[SNEAK PEEK] SEMUSIM KASIH

SEMUSIM KASIH Oleh Adzra Sue

“Olynn, cuba kau tengok iklan ni!”

“Apa tu?”

“Ni… ada uji bakat reality show.

“Alah… apa nak dihairankan? Berlambak-lambak dah reality show kat TV sekarang.” Omel Olynn tanpa mahu memandang tulisan di majalah yang dipegang oleh Nadia.

“Yang ni lainlah. Bukannya nyanyian ataupun tarian tau.” Geram juga hati Nadia apabila Olynn langsung tidak berminat mahu ambil tahu apa yang cuba disampaikannya.

“Habis tu, apa?” Malas sungguh Olynn mahu membaca apa yang tertulis di naskhah itu buat masa ini.

“Rancangan realiti TV Pilihan Hati. Kau dengar ni… ‘seorang lelaki bujang mencari seorang gadis untuk dijadikan teman hidup. Terbuka untuk gadis-gadis dari umur sembilan belas tahun dan ke atas’.” Bersungguh-sungguh Nadia membaca iklan yang tertera.

“Eh… Dulu kan dah pernah ada kat TV3? Dah lama dah… apa tu? Err… kalau tak silap aku, ‘Mencari Cinta tajuknya,” Olynn menjawab sambil mencongak-congak. Cuba memerah otak mengingatinya. Dia cukup yakin dengan tajuk yang baru disebutnya tadi.

Olynn masih ingat lagi dengan rancangan realiti Mencari Cinta’ sewaktu dia masih lagi di sekolah menengah. Walaupun tidak berapa mengikuti rancangan di TV3 yang bersiaran setiap minggu itu, serba sedikit dia ambil tahu juga. Sebabnya, itulah kali pertama kisah mencari jodoh disiarkan di kaca TV. Memang agak janggal apabila seorang gadis Melayu yang penuh adab dan sopan mencari pasangan hidup. Bagaikan perigi mencari timba pula rasanya.

“Yalah, aku pun tahu pasal rancangan tu. Dulu, perempuan cari pasangan hidup. Yang ni pulak, lelaki. Eh! Aku macam pernah dengarlah nama lelaki ni… Tengku Budriz Aizuddin Tengku Mahmood. Dahsyat tu!” Nadia menekankan suaranya saat menyebut nama hero rancangan realiti itu.

“Apa nama dia? Panjang giler!” Mendengar nama si hero, barulah Olynn tampak berminat.

“Yang Mulia Tengku Budriz Aizuddin.” Nadia mengulangi sekali lagi.

Terangkat kening Olynn. ‘Tengku?’

“Peliknya! Kan ramai anak-anak raja kat Malaysia ni? Takkanlah sorang pun Tengku tu tak boleh pilih untuk jadikan pasangan hidup dia? Buat apa susah-susah nak masuk rancangan realiti?” Olynn panjangkan leher ke kolum yang dibaca oleh Nadia.

****

Olynn terpempan, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dia nampak. Lelaki yang sama dia nampak bersama Busu Reza semasa dia ditahan di wad psikiatri HUKM. Tengku Budriz!

“Abang!!!” Laju Olynn menerpa ke arah lelaki itu. Pinggangnya Olynn peluk kejap dan labuhkan kepala ke dadanya.

“Abang… abang pergi mana? Kenapa baru sekarang abang nak balik tengok anak kita?”

Air mata Olynn deras mengalir membasahi dada kemeja yang berwarna biru lembut dan bergaris halus. Warna kegemaran Tengku Budriz sejak dulu. Dia juga dapat rasakan tangan lelaki itu memeluknya erat dan mengusap-usap belakangnya. Dia tidak peduli jika orang ramai yang sedang keluar masuk ke pintu utama merenung ke arah mereka. Tengku Budriz suaminya!

“Maaf puan. Saya tak kenal puan.”

Olynn mendongak. Keliru. Mengapa suaminya memanggil dia dengan gelaran puan?”

Ya Allah! Baru Olynn sedar yang Tengku Budriz sudah arwah. Pantas dia lepaskan rangkulan tangan di pinggang lelaki itu.

“Saya kena pergi. Maafkan saya. Jumpa lagi, puan.” Lelaki itu senyum sekilas dan meminggir ke tepi. Melepasi tubuh Olynn dan langkahnya dilajukan ke pintu kaca automatik tanpa menoleh ke belakang.

Olynn terpaku di atas kaki sendiri. Kalau lelaki itu tidak mengenalinya, mengapa tadi lelaki itu juga memeluk tubuhnya dengan erat sekali?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97224/semusim-kasih