Hari sudah semakin gelap, namun orang masih keluar-masuk kedai-kedai dan pusat membeli-belah itu sambil membawa barang rompakan mereka, seperti lalat yang hinggap dan pergi di atas selonggok bantal. Herwin dan Aloysius duduk di pinggir jalan menyaksikan pelbagai jenis manusia datang, mengaut seberapa banyak barang yang mereka boleh bawa, pergi dan kemudian datang lagi. Sambil itu sesekali mereka tertawa mengingat peristiwa dipukul curi secara tiba-tiba tadi. Herwin juga sempat tertidur untuk beberapa ketika di pinggir jalan itu. Dia hanya terjaga bila Aloysius mengejutnya akibat kelaparan.
Herwin duduk dan membersih-bersihkan tanah, rumput dan kotoran pada bajunya. Rambutnya yang kusut-masai disikat dengan jari. Dia langsung tidak peduli pada keadaan tubuhnya yang sakit-sakit.
“Kau lapar tak? Aku lapar,” ujarnya, seperti dapat membaca fikiran Aloysius. “Aku teringin makan benda-benda yang tak pernah aku makan, macam marshmallow panggang, atau daging rusa panggang. Kau ada nak makan sesuatu tak? Maksud aku, yang belum pernah kau makan.”
Aloysius mengangkat bahu. Mereka kemudian bangun dan mula berjalan di sekitar bulatan patung Selamat Datang itu.
“Mereka masih di situ,” kata Herwin sambil menuding ke arah anggota pasukan keselamatan yang berkawal walaupun jumlah peserta demonstrasi semakin berkurangan. Yang ada pun cuma duduk-duduk dengan wajah keletihan tetapi masih berusaha untuk tampil berani. Mungkin sebahagiannya sudah pulang sambil membawa barang rompakan mereka tadi atau masih sibuk merompak di dalam.
Aloysius mengajak Herwin ke sebuah warung tidak jauh dari situ. Ada beberapa warung lain yang tutup di sebelahnya, namun warung itu masih buka walaupun tiada pengunjung.
“Ada duit?” soal Aloysius.
Herwin menyeluk sakunya dan mengeluarkan sejumlah wang. Aloysius mengangguk dan mengajak Herwin masuk ke warung yang menjual nasi goreng itu. Yang ada cuma tukang masaknya yang sedang duduk di hadapan sebuah TV kecil sambil menonton berita.
Di kaca TV, presiden sedang berucap sambil membaca dari kertas yang dipegangnya. Di sudut kanan kaca TV tercatat perkataan LIVE menandakan siaran itu adalah siaran langsung. Dalam ucapannya, presiden meminta maaf sebelum mengesahkan yang memang ada asteroid yang sedang menuju ke bumi. Katanya, dia tidak perlu menjelaskan lebih panjang lebar kerana maklumat terperinci berkaitan dengannya akan dijelaskan oleh seorang pakar astronomi negara selepas ini. Dan pada saat ini, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh negara melainkan bekerjasama dengan pihak luar kerana pihak negara sendiri tidak mempunyai teknologi untuk menyelesaikan masalah ini.
“Ini bukan masalah satu negara saja,” ujarnya dengan wajah serius. “Ini adalah masalah dunia dan bersangkut-paut dengan keselamatan penduduk dunia secara keseluruhan.”
Kata beliau lagi, dia sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara yang lain – alasan kenapa dia tidak membuat sebarang kenyataan sejak seminggu yang lalu. Dan maklumat berkaitan perbincangan yang telah dilakukan belum boleh disebarkan, selain daripada mengesahkan bahawa kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Untuk sementara waktu, rakyat harus bertenang dan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan atau merugikan orang lain tetapi kembali menjalani kehidupan seharian seperti biasa dan terus berdoa. Dan ucapannya diakhiri dengan seruan agar hubungan kekeluargaan terus dieratkan dalam masa-masa sukar sebegini.
“Dia masih di bumi. Aku ingat dia dah dah pindah ke planet lain,” simpul Herwin.
Aloysius memanggil pemilik gerai, mahu memesan makanan. Namun perempuan separuh umur itu menggeleng, mengeluarkan wang dari laci mejanya dan terus beredar tanpa kata. Aloysius memanggil-manggilnya tetapi tidak ada respons. Mereka berdua ditinggalkan di warung yang sudah kosong itu.
Herwin dan Aloysius saling berpandangan. “Nampaknya kita kena masak sendiri,” ujar Herwin sambil tersengih.
“Biar aku yang masak,” tawar Aloysius. Dia kemudian memasak nasi goreng yang rasanya terlebih garam. Tetapi kerana deraan perut lapar, kedua-duanya menghabiskan nasi tanpa banyak soal.
Lampu-lampu jalan sudah dinyalakan bila mereka selesai makan dan kembali ke bulatan patung Selamat Datang. Suasana semakin lengang. Para polis dan tentera sudah duduk berehat, tidak lagi di posisi siaga. Para demonstran juga sudah tidak lagi melaung-laung, hanya duduk sambil berbual-bual sesama sendiri. Ada yang sudah tidur di pinggir jalan.
Aloysius mendekati salah seorang peserta demonstrasi itu, seorang pemuda awal 20-an yang sedang duduk bersama rakan-rakannya. “Jadi sekarang kita nak buat apa?”
Pemuda itu mengangkat bahu. “Balik rumahlah.”
Memang benar, di sekeliling mereka ramai yang sedang berjalan ke arah lori-lori dan bas-bas yang tadinya membawa begitu ramai orang.
“Kau orang dah dengar berita terbaru?” soal Herwin pula.
Mereka mengangguk. “Dengar dari radio,” jawab salah seorang. “Sekarang baru nak buat kenyataan,” rungutnya lagi.
Lalu mereka diam.
“Tapi, betul katanya. Kita jangan panik. Mungkin mereka sedang mencuba mengatasinya. Negara-negara maju kan hebat-hebat.”
“Ah, bullshit semua tu. Kau jangan percaya,” sanggah Herwin yang kemudian disiku Aloysius. “Meteornya makin dekat. Aku nampak dalam mimpi aku, kita semua akan musnah seperti anai-anai yang dibakar busutnya.”
Aloysius segera menarik Herwin jauh dari situ, meninggalkan kumpulan pemuda yang kelihatan tercengang mendengar kata-katanya. “Apa?” soal Herwin bila mereka sudah jauh sedikit dari kumpulan itu.
“Tutup mulut kau,” ujar Aloysius.
“Aku tidak mahu menutup mulutku. Mulutku punya pemikirannya tersendiri. Aku tidak boleh menghalanginya. Mulutku mengatakan perkara yang benar.”
“Walaupun benar, tidak semuanya perlu dikatakan,” ujar Aloysius.
“Tengok langit kalau masih ragu.” Herwin menghentikan langkahnya, memaksa Aloysius menurutinya.
“Lihat! Lihat! Lihat tu!” tunjuk Herwin ke angkasa. Aloysius enggan mendongak. Jadi Herwin memegang dagunya dan memaksa dia mendongak. Untuk seketika Aloysius diserang kemarahan, namun ledakan emosinya terhenti saat melihat sebutir bintang yang bersinar lebih terang daripada bintang-bintang yang lain. Bentuknya bulat seperti mutiara, saiznya dua kali ganda lebih besar daripada planet Musytari atau Zuhal pada jarak yang paling hampir dengan bumi.
“Tengok tu, dah makin dekat, kan?” ujar Herwin mengulang lagi, suaranya semakin kuat.
Kemudian orang sekeliling mula mendongak-dongak ke langit. Dalam kegelapan langit malam, bintang itu kelihatan semakin terang dan besar, seperti semakin menghampiri bumi. Suara orang berbisik-bisik mula kedengaran, menjalar dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain.
“Tu… tengok tu… makin besar…”
“Ya… makin besar…”
“Mana? Mana? Oh… yang itu…”
Kemudian suasana menjadi hening. Timbul kekaguman bercampur ketakutkan. Mungkin itu reaksi normal ketika berhadapan sesuatu yang mungkin akan membunuh mereka. Malah para anggota keselamatan juga leka memerhatikan bintang yang bersinar terang pada langit yang gelap tidak berawan itu.
Beberapa minit kemudian, kedengaran enjin lori pertama dihidupkan. Peserta demonstrasi mula beredar. Ada yang menaiki lori dan ada yang menaiki bas. Kesemuanya seperti tergesa-gesa, seperti ada sesuatu yang mereka kejarkan. Anggota keselamatan juga mula beredar. Hanya tinggal beberapa lagi yang masih bertahan di situ, entah untuk apa.
Herwin mula kebingungan. Dia dan Aloysius berusaha mencari lori yang mereka tumpangi tadi tetapi tidak bertemu. Tiada wajah yang akrab atau pernah dilihat sebelum ini. Bila ada seorang lelaki memanggil mereka berdua dan bertanya, “Nak ikut tak?”, dia menggeleng-geleng ketakutan sebelum mengajak Aloysius pergi dari situ.
“Seram, bila orang yang tak dikenali ajak ikut dia,” terangnya pada Aloysius.
Mereka kembali ke bulatan patung Selamat Datang. Mereka memilih untuk duduk di kaki lima rumah kedai bersama beberapa orang yang sudah ketinggalan lori atau bas tumpangan mereka, atau mereka yang tidak mahu pulang. Duduk berbual-bual, berbaring dan akhirnya tertidur.
****
Langit berwarna hijau lembut pada keesokan paginya. Langit tak pernah berwarna hijau sebelumnya. Tak ada arakan awan sama sekali.
Ada sedikit kekecohan dalam kalangan rombongan itu. Lady Bazooka pergi menyiasat sebelum kembali bersama berita bahawa pemimpin rombongan itu sudah menghilangkan diri. Pergi begitu sahaja. Entah ke mana. Tidak ada yang melihatnya sejak semalam. Ahli rombongan begitu sedih. Malah ada yang menangis.
“Dia adalah nabi kita. Selama ini kita berjalan di belakangnya. Mengikuti dia.”
Lady Bazooka menyampaikan khabar itu pada Herwin, namun pemuda itu kelihatan tenang.
“Tak apalah. Lagipun kita dah tak ada masa. Jom kita jalan. Sekejap lagi langit akan berubah warna ungu.”
Mereka berlima mendaki sebuah bukit kecil tidak jauh dari ladang tempat mereka berkhemah semalam. Herwin mengajak mereka duduk di situ. Mereka duduk berbaris sambil memandang langit yang berwarna hijau redup.
“Semalam aku bermimpi,” kata Herwin. Namun kemudian tekaknya terasa begitu kering. Perit sekali. Sukar untuk menceritakannya. Di dalam mimpi itu dia diberitahu bahawa dia dari koloni bulan. Orang yang terpilih. Seseorang yang diberi kebebasan dalam hidupnya dan boleh melakukan apa saja yang diingininya. Dia merasa takut. Takut pada maklumat itu dan takut pada dirinya sendiri.
“Kau tak mahu melawat kubur orang tuamu?” soal Herwin pada Lady Bazooka yang duduk di sebelah kirinya.
Lady Bazooka menggeleng. “Aku tak mahu melawat sesiapa.”
“Kau tak mahu melawat aku?” soal Herwin lagi.
“Tapi kau ada di sini.”
“Tapi kalau aku jauh, kau mesti akan melawat aku, kan?”
Lady Bazooka sekadar mengangguk. Matanya sudah digenangi air.
“Aku pun akan mengunjungi kau. Kita akan bertemu di tengah jalan,” tambah Herwin. “Tapi aku akan melihat kau dulu sebab badanmu besar seperti dinosaur…”
Lady Bazooka tertawa. Air matanya sudah mula menitis.
Herwin kemudian menoleh ke arah Aloysius di sebelah kanannya. Tubuh itu dipeluk sebelum pelukannya dibalas. Empat saat berlalu. Pelukan yang sangat hangat. Herwin lalu melepaskannya.
“Aku mahu melihat matamu,” pinta Herwin.
Aloysius mendekatkan wajahnya pada Herwin agar lelaki itu dapat melihatnya dengan jelas.
“Aku masih boleh melihat bintang-bintang di matamu,” bisik Herwin perlahan.
Aloysius tersenyum sebelum mengangguk. Dia memegang kedua-dua belah bahu Herwin sebelum mengucup dahinya.
Herwin mengeluarkan bunga edelweiss yang disimpannya di dalam saku jaketnya dan menyerahkannya pada Aloysius. “Berikan pada ibumu.”
Aloysius menyambutnya. Dia kemudian menoleh ke belah kanannya. Disambut dengan wajah Dona yang sudah dibasahi air mata. Aloysius menyerahkan bunga itu ke tangannya sebelum mereka berpelukan. Dona menangis teresak-esak di dalam pelukan Aloysius. Mereka disakiti dan dikecewakan, namun kini sudah lega dan tidak lagi menyesal. Aloysius ingin memanggil Dona sebagaimana seorang anak memanggil wanita yang telah melahirkannya, sepertimana yang selalu dilakukannya dulu. Dia berharap dosanya akan diampunkan, sebagai seorang yang pernah meninggalkan rumah dan tidak berniat untuk kembali. Jauh di sudut hati dia tahu yang ibunya sangat mengasihinya, dan akan tetap mengasihinya sampai bila-bila.
Dona menangis semahu-mahunya. Dia bersyukur diberi kesempatan itu. Saat melihat Herwin dan Aloysius di puncak gunung itu, hatinya berdebar-debar. Perasaan bercampur-baur antara bingung dan gembira. Dia ingin mati tetapi masih juga ingin menikmati sisa hidup dengan anaknya. Untuk seketika dia membiarkan Benson memburunya dan melepaskan hidupnya pada takdir. Namun di dalam belon udara panas itu, dia merasa dia harus bertahan demi anaknya. Sehingga dia merayu agar Benson menangguhkan tugasnya.
Namun sekarang Benson sudah boleh melakukannya.
Dalam dua saat, langit berubah warna menjadi ungu muda, kemudian ungu tua. Kemudian seperti ada bebola besar yang tiba-tiba menjenguk melalui awan. Rasanya begitu dekat seperti dapat disentuh. Sangat sunyi. Angin seakan terhenti. Mereka hanya memandang dengan takjub. Dona menoleh ke arah Benson kemudian mengangguk. Benson menatapnya seketika dengan tatapan penuh cinta sebelum mengarahkan senjata pada jantung kekasihnya. Dia memejamkan mata. Dona memejamkan mata. Aloysius memejamkan mata.
Herwin dan Lady Bazooka berpelukan erat ketika angin tiba-tiba menjadi sangat kencang dan asteroid itu menonjolkan kepalanya melewati atmosfera bumi.
“Maaf,” bisik Lady Bazooka.
Herwin menggeleng. Dia tidak mahu mendengar ucapan itu.
“Maaf kerana aku tak dapat memberi apa yang kau mahu…” bisiknya lagi sambil teresak-esak.
“Inilah yang aku mahu… keluargaku sudah lengkap.”
Yang tidak diceritakan Herwin pada sesiapa di dalam mimpinya malam tadi adalah dia telah mendapatkan epifania. Dia bermimpi tentang orang-orang yang tersenyum bersamanya. Lady Bazooka dengan rambut palsu dan sepatu tumit tingginya adalah ibunya. Aloysius yang pendiam itu adalah abangnya. Dona yang kurus itu adalah makciknya. Benson yang penuh misteri itu adalah pakciknya. Dan Samuel yang mati tragis itu adalah ayahnya. Dia memiliki keluarga yang sempurna. Keluarga yang tidak dimiliki orang lain. Dan di dalam momen kesedaran sejenaknya itu dia dapat menyimpulkan, keluarga bukanlah sesuatu yang dilahirkan dari pertalian darah, tetapi orang yang kau temui dalam suatu perjalanan yang akan berusaha untuk terus bersamamu di sepanjang perjalanan itu.
Kemudian yang mereka rasakan adalah cahaya terang yang membutakan mata dan panas menyakitkan yang seketika. Dan semuanya berakhir.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96086/sunyi