TURUN sahaja dari bas sekolah, aku singgah di kedai Mak Munah. Kedai tersebut terletak di simpang jalan menuju ke rumahku. Di situlah, aku mendapatkan barangan keperluan harian.
“Hah, Iman… sorang aje? Mana Suria? tanya Mak Munah ramah.
“Suria balik lambat sikit, Mak Munah. Dia singgah bandar.” Aku memberi penjelasan sambil membelek-belek bungkusan roti di atas rak beroda yang terletak di bahagian luar kedai.
“Cari apa kat bandar tu? Bukan ke semuanya dah ada kat kedai ni?” tanya Mak Munah sambil memasukkan roti dan kaya yang kupilih ke dalam beg plastik.
Tiba-tiba bekas kaya itu terlucut dari tangannya lalu terjatuh ke lantai. Apa lagi, Mak Munah terus saja melatah.
“Eh… Pocot! Pocot! Pocot! Apa barang tak ada kat sini? Kan ke semua ada? Cucu ada, laki ada, menantu ada… Eh! Eh!… Apa pulak yang tak ada? Kau nak cucu aku ke? Ambiklah!” Mak Munah mula merapu.
“Cucu nak buat apa? Pak Musa ada?” Aku menyiku lengan Mak Munah, tiba-tiba sahaja terangsang untuk mengusiknya.
“Pak Musa ada. Eh, tak ada! Eh, ada, ada!” Mak Munah melatah lagi. “Kenapa, kau nak dia ke?” Sekejap dia mengangguk dan kemudiannya menggeleng pula.
“Bagi ajelah!” Aku mencuitnya lagi.
“Bagi! Ambik!” Mak Munah mengangguk-angguk lagi. “Eh bagi pulak? Laki aku tu hah… hisy budak ni! Buat apa? Botak tu. Gigi ni… rongak.” Mak Munah menggaru kepala, kemudian mengetuk-ngetuk gigi dengan jari-jemarinya.
“Botak tak apa… seksi. Rongak, boleh buat yang palsu.” Aku tergelak sambil cuba mengelak daripada Mak Munah yang menepis-nepis tanganku.
Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motosikal Pak Musa di hadapan kedai. Dia mematikan enjin lalu menongkat motosikalnya. Melihatkan Mak Munah yang masih melatah, Pak Musa menarik kain batik lepas yang dililit di kepalanya. Kain itu dikibasnya keras. Ekor kain terkena Mak Munah.
“Orang tua ni tak habis-habis dengan latah!” rungut Pak Musa sambil berlalu naik ke anjung rumah.
Aku terdiam. Terasa segan pula dengan Pak Musa.
“Budak bertuah ni! Kau latahkan aku lagi, ya?” Mak Munah cuba merembat bahuku, namun aku cepat-cepat mengelak dengan mengundur ke belakang.
Tidak kusangka, badanku tiba-tiba terlanggar Boy yang sedang menongkat basikal lumbanya. Aku dan Boy jatuh bertindihan ke tanah.
Sekali lagi Mak Munah terkejut dan mula melatah lagi. Aku pula cepat-cepat bangkit sambil menyapu-nyapu baju seragam sekolahku yang terkena pasir. Maluku pada Boy bukan main lagi. Kelihatan dia juga menyapu-nyapu seluarnya sambil tersenyum-senyum faham.
“Kenapa ni, Im? Kau latahkan nenek aku lagi, ya?” soal Boy sambil menyandarkan basikalnya ke dinding kedai.
“Ha’ah. Dimintanya datuk kau. Nenek nak bagi kau, dia tak nak! Kalau tak, kan senang? Tak payah nak berarak kompang jauh-jauh. Dua tiga depa aje dah sampai,” olah Mak Munah.
Aku tahulah Mak Munah sekadar mengusik. Tapi kalau mengusik pun, takkan sampai macam tu? Malu aku pada cucunya tu, hah!
“Ini ada surat untuk kau, Im. Posmen Jali yang bagi aku tadi. Aku jumpa dia kat Cabang Tiga.” Boy mengeluarkan sampul putih bersetem dari beg sandangnya lalu diberikan kepadaku.
Boy ni ‘belia’ budaknya, cukup arif menilai perasaan orang. Agaknya dia sedar perasaan maluku tadi, sebab itu dia cepat-cepat beralih cakap.
Aku menyambut surat tersebut lalu melihat setemnya. Tertera cop Pejabat Pos UKM di situ.
“Dari Badrul ke, Im?” soal Boy perlahan sambil melirik ke mataku. Dia pasti dapat mengagaknya dari cop yang tertera di sampul itu.
Aku mengangguk, memandangnya sekilas.
“Maaf kalau aku tanya, Im. Kau… kau dengan dia ada apa-apa ke?” soal Boy, seakan segan-segan.
“Hisy… kau ni, Boy! Ada apa-apa, apanya? Kau tak nampak ke, aku ni kan kecik lagi? Sekolah pun belum habis.” Aku merembat lengan Boy, buat-buat marah. “Kami berkawan ajelah, Boy. Sama macam aku kawan dengan kau jugak.”
SETELAH Iman berlalu, Boy tersenyum-senyum sendirian. Insiden jatuh bertindihan dengan Iman tadi terasa menyenangkan. Padanya, kalau selalu berlaku pun tak apa. Dalam sakit-sakit itu pun ada nikmatnya. Bukan mudah hendak dapat peluang merasai kelembutan kulit gadis itu.
Dapat dibayangkan, bagaimana ternganganya mulut Jais jika diceritakan babak itu tadi. Pasti kalau cicak berak pun, Jais takkan perasan. Silap-silap, tahi cicak itu ditelannya tanpa sedar. Tapi, Boy tahu, dirinya bukan seperti itu. Biarlah insiden tadi menjadi kenangan manis bagi dirinya saja. Tidak ingin dikongsinya dengan orang lain.
Boy tersenyum lagi, mengingatkan penjelasan Iman tentang hubungan biasanya dengan Badrul. Tiba-tiba, dia berasa selesa. Itu bermakna masih ada peluang untuknya mendekati gadis itu.
MALAM itu, selesai membuat ulang kaji pelajaran, aku meluangkan masa membaca surat kiriman Badrul yang kuterima siang tadi.
UKM, Bangi, Selangor
2 Jun 1997.
Assalamualaikum! Bersua kembali dengan Iman. Apa khabar? Semoga sejahtera selalu hendaknya. Bad di sini sihat sentiasa. Saban hari sibuk dengan kuliah dan tutorial, sampaikan tak ada masa nak bersantai.
Bagaimana pula dengan Iman? Bad harap, Iman dah cukup bersedia untuk menghadapi peperiksaan STPM tak lama lagi. Belajarlah bersungguh-sungguh agar tercapai apa yang dicita-citakan selama ini. Berusahalah untuk penuhi impian arwah orang tua untuk melihatmu ke puncak menara.
Bad benar-benar berharap, Iman dapat menjejaki langkah Bad nanti. Mana tahu, tahun depan kita mungkin dapat belajar di bawah satu bumbung, bumbung UKM. Insya-ALLAH!
Sebelum berundur, Bad ingin berpesan agar Iman pandai-pandai menjaga diri. Lupakanlah kesedihan lalu. Jagalah kesihatan dan makan minum agar otak sentiasa cerdas.
Sekian coretan Bad kali ini. Wassalam.
“Yang menyayangimu, Badrul Arman Mohd Affendi.” Berkali-kali ayat terakhir itu kuulang baca. Bunyinya indah menjadi halwa telinga. Manis sungguh jika ianya betul-betul bermakna. Lantas, tanpa kusedari, bibirku mula melakar senyuman. ‘Angau ke aku ni?’ soalku di dalam hati. ‘Ah, barangkali perasan kut?’
“Bad ni peliklah! Suka sangat tulis surat. Zaman kan dah moden? Surat-surat ni orang tak main dah. Orang la ni guna telefon aje. Cepat dan berkesan. Mesej tersalur jelas.” Itulah komenku tahun lepas. Sebenarnya bukan apa, aku ini jenis yang malas menulis. Berat tanganku setiap kali mahu membalasnya. Lagipun, telefon kan ada? Kenapa nak lenguhkan tangan? Kan elok kalau digunakan kemudahan yang ada?
“Ayat yang disusun di telefon, tak boleh disimpan, hilang macam tu aje. Kalau surat, boleh dipegang, ditilik dan diulang-ulang baca. Ada jugak kenangan. Besok-besok bila dah tua, boleh belek-belek balik, ditunjuk pada anak-anak. Itu pun kalau disimpan elok-elok.” Itulah alasan Badrul.
‘Ditunjuk pada anak-anak? Hisy, tingginya angan-angan Badrul! Kahwin pun belum, dah fikir pasal anak?’ Aku tersenyum-senyum sendirian.
Teringat lagi akan perkataan ‘Yang Menyayangimu’. Apa-kah maksud Badrul menulis begitu? Sayangkah dia padaku, atau cintakah dia? Ternyata yang disebut bukan cinta, tetapi sayang. Akhirnya, aku kembali pada realiti. Kami telah lama berkawan. Pasti Badrul menyayangiku, kalaupun cuma sebagai sahabat.
****
HARI itu, selepas menyertai aktiviti ko-kurikulum, aku melencong ke pusat bandar Kota Bharu. Destinasiku ialah Kedai Buku Muda Osman. Kedai itu terletak berhadapan dengan Bazar Buluh Kubu.
Selesai membeli beberapa buah buku ulang kaji, aku ingin beredar. Namun, langkahku terhenti sebaik sahaja mataku tertancap pada Majalah Keluarga yang terletak di atas rak, tersusun rapi bersama majalah-majalah lain. Ternyata, kulit depan majalah tersebut sangat menarik minatku. Aku menghampiri rak dan menarik majalah itu keluar.
Kutatap gambar yang menjadi penghias kulit depan majalah dengan dada berdebar-debar. Seorang wanita berusia yang anggun sedang duduk di atas kerusi kayu berukiran klasik. Manakala di belakangnya berdiri tegap seorang anak muda yang susuk tubuhnya sasa dengan wajah segak menawan. Sekali imbas, penampilan pemuda itu ketara memikat.
Tanpa kusedari jari-jemariku mula bergerak, meraba-raba wajah wanita pada kulit depan majalah itu. Sejalur bebenang rindu mula terpintal, menjerut-jerut tangkai kalbuku. Lantas, wajahnya kurenung. Dek terlalu asyik, aku terlupa seketika keadaan di sekelilingku.
“Itu bos saya.”
Kedengaran suara dari belakangku. Aku terkesima. Hampir terlucut majalah di tangan. Seorang lelaki berkumis nipis sedang tersenyum memandangku. Aku bingung, cuba mengingati kalau-kalau aku mengenalinya, namun hampa.
“Yang awak tatap tu bos saya,” ulang lelaki itu lagi. Senyumannya semakin lebar. Langkahnya menghampiriku. “Gambar di kulit majalah tu, gambar bos saya dengan cucunya.” Dia memberikan penjelasan tanpa dipinta.
Ketika itu, barulah aku faham apa yang dimaksudkan-nya. “Oh, begitu…” Aku berbasa-basi sambil mengangguk.
Pandanganku beralih, menyapa sekumpulan gadis yang sedang melintas di hadapanku. Kedai ini memang ramai pengunjung pada hari minggu begini. Kebanyakannya pelajar.
“Dari tadi saya perhatikan awak ni asyik benar dengan gambar tu, kenapa ya?” tanya lelaki itu lagi. Pada wajahnya terpamer naluri ingin tahu.
Aku gelisah. ‘Lama sangat ke aku tatap gambar ni tadi? Rasanya tak adalah lama. Tapi yang dia ni sibuk-sibuk, kenapa? Aku tengok pakai mata sendiri, bukan mata dia!’ Tiba-tiba timbul rasa kurang senangku terhadap lelaki itu.
“Apa, dah kurang sangat ke kerja kat Malaysia ni?” Aku menyoal geram.
Kelihatan dia mengerutkan dahi, seakan kurang mengerti maksud pertanyaanku.
“Sampaikan awak pilih untuk jaga tepi kain orang?” sambungku dengan nada sinis.
Tanpa terduga, tersembur ketawa dari mulutnya.
“Ya ke? Tak perasan pulak yang saya sedang jaga tepi kain awak. Tapi mana kainnya, tak nampak pun? Jangan-jangan awak ni perasan kut?” Dia berkata-kata sambil matanya menjurus ke bawah, ke seluar trek hitam yang kupadankan dengan kemeja-T putih.
“Eeii… tak senonohlah awak ni! Ada ke pandang seluar orang macam tu sekali? Cungkil biji mata tu, baru tau! Tepi!” Aku merempuh bahu lelaki itu dan berlalu dengan pantas ke kaunter bayaran. Malas rasanya mahu melayan orang sewel.
Selesai membayar harga majalah, aku ingin segera keluar tetapi langkahku terhenti tatkala mataku terpandangkan Cikgu Azura yang sedang melangkah masuk
“Eh, Iman! Belum balik lagi? Buat apa kat sini? Beli buku ke?” tanya Cikgu Azura, macam kereta api tak ada brek.
Aku mengangguk sambil tersenyum. Sementara itu, mataku melilau mencari kelibat lelaki tadi. Panas betul hatiku dengan sikap terlebih ramahnya tu.
“Hai, kak! Dah siap ke?” Tiba-tiba dia muncul di hadapanku.
“Bila masa pulak saya jadi kakak awak?” Aku menengking dengan suara yang kuat. Terlupa seketika akan Cikgu Azura di situ. Mataku mencerlang mengekori lelaki itu. Anehnya, dia kini berdiri di sisi Cikgu Azura. Sambil menggamit tangan Cikgu Azura, dia tersenyum kegelian memandangku.
Aku mati kutu. Mindaku pantas menjalar, mencari sebuah makna. Dalam masa yang sama, kulihat Cikgu Azura terpinga-pinga, semacam hairan. Sepasang mata bulatnya terarah tepat ke wajahku.
“Dah siap ke gelang akak tu?” tanya lelaki itu lagi. Kali ini matanya difokuskan kepada Cikgu Azura. Senyumannya meleret-leret. Hanya selepas bertanya, barulah dia meman-dangku. Anak matanya seperti galak mentertawakan aku.
‘Aduh, malunya muka aku!’ Aku yang mula sedar hakikat sebenarnya, terasa malu sendiri. Merah hijau mukaku menahan sebal.
“Dah, Fuad. Awak tu dah jumpa ke belum buku yang dicari?” tanya Cikgu Azura.
Lelaki itu mengangguk sambil menunjukkan buku di tangannya. Dia masih tersenyum sedang aku terus dihimpit malu.
“Hah, Iman… cikgu kenalkan ini adik cikgu, Ahmad Fuad. Kau Fuad, ini Iman Najwa, anak murid akak.” Cik Azura memperkenalkan.
‘Tak sangka pulak aku Cikgu Azura ada adik lelaki penyibuk macam dia ni.’ Hatiku mengomel.
“Oh, anak murid! Patutlah gaya cakapnya mirip akak. Pedas! Cukup asam garamnya. Pandai akak ajar, ya?” perli Ahmad Fuad selamba. Pandangan jenakanya meratah-ratah wajahku.
“Apalah Fuad ni? Ada ke cakap macam tu?” Cikgu Azura menepis bahu Fuad dengan telapak tangannya. “Sebenarnya Fuad, Iman inilah sepupu Iskandar yang akak ceritakan dulu tu. Fuad ingat lagi tak?”
Sebaik sahaja nama Iskandar disebut, hatiku mula berdebar-debar. Teringat akan gambar pemuda pada kulit majalah tadi. Aku yakin, dialah tuan punya nama yang dimaksudkan. Dulu arwah abah selalu menyebut nama itu. Abah terlalu sayangkan insan yang bernama Iskandar itu.
Ketika mata kami bertaut, kulihat air muka Ahmad Fuad berubah. Pandangan mata yang sedari tadi bersalut canda, kini beralih serius. Tiada lagi bunga-bunga tawa pada wajahnya. Dia merenungku dengan pandangan yang jauh berbeza. Hal itu membuatkan aku hairan. Apakah pengenalan lanjut tadi telah merubah persepsinya terhadapku?
“Patutlah you asyik benar dengan gambar tadi! Anyway, I Ahmad Fuad. You boleh panggil Fuad aje.” Dia tersenyum memandangku. Yang pasti, senyumannya kali ini ikhlas.
Aku mengangguk acuh tak acuh. Mataku nak tak nak saja memandangnya. Marahku padanya masih bersisa.
“Hah, yang awak ni Iman, sorang aje, mana Suria?” Mungkin Cikgu Azura baru perasan yang kembar tak seirasku tiada bersama.
Itulah jolokan kawan-kawan kepada aku dan Suria. Ada juga yang melabel kami ‘belangkas’. Ah, belangkas pun belangkaslah! Janji ada Suria. Kalau tiada si Joyah tu, malaplah hidup aku. Sunyi lagi sepi.
“Suria tak datang ko-K, cikgu. Dia ada hal. Saya pun dah nak balik ni. Saya pergi dululah.” Aku meminta diri. Sebelum berlalu, sempat kulontarkan senyuman kepada Fuad.
“MACAM MANA akak boleh tahu budak tu sepupu Is?” Fuad bertanya ketika dia dan Azura dalam perjalanan pulang menaiki kereta. Mereka menyusuri Jalan Pengkalan Chepa menuju ke rumah Azura di Padang Tembak.
“Hisy, Fuad ni! Kan dulu akak dah cerita?” Azura menjeling, tidak menyenangi sikap pelupa adiknya itu.
“Ceritalah lagi, kak. Mungkin masa akak cakap dulu tu, saya tak beri perhatian kut?” pinta Fuad dengan wajah serius. Sambil itu perhatiannya ditumpukan pada jalan raya yang bertali arus dengan kenderaan.
“Amboi! Tak kenal, tak beri perhatian. Dah tengok lawa, nak mengorek pulak ya?” perli Azura. Disikunya lengan Fuad dengan manja.
“Ala, kak… cantik pun, tak sekufu! Lagipun, takut saya kalau dia ikut sifat panas baran Datuk tu. Penyakit keturunan tu, kak oi! Boleh berjangkit.” Ahmad Fuad ketawa kecil. Teringat gelagat Iman sebentar tadi. Boleh tahan juga budak itu. Ada jugalah iras-iras sifat neneknya itu.
“Kau ni… Fuad! Ke situ pulak! Lembut budak tu tau tak?” Azura membalun bahu adiknya, pura-pura marah. Kemudian dia mula bercerita.
“Pertengahan tahun lepas, waktu akak nak ke mari, akak ada beritahu Naila pasal akak kena ikut suami pindah ke Kelantan. Bila akak sebut nama Sekolah Menengah Ismail Petra, Naila terus beritahu, adiknya jugak mengajar kat situ. Masa tulah dia cerita tentang krisis keluarga mereka. Bukhari telah lama disingkir oleh Datuk sebab berkahwin tanpa izinnya. Naila pula dilarang keras dari berhubung dengan adiknya tu.”
“Jadi Auntie Ila tak pernah hubungi mereka?” Fuad mengukir memek muka hairan. Air ditetak, boleh ke putus?
“Cuma sesekali bertanya khabar melalui telefon. Itu pun jarang. Alah… Fuad bukannya tak tahu perangai Auntie Ila tu dulu, kuat berpoya! Mana nak fikir pasal hubungan keluarga. Sekarang baru nak jadi orang. Baru terfikir nak pulihkan hubungan. Itu pun setelah adiknya tu meninggal.” Azura menyuarakan rasa terkilan dengan sikap kakak angkatnya semasa di universiti dulu.
Fuad mengangguk, tanda faham. “Patutlah, Is pun tak pernah sebut pasal arwah pak ciknya tu. Agaknya dia tak ingat kut?”
“Masa kecil dulu, Is rapat dengan arwah Pak Cik Bukhari. Bila Auntie Ila bawa diri ke London lepas bercerai dengan abah Is , Bukharilah yang jaga Is. Tapi selepas Bukhari dihalau, dia tak dibenarkan jumpa Is lagi. Sebab tulah bila dewasa, Is tak berapa ingat pak ciknya tu.”
“Mana akak tahu semua ni?”
“Bukhari sendiri yang ceritakan. Kami sempat berkawan beberapa bulan sebelum dia dan isterinya kemalangan.” Nada suara Azura berubah sayu.
“Sayang sekali, fikiran Datuk tu sempit. Kalaulah dia cuba kenal hati budi menantunya tu, pasti dia jatuh kasih. Rosaida tu cukup sempurna sifatnya. Cantik, baik, penyabar dan beriman. Datuk takkan dapat menantu lebih baik dari dia tu.”
Teringat Azura akan segala sifat baik Rosaida. Padanyalah Rosaida meluahkan rasa terkilan kerana tidak berpeluang berkhidmat kepada mentua. Pun begitu, Rosaida tidak pernah memburuk-burukkan Datuk Mazni. Nama wanita itu sentiasa manis di bibirnya.
“Manusia… macam tulah, kak. Tak pernah bersyukur dengan apa yang ada.” Fuad tersenyum sinis. “Tapi macam mana dengan status budak tu, kak? Datuk tahu tak pasal cucu perempuannya tu?”
“Tahu. Tapi Fuad faham ajelah perangai Datuk tu. Keras hati! Sedangkan anak boleh dibuangnya, inikan cuma cucu.” Azura mencebirkan bibirnya, meluat dengan sikap ego Datuk Mazni yang melangit.
“Ingat lagi tak pasal telegram yang akak kirim pada Fuad, suruh bagi pada Datuk masa Bukhari meninggal dulu tu?” soal Azura tiba-tiba.
Ahmad Fuad mengangguk. “Saya dah bagi padanya sebelum berlepas ke London.” Dia masih ingat, sebaik menyerahkan telegram itu, dia bergegas ke lapangan terbang. Selepas lapan bulan di sana, baru minggu lepas dia pulang ke Malaysia.
“Akak tahu. Tapi Datuk tak pergi, tahu tak? Sampai ke sudah dia tak menjenguk jenazah anak dan menantunya tu.”
Mengingatkan itu, Azura berasa sebu. Walau dah hampir setahun berlalu, namun kesan perbuatan Datuk Mazni masih terasa. Ramai orang kampung mengumpat dan mengeji sikap Datuk Mazni yang langsung tidak muncul untuk sama-sama mengiringi jenazah anak dan menantunya ke tanah perkuburan.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81385/rahsia-hatiku