[SNEAK PEEK] BUKAN SALAH CINTA

9789831249888-medium

BUKAN SALAH CINTA Oleh Liza Zahira

HARI nan temaram, rembang senja mulai mencengkam, meninggalkan petang sebelum mendakap malam. Di dada langit, burung-burung bertebaran kembali ke sarang. Begitu di jalan raya, deretan kenderaan merangkak-rangkak dan hampir melekat satu per satu di setiap simpang. Petanda warga kota sudah lelah mencari rezeki lalu berpusu-pusu pulang.

Di suatu pelosok Sungai Buloh, ada manusia yang masih tegar bermuamalah. Bagai tidak ada hari esok bahkan masih tetap di Taman Botani Indah. Ralit melihat bunga-bungaan indah dan bunyi deruan air terjun artifisial memenuhi segenap dimensi laksana taman syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Asyik!

Kawasan yang luasnya lebih kurang seekar telah dimanfaatkan daripada terbiar kepada sumber daya rezeki yang melimpah. Merubah dari semak-samun kepada sebuah nurseri yang penuh dengan deretan pohon hiasan yang segar dan indah.

Lanjuran pohon-pohon berdaun hijau berselang-seli dengan bunga-bungaan nan melambai-lambai begitu kuat menggamit hati pengunjung. Selangkah menapak ke dalam kawasan ini, ertinya beribu saat lagi belum pasti bila keluarnya. Lantaran kaki bagaikan terikat dengan suasana nyaman dan mendamaikan hingga memacu oksitosin.

Sejurus kemudian, telinga dilunakkan oleh pembesar suara dengan ucapan terima kasih kepada para pengunjung sebagai isyarat bahawa masa berniaga sudah tamat. Cara paling sopan meminta pelanggan keluar dari premis yang bakal ditutup pada bila-bila masa dari sekarang. Kelihatan beberapa orang pengunjung tergesa-gesa keluar dari celah-celah pohon Englia dan Pinang Merah menuju ke arah tanda KELUAR.

“Ini pokok yang terakhir. Bagus awak datang hari ni. Kalau tidak, seminggu lagi baru ada,” ujar gadis pingitan bernama Megdelina Megat Jazlan penuh bersemangat.

Dia mengulum senyum seraya menghulurkan sepasu Ring of Fire yang sedang mengelopak mekar kepada gadis berblaus berona pic masak di depannya.

“Terima kasih.” Gadis itu membalas dengan senyuman dari bibirnya yang merah jambu. Kemudian dia berpaling pada gadis kecil di sebelah sambil berbicara, “Dah rezeki adik saya agaknya. Mujur kami singgah di sini tadi.”

“Alhamdulillah kira rezeki kami juga tu. Hmm…baru pertama kali datang sini ke?” tanya Megdelina mesra. Tangan diseluk ke dalam kocek seluarnya yang berceloreng berbelak-belak hijau dan hitam. Baju T hitam lengan panjang yang dipakainya sudah dibasahi peluh.

“Ya… kami tak biasa dengan kawasan ni. Waktu kami lalu di sini tadi, adik saya ternampak papan tanda Indah dan ajak singgah,” balas si kakak sambil memegang bahu adiknya. Blaus daripada cotton fabiano yang dipakainya menyerlahkan lagi kejelitaannya.

Si adik tersenyum lalu memeluk kakaknya. “Betul tak instinct Dekla kuat? Dekla dah kata kat sini mesti ada Ring of Fire. Terima kasih ya kakak sebab tunaikan hajat Dekla.”

“Itu tandanya kakak sayangkan adik,” ujar si kakak sambil menepuk-nepuk bahu adiknya. Beg tangan Tods yang dikeleknya turut bergoyang-goyang.

“Adik pun sayangkan kakak. You are the best sister in the world!” laung si adik sambil merangkul pinggang kakaknya sebelum mencium Ring of Fire.

Ditatapnya bunga yang dasar kelopaknya berwarna kuning lembut, manakala warna oren kemerahan melingkari hujung kelopak. Mungkin kerana warnanya yang sebegitu maka bunga daripada spesies mawar itu digambarkan sebagai lingkaran api atau Ring of Fire.

Megdelina terharu melihat si adik sangat menghargai dan memuji-muji kakaknya. Lantas dia mencelah. “Suka saya tengok awak adik-beradik… begitu mesra. Nanti datanglah lagi. Setiap bulan akan ada pokok baru yang cantik-cantik di sini. Saya bagi harga istimewa.” Dia segera memulangkan wang baki dan resit pembelian.

“Insya-ALLAH, kami suka tempat ni. Cantik teratur dan ada banyak pilihan,” puji si kakak yang kelihatan sebaya dengan Megdelina. Kemudian, dia menyambung, “Awak ada adik?”

Megdelina gugup. Tidak menyangka yang soalan cepu emas itu boleh terkeluar daripada mulut pelanggannya. Perlahan-lahan dia mengangguk.

“Awak mesti belikan banyak bunga untuk dia, kan?” soal gadis itu teruja.

Dengan senyum kelat, Mengdelina membalas, “Err… tak… dia tak suka… bunga.”

“Oh ya ke? Sayangnya… tapi tentu dia cantik macam awak juga, kan?” Gadis itu tersenyum sambil menatap wajah Megdelina dalam-dalam sebelum bersuara, “Awak ni cantik sangat. Rupa macam awak ni sesuai untuk jadi pelakon atau pengacara televisyen.”

Megdelina tersenyum kelat. Lidahnya kelu. Bukan sekali orang memujinya begitu tetapi entah kenapa kali ini lidahnya bagaikan terkunci. Pujian daripada gadis sofisikated itu terasa terlalu tinggi untuknya hingga dia rasa tidak layak untuk menerimanya.

Lalu dia hanya mampu tunduk mahu menyorok wajahnya yang langsung tidak gembira. Saat itu matanya tertancap kasut Geox yang disarung oleh si gadis. Kasut yang diidamkan namun belum mampu untuk dimiliki.

“Saya Aziyana. Ini kad saya, kalau berminat nak tukar kerjaya, bolehlah call saya pada bila-bila masa.”

“Insya-ALLAH…” Megdelina membalas dengan nada kering. Bagaikan ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya. Matanya menghantar pergi kedua-dua beradik tersebut sebelum melekat pada kad nama merah bara di tangannya.

‘Perunding pelaburan, patutlah ramah dan bergaya,’ getus hati kecilnya lalu menghela nafas panjang. Dia mula berangan dengan cuba meletakkan dirinya seperti gadis itu. Berpakaian dan berkereta mewah. Ah, indahnya hidup! Dia ralit seketika.

Menyangka semua pelanggan sudah pulang, dia segera menutup pintu pagar sebelum menghala ke ofis kecil yang terletak di sebelah kanan nurseri untuk membuat laporan. Cepat siap cepat pulang.

Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dari jauh dia ternampak seorang jejaka tercangak-cangak seolah-olah sedang mencari sesuatu. Langkah segera diayun untuk mendapatkannya.

“Ya, encik boleh saya bantu?” Megdelina menyapa penuh hormat. Segera dia merapati jejaka yang sedang menoleh ke arahnya. Jejaka itu memberikan renungan yang tajam pada Megdelina tetapi dia cuba menyambutnya dengan tenang.

“Oh… masih ada pekerja rupanya. Ingatkan semua dah balik.” Selamba Yusoffe menyindir.

Megdelina terasa. Tidak menyangka yang sapaan ramahnya dibalas dengan sindiran. Namun dia membalas lembut. “Maaf, encik… saya tak perasan tadi.”

“Hmm… dah lama saya di sini. Tak ada siapa pun yang nak layan. Kalau macam inilah caranya, baik tutup aje nurseri ni,” ujar Yusoffe sambil matanya mengerling Megdelina dengan pandangan sinis. Sengaja menunjukkan kuasanya sebagai pembeli.

Megdelina resah. Jejaka itu nampaknya sulit untuk diladeni. Nampak sangat cerewet. Mungkin dia akan mengambil masa yang lama sebelum membeli. Jadi, lebih baik biarkan dia pergi begitu sahaja. ‘Kalau dia serius tentu dia akan datang lagi,’ fikirnya.

“Encik tengok-tengoklah mana yang berkenan. Sekejap lagi saya datang balik,” ujarnya dalam nada dingin. Mengharapkan jejaka itu berputus asa lalu pulang.

“Eh, kenapa sekejap lagi? Saya nak cepat ni! Kalau tidak, baik saya balik aje!” jerkah Yusoffe.

Megdelina semakin tercabar. Dia memang mahu jejaka itu keluar dari situ. Dengan sikapnya yang sarkastik dan tidak bersopan itu, memang tidak wajar diberi layanan.

Bagaikan mahu memalu gendang perang, dia bersuara, “Encik, pintu keluar di sebelah sana. Mari saya tunjukkan.”

“Hah? Siapa kata saya nak keluar? Saya nak cari pokok bunga… banyak…” Ada getar pada nada suara itu. Belum pernah dia dihalau keluar oleh jurujual. Bahkan perempuan di depannya itu langsung tidak gentar dengan jerkahannya.

“Cuba encik tengok jam. Sekarang ni dah pukul tujuh. Kami dah tutup. Encik boleh datang lagi esok,” balas Megdelina tegas.

“Awak ni nak berniaga ke tidak? Takkan sepuluh minit pun tak boleh nak luangkan masa? Buat penat saja saya datang ke sini!” tempelak Yusoffe.

“Encik, kalau encik pergi ke pasar raya pun, encik tak boleh membeli di luar waktu operasi. Di sini pun sama juga,” pintas Megdelina dengan kening berkerut. Dia bukanlah orang yang terlalu berkira tetapi banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Pokok-pokok perlu disiram dan laporan jualan untuk hari ini perlu disiapkan sebelum Tengku Muaz membebel.

“Eleh… setakat nurseri aje kut. Tak payahlah nak berlagak macam supermarket pula. Awak akan menyesal kalau tak layan saya. Saya ni prospek klien tau!” Suara mengugut itu terus mengunyah gegendang telinga Megdelina.

Gadis itu cuba mencari kebenaran pada wajah jejaka itu. Memang dia marah dengan kelancangan lelaki itu tetapi customer is always right. Jadi, dia kenalah memberi layanan umpama raja. Tidak kiralah sekasar manapun sikapnya. Mana tahu memang betul jejaka itu pakar landskap. Baru dapat tender besar syarikat gergasi. Bukankah rugi jika dia terlepas daripada rezeki itu?

“Hmm… maafkan saya. Encik nak cari bunga macam mana? Untuk interior atau exterior?” soalnya selembut yang mungkin. Sekadar berpura-pura.

“Interior,” jawabnya ringkas sambil tajam merenung Megdelina yang bertubuh langsing. Susuknya yang tegap dengan ciri potongan wanita sempurna itu dilindungi oleh selubung aura wanita solehah. Selendang hijabi terlilit kemas di kepala dan melanjur menutupi dadanya. Dia tidak menyangka bahawa ada gadis secantik itu yang bekerja di nurseri.

“Oh…” Megdelina menelan satu informasi yang agak mengecewakan bila Yusoffe menyebut interior. Ertinya pembeliannya tidaklah sebanyak mana. Namun, dia tidak patah semangat. Mungkin rezeki waktu maghrib. Lantas dia bersuara, “Jom… saya tunjukkan.”

Megdelina berjalan menuju ke sudut kiri nurseri. Jejaka dengan rambut ikal berpotongan tipis itu menurut. Sebaik tiba di lokasi yang dituju, gadis itu bersuara, “Di sini ada banyak pilihan. Encik nak pokok jenis apa? Kami ada banyak stok. Berapa banyak encik mahu?”

Yusoffe mula cemerkap. Tengkuknya digaru. Hilang terus lagak sombongnya tadi. “Err… banyaknya pokok di sini. Saya tak pasti… entahlah…”

Pantas Megdelina berpaling. Merenung manusia tinggi lampai di depannya. Lagak bagaikan sudah tahu apa yang dicari. Kalau begini bukan lagi sepuluh minit. Alamatnya sampai gelap pun belum tentu dia selesai meledaninya. Dia tidak mahu maghribnya terbabas.

Dia merenung Yusoffe. Redup matanya membuatkan gadis itu tidak jadi marah. Lantas Megdelina kembali meneruskan langkahnya. Tiba di suatu sudut, dia berpaling dan kembali memandang si jejaka dengan pandangan skeptikel. Tangannya disua ke arah gugusan pokok-pokok hijau tanda memberi ruang untuk lelaki itu membuat pilihan.

Yusoffe terus resah tanpa berkata sepatah pun.

Melihat Yusoffe masih terkedu, Megdelina bersuara, “Encik nak pokok yang macam mana? Yang besar atau yang kecil?”

Yusoffe tersentak. Berkerut dahinya. Kemudian sebelah tangannya menutup mulut dan hidungnya yang mancung seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Manakala sebelah lagi tangannya mencekak pinggang.

“Err… okey.” Akhirnya Yusoffe bersuara, “Tak kisahlah yang macam mana pun. Janji cantik.”

Megdelina menghela nafas. Langit sudah makin suram. Kawasan sekitar nurseri sudah gelap. Melayan pelanggan pada waktu itu sudah menjadi kesalahan baginya kerana akan mengganggu kerja-kerja lain yang perlu dilangsaikan sebelum pulang.

Ah, tapi dia tidak sampai hati hendak menghalau pelanggan itu. “Encik nak yang jenis orkid, kaktus atau pokok berdaun tanpa bunga? Pokok begini senang nak jaga. Ini jenjuang merah hijau, birah dan buluh kecil. Encik boleh pilih.” Akhirnya, dia menamakan beberapa pokok yang mudah dijaga. Mengesyorkan pokok yang mempunyai rutin jagaan ketat hanya akan membuatkan ia terencat dan mati di tangan si jejaka kalut itu kelak. Pasti sia-sia! Sebab itu dia memberikan cadangan yang mudah.

Yusoffe tambah gelisah. Dia menggaru-garu tengkuknya lagi. Tidak menyangka susah juga hendak memilih pokok. Dia mula sedar akan kerumitan kerja Megdelina. Sama rumit seperti kerjanya juga. “Err… entah. Apa-apa pun bolehlah.”

Megdelina menarik nafas dan mengulum senyum sinis. ‘Datang sini tak buat homework langsung. Nampak macam bijak sangat tapi sengal.’ Dia mengomel di dalam hati.

“Pokok perlu dipilih mengikut kesesuaian ruang. Kalau di atas meja sesuai dengan pokok yang lebih kecil tapi jika di sudut dinding, boleh pilih pokok renik yang sederhana. Jadi, encik mahu hias sudut yang macam mana?”

Yusoffe melongo. Bukan dia tidak faham tapi sebenarnya ralit melihat Megdelina hingga satu butir bicara gadis itu pun langsung tidak masuk di benaknya. Hilang semua idea di dalam kepalanya. Fikirannya jauh menerawang.

