[SNEAK PEEK] SUAMIKU MR. BLIND

SUAMIKU MR. BLIND Oleh Danisyarahmat

MENGENAI masalah yang dihadapi cucu pak cik, kami dah cuba sedaya upaya. Pak cik perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.” Doktor pakar mata yang bernama Farah itu lembut berbicara.

Haji Darus hanya diam membisu. Tidak tahu bagaimana hendak diterangkan kepada anak dan menantunya kelak. Tak sampai setengah tahun Aidil Zafran bersekolah di sini sudah begini nasibnya. Gerangan yang menganiaya cucunya itu pun dia tidak tahu. Puas ditanya empunya badan siapa punya angkara, jawabnya tidak tahu. Kusut fikirannya.

Tambah lagi, doktor itu mengatakan yang cucunya sudah tiada harapan hendak sembuh. Matanya rosak teruk. Hendak tak hendak, dia kena terima kenyataan yang Aidil Zafran akan kekal buta untuk seumur hidupnya kecuali jika ada insan sudi mendermakan mata.

“Doktor, tak dak cara lain ka? Kesian cucu pak cik… Dia muda lagi. Sekolahnya macam mana?” Soalan itu pula yang diulang-ulang tanya kepada Doktor Farah walaupun puas sudah doktor itu menyatakan bahawa Aidil Zafran sudah tiada peluang lagi.

“Macam ni la, pak cik. Saya keluarkan surat mengenai laporan mata Aidil Zafran. Lepas tu pak cik bawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terdekat. Mereka tahu macam mana nak tolong. Pasal sekolah, pak cik tak perlu risau. Di Kedah ini pun ada sekolah yang sesuai untuk cucu pak cik. Nanti saya bagi nombor telefon St. Nicholas Home di Penang. Pak cik boleh dapat semua maklumat berkaitan OKU penglihatan ini daripada mereka,” terang Doktor Farah lembut. Mendengar penerangan doktor pakar itu, Haji Darus berasa lega. Tahulah dia macam mana untuk selesaikan masalah persekolahan Aidil Zafran.

AIDIL ZAFRAN masih lagi lemah. Matanya berbalut tebal. Dunianya kelam. Gelap gelita. Dia jadi takut. Bagaimana jika seumur hidupnya dia akan hidup dalam kegelapan? Katakata budak skema itu seakan-akan terdengar di pelupuk telinganya. Seperti sedang ketawa mengejek.

“Kalau kau buta lagi bagus. Tak adalah nak menyemak buat masalah di sekolah lagi.” Dia menekup telinga dengan kedua-dua belah tapak tangan. Tapi suara itu makin galak didengarinya.

“Aidil… Aidil… Ini tok wan, Aidil.” Suara garau datuknya lembut menyapa gegendang telinganya. Dia menggagau mencari tubuh tua datuknya. Orang tua itu pantas memegang tangannya.

“Aidil, lagu mana? Sakit lagi?” Aidil Zafran pantas menggeleng. Kesakitan petang tadi yang terasa seperti membakar biji matanya sudah tiada lagi. Sebaliknya matanya terasa sejuk. Dia berasa lega sekali.

“Tok wan, mama dan abah dah sampai?” soalnya pula.

“Tok wan dah tepon. Malam ni kut depa sampai. Kolumpuq nun bukan dekat. Kalau bertolak petang tadi, malam la kut nak sampainya.” Haji Darus bersuara lembut.

Tumpah rasa kasih kepada cucunya. Mula-mula dulu dia memang cukup bertegas dengan Aidil Zafran. Tujuan cucunya dihantar bersekolah di sini juga atas permintaan anak dan menantunya. Sikap nakal dan tidak berdisiplin cucunya itu sukar dikawal. Jadi, Aidil Zafran diletakkan di bawah jagaannya supaya kelakuannya dapat dibentuk. Namun sekarang, begini pula jadinya. Apa yang hendak dijawab jika anak dan menantunya bertanya?

“Aidil, tok wan nak tanya lagi sekali. Sapa yang buat naya kat Aidil ni? Kita tak boleh biaq dia lagu tu ja,” desak Haji Darus.

Aidil Zafran hanya diam membisu. Perlukah dia terangkan perkara sebenar? Sekarang dunianya sudah gelap. Berita yang disampaikan oleh doktor yang merawatnya tadi pun masih belum dapat diterimanya lagi. Dia masih mengharapkan agar kata-kata doktor itu hanya satu pembohongan. Tapi kalau betul macam mana? Dia buntu memikirkan cara untuk mengharungi dunia ini dalam kegelapan. Dia tidak mahu satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah itu ditarik balik.

“Aidil tak tau, tok wan. Jangan desak Aidil lagi.” Dia mengharapkan agar datuknya tidak mengulangi lagi persoalan itu.

Mungkin ini balasan daripada Allah kerana dosa-dosanya yang lalu. Dia lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. Dia lalai menggunakan nikmat yang diberikan oleh Allah ini untuk membuat kebaikan. Sebaliknya dengan mata ini dia melihat banyak perkara-perkara yang mungkar. Dunianya sudah pasti gelap. Tidak perlu dia menggelapkan masa depan budak skema itu pula. Biarlah dia merahsiakan siapa punya angkara sehingga akhir nafasnya nanti.

“Assalamualaikum, tok,” sapa satu suara mencecah gegendang telinga Aidil Zafran. Dia berkalih wajah mencari pemilik suara itu. Apa yang pasti, itu bukan milik abahnya.

“Waalaikumussalam. Eh… Mail, Ainon. Terima kasihlah mai tengok Aidil ni,” balas Haji Darus. Aidil Zafran hanya mendengar suara-suara yang bercakap dengan datuknya. Dia tidak pasti siapa gerangan Ismail dan Ainon itu, kerana selama dia tinggal bersama datuknya dia tidak pernah ambil tahu hal ehwal orang kampung yang berurusan dengan datuknya.

“Aidil sihat, ka?” Suara lembut Puan Ainon menyapa telinganya. Aidil Zafran hanya mengangguk. Moodnya benar-benar hilang. Dia sudah hilang rasa hendak berbual. Sebaliknya dia hanya melayan rasa sedih yang bertandang dalam hati.

“Aidil, ini Encik Ismail dan Puan Ainon. Depa ni mak ayah Ain Syuhada. Aidil kenai kut? Anak dia satu sekolah dengan Aidil,” terang Haji Darus mengenai tetamu yang melawatnya petang itu. Aidil Zafran sedikit terkejut apabila nama Ain Syuhada disebut oleh datuknya.

“Ain Syuhada budak tingkatan dua ke? Pengawas sekolah tu?” soal Aidil Zafran, inginkan kepastian.

“Hah, betullah tu. Hang kenai ka dengan anak pak cik tu?” Kali ini Encik Ismail pula menyoal Aidil Zafran.

“Kenal gitu-gitu aje, pak cik. Tau nama dia aje. Orangnya saya tak pernah jumpa.” Aidil Zafran berbohong.

Sebenarnya dia cuba menyembunyikan rasa sakit dalam hati. Nama itu bukan setakat melekat dalam hatinya, malah tuan empunya badan itu mempunyai hutang yang amat besar kepada dirinya. Kalau jadi hamba tebusan buat seumur hidup pun masih tak akan mampu melunaskan hutang yang dibuatnya itu.

“Aidil!” Suara lembut wanita yang selalu didengari semenjak kecil itu membuatkan dia menjadi rindu. Tangan lembut itu mengusap pipinya. Lalu badannya dirangkul dengan kemas. Tumpah air mata membasahi bahunya.

“Mama… Abah…” Aidil Zafran terkejut menerima kedatangan kedua-dua ibu bapanya yang tidak disangka-sangka. Dia menjangkakan malam nanti baru mereka sampai dari Kuala Lumpur.

“Aidil, siapa yang buat kamu macam ni, nak?” soal Tuan Mustafa tidak puas hati.

“Aidil tak tahu, abah.” Aidil Zafran masih lagi berbohong. Dia tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Biar masa dan keadaan yang menentukan balasan buat budak skema itu.

“Cepatnya hangpa sampai? Ayah ingat malam nanti kut baru sampai.” Haji Darus bersuara memecahkan suasana kepiluan yang melanda Wad Optalmologi kelas satu itu.

“Kami naik kapal terbang, ayah. Dari airport Alor Setar terus ke sini dengan teksi,” terang Tuan Mustafa. Haji Darus mengangguk tanda faham.

AIN SYUHADA masih berdiri di depan pintu rumahnya. Sudah puas dia melihat ke jalan mini tar yang menghadap pintu pagar rumahnya. Kereta Proton Saga merah milik ayahnya masih juga belum muncul. Hatinya sudah tidak sabar hendak mengetahui khabar Aidil Zafran. Dia gelisah, takut pun ada jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Aidil Zafran. Paling takut jika Aidil Zafran benar-benar buta. Kalau dia sanggup jadi hamba tebusan seumur hidup untuk membayar apa yang telah dilakukan kepada Aidil Zafran pun, masih tak akan mampu melunaskan hutangnya itu.

Dia meraup kedua-dua belah tapak tangan ke wajahnya sambil beristighfar. Jauh sangat rasanya dia melalut memikirkan yang bukan-bukan.

“Hai, kak. Termenung apanya?” sergah Muaz dari belakang membuatkan Ain Syuhada melompat terkejut.

“Mak hang terkejut… Hesy… Nasib baik tak dak sakit jantung. Hang ni pun… tak reti bagi salam, ka?” bebel Ain Syuhada sambil mencubit pipi adik bongsunya.

“Kak ni yang kuat berangan. Penat dah adik bagi salam. Naik lenguh mulut. Kak dok ralit buat tak tau. Ingat mata ayaq, ka?” tebak Muaz sambil mengenyitkan mata.

“Banyak la hang punya mata ayaq. Orang, kalau masuk dalam rumah ikut pintu depan, yang hang masuk ikut pintu belakang pasai apa?”

“Adik memanglah nak masuk pintu depan, tapi kak dok kawat depan pintu serupa bodyguard. Dah bagi salam pun buat dak ja… Adik pi masuk ikut pintu belakang la,” jawab Muaz panjang lebar sambil menarik muka masam.

Ain Syuhada menggaru kepalanya yang tidak gatal. Betul ke asyiknya dia berangan sampai Muaz bagi salam pun dia tidak perasan? Akhirnya dia menjongketkan bahu tanda malas untuk berfikir lagi. Muaz sudah mula menapak untuk keluar.

“Weh… Hang nak pi mana pula? Baru balik dari mengaji, nak keluar pi melewaq (merayau) pula.” Ain Syuhada menyambung bebelannya lagi.

“Orang tak pi manalah. Ni nak pi bagi ayam itik mak makan. Kak bukan tak tau. Satni mak balik, maunya dia memetir siap guruh kilat lagi. Sayang ayam itik lebih daripada anak lagi.” Kali ini Muaz pula membebel tidak puas hati.

“Baguih hang, noh? Kak baru nak sampai pesan mak. Hang dah tau, tak payah suruh. Ada pula pi kata macam tu kat mak? Sapa yang suka dok makan ayam itik tu? Hang juga… Eloklah kerja bagi makan ayam itik ni kat hang.”

“Kak ni pun samalah macam mak. Memetir aje kerja. Macam Puan Ainon juga,” balas Muaz sambil menyarung selipar untuk menuju ke reban ayam dan itik yang terletak di belakang rumah.

“Hang perlilah. Nanti kak repot kat Puan Ainon baru hang tau,” ugut Ain Syuhada sambil tayang giginya yang tersusun cantik.

“Repotlah, adik tak takut!” laung Muaz sambil menjinjing besen yang berisi makanan ayam dan itik.

Dari kejauhan Ain Syuhada sudah nampak kelibat Proton Saga Merah bergerak perlahan memasuki pekarangan rumahnya. Senyum Ain Syuhada semakin melebar. Tak sabar rasanya hendak mengetahui khabar Aidil Zafran.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90603/suamiku-mr-blind