Aku membuat keputusan untuk tidak terus pulang ke rumah. Mulanya aku mahu ke Kompleks PKNS di Seksyen 14, tempat aku luangkan masa bersama Fil semalam, tapi tiba-tiba aku teringat yang Fil kata dia bekerja di satu kedai buku di Shah Alam Mall. Jadi alang-alang dah keluar rumah, mungkin aku boleh pergi jumpa dia dekat sana.
Nampaknya nasib seakan-akan menyebelahi aku hari ini. Dari depan pintu kedai buku tempatnya bekerja, aku boleh nampak dia berdiri di sebalik kaunter juruwang. Dia tak perasan kehadiran aku sebab sedang sibuk bertugas.
Aku berdiri di sisi kaunter, menanti dia selesai melakukan kerjanya. Setelah tidak ada lagi pelanggan yang beratur di kaunter, dia menghela nafas. Barangkali lega kerana boleh tenang sekejap sebelum mana-mana pelanggan lain pula datang. Dia kemudian menoleh ke arahku dan tersentak. “Eh, Nazim. Kau buat apa kat sini?” soalnya penuh teruja.
“Ushar kau,” aku berseloroh.
“Banyaklah kau punya ushar. Time sekolah dulu tak nak ushar. Haha.”
“Dulu kau nampak lain, sekarang kau nampak lain.”
“Awek hilang, baru nak ushar aku.”
Aku mengetap bibir. Sedikit tersinggung dengan kata-katanya.
“Eh, sorry. Aku tak sengaja. Tersasul pula.” Cepat-cepat dia meminta maaf. Mungkin sedar yang dia melawak tak kena tempat.
“Nah. It’s okay. No big deal.”
“Kau macam mana sekarang?”
“Aku okay je kot. Thanks pasal semalam.”
“My pleasure.”
“Jom pergi makan?” aku mengajak.
“Wei, aku tengah kerja ni.”
“Blah je la. Kata punk, rebel.”
“Itu dululah. Kau juga yang kata dulu lain sekarang lain.”
“Aku tahu. So, nak pergi makan tak?”
“Sabar la. Aku rehat pukul dua belas nanti.”
“Balik pukul berapa?”
“Enam setengah.”
“Masuk pukul berapa?”
“Tengok syif. Hari ni aku masuk pagi. Sembilan suku. So, balik petang. Kalau masuk tengah hari, balik malam.”
“Ooo…” aku mengangguk-angguk tanda faham.
“Sabar ya. Pukul 12 nanti kita pergi makan.”
“Kalau macam tu, aku pusing-pusing dululah. Pukul 12 nanti, aku datang balik.”
“Alright. Ikut kau la.”
Aku pun bergerak meninggalkan Fil dengan tugasnya. Sebelum keluar dari kedai buku tu, sempat aku belek-belek buku-buku yang terjual terutamanya novel dan juga komik. Dulu aku rajin juga baca komik, terutamanya masa sekolah rendah. Bila dah meningkat remaja dan mula meminati muzik, perlahan-lahan aku berhenti baca komik. Minat dan komitmen dah beralih arah sepenuhnya pada muzik dan seterusnya fesyen yang lahir dari muzik itu sendiri.
Masih ada setengah jam lagi sebelum waktu rehat Fil tiba. Aku memutuskan untuk meronda-ronda tanpa hala tuju dalam pusat membeli-belah itu. Kedai-kedai yang ada semuanya tak menarik perhatian aku. Tabiat aku yang suka berjalan tak tentu hala ini sebenarnya aku berjaya hentikan tanpa sedar bila aku berkawan dengan Mai dan Fazlin. Sekarang mereka tak ada, aku kembali ke tabiat lama. Baru sekarang aku sedar yang aku dah lama juga tak buat perangai lama.
Tiga minit sebelum pukul dua belas, aku kembali semula ke kedai buku. Kali ni aku duduk dekat bangku di luar kedai buku. Dari situ aku boleh nampak jelas Fil sedang bercakap dengan seorang staf lain yang memakai uniform sama dengannya. Kemudian dia meninggalkan kaunter juruwang dan masuk ke dalam sebuah bilik yang terletak di belakang kaunter itu.
Gelagat seorang kanak-kanak yang sedang berjalan dengan ibunya menarik perhatian aku. Sesekali si kecil itu ketawa nyaring, nampaknya happy gila. Leka pulak tengok budak kecik tu, dahlah comel, pipi pun tembam. Aku jarang nak puji budak-budak comel sebab aku tak suka budak-budak, tapi budak tu memang comel.
“Dah ready?”
Aku menoleh. Fil sudah berdiri di sebelahku. Dia memakai sepasang jaket yang melindungi uniform kerjanya. Aku memerhati wajahnya sekejap. Nampaknya dia memakai mekap masa bekerja. Wajahnya dibedak tipis, guna celak dan lipstik warna merah jambu yang hampir sama dengan warna bibirnya. Mungkin sebab dia kena jumpa ramai orang kot.
“So, nak makan mana ni?” aku bertanya. Aku yang ajak orang, aku pula yang bertanya. Kalau Mai ada, mesti dia dah tegur. Elok sangatlah tu, Nazim. Terus cari jalan untuk kenang Mai.
“Kalau kedai hijau, kau okay?”
“Kedai hijau?”
Rupa-rupanya ada sebuah kedai makan di kompleks PKNS yang selalu jadi tumpuan para pekerja sekitar, termasuklah Fil dan rakan-rakan sekerjanya di kedai buku itu. Namanya aku lupa nak tanya Fil, tapi kedai tu digelar kedai hijau sebab dindingnya dicat hijau. Kata Fil, ada satu kedai makan lagi yang kawan-kawannya gelar kedai gelap. Sebab apa? Sebab ruang dalam kedai tu gelap. Agaknya, lebih mudah melabel sesebuah kedai itu dengan ciri yang paling menonjol dan ketara padanya selain nama kedai itu sendiri.
Kedai ini menghidangkan nasi campur. Pelbagai jenis lauk terhidang, sesuai selera para pengunjung. Kata Fil, selalunya dia bungkus saja dan makan di stor sebab tempat duduk selalu penuh. Tapi kali ini kami awal, jadi masih banyak tempat kosong. Kami berdua memutuskan untuk makan saja di sini.
Lepas mengambil lauk dan mula makan, baru aku tahu kenapa kedai ini selalu penuh. Makanannya murah dan rasanya boleh tahan sedap. Aku makan nasi berlauk ayam pedas dan kicap. Ringkas. Aku memang tak berapa suka makan sayur kecuali sayur yang Mak masak. Itu pun jenis yang tertentu je.
“Kau pernah makan sini tak?” Fil bertanya.
“Tak pernah,” jawabku sambil melihat sekeliling.
“Yalah. Kau mana makan kedai-kedai macam ni. Kau makan kat McD, KFC, Burger King.”
Aku sekadar mendengus sambil mula terus menyuap nasi. Tak ada idea macam mana nak balas kata-kata Fil.
“Kau macam mana?”
“Macam mana apa?”
“Kau okay ke? Yalah. Semalam kan macam tak berapa nak okay je.”
“Tadi kan kau dah tanya.”
“Saja aku tanya lagi. Nak tengok konsisten tak jawapan kau sekarang dengan jawapan kau yang tadi. Kalau tak konsisten, maknanya kau tipu.”
Aku mendengus. “Susah nak cakap. Sejujurnya, I feel like shit. But life must go on.”
“Kau kalau ada apa-apa masalah, kau contact la aku. Kau dah tahu mana nak cari aku kan?”
“Kalau kau cuti?”
“Henfon kan ada. Kau masih pakai nombor yang sama kan?”
“Sama je. Tak ada sebab aku nak main tukar-tukar nombor.”
“Aku pun masih pakai nombor yang sama. Tak tahu la kot-kot kau dah delete nombor aku.”
Aku mendengus lagi. “Tak adalah. Aku jarang nak delete nombor sesiapa. Kadang-kadang tak terlintas pun. Sudahnya, henfon aku penuh dengan nombor-nombor yang aku tak contact pun.”
“Samalah. Aku pun macam tu.”
“Kau tak kisah ke?”
“Pasal apa?”
“Maksud aku, kenapa kau nak buang masa kau untuk melayan aku dan dengar masalah aku? Masa sekolah dulu pun, kita tak adalah rapat mana. Kau dengan geng-geng kau dan aku pula, well, dengan kawan-kawan imaginasi aku.”
Fil ketawa. “Aku ada kepentingan aku sendiri. Aku suka nak ambil tahu rahsia dan hal-hal peribadi orang lain. Tu je. Kalau diorang ada masalah, aku seronok dengar. Baru aku tahu rupa-rupanya hidup diorang lagi teruk dari hidup aku.”
“Serius la, Fil.”
Fil menyeringai. “Serius la. Buat apa nak jadi pendengar kepada masalah orang lain kalau masalah sendiri tak boleh selesai. Dengar masalah orang ni, tujuan utama dia hanya untuk buat kita lupa masalah kita sendiri. Juga tujuan dia supaya kita nampak mulia dan baik pada pandangan orang yang berkongsi masalah. Diorang akan rasa terharu sebab diorang ingat kita ni ambil berat pasal diorang, sedangkan hakikatnya, we don’t actually give a shit.”
“Itu ke yang kau fikir?”
Seringai Fil berubah kembali ke senyuman manis gula perang. “Tak adalah. Aku gurau je.”
Tapi macam ada betulnya juga kata-kata Fil tadi. Dalam gurauan, ada kebenaran. Kadang-kadang kata-kata yang diungkapkan dengan nada bergurau itulah apa orang yang berkata itu benar-benar hendak sampaikan.
──♦──
Entah dah berapa lama aku termenung depan laptop di meja belajarku. Lampu bilik sengaja tak dihidupkan. Sejak kebelakangan ni, aku rasa lebih selesa duduk dalam gelap. Paling tidak pun, ada cahaya samar-samar je dari luar.
Mata menatap skrin di hadapanku. Laman Google memaparkan carian tentang Maizatul Allia binti Mohd Roslan, tetapi tiada sebarang berita terbaru tentang dia atau Fazlin yang aku temui.
“Nazim!”
Suara manja Mai kedengaran. Aku tersentak saat merasa ada sepasang tangan yang memelukku dari belakang. Kepalanya disandarkan ke belakang kepalaku.
“Mai?”
“Ya, Nazim. I kat sini,” ujar Mai lalu melepaskan pelukannya.
Aku menoleh. Berdiri di depan mataku kini adalah Mai. Dia memakai baju dan seluar pijama warna putih sama macam beberapa hari yang lepas. Aku agak yang aku bermimpi lagi tapi aku tak ingat pula kalau-kalau aku ada baring di katil dan terlelap. Seingat aku, tadi aku makan malam bersama Mak dan Abah sebelum naik dan menghadap komputer. Ke aku terlelap depan komputer sebenarnya? Entahlah.
Andai kata ini semua hanyalah mimpi, biarlah. Sekurang-kurangnya terlunas juga rinduku pada Mai. Aku berjalan mendekatinya lalu merangkulnya erat. Beberapa saat berlalu sebelum dia membalas pelukanku.
“Where have you been, Mai?” soalku.
“I ada je kat sini. You yang tak bagi perhatian pada I. Mentang-mentanglah dah ada orang lain,” jawabnya.
“Mana ada orang lain. I sayang you seorang je. Sejak you hilang, tak pernah sehari pun berlalu tanpa I fikirkan you.”
“Tak de orang lain? Budak perempuan rambut pendek yang kerja kat kedai buku tu?”
“Yang tu kawan I je. Sejak you hilang, I banyak mengadu kat dia pasal you. Itu je.”
Pelukan dilepaskan.
“I tak nak orang lain. I nak you je. You baliklah,” pinta aku.
Mai mendengus, “I ada je kat sini.”
“Then, you jangan ke mana-mana. Stay by my side. Forever.”
Dahi aku dan dahi Mai bersentuhan. Dari jarak yang sebegitu dekat, aku melihat dia tersenyum. Aku menarik tangannya dan kami duduk di katil sambil menghadap satu sama lain. Aku membiarkan sahaja diriku dibuai keindahan wajahnya dan kelembutan kulit tangannya. Aku tak minta lebih. Pada saat ini, berada bersamanya sudah memadai untuk membuatkan dunia ini terasa lebih indah untuk didiami.
Tapi tak selalu apa yang kita nak kita akan dapat. Apabila aku buka mata, yang kudakap bukannya Mai, tetapi bantal peluk. Ini kali kedua aku mimpi benda yang hampir sama. Kalau tiap-tiap malam mimpi macam ni kan best? Kenapalah mimpi selalunya mesti lebih indah daripada realiti? Kenapa?
Aku menatap tangan sendiri. Sensasi tanganku bersentuhan dengan tangan Mai tadi terasa realistik. Senyuman pada wajahnya segar dalam ingatan. Seolah-olah ia bukan mimpi. Bukankah mimpi atau ingatan kita tentangnya selalunya kabur? Tak mungkin mimpi yang aku alami itu sebenarnya bukan mimpi. Aku kena terima hakikat yang realiti takkan menjadi seindah mimpi. Sama ngeri dengan mimpi ngeri, mungkin.
Telefonku memainkan lagu Our Lady of Sorrows yang didendangkan oleh kumpulan My Chemical Romance, menandakan ada panggilan masuk. Aku melihat identiti pemanggil. Mama. Ada apa pula Mama call aku?
“Hello, Mama,” aku menjawab panggilan.
“Ni Nazim, kan?”
“Ya. Nazimlah ni.”
“Nazim…”
“Ya, Mama?”
Senyap seketika di hujung talian. Apa benda ni? Panggilan terputus ke? Ke ada masalah dengan talian? Mama tengah bercakap tapi aku tak dengar ke? Atau macam mana?
“Mama?”
“Mama ada benda nak bagitau Nazim…”
“Apa dia?”
“Pasal Mai…”
Keterujaan dan kerisauan bercampur-baur apabila aku mendengar nama itu disebut. “Ha, kenapa dengan Mai?”
“Mai…”
“Ya? Mai kenapa?”
“Mai dah balik. Dia ada kat rumah Mama sekarang.”
Nyaris telefon terlepas dari tangan. “Betul ke? Dia okay ke tak?”
Sunyi seketika.“Physically, dia okay. Tapi dia…”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/267683/PIJAMA