Apatah lagi dalam suasana nan nyaman dengan haruman bunga bersemarak telah membuatkan jantungnya bergetar. Seolah-olah ada jari-jemari halus sedang menggeletek hatinya. Bukan geli tapi lunak. Dia terkesima.

“Encik… sudut yang macam mana?” ulang Megdelina sedikit keras.

Terkejut mendengar sergahan Megdelina, Yusoffe segera bertanya kembali. “Sudut? Sudut apa tu, cik?”

Megdelina mengukir senyuman kelat. Kalau tadi cuba mahu ikhlas, tapi kini sudah mula berada pada darjah kebengangan. Namun, demi azam menjadikan kerjanya sebagai satu ibadah, dia cuba bersabar.

“Sudut rumah. Encik nak guna pokok tu untuk ruang tamu, ruang makan, bilik tidur atau atas meja?”

“Oh… cakaplah ruang. Ingatkan sudut 90 darjah ke sudut 360 darjah tadi.” Suara serak-serak basah itu terus memecah gegendang telinga Megdelina. Diiringi pula dengan tawa yang melengking. Bergegar-gegar badan jejaka itu menahan gelak. Entah apa yang lucu sangat hanya dia sahaja yang tahu.

Berlendir gegendang Megdelina mendengar gema nyaring itu. Nampaknya dia sedang dipersendakan. Dia tegak. Matanya mengecil. Tubuhnya berpeluh. Bukan saja kerana cuaca hangat tapi hatinya sedang terbakar.

‘Mamat ni sewel ke bipolar disorder?’ Megdelina merengut-rengut di dalam hati. Bukan dia tidak biasa dengan keadaan itu. Sejak setahun lalu macam-macam kejadian yang menimpanya. Dia mula mencari helah. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Tumpuannya hilang. Bosan!

Bila melihat wajah Megdelina masam, tawa Yusoffe terus hilang. “Hmm…” Tangannya menyapu-nyapu bibirnya yang merah basah. “Err… kalau untuk bilik tidur macam mana?” Suara serak basah itu menerjah lagi ke gegendang Megdelina.

Senyap. Mata galak Yusoffe terus melekat pada wajah ayu Megdelina. Gadis itu semakin resah. Tidak berdaya hendak melawan panahan yang sedang menikam jantungnya.

Megdelina segera melarikan anak matanya bersama jiwa yang meronta mahu menghalau pandangan itu.

‘Sekalipun aku mahukan duit dia tapi aku tidak perlu buang masa dengan orang gila macam ni. Harapkan rupa aje elok tapi perangai…’ Dia menggumam di dalam hati.

Seketika kemudian, dia ternampak seorang pekerja melambai-lambai ke arahnya. Megdelina menarik nafas lega. Peluang melarikan diri. Dia berpaling ke arah Yusoffe dan segera memberikan helah. “ Macam nilah… kalau encik masih belum buat keputusan, saya rasa baik encik balik dulu. Bila-bila nanti encik datang balik. Bos saya panggil tu…”

“Eh, janganlah lari dulu. Tak payah takut. Saya ni masih waras lagi.” Yusoffe pantas bersuara bagaikan faham apa yang sedang bermain di benak Megdelina.

Gadis itu terkesima tetapi pantas memberikan jawapan yang sopan. “Bukan takut tapi nurseri ni dah tutup! Semua dah gelap. Pokok pun dah tak nampak.”

“Tolonglah saya. Sekejap saja,” kata jejaka itu yang sedikit gundah sebelum memperkenalkan dirinya. “Saya Yusoffe. Selalu lalu di kawasan ni tapi tak pernah singgah. Tiba-tiba pagi tadi mak saya suruh saya carikan pokok untuk bilik tidur. Itu yang saya datang ni.”

Megdelina terpempan. Perkataan ‘emak’ itu membuatkan matanya bercahaya. Hatinya terus cair. “Kalau macam tu… encik tengok-tengok dulu. Saya nak pasang lampu,” balas Megdelina pantas dan mula mengorak langkah.

Namun, cepat-cepat ditahan oleh Yusoffe. “Jangan lupa datang balik ya? Saya nak awak layan saya. Orang lain saya tak mahu.”

Sebaris demi sebaris ayat diatur. Lebih sopan dan lembut. Rasa lunak singgah di telinga Megdelina kemudian terus meresap di hatinya. Berbeza pula sikap si jejaka. Ah, keadaan menjadi tambah bahaya bagi Megdelina. Gadis itu mengecilkan mata. Keningnya berkerut. Tidak tega melayan lelaki itu lagi.

“Encik tunggu bos saya. Dia boleh bagi diskaun yang bagus. Esok dia ada.”

Segera Yusoffe menggeleng. “Tak nak. Saya tak kira, bos ke… nenek bos ke… emak bos ke… semua saya tak nak. Saya nak awak yang layan saya!”

Air liur ditelan. Megdelina merasakan sikap Yusoffe memang pelik. Hatinya mulai berasa tidak enak. Tidak kiralah manusia itu kacak macam Bratt Pitt atau Keanu Reeve sekalipun, dia membuat kesimpulan daripada mata nan galak dan janggut sejemput itu bahawa lelaki itu sangat bahaya dan perlu dijauhi. Psikosis!

Megdelina terus meninggalkan Yusoffe lalu melangkah mendapatkan rakan pekerja yang masih tercegat menantinya. Kemudian dia bertanya, “Kenapa?”

“Ada orang cari,” balas rakannya.

“Siapa?”

Rakannya mengangkat bahu. Megdelina meneruskan langkah untuk mendapatkan orang yang mencarinya. Hatinya terus tertanya-tanya, ‘Siapalah yang datang waktu maghrib ini?’

****

MEGDELINA mendapatkan gadis yang berdiri beberapa meter membelakangkan pandangannya. Pohon-pohon buluh panda meliuk-lentok melindungi sebahagian tubuh langsing tetamunya. Dahinya berkerut. Gerangan apakah orang datang di luar waktu operasi perniagaan? Dia cuba memfokuskan dirinya yang masih tergangu dengan kehadiran Yusoffe.

Menerima pelanggan selepas waktu tamat bukan sesuatu yang pelik. Namun kalau menerima dua pelanggan ‘psiko’ dalam satu masa memang mengejutkan. Degupan jantungnya sedikit laju.

‘Harap-harap gadis itu bukan psiko seperti Yusoffe,’ getusnya di dalam hati.

Dia menyusun langkah lalu segera mendapatkan gadis yang disangka pelanggannya. Pantas dia menyapa. “Ya, cik!”

Gadis itu berpaling. Mata bertentangan.

Megdelina terkejut.“Emmareeza?”

Gadis yang dipanggil Emmareeza itu tersenyum sinis lalu bersuara, “Kenapa? Kau terkejut?”

Senyuman pantas terukir. “Tak, akak gembira tengok Eeza datang sini. Apa khabar, dik?” Megdelina pantas menarik tubuh Emmareeza ke dalam dakapannya, namun segera dilepaskan apabila Emmareeza menolak keras.

Gadis itu menepis-nepis pakaiannya yang wangi seolah-olah tidak mahu kekotoran pada tubuh Megdelina melekat pada pakaiannya pula.

Wajah Megdelina merona merah menahan malu. Dia tahu Emmareeza masih dingin seperti selalu. Tidak menganggap dirinya sebagai kakak. Semua panggilan dan mesej tidak pernah dilayan oleh Emmareeza. Tapi tiba-tiba tidak ada angin, tidak ada ribut, gadis itu muncul di depan mata. Kenapa dia datang pada waktu begini? Apa hajatnya?

Megdelina cuba mengawal keadaan. Dia masih tidak berputus asa lalu menghulurkan tangan. “Setidak-tidaknya kita patut bersalam. Kita kan adik-beradik kandung seayah dan seibu?”

“Ah, belum tentu. Entah-entah aku ni anak angkat. Jadi, kau tak payahlah nak melankolik sangat depan aku!” kata gadis yang baru menginjak usia 21 tahun itu. Dia membelakangkan Megdelina bagai tidak sudi menatap wajah si kakak.

Megdelina memerhati susuk tubuh adiknya dari belakang. Dia mengenakan seluar denim Levi’s potongan lurus dengan Baju T X0X0 bersaiz XS. Menyerlahkan tubuhnya yang langsing dan tinggi lampai sajak dengan cita-citanya hendak menjadi pelakon terkenal. Pelajar jurusan seni lakon itu memang cantik. Hidungnya halus mancung. Bibirnya merah bak delima merkah. Kulitnya putih kemerahan. Rambut paras pinggang dilepaskan beralun-alun dipuput bayu kering angin Monsun bulan Mei.

“Biarpun kau cuba menafikan tapi hakikat tak boleh dipalsukan. DNA kita sama!”

Emmareeza mendengus lalu berpaling semula memandang Megdelina dan dengan nada sinis dia menempelak. “Penting ke DNA tu dalam hidup aku?”

“Walaupun kau tak suka tapi kakak tetap mahu kita jadi adik-beradik. Abah rindukan kau,” rayu Megdelina untuk kesekian kalinya.

“Jangan sebut lelaki tu depan aku!” Emmareeza membentak.

Megdelina tersentak. Matanya terkebil-kebil merenung Emmareeza. Wajah keruh itu segera diamati.

“Eeza masih berdendam dengan abah?” soalnya terus kepada poin utama. Mata bundar gadis perengus itu direnung dalam-dalam.

“Aku tak mahu kita cakap tentang dia. Aku benci! Kenapa susah sangat kau nak faham?” Emmareeza belum puas menjerkah kakaknya. Sama seperti waktu-waktu dulu.

Megdelina menggeleng. Usai menghela nafas dia bertanya. “Habis tu kenapa kau datang cari kakak?”

Saat itu kemarahan Emmareeza serta-merta kendur. Dia gelisah. Seketika kemudian dia bersuara, “Aku perlukan duit.”

Pantas Megdelina mencelah. “Minggu lepas akak dah masukkan tiga ratus ringgit.”

“Bukan duit belanja. Tapi aku kena saman. Sebelum waran tangkap keluar, aku kena bayar.”

“Saman apa? Speedtrap?” Bulat mata Megdelina memandang adiknya. Selama ini dia tidak pernah tahu yang Emmareeza sudah boleh memandu.

Gadis itu mengangguk. Resah.

Megdelina menggeleng. “Kereta siapa kau bawa?”

“Kawan. Abah dia dah bising dan tak nak hidupkan cukai jalan kalau aku tak bayar saman tu,” balas Emmareeza.

“Kau pergi mana sampai kena saman?” soal Megdelina yang kesal dengan sikap cuai adiknya itu.

“Outstation. Ada assignment. Gilir-gilir bawa kereta. Masa aku bawa pula yang kena saman. Sengal betul,” rungut Emmareeza dengan wajah kelat.

“Kau bawa laju sangat tak? Tapi kenapa kau seorang saja yang kena? Orang lain lepas tangan ke?” soal Megdelina dengan nada sedikit tegang.

“Semua tak nak bayar sebab aku yang bawa.” Kendur sedikit suara Emmareeza. Dia masih tidak berpuas hati kerana dia yang terpaksa membayar saman tersebut sedangkan rakan-rakannya yang mengasaknya memandu laju.

Megdelina melongo. Tentu bukan sedikit saman yang perlu dibayar tapi dia tidak mahu memuakan Emmareeza. “Cakap sajalah kawan kau yang bawa kereta tu habis cerita.”

“Tak boleh! Kawan aku dah banyak kali kantoi dengan abah dia dan kali ini abah dia tak mahu tolong lagi. Sebab itu aku kena selesaikan juga lapan ratus ringgit.”

“Lapan ratus?” Bulat mata Megdelina memandang Emmareeza. “Kenapa banyak sangat?”

“Campur sekali hutang aku pada dia. Kami sewa hotel, beli bahan projek. Aku tak ada duit. Jadi aku pinjamlah dia.”

“Bayar ansuran tak boleh ke?” Megdelina menduga.

“Dia suruh selesaikan hari ni juga. Kalau tidak aku nak buat part-time untuk langsaikan hutang tu.”

“Part-time di mana?” tanya Megdelina. Baginya perkara itu sangat tidak masuk akal. Dia tidak mahu pelajaran Emmareeza terjejas kerana membuat kerja sambilan.

“Temankan klien minum di kelab,” balas Emmareeza serius. Baginya kerja itu dapat memberikan pulangan lumayan. Sudah banyak kali dia ditawarkan pekerjaan itu oleh rakannya.

Terkejut Megdelina mendengarnya. “Gila! Kau jangan berani nak buat kerja macam tu! Itu GRO namanya tahu!”

“Dah tu? Tak reti-reti nak bagi aku duit?!” Emmareeza bertempik bagai orang histeria. Bulat matanya memandang kakaknya seolah-olah Megdelina pula yang bersalah dalam hal ini.

Megdelina menahan hati dengan sikap adiknya yang langsung tidak hormat padanya sekalipun jarak usia mereka berbeza tiga tahun. Hanya dengan kematangannya setelah hidup berdikari membuatkan dia mampu mengawal kemarahan. Tidak guna berkeras dengan Emmareeza. Dia perlu memikirkan cara lain untuk melembutkan hati si adik.

“Dahlah. Kalau kau tak nak bagi, tak apa. Jadi GRO lagi bagus. Baru puas hati kau, kan?” Emmareeza mengayun langkah dengan nada merajuk.

Megdelina segera menahan adiknya sebelum membuka dompet. “Nah, ambil ni. Jangan buat kerja tak senonoh tu. Bertindak ikut fikiran, bukan perasaan. Jaga diri elok-elok dan yang paling penting, jangan langgar had laju!”

Emmareeza tersenyum sinis sambil merampas wang tersebut. Tanpa mengucap sepatah ayat terima kasih, dia terus berlalu dari situ dan hilang ke dalam sebuah Honda City putih.

Megdelina hanya mampu memandang dengan rasa sebal. Sayang adiknya itu sudah terlalu besar untuk dilentur. Dia melepaskan keluhan berat. Terasa ralat melepaskan duit itu yang sebenarnya perlu digunakan untuk membayar ansuran kereta, sewa bilik dan belanja hariannya.

Sejak bekerja, dia sentiasa berjimat cermat dan menahan segala kehendaknya untuk memastikan dia dapat menyara Emmareeza dan ayah mereka. Namun, dia tetap bersyukur kerana Emmareeza masih mengharapkan wang saraan daripadanya. Sekurang-kurangnya itu tanda mereka ada pertalian saudara.

“Ehem…” Tiba-tiba satu suara menegurnya.

Tubuh Megdelina melonjak kerana terkejut. Dia berpaling. Ah, dia terlupa! Rupa-rupanya jejaka bertubuh tinggi lampai dengan dada sederhana bidang itu masih setia menanti. Dia melihat Yusoffe mengerising. Manis dan mampu membuat hati yang memandangnya cair. Cepat-cepat dia melarikan anak matanya.

Dengan langkah deras dia terus berjalan melepasi Yusoffe untuk menuju ke arah pokok-pokok hiasan dalaman.

Yusoffe segera mengatur langkah mengekori gadis itu sambil bersiul-siul nakal.

“Lama saya tunggu,” ujarnya lunak sebelum bersiul semula.

“Siapa suruh?” gumam Megdelina perlahan.

“Saya dengar…” ujar Yusoffe dengan suara serak basah. Suara berirama romantik yang belum pernah didengarnya sebelum ini. Lantas membuatkan langkah Megdelina jadi tak keruan. Seboleh mungkin dia cuma mengawal diri agar bertenang walaupun fikiran masih bercelaru dengan masalah Emmareeza tadi.

“Tadi awak kata nak cari pokok untuk bilik tidur, kan? Saya rasa pokok ini sangat sesuai. Lidah jin,” ujar Megdelina sebaik tiba di tempat yang dituju tanpa ragu-ragu. Cepat-cepat dia betulkan fokusnya agar tidak terbawa-bawa dengan masalah peribadi yang baru saja dihadapinya.

Lelaki itu tertawa. “Lidah jin? Takutlah nak letak dalam bilik tidur. Nanti kering badan saya kena jilat.”

“Hah?” Melongo mulut Megdelina. Tidak diduga kata-kata itu boleh keluar daripada mulut Yusoffe. Serta-merta pipinya terasa panas.

Jejaka itu terus mengerising tanpa rasa bersalah. Matanya bercahaya.

‘Ya ALLAH sabarkanlah aku dengan mamat ni. Takut ada yang makan batu pula senja ni. Nak melawak pun biarlah bertempat,’ omel Megdelina di dalam hati sambil menahan geram. Kembang kuncup hidungnya meredakan perasaan. Dia tahu Yusoffe sengaja hendak mempermainkannya.

“Pokok lidah jin atau nama saintifiknya Sansevieria Trifasciata Laurentii, bertindak sebagai penapis kerana ia menghapuskan toksin dalam udara. Insya-ALLAH badan Encik Yusoffe tak akan kering walaupun dijilat.” Sengaja ditekankan perkataan dijilat itu dengan mata yang bulat.

Yusoffe mengerising lagi seolah-olah kata-kata Megdelina itu sangat melucukan. Namun bila melihat gadis itu tidak termakan dengan gurauannya, segera dia membuang senyumnya lalu bersuara, “Pokok kurus kering macam ni boleh hapuskan toksin?”

“Ya, walaupun kurus tapi peranannya sangat hebat. Pokok ni akan menyerap karbon diaoksida dan melepaskan oksigen pada waktu malam. Sebab tu pokok ni dinamakan juga sebagai pokok bilik tidur!”

Lelaki itu tertawa lagi. “Pokok bilik tidur pun bilik tidurlah. Okey, saya setuju dengan cadangan awak. Saya memang suka yang kurus. Bagi saya dua campur satu!”

Megdelina terkejut. “Dua campur satu? Apa maksud encik?”

Yusoffe mengulum senyum. “Bagi saya dua pokok lidah jin ni dulu. Pokok yang satu lagi saya hutang sebab saya belum tahu nak beli apa. Minggu depan saya datang lagi.”

“Eh, kenapa nak tunggu minggu depan? Hari ni pun banyak pokok yang awak boleh pilih. Tengok ni ada Topiari… Begonia…” Megdelina mula panik.

Untuk apa datang lagi kalau semuanya boleh diselesaikan hari ini? Bahkan lebih nyaman kalau dia tidak datang lagi sampai bila-bila.

“Eh, tadi kata nak tutup kedai? Kesianlah nanti awak balik lambat. Tak takut suami marah ke?” perli Yusoffe tanpa rasa janggal. Bagaikan dia sudah lama mengenal gadis itu.

Ternganga mulut Megdelina mendengar sindiran lelaki itu. ‘Suka-suka hati aje dia cakap aku ada suami! Memang nak kena mamat ni!’ Hatinya benar-benar mendidih. Direnung wajah jejaka yang secara tiba-tiba menjadi tidak sopan kembali. Kecil sahaja di matanya. Bibirnya diketap. Jari-jemarinya diramas. Dadanya berombak. Pipi merona merah dan telinga mula berasap.

Dengan lembut bernada sinis dia menjawab sambil menjegilkan matanya. “Eh, tak apa. Ikut suka awaklah kalau nak duduk lama kat sini. Kalau sampai subuh lagi bagus boleh solat hajat terus. Bukan kedai mamak aje buka dua puluh empat jam, nurseri pun boleh, tau! Saya boleh tunggu sampai pagi sebab saya memang suka kena marah dengan suami.”

Ternyata Yusoffe semakin galak bila melihat Megdelina marah. Hatinya bergejolak mahu mengusik. Lantas dia membakar lagi hati gadis itu. “Awak tak faham ke saya cakap tadi? Pokok lagi satu saya hutang. Minggu depan saya datang ambil. Dah maghrib ni. Cukup-cukuplah berniaga. Takkan sampai tak solat kut?”

Amboi, kurang ajar! Megdelina semakin meluat. Baginya lelaki itu sengaja hendak menyakitkan hatinya. Mulut lancang itu memang patut disumbat cili. Tadi suka-suka hati kata orang ada suami dan sekarang pula selamba saja tuduh orang tidak solat. Kumat-kamit mulutnya hendak membalas tetapi orang begini kalau dilayan makin menjadi. Lantas segera dia beristighfar di dalam hati dan cuba bersabar.

“Memang saya nak solat ni. Kalau awak nak solat sama, boleh saya bentangkan sejadah. Awak jadi imam. Lagipun pintu pagar dah tutup tu.” Megdelina terus menyindir dalam nada yang amat lembut. Biarlah apa nak jadi, jadilah.

“Oh, ya ke dah tutup?” Yusoffe terkejut lantas menoleh. Bagaikan baru tersedar yang hari sudah lewat, dia segera bertanya. “Berapa?”

“Bukan ke encik ambil dua tadi? Tak tahu kira ke?!” tempelak Megdelina. Fikirannya memang sudah bercelaru.

“Saya tahulah dua. Maksud saya berapa harganya?”

“Err…” Megdelina teragak-agak dan termalu sendiri. Lantas dia menjawab. “Dua puluh empat ringgit.”

“Mahalnya. Diskaun tak boleh?” soal Yusoffe yang masih ada hati hendak menggiat gadis yang masih naik angin itu.

“Minta dengan bos. Saya kuli aje,” balas Megdelina acuh tidak acuh. Matanya dihalakan ke tempat lain. Tak sudi hendak memandang ‘monyet’ di depannya itu.

“Huh! Leceh berurus niaga dengan kuli ni. Harga tak boleh kurang langsung,” bebel Yusoffe sambil menyeluk poket seluarnya.

Sakit telinga Megdelina mendengar rungutan Yusoffe. ‘Tadi dia yang tak mahu berurusan dengan bos. Sekarang banyak songeh pula. Kalau ada kayu kat tangan aku ni, mahu aje aku ketuk-ketuk kepala monyet dungu ni.’ Namun dia hanya mampu memerhati sambil menahan perasaan.

“Dua puluh, boleh?” Yusoffe masih mahu berlengah-lengah.

“Kalau nak murah kena beli banyak!”

“Kedekut,” omel Yusoffe sambil mengeluarkan dompetnya lalu menyerahkan not RM50 kepada Megdelina.

Pantas Megdelina menolak. “Kaunter dah tutup. Bagi saja duit kecil.”

“Huh! Nurseri bukan main besar, duit tukar pun tak ada. Kesian betul,” rugut Yusoffe sambil menyeluk-nyeluk poket seluarnya mencari wang kecil.

Megdelina berpura-pura tidak mendengar walaupun hatinya sedang menggelegak. Sengaja dia mahu mengajar lelaki itu.

Akhirnya cukup wang RM24 dihulur kepada Megdelina. Yusoffe sempat mengerling wajah ayu yang sedang panas itu. Gadis itu membalas dengan jelingan tajam. Dia tersenyum nakal. Hatinya puas.

Usai berurus niaga, dia terus berlalu tanpa berpaling lagi.

Megdelina melepaskan keluhan berat. “Orang macam ni pun ada…”

Tiba-tiba Yusoffe berhenti melangkah lalu berpaling. “Awak kata apa tadi? Esok nak jumpa saya?”

Megdelina terkesima. Kelam-kabut dia menjawab. “Err… tak ada apa-apa. Terima kasih. Sila datang lagi!” Memang itu sapaan yang standard kepada semua pelanggan tetapi begitu pahit hendak diluahkan kepada lelaki itu.

“Oh… itu sudah semestinya.” Yusoffe membalas lalu mengenyit mata. “Err… cik, hidup ni perlu dinikmati. Kerja kena happy. Jangan stres sangat. Bila kita happy, insya-ALLAH rezeki senang mari. Assalamulaikum, jumpa lagi!”

Dari kejauhan, Megdelina menjelir lidah dengan telinga berasap tanda dia berada pada tahap kebengangan paling tinggi. Jika diukur dari segi haba, kepanasannya mungkin mencecah 100 darjah celsius.

Memang ramai pelanggan lelaki yang cuba mengusiknya, tetapi yang ini lain. Ini bukan kes mengusik tetapi kes menyakitkan hati. Jenis mulut longkang! Tak patut dijadikan calon suami. Sumpah dia tidak akan jatuh hati pada orang begini. Hanya lelaki yang baik-baik sahaja yang diharapkan. Ah, bukankah sering kali yang dibenci itulah akhirnya akan jadi calon suami? Jika ini berlaku siapa yang patut dipersalahkan? Cinta? Mana mungkin? Pastinya bukan salah cinta.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81551/Bukan-Salah-Cinta