[SNEAK PEEK] EPILOG 3 NAGA

9789831247976-medium
EPILOG 3 NAGA Oleh Kaz Ishak

EPILOG

INI adalah epik agung riwayat tentang kami, tiga ekor naga yang menghembus nafas gentala mengatur langkah kehidupan, bersama janji sedarah. Dan tiga naga ini, bukan pula sang moralis, bukan juga sang sosialis waima pejuang nasionalis.

Aku hanya pemuda yang tak menjadi! Sang ‘gagalis’! Sang idealis muda, punya intektualitas tepu, sendiri. Dan catatan epilog ini aku mulai pada pertengahan cerita, bukan pada pengakhir waima pada pangkal cerita. Agar senang untuk diteroka, ke kiri atau juga ke kanan, ke depan mahupun ke belakang. Seperti mana kuisan sang pujangga terdahulu!”

SOFIA mencari nafasnya kembali, kerana lupa sama ada jika dirinya sendiri bernafas ketika asyik membaca buku jurnal picisan itu. Punyalah hebat buku jurnal picisan itu hingga tertidur Sofia di meja pejabatnya. Punyalah hebat jurnal picisan itu, budak-budak sastera tingkatan enam atas pun belum tentu boleh faham.

Kucing Siam berbulu perang milik Sofia ini namanya Shiro. Nama anjing peliharaan watak kartun Shin Chan yang selalu aku tonton bila mata mula rabak. Biskut samprit coklat kegemaranku yang dibikin mama tempoh hari tak putus-putus disambut mulut aku yang kering, ketika zaman-zaman aku terikut rentak kelompok masyarakat kampung Pasir Berdengung dulu.

Muka surat satu. Muka surat satu. Muka surat satu. Muka surat satu. Muka surat satu. Muka surat satu. Muka surat satu. Muka surat satu. Muka surat satu. Suara halus kanak-kanak perempuan kecil sedang memanggil-manggil ibunya.

“Mummy… mummy!” Sofia yang sedang lena berdengkur di atas katil kelamin yang empuk dan diselimuti gebar gebu dingin dibeli dari IKEA ini terjaga mendengar suara anak kecil itu.

Sofia melihat tiada siapa di sebelahnya di atas katil yang terbentang luas ini. Dari pintu bilik Sofia itu, kelihatan susuk tubuh anak lelaki kecil sedang menangis halus muncul dalam gelap, sambil memanggil-manggil ibunya.

“Meh sini sayang.” Sofia memanggil satu-satunya putera kesayangannya.

Anak kecil itu berlari menghampiri Sofia dan berbaring rapat di sebelahnya, memeluk tubuh Sofia erat semacam tidak mahu dilepaskannya.

“Arul takut… Arul mimpi… Boleh Arul nak tidur dengan mummy?”

“Okey, sayang. Arul tidur sebelah mummy, okey.”

“Daddy mana?” tanya Arul sayu.

“Daddy pergi kerja, sayang. Daddy balik lambat malam ni. Arul tidur, okey.”

“Mummy, sambung lah cerita pasal lembu dengan budak lelaki tu?”

“Arul kan nak tidur. Nanti mimpi, tak boleh nak tidur pula. Esok kan Arul nak bangun pagi, pergi Quiddies kan?”

“Tapi Arul nak tahu apa jadi lepas tu. Mummy cerita lah!?”

Sofia perlahan-lahan mencapai jurnal hitam yang berada di celah gebar gebunya. Dibuka jurnal picisan keramat yang penuh sejarah kisah suka-duka kehidupan itu, dan dibaca jurnal itu oleh Sofia pada cuping telinga halus Arul, yang berusia lima tahun, dalam dakapannya erat di atas katil di dalam bilik itu.

****

“Mereka bertanya padanya, kenapa dia, sangat suka berahsia?” bisik Sofia halus di cuping kecil telinga Arul.

Ketika ini aku lelah, lesu, lengit, malas, atau apa pun istilah yang menggambarkan aku berbangsa Melayu. Yang aku tahu, hidup ini hanya ada buku, DVD cetak rompak dan kadangkala kalau mahu bersosial, aku ke panggung kalau ada filem yang Sofia mahu tonton.

Selain meneroka kepala gila sang legenda pemikir dunia. Agar dapat memahami cerita-cerita picisan mereka. Untuk aku memahami jalan hidup yang pernah mereka lalui. Agar dapat aku teladani patah-patah kata mereka yang tak pernah aku faham, walaupun berbeza-baza dialektikal gagasan idea merata.

Namun, akhirnya aku sangap sendiri. Menanti sesuatu yang dicari untuk datang bergolek-golek, macam ayam golek dari bazar Ramadan. Atau mungkin ayam betina dari bangsal kelam dengan lampu neon warna warni, di pinggir tanah licin.

Aku sendiri, sentiasa mahu mempercayai bahawa aku berada di atas landasan yang betul, namun mencari landasan yang mana sebenarnya aku berada. Di mana pun aku berdiri, berada, bila mana pun, pasti akan ada suara. Walaupun dalam sunyi. Hanya jika aku mahu.

Atau mungkin tidak ada apa pun yang sebenarnya aku katakan. Sunyi dan sepi sendiri, masih menyeronokkan jika punya gagasan idea yang mampu mengisi ruang kosong ini.

Biskut samprit coklat yang diisi dalam tin Milo, biskut kegemaran aku yang mama buat sudah habis, kosong, yang tinggal hanya saki-baki serbuk coklat yang manis di dalam tin Milo, di depan mata aku. Dan tekak aku masih mualkan sesuatu.

Sambil aku mengetuk perlahan tin Milo yang kosong itu dengan jemari aku, mendendangkan rentak lesu, mencari ilham untuk melakukan sesuatu, untuk mengisi kebosanan kepala aku yang masih berdengung.

Dan aku mula tonyoh, conteng atau mungkin menulis sesuatu, di muka-muka kosong jurnal picisan aku ini, tentang aku.

Tentang kita. Dan semua kita yang bernama manusia yang punya limitasi akal. Kemuncak limitasi akal ini lah adalah kesedaran yang akan membentuk perubahan. Anjakan gagasan pemikiran. Suatu revolusi pemikiran berlangsung dan membentuk dunia pandang baru. Gagasan idea. Sebuah dentuman yang akan mengejutkan kita dari lena yang mengasyikkan, membentuk suatu kubikel kesedaran. Bunyi dentuman guruh di langit mengejutkan tidur-tidur ayam aku.

Ketika aku yang sedang lena berlengkar di atas katil. Kepalaku menerawang melihat kipas silling yang berpusing menghasilkan bunyi nyaring yang menyakitkan hati. Kemudian mataku beralih melihat ke arah peti televisyen di dalam bilik ini, yang sedang menyiarkan berita. Rimas benak mata melihat berita TV yang disiarkan tanpa aku langsung mengambil perhatian terhadap apa yang di perkatakan wanita Melayu kacukan Cina tersebut. Akhirnya hanya manusia menghukum manusia dan manusia mengkafirkan manusia lain.

Humanistik menjadi medium propa kesesatan, terutama apa yang sedang berlaku di balik tanah tumpah darah. Telinga aku menjadi tuli dan mata aku benak menjadi lengit. Aku tak gemar dalam keadaan lengit begini.

RUANG dalam bilik itu suram. Hanya diterangi biasan cahaya yang datang dari kotak peti TV 22 inci di tengah-tengah bilik kecil itu. Dingin waktu pagi melenakan tubuh lesu Fazarul, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun. Dia hanya berseluar boxer pendek dan kemeja-t bundle tertulis “I shoot The Pianist”, filem maestro autuer agung dunia, Francoise Truffaut.

Lemas dalam fikir rasa yang melengitkan, deringan telefon bimbit Nokia XpressMusic lapuknya di atas meja berbunyi lantas mengejutkannya dari lena. Dengan mata yang masih terkatup lesu, Fazarul mengangkat dan menjawab lesu panggilan telefon itu dan suara yang di dengarnya adalah nada bingit suara manusia yang semacam terdesak, amat memerlukan sesuatu darinya. Sesuatu yang berat untuk diberikannya.

“Rul, sorry kacau kau pagi-pagi buta ni. Tidur lagi ke? suara Khalid, seorang rakan yang sudah lama di kenalinya.

“Pukul berapa ni? Kau tak tidur ke apa?” jawab Fazarul, rimas dan buntu.

“Aku telefon kau balik nanti lah?” Fazarul terus mematikan telefon bimbitnya itu lantas mencampakkan telefon tersebut di atas katil.

Fazarul bangun dan duduk di atas katilnya. Keadaannya kusut sambil termanggu melihat ke arah jam di atas meja di sebelah katilnya. Jam menunjukkan tepat pukul 5.00 pagi. Jarum jam berdetik perlahan, terasa menyenakkan.

Berita Astro Awani di peti TV di hadapan katilnya itu masih bersiaran. Sesekali Fazarul mengusap kepalanya yang berserabut dan bercelaru. Rambutnya menggerbang seperti gaya rambut watak utama filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang pernah ditonton di saluran Astro First tidak lama dahulu. Rambutnya cuba diusap rapi, namun dia tidak punya sebarang daya untuk meneruskan usahanya.

Gagasan republik kutu sedang bermaharajalela di atas kepala kusut sang idealis muda. Titis hembusan dingin hujan masih renyai membasahi jendela di luar bilik itu. Fazarul bangun dengan langkah perlahan berjalan menuju ke arah tingkap di bilik tersebut.

Di balik tabir kegelapan dingin pagi itu, Fazarul berdiri, termenung di sebalik jendela, dilihatnya gerimis embun masih segar menitis ke bumi. Tidak diduganya, semalam membawa bersama secebis kenangan. Juga mimpi aneh dalam jaganya yang hanya membawa sedikit senyuman dan secebis keriangan buat seketika. Dalam jaga, seperti kering kudratnya diperah masa, dalam kota jahil, oleh gagasan kesultanan tanah air.

Fazarul yang berdiri di balik tingkap itu merenung jauh, sejauh batas kaki bukit di hujung ufuk timur pada ketika hanya gelap pandangan mata kasarnya, cuba menyingkap fikir-rasa pada nilai kehidupan yang dicari.

Kemudian Fazarul berjalan ke goboknya dan mencapai seluar jeans Levi’s 501 kegemarannya yang sudah pun lusuh dimamah masa. Dia menyalin pakaian lalu mengheret tubuh lesunya masuk ke dalam bilik air, membasuh wajah mukanya yang lelah.

Fazarul keluar dari bilik dan turun ke ruang tamu. Di ruang tamu itu, Sofia sedang lena di atas sofa putih empuk, dengan buku-buku teks dan kertas-kertas nota bersepah di atas meja berhampiran sofa tersebut. Sofia, kakak Fazarul, susuk tubuh gadis mahasiswa ayu yang sempurna sifatnya, berusia 22 tahun. Mungkin kerana gigih menelaah, Sofia terlena dan terlupa untuk ke bilik tidur.

Fazarul yang melihat kakaknya yang sedang berlengkar di atas sofa putih yang empuk di ruang tamu itu, bingkas naik semula ke dalam biliknya dan mencapai kain selimut gebu yang berada di atas katil lalu dibawanya turun semula ke ruang tamu. Perlahan-lahan Fazarul menyelimutkan susuk tubuh Sofia yang terlena itu.

Sedang Fazarul menyelimutkan tubuh satu-satunya kakak kesayangannya dari hujung kaki hingga ke pangkal bahu, sekeping kertas jatuh dari sofa di mana Sofia tidur. Fazarul mengutip perlahan lalu mendapati yang ia merupakan sekeping gambar potret seorang wanita.

Fazarul memandang potret tersebut dan kemudian memandang ke arah Sofia semula. Gambar potret itu punya persamaan, mirip sangat dengan raut wajah kakaknya itu. Perkara itu membuat Fazarul terpaku, terdiam dan terdetik sesuatu dalam kesedaran akalnya.

Fazarul cuba untuk mengimbau memori silam yang tidak pernah difahaminya. Wajah wanita di dalam gambar potret itu kelihatan begitu berseri, mungkinkah ini gambar ibunya yang tidak pernah Fazarul kenali? Keluh Fazarul dalam hati.

Sejenak, Fazarul merasai kalbu di hatinya menusuk kembali. Namun, tidak ingin dibawanya kembali kesedaran akalnya ke dalam gugusan kisah-kisah picisan dirinya ketika kecil. Hanya bibit-bibit memori yang tidak pernah difahaminya itu berlegar dalam kesedaran fikirnya. Fazarul meletakkan semula gambar itu di celah muka-muka surat sebuah buku yang terdapat di atas meja di tengah-tengah ruang tamu itu.

Fazarul berjalan dengan langkah halus ke arah pintu depan rumah. Membuka pintu rumah itu perlahan-lahan lantas keluar. Dikuncinya pintu rumah itu perlahan-lahan agar tidak mengganggu lena Sofia. Fazarul berjalan keluar dari rumah dengan langkah bersahaja, menghirup udara nyaman dan dingin di kala pagi yang gelap.

Tanpa disedarinya, dari jendela bilik di atas rumah tersebut, kelihatan susuk tubuh seorang wanita sedang memerhatikan Fazarul yang sedang berjalan keluar dari perkarangan rumah itu. Kemudian wanita itu dengan hela nafas sayu beredar dari jendela dan menutup tirai jendela bilik tersebut.

Sekali lagi, dingin pagi itu yang hanya diiringi jatuhan embun bersama nafas lesu Fazarul, lelah seperti mana juga mendung dalam benak hatinya. Hanya kedengaran bunyi telapak kaki Fazarul yang sedang berjalan menyusuri taman perumahan yang masih gelap dan sepi. Fazarul berjalan hingga tiba di sebuah gelanggang tenis yang dijadikan skatepark, tempat di mana Fazarul bersama rakan-rakan baiknya bermain skateboard tidak lama dahulu.

Fazarul duduk di sebuah bangku usang, merenung akan suasana aman dan tenang kala itu. Bangku yang telah menjadi saksi kisah-kisah melodrama kehidupan anak remaja. Sejenak mindanya membuka bayangan sesuatu yang dikenali sebagai kenangan, bagaikan sebuah jambatan yang retak.

Fazarul menyedari bahawa mendung hatinya itu tidak mampu membawa sebarang makna. Fikirannya mula melayang mengimbau kembali kisah duka yang pernah dilalui dan diharungibersama kakaknya, Sofia. Dalam hembusan nafasnya, sang naga kecil mendengus halus bersama dalam gelap pagi itu.

****

SOFIA berbisik di telinga halus Fazarul yang masih terpinga-pinga dari mimpi tidurnya. Gadis itu mengajak adiknya untuk bersama keluar dari rumah. Sofia memimpin tangan Fazarul, yang pada ketika itu berusia enam tahun, berjalan terus keluar dari pagar rumah yang terikat kain putih itu. Pada ketika sanak-saudara mereka berlegar-legar di pekarangan rumah tersebut.

Fazarul merasakan seperti terdapat sebuah cahaya yang amat terang di luar pagar rumah itu. Hujan turun lebat dan orang-ramai, sanak-saudara, keluar masuk di rumah tersebut. Fazarul mula menangis kekeliruan dan Sofia cuba menenangkan hati kecil Fazarul.

Fazarul yang ketakutan cuba untuk berhenti menangis lalu memandang ke arah wajah kakaknya yang pada ketika itu berusia 10 tahun. Wajah Sofia kelihatan resah dan Fazarul melihat titisan air mata mengalir keluar dari kelopak mata kakaknya itu. Tiba-tiba seorang lelaki menerpa mereka.

“Kamu berdua jangan takut. Insya-ALLAH… Pak cik akan bantu kamu berdua dengan apa yang pak cik mampu. Sekarang kamu berlindung dulu di rumah pak cik.” Lelaki yang berusia separuh abad itu memberitahu perlahan. Dia menjanjikan keadaan akan menjadi lebih tenang di rumahnya.

Fazarul dan kakaknya itu dibawa menaiki kereta pacuan empat roda. Pak cik memandu kereta tersebut beredar dari kawasan pekarangan rumah tersebut. Di dalam kereta itu juga, seorang wanita berusia lewat 30-an duduk di sebelah pak cik yang sedang memandu kereta. Wanita itu kelihatan sayu teresak-esak, tersedu-sedu sendiri.

Pak cik yang memandu kereta tersebut hanya mampu mendiamkan diri termenung jauh ke hadapan jalan yang panjang, dalam hujan yang lebat. Fazarul terlalu keliru untuk memahami apa yang sedang berlaku pada ketika itu dan apa yang dia tahu hanyalah dirinya akan dibawa ke rumah lelaki itu, untuk berlindung di sana nanti.

“Perlindungan dari apa?” bisik Fazarul dalam benak hatinya.

Fazarul memandang ke arah Sofia dengan riak keliru. Namun sepanjang perjalanan, di dalam kereta itu, tidak seorang pun bersuara waima mengeluarkan sepatah kata.

“Mana ayah dan ibu?” soal Fazarul dalam benak fikir rasanya.

Hati kecilnya yang kusut hanya mampu berserah pada apa yang dianjurkan padanya ketika itu. Tidak lama kemudian lelaki itu berkata, “Fazarul, jangan takut. Pak cik akan pastikan Arul dengan Kak Sofia selamat,” kata lelaki itu yang sedang memandu kereta tersebut.

Benak akal Fazarul mula menerawang tertanya-tanya siapakan lelaki ini dan kenapa wanita yang duduk di sebelahnya menangis pilu? Sesekali kelibat petir menyambar langit hitam dan bunyi dentuman guruh serta hujan yang masih turun lebat mengisi ruang susana dalam kereta itu.

Sofia hanya mampu mendiamkan diri dan memandang ke arah pemandangan di luar kereta. Tidak lama kemudian mereka tiba di sebuah rumah banglo yang sederhana besar, di pinggir kota. Sebuah banglo yang mempunyai ciri-ciri seni bina zaman kononial 1940-an. Kawasan rumah banglo itu agak luas. Ada halaman taman yang mengelilingi ruang bangunan banglo itu.

Dari dalam banglo itu, seorang wanita warganegara Indonesia berusia lewat 30-an bergegas keluar dari dalam rumah. Berpayung hitam meredah hujan yang masih turut lebat. Wanita itu membuka pintu pagar rumah setibanya kereta yang dinaiki oleh Fazarul dan Sofia tiba di pekarangan rumah banglo tersebut dan mereka masuk ke dalam pekarangan rumah tersebut.

Pak cik keluar dari kereta dan membuka pintu di mana Fazarul duduk lalu memimpinnya keluar dari kereta tersebut. Fazarul dibawa masuk ke dalam rumah tersebut dan seketika Fazarul menoleh ke arah Sofia, dilihatnya Sofia sedang berjalan perlahan-lahan sambil memandang-mandang ke arah taman di halaman rumah tersebut yang lapang dan cantik.

Wanita yang duduk di kerusi sebelah tempat duduk pemandu masih lagi menangis teresak-esak di dalam kereta seakan tidak mampu bergerak apatah lagi berkata. Dari jauh, Fazarul hanya mampu melihat tanpa memahami apa-apa. Dia dibawa masuk ke rumah itu. Selangkah memasuki rumah itu, dapat dilihat betapa indahnya ruang di dalam rumah itu yang luas dan dihiasi perabot yang cantik.

Benar seperti kata pak cik, terasa semacam berada di tempat yang aman, lebih-lebih lagi dengan haruman bunga yang menyelubungi sekitar rumah tersebut. Lelaki itu menyuruh wanita Indonesia itu membantu wanita yang masih lagi terpaku di dalam kereta itu keluar. Wanita Indonesia yang sedang memimpin tangan Sofia terus melepaskan genggamannya pada Sofia dan berjalan menghampiri wanita yang masih di dalam kereta itu, cuba membantu wanita itu keluar dari kereta tersebut.

Fazarul dibawa masuk ke dalam rumah itu dan naik ke sebuah bilik di tingkat atas rumah tersebut. Fazarul duduk di atas katil besar yang empuk, selesa di dalam bilik yang suram itu. Tidak lama kemudian Sofia pula masuk dan duduk di atas katil itu. Sofia mencapai sebiji bantal lantas memeluk bantal tersebut erat, semacam cuba menahan sesuatu dari dalam dirinya agar tidak dilihat oleh adiknya.

Fazarul terpinga-pinga melihat keadaan kakaknya yang pelik seperti dalam kesedihan. Pak Teh menyuruh mereka berehat dan tidur, lantas menutup suis lampu bilik itu lalu keluar sambil menutup pintu bilik tersebut.

Sofia memanggil adiknya dengan nada sayu untuk duduk di sebelahnya. Fazarul perlahan-lahan menghampiri.

“Kak, kenapalah banyak sangat orang menangis? Apa yang cengeng sangat mereka ini? Mana ayah dengan ibu? Siapa pak cik yang bawa kita kat sini? Kenapa? Kenapa mak cik yang duduk sebelah pak cik tu menangis?” Pelbagai persoalan yang bermain dalam lelah mindanya yang lengit dan menghimpit Sofia untuk berada dalam keadaan yang amat tertekan, terdesak dalam kekeliruan.

Sofia perlahan-lahan memandang ke arah mata adik kesayangannya itu tanpa mampu punya sebarang patah kata. Dia tidak mampu menjawab persoalan yang ditujukan kepadanya.

Sofia terus menangis lalu memeluk erat tubuh kecil Fazarul yang kaku dan dingin. Pelukan Sofia bagaikan pelukan yang paling syahdu menggambarkan rasa kasih seorang kakak kepada satu-satunya adiknya. Pada ketika itulah Fazarul sedar pasti ada sesuatu yang telah berlaku ketika dia dibuai mimpi. Fazarul juga sedar mungkin ada sesuatu telah berlaku kepada ayah dan ibunya.

Sofia melepaskan pelukan tersebut perlahan dan berbisik halus, “Tidurlah dik, esok nanti Arul faham semuanya,” dengan nada perlahan Sofia meniupkan katanya pada benak hati Fazarul. Sofia kemudian cuba menenangkan diri adiknya itu dan meminta Fazarul yang sedang lesu untuk tidur.

Fazarul tidur mengiring ke arah kanan dengan matanya yang masih terbuntang luas, termenung ke arah sebuah jam dinding di satu sudut di dalam bilik itu. Pukul 4.20 pagi dan jarum jam masih berdetik kencang. Dalam esakkan nafasnya, di dalam benaknya terdapat pelbagai persoalan yang ingin sangat ditemukan dengan jawapan yang dapat difahaminya.

Apalah yang dapat difahaminya yang pada ketika itu, rasa akalnya yang masih mentah untuk mengenal erti sebenar kesedihan kehidupan? Fazarul perlahan-lahan menutup matanya, cuba untuk tidur dan menenangkan fikiran. Bayu dingin menghembus langsir di celah-celah jendela bilik itu.

CAHAYA pagi yang masuk dari jendela yang terbuka luas menerkam wajah Fazarul. Dia terjaga dari lena. Sofia turut terjaga dari tidurnya. Pembantu rumah yang masuk mengejutkan mereka. Fazarul dan Sofia disuruh untuk membersihkan diri, mandi dan bersiap.

“Nak pergi mana ni, kak?” kata Fazarul kepada Sofia.

“Akak tak tahu lah, dik,” jawab Sofia dengan nada perlahan.

Setelah siap, dia dan kakaknya dibawa turun ke ruang tamu. Ada beberapa orang penghuni rumah itu sedang duduk di sofa di ruang tamu itu, termanggu sendiri, menunggu mereka.

Fazarul dan Sofia diminta oleh lelaki yang membawa mereka ke rumah tersebut untuk duduk di atas sofa putih yang empuk di ruang tamu tersebut. Lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya.

“Nama pak cik, Zulkarnain. Ini isteri pak cik, Mak Cik Asmah dan ni pula adik pak teh, Pak Cik Shah Rizal,” kata lelaki yang bertubuh tinggi dan tegap itu. Dia memperkenalkan dirinya dan wanita yang sedang duduk di sofa di ruang tamu itu serta seorang lagi lelaki.

Wanita itu mula menerpa, “Mak cik satu-satunya adik kandung kepada ibu kamu, kamu tahu kenapa kamu berdua kat sini?”

Fazarul hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu akan jawapannya.

“Ayah dan mak dan meninggal dunia,” ujar Sofia perlahan.

Sofia yang duduk di sofa putih itu, di sebelah Fazarul menggenggam tangan adiknya itu dengan erat. Seperti tidak mahu dilepaskan genggaman itu.

Fazarul memandang wajah sayu Sofia, tersentak dengan kata-kata kakaknya itu. Mak Cik Asmah hanya mampu mendiamkan dirinya dan menundukkan wajah. Lantas pak teh perlahan-lahan memeluk Mak Cik Asmah, cuba menenangkan isterinya itu.

Fazarul menganggap kejadian yang sedang berlaku ini bagaikan sebuah drama sinetron yang tiada kesudahan, yang tidak pernah dapat difahaminya. Mungkin kerana Fazarul masih belum tahu akan erti sebenar kehidupan.

Pak Cik Shah Rizal memberitahu bahawa ayah dan ibu mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Mereka menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.

“Sudahlah, kita ke tanah kubur dulu?” kata Pak Cik Zulkarnain. Dia memandang ke arah Mak Cik Asmah, Fazarul dan Sofia.

Mereka berlima menaiki kereta pacuan empat roda yang dipandu pak teh ke tanah perkuburan. Setibanya mereka di kawasan persemadian jasad manusia yang sangat sunyi itu, Fazarul dapat melihat jenazah ayah dan ibunya diusung keluar dari sebuah van dan dibawa ke tapak liang lahad yang telah digali sempurna.

Ramai orang berdiri mengelilingi kedua-dua liang lahad, melihat jenazah ayah dan ibu mereka ditanam. Makam ayah dan ibunya terletak bersebelahan. Terasa benar sayu dalam embun pagi masih membasahi tanah merah yang masih berhalwa, tubuh jenazah ayah dan ibu Fazarul disambut ke muka bumi lantas ditimbus tanah merah, yang akan membawa mereka ke takah tiga, alam yang bernama kehidupan.

Selepas talkin dibaca, Fazarul dan Sofia dibawa pulang semula ke rumah keluarga angkat baharu mereka. Setibanya mereka di rumah, mereka diberitahu bahawa mereka akan tinggal di situ mulai hari itu. Mujurlah, Sofia dan Fazarul dibesarkan dengan sempurna oleh keluarga angkat mereka di banglo yang terletak di sebuah taman perumahan di pinggir kota.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81595/Epilog-3-Naga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *