[SNEAK PEEK] HATI KITA SATU

9789831248478-medium
HATI KITA SATU Oleh Rania Firdaus

Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, Malaysia.

JIKA tok diberi peluang untuk mendapat satu doa yang makbul, tok doakan Sara temui jodoh terbaik untuk Sara… supaya Sara sentiasa berbahagia di sisi seorang lelaki bergelar suami mengikut erti kata yang sebenar, yang akan temani Sara setiap masa tak kira waktu susah dan senang. Yang boleh pimpin Sara ke jalan yang lurus di dunia dan di akhirat… insya-ALLAH. Tu saja yang tok selalu harapkan untuk Sara.”

Sara disapa keharuan yang tidak bertepi. Betullah kata kakak, dia memang cucu kesayangan tok. Kata-kata penuh harapan yang tok ucapkan itulah buktinya. Bukan pada kakak, cucu sulung tok, yang tok doakan supaya menemui jodoh terbaik. Tetapi, dia.

Pejam celik, pejam celik… sudah 364 hari tok pergi. Begitu pantas masa bergerak. Sara seperti terdengar-dengar lagi suara tok berceloteh tentang itu dan ini. Dia seperti terlihat-lihat lagi kelibat tok melangkah ke sana dan ke sini. Dia seperti terasa-rasa lagi sentuhan tok pada ubun-ubun kepalanya.

Namun, semua itu sudah tiada kini. Semuanya lenyap bersama jasad tok yang telah selamat disemadikan pada hari yang sama tok menghembus nafas terakhirnya.

Segala kenangan pahit yang terlakar dalam ruang memorinya berkait dengan perkara yang berlaku pada hari itu masih lagi tersemat kukuh di fikirannya. Terasa bagaikan baru semalam semua itu berlaku.

Waktu itu, dia baru sahaja selesai menduduki kertas terakhir untuk semester terakhirnya di universiti. Memang dari pagi hatinya terasa lain macam, tetapi dia enggan melayan perasaan itu. Yang penting, peperiksaannya. Ujian akan menjadi penentu lulus atau gagal dirinya untuk seluruh pengajiannya di universiti itu. Manalah dia tahu ada sesuatu yang buruk sedang berlaku di rumahnya pada hari itu.

Sejurus menghidupkan semula telefon bimbitnya sambil mengatur kaki keluar dari dewan peperiksaan, dia dikejutkan dengan 17 panggilan telefon yang tidak berjawab, 13 khidmat pesanan ringkas, serta sembilan pesanan dalam peti simpanan suara telefon bimbitnya itu. Lagi mengejutkan, setelah diperiksa seimbas lalu, semuanya dari rumah. Sedang dia sibuk menenangkan dirinya yang sudah diserang panik, satu panggilan telefon tiba-tiba mencelah masuk. Terus matanya terarah pada skrin telefon bimbit itu.

“Sara, tok tengah nazak.”

Dengan suara yang bergetar menahan tangis dan susunan kata yang agak tidak tersusun, Sara akhirnya berjaya menangkap sebaris ayat yang diperkatakan oleh kakak. Sebaris ayat yang tidak pernah terfikir oleh Sara akan sampai ke telinganya.

Tanpa bertangguh walaupun sesaat, dia bersiap seadanya lalu bergegas pulang. Jarak di antara Gombak dengan Sabak Bernam terasa begitu jauh pada waktu itu, seperti dia sedang menuju ke benua lain. Sepanjang perjalanan, dia berasa cemas dan sangat takut. Dia takut tidak sempat bertemu tok untuk kali terakhir. Tidak putus-putus dia berdoa dalam hati supaya dia diberikan kesempatan itu.

Alhamdulillah, doanya termakbul. Dia sempat bertemu tok sebelum mata orang tua itu terpejam selamanya. Biarpun sekadar lima minit, dia berasa sangat bersyukur. Dia sempat mohon maaf dengan tok. Sempat kucup tangan dan dahi tua tok. Sempat beritahu tok yang dia sayangkan tok, sebelum nyawa tok terpisah daripada jasadnya. Lima minit terakhir tok itu digunakan sepenuhnya, dengan sebaik mungkin.

“Kalau tok tengah nazak nanti, Sara jangan menangis ya? Janji dengan tok.”

Dalam keadaan genting sebegitu, Sara masih ingat pesanan tok. Mula-mula dia dengar tok cakap begitu tidak lama dahulu, dia marah-marah dan mogok tidak mahu cakap dengan tok sehari. Beria-ia dia enggan melafaz janji yang satu itu dengan tok.

“Sara tak nak janji! Sara tak nak hilang tok! Sara tak nak!”

Namun, apabila detik itu tiba… Sara tunaikan juga janji yang dituntut oleh tok itu. Bersungguh-sungguh dia memaksa diri menahan rasa sebak sepanjang tempoh lima minit terakhirnya bersama dengan tok. Walaupun dia tidak pernah bersetuju untuk melafazkan janji itu, dia tetap gigih menunaikan permintaan tok.

Ketika jenazah tok dimandikan, dia masih tenang biarpun hatinya terasa bengkak menahan tangisan yang mahu keluar. Ketika jenazah tok dikapankan, ketika jenazah tok disolatkan, ketika jenazah tok diletakkan ke dalam keranda kayu, dan ketika jenazah tok diusung ke tanah perkuburan… semuanya berjaya dilalui oleh Sara tanpa esak tangisan, tanpa air mata.

‘Tok, Sara dah tunaikan permintaan tok. Tok, Sara tak menangis langsung masa tok nazak tadi. Sampai sekarang pun, Sara masih bertahan.’ Hati Sara berbisik sendiri setelah selesai bacaan talkin.

“Sara, kamu nampak tenang saja… tak sedih ke?”

Oh! Manusia memang sukar dijangka. Dalam keadaan begitu pun sanggup bertanya soalan yang tidak sepatutnya. Sara tidak perasan siapa yang bertanya itu dan tidak punya hati untuk mencari siapa yang tidak peka pada perasaan orang lain itu. Biarlah…

Hakikatnya, siapa yang tidak sedih melihat pemergian insan tersayang? Siapa?! Sara terasa mahu menjerit. Dia sedih. Sedih sangat, tetapi dia perlu tabah.

Namun, tembok ketabahannya runtuh juga sebaik sahaja pulang dari tanah perkuburan. Air matanya mencurah-curah tanpa boleh diseka lagi. Baru kini dia betul-betul terasa erti sebenar sebuah kehilangan.

Tok pergi secara tiba-tiba sahaja. Padahal tok tidak ada sakit apa-apa. Tanyalah pada sesiapa pun, tentu jawapan yang diperoleh nanti tidak punya sebarang perbezaan. Tidak ada seorang pun terfikir secepat itu tok pergi. Sekelip mata.

Sara masih ingat, beberapa minggu sebelum itu dia ada balik menghabiskan cuti pertengahan semester. Dia ikut tok ke sawah hampir setiap hari memandangkan musim menuai baru bermula. Tok kelihatan sihat dan segar-bugar. Sewaktu dia hendak balik ke kampus semula pun, tok tetap ceria macam selalu mengiringi langkahnya meninggalkan rumah. Sedikit pun tidak terlihat tanda bahawa masa tok telah tiba di penghujungnya.

“Tok kena patuk ular kat sawah. Masa tokmi sampai tu, tok dah lemah. Bisa ular tu dah menular, tokmi tahu. Tapi tokmi ikat juga tak nak bagi cepat sangat bisa tu berjalan. Lepas tu, tokmi minta tolong orang bawa tok balik rumah,” cerita tokmi. Rautnya wajahnya masih tenang.

Sara tidak tahu macam mana tokmi boleh kekal tenang sebegitu.

“Tok kata dia nak jumpa Sara sebelum pergi,” sampuk kakak pula dalam nada sebak.

Sara terus mendongak apabila namanya disebut. Tadi, dia sibuk sangat. Tidak sempat mahu ambil tahu semua yang berlaku secara terperinci. Terkejut benar dia mendengar kata-kata kakaknya itu. Air mata seakan tidak mahu berhenti.

Tokmi mengiakan. Permintaan terakhir tok adalah untuk berjumpa dengan Sara. Cucu kesayangan tok.

Disebabkan hal yang satu itulah, kakak bersama dengan beberapa orang lagi cuba juga untuk menghubungi Sara. Pelbagai cara digunakan agar permintaan terakhir tok dapat ditunaikan… agar Sara sendiri sempat untuk bertemu dengan tok buat kali terakhir sebelum racun bisa patukan ular dalam tubuh tok menghentikan pernafasan tok untuk selamanya.

Mujurlah Sara sempat tiba tepat pada masanya. Permintaan terakhir tok akhirnya berjaya ditunaikan dan Sara sempat juga bertemu tok untuk kali terakhir, biarpun hanya untuk lima minit. Lima minit yang sangat berharga untuk kedua-duanya.

Air mata Sara semakin lebat. Kakak yang melihat, kembali menyambung esakan. Masing-masing yang ada di situ mempamerkan riak simpati. Hanya wajah tua tokmi yang terus kekal tenang seperti selalu.

Bagi Sara, dunia kecilnya di rumah kayu tinggi di pinggir sawah itu terasa kosong tanpa kehadiran tok meski belum sampai sejam tok disemadikan. Pemergian tok sangat memberi kesan kepadanya. Tidak seperti sewaktu pemergian arwah umi dahulu.

Ketika arwah umi menghembuskan nafasnya yang terakhir, Sara baru mencecah umur tiga tahun. Apalah yang dia faham tentang kematian pada waktu itu. Bagi dirinya, pemergian tok itu yang paling meninggalkan kesan, membuatkan dia rasa ingin lari. Lari daripada segala-galanya. Dia bangun perlahan-lahan. Namun, pandangannya tiba-tiba sahaja bertukar gelap bila sampai di muka pintu.

Sejurus tersedar daripada pengsan, air matanya mengalir lagi membasahi kedua-dua pipinya. Seminggu dia melayan perasaan sedihnya. Menangis dan terus menangis. Niatnya untuk tabah menerima pemergian tok hilang entah ke mana.

“Cucuku Sara, setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui mati.”

Tok! Itu suara tok… Sara yakin. Dia membuka matanya seluas mungkin, tetapi dia tidak nampak pun kelibat tok di mana-mana. Dia melihat ke kiri dan ke kanan. Dia rupa-rupanya sedang terbaring seorang diri di atas katil bujangnya, di dalam bilik yang telah dihuni sedari kecil di rumah kayu tinggi di pinggir sawah itu. Tidak sedar bila dia tertidur dan bermimpikan saat-saat terakhir tok bersamanya.

“Astaghfirullah…” Sara beristighfar perlahan sambil meraup wajah sendiri. Terasa ada kesan tangisan di hujung sepasang matanya. Dia buru-buru bangkit dan menyentuh permukaan bantal yang melapik kepalanya ketika tidur tadi. Basah.

Sah. Dia menangis dalam lena lagi… seperti selalu, jika dia terlalu rindukan tok.

“Cucuku Sara, setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui mati.”

Dia teringatkan kata-kata itu. Yang membuatkan dia tiba-tiba terjaga daripada lenanya sebentar tadi. Seingatnya, kata-kata itu jugalah yang pernah sekali didengar olehnya, juga dalam lenanya, kira-kira seminggu setelah tok pergi dahulu, ketika dia sedang dalam kemurungan melayan rasa sedih yang membaluti hatinya.

Itulah kata-kata yang membuatkan dirinya bangkit daripada terus hanyut dalam arus perasaan sendiri. Sama seperti tadi, pada waktu itu pun dia ada terdengar-dengar suara tok menasihatinya, supaya dia meredai takdir ILAHI. Dia yang sentiasa patuh pada tok, akhirnya berjaya juga mengatasi kesedihan yang dialaminya ketika itu.

Entah apa erti di sebalik kedua-dua mimpinya itu, dia tidak punya klu. Dia sendiri jadi tertanya-tanya… bolehkah seseorang itu bermimpikan satu perkara yang sama pada dua masa yang berlainan?

Mungkin… ya… mungkin… sebab dia terlalu sangat memikirkan tok.

‘Arwah tok.’ Hati kecilnya menegur.

Sara beristighfar dan meraup wajahnya lagi. Walaupun sudah selalu sangat ditegur, dia tetap juga terlupa untuk meletakkan perkataan ‘arwah’ untuk tok. Eh! Arwah tok.

Bunyi ketukan yang tidak dijangka di pintu terus menghalau ingatan Sara tentang arwah tok. Dengan sedikit rasa jengkel dek lamunannya terganggu, Sara perlahan-lahan bingkas dan menyelak daun pintu. Terjengul muka kakak.

“Anak dara tidur siang!” sergah kakak. “Ketuk berpuluh kali baru buka,” omelnya.

Sara membuat muka tidak bersalah. “Ada apa, kakak?”

Kakak tidak terus memberikan jawapan, sebaliknya memilih untuk merenungnya dalam-dalam. Secara refleks dia mengangkat tangan menggosok mata, cuba hapuskan sebarang bukti yang menunjukkan dia baru lepas mengalirkan air mata.

“Ada apa, kakak?” Sara menekan suara.

Kakak berkelip beberapa kali, bagaikan baru tersedar. “Oh! Kejap lagi kakak nak pergi pasar, nak beli barang yang tak cukup lagi untuk kenduri arwah esok. Tokmi suruh Sara temankan kakak. Anas pun ikut,” beritahu kakak atau nama sebenarnya, Juhara.

“Okey,” balas Sara tanpa banyak songeh apabila mendengar nama tokmi.

Setelah kakak berlalu, Sara merapatkan semula daun pintu biliknya. Sebenarnya dia berasa malas untuk keluar, tetapi belum pernah lagi dia berkata ‘tidak’ pada suruhan tokmi selagi dia berdaya untuk melaksanakannya.

“Nak beli barang yang tak cukup lagi untuk kenduri arwah esok.”

Itu kata kakak tadi. Sara tahu benar, kenduri apa yang dimaksudkan kakak.

Esok merupakan hari yang ke-365 tok pergi meninggalkan alam yang fana ini. Tokmi sedari awal lagi sudah pasang niat hendak buat kenduri untuk arwah tok, mahu panggil orang kampung makan-makan.

‘Dah setahun arwah tok pergi rupa-rupanya,’ bisik Sara dalam hati.

Sudah setahun berlalu, tetapi memori bersama arwah tok masih lagi segar dalam kotak ingatannya seolah-olah baru semalam arwah tok pergi meninggalkannya. Bahkan, ada kalanya dia memang tidak terasa langsung arwah sebenarnya telah tiada. Terasa macam arwah tok setiap masa ada bersamanya.

****

Sara duduk berayun kaki di atas buaian kayu buatan tangan arwah tok. Dia tidak pernah disapa perasaan bosan duduk bersenang-senang seorang diri di atas buaian itu. Menghadap hamparan hijau sawah padi yang terbentang luas, dia sering menghabiskan masanya melayan menungan sambil matanya ralit memerhatikan budak-budak kampung berkejar-kejaraan sesama sendiri.

“Cik Ra!”

Kedengaran suara Anas, anak tunggal kakak, menyeru nama panggilannya.

“Ya?” Sara buru-buru menyahut. Namun, anak saudaranya itu sekadar tersengih comel. Barangkali anak itu cuma ingin memastikan dirinya masih berada di situ menemaninya bermain. Risau agaknya kena tinggal seorang diri di halaman rumah itu.

Sara tersenyum nipis memerhatikan telatah Anas mengusik seekor anak burung di dalam satu sangkar besi di atas bangku panjang berdekatan. Anak burung raja udang itu ditemui beberapa jam sebelum itu, ketika Sara sedang berjalan-jalan di tepi bendang untuk menghirup udara pagi. Kasihan melihat anak burung itu kesejukan setelah terjatuh ke dalam petak sawah, dia membuat keputusan untuk membawanya pulang.

Sara berhajat untuk melepaskan anak burung itu bebas semula. Namun, keputusan itu dibantah keras oleh si kecil Anas. Sesungguh hati dia hendak memelihara anak burung itu. Semua orang terpaksa mengalah akhirnya.

“Anas, jangan digoncang sangkar tu!” Sara terjerit apabila sepasang tangan kecil Anas dilihatnya sedang menggoncang sangkar besi anak burung yang bernasib malang itu. Spontan Anas menghentikan perbuatannya.

Sara turun dari buaiannya. Mata Anas terkebil-kebil memandang ke arahnya.

“Cik Ra dah pesan pagi tadi kan, Anas jangan goncang sangkar burung ni. Anas tak ingat?” Sara menegur sejurus dia melabuhkan punggung di hadapan anak yang baru berusia tiga tahun itu.

Mata Anas masih terkebil-kebil.

Sara mengacah-acah anak burung raja udang yang sedang terkurung itu dengan tangan kirinya. Tangan kanannya berlabuh di bahu kecil Anas. “Anas tak boleh goncang sangkar burung ni. Kasihan dia nanti kepala dia pening,” tutur Sara dalam nada menasihat seraya tangan kanannya menggosok lembut bahu anak itu.

“Dia fening?” Anas bertanya dengan pelatnya.

Sara menahan gelak. “Ha’ah.” Fening pun feninglah…

Ketika itu, Sara terpandang kelibat tokmi melangkah keluar dari dalam rumah. Bagi seseorang yang usianya sudah pun menjangkau tiga suku abad, wanita yang telah membesarkan dia dua beradik dengan kakak semenjak dia berumur tiga tahun itu boleh dikategorikan sihat dan bertenaga lagi. Mungkin berkat kerja kuatnya di bendang muda-muda dahulu.

Sekilas Sara terpandangkan tangan kanan tokmi melambai ke arahnya.

“Jom, Anas… opah panggil tu,” katanya kepada Anas.

Anas bingkas. Sara membimbit sangkar dengan satu tangan, manakala sebelah lagi memimpin Anas agar mereka sama-sama melangkah beriringan menghampiri tokmi yang sedang menanti di anak tangga terbawah.

“Mama panggil Anas. Kat dapur,” beritahu tokmi kepada Anas.

“Otey,” Anas menyahut dengan penuh yakin walaupun pelat. Terkedek-kedek dia melangkah ke dapur mencari mamanya.

Setelah Anas menghilang, barulah tokmi berpaling ke arah Sara.

“Ada apa, tokmi?” Sara menyoal ingin tahu.

“Duduk dulu,” suruh tokmi.

Sara akur. Dia mengambil tempat di sisi tokmi, di atas anak tangga terakhir itu.

“Tokmi nak tanya ni… Sara jangan salah faham pula.” Tokmi membuka mukadimah.

“Ada apa, tokmi?” Sara bertanya apabila tokmi tidak terus menyambung kata. Cuak juga melihat tokmi serius begitu.

“Sampai bila Sara nak terus macam ni? Tokmi bukannya apa… risau tengok Sara selalu sangat bertukar tempat kerja.” Tokmi bersuara lembut. Sara berbeza benar dengan kakak. Kakak hatinya cekal dan kuat semangat. Sedangkan Sara hatinya lembut dan mudah terasa. Antara mereka, memang Sara yang paling senang untuk diambil hatinya. Namun, kena tahu cara yang betul.

Tiada bicara balas yang keluar daripada bibir Sara. Pandangannya dihalakan ke arah sangkar besi yang masih lagi berada di tangan kirinya. Dia terfikirkan tempat yang sesuai untuk meletakkan sangkar itu. Kalau dibiar di tempat rendah nanti tidak mustahil ada kucing-kucing jiran akan datang mengganggu. Ketakutan pula anak burung itu nanti.

Mata Sara melilau ke sekeliling. Dia terpandangkan satu para kayu yang melekat pada dinding rumah. Arwah tok yang buatkan para itu dahulu untuk dibuat tempat letak alatan bercucuk tanam yang kecil-kecil supaya tidak hilang.

Lantas, Sara mengangkat punggung.

“Eh! Sara nak pergi mana? Tokmi belum habis cakap lagi ni,” tegur tokmi.

“Tunggu kejap ya, tokmi.” Sara membalas pantas. “Sara nak letak sangkar ni kat atas para tu. Karang kena usik dek kucing kalau dibiar duduk rendah-rendah,” beritahunya jujur.

Selang beberapa saat, dia datang duduk semula di sebelah tokmi.

“Okey. Tokmi cakap apa tadi?” Sara bersuara semula.

“Kamu ni, Sara… beria tadi tokmi duk cakap. Sara tak dengar ya?”

Sara tersengih. “Dengar, tokmi. Tapi dah lupa.”

Tokmi membuat muka. Dia sudah faham benar dengan perangai Sara yang suka melayan fikiran sendiri. Kalau diajak berbual tiba-tiba dia senyap membisu baiklah tanya dia masih ada di situ atau tidak. Kalau tidak, sia-sia sahaja bercakap seorang diri.

“Dalam tahun ni dah dua kali Sara berhenti kerja.”

Sara membetulkan duduk. “Tapi, Sara ada alasan kuat buat begitu,” balasnya.

“Tokmi tahu… sebab ada lelaki kat tempat kerja tu nak kenal dengan Sara, kan?”

Mengesan perubahan nada dalam bicara tokmi, Sara tiba-tiba terkedu. “Tokmi…” bicaranya tersangkut. Dia menggigit bibirnya kuat, enggan mengeluarkan kata-kata yang mungkin mampu membuatkan tokmi rasa tersinggung.

“Tokmi ni bukannya apa, Sara. Tokmi bukannya reti sangat pun nak cakap pasal kerja orang zaman sekarang, tapi tak bermakna tokmi ni ketinggalan zaman. Betul tokmi buta huruf, tapi tokmi masih ada mata dan telinga. Orang lain bukan main payah lagi nak dapat satu kerja, tapi Sara yang dah ada kerja macam tak reti pula nak hargai. Semudah tu saja serah surat berhenti. Tolak rezeki. Bukan sekali pula tu. Tokmi takut nanti ALLAH nak menguji, DIA tak bagi kerja kat Sara dah. Tak pun DIA bagi Sara susah dapat kerja. Biar Sara tahu makna serik,” tutur tokmi panjang berjela.

Sara terdiam beberapa ketika. Dia menyusun kata dalam fikirannya.

“Kamu tak takut ke jadi macam tu, Sara?”

Sara menelan liur. “Rezeki ALLAH ada kat mana-mana, tokmi. Janganlah risau ya? Tokmi doakan yang terbaik saja untuk Sara,” balas Sara. Tutur katanya itu sudah disusun dengan baik. Semoga tokmi mengerti.

Tokmi mengalih pandangan ke arah Sara. Wajahnya sarat dengan kasih sayang. “Doa tokmi sentiasa ada untuk Sara, serta kakak. Sara tahu kan, tokmi bukannya ada sesiapa lagi pun kat dunia ni. Tinggal Sara dengan kakak saja sekarang,” ujarnya berbaur sebak. Bagaikan enggan memberi peluang kepada Sara untuk membalas bicaranya, dia cepat-cepat meminta diri.

‘Kiranya tokmi keluar panggil aku kejap tadi semata-mata nak cakap pasal benda ni saja ke?’ Sara tertanya-tanya dalam hati.

“Tokmi takut nanti ALLAH nak menguji, DIA tak bagi kerja kat Sara dah.”

Sebaris ayat tokmi itu membuatkan Sara berfikir panjang. Bagaimana kalau ALLAH tiba-tiba hendak mengujinya dengan menutup pintu rezekinya dan dia akhirnya tidak punya sebarang kerja? Nauzubillah. Dia tidak mahu sampai jadi begitu.

“Rezeki ada kat mana-mana, insya-ALLAH.” Sara mengingatkan dirinya.

Dahulu, arwah tok pernah menasihatinya supaya tidak mudah berputus asa dan selalu bersabar. Kata arwah tok lagi, ALLAH sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Rezeki ALLAH melimpah-ruah di dunia ini. Yang penting, kita perlu rajin berusaha dan berikhtiar agar apa yang kita inginkan dapat dicapai.

Sara berpegang kemas pada nasihat arwah tok itu. Sebab itulah, dia selalu yakin dengan semua tindakan yang diambil sepanjang hidupnya, termasuklah tindakan nekadnya berhenti kerja di dua tempat berbeza dalam tahun yang sama.

Dia nekad berhenti dari tempat kerja pertamanya sebulan selepas melapor diri di situ apabila ada seorang lelaki dari jabatan yang sama datang kepadanya meluahkan isi hati. Sara telah menolak dengan cara yang paling baik, tetapi lelaki itu seolah-olah tidak mahu terima kenyataan. Siap berjanji akan sabar menunggu sehingga pintu hati Sara akhirnya terbuka untuknya.

Kesungguhan lelaki itu menyebabkan Sara jadi rimas dan ada waktunya sakit hati. Konon berjanji hendak sabar menunggu, tetapi saban hari datang menempel di mejanya ajak bersembang. Sara menyerahkan notis satu bulan selepas seminggu berfikir.

Selang beberapa bulan selepas itu, dia diterima bekerja di sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan percetakan pula. Sangkanya di situ dia akan bekerja dengan aman memandangkan pekerja lelaki yang berada di bahagian yang sama dengannya semua telah berkahwin, tetapi dia silap. Tidak sampai setengah tahun, dugaan melanda. Ada yang berhajat ingin menjadikannya isteri kedua.

Tidak pernah pun terlintas di fikiran Sara yang perkara seperti itu akan terjadi ke atasnya. Sememangnya, dia terkejut bukan kepalang. Lantas, tanpa berfikir panjang, dia menyerahkan notis dua puluh empat jam.

Entahlah. Sara pun sebenarnya tidak faham dirinya sendiri. Dia macam ada satu alergi dengan kaum Adam. Seumur hidupnya, dia cuma dapat menerima kehadiran dua lelaki. Arwah tok dan Anas. Hanya dua orang itu.

Lelaki lain, susah untuk dipercayai. Kenapa?

Arwah umi ditinggalkan suami, kala dia baru beberapa minggu berada dalam kandungan. Kakak pula digantung tidak bertali selama hampir dua tahun selepas Anas lahir sebelum diceraikan talak tiga tanpa sebab yang boleh diterima akal. Pak long, anak sulung tokmi pula meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah, setahun selepas dipenjarakan kerana mencuri.

Tokmi menanggung duka bertahun-tahun dek kata cemuhan penduduk kampung yang segelintirnya memandang hina pada anak sulungnya. Arwah umi pula sampai kena sakit meroyan dek penderitaan yang dilalui demi meneruskan hidup bersama dua orang anak kecil selepas ditinggalkan suami. Kakak pula, dek tuduhan tidak berasas suaminya menahan derita sendirian sebelum dilepaskan tanpa belas.

Sebab itulah, Sara sukar percayakan lelaki. Dalam hidupnya ada dua orang lelaki sahaja yang benar-benar bersikap baik terhadapnya. Bagi Sara, cukuplah ayah, abang ipar serta ayah saudaranya itu dijadikan contoh sempadan dalam hidupnya. Dia bertekad, selagi dia mampu berdikari sendirian, dia tidak harus bergantung pada lelaki.

Dia tidak rela dirinya menanggung derita hanya kerana seorang lelaki. Cukuplah dia melihat dengan matanya sendiri selama ini betapa payahnya wanita-wanita kesayangannya mengharungi kesengsaraan yang di’hadiah’kan oleh seorang lelaki.

Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk dijadikan sempadan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81653/Hati-Kita-Satu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *