[SNEAK PEEK] BAHAGIA MENGETUK HATI

 

Bahagia Mengetuk Hati Oleh Amanda Zee

 

 

BUNYI pinggan berlaga mematikan khayalan aku. Resah dan gelisah kembali menyesakkan dada aku. Patutlah papa beria-ia menyuruh aku masuk ke pejabat. Patutlah papa buat muka simpati bila aku menolak. Rupa-rupanya papa ada agenda sendiri. Papa mahu aku dan Hazim mengenali antara satu sama lain. Papa siap-siap mengugut akan tarik balik segala kemudahan kalau aku berkeras dengan keputusan aku untuk bersuka-ria lagi.

“Aku masih muda.” Mata aku memandang Hazim. Kenyataannya aku belum bersedia dengan semua ini. Perkahwinan pastinya membataskan kebebasan aku. Sedangkan sekarang ini kehidupan aku bagai terpenjara dek kawalan ketat papa.

“21 tahun pada aku sudah cukup matang.” Hazim membalas kata-kata aku. Atau lebih tepat lagi menyangkal kata-kata aku.

“Kita berbeza lapan tahun.” Aku masih tidak mahu mengalah. Hazim mengeluh. Aku tahu dia kalah atau dia sengaja tidak mahu berbalah lagi dengan aku. Sekurang-kurangnya dia tahu aku berkeras tidak setuju dengan rancangan papa agar kami berdua berkahwin.

“Aku faham.” Hazim mengangguk. Seketika aku nampak dia menghela nafas. Dalam dan berat sahaja bunyinya.

Aku memerhati Hazim yang sudah berdiri. Rasanya dia bersungguh-sungguh nak jumpa papa. Baguslah. Tak payah susah-susah aku nak pujuk rayu papa. Way to go girl. Aku tersengih sendiri. Eh, Ernie! Kau tak ingat ke apa amaran papa pada kau? Mati terus sengihan aku.

“Errr… Hazim.” Aku panggil dia takut-takut. Hazim pandang aku dengan jongketan kening. Dan-dan waktu inilah suara aku tak nak keluar. Haishhh… Mana perginya kelantangan suara aku ni.

“Ada apa?” Hazim bertanya sambil kedua-dua tangannya menyeluk kocek seluar.

“Aaa…” Aku rasa macam nak cubit-cubit mulut ni. Boleh pula tergagap. Semua ni salah Hazim. Siapa suruh beraksi ala-ala macho macam tu.

Hazim macam tu juga. Menanti mulut aku memuntahkan bicara.

“Hmmm…” Ya Allah! Apa kena dengan aku ni? Kenapa susah sangat nak bercakap? Macam ada yang tersekat dekat kerongkong.

“Jangan risau. Aku tak akan letak kau dalam zon orang bersalah. Aku akan cakap dekat Dato’ yang aku terpaksa menolak rancangan dia. Wish me luck.” Hazim kenyit matanya pada aku usai berkata-kata.

“Jangan!” Aku melelar lengan dia yang baru sahaja ingin melangkah.

Perlahan-lahan aku lepaskan pegangan tangan aku bila Hazim menunduk memandang ke situ. Ya Allah, maafkan aku atas keterlanjuran ini. Aku terpaksa.

Hazim kembali melabuhkan punggungnya pada kerusi tadi. Dia memandang aku. Wajahnya serius. Dia mempamerkan riak menuntut aku berkata sesuatu.

“Aku setuju.”

“Betul?”

“Ya.”

“Kau tak menyesal?” Hazim menyoal aku lagi.

Eh, mamat ni! Faham bahasa Malaysia ke tidak? Ke nak suruh aku cakap dalam bahasa Siam? Terus aku bagi jelingan maut dan tayang muka tak puas hati.

Ekor mataku nampak Hazim mengulum senyum. Sukalah tu tengok aku tarik muka. Ya Allah, bolehkah aku sehidup semati dengan lelaki ini? Tiba-tiba keyakinan aku bagaikan merudum kepada sifar dari seratus. Hilang terus girl power.

Hazim berdeham. Sengaja menarik perhatian aku agar memandang dia.

“Bermula malam ni kita sama-sama buat solat istikharah. Minta petunjuk dari Dia. Biar Dia yang tentukan.” Lembut sahaja dia berbicara.

“Huh! Sama-sama?” Hazim ni biar betul. Belum halal lagi dah nak ajak aku bersolat sama-sama. Malam pula tu. Aku macam biasalah. Mana nak faham apa yang dia maksudkan. Blur memanjang.

Hazim ketawa sambil menggeleng.

“Apa yang kelakar?” Muka aku dah cemberut. Serius aku tak faham kenapa Hazim nak ketawa. Rasa-rasanya apa yang aku baru cakapkan tadi langsung tak mengandungi unsur lawak.

“Blur kau ni makin buat kau comel.” Hazim mengusik dalam tawanya.

“Pula.” Bibir aku dah muncung sedepa. Hazim ni suka sangat buat aku macam ni. Tertanya-tanya. Cubalah cakap tu tanpa selindung. Straight to the point kata omputih.

“Sayang, dengar baik-baik ya. Aku tak nak kau rasa terpaksa dalam hal ini. Malam ini, kau di rumah kau dan aku di rumah aku. Kita sama-sama buat solat istikharah. Mohon petunjuk-Nya. Berdoa moga apa yang bakal kita lalui adalah di bawah keredaan-Nya.”

Dia panggil aku apa? Telinga aku tak pekak, kan? Bibir aku gigit kuat. Nak pastikan yang aku tak bermimpi. Kutlah betul memang aku tengah tidur sekarang ni. Maklumlah, aku kan kuat tidur.

“Berangan!”

“Ouchhh…!”

Potong betullah. Aku jeling Hazim yang ketawa keseronokan. Betullah aku tak bermimpi. Kalau mimpi mesti aku tak menjerit kesakitan bila lengan aku kena tampar.

Hailaaa, mamat ni. Baru sekejap tadi aku terawang-awang dengar dia panggil aku macam tu. Memang tak boleh pakai apa sahaja kata-kata yang keluar dari mulut dia ni. Tak kiralah manis tahap potong kaki pun. Yang pedas usah dicakap. Berdesing telinga.

“Astaghfirullahalazim. Wei! Kau kalau tak berangan tak boleh ke?” Sekali lagi lengan aku dapat hadiah percuma tamparan Hazim.

“Eleh, berangankan percuma.” Aku balas sambil tangan galak menggosok lengan.

“Suka ya aku panggil sayang.” Hazim mengusik. Aku jelir lidah. Nak mengaku? Oh! So not Ernie, okay.

“Jomlah masuk pejabat. Dah lama sangat ni.” Hazim sudah berdiri sambil dia membelek jam tangannya.

Aduh, rasa macam malas nak sambung buat kerja. Sudahlah rasa berdenyut-denyut di tempat luka tadi. Boleh tak kalau aku cakap kat dia yang aku nak balik awal hari ini? Kalau ikutkan, boleh saja kalau aku nak terus balik sebab akukan anak bos. Cumanya aku tak naklah ambil kesempatan. Papa pun tak suka kalau aku buat perangai macam tu. Maruah papa aku kena jaga.

“Dah habis?” Tiba-tiba Hazim menyergah aku.

“Hah?” Aku terkebil-kebil. Macam biasa bila penyakit berangan menyerang aku. Memang aku gemar buat aksi begitu.

“Berangan tu, dah habis ke belum?” soalnya tidak puas hati pada aku. Nadanya kedengaran sinis sahaja pada pendengaran aku.

“Eh, jomlah!” Aku terus bangkit. Aku jalan dulu dari dia. Nak tutup rasa malu yang dah terberangan lagi tadi. Agaknya aku kena kahwin kut kalau nak hilangkan penyakit tu. Aku tersengih. Gatal kau, Ernie. Diamlah, cik hati.

“Aku nak jumpa papa sekejap,” kata aku padanya saat tiba di depan pintu masuk bahagian kewangan. Tak sempat Hazim nak mengangguk, laju aku melencong, menghayun langkah menuju ke bahagian pengurusan.

“Assalamualaikum.”

Kuat suara aku memberi salam tatkala pintu masuk aku kuak. Semua mata memandang ke arah aku tetapi hanya suara Kak Yana yang menyambut salam aku. Mereka yang lain tu bukan orang Muslim kut. Ya Allah, Ernie! Kenapalah jahat sangat mulut kau tu.

“Boleh kacau Dato’ Ehsan sekejap tak, kak?” Aku memeluk bahu Kak Yana yang tenang sahaja menaip sesuatu di meja kerjanya. Sengaja aku ke belakang kerusi Kak Yana. Tak terus duduk di kerusi yang ada di depan meja kerja Kak Yana.

“Uittt… Kenapa dengan tangan tu?” Kak Yana mendongak memandang aku. Mungkin dia perasan semasa aku mengusap bahu dia.

“Tak ada apa-apa. Boleh masuk tak?” Lekas-lekas aku kalih perhatian Kak Yana. Malas nak bersoal jawab perkara yang tidak penting. Nanti habis semua Kak Yana nak tahu.

“Pergilah. Dato’ pun tengah baca laporan aje tu.” Kak Yana tersenyum. Mengizinkan aku masuk menemui papa.

“Sayanggg, Kak Yana. Terima kasih, kak.” Lebar senyuman aku. Menepuk lembut bahu Kak Yana sebelum berlalu masuk ke bilik kerja papa.

Aku berhenti di depan pintu. Menghela nafas dalam-dalam dan menghembuskannya perlahan-lahan. Pintu aku ketuk. Tombol aku pulas bila terdengar suara papa memberi izin untuk masuk.

“Assalamualaikum, papa. Sibuk ke?” Aku melangkah mendekati papa yang terkejut menerima kedatangan aku. Aku berdiri di sisi papa.

Papa tanggalkan cermin matanya. Dia bersandar. Memandang aku yang sedang tersenyum memandang dia.

“Waalaikumussalam. Sibuk tak sibuklah, sayang. Ini kenapa datang ke sini? Nak mengadu lagi?” Papa mengusik dengan senyuman meleret.

“Hebatlah, papa ni. Ini yang orang sayang papa lebih.” Aku mula tarik tangan papa. Meminta papa mengikut aku duduk di sofa yang disediakan khas untuk tetamu dalam bilik papa ini.

Papa tidak banyak kerenah. Dia melayan sahaja apa mahu aku. Begitulah papa kalau aku minta sesuatu. Teringat kembali kata-kata Hazim bila papa menyalahkan dirinya atas sikap liar aku. Sungguh aku terasa sangat bersalah dengan apa yang telah aku lakukan selama ini.

“Nak mengadu pasal ini ke?” Jemari aku papa tarik ke ribaannya. Dia meneliti tempat luka yang sudah bertampal dengan plaster.

“Tak. Bukan pasal ni. Ada yang lebih besar lagi.” Aku menggeleng. Memandang wajah papa tanpa jemu. Selepas ini jika benarlah jodoh aku semakin hampir, pastinya aku akan semakin kurang menatap wajah papa. Rasa rindu sudah mula terbit dalam hati aku.

“Ada yang lebih besar? Apa dia tu?” Lembut sahaja nada suara papa bertanya.

“Hazim.”

“Again?” Ternaik tinggi kening papa.

“Bukan.” Aku menggeleng. Beratnya nak bertanya lanjut. Mudah-mudahan apa yang bakal aku luahkan sedikit pun tidak mengguris hati papa.

“Then?”

“Kenapa orang kena kahwin dengan Hazim?”

“Oh! Ernie dah tahu?” Bulat mata papa memandang aku. Perlahan-lahan mata itu bertukar redup. Seiring dengan senyuman yang terukir pada ulas bibir tua milik papa. Aku mengangguk.

“Kalau bukan dengan Hazim, sayang papa ni terima tak?” Papa sengaja menjerat aku dengan soalan perangkap. Susah betul kalau berbicara dengan ahli perniagaan. Setiap patah perkataan yang keluar pastinya berbaur strategi.

Aku mengeluh.

“Papa perlukan seseorang yang boleh membimbing Ernie. Papa tak akan sentiasa ada di sisi Ernie. Mama pun tak akan sentiasa bersama Ernie. Ernie perlu belajar sesuatu yang baru.” Jeda. Papa menghela nafasnya dalam-dalam.

“Pendidikan formal telah kami beri. Cumanya Ernie perlu seseorang yang lain untuk hidup bersama-sama hingga ke akhir hayat. Yang dapat menegur Ernie bila kami berdua tiada di dunia ini.” Panjang lebar papa menerangkan tujuan sebenar apa yang telah dia buat.

“Pa…” Aku lentokkan kepala pada lengan papa. Cuba menghadam kata-kata nasihat yang diberi. Sedih dan sayu pula rasa dalam hati aku ini.

“Papa buat semua ni bukan nak menghukum Ernie. Jauh sekali tak menyayangi lagi anak manja papa ni. Ernie jangan salah faham, ya sayang.” Terasa kepala aku diusap lembut tangan papa. Menjalar rasa kasih itu di seluruh tubuh aku.

Aku bungkam. Menanti penuh sabar kata-kata seterusnya dari papa.

“Sudah sampai masanya papa serahkan tanggungjawab menjaga Ernie pada orang lain.” Kali ini bibir

papa hinggap di kepala aku. Mengucup lembut. Hangat dengan kasih sayang yang tidak terperi.

“Tapi kenapa dia?” Aku mendongak memandang papa.

“Hanya dia yang papa rasa dapat menandingi sikap keras kepala anak papa ni.” Papa ketawa sambil menggosok-gosok kepala aku. Habis senget-benget tudung aku jadinya.

“Matilah saya, Dato’…” Suara Hazim kedengaran menyapa cuping telingaku. Terus tegak badan aku. Entah bila Hazim masuk ke sini aku tak sedar. Aku sengaja buntangkan mataku besar-besar pada dia yang tersenyum-senyum memandang aku. Menggelegak aje rasa dalam dada ni. Adalah yang dia nak pekenakan aku tu. Aku dah boleh baca setiap riak yang terpeta pada wajahnya.

“Apa yang matinya, Hazim?” Papa tersenyum. Dokumen yang dihulurkan Hazim kepadanya disambut. Dibelek helaian demi helaian.

“Manja sangat anak dara Dato’ ni. Takut tak terlayan saya.” Hazim mencemik pada aku sebelum melepaskan tawanya.

Kan aku dah kata. Hazim ni memang ada saja idea nak kenakan aku. Ingat aku hadap sangat nak bermanja dengan dia agaknya. Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Kalau dia tak nak, aku pun tak inginlah. Geramnya.

Terletus tawa dari mulut papa mendengar bicara Hazim.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278605/Bahagia-Mengetuk-Hati