[SNEAK PEEK] RADIO

Radio oleh Fitri Hussin, Julie Jasmin, Syaida Ilmuna

BUDI terus nampak Johari yang sudah menunggu di tempat parkir sebaik dia membelok masuk stesen minyak itu. Dia terlewat sampai. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Johari yang resah tersenyum lega.

Sorry lambat sampai. Masuklah.”

Johari masuk ke dalam Mitsubishi Lancer GT.

“Kau dah beritahu orang tu kita lambat sampai?”

“Sudah bang.”

“Dia okey ke?”

“Okey aje bang. Asalkan kita beritahu. Dia tak tertunggu-tunggu nanti.”

“Jom kita gerak.”

Mereka tiba di sebuah rumah di hujung sebuah kampung di Banting. Sebaik sahaja mereka sampai, lampu beranda pun dinyalakan. Pintu rumah itu dibuka dan keluar seorang lelaki yang menunggu mereka di tangga. Lelaki itu menjemput mereka naik lalu duduk di kerusi rotan di beranda itu. Budi dan Johari duduk di situ. Sejurus seorang perempuan datang menghidangkan minuman dan makanan sebelum menghilang semula ke dalam rumah. Mereka berbual dahulu sambil minum dan makan.

“Saya datang ni sebab…”

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Mael itu mengangkat tangan. Budi yang faham tidak meneruskan kata-kata.

“Aku tahu.”

“Jadi apa sebenarnya yang berlaku pada saya bang?”

“Benda tu sentiasa ikut kau.”

“Benda apa bang?”

“Benda yang si Johari ni nampak kat belakang kereta kau tu.”

“Hantu?”

“Habis tu apa?”

Budi terdiam. “Macam mana dia boleh ikut saya bang? Dia asal dari mana? Saya tak pergi mana-mana tempat keras pun. Saya pergi pejabat balik rumah. Berulang macam tu tiap hari.”

Abang Mael tersenyum.

“Abang boleh tolong halaukan?”

“Payah sikit.”

“Sebab apa?”

“Bukan liar tapi bertuan.”

“Ada orang hantar ilmu hitam pada saya ke bang?”

Abang Mael mengangguk.

“Abang boleh bantu saya?”

“Boleh. Duduk bersila depan aku. Pejam mata.”

Budi bersila di lantai berhadapan Abang Mael. Mulut Abang Mael kumat-kamit membaca sesuatu. Dipegangnya kelopak mata kiri Budi dan kemudian berpindah ke kelopak mata kanan. Dipegangnya kepala Budi pula. Menghabiskan mantera yang dibacanya dengan dengusan kasar.

“Jauhi dia dan jangan datang lagi!”

Sunyi.

“Pergi kalau tak nak mati!”

Sunyi.

“Pergi!”

Kedengaran suara mendengus yang kuat sebelum sayup-sayup hilang.

“Buka mata kau.”

Budi membuka mata.

“Benda tu dah pergi. Nanti aku buatkan air. Minum dan mandi.”

Namun selepas seminggu benda yang mengganggunya itu muncul semula. Membuatkan Budi kembali berjumpa dengan Abang Mael.

“Kalau benda orang hantar memang payah. Bila dah dipaksa tuannya, nak tak nak dia terpaksa datang mengacau kau jugak. Tuan dia dah pegang kelemahan dia,” terang Abang Mael.

Budi mengangguk. Mulai perlahan-lahan belajar dan memahami selok-belok dunia ilmu hitam.

“Hari ni aku ubatkan, seminggu dua dia hantar lagi, kau pun diganggu semula.”

“Saya nak buat apa bang?”

“Aku ajar kau cara nak elak diganggu. Nak?”

“Ajar macam mana bang?”

“Ajar mantera pelindung diri.”

“Boleh bang.”

“Aku tak ajar orang sebarang. Orang terpilih aje aku ajar. Lagipun aku tengok kau sesuai.”

Budi tersenyum. Maklumlah terpilih dan sesuai pula.

“Kalau orang lain dah lama tumbang. Ada benda yang dituju pada kau tak kena.”

“Tak kena?”

“Betul. Orang tua kau bukan sembarangan.”

Budi terkejut mendengar kata-kata Abang Mael.

“Maksud abang?”

“Kau akan tahu nanti.”

“Beritahulah bang.”

“Kau akan tahu nanti. Sabar. Sekarang aku ajar kau cara nak atasi masalah kau ni. Sekali petua untuk keadaan-keadaan tertentu. Itu yang lebih penting.”

Budi tidak membantah biarpun hatinya meronta-ronta ingin tahu.

Seperti yang diberitahu Abang Mael, selepas seminggu kelibat perempuan tua itu muncul semula. Hampir sahaja kereta Budi terbabas apabila melihat wajah perempuan itu menjegil pada cermin pandang belakang. Mujur dia sempat menekan brek. Tayar berhenti selangkah dari gaung bukit.

Dia membuka pintu. Hendak keluar segera dari kereta seperti petua yang diberi oleh Abang Mael. Tetapi pintu itu ditolak keras dari luar. Kunci pintu tertutup sendiri. Dia cuba membuka kunci pintu itu semula. Ia tertutup sendiri semula. Brek tangan turun sendiri. Dia cuba menarik brek tangan itu ke atas semula. Tetapi brek tangan itu berat dan tidak mampu ditarik. Gear ke ‘D’ sendiri. Kereta itu berjalan sendiri.

Budi teringatkan pesan Abang Mael. “Tenang Budi, tenang.” Dia mengingatkan diri sendiri. Sebaik teringat mantera yang diajar Abang Mael, dia terus membacanya.

Kunci pintu kereta naik. Dia membuka pintu kereta. Sempat keluar sebelum pintu itu ditolak kuat dan tertutup semula. Keretanya berhenti bergerak kira-kira seinci dari gaung bukit. Budi lega bukan kepalang. Mengingati apa perkara seterusnya yang harus dilakukan, dia segera berdiri tetap lalu membaca mantera yang diajar Abang Mael.

Keretanya bergoyang kuat seperti ada sesuatu yang meronta-ronta di dalamnya. Di hujung manteranya terdengar cermin pecah dan suatu benda melesit pergi dari situ melanggar daun-daun pokok yang bergoyang kuat. Disertai raungan kesakitan yang menyeramkan.

Pantas Budi masuk semula ke dalam kereta dan pergi dari situ. Sepanjang jalan dia membaca mantera yang diberi Abang Mael sehingga sampai ke apartmen.

Perempuan tua itu tidak mengganggunya lagi. Dia berasa lega. Tetapi selepas sebulan, dia ternampak kembali kelibat perempuan tua itu di dalam apartmennya. Walaupun hanya nampak kelibat rambutnya, dia tahu ia milik perempuan tua itu. Yang anehnya selepas dia nampak perempuan tua itu sekali lagi dia ternampak kelibat lelaki tua yang dilihatnya di sisi keretanya dalam hujan dulu. Dia tertanya-tanya, adakah hantu yang mengacaunya dua ekor? Atau apa kaitan hantu lelaki tua itu dengan hantu perempuan tua itu?

Tidak senang duduk di dalam apartmen, Budi keluar melepak di restoran mamak. Pesan mi goreng dan teh tarik. Pesanan sampai selepas 15 minit. Dia kembali melayari Facebook, Instagram dan Twitter berhenti bermedia sosial. Cicip teh tarik dan jamah mi goreng.

Sebetulnya dia bukanlah lapar tetapi dia pesan juga mi goreng itu. Spontan. Entah apa yang difikirkannya waktu itu. Restoran mamak selalunya bukan kisah pun kalau pelanggan duduk berjam-jam. Lagi pula sebelum pulang ke apartmen dia sudah melantak nasi di restoran berdekatan pejabatnya seperti selalu.

Namun sebaik menjamah mi goreng itu, selera makanannya bangkit. Sedap satu hal dan perutnya yang berasa masih penuh tadi tup-tup seperti terasa sangat lapar. Tengah asyik menikmati makanan, dia berasa ada sesuatu di dalam mulutnya. Dia segera ke singki. Menunduk kepala. Sempat lagi tengok sekeliling. Kemudian baru luah. Gumpalan rambut kelihatan bersama mi goreng yang belum ditelan.

Dia membuka paip singki. Air mengalir melanggar gumpalan itu. Gumpalan mi berpisah dari gumpalan rambut itu. Dia melihat sekeliling. Kelihatan pekerja restoran itu bercekak pinggang mengawasi pekerja-pekerja lain.

“Anney!”

Penyelia restoran itu menoleh ke arah Budi.

“Mari sini.”

Penyelia restoran mamak itu datang. “Ada apa abang?”

“Kau tengok ni.” Tangan Budi menunjuk ke dalam singki.

Penyelia restoran itu melihat ke dalam singki.

“Kau rasa apa tu? Benda ni dalam mi goreng tu. Nasib baik aku tak telan.”

Sorry bang. Saya suruh tukang masak buat lain.”

“Tak payah. Tak selera aku nak makan lagi.”

“Ini mi abang tak payah bayar.”

Sejuk sikit hati Budi. Namun, dia tidak ke meja semula. Sebaliknya ke kaunter, membayar teh dan beredar dari situ. Pulang ke apartmen, menonton televisyen dan mula mengantuk. Seperti selalu, dia akan menggosok gigi sebelum tidur. Sambil menggosok gigi, dia akan merenung dirinya di dalam cermin.

Matanya terbeliak. Dia ternampak kelibat perempuan tua itu berlalu sangat pantas di belakangnya sebentar tadi. Dia terkaku sebentar dan pantas membaca mantera. Rasa cuak tadi perlahan-lahan hilang dan kelibat perempuan tua itu tidak muncul semula.

Dia menggosok gigi semula. Membuka pili air dan meludah ke singki. Terkejut mendapati air ludahan itu bercampur dengan gumpalan rambut. Air yang mengalir menghilangkan air ludahan dan membersihkan gumpalan rambut. Kali ini jelas kelihatan sifat rambut yang bergumpal itu. Ada helaian-helaian uban di dalam gumpalan rambut itu. Sah ia gumpalan rambut perempuan tua yang memang beruban itu!

Budi pantas berpaling. Sejurus dia berasa perempuan tua itu masih ada di situ. Ada bunyi pecutan air yang keluar dari kepala paip singki. Budi kembali melihat ke singki. Air yang mengalir dari kepala paip itu kelihatan sekejap perlahan dan sekejap laju. Seperti ada perubahan tekanan air. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Lampu bilik air terpadam. Sesaat kemudian terpasang kembali. Terpadam, terpasang, terpadam… Dalam sedetik itu Budi berasa mulutnya dipenuhi sesuatu. Pantas dia memasukkan jari ke dalam mulut. Menarik keluar apa yang memenuhi mulut. Terasa benda itu menjalar ke kerongkong. Menyesakkan nafasnya.

Lampu terpasang. Dalam sedetik cahaya itu Budi terkejut melihat apa yang ditarik keluar dari mulut ialah gumpalan rambut beruban. Lampu terpadam. Budi menggagau pemegang pintu. Dia mahu segera keluar dari situ. Tetapi yang dipegangnya adalah sesuatu yang amat dingin. Seperti kulit seorang manusia.

Lampu terpasang. Perempuan tua yang berdiri di hadapannya itu menyeringai ke arahnya. Budi menarik tangannya dari tangan perempuan tua itu. Lampu terpadam. Dia pantas berundur dan jatuh terlentang. Kepalanya melanggar bucu singki. Dia tidak menghiraukan kesakitan di kepala dan terus menjauhkan diri dari pintu. Lupa tentang mantera yang diajar Abang Mael.

Lampu terpasang. Perempuan tua itu sudah tiada. Lampu itu tidak terpadam lagi. Barulah Budi teringatkan Abang Mael. Segera dia beredar dari situ. Masuk bilik tidur dan capai telefon bimbit. Abang Mael dihubungi.

“Tolong saya bang…”

“Tenang. Baca mantera yang aku bagi tu.”

“Saya terlupa. Terkejut sangat tadi. Saya rasa dia ada lagi ni.”

“Kejap aku buat dari jauh.”

Diam setengah minit.

“Aku dah halau dia.”

“Baru saya rasa okey sekarang. Tak ada ke mantera lain yang lebih power bang?”

Terdengar Abang Mael ketawa di talian.

“Kau kena belajarlah.”

“Saya nak belajar.”

“Tapi tak boleh ambik secubit-secubit. Kena belajar satu peringkat ke satu peringkat.”

“Boleh bang. Bila abang free, saya jumpa abang. Lagi cepat dapat belajar lagi bagus.”

“Nak belajar tak payah jumpa aku. Aku pun bukan selalu ada di rumah.”

“Macam mana tu?”

“Belajar melalui…”

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266822/radio