[SNEAK PEEK] CIK HOUSE KEEPING I LOVE YOU

Cik House Keeping I Love You Oleh Dilla Ahmad

 

ISSAC Daniel mengarahkan Aina membuka pintu.

“Kenapa pulak saya?” tanya Aina berkerut memandang encik bos.

Because I told you to…” balas Issac Daniel pula sambil tenung muka dia, macam nak marah. Oh ya, dia kan bos! Aina sudah menyengih dan segera mendekati pintu. Kemudian membukanya perlahan.

Seorang lelaki yang sebaya encik bos sedang terpegun memandangnya sebaik sahaja dia yang membuka pintu bilik Issac Daniel.

Err… saya tak salah bilik kan? Ini bilik Tuan Issac Daniel, kan?” tanya lelaki yang kacak seperti encik bos itu. Muka macam blur aje tengok Aina. Mungkin terkejut melihat dia berada di dalam bilik encik bos poyo itu.

“Encik tak salah bilik. Ini memang bilik Encik Issac. Saya ni tukang kemas bilik dia, encik.” Balas Aina tersenyum- senyum pada mamat yang mukanya ada iras-iras Farid Kamil. Pelakon pujaan dia tu.

Lelaki itu menguntum senyum pada Aina. Dia ingatkan gadis itu ada apa-apa hubungan dengan kawan baiknya itu. Mahu kena pelangkung dengan Ramona kalau Issac Daniel cuba-cuba nak pasang satu lagi.

“Saya, Fawwaz. Pembantu peribadi Encik Issac Daniel. Dia ada di dalam?” tanya Fawwaz, tersenyum menawan kat budak housekeeping yang nampak comel itu. Mata itu bulat dan cantik betul.

Terlupa berkelip sekejap mata Aina ni apabila melihat senyuman lelaki bernama Fawwaz itu. Apabila lelaki itu tersenyum, matanya turut tersenyum sekali. Terus dia panggil senyuman itu sebagai senyuman ikhlas daripada hati. Muka pun nampak bersih aje.

“Sekejap ya, Encik Fawwaz…” Aina berpaling memandang encik bos yang sedang duduk sambil minum kopi dan menyemak entah kertas apa kat atas meja kopi itu.

“Encik Issac, Encik Fawwaz a.k.a. pembantu peribadi encik datang ni…” Aina bagai membuat pengumuman. Dah macam setiausaha Issac Daniel pulak dia ni.

“Okey suruh dia masuk, Cik Aina!” sambut Issac Daniel.

Pintu dibuka selebarnya untuk lelaki bernama Fawwaz itu dan menjemput lelaki itu masuk. Kenapalah sejak dia bekerja kat hotel ni, dia asyik terserempak dengan mamat-mamat kacak aje ya?

“Terima kasih, cik…” Fawwaz berpaling sedikit memandang Aina.

“Aina. Nama saya, Aina.” Tak agak-agak Aina perkenalkan dirinya. Mata masih memandang wajah Fawwaz yang suka tersenyum itu. Hailah hati, kenapalah boleh tersuka dengan senyuman ‘Farid Kamil’ ini?

“Terima kasih, Cik Aina. Betul ke awak ni tukang kemas bilik? Bukan nak jadi PA baharu Issac?” usik Fawwaz, memandang cik adik yang tak berkelip pandang dia. Mesti budak perempuan ini dah tersangkut hati kat dia. Kalau ya, baguslah. Lama juga tak makan lauk ‘ayam kampung’. Asyik ‘ayam bandar’ saja. Jemu jugak. Tak mencabar.

“Dia tukang kemas bilik I ajelah!” sampuk Issac Daniel dari meja kopi itu.

Kata-kata encik bos itu buat mata Aina mengecil memandangnya. Baru nak melayan wajah sedap mata memandang ni, encik bos dah potong mood dia.

Fawwaz dah tersenyum lebar. Bukan dia tak tahu pekerjaan gadis comel di hadapannya ini. Dengan baju uniform yang tersarung di tubuh itu saja dia dah tahu budak tu dari jabatan mana.

“Cik Aina, tolong buatkan kopi lagi. I ada meeting dengan Fawwaz ni. Kalau ada apa-apa kat dalam kabinet tu pun bawak keluar sekali. Boleh kunyah-kunyah sambil buat kerja!” Suara Issac Daniel kedengaran lagi bagai memerintahnya. Memang boslah dia ni!

“Baik, encik!” Aina patuh dan berlalu masuk ke dapur kecil Issac Daniel. Kecil sebab tak banyak kelengkapan.

“Aku ingatkan budak tu spare tyre kau, bro! Kalau Si Ramona tahu kau bawak perempuan lain masuk bilik kau…” Fawwaz mula ketawa mengekek.

“Dialah budak housekeeping yang aku ceritakan kat kau hari tu.” Balas Issac Daniel bersahaja. “Budak yang tiba- tiba terjah dan masuk dalam lif sebab kena kejar dengan bekas tunang dia. Itu cerita dialah…” Issac Daniel sudah tersenyum. Sesekali menjeling belakang Aina.

Fawwaz menoleh ke arah dapur. Budak itu memang berani duduk berdua-duaan dengan Issac Daniel ni. Tapi macam mana Si Issac ni boleh tahan nafsu dia tengok budak perempuan yang tubuhnya mengancam jiwa jugak ya? Kening Fawwaz ternaik sebelah, menjeling Issac Daniel yang sedang tunduk menulis sesuatu. Dia memandang gerak-geri Aina pula.

“Jangan tengok anak dara orang macam nak telan!” tegur Issac Daniel tiba-tiba, membuatkan kepala Fawwaz berpaling memandang kawan itu semula. Dia tersengih.

“Tengok aje kut. Bukannya boleh pegang!” balas Fawwaz sambil gelak-gelak penuh makna.

Issac Daniel sudah menggeleng kepala. “Just don’t!” Issac Daniel sudah merenungnya tajam. “Leave her alone. Ada ramai perempuan lain kalau kau nak main pun!” kata Issac Daniel lagi, selamba. Bukan dia tak tahu perangai buaya Fawwaz ini. Semua kalau boleh dia nak ‘ngap’.

Muka nampak baik dan nampak suci aje. Itu adalah senjata dia nak pikat orang perempuan baik-baik macam Aina itu. Apabila dah dapat dan dipergunakan, dibuang begitu saja. Semuanya akan diberikan duit dan jangan cari dia lagi. Itulah Fawwaz.

Fawwaz, Fawwaz. Mereka berdua memang kawan baik. Bukan dia tak pernah menegur sikap kawannya itu. Tapi Fawwaz tetap begitu. Tak pernah nak berubah. Jadi, dia dah malas nak menegur. Dosa masing-masing yang tanggung. Jangan sampai masa kalau dah tersepit baru cari dia. Memang dia terajang Fawwaz kat situ juga!

Sekarang ni mata Fawwaz sudah melekat kat budak Aina itu pula. Jangan Si Aina tu pun turut ‘tersampuk’ kat Fawwaz ni sudah. Tapi daripada cara cik housekeeping itu memandang Fawwaz tadi, dia pasti Aina juga sudah tersuka kat Si Fawwaz buaya ini. Ah, bukan hal dia kalau cik housekeeping itu berkenan dekat Fawwaz ini. Pandai-pandailah jaga diri. Bukan prinsip dia nak ambil tahu hal peribadi orang.

“Encik Issac, saya dah sediakan kopi atas meja dapur ni. Kalau dah tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Suara Aina kedengaran di belakang mereka.

“Okey, thank you. Besok jangan lupa datang ke bilik I lagi. Singgah ke sini dulu then baru you buat kerja rutin you kat dalam hotel ni.” Kata Issac Daniel, mengingatkan.

“Encik, kan saya dah cakap…” Aina sudah nak membantah.

Don’t worry. I will make a special request to housekeeping department untuk you berkemas di bilik I. Jadi you dah tak ada alasan lagi, Cik Aina!” celah Issac Daniel pula pada Aina yang sudah nak membantah cakap dia itu.

“Lagi satu… siapa bos?” tanya Issac Daniel, sambil tenung wajah Aina.

Aina sudah pandang encik bosnya dengan muka tak puas hati. Kemudian dia mengeluh perlahan.

“Encik Issac.” Jawab Aina perlahan. Nak cakap banyak pun hanya menghabiskan air liurnya saja. Baik dia diam. Diam itu lebih baik daripada berkata-kata yang tidak perlu, Aina. Ingat tu.

Issac Daniel mengangguk. Berpuas hati yang cik housekeeping itu tidak bercakap lagi.

Poyo…” Aina bersuara perlahan. Takut bos dengar. Hati rasa panas saja dengan arahan Issac Daniel itu.

Mata kelabu Issac Daniel sudah merenung tajam pada wajah selamba Aina. Bukan dia tak dengar kata-kata Aina tadi. Fawwaz pula sudah merasa seronok melihat gelagat Aina dan Issac itu. Nampaknya, Issac kena buat sesuatu kat budak comel ini. Nampak sangat Issac ni tak tegas pada orang bawahannya. Sampai Aina pun tak rasa takut pada bos sendiri.

“Nanti I suruh secretary I buat surat rasmi tu. Kemudian dia akan serahkan pada Kak Zah yang mengatakan bahawa you ada kerja di bilik I. Kalau dia banyak cakap, you cakap dengan I!” balas Issac Daniel lagi dengan muka yang sangat serius.

“Baik, Encik Issac.” Lemah badan dan otak Aina memikirkan encik bos ini. Dia bukannya suka sangat nak duduk berdua-duaan dengan encik bos dalam bilik ini. Sangat bahaya! Lelaki itu pula jenis selamba badak saja. Tengoklah tadi tu. Sengaja tayang badan dia depan Aina. Macamlah Aina terliur sangat.

Agaknya, kalau depan cik tunang yang kuat meroyan itu, mahunya asyik kena terkam macam singa betina lapar. Usai mengemas dapur dan menyusun buku-buku serta surat khabar yang bersepah, Aina melangkah ke pintu.

Bercakap tentang cik tunang itu, ke mana minah tu pergi agaknya sejak dia ‘sekolahkan’ perempuan itu tentang mengemas katil? Fikir Aina sendiri sambil membuka pintu bilik.

You again!”

Suara nyaring seseorang membuatkan Aina terlompat ke belakang. Muka garang Ramona, tunang encik bos di hadapannya kini. Aina, lain kali jangan sesekali nak fikirkan pasal tunang encik bos ini. Dalam hati pun jangan. Sebab perempuan ini macam ada saka. Macam tahu-tahu saja kita ingat kat dia!

“You buat apa lagi kat bilik tunang I, hah? Nak menggatal lagi dengan Issac I ya!?” Perempuan itu sudah menjerit macam orang gila. “You memang nak kena dengan I kan!” Terus Ramona mengayunkan beg Guccinya ke badan Aina.

Adoi, sakit badannya terkena besi-besi yang ada pada beg tangan minah itu. Whoah, dia ingat badan aku ni punching bag? Punching bag itu dah tentulah tak melawan kan? Rela ditumbuk dan disepak. Aina memang terasa sakit dan spontan, tangan dia terus menolak Ramona yang bertumit tinggi itu. Perempuan itu hilang imbangan dan…

Buk!

Minah meroyan itu jatuh terduduk. Punggung dah landing dulu mencium lantai. Mulut sudah nyaring menjerit kesakitan. Hek eleh, baru tolak sikit aje kut. Aina sudah menggosok-gosok lengannya yang sengal akibat pukulan Ramona itu.

Issac Daniel dan Fawwaz segera bingkas menghampiri pintu. Masing-masing kaku melihat Ramona yang sudah terduduk di lantai. Issac Daniel menggeleng kepala dan segera mendapatkan tunangnya yang sudah menangis macam anak kecil itu. Tangan segera membantu Ramona bangun dan mata memandang tajam pada Aina.

Aina buat muka bersahaja. Rasa sakit di badan ditahan. Bukan salah dia perempuan itu jatuh terduduk. Tapi salah perempuan itu yang pakai kasut tumit tinggi empat inci. Sedar pulak diri tu pendek! Aina mahu ketawa dengan pernyataannya sendiri.

“Dia tolak I!” adu Ramona pada encik tunang tersayang. Mata Issac Daniel sudah tepat memandang Aina.

Fawwaz pula sudah sembunyi senyum apabila melihat Aina yang mencebik pada kata-kata Ramona itu.

“Saya pergi dulu. Dah lambat nak buat kerja ni.” Kata Aina kemudian dan mahu melangkah.

Say sorry to her, Cik Aina!” kata Issac Daniel dengan lantang di belakangnya. Aina berpaling dan memandang mereka yang ada di situ. Wajah Issac Daniel yang nampak garang, Ramona yang sudah buat muka sombong dan Fawwaz yang sedang tersenyum seolah mengejeknya. Agaknya, orang- orang dari kelas atasan memang begini cara mereka melayan orang-orang bawahan macam dia.

Tak apa, Aina. Meminta maaf tidak semestinya kau salah. Juga bukan ertinya kau kalah! Pesan arwah emak tidak akan sekali-kali dia lupakan. Cuma terletak pada hati dia sama ada mahu berlaku jujur atau tidak. Tapi kalau melihatkan muka perempuan itu, memang Aina rasa sakit hati. Okey Aina, tak payah nak jujur sangat!

“Maaf, cik!” balas Aina selamba dan terus berlalu dari situ. Memang tak ikhlas kemaafan itu, Aina. Tak apa. Rasa marah ini masih ada dan dia mahu segera pergi sebelum dengan Issac Daniel sekali dia hamun nanti. Dia dah tak peduli siapa Issac Daniel itu.

Namun, sempat juga dia menjeling tajam pada Issac Daniel yang berat sebelah. Hati Aina terasa pedih tiba-tiba. Jadi orang suruhan atau bawahan ini memang macam ni agaknya. Sabar ajelah Aina Humaira.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/279005/Cik-House-Keeping-I-Love-You

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *