SEMINGGU berlalu, percutian kami di Pulau Kapas sedikit tercalar dengan satu insiden yang tidak diingini. Tapi, untunglah tidak ada perkara buruk yang berlaku. Namun, ada persoalan yang belum terjawab hingga ke hari ini. Siapa Aida?
Apabila pertanyaan itu aku ajukan pada Cikgu Safarin, dia hanya membisu. Sampai sekarang dia belum memberi tindak balas positif mengenai jawapan yang aku harapkan.
Aku tidak lagi mengajukan soalan itu dan mahu mengambil peluang bertanya pada waktu yang lain. Lagi pula, aku tidak mahu merosakkan hari-hari yang indah semasa percutian itu dengan pergaduhan atau pertikaman lidah.
Sejurus kami tiba di rumah, Cikgu Safarin terus berbaring di atas katil. Mungkin dia kepenatan. Melihat keadaannya yang lesu, ini bukanlah masa yang sesuai untuk aku menyoal tentang Aida.
Aku membiarkannya tidur dan tidak mengganggunya sementara waktu. Biarlah dia merehatkan badan terlebih dahulu. Sementara itu, bolehlah aku mengemas setelah seminggu rumah ini ditinggalkan.
Pakaian yang kami bawa ke pulau aku keluarkan dari beg untuk dimasukkan ke dalam mesin basuh. Selesai pakaian dicuci, aku mengambil bakul lalu mengeluarkan pakaian untuk dijemur.
Beep… beep.
Pakaian terakhir yang belum sempat aku sidai, cepat-cepat aku letakkan semula ke dalam bakul. Aku masuk ke dalam rumah dan melangkah ke arah meja kopi di ruang tamu.
Di situ terdapat dua buah telefon bimbit kepunyaanku dan Cikgu Safarin. Cuma, aku tidak pasti sama ada bunyi SMS itu datang dari telefon siapa.
Aku mengambil kedua-dua telefon. Ternyata, SMS yang masuk itu sebenarnya datang dari telefon Cikgu Safarin.
Aku terkejut kerana sekali lagi tertera nama Aida sebagai pengirim. Hatiku meronta mahu menyiasat siapa sebenarnya perempuan misteri ini.
Perasaanku benar-benar didorong dengan rasa ingin tahu dan ia memaksaku melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Cepat-cepat aku membaca isi kandungan SMS yang dikirimkan perempuan itu sebelum disedari Cikgu Safarin.
Arin… I miss you…
Itu saja kiriman SMS darinya? Kenapa dia tak karang ayat panjang-panjang seperti tempoh hari? Cakaplah apa saja. Nak peluk atau cium suami aku, kenapa dia tak karang ayat seperti itu? Aku geram lalu cuba mengawal perasaan cemburu.
Telefon bimbit Cikgu Safarin aku letakkan semula ke atas meja. Perasaan geram, cemburu dan marah terpaksa aku tahan seketika. Aku mesti bertenang dan bersabar.
Aku nak lihat sejauh mana permainan ini akan berakhir. Satu permainan yang dimulakan oleh siapa sebenarnya. Cikgu Safarin atau perempuan itu?
Apabila aku berpusing, Tiba-tiba Cikgu Safarin berdiri di belakang dan hampir-hampir aku melanggar tubuhnya. Bila masa pula dia bangun dan keluar dari bilik? Tiba-tiba saja muncul dan buat aku terperanjat besar!
Jangan-jangan, dia berdiri di belakang sejak tadi dan aku langsung tidak menyedarinya. Bukan boleh percaya sangat dia tu. Dia kan, suka mengintip.
Di sekolah pun, dia memang suka intip aku. Sewaktu aku berjalan dengan Diana, dia pernah mengekori. Ketika aku bermain bola tampar, dia sempat mengintai dari tingkap bilik guru.
Adakah dia ternampak aku membaca mesej dari telefon bimbitnya? “Errr… abang. Bila abang bangun? Abang lapar ke? Nak makan tak?” Bergetar suaraku menyoal Cikgu Safarin.
Pertanyaanku tidak dijawab, malah air mukanya nampak serius.
“Ada sesiapa call abang?” Tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibirnya.
Aku tergamam kerana tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Bukan ada yang call, tapi ada yang mengirimkan SMS! Bergema jawapan itu sekadar di hati. “Tak ada.” Aku menipu dan tertunduk memandang lantai kosong yang tidak memberi apa-apa erti.
“Tadi abang nampak Anis pegang handphone abang?”
Cikgu Safarin mendekati lalu tangan kirinya cuba memegang bahuku tapi pantas aku menepis. Tindak balas aku itu agak kasar dan buat Cikgu Safarin tersentak.
