[SNEAK PEEK] Puaka Kantin Sekolah

Puaka Kantin Sekolah oleh Khairul Nizam Khairani

5.05 pagi

Athirah tersedar. Dia bangkit perlahan-lahan dan termenung seketika dalam mamai. Apabila kesedarannya mula menyergap, telinganya menangkap bunyi sesuatu.

Bunyi erangan kesakitan!

Bunyi manusia mengerang kesakitan itu diselang-seli dengan jeritan dan lolongan seolah-olah mereka sedang menghadapi suatu azab yang menyeksakan. Athirah mengamat bunyi itu. Ia seolah-olah datang dari segenap sudut di luar kelas. Athirah menjenguk ke luar tingkap. Dia terkejut melihat beberapa orang guru dan juga murid-murid berguling-guling di atas tanah sambil memegang perut masing-masing. Mereka menjerit, menangis, mengerang dan melolong kesakitan. Ada guru-guru yang masih mampu berdiri cuba membantu beberapa orang murid yang kesakitan dengan membawa mereka masuk ke dalam kelas di tingkat bawah. Athirah segera mengintai di celahan lantai. Keadaan di dalam kelas di tingkat bawah hiruk-pikuk dengan tangisan serta jeritan kesakitan murid-murid dan juga para guru yang mengalami azab kesakitan yang amat sangat.

Apa yang berlaku?

Apa yang terjadi kepada mereka? Apa yang menyebabkan mereka menghadapi azab derita sedemikian rupa?

Salah seorang murid memuntahkan darah. Kemudian murid-murid lain turut termuntah darah. Suasana menjadi bertambah gamat. Cikgu Salwa berusaha membantu rakannya, Cikgu Intan yang juga kesakitan.

“Wawa, kenapa dengan aku ni, Wawa? Kenapa dengan aku?” tanya Cikgu Intan sambil diiringi tangis. Cikgu Salwa tidak menjawab. Dia sendiri kelihatan mati akal, tidak tahu apa yang berlaku.

“Cikgu Rahim!” panggil Cikgu Salwa kepada rakannya. “Cikgu tak telefon hospital?” tanyanya, separuh menjerit kepada seorang guru lelaki yang turut membantu beberapa orang murid yang berguling-guling kesakitan di atas tanah di luar bilik darjah.

“Macam mana nak telefon? Pondok telefon di luar sekolah!” beritahu Cikgu Rahim.

“Habis tu? Takkan nak biarkan saja mereka ni semua? Kita tak mampu buat apa-apa. Kita perlu hubungi hospital!” tegas Cikgu Salwa. Namun, kata-kata Cikgu Salwa itu tidak sempat dijawab Cikgu Rahim apabila dia sendiri jatuh melutut ke tanah sambil memegang perutnya.

Cikgu Rahim muntah darah! Cikgu Salwa panik melihat keadaan Cikgu Rahim. Dia melihat sekeliling. Hanya dia sahaja guru yang masih belum benar-benar jatuh sakit. Namun dia tidak pasti berapa lama dia mampu bertahan kerana dia juga dapat merasakan tubuhnya semakin lama semakin lemah dengan perutnya terasa senak dan menyakitkan.

Athirah tersandar ke dinding, ketakutan. Haruskah dia membantu? Tetapi, apa yang mampu dilakukannya? Athirah mencapai telefon bimbit. Mungkin dia boleh hubungi pihak hospital. Namun, dia kecewa. Tiada sebarang isyarat telekomunikasi pada telefon bimbitnya. Athirah mati akal.

Dia bungkam, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tiba-tiba pintu kelas terbuka. Cikgu Salwa meluru masuk sambil memapah Cikgu Rahim yang tidak bermaya. Tubuhnya dibasahi darah yang Athirah percaya adalah darah yang dimuntahkannya.

“Tolong! Tolong saya cepat!” gesa Cikgu Salwa kepada Athirah. Athirah pantas membantu memapah Cikgu Rahim sebelum dibaringkan di atas tikar getah. “Tolong saya bawa budak-budak di bawah tu. Kelas di tingkat bawah sudah tidak muat untuk menempatkan budak-budak dan cikgu-cikgu yang sakit!” arah Cikgu Salwa. Athirah mengangguk sebelum menuruti langkah Cikgu Salwa. Kehadiran Athirah langsung tidak menjadi persoalan kepada Cikgu Salwa. Mungkin kerana dia lebih menumpukan perhatian pada situasi genting yang sedang dihadapi.

Mereka turun ke tingkat bawah. Bergelimpangan beberapa orang murid dan guru di atas tanah. Ada yang mengerang kesakitan dan ada juga juga yang sudah tidak lagi bergerak. Athirah tertanya-tanya jika mereka yang tidak bergerak itu masih hidup.

“Cepat. Angkat budak-budak ni naik ke kelas atas!” suruh Cikgu Salwa. Athirah mengangguk sebelum menghampiri seorang kanak-kanak perempuan yang mengerang dan menggelinjang di atas tanah.

“Mak… mak… mak…,” sebut kanak-kanak itu sambil memegang perutnya. Sebak Athirah melihat keadaan kanak-kanak itu. Dia segera mengangkat kanak-kanak itu lalu memanjat tangga ke tingkat atas. Sakit kakinya masih terasa, namun tidak dihiraukannya. Kanak-kanak itu dibaringkan tidak jauh dari Cikgu Rahim sebelum Athirah kembali turun ke bawah. Dia mengangkat seorang lagi kanak-kanak untuk dibawa ke tingkat atas. Namun, Athirah mendapati kanak-kanak lelaki itu senyap. Bajunya basah dengan darah. Athirah meletakkan hujung jarinya ke rongga hidung kanak-kanak lelaki itu. Dia tidak merasa hembusan nafas. Athirah memeriksa pula nadinya. Tidak ada denyutan nadi. Adakah kanak-kanak lelaki itu sudah mati?

“Cikgu!” panggil Athirah. Cikgu Salwa menoleh. Athirah menundingkan jarinya pada kanak-kanak lelaki itu. Cikgu Salwa merenung kanak-kanak itu seketika. Ada riak sebak di wajahnya.

“Angkat budak lain!” arah Cikgu Salwa. Athirah akur lalu mendapatkan seorang kanak-kanak perempuan berhampiran. Athirah mendapati ada beberapa lagi tubuh yang terdampar kaku. Bukan hanya kanak-kanak, malah dua orang dewasa yang Athirah percaya adalah pemandu bas dan pembantunya turut terkejur kaku. Athirah cemas dengan apa yang berlaku. Adakah yang lain juga akan menerima nasib yang sama?

Athirah cuba mengangkat tubuh kanak-kanak perempuan itu. Kanak-kanak itu pada mulanya meronta-ronta, enggan diangkat Athirah.

“Adik, akak nak bawa adik masuk ke dalam kelas. Adik janganlah meronta-ronta macam ni, payah akak nak angkat adik,” pujuk Athirah. Kanak-kanak itu berhenti meronta, namun masih menangis kesakitan.

“Wati nak ibu… Wati nak ibu…,” ngongoi kanak-kanak itu.

“Baik… baik. Biar akak bawa Wati masuk ke dalam kelas dulu. Lepas tu nanti akak telefon ibu Wati, ya?”

Kata-kata Athirah hanya dibalas dengan tangisan teresak-esak. Athirah mengangkat tubuh kanak-kanak itu. Pada kala itu Athirah melihat babu dan Akak Salma hanya berdiri di hadapan kantin. Mereka sekadar memerhatikan sahaja apa yang berlaku tanpa membantu sedikit pun. Riak pada wajah mereka tampak sayu, seperti ada kekesalan dalam hati mereka. Athirah pelik dengan sikap mereka itu, namun dia tidak peduli. Dia segera membawa kanak-kanak bernama Wati itu naik ke kelas di tingkat atas. Wati dibaringkan di sebelah kanak-kanak perempuan yang mula-mula dibawa Athirah tadi. Saat itu Athirah menyedari yang Wati tidak lagi bergerak mahupun bersuara.

“Wati! Wati!” kejut Athirah sambil menggoncang tubuh Wati, namun kanak-kanak itu tidak bangun. Athirah menelah yang Wati telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada waktu itu juga Athirah menyedari kanak-kanak perempuan yang dibawanya tadi dan juga Cikgu Rahim turut senyap. Athirah terduduk di atas lantai. Mereka semua telah mati! Jasad mereka terbaring di tengah-tengah kelas.

Athirah dikejutkan dengan Cikgu Salwa yang meluru masuk sambil mencempung tubuh seorang kanak-kanak. Kanak-kanak itu dibaringkan di atas lantai. Namun, seperti juga Wati, Cikgu Rahim dan kanak-kanak yang dibawa Athirah, kanak-kanak yang dibawa Cikgu Salwa itu juga sudah tidak bernyawa.

“Mira! Mira! Bangun, sayang! Mira, bangun!” Cikgu Salwa separuh menjerit, seolah-olah dengan memekik kepada kanak-kanak itu dapat mengejutkannya kembali. Cikgu Salwa seperti juga Athirah, terduduk di atas lantai. Dia menghembuskan nafas kecewa. Cikgu Salwa tiba-tiba menangis teresak-esak sambil menekup mukanya.

“Cikgu…,” tegur Athirah. “Cikgu…,” tegur Athirah lagi. Cikgu Salwa menoleh ke arahnya. “Apa yang berlaku, cikgu?” tanya Athirah.

Cikgu Salwa tidak segera menjawab. Dia bagai cuba menilai situasi ini. “Mereka kena racun,” jawab guru itu akhirnya.

“Racun? Oleh siapa?” tanya Athirah. Cikgu Salwa teresak-esak menangis sambil menunduk ke lantai.

“Tak tahu… tapi, kami tak makan di mana-mana kecuali di kantin tu…,” beritahu Cikgu Salwa. Jantung Athirah berdegup kencang. Dia teringat rombongan pelajar ini serta guru-gurunya menikmati nasi beriani yang dimasak babu dan Akak Salma.

‘Aku pun makan juga!’ hati kecil Athirah menyuarakan kebimbangan. Dia memegang perutnya. Dia lebih dahulu menjamah nasi beriani itu, namun hingga kini dia tidak pula sakit. Jadi, adakah benar makanan hidangan babu dan Akak Salma menjadi punca mereka semua keracunan makanan? Dan adakah benar mereka semua diracun?

Tiba-tiba Cikgu Salwa muntah. Darah menyembur dari mulutnya.

“Cikgu!” Athirah cemas dan cuba menahan tubuh Cikgu Salwa yang rebah ke lantai.

“To… tolong, telefon hospital…,” pinta Cikgu Salwa. Athirah mengangguk. Dia membaringkan Cikgu Salwa di atas lantai sebelum mendapatkan telefon bimbitnya.

“Ah! Kenapa tak ada line ni!” Athirah separuh menjerit, melepaskan marahnya apabila melihat isyarat telekomunikasi pada telefon bimbitnya masih tidak ada.

“Tel… telefon….”

Cikgu Salwa bersuara. Athirah kembali semula ke sisi guru itu.

“Telefon awam… ada pondok telefon awam… di luar sekolah…,” beritahu Cikgu Salwa.

“Baik, cikgu. Saya pergi cari. Cikgu tunggu sini,” balas Athirah. Dia bergegas keluar dari kelas. Sewaktu sampai ke tingkat bawah, Athirah menyedari babu dan Akak Salma tidak lagi berada di hadapan kantin. Entah kenapa Athirah tergerak mahu bertemu dengan mereka, lantas dia menuju ke kantin lama itu.

“Akak Salma!” panggil Athirah. Tidak ada jawapan. “Akak Salma! Babu!” Athirah terus memanggil, namun tiada yang menyahut. Dia menjenguk ke dalam kantin lama itu. Ruang hadapan yang menjadi tempat menjual makanan, kosong tidak ada sesiapa. Dia masuk ke bahagian dapur. Ia juga kosong. Athirah menyedari periuk berisi lauk kelihatan tersadai di atas lantai dengan lauk dan nasi beriani yang berbaki, bertaburan di sana sini. Athirah tertanya-tanya apa yang berlaku dan ke mana perginya pasangan suami isteri itu.

Athirah meninggalkan dapur. Sebelum melangkah keluar dari ruang dalam kantin, dia ternampak sebuah bilik. Mungkin itu bilik tidur mereka. Athirah menuju ke bilik itu. Pintu separuh terbuka, namun Athirah tidak dapat melihat apa-apa kerana di dalamnya gelap.

“Akak Salma! Babu!” panggil Athirah dari luar bilik, namun tidak sesiapa menyahut panggilannya. Athirah perlahan-lahan menolak daun pintu agar lebih luas. Dia meraba-raba dinding, mencari suis lampu. Dan sebaik dia menemui suis lampu, ia dihidupkan.

“Aah!” Athirah terjerit pendek sebelum jatuh terduduk. Matanya buntang merenung dua tubuh tergantung di tiang alang.

Akak Salma dan suaminya, babu!

Mereka telah menggantung diri! Mereka telah membunuh diri! Athirah perlahan-lahan bangkit sambil menangis teresak-esak. Perasaannya bercampur baur antara takut, terkejut dan bingung dengan apa yang berlaku. Dia keluar dari kantin lama itu. Telinganya masih mendengar erangan dan jeritan kesakitan mereka yang diracun. Di halaman sekolah, bergelimpangan jasad tidak bernyawa. Dalam tangisan, Athirah berlari keluar dari sekolah itu. Dia mencapai basikalnya lalu dikayuh. Dia mahu mencari pondok telefon awam yang dinyatakan Cikgu Salwa.

Athirah mengayuh dan mengayuh dalam esak tangis. Namun jauh dia mengayuh, tidak ditemui juga pondok telefon awam yang dinyatakan Cikgu Salwa.

“Mana pondok telefon ni? Mana!” pekik Athirah, seolah-olah melepaskan kekecewaan dalam dadanya. Kerana terlalu hampa dan juga kepenatan, Athirah akhirnya berhenti di bahu jalan. Dia teresak-esak menangis. Perasaan yang terlalu sebak membuatkan Athirah turun dari basikalnya dan terduduk di atas tanah sambil mengongoikan tangisan.

Tangisannya reda apabila dari kejauhan, terdengar azan berkumandang menandakan telah masuk waktu solat subuh. Athirah perlahan-lahan bangkit. Dia kembali mengayuh basikalnya, namun tidak tahu ke mana arah tuju. Kira-kira setengah jam berkayuh, dia berhenti di hadapan pintu masuk sebuah bangunan kerajaan. Dia melihat seorang pengawal keselamatan di dalam pondok keselamatan di pintu masuk utama.

“Assalamualaikum….” Athirah memberikan salam. Pengawal keselamatan itu menjenguk ke luar pondok dan melihat Athirah. Kemudian dia keluar dari pondok keselamatan itu dan menghampiri pintu pagar yang masih tertutup. Pengawal keselamatan yang pada pemerhatian Athirah mungkin berusia sekitar 50-an, merenungnya dengan riak kehairanan.

“Adik ni siapa?” tanya pengawal keselamatan itu.

“Nama saya Athirah,” jawab Athirah. “Pak cik boleh tolong saya?”

“Tolong apa?”

“Pak cik tahu tak di mana ada pondok telefon awam?”

“Pondok telefon awam? Mana ada pondok telefon awam lagi sekarang ni. Semua orang dah pakai handphone sekarang,” balas pengawal keselamatan itu. “Adik nak telefon siapa?”

“Hospital,” jawab Athirah.

“Hospital? Kenapa?”

“Saya nak beritahu ada kes keracunan.”

Pengawal keselamatan itu menyeluk saku seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Serta-merta Athirah teringatkan telefon bimbitnya yang tertinggal di sekolah. Dia terasa bodoh kerana terlupa membawanya bersama.

“Siapa yang keracunan?” tanya pengawal keselamatan itu sambil mahu mendail nombor pada telefon bimbit.

“Budak-budak sekolah,” jawab Athirah.

“Di mana?”

“Di Sekolah Bukit Tebuk.”

Berubah serta-merta air muka pengawal keselamatan itu. Dia tidak jadi menghubungi hospital. Dia merenung Athirah dengan riak curiga.

Reaksi pengawal keselamatan itu menimbulkan kejengkelan dalam hati Athirah. “Pak cik! Cepatlah telefon hospital!” desaknya.

“Kamu dari Sekolah Rendah Bukit Tebuk?” tanya pengawal keselamatan itu lagi.

“Ya!”

Pengawal keselamatan itu merenung Athirah sedalam-dalamnya. Ada riak tidak percaya pada wajahnya dengan jawapan Athirah.

“Pak cik! Cepatlah telefon hospital! Nanti lagi ramai orang mati!” desak Athirah keras.

“Pak Kassim!”

Satu suara memanggil. Pengawal keselamatan itu dan juga Athirah menoleh ke arah datangnya suara itu.

“Hah, Sudin!” jawab pengawal keselamatan itu.

“Apa kecoh-kecoh ni?” tanya pengawal keselamatan yang lebih muda itu sambil menghampiri Pak Kassim.

“Ni, adik ni. Dia nak minta tolong.”

“Tolong apa?” tanya Sudin.

“Telefon hospital.”

“Kenapa?”

“Katanya ada budak-budak sekolah keracunan.”

“Budak sekolah mana? Bukan ke musim cuti sekolah sekarang ni?” ujar Sudin.

“Dia kata, budak-budak keracunan tu di Sekolah Rendah Bukit Tebuk.”

Air muka Sudin berubah sebaik Pak Kassim menyebut nama sekolah itu. Mereka saling berpandangan. Sudin cepat-cepat membuka pintu pagar.

“Masuk!” suruh Sudin. Athirah teragak-agak, namun dia masuk juga ke dalam kawasan bangunan kerajaan itu. “Adik dah minum?” tanya Sudin. Athirah tidak menjawab. Dia bingung dengan sikap Pak Kassim dan Sudin. Pak Kassim beredar seketika, masuk ke dalam pondok keselamatan sebelum muncul semula beberapa minit kemudian.

“Nah, minum kopi O ni,” pelawa Pak Kassim sambil menghulurkan secawan kopi. Athirah menyambut cawan itu lalu diteguk. Lega rasa Athirah apabila tekaknya dibasahi minuman itu. Setelah air kopi itu habis diteguk, cawannya dikembalikan kepada Pak Kassim.

“Pak Kassim bawalah dia pergi ke sekolah tu. Saya tunggu di sini,” saran Sudin. Pak Kassim mengangguk setuju.

“Mari!” ajak Pak Kassim. Athirah akur dan mengekori. Mereka menaiki kereta tua Pak Kassim meninggalkan kawasan bangunan kerajaan itu. Athirah sempat meninjau jam tangan. Sudah jam 6.40 pagi! Matahari sudah menjengahkan diri. Athirah sempat mencuri pandang Pak Kassim yang memandu di sebelahnya. Orang tua itu tidak bersuara, sekadar menumpukan perhatian pada pemanduannya. Namun, Athirah masih dapat rasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran Pak Kassim. Seperti ada sesuatu yang diketahui oleh Pak Kassim dan Sudin yang tidak dimaklumkan kepadanya.

Setelah sepuluh minit memandu, akhirnya Pak Kassim berhenti di sebuah kawasan hutan belukar. Sekeliling kawasan belukar itu berpagar, tetapi pagar dawai itu ada yang sudah rebah menyembah bumi. Di kiri kanan kawasan itu terdapat bangunan lama zaman kolonial yang kelihatan kosong, namun terjaga rapi.

“Buat apa pak cik bawa saya ke sini?” tanya Athirah. Pak Kassim tidak menjawab. Dia keluar dari kereta dan menghampiri kawasan hutan belukar itu. Athirah pelik. Dia juga keluar dari kereta dan menghampiri Pak Kassim. Buat seketika mereka memerhatikan kawasan hutan belukar itu yang penuh dengan semak samun, pokok-pokok renek dan beberapa batang pohon yang yang besar.

“Adik perasan tak?” tanya Pak Kassim.

“Perasan apa, pak cik?” tanya Athirah.

“Tempat ni.”

“Tempat ni? Kenapa?” tanya Athirah kehairanan. Pak Kassim tidak menjawab. Dia melangkah masuk ke kawasan hutan belukar itu. Athirah serba salah, tetapi dia akhirnya turut mengekori Pak Kassim. Mereka masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan meredah hutan belukar itu sebelum berhenti di satu kawasan berhampiran sebatang pokok kayu. Pak Kassim mencapai sesuatu di pangkal pokok itu lalu dihulurkan kepada Athirah.

“Beg kamu?” tanya Pak Kassim. Jantung Athirah berdegup kencang. Ya, itu memang beg pakaiannya. Tetapi, dia meninggalkan beg itu di Sekolah Bukit Tebuk. Athirah memerhatikan kawasan sekitar. Dia terkejut apabila melihat barang-barang kepunyaannya yang lain, termasuklah lampu LED dan telefon bimbit. Pantas Athirah mencapai barang-barang itu.

Athirah menoleh ke arah Pak Kassim seolah-olah menuntut jawapan. Pak Kassim tidak bersuara. Sebaliknya dia kembali ke keretanya. Athirah memerhatikan kawasan sekitar buat seketika sebelum menuruti Pak Kassim kembali ke kereta.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338390/Puaka-Kantin-Sekolah