[SNEAK PEEK] Pil-Pil Ketenangan

Pil-pil Ketenangan
-karya Nur Afirah


. . .

MAHU PULANG KE RUMAH

SOPHIE bersiap-siap untuk ke pejabat. Disebabkan lokasi tempatnya bekerja cuma satu stesen sahaja dari rumah, dia terbiasa untuk bangun sedikit lewat dan bersantai-santai tanpa perlu kalut meredah trafik pagi.

Semburan sejenis cecair ke mukanya itu menjadi turutan akhir yang diaplikasikan sebelum keluar dari bilik. Makanan di atas meja kelihatan seperti sudah kering, masuk angin barangkali. Sejak kebelakangan ini Sophie kehilangan selera untuk makan sehingga rutin pemakanannya terabai. Bibirnya yang mulai merekah itu dioles pelembab bibir kerana jumlah air yang perlu diminum bagi keperluan tubuhnya kurang mencukupi. Bila cuaca panas, tentu-tentu saja bibir menjadi pecah-pecah dan berdarah.

Sebaik pintu utama dibuka, Sophie terkejut bila ada seorang wanita yang berdiri tercegat di situ. Hampir saja dia menjerit namun sempat dikawal.

“Ya, nak apa? Macam mana.. err boleh datang sini?” soal Sophie sambil kepalanya menoleh ke kanan dan kiri, memerhatikan jika ada orang lain di situ. Aras rumahnya yang terletak di tingkat 13 tidak boleh dinaiki tanpa menggunakan kad akses. Jiran sebelahkah? Kad mesti disentuh sebelum pintu akan terbuka. Akses pertama di bahagian tempat meletak kenderaan, kedua sebelum menaiki lif dan ketiga pintu untuk masuk ke kawasan rumah.

“Awak mahu pergi ke mana ni Sophie? Awak belum makan lagi hari ini,” sudah kenapa pula perempuan ini bertanya aku hendak pergi mana, sibuk mengambil tahu aku makan ataupun tidak? Getus hati Sophie yang mulai bingung dengan kedatangan wanita tidak diundang itu.

“Maaf, saya nak pergi kerja ni. Takut lambat pula sampai. Nanti-nantilah kita bersembang ya?” Sophie mengunci pintu dan meluru pergi berjalan laju menuju lif. Wanita itu kemudian kelihatan mengekorinya dari belakang dengan muka agak bengis. Hati Sophie mulai tidak keruan.

Dia mempercepat langkah kakinya.

“Arghhh, waktu macam ini lah kau nak sabotaj aku?” tengking Sophie ke arah kakinya yang tetap saja perlahan walau dia berasakan sudah sehabis laju dia melangkah. Dia pula semakin termengah-mengah.

Punat bersebelahan pintu lif itu ditekan berkali-kali. Kelihatan sangat perlahan dari tujuh aras atas dari tingkat dia berada itu. Sophie kemudiannya berlari ke lif bomba untuk menuruni ke tingkat bawah. Wanita misteri entah dari mana itu hampir tiba berdekatan di mana Sophie berada. Alangkah leganya apabila pintu lif bomba itu terbuka. Kelihatan seorang pak cik yang berpakaian seragam berdiri di dalam lif itu.

Sophie dengan pantas menekan butang tutup dan menuju ke tingkat G. Keadaan dalam lif seperti senyap, seolah-olah tidak bergerak. Paparan skrin jernih yang menunjukkan aras semasa juga tidak berganjak. Masih di tingkat yang sama! Sophie menekan-nekan menggunakan sehabis tenaganya dengan harapan lif itu cepat-cepat bergerak. Tidak semena-mena pak cik berpakaian seragam itu tadi merapati dan bercakap perlahan di telinganya; “Kamu hendak pergi ke mana? Kamu tidak boleh ke mana-mana. Berapa kali pak cik kena beritahu?”

Terbeliak mata Sophie mendengar sayup suara itu. Seperti dia kenal cara pertuturan itu. Siapakah dia? Arghhh. Seperti ditimpa bala pula pagi ini. Sudah tentu-tentu lewat ke tempat kerja, didatangi wanita misteri, kini pak cik berpakaian seragam ini pula.

Betul-betul di hujung pintu lif Sophie berdiri tegak. Dia tidak berani untuk menoleh ke belakang di mana pak cik itu berada. Lif bomba yang bersaiz lebih besar dari yang biasa memberi ruang untuknya mencipta jarak dari berdiri dekat dengan pak cik itu. Sophie mula melambai-lambai tangan ke arah kamera kecil yang terdapat di situ dengan harapan ada bantuan yang datang.

Tiada sebarang respon yang boleh didengar melalui pembesar suara.

. . .

 

Penerbit: Pulih Publishing
Penulis: Nur Afirah

 

Dapatkan versi e-book penuh di e-sentral.com