[SNEAK PEEK] CERITA BILIK GURU

Cerita Bilik Guru Oleh Fadli Salleh, Shahidan Shuib, Reyna Ibrahim, Firdauz Abdullah

 

“Eh, muka awak macam Buntat la,” tegur kawan aku apabila aku mengajak seorang murid ini masuk ke bilik guru.

Kawan aku terus berlalu pergi. Dia ada kelaslah tu, menegur sambil lalu sahaja.

“Ya, cikgu. Semua kawan saya panggil saya Buntat. Kawan ayah saya pun sama,” bersungguh-sungguh dia bercerita.

‘Boleh tahan juga budak ni,’ ujarku dalam hati.

Tak sempat aku tanya apa-apa, dia dahulu yang membuka cerita. Dengan penuh semangat pula tu. Aku boleh agak dah, pasti best ajak budak ni berborak sekejap lagi.

“Cikgu dengar, awak pernah tidur dalam kereta. Betul ke?”

“Betul cikgu. Tahun lepas la. Masa tu kan saya tahun satu. Sebab tu tahun lepas saya selalu tak datang ke sekolah. Kadang-kadang ayah parking dekat stesen minyak Petron, kadang-kadang stesen minyak Petronas. Dekat parking masjid pun kami pernah tidur cikgu,” jawabnya dengan bersemangat.

Buntat ini bercerita seolah-olah tidur di dalam kereta itu sesuatu yang menyeronokkan. Gayanya, macam pergi melancong ke Disneyland. Tiada rasa bersalah, jauh sekali rasa sedih. Selepas beberapa lama ‘menemu ramah’ Si Buntat yang ceria ini, aku memutuskan untuk menziarahi rumahnya pula. Nak berkenalan dengan ibu bapanya. Nak mendengar kisah mereka. Pulang dari sekolah, aku menemui si bapa. Minta izin hendak ziarah rumah mereka. Terus aku dialu-alukan datang. Maka, aku mengekori motosikal Ex-5 bapa Si Buntat, masuk ke Kampung Kerdas 5, Gombak.

Aku naik sahaja ke rumah mereka, tiada orang di dalam rumah. Perabot? Satu pun tiada. Bersila di lantai menghadap dapur. Atas lantai dapur, ada dua periuk nasi. Satu agak baru, satu sudah buruk.

Aku hanya memerhati sekeliling sebelum mula membuka bicara, “Bang, kenapa Buntat tak datang ke sekolah semalam?”

Semestinya aku memanggil nama sebenar anaknya. Tak mungkin nak panggil ‘Buntat’ depan bapa dia. Balik dengan ambulans aku nanti.

“Maaf, cikgu. Semalam saya tak sempat nak hantar dia. Saya bawa dia berniaga air di Jalan Tun Perak. Depan bank sana. Susah nak berniaga sekarang ni cikgu. Air tak laku. Dapat berapa sen je semalam. Semalam, periuk baru yang dekat dapur tu saya nak jual, tapi tak ada orang nak beli. Nak buat duit belanja Si Buntat ni. Tapi dah tak ada duit, dia pergi ke sekolah dengan bekal air je la,” ujar si bapa.

“Biasalah bang. Rezeki ni Allah tentukan. Kadang ada, kadang tiada. Dengar-dengar abang pernah tidur dalam kereta. Betul ke?” pancingku hendak mengetahui kisah mereka dengan lebih lanjut.

“Ya cikgu. Lepas kena halau dari rumah sewa, kami merempat dalam kereta. Kadang-kadang tidur di masjid, kadang-kadang tidur di surau stesen minyak.”

“Sehinggalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kutip kami dekat stesen minyak Petronas Gombak tahun lepas. Diletaknya kami di rumah transit. Dijanjikan tiga bulan kami boleh tinggal dekat situ. Selepas tiga minggu, kami diminta pergi. Kawan-kawan pakat kumpul duit, carikan rumah ini. Ini pun, tuan rumah dah merungut sewa tak bayar. Disuruh keluar jika tak boleh bayar. Cikgu, ini je rezeki hari ini,” katanya sambil mengeluarkan lima keping not RM1 dari poket seluarnya.

Aku hanya mengangguk sahaja. Senyum dan terus menadah telinga. Banyak lagi kisah yang ingin diceritakannya.

“Sebab tu Si Buntat pakai baju sekolah tahun lepas cikgu. Saya memang papa kedana. Adik-beradik dan saudara ramai di KL ni, tapi apabila miskin, tiada siapa sudi mendekat. Kereta dulu pun kawan bagi pinjam. Kereta tak bayar bank sembilan bulan. Dah kena tarik lama dah. Motor Ex-5 tu pun motor pinjam cikgu. Nak buat macam mana, ini nasib saya,” ujar dia bersahaja.

Gaya dia bercerita macam Si Buntat juga. Tiada nada sedih, tiada nada hiba. Seolah-olah dia sedang bercerita perihal orang lain pula. Sedangkan semua kisah itu tentang dia dan keluarga.

Aku hanya mengangguk kecil tanda faham. Hanya mereka merasa kesukaran dan keperitan hidup diuji Kholik di atas sana.

Makan minumnya tidak pernah cukup. Tempat tinggal tetap tidak pernah ada. Pakaian pun sekadar cuma. Allahu. Panjang cerita tadi, kalau aku tulis semua, sampai minggu depan tak siap lagi cerita ini. Cukuplah sekadar itu.

Kau bayangkan sendiri keadaan tinggal di dalam kereta, di surau stesen minyak dan di masjid-masjid. Kita baru sehari tiada air rasa susah gila, kau bayangkanlah hidup mereka berbulan-bulan merempat di tepi jalan.

“Abang, sewa rumah abang jangan risau. Saya bayarkan untuk abang. Dan ni sedikit rezeki Allah kirim dekat abang melalui saya. Ini bukan duit saya. Ini duit sumbangan kiriman sahabat-sahabat saya. Saya minta tolong abang buat sembahyang hajat agar beberapa hajat penyumbang ini didengari Raja kita di atas sana. Doa orang susah ni rapat dengan Tuhan, bang. Abang tolong ya,” ujarku seraya menyebut satu per satu hajat para penyumbang.

“Cikgu. Cikgu. Cikgu…,” bergenang air matanya.

Tak dapat dihabiskan ayat itu. Tangan aku digenggam erat, bagai tidak mahu dilepaskan.

“Saya akan doakan cikgu. Saya akan buat sembahyang hajat. Maaf cikgu, saya tak boleh tahan. Sedih sangat. Saya ingat cikgu sekadar datang ziarah. Tak sangka pula cikgu nak bagi duit,” sebak kedengaran suaranya.

Aku hanya tersenyum dan berkata, “Abang, saya cuba bantu sekadar yang mampu. Nanti saya cuba cari jalan untuk abang berniaga air dengan lebih baik. Mungkin kena tukar tempat berniaga, mungkin kena tukar produk air abang tu. Nanti saya bincang dengan kawan saya Ahmad Zeet, otai bab air ni bang. Mana tahu dia ada lubang dan cara untuk abang majukan lagi perniagaan abang.”

“Terima kasih cikgu. Terima kasih banyak-banyak. Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Nanti saya doakan sahabat-sahabat cikgu ni ya,” balas dia.

Setelah mereka menghantar aku ke motosikal, aku berlalu pulang. Hari ini, sekali lagi Allah SWT mendidik aku agar lebih bersyukur. Agar lebih menghargai segala nikmat yang aku kecapi.

Terima kasih keluarga Si Buntat. Terima kasih Allah SWT!

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277291/Cerita-Bilik-Guru