[SNEAK PEEK] Rahsia Membina Rumah Tangga Syurgawi

Rahsia Membina Rumah Tangga Syurgawi
— karya Dr. Azahar Yaakub, Datuk Dr. Norhafizah Musa, Nurul Atiqah Azman


. . .

“Don’t struggle about the struggle. In other words, life’s full of ups and downs. So if you’re struggling, don’t worry, everyone else has or will at some point.”

– Sean Covey

Kisah Ibrah Maghfirah

Kisah berikut ini melibatkan seorang wanita yang berhadapan dengan ujian kerana perbuatan suaminya yang sangat menyakitkan. Dia tidak pernah menyangka suaminya berkahwin lagi kerana batas kemampuannya untuk menanggung nafkah keluarga sememangnya tidak mencukupi, bahkan selama ini si isteri yang berusaha keras bekerja demi meneruskan kehidupan.

Hanya kerana bertuhankan nafsu semata-mata dan mengikut trend rakan-rakan yang berpoligami membuatkan si suami teruja juga untuk berkahwin dua. Ingin merasai pengalaman berpoligami tanpa memikirkan apakah syarat-syarat poligami yang diizinkan dalam Islam. Sehinggakan si suami tidak mengendahkan perasaan isterinya, bahkan dia meminta isterinya meminjamkan wang bagi perbelanjaan perkahwinannya itu.

Si isteri berasa tertekan dan gusar kerana dia mengetahui suaminya tidak mampu berlaku adil dalam situasi ini. Jauh sekali suasana harmoni akan berjaya diwujudkan dalam rumah tangga sekiranya pengurusan emosi dan kewangan tidak ditadbir dengan sebaik mungkin.

Islam agama yang syumul dan menganjurkan untuk hidup mengikut kemampuan masing-masing dan tidak membiarkan mana-mana pihak berasa teraniaya seperti kondisi si isteri tersebut. Tidak ada nas yang mengatakan isteri pertama yang bertanggungjawab untuk menyediakan nafkah buat isteri kedua dan seterusnya.

Perit jiwa dan perasaan sekiranya kita tidak mengikut aturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

 

Tip Uswah Hasanah

Maka, apakah yang boleh kita lakukan bagi mendidik diri untuk hidup bersederhana dan tidak mengikut trend semasa yang boleh membinasakan diri?

  1. Berusaha menyuburkan sifat qanaah (berasa cukup) dalam diri anggota keluarga.
  2. Jangan membandingkan nikmat Tuhan. Setiap insan ada rezekinya masing-masing yang Allah s.w.t. kurniakan.
  3. Pastikan tidak wujud perasaan dengki dengan nikmat dan rezeki orang lain.

Ibnu Qayyim ada mengatakan dalam kitabnya berkenaan tiga rukun syukur:

  • Mengakui segala nikmat itu berasal daripada Allah s.w.t.
  • Manusia hendaklah memuji Allah s.w.t. atas nikmat tersebut.
  • Meminta Allah s.w.t. untuk membantunya supaya segala nikmat yang diberikan dapat dimanfaatkan bagi menggapai keredaan Allah s.w.t.
. . .

Penerbit: PTS Publication

Penulis: Dr. Azahar Yaakub @ Ariffin, Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa, Nurul Atiqah Azman

Dapatkan e-book penuh di sini: https://www.e-sentral.com/book/info/360842