[SNEAK PEEK] Andai Itu Takdirnya 2

Andai Itu Takdirnya 2 oleh Siti Rosmizah

TAN SRI SYED ABBAS melemparkan sampul surat di atas meja.
Isterinya yang sedang menghidang minuman itu menegur, “Surat apa tu bang?”
“Huh! Cek daripada anak kurang ajar tu!” jawabnya, serius.
“Dia dah bayar baki hutang dia? Tak apalah bang, sekurang-kurangnya dia dah belajar berdiri atas kaki dia sendiri,” balas Puan Sri Sharifah Aishah sambil menghulurkan cawan pada suaminya.
Tan Sri Syed Abbas mengambil dengan muka yang tegang.
“Saya tak bangga pun Sha. Jangan dia ingat sebab dia dah habis bayar hutang dia, saya dah pandang dia cukup hebat! Sebenarnya bukan duit yang saya harapkan daripada dia Sha.
Tapi, perubahan sikap dia tu yang saya nak tengok. Campak ego tu! Hormatkan saya sebagai papa dia! Tapi dia melawan saya! Bila dia bayar duit ni, dia tunjuk saya ni tak ada nilai di mata dia sebagai seorang bapa!” Tan Sri Syed Abbas meluahkan rasa hati.
Sedih Puan Sri Sharifah Aishah melihat suaminya. Kenapa Syed Aizril tergamak buat papanya sampai begitu sekali?
“Kita doakan dia insaf bang. Apa pun dia tetap anak kita, kalau kita tak redha dengan dia nanti hidup dia susah bang. Biarlah dia rasa rencah hidup dekat luar sana. Saya yakin, satu waktu dia akan sedar kesilapan dia.
Abang jangan ikutkan sangat marah tu. Saya tak nak abang sakit pulak nanti. Abang pun sekarang ni saya tengok, teruk sangat bekerja sampai tak ada masa nak duduk dekat rumah. Saya tahu, itu aje cara abang nak lupakan masalah ni, tapi janganlah sampai tak fikirkan kesihatan sendiri.” Puan Sri Sharifah Aishah memujuk suaminya.
Tan Sri Syed Abbas meneguk minuman. Kemudian dia menoleh pada isterinya,
“Cucu-cucu kita macam mana, sihat semua, Leya sihat?” Dia bertanya.
“Alhamdulillah, sihat semuanya bang. Cuma budak-budak rindu nak jumpa abang.” Kedengaran sebak suara isterinya.
“Susah nak cakap Sha, inilah jadinya kalau buat apa-apa tak pakai otak, main ikut emosi aje, yang jadi mangsa anak-anak,” selanya.
“Ros beritahu saya, Ril dah bukak business. Ros yang bagi pinjam duit dekat dia.Tapi tulah, saya tak seronok pulak dengar bila Ros kata Ril sekarang rapat dengan anak buah Rahim, siapa nama budak tu, Reen tak salah saya.
Saya bukan apa. Kesian Leya tu tengah mengandung. Saya tak nak dia salah faham nanti. Dah tak pasal-pasal bergaduh laki bini. Saya tak nak Leya lalui lagi derita dalam hidup dia. Cukup-cukuplah, apa yang dia pernah tanggung sebelum ni.” Risau mukanya.
Tan Sri Syed Abbas menyandar. Dia menarik nafas panjang.
“Lantaklah, dia nak bukak business ke, dia buat apa ke? Saya tak nak ambik tahu. Tapi, pasal Leya, dia kena kuat. Pada saya dia tak boleh terus menelan. Kalau dia rasa, dia perlu untuk pertahankan hak dia, dia kena pertahan. Leya kena fikirkan kebahagiaan dia. Buat apa yang dia rasa terbaik untuk diri dia. Saya naik dulu nak rehat.”
Tan Sri Syed Abbas terus bangun dengan muka yang penat.
Makin risau Puan Sri Sharifah Aishah. Dia mengambil telefon bimbitnya. Nombor menantunya didail. Dua kali juga dia mendail, baru Aleya menjawab.
“Assalamualaikum…” Puan Sri Sharifah Aishah memberi salam.
“Waalaikumussalam. Mama sihat? Papa sihat ma?” Sopan Aleya bertanya.
“Mama dengan papa sihat. Leya mama dengar suara lain macam aje, Leya tak sihat ke?” Emak mentuanya bertanya.
“Sakit kepala sikitlah ma. Leya tengah tunggu abang nak balik,” beritahunya.
“Leya dekat mana?” soal Puan Sri Sharifah Aishah pula.
“Dekat ofis. Abang ada meeting. Abang cakap tadi dia dah on the way, sekejap lagi dia sampailah tu,” terangnya.
“Pukul 9.00 malam masih ada dekat ofis, Leya kerja dengan Aizril ke?” Agak terkejut nadanya.
“Ya ma.” Lemah suaranya.
“Nak buat apa Leya kerja? Dah mengandung duduk ajelah rumah. Mama ingat Leya ambik orang gaji hari tu sebab nak tolong Leya jaga anak-anak, iyalah Leya dah makin sarat kan. Mama tak tahu pulak Leya kerja. Dah nanti mama cakap dengan Ril, jangan suruh Leya kerja.” Jelas nada tidak puas hatinya.
“Ma, bukan abang yang suruh Leya kerja ma tapi Leya yang nak kerja sendiri. Leya nak tolong abang. Leya…” Aleya terhenti, dia jadi sebak tiba-tiba.
Puan Sri Sharifah Aishah bagaikan dapat menyelami perasaan menantunya.
“Reen selalu datang ofis tu ke?” Emak mentuanya bertanya soalan itu.
Aleya menarik nafas seketika sebelum bersuara, “Dia banyak projek dengan syarikat ni. Memang selalulah dia datang.”
“Leya, mama sayangkan Leya. Mama dah anggap Leya macam anak mama sendiri. Mama faham kenapa Leya sanggup kerja. Tapi dalam masa yang sama Leya kena fikirkan tentang diri Leya jugak.
Pada mama sekarang ni, kesihatan Leya lagi penting. Tak guna Leya duduk dekat ofis tu sedangkan Leya sakit. Kalau biar nanti kesihatan Leya makin melarat. Leya jangan risau, mama yakin Ril takkan berubah. Dia sayangkan Leya, dia sayangkan anak-anak dia.” Puan Sri Sharifah Aishah menasihatkan menantunya.
Aleya terdiam.
Bila menantunya masih membisu, Puan Sri Sharifah Aishah menyambung lagi.
“Mama bukan nak campur urusan peribadi Leya, tapi sekarang ni yang mama pentingkan kesihatan Leya. Mama tak nak Leya sakit macam dulu, mama tak nak jadi apa-apa pada Leya sayang. Dengar cakap mama ni ya nak.”
Begitu sekali kasihnya Puan Sri Sharifah Aishah pada menantunya.
Aleya jadi sedih mendengarnya. Jauh di sudut hati dia bahagia dengan kasih sayang yang diberikan emak mentuanya.
“Terima kasih ma. Leya akan dengar cakap mama. Leya kerja ni pun masa anak-anak cuti sekolah aje ma. Lepas ni Leya duduk rumah semula.” Masa itu Aleya terdengar ada orang masuk ke dalam pejabat.
“Ma, Leya nak kena pergi dulu. Rasanya abang dah sampai tu. Mama jaga diri ma. Kirim salam pada papa. Assalamualaikum.” Lembut suaranya.
“Waalaikumussalam. Leya pun sama, jaga diri. Ingat pesan mama,” pesannya lagi sebelum mematikan talian.
“Dah jom balik.” Syed Aizril muncul di muka pintu.
Aleya mengambil beg tangan, suaminya dipandang.
“Bang, boleh pegang Leya tak? Sakit sangat kepala ni, takut jatuh nanti.” Dia menghulurkan tangan.
Terdengar Syed Aizril mengeluh.
“Itulah, abang dah kata tak payah nak kerja. Tapi Leya degil, entah apa yang dia suka sangat datang ofis ni, tak tahulah. Sekarang dah sakit. Leya tahu tak, abang tergesa-gesa balik nak ambik Leya. Padahal abang ada kerja lagi nak buat. Dah esok jangan datang kerja.” Tinggi suaranya sambil memapah isterinya.
Waktu itu sebelah tangannya terpegang perut isterinya, dia dapat merasakan anaknya bergerak. Syed Aizril mendengus dengan kuat, terus tangannya ditarik.
Aleya menoleh, pelik dia dengan karakter suaminya yang baran tiba-tiba.
“Abang ni kenapa? Takkan abang nak marah dengan Leya macam ni sekali, apa yang Leya dah buat salah?” soalnya perlahan.
Syed Aizril sukar untuk menjelaskan perasaan sebenar pada isterinya.
“Mana ada abang marah? Abang penat. Dah-dah jom kita balik. Abang nak rehat.” Dia memberi alasan.
Sebaik sahaja suaminya ingin masuk ke dalam kereta Aleya menahan.
“Bang, nak makan dulu. Laparlah.” Aleya menunjuk restoran di seberang jalan.
“Leya tak lunch ke tadi?” soalnya.
Aleya menggeleng.
“Kenapa tak makan?” tanya suaminya lagi.
“Leya tak selera, tekak ni asyik rasa loya aje. Anak abang ni sekarang suka dera Leya. Abang kena cakap dengan dia jangan naughty. Dulu masa dengan Dany, Awin abang selalu cakap dengan diaorang.
Ni dengan baby ni, Leya tengok abang tak pernah nak cakap dengan dia, itu agaknya dia buat perangai.” Ceria Aleya bercerita tapi begitu menjengkelkan suaminya.
“Ada abang suruh Leya mengandung? Leya yang nak sangat kan, sekarang tanggunglah. Dah jom balik, anak-anak dekat rumah tu lagi penting, dari nak sibukkan yang dalam perut.” Syed Aizril terus masuk ke dalam kereta.
Aleya terkejut mendengarnya. Dia macam orang bingung saja. Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta Aleya memandang suaminya.
“Jadi abang memang tak suka Leya mengandung?” Bergetar suaranya.
“Tak!” tegas Syed Aizril menjawab lalu terus menghidupkan enjin kereta.
“Walaupun kita dah senang?” Makin sebak suaranya.
“Ya.” Serius dia menjawab.
Aleya masih lagi bingung.
“Abang, Leya tahu abang cuma nak usik Leya kan. Hari tu abang janji nak jaga Leya masa dalam pantang. Leya tahu abang sayangkan anak kita, abang memang seorang papa yang penyayang. Abang gurau dengan Leya kan bang.” Aleya tidak berkelip memandang suaminya.
Syed Aizril yang sedang memandu itu mengerling sekilas. Dia tak tersentuh langsung melihat wajah sedih isterinya.
“Abang tak bergurau! Abang memang tak suka Leya mengandung! Abang tak boleh terima anak ni. Abang tak ada masalah nak jaga Leya masa bersalin, tapi Leya saja, bukan dia!” tegas katanya.
“Tapi kita dah tak ada masalah bang untuk besarkan dia. Abang dah ada duit, hidup kita dah berubah bang.” Aleya cuba menjelaskan lagi pada suaminya.
“Ini bukan soal susah atau senang Leya. Kalau duit abang ada berpuluh juta sekali pun, abang tetap tak suka dia! Buat masa ni abang tak bersedia nak ada anak lagi, Leya faham tak?” Syed Aizril menekankan suara.
“Apa salah dia bang? Dia anak kita. Kesiankanlah dia bang, dia tak tahu apa. Dia tak berdosa bang, jangan layan dia macam ni. Anak ni amanah Allah pada kita.” Merembes-rembes air mata Aleya.
“Abang tak suruh pun bunuh dia. Leya lahirkan lah dia. Makan minum dia abang tanggung macam anak-anak yang lain, tapi nak sayang tu tak adalah. Elok aje dia hadir dalam hidup kita, macam-macam masalah.
Memang sebagai orang Islam kita kena terima qada dan qadar Allah tapi ini pasal hati. Abang tak boleh paksa hati ni untuk sayangkan dia. Leya kan ada, cukuplah kasih sayang Leya tu. Itu dah bagus abang bagi Leya jaga, kalau abang suruh Leya bagi dekat orang lain, lagi Leya kata abang kejam kan!”
Terkejut Aleya mendengar. Hilang kata-katanya.
“Leya cuba faham perasaan abang. Buat masa ni, jangan paksa abang untuk terima dia dan Leya pun jangan nak mengada-ngada dengan abang pasal dia. Tengoklah diri Leya, gara-gara mengandungkan dia sampai dah tak terurus jadinya!” luah Syed Aizril.
Syed Aizril puas, apa yang terbuku dalam hatinya selama ini, akhirnya telah dilepaskan.
Aleya memaut lengan suaminya.
“Abang, kalau sebab Leya tak uruskan diri kerana mengandung, Leya janji, Leya akan lawan perasaan Leya. Leya akan ubah diri Leya. Tolonglah bang, baby ni tak salah.” Aleya masih cuba memujuk suaminya.
“Hei, kau ni kang, sia-sia aje makan penampar aku! Faham tak, aku tak suka anak ni! Tak kisahlah kau hias diri macam mana pun!” Kasar bahasanya lalu terus dia menarik lengannya.
Hancur hati Aleya mendengarnya. Makin berderai air matanya.
Ya Allah! Kasihannya anak mama. Maafkan mama sayang, maafkan mama. Rintih hatinya pilu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/343925

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *