[SNEAK PEAK] WARNA HATI

Warna Hati Oleh Naniey Tj

 

KEPALA terasa sedikit pening, seluruh tubuh rasa lenguh. Banyak betul kerja yang perlu aku bereskan. Aku pandang iPhone yang berbunyi tanda ada mesej masuk. Terus aku buka. Mesej dari Tengku Irsyad.
Laili singgah rumah kita. Tolong balik awal sikit.
“Laili?” Hampir-hampir aku terlupa mesej Tengku Irsyad yang ditampal depan pintu bilikku. Sejak kami bergaduh dua hari lepas belum pernah lagi kami bercakap. Masing-masing ego. Lantak dialah. Asal tak ganggu hidup aku.
“Buat apalah minah bajet bagus tu datang rumah? Nak sakitkan hati aku lagi ke?” bicaraku sendiri. Kurang selesa dengan kehadiran adik Tengku Irsyad yang bermulut lancang tu. Sengaja aku melengahkan masa. Malas nak balik awal ke rumah.
Akhirnya aku tiba di rumah kurang 15 minit pukul 12 tengah malam. Tertidur di pejabat. Harap-harap semua dah tidur. Namun harapanku sedikit pudar apabila ruang tamu rumah masih lagi terang. Mungkin Tengku Irsyad masih berjaga. Tanpa fikir panjang, terus aku masuk dan menutup pintu.
“Awalnya kak long balik.” Ramah suara itu menyapa. Aku pandang ke arah sofa. Tengku Laili sedang menonton televisyen. Langsung tidak memandangku.
“Biasalah.” Hanya itu jawapan yang aku bagi sebelum menyambung langkah.
“Tak sangka pulak sekarang ni suami yang kena tunggu isteri balik kerja. Busy sangat rupa-rupanya kak long ni, ya?” Pedas kata-kata yang keluar daripada bibir Tengku Laili. Kan aku dah kata minah ni memang bajet bagus.
“So?” soalku malas.
“Nothing. Kesian along. Ada isteri macam tak ada.” Tengku Laili berjalan ke arahku. Dia pandang aku dengan senyuman sinis.
“Bukannya aku yang mintak dia kahwin dengan aku. Ada apa lagi?” soalku cuba menyakitkan hatinya. Biar dia tahu segala tutur katanya langsung tak berkesan dalam hati aku.
“Kau ni sebenarnya sedar ke tak? Kau tu dah jadi isteri orang. Bukan lagi perempuan bujang yang boleh buat sesuka hati kau.” Menjadi nampaknya cara aku membuat dia bengang.
“Satu aje aku nak cakap kat kau. Along kau tak bising. Apa kaitan pulak dengan kau?” balasku bersahaja.
“Sebab along tak bisinglah kau berani pijak kepala dia.”
“Laili, sepatutnya kau tu pergi kahwin dulu. Belajar jadi isteri solehah dulu. Barulah datang nasihat aku pasal hal-hal rumah tangga ni.” Biar aku basuh sikit perangai budak ni. Terdiam jugak dia seketika.
“Excuse me. Aku sekarang tengah cakap tentang perangai kau. Pasal abang aku,” tegas Tengku Laili.
“Betullah. Aku suruh kau cari pengalaman dulu. Baru datang ceramah aku. Atau sebenarnya, kau ni tak laku, sebab tu kau jealous dengan aku?” soalku biadab. Kalau aku jadi lelaki, tak nak aku peristerikan perempuan macam Laili. Luaran cantik, dalaman sendiri jawablah.
“Kalau bukan sebab abah, kau tu pun tak lakulah.”
“Ada jugak yang sudi jadikan aku menantu. Kau ada?” balasku mengejek.
“Kurang ajar.” Terus tangannya naik untuk menampar pipiku.
“Laili!” Suara Tengku Irsyad dari anak tangga kedengaran.
“Apa hal ni?” soal Tengku Irsyad.
“Tanyalah adik kesayangan kau ni,” balasku terus mendaki anak tangga.
“Aku belum habis lagi.” Suara Laili sekali lagi menghentikan langkahku.
“Laili sayang, sudah-sudahlah malukan diri sendiri. Aku penat. Good night.” Terus aku berlalu tanpa menghiraukan suara Laili yang kedengaran marah dengan kata-kataku.
“Perempuan tak guna!” jerit Tengku Laili geram.
“Enough, Laili. Along tak suka Laili masuk campur hal rumah tangga along,” marah Tengku Irsyad.
“Along ingat Laili suka tengok along macam ni? Salah ke Laili nak betulkan isteri along tu?” Tengku Laili pandang tajam wajah abangnya. Ada keluhan lahir di bibir lelaki itu.
Dia tahu ada sesuatu yang disembunyikan oleh abangnya. Sejak berkahwin, muka Tengku Irsyad tidak lagi seceria dulu. Dia tahu Tengku Irsyad juga terpaksa dan dipaksa. Lelaki mana yang sanggup peristerikan perempuan yang liar dan biadab seperti Arissa tu. Kerana abah, Tengku Irsyad akur.
“Cara Laili tak betul!”
“Habis, cara siapa yang betul? Cara along? Berdiam diri dan tengok aje apa yang dia buat. Itu ke cara yang betul?”
“Along lebih tahu dan lebih berhak untuk didik isteri along. I don’t need your help.” Tengku Irsyad pandang wajah Tengku Laili yang kelihatan keruh. Mungkin agak tersinggung dengan kata-katanya.
“Sampai hati along cakap macam ni kat Laili. You’ve changed. Laili ni adik along. Cubit paha kanan, paha kiri pun sama terasa. Kalau along rasa isteri along tu dah bagus sangat. Tak apalah. Awal pagi esok Laili balik.” Terus Tengku Laili angkat kaki. Cukup terkilan dengan kata-kata Tengku Irsyad yang seolah-olah mula meminggirkannya.
“Laili, along harap sangat Laili faham situasi along.”
“Laili faham along dah tak perlukan Laili.”
“Bukan macam tu.” Tengku Irsyad lepaskan keluhan. Dia tahu Tengku Laili ingin membantu dalam menyelesaikan konflik rumah tangganya. Tapi dia perlu mengakui cara Tengku Laili salah. Adiknya itu terlalu sinis dalam berbicara. Seperti minyak yang disimbah ke dalam api.
Makin marak jadinya.
“Kalau Laili nak tolong along, cuba Laili berbaikbaik dengan kak long. Mana tahu dari situ dia akan berubah.”
“What? Laili berbaik dengan isteri along tu. Never!”
“Kalau tidak, Laili tak perlu masuk campur,” tegas Tengku Irsyad. Pantas Tengku Laili menghentak kaki sebelum meninggalkan Tengku Irsyad sendirian.
“Dia tak seteruk yang Laili sangkakan,” ucap Tengku Irsyad perlahan. Mungkin lebih kepada berbicara dengan dirinya sendiri. Adakala dia juga keliru. Cuba menilai dari sudut positif siapa isterinya yang sebenar.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/303538/warna-hati

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *