[SNEAK PEEK] FILOSOFI MAK SINGA

Filosofi Mak Singa Oleh Anie Alja

 

“Boleh percaya ke?” soal acik mencebik, menggeleng dengan gelagat muda-mudi sekarang.

Alkisahnya, adik menceritakan gelagat seorang anak buah yang sudah pun mendirikan rumah tangga. Kononnya, selama dia membesar dengan mak ayah, sedikit pun dia tidak tahu bahawa petang sebelum raya adalah petang paling sibuk dalam setahun. Petang sebelum raya adalah petang yang paling melelahkan seorang ibu dan kaum keluarga untuk menyiapkan jamuan raya.

“Habis, selama ni dia makan ketupat dan rendang, segala mak nenek juadah tu, dia tak tahu maknya masak?” soal adik yang lain, pun menggeleng tanda tidak percaya.

Kami sama-sama naik angin.

….

Si anak buah yang bergelar isteri baru menyedari betapa sibuknya petang sebelum raya apabila beraya di rumah mentua. Barulah tersedar yang selama ini, maknya yang bertungkus-lumus di dapur menyiapkan juadah raya. Apa yang dia tahu, semuanya siap dimasak dengan pelbagai menu terhidang di atas meja.

“Selama ni, mak dia tak pernah ajak memasak ke?”

“Mak sorang-sorang duduk di dapur, dan anak-anak berkurung di dalam bilik?”

“Haih, baiknya mak dia. Dapat mak kita, memang kena hamput!”

Berselang-seli kami menyoal, masih tidak percaya cara sesetengah mak mendidik anak-anak.

“Hantaran kahwin bukan main mahal!” tempelak adik bujang acik yang mencuri dengar perbualan kakak-kakaknya.

Dan ini bukan kes terpencil. Bukan juga keluarga kaya-raya yang harta tidak habis dimakan tiga keturunan. Ini kisah keluarga kampung biasa-biasa, tetapi anak-anak dididik sungguh ‘luar biasa’.

….

“Kalau tak tahu masak sekalipun, duduk dan tunggu di dapur. Potonglah apa-apa yang patut. Basuh pinggan mangkuk dalam singki,” pesan mak kepada semua anak perempuan.

Alhamdulillah, kami memang ikut pesanan mak apabila balik ke rumah mentua. Kalau terlupa sekalipun, suami pasti akan jentik supaya acik beredar masuk ke dapur.

Pemerhatian acik sekian lama, jika isteri jenis malas ke dapur memanglah menjadi titik panas antara menantu dan mentua. Siapalah yang boleh bersabar, kan? Nak makan sama-sama, masuklah ke dapur bersama. Walaupun si isteri pegang jawatan pengarah di pejabat, tetapi balik ke rumah mentua jadilah menantu.

Masuk ke dapur dan masak bersama mentua.

“Oh, my mother in law baik… mulut tak panas,” mengelat seorang isteri pemalas.

Ya, mentua Melayu baik di depan tetapi mengutuk di belakang. Panas telinga ipar-duai mendengar umpatan mak mentua tentang menantu yang malas ke dapur. Tolonglah, janganlah bajet suci seolah-olah kita dari planet Marikh. Tidak ada orang yang suka menyusahkan diri sebab melayan kita yang tak sedar diri.

Sekali-sekala orang mungkin boleh bermanis muka, tetapi apabila sudah selalu dan tidak ada segan-silu, pasti orang akan berbunyi.

Ada juga anak lelaki jenis bebal. Tidak dicuit isteri supaya masuk ke dapur menolong si ibu. Tuli dan buta tidak berperasaan, sampai hati melihat si ibu berpeluh-peluh menyiapkan makanan di dapur untuk dia dan anak-beranak.

Acik sudah puas melihat fenomena ini dalam keluarga marhaen.

Tolonglah, jangan buat mak atau mentua macam orang gaji.

Tolonglah, jangan jadi menantu yang buta hati dan akal.

Tolonglah, jangan jadi anak lelaki yang dayus.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277293/Filosofi-Mak-Singa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *