SNEAK PEEK – RIYANA_RAIHAN


Riyana_Raihan
-karya Rafina Abdullah


. . .

Raisha adalah anak saudaranya yang belum sempat dilihat di depan mata. Sewaktu dia berada di luar negara selama tujuh tahun, dia berhubung dengan Raihan dan Raisha hanya melalui WhatsApp dan panggilan video sahaja.

Perkahwinan Raihan pun dia tak dapat hadirkan diri dan belum pernah dia bersua muka dengan abang iparnya.

Apa yang dia tahu, lelaki itu bernama Jingmi. Seorang mualaf yang memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan Raihan.

Di sepanjang dia berada di Amerika, Raihan sering bercerita mengenai kebahagiaannya bersama Jingmi. Namun, apabila masuk tahun ke lima perkahwinan itu, Raihan membawa kisah yang bertentangan pula.

Raihan mengadu sering dipukul dan selalu dijadikan hamba abdi oleh ibu dan kakak Jingmi, tapi apabila Raihan memberitahu kepada Jingmi, lelaki itu tidak percaya dan anggap Raihan menipu.

Satu hari, emak menghubunginya dan memberitahu mengenai Raihan yang dimasukkan ke hospital akibat keguguran. Kata emak, Raihan terjatuh dari tangga.

Jujurnya, dia tidak percaya dan menganggap penghuni-penghuni di rumah Jingmi yang menyebabkan kemalangan itu.

Hampir setiap hari Raihan mengadu kepadanya mengenai kezaliman ibu dan kakak Jingmi, takkan begitu mudah dia akan percaya? Mungkin emak dan ayah yang tidak tahu. Pasti Raihan tidak pernah mengadu kerana tidak mahu mereka susah hati.

Hampir setengah jam memandu, Riyana tiba di lokasi.

Loceng ditekan. Riyana menanti dengan penuh sabar. Tujuan dia datang hanya mahu tunjukkan muka kepada Jingmi. Dia ingin tahu reaksi lelaki itu apabila melihat wajahnya yang seiras Raihan.

Riyana berharap Raihan tidak sempat memberitahu Jingmi bahawa mereka adalah kembar kerana mereka telah berpakat kononnya mahu membuat kejutan kepada Jingmi apabila Riyana pulang dari luar negara, tapi… lain yang mereka rancang, lain pula yang terjadi.

Kini, Raihan telah pergi. Riyana sudah kehilangan kakak kembar buat selama-lamanya.

Selepas beberapa kali dia menekan loceng, barulah keluar seorang security guard. Ternyata, reaksi guard itu sangat terperanjat.

Riyana hanya tayang senyum sinis. Pasti guard tersebut terkejut kerana melihat wajahnya yang serupa dengan Raihan.

“Pu… puan?”

“Puan?” Riyana pura-pura tidak mengerti. Dia mesti berlakon yang dia tiada kaitan dengan Raihan.

Guard yang bernama Azhar itu garu kepala. Mustahil isteri kepada majikannya hidup semula. Ini bukannya dalam filem. Ini adalah dunia nyata.

“Maaf, ganggu encik. Saya nak tanya, betul ke ni rumah Putera Syafiqul Amsyar Rafiqi Saddiq Al-Hassan?”

“Hah??” Azhar ternganga. Terkebil-kebil dia mendengar nama yang sangat panjang. Siapa pula gerangan manusia yang dicari oleh wanita yang berdiri di luar pagar itu?

“Betul ke ini rumahnya?” Riyana menahan senyum. Dia pura-pura berwajah serius. Nama panjang yang disebut itu, hanya rekaan dia semata-mata. Tiba-tiba saja nama yang panjang berjela meluncur laju di bibirnya.

“Cik salah rumah,” beritahu Azhar dengan muka yang masih berkerut. Wajah wanita di hadapannya mirip sekali dengan arwah Raihan, isteri majikannya yang sangat baik hati.

Mengenangkan pemergian wanita itu, hatinya diterpa rasa sayu. Apa yang berlaku kepada Raihan, semua berada di dalam kocek bajunya.

Mahu bersuara, dia hanya seorang pekerja. Jika dihalang perbuatan kejam Madam Chen dan Elisa terhadap Raihan, nanti dia pula yang akan dipecat.

Dia bukan orang senang. Datang dari ceruk kampung dan bekerja sebagai security guard di rumah orang kaya, dapatlah membantu sedikit sebanyak kehidupan orang tuanya.

. . .

Dapatkan  versi e-book penuh di e-sentral.com

Penerbit: RMA Studio
Penulis: Rafina Abdullah