[REVIEW] AKU BUKAN MISTRESS

AKU BUKAN MISTRESS Oleh Acik Lana

Mya Arlissa terperangkap dengan permainan dunia yang kejam. Dia tercampak ke dunia yang kelam dan gelap tanpa kerelaan hatinya. Tangan yang disangka boleh memimpinnya ke arah yang lebih lurus, rupanya tidak berbeza seperti lelaki lain yang hidup berajakan nafsu. Dirinya tergadai kepada Mikail, lelaki tampan yang kaya-raya dan menjadi buruan ramai wanita.


Ini kisah yang menarik perhatian admin sebaik sahaja membelek helaian pertama. Kelainan yang dibawa oleh penulisnya memang mengujakan. Malah jarang sebenarnya watak-watak utama yang mempunyai sisi hitam diterjemahkan dengan baik dalam sesebuah novel. Tajuk ABM sudah menggambarkan isi cerita novel ini. Jadi seeloknya novel ini dijauhkan daripada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Mya Arlissa punya nama indah yang tak seindah kisah hidupnya. Terperangkap dalam dunia kotor itu bukan kehendak hatinya tetapi apakan daya. Mujur ada sang penyelamat, si ‘hero’ yang muncul dalam kelam. Tetapi siapa sangka, Mikail sama saja seperti yang lain, hidup bertunjangkan nafsu dunia.

Hampir dua tahun bersama-sama Mikail, Mya mula menyedari sesuatu. Apatah lagi dengan kematian neneknya, umpama satu wake up call buat Mya. Sudah terlalu lama bertemankan dosa, apakah ada jalan pulang buatnya? Di saat ini, Mya mula berubah, menjauhkan diri daripada Mikail. Dia perlu mencari arah hidupnya kembali.

Namun bagi Mikail, bukan senang untuknya melepaskan Mya. Dia tak mahu teman lain selain Mia. Ego tingginya dibuang begitu saja bila Mya bertekad untuk pergi daripada dunia palsu mereka. Dia akur yang dia kini sudah jatuh cinta pada perempuan yang di’bela’nya. Pelbagai cara dilakukan untuk memenangi hati Mya semula.

Untuk membina kembali hubungan baru antara mereka bukan mudah. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang tiba-tiba hadir menuntut janji dan Suzanne yang menyakitkan hati benar-benar menyukarkan hidup Mya. Apatah lagi dengan penolakan Datin Adiba; ibu Mikail yang begitu membenci perempuan seperti Mya. Apa kesudahan kisah Mya dan Mikail? Berjayakah mereka membina semula hubungan yang direstui dan halal di sisi agama? Mari saksikan dalam kisah ABM ini.

Pujian memang harus diberikan pada Acik Lana kerana menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam kisahnya ini. Admin juga harus memuji cara penulis ‘memutihkan’ kembali watak Mya dan Mikail. Kredit kepada Kaki Novel juga kerana membawa variasi dalam novel-novel keluarannya, bukan lagi santai tetapi sudah ada novel yang disampaikan dalam nada berat dan dramatik.

Setiap manusia itu diberi pilihan. Memilih jalan putih atau kekal bergelumang dalam dosa. Dan bila saja pilihan dibuat, kita harus menempuh segala yang merintanginya. Suka dan duka itu rencahnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183588/aku-bukan-mistress