[SNEAK PEEK] DIA YANG BERGELAR SUAMI

Dia Yang Bergelar Suami oleh Rafina Abdullah

 

BILA nak kenalkan Za pada isteri abang?” Rengek Aiza manja sambil membetulkan duduk di atas ribaan Idzmir.
“Abang belum sedia lagi.” Jawab Idzmir bersahaja. Rimas juga ketika Aiza sering mengungkit persoalan yang serupa. Jenuh dia mengelak supaya tidak menjawab soalan itu. Namun, Aiza terus mendesak.

“Abang selalu bagi alasan yang sama. Za dah muak, tahu tak?” Aiza tarik muncung apabila soalannya dibalas dengan jawapan yang menghampakan.

“Sabarlah, sayang. Bukan senang abang nak kenalkan Za pada dia. Za kenalah faham kedudukan abang.” Idzmir memujuk. Tapi kali ini, nampaknya Aiza tidak termakan dengan pujukannya apabila gadis itu mula berdiri lalu berpeluk tubuh.

Idzmir yang masih duduk mula picit dahi. Agak bosan dengan kerenah yang sering ditunjukkan Aiza. Sikap tidak puas hati Aiza selalu mengundang resah di hatinya yang menyayangi gadis itu.

Jarak usia lapan tahun di antara mereka, membuatkan gadis itu lebih senang memanggilnya ‘abang’.
Apabila Aiza merajuk, Idzmir terus berdiri lalu mendekati gadis kesayangan. Kata-kata manis yang meniti di bibirnya sering membuatkan Aiza tewas dengan rajuk sendiri.

“Kalau betul Za cintakan abang, tentu Za sanggup bersabar dengan keadaan kita sekarang. Abang sayangkan Za dan janji akan kahwin dengan Za bila tiba masa sesuai. Cuma, Za bagilah abang sikit masa untuk pujuk Kak Shila. Abang yakin dia dapat terima Za.” Pujuk Idzmir lagi hingga gadis itu tersenyum semula.

IDZMIR menghenyak tubuh ke sofa. Melepaskan lelah seminit dua sebelum mahu ke tingkat atas untuk bersihkan diri. Anak perempuan kesayangan datang meluru, membuatkan langkahnya mati.
“Papa nak minum? Mama suruh Uyi bagi air pada papa.” Puteri Felisha yang berusia lima tahun menghulurkan gelas pada papanya.

“Baiknya anak papa. Cium pipi sikit.” Idzmir menyambut gelas itu lalu mengangkat Puteri ke atas riba. Rambut ikal Puteri diusap perlahan.

Puteri berpusing lalu pipi Idzmir dikucup bertalu-talu.

“Wow… papa minta cium sikit saja. Tapi, banyak macam ni dia bagi?” Usik Idzmir lalu menggeletek tubuh Puteri.
Anak kecil itu ketawa dan meronta-ronta. Kasih sayang begitu terserlah di antara kedua-duanya. Tapi di sebaliknya, tega benar Idzmir mahu memberikan seorang ibu tiri pada anaknya.

“Uyi, mama mana?”

“Mama kat dapur. Masak untuk papa.” Puteri mula berbaring di sisi papanya.
Idzmir kelihatan resah dengan situasi di pejabat tengah hari tadi. Teringat dengan permintaan Aiza, dia makin serba salah hendak bersemuka dengan Shila di dapur itu.

“Uyi duduk sini, ya. Papa nak jumpa mama.” Dia berdiri dan meninggalkan Puteri sendirian di atas sofa.
Anaknya itu mula bercekak pinggang kerana masih belum puas bermanja dengannya. “Papa!” Jerit Puteri.
Idzmir berpaling lalu membuat isyarat supaya anaknya tidak membuat bising.

Puteri bermasam muka apabila kerenah manjanya tidak dilayan. Lantas, anak kecil itu mencapai remote televisyen untuk membuka siaran kartun kegemaran.

Idzmir tersengih melihat telatah Puteri. Kemudian, perhatian mula beralih pada isterinya yang leka memotong sayur.

“Lewat abang balik hari ni?” Tegur Shila tika melihat suaminya tiba-tiba muncul di belakang.

“Ada urgent meeting la, sayang.” Dalih Idzmir sambil menarik kerusi lalu duduk perlahan.

Shila yang ligat memotong kobis melemparkan senyum manis padanya. Idzmir membalas dengan senyum hambar kerana memikirkan cara untuk memberitahu Shila mengenai hajatnya yang mahu peristerikan Aiza.

Dia bimbang jika niat itu disampaikan, pisau di tangan Shila tiba-tiba tertusuk ke dadanya.

Shila yang sedar dengan perubahan Idzmir mula meletakkan pisau di atas meja. Sayur kobis yang siap dipotong, dimasukkan ke dalam satu bekas.

“Kenapa dengan abang ni? Shila tengok lain macam aje. Abang tak sihat ke?” Tapak tangannya naik meraba dahi Idzmir. Kerisauan bertandang melihat keadaan suaminya.

‘Abang demam nak kahwin lagi.’ Jawab Idzmir sekadar di hati.

“Tak ada apa-apa. Mungkin abang penat sikit.” Sedaya upaya dia cuba menutup rahsia agar tidak dihidu isterinya. Tangan Shila yang melekap pada dahinya ditarik ke bawah.

“KAU masih ada hubungan dengan suami orang tu?” Soal Husna pada Aiza yang leka berbalas whatsapp dengan seseorang.

“Hello… nama dia, Idzmir Damien. Sedap mulut aje kau panggil suami orang, suami orang.” Bentak Aiza.

“Tak kisahlah apa pun namanya. Aku cuma nak tahu, kau ada hubungan sulit lagi dengan dia?”

Aiza sibuk dengan iPhone yang baru dibelikan Idzmir tempoh hari. Soalan Husna tidak dipedulikan.

Husna menggeleng melihat tingkah Aiza. Tumpah simpatinya pada isteri Idzmir apabila dia tahu lelaki itu adalah suami seseorang. Satu keluhan panjang dilepaskan Husna lalu dia beredar untuk membancuh minuman di dapur.
Melihat Husna berlalu, Aiza mencebik. Dia tahu Husna tidak senang dengan sikapnya yang mengambil mudah apabila menjalinkan hubungan dengan lelaki sudah berkahwin.

Apa nak dikisahkan dengan Husna? Yang penting, aku cintakan Abang Mir. Hati kecilnya berbisik. Dia bangkit menuju ke tingkat atas. Matanya tak dapat ditahan akibat mengantuk. Hatinya berbunga riang apabila whatsapp terakhir Idzmir memberitahu dia akan dibawa ke satu tempat petang esok.

IDZMIR melakukan kerja yang masih banyak tanpa menyedari Aiza tercegat di hadapan. Tumpuannya cuma pada skrin lap-top. Jari-jemarinya ligat menekan keyboard tanpa menghiraukan Aiza yang sedang memerhati.

“Amboi… tekunnya buat kerja. Sampai tak sedar Za berdiri depan abang.” Aiza menyapa sambil menguis sehelai kertas di atas meja.

Idzmir mula memberi tumpuan pada Aiza. Dia tidak lagi fokus pada kerjanya. Senyum diberikan melihat penampilan Aiza yang lain dari biasa.

Berbeza benar pakaian Aiza hari ini. Dia tersenyum lantas menggamit Aiza datang dekat padanya. “Za nak pergi mana pakai macam ni?”

“Abang kan, ajak Za pergi jalan-jalan lepas kerja?”

Idzmir tepuk dahi. “Alamak… abang terlupa. Petang ni abang kena bawa Kak Shila pergi klinik. Dia kurang sihat.” Idzmir menipu. Dia sekadar mengusik. Shila di rumah sihat-sihat saja dan tidak menghadapi sebarang gangguan kesihatan.

“Abang selalu mungkir janji dengan Za. Selalu sangat lebih-lebihkan isteri abang.” Rungut Aiza dengan wajah masam. Dia sedar, tidak sepatutnya dia merungut begitu kerana tidak mempunyai hak untuk meminta lebih dari Idzmir sedang dari awal dia tahu lelaki itu ada keluarga sendiri.

“Abang guraulah. Petang ni kita keluar. Jangan masam muka depan abang. Nanti abang cari skandal lain, baru tahu.” Dia tidak lelah menyakat.

“Sekali lagi abang gurau macam ni, tahulah apa Za nak buat kat abang.” Ugut Aiza kembali. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu kalah pada lelaki kesayangannya ini. “Ermmm… abang nak bawa Za pergi mana sebenarnya?” Aiza menyambung dengan soalan.

“Genting.” Sepatah Idzmir memberitahu.

“Genting?” Bulat mata Aiza mendengar. Lalu, senyuman lebar terserlah di wajahnya sekarang.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/275122/Dia-Yang-Bergelar-Suami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *