[SNEAK PEAK] BAHANA SKIM CEPAT KAYA

Bahana Skim Cepat Kaya Oleh Dr Nik Rahim

 

Cara Mengenali Skim Cepat Kaya (SCK)

Menarik apa yang tertulis dalam sebuah e-book keluaran Bank Negara Malaysia (BNM) tentang SKC. “Jangan tertipu dengan nama skim pelaburan hanya kerana ia kelihatan menarik atau profesional. Broker profesional, penasihat pelaburan dan ejen insurans harus mendaftar dengan pihak berkuasa.”

Jadi antara kaedah mengenali SCK ialah dengan cara mempastikan bahawa ianya berdaftar dengan pihak berkuasa. Jika tidak berdaftar, maka jelaslah bahawa ianya adalah SCK. Bagi mereka yang pernah ‘terkena’ dengan SCK, anda pastinya masih ingat tentang pelbagai alasan yang diberikan kepada anda apabila anda bertanya tentang status syarikat atau skim yang ditawarkan.

Namun berdaftar dengan pihak berkuasa sahaja masih belum cukup untuk ‘membebaskan’ satu-satu syarikat itu daripada menjadi salah satu dari syarikat yang terlibat dengan SCK. Syarikat FINA yang saya sertai sebagai Penasihat Syariah adalah syarikat yang berdaftar tetapi menjalankan perniagaan yang berasaskan kepada SCK.

Berdasarkan kepada peraturan BNM, mana-mana syarikat yang ingin melibatkan diri dalam menawarkan skim pelaburan kepada orang ramai mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis dari BNM. Jika tidak syarikat tersebut boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan juga Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 kerana terlibat dalam aktiviti pengambilan deposit secara haram.

Jadi kalau ada yang datang ‘approach’ anda untuk membuat pelaburan dengan tawaran keuntungan yang ‘gila-gila’, minta dulu bukti pendaftaran syarikat dan juga kelulusan dari BNM untuk menerima pelaburan. Jika tiada, ucapkan selamat tinggal. Usah tunggu lagi. Lagi lama anda tunggu, lagi mudah anda ‘dicairkan’ oleh ejen-ejen SCK yang sememangnya amat ‘profesional’. Dalam syarikat FINA yang saya sertai dahulu, yang menjadi salah seorang Pengarah syarikat adalah seorang PEGUAM! Hebat kan?

Sekian Sahaja.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/312163/BAHANA-SKIM-CEPAT-KAYA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *