[SNEAK PEEK] KALAULAH AKU TAHU

9789831248738-medium
KALAULAH AKU TAHU Oleh Ayu Emelda

PELIK! Itu yang Keyra rasa bila dia seorang sahaja yang bersarapan dengan berselera. Puan Rohana hanya menjamah sepotong kuih. Fahmi pula mengunyah nasi lemak macamlah makan dodol. Perlahan dan lambat-lambat. Macam liat benar gayanya. Tarmizi lagi teruk. Makan sambil tongkat dagu. Tak senonoh! Mesti makan sambil berangan!

“Adik dah sihatlah…” Spontan ayat itu terkeluar dari mulut Keyra yang penuh dengan nasi lemak.

Tiga pasang mata memaku pandang ke arahnya.

“Kenapa semua orang sedih dan monyok pagi ni? Nanti rezeki lari baru tahu! Susah hati sebab adik ke? Janganlah risau. Adik memang dah sihat walafiat sekarang ni. Kalau kena lari pusing satu taman ni pun adik mampu tau!” ujar Keyra lagi bersungguh-sungguh.

Tarmizi mencebik. “Huh… perasan! Tak ada maknanya angah termenung sebab Keyra.”

“Jangan panggil Keyra boleh tak?” Entah kenapa hatinya panas apabila Tarmizi memanggilnya begitu. Dia rasa seperti tidak disayangi lagi.

“Dulu adik juga yang paksa kami ubah. Kononnya tak mahu lagi panggil adik sebab dah besar. Dah kahwin…”

“Itu dulu…” potong Keyra cepat-cepat. “Selagi adik masih anak ibu dan ayah… dan selagi adik ni masih adik along dengan angah, jangan berani nak tukar.”

“Yalah!” jawab Tarmizi bagai terpaksa.

“Dah… sekarang habiskan nasi lemak ibu masak tu.”

“Along belilah…” celah Fahmi.

“Oh! Ya ke? Err.. tak kisahlah. Sekarang… semua orang makan. Jangan nak tunjuk muka sengal pagi-pagi ni. Yang along pulak, muka tu kenapa. Along bertumbuk ke?” Keyra merenung wajah abangnya dengan lebih teliti.

“Terhantuk pintu kereta.” Bersahaja Fahmi menjawab.

Tarmizi tersengih.

“Dah tua bangka pun terhantuk pintu kereta. Apalah along ni!” kutuk Keyra sambil tergelak. Kemudian dia menambah nasi lemak yang sudah hampir licin ke dalam pinggan.

Puan Rohana menjeling manja. “Amboi adik… bukan main berselera lagi kalau dapat makan nasi lemak.”

“Yalah ibu… sedap sangat. Nasib baik tak terbantut selera adik tengok rupa orang lain yang macam gerhana matahari.”

Tarmizi mengajuk ayat adiknya. Cuma suaranya sahaja yang tidak keluar. Geram juga dengan apa yang berlaku. Mereka semua susah hati memikirkan masalah Keyra sedangkan tuan punya badan nampak begitu tenang.

“Fikir masalah apa sebenarnya ni?” Sesudu lagi nasi yang cukup enak itu disuakan ke mulut. “Cuba cerita biar adik tolong fikir sama,” sambung Keyra lagi.

“Keluarga Har nak datang esok,” beritahu Puan Rohana.

Keyra tersedak. Beberapa butir biji nasi melantun keluar. “Hantu Jepun!” Perlahan perkataan itu keluar di hujung nafas. Batuknya semakin menjadi-jadi. Sehingga merah matanya. Bahkan, hidungnya sudah berair.

“Hah… cakap sikit dah sentap.” Tarmizi tersengih.

Fahmi yang duduk bertentangan bangun lalu menepuk-nepuk belakang adiknya. Kemudian digosok dengan siku.

Puan Rohana menghulurkan secawan teh. Dah jadi balik perangai lama. Kalau setakat umur yang semakin muda enam tahun tak apa, ini perangai pun dah kembali muda sama. Aduhai! Hatinya resah memikirkan keadaan anak perempuannya.

Jadi isteri tapi ‘tak sedar diri’. Masih fikir dirinya bujang. Kenapa dia boleh hilang memori begitu? Sedangkan itulah kenangan paling penting dalam hidup mana-mana wanita.

“Ibu…” Meleret suara Keyra tiba-tiba. Matanya merah. Hidung pula berair dan pedih sebab tersedak.

Itu baru sebut nama Hardy. Belum lagi tengok orangnya. Dia masih tak boleh lupa pandangan lelaki itu yang menikam. Oh… memang meruntun kalbu! Tetapi itu tidak bererti dia sudah jatuh cinta. Walaupun hakikatnya, memang tak salah bercinta dengan suami sendiri.

Hantu Jepun! Setiap kali nama Hardy disebut, perkataan itu terus sahaja melintas di kepala. Entah kenapa… dia sendiri tak tahu. Mungkin kerana pertemuan pertama mereka tidak seperti yang dijangka.

Opps… boleh ke diistilahkan pertemuan pertama kalau mereka dah kenal cukup lama? Kongsi katil… kongsi bantal. Aduh! Dan dia tak sanggup membayangkan lebih jauh dari itu. Pelipisnya digaru-garu.

“Kenapa, adik? Sakit kepala?”

Bukan setakat sakit kepala ibu… seluruh jiwa dan raga jadi sakit bila nama hantu Jepun itu disebut di depannya.

“Along ambil ubat adik di bilik,” arah Puan Rohana.

Keyra mengangkat tangan. Menegah. “Lepas subuh tadi adik dah makan.” Sebolehnya, dia cuba mengurangkan pengambilan ubat penahan sakit yang dibekalkan kepadanya. Hanya diambil bila keadaan benar-benar terdesak sahaja. Bukan apa, cuma bimbang menjadi ketagihan pula nanti.“Dah tu… sakit kepala lagi?” Puan Rohana risau. Direnung anaknya yang sudah tersandar dengan mata pejam celik.

“Dah okey.”

“Alergi sangat ke bila dengar nama Har?” Kening Puan Rohana sudah seperti jongkang-jongket. Senyumannya melirik ke kanan. Bahu anaknya ditepuk dua kali sebelum duduk semula di tempat tadi.

“Ibuuu…” Suara Keyra panjang meleret.

Tarmizi gelak menyakat sementara Fahmi tersengih geli hati melihat perangai adiknya.

“Cuba berkenalan semula dengan dia,” pesan Puan Rohana. Bukan sekali dua dia cakap perkara yang sama. Tetapi Keyra masih berdegil.

“Tak sukalah ibu…”

“Tak suka… tak suka. Dulu bukan main lagi. Adik tahu tak… masa adik nak kahwin dengan Har dulu, ayah tak berapa setuju.”

“Hmm…” Keyra berminat ingin tahu lebih lanjut. Cuma malu mahu bertanya. Cinta terhalang ke?

Puan Rohana menyambung makan dengan senyap sambil sesekali menjeling ke arah anak perempuannya.

“Tak nak tahu ke?” sakat Tarmizi.

Keyra mencebik.

“Masa bercinta bukan main lagi.” Fahmi pula main tarik tali sengaja membuatkan Keyra tertanya-tanya.

Keyra masih diam. Menjeling geram Fahmi dan Tarmizi yang sengaja mahu mengenakan dirinya.

“Kalau nak cerita… ceritalah. Main-main pulak.” Dia sudah membentak dengan wajah garang.

“Dulu, Hardylah lelaki terbaik dalam dunia. Romantik. Memahami. Ambil berat. Huh! Dulu bukan main lagi.” Tarmizi bercerita dengan muka sarkastik.

“Apa pulak!” Muka Keyra jadi merah tiba-tiba.

Fahmi dan Tarmizi bagai berpakat mengenakan dia.

“Ibu…” Keyra meminta simpati. Tidak tenteram hati dan perasaan disakat begitu. “Mana aci…” Muncungnya kian terserlah.

“Dulu ayah kata tak boleh tapi adik nak juga. Kononnya Har adalah cinta sejati. Bercinta bagai nak rak…” Puan Rohana pula yang buka cerita.

“Jadi ayah tak setuju? Ayah tak sukakan Har?” Hatinya meronta-ronta ingin tahu perkara sebenar.

Mereka diam lagi.

“Ibu…” Dia ketap bibir.

“Bukannya ayah tak sukakan Har…”

“Habis tu?”

“Ayah cuma tak suka adik kahwin ketika usia masih muda. Baru habis belajar, belum kerja. Tiba-tiba adik cakap nak kahwin. Kami sendiri pun tak tahu siapa Hardy. Belum sempat berkenalan,” sambung Fahmi.

Hui! Gatalnya aku! Bukan ke dulu aku cakap nak kumpul duit banyak-banyak. Kononnya mahu balas jasa ayah dan ibu. Paling tidak pun, bawa mereka pergi makan angin ke Istanbul dulu sebelum kahwin? Soalnya sendiri. Kenapa semuanya tak menjadi pulak ni?

“Tapi sekarang sebut nama Har pun tak sudi,” sindir Tarmizi.

“Itu sebab adik tak ingat.” Keyra membela diri.

“Adik kena jumpa dia selalu. Cuba ingat kembali. Dr. Steve cakap memori yang hilang tu boleh datang semula. Amnesia adik berkemungkinan boleh sembuh dengan cepat asalkan pesakit itu sendiri berusaha untuk mengembalikan memorinya yang hilang.”

“Pada angah, lebih elok adik tinggal dengan Har. Hari-hari tengok muka mesti boleh ingat balik. Kenapalah dalam ramai-ramai orang… adik boleh lupa kenangan dengan dia?”

Keyra menjeling tajam.

“Apa kata adik pindah aje dan tinggal semula di Setia Alam?” Tidak teragak-agak Tarmizi suarakan pendapatnya yang dirasakan paling bernas.

“Gila ke angah ni?” bidas Keyra. Nasi yang dikunyah bagaikan tidak tertelan. Sesuka hati aje buat usul macam tu.

“Apa pulak gila? Har tu suami adik.”

Matanya mencerlung tajam tidak berpuas hati. “Mana boleh paksa.” Keyra tetap berpegang dengan pendiriannya. Bagaimana mungkin dia boleh hidup dengan seorang lelaki yang dia sendiri tidak kenal. Kenyataannya memang dia suami, tetapi dalam keadaan sekarang dia tidak mampu menerima Hardy dengan begitu mudah. Dia perlukan masa untuk mereka berkenalan semula dan menyesuaikan diri.

“Ini bukan soal paksa tapi soal tanggungjawab. Kalau benda yang hilang kita sepatutnya berusaha mencari. Tapi cara adik macam nak mengelak,” sindir Tarmizi.

“Apa angah ingat adik suka ke hilang ingatan?” soal Keyra dengan muka geram. Terasa nak tenyeh muka Tarmizi dengan sambal nasi lemak.

Macam manalah Kak Dahlia boleh tahan dengan perangai begitu? Dulu, disangkakan hubungan mereka hanya bertahan paling lama pun setahun. Tetapi tak sangka pula kini mereka sudah menjadi pasangan suami isteri. Bahkan, tidak lama lagi mereka berdua bakal menimang cahaya mata. Tapi perangai angah dari dulu sampai sekarang tetap sama. Memang T-Rex sungguh!

“Memanglah… tak ada siapa yang suka. Tetapi sekarang ni adik kena terima kenyataan.” Tarmizi terus mendesak.

“Kenapa angah pulak yang kecoh? Hardy pun suruh adik buat keputusan sendiri. Tunggu sampai adik betul-betul bersedia dan boleh terima kenyataan tentang status kami. Bukannya macam angah, semua benda nak paksa orang,” hamburnya geram.

“Memanglah… tak ada siapa yang suka. Tetapi sekarang ni adik kena terima kenyataan.” Tarmizi terus mendesak.

“Dia sendiri pun suruh adik buat keputusan sendiri. Tunggu sampai adik betul-betul bersedia dan boleh terima kenyataan tentang status kami. Bukannya macam angah, semua benda nak paksa orang,” hamburnya geram.

“Kalau angah di tempat Har pun angah cakap benda yang sama. Sebab dia akan rasa bersalah kalau suruh adik tinggal dengan dia. Tapi adik kenalah faham juga keadaan Har sebagai seorang suami.”

Keyra mencemik. Tidak bersetuju langsung dengan cadangan Tarmizi. Kalau hati tak mahu terima, buat apa pun tak akan jadi. Angah kenalah faham kedudukannya sekarang.

“Dahlah angah… Jangan dipaksa. Biarlah adik betul-betul sihat dulu. Ibu tak memihak kepada sesiapa. Keyra pun dah tahu semua cerita. Har pun faham situasi sekarang. Kamu berdua berbincanglah. Selesaikan masalah ini.”

Lepas Puan Rohana bagi kata putus, suasana tegang berubah jadi sepi. Tapi tak lama. Tarmizi buka cerita baru.

“Along… tanyalah…” pinta Tarmizi tiba-tiba sambil menjeling ke arah adiknya yang masih mencuka.

“Ada lagilah tu…” Keyra menggumam perlahan.

Fahmi menarik nafas panjang kemudian diam.

Keyra pandang dengan penuh tanda tanya. ‘Kalau nak tanya… tanya ajelah. Ni buat saspens. Seram betul!’

“Along nak tanya pasal semalam.”

“Kenapa dengan semalam?” Keyra teguk teh O panas perlahan-lahan. Cuba meredakan gemuruh di dada.

“Adik ingat tak apa yang berlaku?”

Keyra mengerut dahi. Kemudian menjulingkan mata ke atas. “Seingat adik… adik tidurlah. Nyenyak sangat. Sampai along kejutkan bangun solat subuh pun rasa malas semacam. Masih letih dan mengantuk.”

“Itu aje yang adik ingat?” soal Puan Rohana pelik. Malah, rasa ngeri turut terkesan di hatinya. Mengingatkan tingkah anaknya petang semalam membuatkan bulu romanya meremang semula.

“Semalam adik mimpi hantu,” kata Keyra tiba-tiba.

“Hah!” Fahmi kaget.

Jawapan spontan Keyra membuatkan ibu dan abang-abangnya gelisah.

“Macam betul aje mimpi tu. Adik jumpa perempuan berpakaian putih dengan rambut mengerbang. Cuma muka dia adik tak nampak. Bila adik menjerit, suara adik macam tak nak keluar. Adik meronta untuk lari… tapi tubuh badan rasa terikat.” Keyra buat reaksi geli-geleman.

Tarmizi menelan liur. Fahmi mengurut dagu manakala Puan Rohana meraup muka. Pagi-pagi begini cerita begitu membuatkan renik peluh mula membasahi tubuh mereka.

Hati Fahmi cukup walang. Mungkin bagi Keyra semua itu sekadar mimpi, tetapi baginya perkara itu memang serius. Malah kata Imran, kalau tidak dirawat segera kesannya lebih merbahaya. Boleh melemahkan jasad dan jiwa Keyra.

“Nasib baik cuma mimpi. Kalau tak… mahu diserang histeria agaknya. Ngeri dan menakutkan!” tambah Keyra lagi.

Fahmi dan Tarmizi saling berpandangan. Tak tahu perlu beri reaksi yang bagaimana. Dalam hati hanya mampu berdoa agar peristiwa seperti semalam tak akan berulang lagi.

****

HARDY kian gelisah. Pertemuan yang disangkakan mampu mencapai kata putus dan menyelesaikan masalah nampaknya kian rumit dan tegang. Sejak tadi dia hanya mendiamkan diri di sebelah uminya Puan Noraini. Dia mahu memberi ruang kepada orang tua untuk berbicara lanjut.

“Jadi betullah Keyra tak ingat langsung siapa Har dan siapa kami?” Suara Puan Noraini sedikit keras. Wajahnya tiada riak ceria langsung.

“Awak pun… sabarlah. Kita bawa berbincang dulu.” Encik Harun berbisik perlahan. Malu pula dengan besannya bila isterinya sudah mula bercakap dengan nada keras.

“Yalah… sampai tak ingat anak kita… suami dia sendiri. Sedih hati saya ni bang.” Puan Noraini luahkan rasa hatinya yang berbuku.

“Benda dah jadi. Awak nak salahkan siapa sebenarnya? Ini semua takdir. Bukan disengajakan.”

Hardy menghela nafas resah dengan suasana yang dirasakan semakin hangat. Keyra pula tidak berkutik. Hanya menyerahkan segala keputusan kepada kedua ibu bapanya untuk membuat pertimbangan.

“Habis, hubungan mereka berdua macam mana? Har ni macam digantung tak bertali. Dia pun ada maruah sebagai seorang suami.” Puan Noraini terus bersuara.

Puan Rohana dan Encik Khairil langsung tidak mencelah. Mereka mahu mendengar dahulu luahan hati di pihak keluarga Hardy.

“Bagilah masa. Kita tengok perkembangan Keyra macam mana.” Bagi Encik Harun itulah yang terbaik.

“Tapi sampai bila? Sampai bila Har nak duduk sendiri macam tak ada isteri? Kita sendiri tak tahu sampai bila Keyra akan pulih,” hambur Puan Noraini sambil melirik tajam ke arah menantunya.

“Umi… Har setuju dengan pendapat abah. Kita bagi Keyra masa. Sekarang ni biarlah kita tunggu dan lihat perkembangan dia macam mana.” Hardy mencelah bila dirasakan dia perlu meredakan keadaan tegang itu.

“Sampai bila?” Suara Puan Noraini mula melengking.

“Beginilah Puan Noraini… buat masa ni biarlah Keyra rehat dan bertenang dulu dengan kami. Kesihatan dia masih belum pulih sepenuhnya. Masih perlu pemantauan susulan dari pihak hospital. Har pun kerja dan susah nak jaga Keyra. Pintu rumah kami pun sentiasa terbuka untuk dia datang.”

“Bukan itu caranya Puan Rohana. Saya tak setuju. Kalau dah jadi isteri Har, kenapa pulak perlu tinggal dengan emak bapak lagi?”

“Tapi Har yang izinkan, umi. Untuk kebaikan Keyra juga. Insya-ALLAH… kalau jodoh kami masih kuat, segalanya akan kembali seperti sediakala. Har cuma minta umi dan abah doakan agar Keyra sihat. Doakan agar rumah tangga kami tetap teguh dan kuat untuk mengharungi masalah ini.” Lirih dan dalam suara Hardy.

“Macam mana kalau ingatan dia terus hilang? Sampai bila kamu sanggup tunggu? Setahun? Dua tahun? Sepuluh tahun?” tempelak Puan Noraini geram sambil mendesah kasar.

Hardy terdiam. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu. Suasana bertukar sepi seketika.

“Saya bukannya tak sukakan Keyra… bukannya membenci.” Tiba-tiba Puan Noraini berlembut.

Semua mata memandang ke arahnya.

“Tapi dalam hal ni Hardy yang jadi mangsa. Dia lelaki. Sudahlah sebelum ini hampir setahun dia menunggu di hospital. Bila sedar, Keyra pula hilang ingatan. Jadi sampai bila lagi Hardy perlu terus menunggu? Memang tak adil untuk dia.”

“Jadi… apa yang Puan Noraini nak cadangkan? Apa agaknya jalan terbaik untuk mereka berdua?” soal Encik Khairil. Penat juga dengan kerenah besannya yang tidak mahu bertolak-ansur.

“Saya rasa elok mereka berpisah secara baik. Keyra pun tak kenal suami sendiri lagi.”

“Umi!” Hardy tersentap. Tergamam. Memandang Puan Noraini dengan rasa tidak percaya. Usul itu tidak munasabah.

“Ke situ pulak, awak…” Encik Harun menggeleng kesal.

Kenapa begitu singkat pemikiran isterinya. Mudah sangat membuat keputusan. Kalau diikutkan… mereka tidak harus terlalu masuk campur dalam perkara ini. Ada baiknya jika Hardy sendiri yang putuskan.

Degupan jantung Keyra terus berlari laju. Dia tidak berani mengangkat muka. Sungguh dia gerun! Dengan jelingan emak mertuanya yang menyinga sejak tadi membuatkan dia jadi gelabah dan takut.

“Har tunggu apa lagi?” soal Puan Noraini lantang.

“Tak semestinya itu pilihan yang ada.” Hardy cuba berlembut.

“Bagi umi hubungan kalian berdua sudah tidak bermakna lagi. Untuk apa lagi Har tunggu kalau dia bukan lagi isteri Har macam dulu.”

“Tapi Har masih sayangkan Keyra. Dia masih isteri Har walau bagaimanapun keadaan dia sekarang.”

“Jangan jadi bodoh, Har!”

Semua orang terpinga-pinga. Keadaan kian tegang.

“Janganlah awak terlalu memaksa, Noraini. Kita datang mahu berbincang secara baik. Jangan diikutkan sangat rasa hati awak tu,” nasihat Encik Harun tegas. Sebagai ibu saudara kepada Hardy, isterinya seharusnya cuma menasihati mana yang baik dan mana yang buruk. Bukannya campur tangan begitu sekali.

Dia tahu isterinya terlalu sayangkan Hardy. Dia yang telah membesarkan anak saudaranya itu sejak usianya sepuluh tahun lagi. Tapi kini Hardy sudah dewasa dan matang. Sudah mampu membuat pertimbangan sendiri.

“Maafkan Keyra…” Akhirnya dia bersuara perlahan. “Keyra sendiri keliru dengan apa yang berlaku. Sumpah… dalam fikiran Keyra sekarang tak ada sekelumit pun bayangan seorang suami.”

Hati Hardy bagai dicalar ketika itu. Pengakuan isterinya cukup pedih dan ngilu. Tetapi itulah kenyataan.

“Bukan niat Keyra mahu menyusahkan atau menyakiti sesiapa. Tapi kalau berpisah adalah jalan terbaik, Keyra tak menentang.”

Puan Rohana menghela nafas panjang.

“Tapi ayah tak rasa itu jalan yang terbaik.”

“Memang tak adil Har perlu tunggu Keyra pulih.” Puan Noraini tetap berpegang dengan pendiriannya.

“Tapi Har tak kisah…” Wajah Keyra direnung dalam. Pandangan mata mereka bertaut. “Just take your time.”

“Tapi sampai bila? Ada betulnya cakap umi.”

“Yang penting Har sanggup menunggu. Sebab Har yakin memori Keyra akan datang akhirnya. Hubungan kita akan kembali seperti sediakala semula.” Suaranya bagai memujuk

Keyra menggeleng. “But sometime things might turn another way around.” Mereka berpandangan. Cukup sirna.

“Umi tetap mahu kalian berpisah.” Puan Noraini sudah tekad dengan keputusan itu.

Hardy mendesah. Kemudian menggeleng. “Har memang tak setuju dengan cadangan umi dan keputusan Keyra. Kenapa perlu terburu-buru? Yang menanggungnya, Har. Jadi biarlah Har sendiri yang putuskan,” luahnya dengan rasa hiba.

“Kalau begitu bagilah Keyra masa tiga bulan. Kalau keadaan masih tak berubah… mungkin… maksudnya jodoh kita sampai di situ aje.” Dia tertunduk. Bagai tidak menyangka ayat itu keluar dari bibirnya. Kejamkah dia?

“Keyra…” bangkang Puan Rohana.

Hardy terdiam. Meraup muka. Dengan hati kecewa dan sakit. “Ini tak adil untuk Har, Keyra… jangan cepat mengalah.” Suaranya bagai merayu. Mahu insan yang dicintai mengubah keputusan.

“Itulah yang terbaik. Ini keputusan Keyra.” Dia sudah tekad. Malah, dia berpegang pada satu sahaja ketika itu. Kalau jodoh mereka masih kuat, walau sehebat manapun rintangan yang mendatang tak akan jadi penghalang untuk mereka mengecap bahagia sebagai pasangan suami isteri.

“Kalau begitu Har minta enam bulan. Beri masa selama enam bulan untuk Har buatkan Keyra ingat semula kisah cinta kita,” pintanya sayu dan bagai merayu.

Setelah terdiam beberapa ketika, akhirnya Keyra mengangguk setuju. Tetapi dirasakan tempoh enam bulan itu terlalu lama.

KEK cawan disusun ke dalam bekas. Krim yang melekat dijarinya disuakan ke mulut. Rugi mertua aku balik awal sangat. Tak sempat nak merasa Kek Pisang dengan Krim Mentega Kacang kegemarannya. Nasib baik kepakarannya memasak kek ini masih belum hilang.

Tiba-tiba tubuhnya dirangkul dari belakang.

“Arghh…” Jeritan spontan melantun tinggi. Jantungnya bagai mahu terkeluar. Nasib baik dia tak hentak perut lelaki itu dengan siku tadi. Kalau tidak memang semua orang dalam rumah ni boleh terkejut.

“Sorry…” Hardy angkat tangan dengan muka terkejut. Dia sendiri tidak sedar apa yang dilakukan tadi. Pinggan ramping isterinya dirangkul secara tidak sedar dan tanpa berfikir panjang.

Mungkin kerana kenangan yang datang secara tiba-tiba membuatkan dia terlupa masalah antara mereka. Situasi begitu memang sudah sebati dengan dirinya. Setiap kali ada kelapangan atau hujung minggu, Keyra rajin mencipta resipi baru kek cawannya.

“Hisy… orang muda sekarang ni gelojoh benar.” Puan Rohana tersenyum sambil kenyit mata kepada menantunya. “Di dapur juga kamu nak bermanja Har. Pergilah kamu berdua ke depan. Biar ibu tolong uruskan kek tu.” Bibir Puan Rohana tersungging dengan senyuman.

“Ibu…” Suara Keyra berbunyi nyaring.

Puan Rohana tepuk dahi. “Ya tak ya juga… ibu pun dah hilang ingatan. Amnesia macam adik pulak.” Dia terus menghilangkan diri dari dapur. Mahu beri laluan kepada pasangan itu untuk cuba bercinta semula.

Muncung Keyra ke depan. Tangannya lincah meneruskan kerja sedangkan dalam hati sudah panas.

“Apa yang awak nak buat?” soal Keyra sambil mengetap Bibir. Matanya dijegilkan. Garang.

“Abang tak sengaja… Dia datang secara tak sedar.”

Keyra mencebik. Huh! Alasan. Logik ke? Dia hanya menjeling lantas meneruskan kerja. Rasa malas memanjangkan cerita.

“Malam ni keluar dengan Har,” pinta Hardy tiba-tiba. Dia berdiri rapat di sebelah isterinya.

Keyra diam.

“Pleaseee…” Suaranya lunak.

“Pergi mana? Buat apa?” soalnya lebih kurang.

“Ikut ajelah. Nanti awak tahu juga.”

Pelawaan Hardy membuat Keyra jadi seram. Dia resah. Rasa tidak mampu berdua-duanya dengan lelaki itu walau dalam apa keadaan sekalipun.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81598/Kalaulah-Aku-Tahu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *