Prolog
Berapa lamakah dia mahu berapungan? Nora tidak pasti. Apa yang dia tahu, dia kini berada di sebuah tebing yang dipagari lautan ganas yang membuakkan ombak-ombak yang tidak henti-henti menghempas batuan di bawah tebing. Namun, itu tidak menarik perhatiannya.
Nora hanya mahu tahu mengapa lelaki yang hanya bercelana tidak berbaju itu berapungan di udara. Kerana itulah dia turut duduk bersimpuh di hamparan batu-batu yang sedikit sahaja ditumbuhi rumput- rumput dingin dengan bayu laut yang menerpa tanpa henti.
“Siapa kau?” tanyanya. Namun tidak berjawab. Mana mungkin suaranya yang tidak begitu terbentuk konsonan dan vokalnya itu akan menyinggah telinga lelaki misteri itu. Tambahan pula, ribut yang ganas itu telah menenggelamkan suaranya dengan deru-deru angin.
Matanya menyinggah di setiap inci tubuh kekar lelaki misteri itu. Dengan tangan yang didepakan, berserta rambut panjang mengurai menutup wajah, dia umpama satu kewujudan yang bukan manusia. Walau begitu deras sekalipun angin ribut yang menerpa, dia tetap berapungan statik di atas permukaan laut, melangkaui tebing yang barangkali mencecah lapan puluh hasta tingginya. Kekuatannya luar biasa. Nora masih tidak memahami mengapa dia berada dalam dunia aneh itu, tanpa ditemani sesiapa pun melainkan lelaki aneh yang berapungan tersebut.
“Temanilah aku, Nora.” Suaranya terlontar kuat menenggelamkan ribut dan ombak ganas. Bergetaran jiwa Nora mendengar suara yang begitu lantang tersebut. Terasa seolah setiap otot dan tulang-temulang yang menyanggah jasadnya akan roboh di situ juga.
“Aku tak nak. Lepaskan aku. Aku nak balik,” balas Nora, kecil sahaja suaranya.
“Kau tak ada tempat di luar sana. Tempat kau di sini. Kau adalah beban kepada mereka. Lepaskan mereka pergi!” Kali ini suaranya umpama guruh dan Nora menekup kedua-dua belah telinganya dek khuatir gegendang telinganya akan dimudaratkan.
“Nyah kau dari sini!” teriak Nora.
Dia tak suka didesak sebegitu. Perasaan ingin tahu yang menerjah tadi langsung lenyap. Dia hanya mahu kembali ke tempat yang diketahuinya. Dia bencikan tebing itu, angin ribut itu dan juga imej lelaki yang berapungan itu. Adunan landskap sebegitu sudah menjadi satu imej ketakutan yang mahu ditepis jauh- jauh ke dalam lipatan memori tanpa mahu dibuka lagi.
“Pergi! Pergi!” teriaknya berulang kali. Pandangannya bertukar gelap. Dunia itu lenyap semerta. Namun, untuk berapa lama? Nora tidak pasti
1: Tabloid
Bunyi gerabak membelah rel landasan tidak pernah menenangkan. Syukri tahu dia tiada pilihan melainkan mendengar bunyi gerabak berselisih dengan rel-rel yang bersimpangan itu saban hari. Dengan tablet di tangan dia meneliti paparan demi paparan isu dunia semasa. Sambil-sambil itu, dia mencicip minuman dalam tin yang dibelinya sebelum menaiki gerabak. Mocha itu sudah tidak enak membasahi bibir dan lidahnya. Ia tepu dan hambar benar rasanya.
PETRONAS kian mengecil ekuitinya dalam pasaran minyak antarabangsa yang merudum. Penutupan Pelabuhan Klang secara berkala telah diumumkan akibat kegiatan lanun di Selat Melaka dan juga akibat pembukaan terusan yang menghubungkan Laut Andaman dengan Laut China Selatan, hasil kerjasama antara China dan juga Thailand. MRT Corps pula telah membuka laluan baru ke Bandar Diraja Klang dari Shah Alam.
Sekurang-kurangnya, MRT Corps telah berkembang pesat dalam kemerosotan ekonomi yang kelihatan semakin tidak punya harapan. Sekurang- kurangnya, 1MDB yang dikatakan bermasalah sejak berdekad lalu itu telah berjaya menyalurkan peruntukan pembangunan yang diuar-uarkan itu ke dalam sistem pengangkutan awam. Namun, Syukri tidak yakin situasi akan berubah lebih baik kepada mereka yang berada dalam kelompok marhaen. Ia tidak memadai.
Sekali lagi paparan digital tabloid ditatap. Beberapa konsesi lebuh raya telah diserahkan pengurusannya kepada beberapa konglomerat dari China. Ah, hari ini penuh dengan tamparan demi tamparan besar kepada orang-orang kebanyakan sepertinya. Adakah ini menandakan negara Malaysia akan dijajah secara ekonomi? Syukri menutup paparan digital tabloid. Dia harus merencana perubahan-perubahan drastik yang akan menyusul tidak lama lagi.
Setiap satu dari berita buruk itu seolah mimpi ngeri bagi mereka yang memahami. Kesannya ke atas ekonomi negara amat jelas. Pembelian aset Tenaga Nasional Berhad oleh konglomerat-konglomerat China dan Amerika Syarikat telah meningkatkan keberkesanan sistem bekalan elektrik ke seluruh negara. Bagaimana pula dengan kesan sampingannya ke atas marhaen?
Syukri skeptikal dengan semua itu. Di dalam gerabak MRT yang menghubungkan Sri Kembangan dengan Sri Damansara dia menggeleng kepala. Segala-gala ini patut sudah dijangka lama. Apa yang kerajaan sudah buat? Itu difikirnya tanpa henti.
Surat pemberhentian kerja dikeluarkan dari beg hitam yang digalasnya lalu direnung lama. Kerjaya selaku auditor ISO (International Standard Organisation) tidak pernah disukainya. Pemberhentian kerja itu melegakan hatinya, tetapi dalam masa yang sama menggusarkan dompetnya. Peluang kerjaya sukar didapati pada masa kini, tambahan pula dia ada komitmen-komitmen yang perlu dijaga.
Terkenang adiknya, Fateha dan juga Nora di kampung halaman. Bagaimana dia mahu menanggung kehidupan mereka lagi? Seraya itu jugalah ingatannya menerawang ke wajah-wajah kanak-kanak gelandangan yang kerap ditemuinya semasa sesi pengagihan makanan di malam-malam lengang. Wajah-wajah mereka silih berganti dan mereka itu nyata memerlukan kehadirannya. Mereka perlukan wang yang banyak, pendidikan yang bagus dan juga tempat kediaman yang selesa.
Memikirkan mereka sahaja cukup membuatkan hatinya dipagut kesedihan. Ke mana perginya hartawan-hartawan yang melata mencanang derma- derma berjuta-juta tadi? Ia seolah satu wayang yang menyakitkan jiwa. Gelandangan kian meningkat jumlahnya dan media massa pula seolah mahu menutup kewujudan mereka daripada diketahui orang ramai. Ah, persetankan mereka, fikir Syukri. Biarlah dirinya sahaja bersama rakan-rakan yang sudi membantu berbuat jasa. Membantu orang miskin bukan tanggungjawab mereka yang pegang kuasa sahaja. Ia tanggungjawab masyarakat secara menyeluruh. Bukan individu semata.
Namun, berapa ramai yang mengerti konsep itu tatkala kapitalisme menjadi pegangan kehidupan semasa?
Lupakan mereka. Syukri seringkali menegaskan dalam dirinya bahawa tiada gunanya merintih dan meminta simpati daripada orang-orang yang tidak sudi memberi. Hidup tidak patut dilandaskan pada kemampuan orang lain. Jika mereka tidak mahu membantu, maka ia bukan masalah bagi Syukri. Dia akan berusaha untuk mendapatkan bantuan dengan kudrat dan akalnya sendiri.
Pandangan dilontar keluar tingkap gerabak. Tiada apa yang menarik hatinya lagi dek kerana pengulangan landskap yang menyinggah lensa mata. Diperhatikan pula orang-orang di sekelilingnya. Tiada kegembiraan di dalam gerabak itu. Majoritinya adalah golongan pekerja-pekerja yang barangkali baru balik dari tugasan rutin mereka saban hari. Ramai yang lena dan tampak lesu. Ia tampak menyedihkan. Fikir Syukri, hidupnya di Kuala Lumpur itu penuh kesuraman. Apa yang mampu dibuat untuk mengubah senario itu?
Kelihatan lampu telefon bimbit berkelipan.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Syuk bila nak balik Sibu?”
“Kenapa? Raya nantilah.”
“Kami nak jalan-jalan KL.”
“Hmmm, nantilah. Aku kumpul duit dulu. Bagi masa tiga bulan.”
“Okey.”
Begitulah perbualan ringkas mereka tamat. Syukri sugul memikir keinginan adiknya Fateha itu yang tiba- tiba mahu singgah di metropolitan Kuala Lumpur ini. Tiga bulan yang ditaipkan pada permukaan skrin telefon itu sebenarnya spontan sahaja taipnya. Syukri sendiri kebuntuan dalam memikirkan jumlah wang yang perlu disediakan untuk tujuan tersebut. Tiket penerbangan, tempat penginapan dan juga belanja makan minum sahaja sudah membuatkan kepalanya sakit.
Seraya itulah matanya menyinggah pada paparan iklan yang tersemat di halaman tabloid digital pada telefon bimbitnya.
Ia satu revolusi dalam perubatan. Namun, ia kedengaran seperti magis pula dengan tawaran demi tawaran yang kedengaran agak mustahil dilakukan. Proses pengagihan memori dan intelektual melalui pemberian kapasiti otak. Ketika itu, Syukri sudah memikirkan perihal adik bongsunya Nora yang kini berada dalam jagaan Fateha. Nora ada autisme dan tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Dengan keadaan ekonomi yang begitu mencengkam, nasib orang-orang kurang upaya tidak diberi perhatian dek kerana kesusahan hidup yang perlahan-lahan meragut simpati daripada hati masyarakat secara menyeluruh.
Dalam fikiran Syukri hanya satu; memeriksa kesahihan rawatan yang dikatakan itu. Sekadar membuat siasatan dan penyemakan fakta patut tiada masalah. Biarpun tidak begitu mengharap, tetapi Syukri tahu satu hari nanti, penawar untuk autisme adik bongsunya itu akan ditemui juga.
Tatkala pandangannya meliar melewati tingkap gerabak yang sedang berhenti menurunkan penumpang, Syukri mendapati seorang lelaki tua yang agak segak imejnya sedang merenung ke arahnya dari luar. Rambutnya sedikit putih dan pandangannya seolah mati tanpa sinar. Ia menghantui fikiran Syukri. Renungan itu biarpun tampak mati tetapi cukup untuk membuatkan jantungnya berdegupan kencang. Ia seolah berbaur amaran.
Amaran bagaimanakah pula itu?
Gerabak mula meninggalkan Stesen Kinrara. Tidak lama lagi gerabak itu akan menelusuri Stesen Serdang sebelum singgah di Stesen Seri Kembangan. Syukri mengusap perlahan wajahnya yang kini pucat. Dia mahu melupakan renungan orang tua itu, tetapi tidak mampu. Fikirannya bercelaru.
Malam itu dia harus berehat secukupnya. Terlalu banyak yang mengganggu fikirannya kini. Biarlah hari esok yang menentukan nasibnya.
2: Mimpi
NASOM cawangan Sibu tidaklah lama berdirinya di bandar raya itu. Ketika Fateha membawa adiknya Nora untuk sesi rawatan, kelihatan ramai orang sedang berada di halaman rumah banglo yang telah ditukar menjadi pusat rawatan untuk orang- orang yang menghidap autisme. Barangan dikeluarkan dan dipunggah ke dalam lori. Mereka kelihatan seperti mahu berpindah. Melihat keadaan itu, Fateha memarkir keretanya dan mengarahkan Nora agar tidak membuat kecoh. Pantas Fateha keluar dari kereta dan mencari pengurus pusat rawatan tersebut.
Puan Clarissa ketika itu sedang memberi penjelasan kepada beberapa pasangan ibu bapa yang kelihatan kebingungan dengan situasi yang telah berlaku. Dari riak wajahnya, Fateha sedar situasi ini berada di luar kawalan Puan Clarissa. Dia sudah mengenali setiap orang staf di pusat rawatan autisme itu. Baginya mereka itu adalah ahli keluarganya yang baru.
“Err… puan. Apa yang dah jadi?”
“Oh, Fateha. Pusat ini disita. Dengar cerita pemilik rumah ini gagal bayar dengan bank. Kami pun baru tahu hari ini. Kami diminta untuk kosongkan rumah ini dalam tempoh 24 jam.”
“Ini dah melampau, puan. Mana boleh diorang buat macam tu.”
Puan Clarissa menggeleng, mukanya ditundukkan seolah tidak mahu pandangannya bertaut dengan Fateha. Apakah yang mampu dikatakan lagi? Biarpun pusat autisme itu didirikan atas dasar prihatin ke atas jumlah peningkatan pesakit-pesakit autisme, ia tidak memadai tanpa campur tangan ahli-ahli politik. Mereka perlukan sokongan orang berpangkat besar untuk terus bertahan di atas tanah lot tersebut.
“Saya boleh uruskan perpindahan Nora ke Kuching, dia akan dapat rawatan yang lebih baik di sana,” cadang Puan Clarissa.
Hati Fateha jadi berat mendengarnya. Manakan dia mahu meninggalkan bandar raya Sibu yang cukup memberinya pelbagai nostalgia sejak dari dulu lagi itu? Di bandar raya itulah dia mencoret suka dan duka kehidupan dalam keadaan yang begitu mencabar. Cabaran untuk menjaga Nora cukup getir sehinggakan dia terpaksa meninggalkan pekerjaannya untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada Nora. Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah dalam bentuk kemudahan wang ringgit, tetapi seseorang yang berakal dan berkeupayaan harus menguruskannya untuk Nora.
Terbayang pula akan perjalanannya dari Sibu ke Kuching membelah Lebuh Raya Pan Borneo yang baru siap beberapa tahun yang lepas. Memikirkan kosnya sahaja sudah cukup membuatkan jiwanya pedih. Selama ini duit perbelanjaan mereka ditanggung oleh Syukri yang diketahuinya sedang bertungkus- lumus mencari wang ringgit untuk mereka semua meneruskan kelangsungan hidup yang begitu sukar. Seringkali Syukri menyatakan kekesalannya dalam usaha membina kehidupan stabil di Kuala Lumpur. Tiga pekerjaan tidak memadai. Daripada penceritaan Syukri, dia membayangkan Kuala Lumpur seperti landskap berikut:
Jajaran pohon-pohon berbentuk obelisk yang meninggi dari satu struktur ke struktur yang lain. Ribuan manusia berusaha mendaki obelisk-obelisk itu dengan pelbagai cara yang berbeza. Yang berharta akan mendaki setiap bangunan dengan bantuan kenderaan atau lif. Yang tak berharta sangat akan mendaki tangga yang curam. Yang daif akan duduk menadah tangan di sisi-sisi bangunan dengan harapan ada sisa makanan akan jatuh ke bawah dari puncak obelisk-obelisk yang begitu gah dirinya.
Dia membayangkan metafora demi metafora itu biarpun dia tahu Kuala Lumpur itu tidak begitu. Dari paparan televisyen dia tahu bagaimana kecamuknya metropolitan Kuala Lumpur melayan penghuninya. Saban hari ada sahaja jenayah yang terpapar di berita- berita utama yang bertempat di Kuala Lumpur. Ada sahaja kes bunuh diri yang tak sudah, seiring dengan kepesatan sistem pengangkutan MRT yang berkembang tanpa had sempadan.
Bagaimanalah rasanya hidup di Kuala Lumpur itu, ya? Dia cuba membayangkan Syukri itu berada dalam kalangan tiga golongan tadi. Adakah Syukri berada dalam kelompok yang menaiki lif sambil tersengih melihat kegusaran kelompok marhaen yang meratap di bawah obelisk? Atau bagaimana pula jerih-perih Syukri itu tatkala menaiki tangga-tangga curam yang kerap melontar penggunanya jatuh ke bawah bangunan lalu mati dengan deruan angin kencang? Mungkinkah Syukri itu kini menadah tangan di bawah obelisk sambil mengharap makanan atau wang ringgit akan jatuh dari kocek sang borjuis yang leka menghayati keindahan kota dari dalam lif yang tak sudah-sudah naik turunnya?
Sedikit sebanyak Fateha berharap Syukri itu berada dalam lif tadi, tetapi dengan iringan pemikiran yang akan membantu marhaen yang mendaki tangga nan curam dan juga keinginan untuk menaburkan bantuan kepada gelandangan yang menadah tangan sentiasa di bawah obelisk. Baginya Syukri adalah orang begitu. Seorang yang begitu gigih biarpun menjalani kehidupan yang sukar. Seorang yang sentiasa berbelas kasihan kepada orang-orang di sekelilingnya. Fateha percaya Syukri masih punya ciri-ciri begitu biarpun dia dikelilingi kelompok yang tak mengerti akan musibah yang menimpa orang lain.
Biarlah orang lain hilang kemanusiaannya, Fateha yakin Syukri akan kekal menjadi orang yang prihatin akan masalah orang lain.
Dalam fikiran Fateha, dia mahu membantu abangnya itu dalam membina kehidupan yang lebih baik. Barangkali Nora boleh dihantar ke pusat rawatan autisme milik NASOM yang lebih stabil organisasinya di Petaling Jaya. Ketika Nora dalam jagaan NASOM itu nanti, dia pula akan mencari kerja juga untuk meringankan beban kerja Syukri di Kuala Lumpur.
Ketika itulah kedengaran teriakan Nora dari dalam kereta. Nyata Fateha telah meninggalkan Nora begitu lama sehinggakan budak itu hilang keruan. Biarpun usianya sudah mencecah 17 tahun, namun pemikirannya masih berada dalam konteks budak berusia setahun. Itu persepsi Fateha ke atas Nora. Tanpa dia menyedari, Nora kini sedang menyaksikan satu metamorfosis janggal di sekitarnya.
Dari dalam kereta, Nora dapat melihat struktur banglo yang menjadi tempat rawatannya itu bertukar menjadi serpihan bongkah batu yang bersepaian menjadi debu sedikit demi sedikit. Pandangannya dilontar keluar dan dia mendapati bagaimana setiap manusia yang berada di tempat itu terpegun di tempat masing-masing dan bertukar menjadi pohon kering yang begitu uzur rupanya. Angin kencang bertiup dari segenap arah dan kereta itu bergegar dengan sendirinya. Tanpa menunggu lama, Nora melangkah keluar dari kereta dan duduk terjelepuk di atas padang rumput yang kian terurai hijaunya.
Nora bertempik sekuat hatinya dengan harapan kejadian yang berlaku di sekitarnya itu hanya sekadar satu imej yang akan pergi dengan teriakan itu. Namun, situasi itu tidak berlaku. Bahkan daripada himpunan debu-debu yang bertebaran itu terbentuk satu jasad yang merupakan orang yang sama dia lihat di tebingan dalam visinya sebelum ini.
Lelaki bertubuh kekar itu mula melangkah. Kali ini tubuhnya dibaluti pula oleh sejenis jubah kulit yang berwarna perang penuh dengan kesan jahitan yang rawak. Ia tampak lusuh, tetapi cukup berat untuk menentang arus angin yang bersimpang-siur dari segenap arah. Langkahnya begitu padu dan setiap langkah yang mencium tanah meninggalkan kesan tapak kaki yang menggambarkan beban tubuhnya yang luar biasa.
“Kau tak patut takut dengan aku, Nora. Aku akan tolong kau.”
Nora mencapai batu-batu kerikil yang ada di sekitarnya lalu dibalingnya tanpa henti ke arah lelaki aneh tersebut. Ketika itu, wajah lelaki itu tidak kelihatan dek kerana rambut panjang mengurai yang menutup wajahnya. Hanya sesekali sahaja tampak raut wajahnya yang kusut ditumbuhi tunggul janggut yang tak dipotong rata.
Kelihatan beberapa tunggul kayu tiba-tiba muncul dari tanah di sekitar Nora. Ia hidup dan mula menampakkan dahan-dahannya yang pantas menumbuh dan menjalar akarnya menutup tanah yang berdeburan debu-debunya. Dalam masa seimbas Nora telah dikelilingi rimbunan belukar yang cukup luas untuk menghadang kelajuan angin ribut yang melutu setiap objek di atas tanah tanpa belas kasihan.
Tenang sahaja lelaki aneh itu meredahi banir-banir pohon yang tumbuh pantas tadi. Sebaik sahaja dia berada dalam lingkungan Nora duduk bersimpuhan, seraya itu jugalah angin berhenti bertiup. Daun-daun yang rapuh di dahan mula gugur perlahan. Perlahan dia menunduk lalu mengusap raut wajah Nora yang masih dikelubungi ketakutan.
Sentuhan itu membuatkan Nora terpegun dan hilang tangisnya. Matanya galak menatap wajah lelaki itu yang masih ditutupi rambutnya yang panjang ikal dan kusut benar itu.
“Kau patut cuba fahami aku jika kau nak keluar dari dunia ini. Aku tak bawa mudarat. Aku hanya nak bantu kau, Nora. Kenapa kau tolak aku pergi?” Pedih tersulam dalam kata-katanya itu.
“Kau… hantu!” teriak Nora tiba-tiba lalu ditepisnya tangan orang itu.
Tepisan itu membuatkan lelaki itu mengundur lalu dia terjatuh di atas banir-banir pohon yang berseliratan. Entah mengapa, pohon-pohon itu umpama hidup berlandaskan keinginan Nora yang mahukan lelaki aneh itu lenyap dari mimpinya dengan secepat mungkin. Akar-akar pokok mula membelit lelaki itu. Biarpun begitu tidaklah pula dia meronta-ronta untuk melarikan diri. Bahkan dibiarkan sahaja akar-akar itu menjerut tubuhnya.
“Pergi! Pergi!” Nora seolah hilang akal. Dia membaling apa sahaja objek yang mampu dicapainya ke arah lelaki itu. Jerutan kian padu dan perlahan- lahan tubuh lelaki itu terurai menjadi debu.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79612/simulasi