Perasaan geram, cemburu dan marah yang aku pendam sejak seminggu lalu, kini datang semula. Aku fikir, inilah masa untuk aku menyoalnya sekali lagi.
Tempoh hari, dia langsung tidak memberi sebarang jawapan. Tapi kali ini, aku tidak mahu melepaskan peluang untuk mengorek rahsia yang tersimpan.
“Siapa Aida tu, abang? Kenapa abang tak nak beritahu Anis? Sampai hari ni, abang masih diam bila Anis sebut nama perempuan tu.”
“Dari mana Anis dapat tahu pasal Aida?”
Aku terdiam. Berat pula mulut ini mahu membalas persoalan Cikgu Safarin.
“Sejak kita kat Pulau Kapas, Anis dah tanya pasal Aida. Tapi, abang sengaja tak nak jawab sebab tak mahu rosakkan honeymoon kita. Sekarang kita kat rumah, tolong jawab apa yang abang tanya. Dari mana Anis dapat tahu pasal dia? Mak abang beritahu?”
“Kenapa nak libatkan mak abang pulak? Dia tak ada kena mengena pun.” Aku ketap bibir sambil menahan rasa sakit dalam hati. ‘I miss you Arin.’ Dasar perempuan tak tahu malu. Mengucapkan rindu pada suami orang!
“Kalau bukan mak abang cerita pasal Aida, dari mana pula Anis dapat tahu? Sebelum ni, abang tak pernah sebut langsung nama Aida depan Anis.”
“Anis baca SMS yang dia kirim kat abang. Dah dua kali dia SMS abang, tau. Pertama, masa kita nak bertolak ke Pulau Kapas. Kedua, baru sekejap tadi.”
“SMS?”
“Ya, SMS. Anis rasa nak baca, jadi Anis baca jelah. Anis nak tahu siapa sebenarnya perempuan tu dengan abang.”
“Sejak bila Anis dah pandai baca SMS dalam handphone abang?”
Suara Cikgu Safarin tegas kedengaran. Seolah-olah dia tidak suka aku mencerobohi telefon bimbitnya.
“Anis minta maaf. Anis tahu cara tu salah. Sekarang Anis cuma nak tahu siapa Aida. Apa hubungan dia dengan abang? Kenapa dia kirim SMS macam tu pada abang?”
“Dia tulis apa?”
“Abang bacalah sendiri. Anis malas nak tolong bacakan untuk abang. Buat sakit hati je.” Aku berpeluk tubuh.
Dia menghampiri meja kopi lantas mengambil telefon bimbitnya. Aku mencuri pandang melihat reaksi Cikgu Safarin ketika dia begitu leka melihat skrin. Tiada apa-apa perubahan di wajahnya. Suka tidak, tak suka pun tidak.
“Jadi, bila Anis baca SMS ni, Anis dah tak percayakan abang?”
Cikgu Safarin bertindak mahu merangkul bahuku dari sisi tapi cepat-cepat aku mengelak. Selagi dia tidak memberitahu maklumat mengenai Aida, jangan harap dia dapat sentuh dan berbuat baik denganku.
“Anis sentiasa percayakan abang. Dari dulu sampai sekarang. Cuma Anis nak tahu siapa Aida tu dengan abang. Kalau dalam mesej tu dia karang ayat biasa-biasa, Anis pun tak ingin nak tanya abang. Tapi masalahnya, SMS dia bukan main lagi mesra. Cuba kalau mana-mana lelaki yang hantar mesej macam tu pada Anis, abang tentu sakit hati juga, kan?”
“Dia bekas tunang abang.”
Akhirnya…
“Bekas tunang? Oh, patutlah mesra sangat bunyinya. Anis dah agak. Abang tentu suka kan, bekas tunang cakap rindu kat abang? Ajak berjumpa pulak tu!”
“Anis jangan fikir bukan-bukan. Abang sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba dia hantar mesej macam tu.”
Aku angkat kedua-dua tangan ke sisi bahu. “Okey. Baiklah. Sebelum ni abang tak tahu, tapi sekarang abang dah tahu. Jadi, abang nak jumpa dia ke? Mana tahu kalau abang pun nak lepaskan rindu pada dia!”
“Anis, jangan cakap macam tu dengan abang. Anis isteri abang. Dia pun dah kahwin. Untuk apa kami jumpa lagi?”
“Untuk apa konon. Untuk lepaskan rindulah!” Aku membentak sepuas hati. Perasaan geram, marah dan cemburu memang tak dapat dibendung lagi. Seminggu aku memendam rasa!
“Kenapa sampai macam tu sekali Anis buat tuduhan?”
“Anis bukan menuduh. Tapi, Anis fikir secara logik. Dulu abang pernah beritahu Anis, abang dah benci sangat kat dia. Kalau abang benci, kenapa sampai sekarang abang masih simpan nombor dia? Abang tak dapat lupakan dia ke? Abang masih cintakan dia? Cakap betul-betul dengan Anis!”
“Astaghfirullahalazim… Anis…”
“Anis apa?!”
“Sampai hati Anis cakap macam ni dengan abang…”
Aku terus meninggalkan Cikgu Safarin tanpa memberi peluang lagi untuk dia buka mulut.
MALAM ini, aku menangis sendirian. Sedikit sebanyak aku rasa bersalah kerana mencetuskan pergaduhan yang tidak sepatutnya berlaku dalam rumah tangga yang baru terbina ini.
Jangan pula aku menyesal berkahwin pada usia belasan tahun begini, sudahlah. Aku tidak mahu begitu jadinya kerana aku terlalu sayangkan Cikgu Safarin.
Aku sangat menghargai mahligai ini dan tidak mahu ia hancur di tengah jalan hanya disebabkan kehadiran orang ketiga yang tidak sepatutnya muncul.
Aida adalah kisah lampau Cikgu Safarin dan perempuan itu tidak perlu kembali dalam hidup lelaki yang pernah ditinggalkannya.
Apabila teringat pergaduhan kecil yang berlaku siang tadi, aku berfikir sejenak. Adakah sikapku keterlaluan?
Lidahku mungkin berbisa kerana menuduh Cikgu Safarin begitu sedangkan aku yakin, dia sama sekali tidak menyimpan perasaan rindu pada Aida. Mungkin hanya bekas tunangnya saja yang berperasaan begitu.
Tapi aku hairan, perempuan itu kan, isteri orang. Kenapa dia berani kirimkan SMS berbaur mesra pada lelaki lain? Apa, suaminya tidak marah?
Aku mengeluh panjang. Zaman sekarang, mungkin tidak perlu aku hairan. Banyak kes yang berlaku dalam rumah tangga masyarakat hari ini.
Suami curang, isteri main kayu tiga, suami kena tangkap khalwat, isteri berzina dengan lelaki lain. Astaghfirullahalazim… semoga aku dan Cikgu Safarin tidak tergolong dalam golongan laknat seperti itu. Lindungi kami, Ya Allah.
Dari petang hingga malam, aku hanya melayan perasaan dalam bilik. Apabila Cikgu Safarin memanggil untuk mengajakku makan tengah hari dan malam, aku langsung tidak peduli. Pintu bilik juga diketuk beberapa kali tapi aku hanya membatukan diri.
Sesekali Cikgu Safarin menyelitkan nota kecil di bawah pintu, aku mengambil dan terus membacanya. Mungkin kerana telefon bimbitku tertinggal di ruang tamu, jadi, Cikgu Safarin tidak ada cara lain hendak memujukku.
Nota pertama.
Anis keluarlah. Teman abang makan. Abang dah masak ni.
Nota kedua.
Keluarlah. Sayang tak lapar?
Nota ketiga.
Terima kasih buat abang begini.
Ketiga-tiga nota yang aku baca, aku gumpal lalu mencampaknya ke dalam tong sampah. Sedih dan sedikit terluka dengan pertikaman lidah yang tidak aku minta sama sekali akan berlaku.
Air mata yang berlinang sejak tadi, kini membasahi bantal. Selimut yang berada di hujung kaki, segera aku tarik rapat ke dada. Aku melihat jam dinding dan jarum jam kini menunjukkan angka satu setengah pagi.
Aku hairan, kenapa sampai sekarang Cikgu Safarin tidak masuk ke bilik untuk tidur bersama. Adakah dia berkecil hati kerana aku menuduhnya? Atau dia masih menonton televisyen?
Mustahil. Dia bukan jenis orang yang suka berjaga lewat malam semata-mata mahu menonton siaran di kaca tv.
Aku teringat pada nota ketiga yang ditulisnya, ‘terima kasih buat abang begini.’
Adakah dia benar-benar berjauh hati dan tidur di luar? Aku bergerak mahu turun dari katil tapi pergerakanku terhenti. Akalku seolah-olah melarang supaya aku mengalah.
Tak apalah. Mungkin esok ada jalan penyelesaian.
APABILA aku keluar dari bilik dan mahu mengambil wuduk di kamar mandi, aku terpandang Cikgu Safarin tidur di atas kerusi. Jam dinding kini menunjukkan angka lima setengah pagi. Tiba masanya aku perlu kejutkan dia.
Lebih baik aku lupakan saja hal semalam dan segera memohon maaf padanya.
Perlahan-lahan aku menghampiri Cikgu Safarin. Selalunya, dialah terlebih dahulu mengejutkan aku dari tidur. Tapi hari ini, giliran aku pula. Mungkin benar dia berjauh hati.
“Abang, bangun.” Perlahan aku menggoncang dadanya. Namun, dia tidak memberi tindak balas.
“Bangun, abang. Dah dekat subuh ni…” Rambutnya kusentuh lalu kuusap dengan lemah lembut.
“Abang, nanti lewat nak pergi masjid.”
Sebaik saja aku menyebut perkataan masjid, matanya terus dibuka. Tiba-tiba dia tersenyum memandangku yang duduk di sisinya.
Kedua-dua tanganku di atas dadanya, dipegang lalu digosok perlahan. Pelik. Bukankah dia sedang berjauh hati denganku hingga memaksa dia tidur di luar?
Sekali lagi dia melemparkan senyum. Aku menarik tanganku dan langsung berdiri. Tindakanku seperti ini disebabkan aku malu dan rasa bersalah kerana menunjukkan sikap keterlaluan terhadapnya semalam.
Apabila melihat respons yang aku tunjukkan, segera dia bangkit lalu membetulkan duduk. Tangan kiriku ditariknya perlahan dan memaksaku mendekatinya semula.
Kini, aku berdiri di hadapannya yang masih duduk di kerusi. Tak semena pinggangku dipeluk erat dan spontan kepalanya melekat di perutku seperti gam.
Dengan keadaan ini, perasaanku jadi sayu kerana mengingati kata-kataku yang agak melampau. Mungkin dia sedang bersedih sehingga menunjukkan sikap ingin bermanja seperti ini.
“Anis, abang minta maaf. Sepatutnya, dari dulu abang dah padam nombor Aida. Abang betul-betul terlupa.” Dia mendongak. Renungannya sayu.
Tindakannya memohon maaf dengan cara begini, buatkan aku makin dihimpit rasa bersalah. Sedangkan, aku yang sepatutnya meminta maaf terlebih dahulu. “Anis pun nak minta maaf sebab terkasar bahasa dengan abang.”
Aku membelai rambutnya dengan penuh kasih sayang. Tanpa aku sedar, air mataku kini jatuh setitis. Air mata itu pula berlabuh pada dahi Cikgu Safarin. Aku tersenyum dalam sayu sambil mengesat dahinya dengan hujung jari.
“Abang dah padam nombor telefon dia. Lagi sekali abang minta maaf. Abang faham macam mana hati dan perasaan seorang isteri bila terbaca SMS macam tu. Abang cuba letakkan diri abang kat tempat Anis dan abang dapat selami apa yang Anis rasa.”
Aku diam mendengar. “Semalam, Anis kurang ajar dan tinggikan suara pada abang. Anis rasa berdosa sangat. Anis sepatutnya hormatkan abang.”
“Anis tak salah. Abang faham kenapa Anis marah. Malam tadi, abang sengaja tak pujuk Anis lebih-lebih sebab abang tahu hati Anis tengah sakit. Sebab tu abang biarkan Anis nangis dan tidur sorang-sorang. Kalau abang cakap apa pun, Anis takkan percaya dan mungkin tak nak dengar. Maafkan abang ya, sayang.”
“Tak. Anis memang bersalah. Memang patut abang biarkan Anis tidur sorang-sorang.” Aku melepaskan pelukannya di pinggang lalu berganjak menghampiri dinding.
Cikgu Safarin turut sama berdiri dan mengekori.
Aku menyandar pada dinding dan mendengar saja kata-kata yang meniti di bibirnya. Aku akur dengan bicaranya. Memang benar, kalau kita sedang marah, orang cakap apa pun kita takkan ambil peduli.
Dia mendekati dan kedua-dua tangannya digagahkan pada dinding. Aku terkepung di tengah-tengah. Aku mendongak dan renungan kami bersatu dalam diam.
Bibirnya menguntum senyum, wajahnya menghampiri lantas memberi satu kucupan di dahi. Aku terdiam dan membiarkan dia memberi layanan mesra sebagai suami.
Apabila bibirnya turun ke bawah, tiba-tiba idea nakalku datang. Lekas-lekas aku memboloskan diri.
“Aduh!” Tak semena dahi Cikgu Safarin terhantuk pada dinding.
Aku ketawa. Bagai tidak percaya. Begitu mudah masalah ini selesai antara kami.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271847/sayang-cikgu-ketat-ketat