku berjalan menuju ke bangunan pejabatku.
“Mak, balik nanti Azwa cerita ya. Ni, Azwa nak beritahu mak hal lain pulak. Mak tentu suka!” Balasku pula, sengaja skip cerita pasal Abang Zali itu.
“Hal apa tu, Wa? Kamu nak kahwin dengan orang lain ke? Tadi Zali ada cakap dengan emak!”
Aku ternganga pula. Langkahku terus terhenti. Adoiii… Abang Zali ni. Itu semua nak cakap dengan emak ke? Macam tak matang aje?
“Itu pun nanti Azwa cerita.” Kataku. Suaraku dah perlahan. Aku risaukan emak. Nanti mulalah otaknya fikir yang bukan-bukan.
“Sekarang ni Azwa nak beritahu emak, petang ni Hadi nak datang ke rumah kita!” Kataku laju saja sebelum emak menyampuk lagi.
“Hadi? Hadi mana pulak ni?” Tanya emak. Bunyi suara emak macam dah keliru. Sah emak dah tak ingatkan Hadi.
“Hadi Aiman, mak. Anak majikan lama emak tu. Anak Pakcik Manaf!” Jawabku seraya menekan butang lif.
“Ya Allah, Hadi Aiman tu? Eh, kenapa dia nak datang ke rumah? Dia nak pinang kamu ke?” Tanya emak lagi. Aku sudah menahan nafas.
Hai, emak aku ni! Ingat aku ni terdesak sangat ke nak kahwin?

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/303057/Keranamu-Laila-Azwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *