Sneak Peek – Terima Kasih, Luka

. . .

Aroma kopi yang berlegar, alunan muzik pop akustik lembut. Deru angin penyejuk udara. Serta suara perbualan antara pasangan pelanggan dari meja lain. Segala bunyi itu sepatutnya membangkitkan suasana nyaman dan ketenangan di dalam kafe.

Namun Poji masih juga berpeluh. Meskipun bukan gara-gara sedang kepanasan. Tengkuk dan belakang kepalanya basah dengan rembesan keringat dingin. Mungkin untuk meredakan hawa hatinya yang sedang tidak tenteram dengan suasana kafe ini.

Sangat sesuai sebagai lokasi berjanji temu. Bahkan terlalu sesuai sebenarnya! Pasti lebih daripada cukup untuk menimbulkan syak wasangka seseorang, seperti dia!

“Senyap betul awak hari ini,” tegur Rahayu. “Sayanglah dah datang jumpa saya dengan pakai baju segak, tapi tak cakap apa-apa.”

Tersentak Poji, bagai terserempak dengan Sang Kelembai yang kemudian menyumpah tubuhnya menjadi batu.

Ternyata benarlah tanggapan dia semalam!

Padanan tiga jenis pakaian; baju kemeja bercorak petak yang dibeli dari kedai FOS (sebab tidak jadi nak pinjam baju Karim), seluar hitam keratan muat padan, dan kasut kulit terpakai (disewa daripada Ijat), membuatkan penampilannya sangat bergaya!

Hati Poji berbunga. “Oh. Segak, ya? Terima kasih.”

Poji tidak lupa untuk ketawa, meskipun tersekat-sekat dan hambar. Selepas itu, dia menyesal setelah menyedari tawanya tidak berasaskan sebarang punca.

Untuk seketika, perbualan mereka sepi tanpa pertukaran bicara. Mata masing-masing melilau ke segenap arah selain memandang sesama sendiri.

“Poji, awak okey ke tak hari ini?” tanya Rahayu. Khuatir melihat perubahan sikap Poji hari ini. Tidak selamba dan tenang seperti biasa. Bahkan terlalu janggal dan berjaga-jaga.

Cepat-cepat Poji menggeleng. “Eh, saya okey, cuma … nervous ….”

Mana mungkin tidak gulana hati seorang teruna apabila pertama kali melihat, uhuk uhuk, gadis pujaan, uhuk uhuk, berada di depan mata dengan fesyen kontra daripada uniform kerja yang biasa dilihat Poji sehingga menawan pesona matanya.

Bertudung bawal putih krim, dengan padanan pakaian blaus labuh berwarna kuning serta seluar palazo coklat. Kombinasi warna yang menyerlahkan kematangan, dan dalam masa yang sama, kelembutan seorang Rahayu. Bahkan ini juga kali pertama Poji melihat Rahayu memakai kaca mata bulat!

Bonus berlipat kali ganda!

Kelopak mata badam Rahayu berkerdipan dua kali. “Nervous? Kenapa pula?”

“Eh, bukan! Err … sebenarnya saya nak cakap ….”

Suara Poji terputus. Kedua-dua tangan Poji menggeletar, habis hilang segala semangat dan aura gedebenya.

“Nak cakap ….” Awak comel lote.

Cepat sebut, Poji, cepat sebut dia sungguh cantik!

Namun bibirnya tergagap-gagap. Entah apa punca, sel otaknya tidak boleh berhubung. Padahal perkataan itu cuma perlu disebut empat suku kata saja.

“Awak nak cakap apa? Saya tak dengar.”

Tanpa dijangka, Rahayu dekatkan wajah ke hadapan, cuba hendak mendengar suara Poji dengan lebih jelas.

“Nak cakap … awak .…”

Sedikit lagi, Poji! Sedikit lagi! Tapi, aduh! Susah untuk dia bertenang. Sungguh Poji berharap yang kedengaran jelas itu bukan degupan jantung yang bunyinya seperti getaran dan bip bip bip ….

Oh, bukan. Itu bunyi mesin pembaz di meja.

Poji menghembus nafas panjang. Nasib baik. Tapi kenapa macam tidak kena untuk dia rasa begitu?

“Saya pergi ambil makanan kejap …,” kata Poji.

Lekas Poji bangun membawa pembaz ke kaunter, kemudian kembali semula ke meja sambil menatang dua dulang serentak — nasi goreng ayam panggang serta ais limau biru milik Poji di tangan kiri, piza itik bersama ice latte milik Rahayu di tangan kanan.

Melihat lagak Poji seperti pramusaji nasi padang, Rahayu bertepuk kagum sambil sempat mengusik, “Abe dah berapa lama kerja di sini?”

Poji yang masih berdebar dek tusukan panahan cinta sekadar membalas dengan senyuman kekok, sambil menyusun hidangan di tengah meja, kemudian meletakkan dulang di meja kosong berdekatan, sebelum kembali duduk semula di kerusinya dengan kepala yang berasap.

“Kita … makan dulu?” ajak Poji, sayup suaranya.

Tersengih Rahayu, seperti terhibur sakan melihat Poji terkebil-kebil tanpa punca. Dia mengangguk. “Boleh juga.”

Rahayu menarik sepotong piza itik. Sebelah tangan kosong menadah garisan keju yang hampir meleleh, namun sempat disuap hujung piza ke mulut.

“Sedap?” tanya Poji.

Rahayu mengangguk, bersungguh-sungguh. Mata berkilau seperti mutiara. “Mestilah sedap, lagi-lagi bila ada orang belanja.”

“Baguslah kalau begitu,” balas Poji, pendek.

Sudu nasi goreng dihalakan ke mulut dengan kelajuan suapan yang terkawal, dengan kunyahan perlahan namun senyap, kononnya hendak menampilkan betapa dia menjaga adab makan, terutamanya di hadapan orang selain keluarganya dan Ijat.

“Awak tak minum kopi?” tanya Rahayu.

Kunyahan Poji terhenti selepas kiraan tiga puluh. Dia menggeleng. “Saya tak boleh telanlah. Pahit leper. Macam mana awak boleh minum?”

“Pahit apanya, sudah cukup manislah ada susu. Americano lagi kelat.”

Americano?

“Kopi O.”

“Oh. Tapi kopi latte guna susu lembu biasa saja, kan? Bukan susu pekat.”

Aloh, awak ni.” Rahayu mendengus, geli hati. “Tekak Kelantan jati sungguh! Sekali-sekala belajarlah minum air yang tak manis. Lagi bagus untuk kesihatan apa?”

“Bukan apalah, saya dengar minum susu boleh cepat gemuk juga.”

Garis air latte di dalam straw Rahayu turun semula. Dia tolakkan gelas ke depan. “Hmm. Memang betul, sebab tu tak ramai perempuan sukakan awak.”

“Baguslah, mana mampu nak balas rasa suka kalau ramai sangat.”

Pandangan Poji kembali bertaut dengan Rahayu. Agak lama mereka saling berpandangan, sehinggalah tawa Rahayu tercetus, diikuti gelak Poji.

“Macam-macamlah jawapan awak,” kata Rahayu.

Sengih Poji masih mekar, sepertinya takkan menguncup.

Dalam diam lega kerana aliran perbualan mereka kembali rancak seperti biasa. Meskipun sekadar berbalas senda, bercakap tentang hal seharian yang biasa-biasa dan sederhana. Namun cukup membahagiakan, membuatkan hatinya berbunga-bunga dan tenang.

“Jadi, apa cerita pasal pelan B awak hari itu? Awak pun tak beritahu apa-apa lagi dengan saya,” kata Rahayu.

Poji tidak jadi mengangkat garpu yang dicucuk cebisan ayam.

“Oh, pasal tu ….”

Sekilas fikiran Poji didatangi beberapa tayangan imbasan kejadian pertengkaran malam tadi. Herdikan Karim, kemudian cemuhan Naura, dan kelibat kedua-duanya berjalan dengan keadaan tubuh mereka membelakangi Poji, berjalan masuk ke bilik tidur masing-masing.

Poji boleh faham kalau Karim yang marah.

Tapi kenapa Naura juga ikut bengang sama?

Jangan-jangan Naura marah sebab Poji tidak beritahu tentang perancangannya?

Macam logik. Si Naura itu nampak saja macam mudah membawa diri, tetapi mudah cenderung rasa sunyi. Hal ini membuatkan Poji rasa respons Naura tidak cukup menjelaskan keadaan sepenuhnya.

Tanpa sedar, cakap Poji terjeda dengan sendiri. Sehinggalah Poji terlihat Rahayu membisu sambil buat muka bingung menanti jawapannya, maka akhirnya Poji menyambung, “Saya ingat nak sambung tingkatan enam.”

“Oh, yakah?” balas Rahayu, seolah-olah kagum. “Okey juga. Pada saya, masuk akallah sedikit daripada awak pilih diploma yang bukan-bukan. Habis STPM nanti, sekurang-kurangnya awak dah boleh terus mohon ijazah.”

“Jauhnya fikir. Saya tak sempat nak rancang apa-apa lagi.”

“Eloklah mula dari sekarang. Alang-alang ada ruang, fikirlah masak-masak pasal perancangan masa depan.”

Poji sekadar tersenyum lemah.

Masa depan. Apalah yang hendak dirancangkan? Dia tidak tahu.

. . .

Baca selanjutnya di SINI

Penulis: Hasif Rayyan
Penerbit: Iman Publications