Tetap Dia Di Hati

. . .

“MALAYSIA, I miss you…” Sekitar kawasan balai ketibaan antarabangsa dipandang dengan seulas senyuman di bibir. Mahu saja dia menjerit dan melompat saat ini.
Betapa rindunya dia mahu pulang ke tanah air dan sekarang impiannya tercapai.

Excuse me girl.

Sorry, sorry.” Sedar yang dia sudah menghalang laluan, pantas dirinya berganjak ke tepi. Lelaki yang baru melintasinya dipandang. Handsome! Dia tergelak. Rupa macam tak pernah nampak lelaki.

Melihat passport milik lelaki itu terjatuh, cepatcepat dia mengambil. Troli yang mengandungi bagasinya ditolak laju untuk mengejar langkah lelaki itu. Takut kalau lambat, bayang lelaki itu akan hilang.

“Encik, ini encik punya. Tercicir tadi.” Passport dihulurkan kepada lelaki yang baru saja selesai bercakap di telefon itu.

“Oh ya ke? Thank you.” Dipandang gadis yang tersenyum lebar di hadapannya. Kening kanan diangkat. “Jangan pandang saya macam tu, nanti saya fikir awak suka saya.”

Dia tergelak. “Saya senyum sebab hati saya gembira dapat balik Malaysia. Saya rasa nak guling-guling je atas lantai airport ni. Tapi nanti tak pasal-pasal kena tahan.”

“Oh, saya syok sendirilah ni.” Malu!

“Kenapa, encik ingat saya cuba goda encik ke?”

“Apa lagi yang saya boleh fikir kalau awak tengok saya sambil tersenyum simpul macam tu? Awak bukan gila, kan?”

“Sampai hati encik cakap saya yang cantik ni gila. Okey lah, saya pergi dulu. Jangan cuai lagi tau lepas ni. Mujur jumpa orang baik macam saya, kalau orang jahat dah dibuang passport encik itu.”

“Boleh saya tahu nama awak apa?” Halang dia sebelum si gadis itu pergi. Suka pula dia melihat sikap happy go lucky gadis itu.

“Papa!”

Melihat seseorang yang melambai daripada jauh, membuatkan matanya mula berbintang-bintang. Tidak menunggu lama troli ditolak mendekati cinta hatinya. Dilupakan terus lelaki itu.

“Assalamualaikum papa.” Tangan dihulur untuk bersalam.

“Ayuni, anak papa.”

“Tiga tahun tak jumpa, anak papa makin cantik tak sekarang?” Ayuni mengusik. Tangan dicekak ke pinggang lalu dia pusing ke depan dan belakang. “Anak papa dah kurus sekarang.”

“Anak papa tak pernah tak cantik. Papa hampirhampir tak kenal. Ingat Kajol mana yang datang. Papa nyarisnyaris nak ajak selfie.”

Ayuni ketawa. Papanya masih sama. Tiga tahun berpisah langsung tidak berubah. Kuat mengusik! “Papa datang seorang? Mama tak datang?”

“Erm mama, faham-faham jelah.”

Ayuni tersenyum. Cuba untuk tidak ambil hati.

“Papa datang seorang pun, Yuni dah gembira sangat. Terima kasih papa tak pernah lupa kat Yuni.”

“Haish, budak ni. Apa cakap macam tu? Yuni kan anak papa. Mestilah papa tak pernah lupa. Papa minta maaf ya sayang, papa tak pernah melawat Yuni. Tapi sekali pun papa tak pernah lupa hantar doa buat Yuni.”

Senyuman hambar terbentuk di bibir. Papa sentiasa mahu mengambil hatinya.

“Papa, Yuni nak tinggal rumah kawan Yuni ni. Ingat nak pergi sana terus. Tapi tak sangka papa datang.” Dapat dia lihat senyuman papa kian memudar. Tahu katakatanya sudah melukakan hati lelaki itu.

“Ayuni! Please, demi papa. Kita balik rumah ya. Papa kan ada, Yuni jangan takut.”

“Bukan macam tu papa. Cukuplah selama ni Yuni bergantung pada papa. Sekarang Yuni nak berdikari.”

“Alasan! Papa tak benarkan Yuni pergi mana-mana. Cukup papa lepaskan Yuni pergi LA selama tiga tahun. Sampai bila Yuni nak tinggalkan papa? Kasihan papa. Mengalah lah.”

“Sebab mengalah lah Yuni pergi sana.”

“Sudahlah, papa bosan. Jom balik. Bibik dah masak macam-macam untuk Yuni. Kasihan dia tunggu lama.”

Ayuni memaut lengan papanya. Tidak mahu hari ceria mereka lenyap disebabkan moodnya yang tidak menentu.

“YUNI, pergi naik. Tak payah tolong bibik. Sian Yuni masih penat.”

“Tak apalah bibik. Yuni tak penat. Kalau naik pun bukan boleh buat apa. Pakaian semua Yuni dah siap kemas.”

Bibik Herti, pembantu rumah yang sudah 30 tahun bekerja dengan keluarganya. Wanita ini jugalah yang menjaganya sewaktu kecil. Hubungan mereka ibarat ibu dan anak.

Tangan yang basah dikesat pada tuala sebaik selesai mencuci pinggan. Makan malamnya ditemani oleh bibik. Papa terpaksa keluar saat-saat akhir. Biasalah ada kerja yang tak dapat dielakkan. Mujur juga ada bibik. Boleh jadi peneman.

“Bibik, mama pergi mana? Sejak Yuni balik langsung tak nampak dia. Ke dia sengaja tak nak balik, sebab tahu Yuni dah balik.”

“Macamlah Yuni tak kenal perangai mama Yuni tu. Sibuk mengalahkan perdana menteri.”

“Abang?”

“Itu lagilah sibuk. Nak tengok batang hidung pun susah!”

“Selain papa dengan bibik, dah tak ada orang yang rindukan Yuni. Hina sangat ke Yuni ni, bik? Sampai ahli keluarga pun pinggirkan Yuni. Ni mama tak balik lagi. Kalau dia balik, tengoklah apa dia cakap kat Yuni.”

Tangan Ayuni dicapai. Turut bersimpati dengan nasib gadis itu. “Tiga tahun Yuni pergi, tak ada apa pun yang berubah. Datin tu, tak pernah ingat kat Yuni. Entah-entah dia pun lupa dia ada anak perempuan. Cuma Datuk lah, asyik rindukan Yuni. Tak apalah Yuni, macam Datuk cakap. Yuni teruskan je hidup macam dulu. Dulu Yuni okey je.”

Ayuni melangkah keluar daripada dapur sebaik selesai berborak dengan bibik. Wanita itu salah satu penyebab dia pulang ke rumah ini selepas sebab pertama Datuk Badri, papanya. Kata papa, kalau dalam seratus orang, hanya ada dua orang yang menyayangi kita maka hargailah yang dua orang itu. Itu lebih bermakna.

Langkah kaki mati di anak tangga apabila perasan pintu rumah terbuka. Melihat mamanya masuk, pantas Ayuni mendekat. Langsung tiada riak teruja di wajah wanita itu apabila melihat dia sudah pulang.

“Assalamualaikum mama.” Tangan dihulur untuk bersalam. Hanya sesaat tangan mereka bersentuhan apabila wanita itu melarikan tangannya. Macam tangannya kotor untuk disentuh. “Mama sihat?”

“Aku nampak sakit nak mati ke?” Sinis Datin Akmar menjawab. Dijeling atas bawah Ayuni ibarat gadis itu ada hutang dengannya.

. . .

Baca selanjutnya di SINI

Penulis: Wan Nur Najihah
Penerbit: KarnaDya Publishing Sdn Bhd