[SNEAK PEEK] Kan Ku Kejar Cinta Kamu

Kan Ku Kejar Cinta Kamu oleh Fauziah Ashari

“HEI!” Qistina menjerit seraya terkejut apabila kepalanya dijirus air oleh seseorang. Terkaku seketika sebelum bangun mendadak dan meradang. Di saat itu hampir semua tetamu restoran memandang ke arah mereka. Terkejut beruk!

Alma tersenyum sinis dan bersahaja berdiri di antara pasangan yang diandai sedang bercinta. Kalau tidak, masakan si lelaki memaut pinggang si gadis ketika mula masuk ke dalam restoran. Jika tidak, masakan tangan si gadis begitu asyik mengusap-usap lengan si jejaka.

Miang!

Raiyan pun satu, suka sangat diusap dek tangan gatal tu. Leka betul dengan sentuhan-sentuhan mengada-ada si betina. Kalau isteri dia okeylah. Ini tak, perempuan mana agaknya yang rela jadi bini dia. Memang betina!

Dan Raiyan memang jantan lupa daratan. Dengan aku boleh, esok nak kahwin dengan perempuan lain pulak dan sekarang sibuk dengan betina lain! Alma betul-betul panas. Geram dan sakit hati. Dua-dua gatal!

“Ray…tengok apa yang perempuan ni buat kat I.” Qistina mengadu manja. Dalam hati, mahu sahaja dia lempang perempuan kurang ajar di hadapannya. Tapi, terpaksa kontrol diri sopan dan ayu di hadapan bakal kekasihnya. Malu kalau dianggap kasar oleh Raiyan. Pasti ditolak terus ke tong sampah!

Raiyan hanya terpaku sejak tadi. Memang dia terkejut dan hampir tergelak melihat Qistina basah dari kepala hingga ke sebahagian bajunya terutama bahagian dada tapi melihat babak itu buat dirinya terkaku tanpa reaksi kecuali bagaikan pernah melalui situasi itu.

Kian tergamam tatkala terpandang wajah Alma sedang tersengih. Langsung tanpa rasa bersalah. Wajah yang lama tidak dilihat olehnya. Wajah yang tidak pernah dia lupa. Wajah yang buat dia teruja dalam meniti kehidupan kaburnya. Tambah manis. Tambah cantik, bisiknya nakal dan tersenyum sedikit melihat panjangnya rambut Alma.

Apa-apa yang dia buat semuanya selamba. Tak takut. Tak rasa bersalah. Betul-betul berkeyakinan di pihak benar, gumam Raiyan tanpa mengalih pandangannya.

“Maaf, saya tak sengaja. Hampir tersandung, tu yang tertumpah kat cik.”

“Kau bohong. Aku tau kau sengaja nak jirus kepala aku. Apa salah aku? Aku tak kenal kau pun!” Qistina mula melenting. Sudah terasa lekit kulit kepala dan badannya dek air manis.

Rengekannya langsung tidak dilayan Raiyan. Qistina juga tidak peduli pandangan tetamu. Tambah sakit hati apabila Raiyan hanya memandang wajah perempuan kurang ajar di hadapannya ini tanpa kelip.

Entah siapa perempuan ini dia tidak tahu. Dia tak peduli. Barangkali salah seorang teman wanita lelaki kacak di hadapannya ini. Peduli apa! Pentingnya dia mesti balas dendam. Tanpa semena-mena dia ambil jus di atas meja. Ingin disimbah pada perempuan itu.

Di waktu sama, pengurus restoran datang ke meja mereka. Alma yang bersedia terus mengelak.

Purr!!!

“Woo…” Serentak tetamu restoran tergamam. Pengurus restoran terpejam dan terkebil-kebil apabila muka dan bajunya basah terkena air.

Raiyan masih terpaku. Sudahnya senyum dia tambah lebar. Rasa mahu terkoyak pula mulutnya. Alma turut ketawa kecil. Hanya Qistina yang melopong terperanjat.

“Maaf, saya harap tiada apa-apa yang serius berlaku di sini. Tuan, puan-puan semua, harap tolong jaga keharmonian restoran ini,” pinta pengurus restoran dalam geram yang tersembunyi.

“Maafkan saya…” ucap Alma pada pengurus restoran. “…tapi…” Alma geram. “… perempuan ni memang patut dijirus air. Lain kali jangan nak menggatal dengan suami orang,” tekan Alma tanpa menoleh pada Raiyan.

Sengaja tidak mahu memandang. Apa guna memandang kalau Raiyan tidak kenal dengannya. Cukuplah melihat dari jauh tadi. Entah terlerai entah tidak rindunya, dia tidak pasti. Semuanya kerana berselang-seli dengan rasa mual dan menyampah terhadap Raiyan. Yang pasti dia hampir tergoda dengan penampilan baharu suaminya. Masalahnya, satu per satu tembelang Raiyan terbongkar sejak amnesia ni. Ee…geram!

Alma terus pergi setelah ujarannya tadi. Baru beberapa langkah, kakinya bagai digam di jubin restoran tatkala mendengar suara perempuan itu menjerit.

“Hei perempuan! Kau siapa, ha? Apa hak kau? Aku tak keluar dengan suami orang!” Qistina membentak.

Pantas Alma berpaling dan mara semula. Dia tatap perempuan yang berdiri di hadapannya. Rasa kecil aje dia lihat perempuan itu. Kemudian, dia lihat Raiyan yang terdiam dan masih duduk. Langsung tak gentleman. Tidak mempertahankan perempuan yang didampingi.

“Cuba kau tanya dia, dia dah kahwin atau belum?”

“Setahu aku dia memang nak kahwin dengan pilihan keluarga dia. Tapi dia belum kahwin lagi. Apa hak kau nak sibuk hal kami!” marah perempuan itu. Menggigit nadanya.

“Cuba tanya, dia dah kahwin ke belum?” Alma tegas. Dia pandang Raiyan. Pandangan bertaut. Alma sedikit gabra tapi cepat dia toleh perempuan itu semula.

Qistina sedikit pelik. Seolah-olah ada sesuatu yang dia tidak ketahui. Terus sahaja dia menujah matanya ke arah Raiyan, ingin penjelasan.

Raiyan jadi gamam. Dia pandang Alma seketika walaupun Alma langsung tidak menolehnya lagi. Cerita di Menara Raqib dan album-album tertayang di anak mata. Kemudian, dia pandang pula pada Qistina, perempuan yang dikenali ketika sama-sama menjalinkan kerjasama dalam perniagaan dan berlarutan hingga ke kelab dan makan malam begini.

“Ray!” Qistina naik lemas. Jawapan yang dipinta masih tiada.

Spontan Raiyan geleng kepala. Dia malu melihat semua orang menjadi penonton. Malunya hendak dijaga. Egonya juga harus dijulang tinggi. Wajahnya pernah dipampangkan di Kompas. Mungkin sahaja ada antara penonton mengenalinya.

Qistina tersenyum menang. “Hmm…kau dah ada jawapan, kan?” sinis nadanya. “Kau! Tunggu surat lawyer aku,” gertaknya pula sambil menunjuk tepat jari telunjuk ke muka Alma. Alma hanya senyum bersahaja biarpun hatinya bagai dicencang lumat. Dek kerana geram, dia terus ambil gelas di hadapan Raiyan. Tanpa fikir, dicurahkannya ke kepala Raiyan.

“Kau!” Qistina terkejut. Terus ternganga melihat Raiyan yang basah kuyup. Tidak terkata apa lagi. Raiyan lagilah, tak tersuara langsung. Terkatup mulutnya. Alma letak kembali gelas di atas meja. Berwajah selamba sambil menepuk tampar kedua belah tapak tangannya.

“Ini balasan untuk orang yang bohong,” ucapnya rapat ke telinga Raiyan yang basah seluruh muka dan sebahagian bajunya. Tak kan Raiyan bodoh sangat, tak faham makna foto-foto yang diberi dahulu. Antaranya gambar pernikahan mereka.

Kemudian dia pandang teman wanita Raiyan. “Kau, kalau nak saman aku, kau tanya dia, mana aku tinggal. Sebab dia tau mana nak cari aku. Sejak dulu lagi, dia selalu cakap, dia tau mana nak cari aku.” Usai berkata-kata, dia pandang dua rakannya. Memberi isyarat untuk pulang.

“Encik, tolong ambik order air untuk lelaki di meja sana. Masukkan bil dalam akaun saya. Air aje, makan biar dia bayar sendiri.” Dalam marah teringat dia ‘meminjam’ air lelaki tadi. Pengurus restoran hanya mengangguk sahaja.

Kemudian, Alma terus keluar dari restoran. Tidak peduli pada Raiyan dan pasangannya.

Raiyan pula masih terkebil-kebil. Tak menyangka sama sekali. Memandang perempuan-perempuan itu keluar dari restoran. Semuanya dia kenal.

“Jangan cakap apa-apa. Aku nak rehat.” Alma beri amaran sebaik semua berada dalam kereta. Dia pejam mata. Tidak peduli pada Marlisa dan Adelea di hadapan.

“Lea, di Raqib ada kerja kosong tak?” Tiba-tiba Alma bertanya setelah lima minit perjalanan pulang. Dia selitkan dirinya di antara dua seat di hadapan.

“Kau nak kerja dengan suami kau, ke?” Adelea sudah pening dengan kerenah Alma.

“Dah fikir panjang? Abah aku tentu tak kasi. Belum lagi Nek Bonda tau.” Marlisa pula seolah-olah beri amaran.

Usai mendengarnya, Alma menyandar kembali. Ugutan perempuan itu menerjah-nerjah ke kepala otaknya. Faris jadi mangsa. Rasa sedihnya ditahan-tahan. Rindu pada keluarga sendiri dibiarkan berlalu.

Alma tidak bersuara apa-apa lagi. Tidak peduli pada Marlisa dan Adelea yang terpinga-pinga dan seakan-akan mengerti masalahnya. Dia terasa kalah pula. Dia pejam mata kembali. Senyum Raiyan datang lagi. Keletah suaminya muncul lagi. Kemesraan bersama mencolek- gamit sanubarinya.

I cinta kamu, bisiknya dalam sendu yang dalam. Tanpa sedar air matanya bergenang di tubir mata. Sesungguhnya dia tidak pernah mencampak Raiyan keluar dari hatinya. Dua tahun mengenal Raiyan, cukup menggembirakannya.

Benarlah kata madah cinta, ‘hanya diperlukan waktu seminit untuk mentafsir seseorang, sejam untuk menyukai seseorang dan sehari untuk mencintai seseorang, tetapi diperlukan seumur hidup untuk melupakan seseorang’.

Aku mengenal Raiyan dua tahun, bererti lebih berminit-minit, lebih berjam-jam, lebih daripada sehari. Jadi, bagaimana aku mahu melupakannya sedangkan baru berpisah lebih kurang dua tahun. Belum cukup lama lagi. Mungkin setelah 10 tahun berpisah baru boleh lupa. Barangkali juga setelah aku sudah berumah tiang dua baru ingatan tentang Ray terhapus.

Ah, Ray… I cinta kamu. I cinta kamu. I cinta kamu. ucap hatinya berkali-kali. Rindunya berkobar-kobar.

“Kalau Ray tak amnesia, dah lama aku tinggalkan dia,” katanya separuh berbisik. Seolah-olah berkata pada diri sendiri tetapi kata-katanya seakan-akan memberitahu rakan-rakan di hadapan.

Adelea dan Marlisa hanya dengar. Bimbang untuk mencelah. Takut Alma tidak luahkan lagi.

“Aku memang tau Ray cucu Datuk Raqib. Tapi kerana cinta kami lupakan segala-galanya. Cinta. Hah…mereka tak faham barangkali apa erti cinta. Agungnya Allah beri hambaNya menikmati rasa cinta. Rasa ingin memiliki dan dimiliki. Berkasih-sayang. Itu yang kami rasa tapi kami teruskan juga kerana kami yakin keikhlasan dan kejujuran kami akan melunturkan tembok keras yang jadi benteng keluarga Datuk Seri Hakim dan keluarga Datuk Raqib. Papa tak pernah cerita kenapa tapi papa adalah papa terbaik yang pernah aku kenal. Penyayang, bertanggungjawab dan ketua keluarga yang sangat baik.”

Marlisa toleh Adelea. Masih tidak bersuara apa-apa. Sebak Alma dapat mereka rasa.

“Tapi, papa memang ada beri amaran. Katanya, jangan dekat dengan keluarga Datuk Raqib. Hah…memang ini balasan untuk aku agaknya. Ingkar perintah papa. Sudahnya, Ray macam tu, aku macam ni.” Nada Alma sedikit ceria. Ketawa kecil dan seolah-olah tak kesah.

“Eh, tak kan dah berputus asa kut!” Marlisa mencelah dengan selamba. Yakin boleh mengusik apabila Alma tergelak kecil. Entah mengapa, dia suka pada Alma.

Keselambaan kakak iparnya itu barangkali mengikat hatinya. Tambah pula Adelea selalu menyogok cerita-cerita manis dan lucu saat mereka bersama. Barangkali kerana prinsip-prinsip Alma menarik hatinya.

Alma terdiam seketika. Macam berfikir pula. Kemudian dia geleng dengan pantas. Kata-kata semangat Kalsom terngiang-ngiang pula, ‘kalau masih ada rasa cinta, rebutlah kembali. Kau bukan aje kekasihnya tapi isterinya’.

“Aku tak putus asa. Seperti yang aku kata, kalau dia tak amnesia dah lama aku tinggalkan dia. Masalahnya dia amnesia. Jadi aku kena dapat keputusannya dalam keadaan dia dah normal, bukan tak betul macam tu, tak ingat apa-apa.” Ulasan Alma sedikit geram. Terbayang-bayang pelukan Raiyan ke pinggang perempuan tadi.

“Kalau dia tak amnesia, mungkin yang berlaku bukan macam ni. Mungkin lain yang tak diduga oleh kita. Mungkin kau makin susah nak tinggalkan Abang Ray. Hidup dengannya tapi merana seumur hidup. Kau digantung tak bertali, dia sedap-sedap berkepit dengan bini muda dia,” balas Marlisa. Teringat kuasa veto dan keangkuhan Nek Bondanya. Sedangkan mungkin abangnya cinta sangat pada Alma.

Mana mungkin Alma dan Raiyan senang-lenang walaupun tidak amnesia. Biarpun siapa Raiyan tapi dia kenal abangnya yang lembut hati kalau berbicara dengan Nek Bonda. Silap hari bulan, dipaksa cerai oleh Nek Bonda. Kalau tak cerai pun, pasti Alma dimadukan oleh Raiyan atas desakan Nek Bonda. Hah! Kalau Dilaila tak mahu, ada aje perempuan lain yang seribu kali sudinya.

“Apa-apa pun yang berlaku pasti ada sebab yang tersendiri. Barangkali memang balasan untuk kau. Reda, muhasabah aje la…” Adelea ambil jalan tengah. Separuh nasihat, separuh menyindir. Memujuk hati rusuh seorang sahabat.

Alma tidak terkata. Mahu sahaja dia berkata lantang, ‘kalau Ray kahwin lain, dia mesti ceraikan aku’. Tapi, Alma bimbang riak dan kesombongan hati serta kata-katanya terpalit semula ke mukanya. Mana tahu celopar mulutnya buat dia tak boleh lupa langsung pada Raiyan walaupun suaminya kahwin lain. Mana tahu kena minyak dagu! Selisihnya…

Eee…kawan-kawan aku ni… bukan nak bagi semangat. Cakap, menakutkan aku aje. Hati Alma mula mendongkol. Eh! Aku dah iktiraf dia kawan aku, ke? Alma jeling seketika pada Marlisa yang tenang memandu.

Kemudian dia memejam semula. Teringat pula ujaran Adelea. Dia menghambur keluhan. Memang ada sebab. Sebabnya, aku dapat tau siapa Ray sebenarnya, bisik Alma. Dalam geram ada rindunya. Dalam sakit hati, ada cinta bergumpal-gumpal di dadanya. Dia tahu sukar mahu mengusir rasa cintanya…

Sudahnya, cerita Raiyan tak hilang-hilang di kepala. Kisah mahu kahwin lain datang tanpa dipinta. Dia menggelisah pula. Mahu cakap besar, takut dikena balik pulak. Riak! Minta dihindari. Dia masih ingat riak adalah sifat setan, iblis, dajal dan seangkatannya.

Malah, dia juga masih ingat kata-kata ustazahnya, riak akan memusnahkan diri, riak akan menjauhkan diri dengan Allah, riak akan menghasut diri agar ingkar, riak akan menggelapkan hati, riak akan membuka jalan luas ke neraka, riak akan memisahkan diri dengan manusia dan riak akan membuat diri alpa! Subhanallah, jauhkan aku dari sifat riak.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/339692/Kan-Ku-Kejar-Cinta-Kamu

[REVIEW] Dia Perempuanku

Dia Perempuanku Oleh Fauziah Ashari

Ia mengisahkan Tuan Ardini yang berkahwin dengan Aazad Radi namun tanpa diduga, ibu Aazad tidak pernah setuju walaupun meraikan perkahwinan anak sulungnya dengan meriah.

Lima bulan usia perkahwinan mereka, rumah tangga mereka mula berantakan dek sikap Datin Sri Dafinah yang menggunakan sihir. Mereka bercerai demi keselamatan diri. Ardini ke Sepanyol dan tanpa diketahui sesiapa, Aazad menyusul lalu mereka rujuk di sana.

Selepas tujuh tahun dan perkahwinan mereka berlangsung secara jarak jauh kerana Ardini di Sepanyol, manakala Aazad di Malaysia, Ardini pulang ke Malaysia. Sepanjang perkahwinan jarak jauh ini, Aazad pernah berkahwin dengan Farha, pilihan Datin Sri Dafinah. Ardini mengetahui tentang perkahwinan tersebut namun dia dan Aazad tetap melayari rumah tangga mereka dengan bahagia tanpa gangguan sesiapa.

Ardini kembali setelah Farha meninggal dunia dan dia bekerja di anak syarikat gabungan syarikat keluarga Aazad dan tempatnya bekerja di Sepanyol.

Aazad dan Ardini bertemu secara rahsia. Datin Sri Dafinah gagal pengapakan Ardini kerana Ardini hebat sebagai pekerja yang mendapat projek untuk syarikat mereka. Namun, dia akan mendera suaminya yang lumpuh dek rasa sakit hatinya terhadap Ardini dan Aazad yang ingkar perintahnya tidak akan bertemu lagi.

Datin Sri Dafinah tetap berusaha untuk menjatuhkan Ardini tanpa dia ketahui Ardini adalah menantunya. Manakala Aazad pula sukar untuk meninggalkan keluarganya kerana dia satu-satunya anak yang mengambil berat akan abah mereka yang lumpuh. Dia tersepit, antara keselamatan Ardini dan abahnya dek onar ibunya.

Namun kesetiaan serta kepercayaan antara Ardini dan Aazad tetap utuh walaupun badai melanda rumah tangga mereka untuk kali kedua dan biarpun hidup mereka bagaikan ‘mistress’ dan ‘sugar daddy’ di mata khalayak.

***

AAZAD RADI : Dia perempuan yang aku kahwini. Dia juga perempuan yang aku cerai! Namun dia juga yang kucintai. Tidak akan aku lepaskan dia lagi, perempuanku yang bertakhta di hati.

“Saat berpisah, sudah abang catat di hati, bila bertemu nanti…akan abang hayati setiap saat.”

TUAN ARDINI : Aku jatuh cinta kerana dia lelaki baik yang sangat menyayangi keluarganya. Namun, sayang, dia terseksa memilih antara aku dan mamanya. Dan aku memilih untuk memudahkan hubungan kami. Jadilah kami seperti aku ini mistressnya dan dia sugar daddyku.

“I dalam penjara, rasa cinta juga dalam penjara. Penjara jiwa.”

SEJAUH manakah pasangan ini berjaya pertahankan kisah unik dan aneh mereka daripada cengkaman Datin Sri Dafinah yang psiko?


satu yang terlintas bila habis baca, cinta mampu buat manusia merana. tapi seperti yang puan penulis nyatakan dalam karya ini, kalau cinta hanya pada manusia semata, bila kecewa memang terus rasa derita. tapi kalau kerana Allah, pasti akan terubat jua bila dugaan datang melanda. haa… lebih kurang begitulah kupasannya. puan penulis, ayat-ayat puan dalam novel ini banyaknya yang menarik. sangat sedap dihadam.
datin sri dafinah. watak ini yang memegang hampir keseluruhan emosi cerita. bercerainya aazad dan ardini kerana dia. sihir yang dituju kepada ahli keluarga ardini sehingga menyebabkan kematian pun oleh dia. aazeen tiba-tiba naik tocang pun galakan dari dia. rafeek, aazid dan sadid pun hidup dalam huru hara pun atas sebab dia. fuh! seram sungguh watak psiko ni.

tuan ardini. watak yang sungguh kuat bagi akak. walaupun digambarkan daring, seksi, menggiurkan tapi akalnya bijak, ilmu dan pengalamannya dalam dunia perniagaan tidak boleh dipertikaikan. satu yang pasti, dia punya hati yang sangat tabah dan kuat. walaupun cemburu datang menendang berkali-kali buat ritma hatinya libang libu, tapi dia tetap bertahan. bertahan dengan segala tohmah fitnah. bertahan dengan segala umpat keji.
hanya kerana, sebuah perhubungan suci yang tercipta dari cinta yang luhur dari hati.

itulah kekuatan kisah ini. cinta pada kekasih. cinta pada suami. cinta pada isteri. cinta pada ibu bapa, pada anak dan walaupun kemudian baru penyesalan timbul dan teringat pada cinta Ilahi, tapi yang pasti tetap tidak terlewat untuk sujud dan mohon pengampunan dari-NYA dan berusaha menguatkan cinta pada-NYA.

suami isteri seharusnya saling melengkapi. saling menghormati. saling bertolak ansur dan jujur antara satu sama lain. setiap masalah pasti boleh bawa pada perbincangan.Kerana satu alasan yg sangat remeh, Ardini dibenci oleh ibu Aazad. Maka hubungan cinta Ardini dan Aazad penuh liku2 yg amat dahsyat. Sehingga ada nyawa yg menjadi galang ganti kegilaan dendam & trauma manusia yg jiwanya sakit.

Namun cinta mereka sangat unik. Penuh rahsia & penuh gelora jiwa serta rasa. Walau terpisah benua, cinta itu tetap setia. Demi melindungi sebuah status, mereka perlu berpura2. Biarpun seluruh dunia mencerca, Ardini rela.
Persoalannya, sampai bila? Mereka tidak dibenarkan bersatu sedangkan hela nafas mereka seiring & selagu. Mereka ingin menjadi seperti pasangan yg lainnya, tetapi jalan takdir mereka amat berbeza.

Sekeras manapun Aazad bertegas Ardini itu perempuannya, sehebat mana pun perancangan kisah cinta mereka, tanpa izin-Nya, segalanya hanya tinggal sebagai sebuah cerita. Ardini kekal mengharap, sedang Aazad kekal diperangkap.
Segala jalan menuju buntu, hubungan mereka tetap tidak beroleh restu malah maruah Ardini diperlakukan sehingga di hujung sepatu. Akhirnya mereka hanya mampu berserah kpd Yang Esa.

Kisah Tuan Ardini dan Aazad .Tadi… Permulaan cerita kita akan fikir Ardini perempuan simpanan pada Datuk Iman.. Tapi siapa sangka rupanya Datuk Iman adalah nama rekaan dan orang yg sama iaitu Aazad.. Berkahwin, bercerai dan rujuk semula secara rahsia.. Mereka melakukan apa saja demi kisah cinta mereka.. Banyak pengorbanan yg mereka tempuhi oleh kekejaman ibu Aazad , Si Datin Sri Dafinah…

Sampai akhir cerita… Saya tak tahu apa punca Datin Sri Dafinah benci sgt menantunya Ardini..
Dalam cerita ini penulis Fauziah Ashari nampak lebih berbeza penulisannya.. Sangat berani dan banyak sangat adegan dewasa nya.. Apa pun cerita ini memang menarik dan ada magnet utk teruskan bacaan hingga ke muka surat terakhir.

https://www.e-sentral.com/book/info/330249/dia-perempuanku