[SNEAK PEEK] Hati Yang Kau Sakiti

Hati Yang Kau Sakiti oleh Shima Rostam

“KAU temankan aku.”

“Ke mana?”

“Cari lelaki tu.”

“Eh… Buat apa?” Wawa dah pelik. Hari ini kuliah mereka penuh. Takkanlah nak ponteng semata-mata nak cari lelaki itu? Wawa geleng kepala. Ami ni, nampak serabut sangat.

“Aku nak suruh dia batalkan perkahwinan ni. Aku tak nak dia jadi suami aku. Aku rela tak kahwin seumur hidup daripada hidup bersama dia.”

Wawa pandang Ami, tak percaya. Keras betul hati Ami ni.

“Tapi kan keluarga kau dah setuju. Lagipun pada pendapat aku, memang patut pun dia berkahwin dengan kau. Bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.”

Mencerlung mata Ami memandang Wawa. Tak sangka Wawa pun menyebelahi lelaki itu. Sangkanya Wawa faham perasaannya. Ami genggam tangan. Bencinya semakin membuak kepada lelaki itu.

“Dia musnahkan hidup aku. Kau rasa aku patut terima dia dalam hidup aku? Jadi suami aku?” soal Ami tak percaya.

“Setiap orang tak terlepas daripada membuat kesilapan, Ami. Kau pun silap sebab ikut kata hati kau malam itu. Kau tempah perkara itu. Tapi sebab Allah Taala sayangkan kau, Dia terus uji kau. Lelaki itu juga tak salah sebab dia pun mangsa. Bagi aku dia seorang lelaki yang berbudi bahasa. Berani mengaku dan bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan. Walaupun bukan salahnya seratus peratus. Kau patut bersyukur sebab dia tak lepas tangan,” panjang nasihat Wawa. Dia harap Ami sedar apa yang berlaku. Dia juga berharap Ami dapat menerima lelaki itu. Kebahagiaan boleh diusahakan.

Tanpa sebarang kata, Ami ambil beg sandangnya dan terus keluar. Tak guna berbahas dengan Wawa. Dia tetap dengan pendiriannya. Lelaki itu tidak layak menjadi suaminya. Lelaki seperti itu bukan akan membahagiakan hidupnya. Tetapi akan meranapkan masa depannya. Dia takkan memperjudikan nasib dirinya sekali lagi kepada lelaki itu!

“HELO, Am… I nak ajak you lunch hari ni.”

“Maaf, Yana. I makan dengan Aali. Kalau you tak keberatan, boleh ikut sama.”

“Of course. Jumpa dekat lobi pukul 12.30 nanti.” Kesempatan yang ada tidak akan dilepaskan. Peduli apa dengan Aali tu, asalkan dia dapat menghabiskan masa bersama dengan Amru. Peluang ini telah lama ditunggu. Dia tidak akan bersikap tunggu dan lihat lagi. Hati Amru perlu ditakluki.

Sementara itu, Ami tiba di lobi wisma Dato Raja Chulan, yang terletak berhampiran dengan KLCC. Berpeluh juga dia berjalan dari LRT KLCC. Nasib baik guna Waze, cepat sikit dia jumpa wisma ni. Hari ini dia buat kerja giler lagi semata-mata mahu jumpa lelaki itu. Kalau menurut alamat di atas surat tawaran praktikal yang diterima, pejabat Yusuf, Alan & Co berada di tingkat 6 dan 7. Selepas mengambil pas masuk di kaunter pengawal, dia terus melangkah menuju ke lif. Jam di tangan dijeling sekilas, 12.35 tengah hari. Harapnya lelaki itu masih ada di pejabat, tidak keluar makan lagi.

Ami tunduk pandang hujung sandal yang dipakainya. Sesekali dia mendongak tengok pintu lif. Terasa lambat bila menunggu tanpa perasaan sabar ni. Harapnya lelaki itu tidak cuba mengelakkan diri daripadanya. Pintu lif terbuka, Ami berganjak ke tepi untuk memberi ruang orang keluar dahulu. Tapi matanya tangkas menangkap wajah lelaki itu, sedang bergelak ketawa dengan seorang perempuan tinggi lampai dan cantik.

Matanya dipakukan melihat lelaki itu. Mungkin terasa diperhatikan, mata Amru mencari puncanya. Terhenti di wajah Ami yang tajam memandangnya. Dia berhenti melangkah. Mengundang perasaan hairan dalam hati Yana. Jadi mata Yana turut ikut memerhati gadis yang menjadi perhatian Amru.

“You kenal ke? Siapa tu?” soal Yana, ingin tahu. Amru angguk. Dia pandang Ami yang berwajah tegang. Tekad Ami dikaguminya. Mesti Ami datang sebab mahu dia batalkan rancangan keluarga mereka. Tapi dia pun tekad dengan keputusannya. Semalam ketika rombongan keluarganya ke rumah keluarga Ami, gadis tu tidak ada. Jadi perbincangan dan merisik dilakukan tanpa kehadiran Ami. Dia pula hadir kerana kedua-dua orang tua Ami mahu kenal. Diakan bakal menjadi menantu mereka.

“Kita perlu bercakap!” Amru tersentak. Tegas dan tegang suara itu. Pastinya Ami tidak mudah menerima status terbaru perhubungan mereka.

Pintu lif di belakang Ami terbuka, Aali melangkah keluar.

“Sorry lambat sikit… Eh! Ami?” tegur Aali. Dia pandang Amru, Yana kemudian Ami sekali lagi.

Entah kenapa hati Yana terasa tergugat. Dia pandang Ami dari atas ke bawah. Tidak suka kerana perhatian Amru telah beralih kepada gadis yang entah dari mana datangnya.

“Kenapa berdiri tegak kat sini? Jom kita pergi makan dulu. Lepas tu baru boleh cakap panjang.”

“Tak payah. Aku datang nak bercakap dengan lelaki ni. Bukan datang nak makan.” Kasar bahasa yang Ami gunakan. Padahal selama ini dia tidak pernah bercakap sekasar ini. Tutur katanya masih lagi terjaga. Tapi bila melihat wajah selamba tanpa secalit perasaan bersalah Aali mengundang rasa sakit dalam hatinya. Dialah punca segala musibah yang menimpa dirinya. Sekarang terperangkap pula dalam ikatan yang akan memerangkap hidupnya bersama dengan Amru seumur hidup.

“Entah-entah lepas ni hotel mana pula aku terbangun nanti,” getus Ami sinis.

Mulut yang terbuka nak balas cakap, tertutup kembali. Aali pandang wajah tegang Ami dan wajah tenang Amru. Yana pula diburu rasa ingin tahu.

“Maaf Yana, lain kali kita makan sekali. I ada perkara nak kena selesaikan dengan dia ni. Aali, kau temankan Yana makan.”

“Tapi…” Yana cuba bantah sebelum cakapnya dipintas oleh Aali.

“Mari kita makan Yana, aku dah lapar ni.” Aali pandang wajah Ami sekali lagi. Kali ini dengan pandangan kesal.

“Ami… Saya minta maaf walaupun saya tahu perbuatan saya itu tidak layak dimaafkan.”

Yana enggan berganjak. Aali tarik tangan dia. Dia rentap kembali dengan wajah masam. Hatinya sakit. Cemburu dan tidak puas hati kerana niatnya untuk makan bersama Amru tidak kesampaian. Dia melangkah sambil hentak tumit runcing sandalnya.

Aali geleng kepala. Cemburu Yana hampir membuatkannya tergelak.

“Tak elok kita bercakap depan lif ni. Jom ikut abang. Kita masuk restoran depan tu. Ami nak cakap apa, abang sedia dengar,” ajak Amru lembut.

Tanpa menunggu balasan daripada Ami, Amru bergerak menuju ke restoran yang terletak di depan wisma Dato Raja Chulan itu. Dalam keterpaksaan, Ami mengikut. Dia berjalan di belakang Amru. Tak ingin dia berjalan seiringan dengan lelaki itu. Dari belakang dia nampak beberapa perempuan senyum dan tegur Amru, ramah dan menggoda. Amru membalas mesra.

Dasar lelaki buaya. Semua orang nak goda! kutuk Ami sendirian.

“Ami nak cakap apa?” soal Amru sebaik sahaja pelayan berlalu dengan pesanan mereka.

“Yang saya cakap semalamlah! Saya benci awak. Tak ingin saya habiskan masa seumur hidup dengan kaki kelab malam macam awak ni. Jadi, awak kena batalkan pernikahan kita. Bagi tahu dekat orang tua kita yang awak pun tak nak kahwin.”

Amru geleng kepala. “Abang nak Ami jadi isteri abang. Jadi kenapa abang nak batalkan pernikahan ini?”

“Awak dah lupa ke apa yang awak buat dekat saya? Awak ingat mudah saya nak terima awak dalam hidup saya?”

“Awak rosakkan maruah saya dan sekarang nak bertanggungjawab?” Amru diam.

Baginya, malam itu telah mengikat dia dan Ami. Walaupun tanpa kerelaan masing-masing. Dia mahu bertanggungjawab walaupun berkali-kali Ami menolak niat baiknya.

“Saya tak dapat terima. Lelaki yang musnahkan maruah saya jadi suami saya. Sejak malam itu saya tak dapat tidur lena. Awak dah jadi mimpi ngeri saya. Tak mungkin saya boleh menghormati awak sebagai suami nanti. Tolonglah, jangan seksa saya. Jangan bunuh jiwa saya. Saya dah cukup tertekan dah.”

“Sebab itulah abang nak bertanggungjawab, Ami. Abang nak tebus kesilapan abang itu. Abang nak merawat luka dan menghapuskan penderitaan Ami.”

Ami geleng kepala. Air mata yang jatuh disekanya, kasar. Tak mudah. Nak tengok muka lelaki ini pun dia tak hingin. Apatah lagi nak tinggal serumah, tidur sebilik nanti. Dia juga ada harga dia walaupun telah diranap dan dirampas secara kasar.

“Awak ingat sesenang itu awak boleh masuk dalam hidup saya? Mempergunakan keluarga saya supaya saya terima awak? Tolonglah. Jadilah lelaki bermaruah sikit. Dah orang tak nak, jangan paksa. Jangan gunakan orang tua untuk menjayakan niat jahat awak tu!” marah Ami. Suara tetap rendah walaupun tegang. Dia ketap bibir dan genggam tangannya sendiri.

Amru tarik nafas. Dia tadah telinga mendengar amarah Ami. Dia sedar Ami memang patut marah dan maki hamun dia. Biar dia luah apa yang terbuku di hatinya. Namun keputusan yang dibuat, tidak akan diubah. Dia tetap mahukan Ami sebagai isterinya.

Ami adalah haknya selepas malam itu. Sekali pun Ami menafikan dan membenci, dia terima. Dia akan berusaha melembutkan hati gadis itu. Dia akan melentur perasaan benci Ami kepada cinta.

“Saya tak dapat terima. Jadi tolonglah batalkan pernikahan kita,” rayu Ami.

“Abang tetap dengan keputusan abang. Hujung bulan depan Ami akan jadi isteri abang. Abang akan berusaha sehingga Ami terima abang,” tegas Amru.

“Awak kejam! Saya tak perlukan makhluk perosak jadi suami saya. Saya tak perlukan lelaki hipokrit jadi suami saya. Berlagak baik di depan semua orang, tetapi jadi syaitan di belakang orang.” Sedaya upaya dia cuba tidak meninggikan suara.

Tak ada gunanya dia di sini lagi kalau Amru tidak mahu dengar cakapnya. Tak ada gunanya dia merayu lagi. Lelaki kejam ini sengaja nak biarkan perasaan dia mati agaknya.

Aku takkan cepat mengalah. Aku akan berusaha untuk batalkan perkahwinan ini.

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;
https://www.e-sentral.com/book/info/338142/Hati-Yang-Kau-Sakiti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *