Nuha menjamah bubur kosong di hadapannya dengan perlahan. Adik-beradik angkatnya yang lain sedang rakus menghabiskan bubur di dalam mangkuk masing-masing. Hatinya berdebar-debar. Acap kali dia memegang loket yang tergantung di leher. Sudah menjadi tabiatnya suka mengusap loketnya tatkala sedang bersedih, marah ataupun gemuruh.
“Kau tak lalu makan ke Nuha? Cepatlah habiskan bubur tu. Nanti Ummi marah,” bisik Lisa yang duduk di sebelahnya. Nuha menjeling ke arah mangkuk budak itu yang sudah licin. Dia memandang pula ke wajah Lisa yang kelihatan masih lapar. Matanya tak lekang dari memandang mangkuk Nuha yang masih penuh. “Kau ambiklah bubur ni. Aku takde selera.”
“Eh, kau betul ni? Nanti kau lapar kang?” Wajah Lisa berubah gembira sesaat sebelum dia sorokkan kegembiraannya. Dia sudah menjilat bibirnya beberapa kali.
“Takpe. Kau habiskan je.”
Dan dengan rakusnya, dia menghabiskan bubur itu. Tak sampai seminit, mangkuk Nuha sudah licin.
“Wow.” Nuha mengambil mangkuknya dan terus berjalan ke arah singki. Sempat dia menjeling ke arah Mona yang baru keluar dari bilik tidur dengan sanggul di kepala. Mata Mona tajam memerhatikan gerak-geri anak-anak angkatnya. Tatkala mata mereka bertentang, cepat-cepat Nuha masuk ke dapur.
Usai meletakkan mangkuk yang sudah dibasuh ke atas para, dia terus ikut beratur bersama lapan adik-beradik angkatnya yang lain untuk bersalaman dengan ummi dan abi sebelum keluar “mencari rezeki”.
“Ingat pesan ummi, kalau nampak orang yang mencurigakan, cepat-cepat lari dari situ. Ingat target harian kita berapa. Dan jangan lupa balik sebelum maghrib.”
Jantung Nuha berdetak semakin kencang tatkala giliran dia untuk bersalaman dengan ummi semakin dekat.
“Nuha.”
Hampir luruh jantungnya apabila dia mendengar ummi menyebut namanya tiba-tiba. Tangannya yang menggigil, dia sorokkan di belakang. “Ye… ye, ummi?” Setiap saat yang berlalu terasakan infiniti. Alamak, ummi dah tahu ke apa aku nak buat ni? Macam mana kalau kantoi dengan dia? Alamak! Alamak!
“Kamu lupa beg kamu?”
Nuha tersentak. Dia memegang bahu kanannya, tempat biasa dia letakkan beg sandangnya itu. Tiada. Dalam kekalutan, dia terlupa untuk membawa beg itu turun. “Alamak. Lupa ummi.”
Sepantas kilat dia berlari ke atas. Beberapa anak tangga dilangkau untuk sampai cepat. Beg dicapai dan dia bergegas turun. Di ruang tamu tinggal ummi dan abinya saja. Adik-beradiknya yang lain sudah tiada. Dia menelan liur. Perlahan-lahan dia mendekati ummi dan abinya. “Ni ada dah begnya ummi, abi. Maafkan Nuha sebab cuai.”
“Takpe. Ingat pesan ummi tadi?”
Dia mengangguk sekali.
“Bagus.”
Nuha menyalami dan mencium tangan kedua orang tua angkatnya itu, mungkin buat kali terakhir dalam hidupnya. Dia sudah lama bersedia untuk menghadapi hari ini. Walaupun cuak, dia sudah menyediakan diri dari dulu lagi untuk hari ini. Umpama burung yang sudah lama terkurung di dalam sangkar, hari ini dia membebaskan dirinya sendiri dan sayapnya akan dikuak luas dan dia akan terbang, terbang tinggi, jauh dari sangkar neraka ini.
Hari ini hari dia.
“Assalamualaikum ummi, abi.”
Langkah diayun ke luar pintu dan akhirnya dia bebas.
──♦──
“Kita nak pergi mana ni?” Azlan bersuara setelah senyap sepanjang satu jam lebih perjalanan dengan kereta.
“Akademi.”
“Akademi?”
Emran yang sedang memandu, mengangguk sekali. Sempat dia melontarkan senyuman pada Azlan yang sedang berkerut melihatnya. “Yup. Akademi. Akademi yang dibina Ahmad dan Emma, ibu bapa kandung kamu, khas buat orang-orang Hobat berlatih.”
Kerutan di dahi Azlan semakin bertambah. “Orang Hobat?”
“Ah, ya. Masih banyak yang kamu belum tahu lagi Azlan. Tak apa. Nanti bila kita tiba di sana, akan ada orang yang terangkan semua benda ni kepada kamu.”
“Semua benda?”
“Yup. Semua benda.” Emran menamatkan dialog mereka dengan menepuk bahu Azlan.
Azlan masih tidak puas hati. Jika betul kata-kata Emran itu, maka semua persoalan yang terkumpul di dalam kepalanya selama beberapa hari ini akan terjawab.
“Azlan… Azlan bangun. Kita dah sampai ni.”
Dia membuka matanya perlahan-lahan. Wajah Emran yang sedang tersenyum, mengisi ruang pandangnya. Dia menggosok-gosok matanya bagi membuang kantuk. Sesekali dia menggeliat bagi memastikan perjalanan darahnya kembali normal setelah duduk statik selama entah berapa jam.
Setelah betul-betul segar, dia keluar dari perut Audi milik Emran itu dan benda pertama yang menyambut pandangannya adalah sebuah rumah agam yang sangat besar. Lima batang tiang berdiri terpasak dengan megahnya. Setiap tiang lebih besar daripada sepemeluk manusia. Warna putih dan emas menjadi warna tema rumah agam itu.
Dari tempat dia berdiri, rumah agam itu kelihatan berkilau di bawah cahaya matahari. Boleh dikatakan, luas bangunan itu saja lebih besar daripada luas padang bola di sekolahnya. Mulut Azlan ternganga kerana terlalu kagum dengan keindahan bangunan itu.
“Selamat datang ke Akademi Orang Hobat. Biasa-biasa je. Heheh.” Emran di sebelahnya tersengih kerang. “Dah, jom. Ramai yang tak sabar nak jumpa kamu ni.
“Hah? Ramai?”
Pintu utama akademi itu ditolak Emran dan di sebalik pintu itu, terdapat hampir 50 wajah yang sedang memandang tepat ke arahnya.
“Oh, tak sangka pulak semua orang akan sambut Azlan hari ini. Well, guys, inilah Azlan. Orang yang saya ceritakan tu,” ujar Emran selamba sambil tangannya diunjurkan ke arah Azlan.
Wajah mereka semua kelihatan semakin berminat hendak mengenali Azlan.
“Err, hai.”
“Dah, dah. Azlan baru sampai, jadi dia penat. Semua orang pergi sambung aktiviti masing-masing.”
Hampir kesemua orang di situ beredar, kecuali dua susuk yang sedang berdiri di hadapannya. Dua orang yang sangat dia kenali. “Eh, Cikgu Iskandar. Cikgu Laili. Cikgu buat apa dekat sini?”
Mereka berdua datang mendekati Azlan dengan senyuman terukir di bibir masing-masing.
“Akhirnya, sampai jugak kamu di sini,” ujar Cikgu Iskandar tanpa menjawab soalan Azlan tadi.
“Saya ucapkan takziah atas pemergian ayah dan ibu awak. Semoga mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Mereka orang yang baik. Banyak jasa mereka pada kami semua, terutamanya pada akademi ini,” ujar Cikgu Laili pula.
Azlan hanya tersenyum tawar. Apa lagi yang dia patut lakukan? Perlukah dia ucap terima kasih? Atau hanya mengangguk? Segala ucapan takziah yang diterimanya semalam, semuanya masuk telinga kanan dan keluar di telinga kiri. Namun, bila diucapkan oleh cikgunya sendiri barulah rasanya merejam perasaan. Barulah dia merasakan kehilangan. Kekosongan. Hampir saja dia tak dapat bernafas, namun dia cuba mengawal. Dia harus tunjuk yang dia kuat di hadapan mereka. Dia perlu kuat untuk Mak dan Abah. Demi dendam darah yang seharusnya dia balas dengan darah juga.
Bam!
Bunyi kuat itu mengejutkan mereka berempat.
“Den?” panggil Cikgu Iskandar.
Tak jauh dari mereka berempat, kelihatan seorang lelaki sedang berdiri di belakang pintu, tersipu-sipu malu. Dia menggaru kepalanya.
“Kan aku dah cakap hati-hati sikit. Tengok, kan dah kantoi?!” Dari belakang pintu, muncul pula satu suara perempuan yang berbisik kuat.
“Balqis?” Cikgu Laili pula yang bersuara.
Pak!
Perempuan yang dipanggil Balqis oleh Laili itu keluar dari tempat persembunyiannya. Tangannya melekat di dahi, sepertinya dia baru saja menepuk dahinya dengan kuat. “Saya bisik kuat sangat eh tadi?” soalnya, tak ditujukan khusus kepada sesiapa namun semua yang mendengar hanya mengangguk. Dia menggeleng. “Kau punya pasal lah ni!” Laju saja tangan yang melekat di dahinya terbang melayang ke lengan lelaki di sebelah.
“Ow!”
“Dah, dah. Alang-alang kamu berdua dekat sini, lagi baik kalau kamu tunjukkan Azlan kawasan sekeliling akademi kita ni,” ujar Emran. Dia memandang ke arah Azlan pula. “Azlan, kamu ikut diorang ni. Diorang antara senior dekat akademi ni, walaupun diorang yang paling muda.” Emran diam sejenak. “Well, not anymore.” Dia menepuk bahu Azlan sekali, sebelum mengajak Cikgu Iskandar dan Cikgu Laili untuk beredar dari situ.
Lelaki bernama Den itu terus menerpa ke arah Azlan dengan tangan yang terhulur hendak bersalam. “Hai! Azlan! Nama saya Latiff. Tapi semua orang dekat sini panggil saya, Den!”
Azlan menyambut salam Den yang kelihatan begitu teruja melihatnya.
“Jangan tanya saya macam mana daripada Latiff boleh jadi Den. Panjang ceritanya! Kalau nak dengar cerita panjangnya, kita kena duduk ditemani bintang dan bulan dan mug terisi air kopi di tangan, dan unggun api, barulah boleh saya cerita! Oh, salam kenal!”
Azlan memandang wajah Den tanpa sebarang kata. Lelaki di hadapannya itu berambut hitam dan kerinting yang dibiarkan kusut tak bersikat. Kulitnya cerah dengan alis mata yang tebal. Tubuhnya kurus dan tinggi, namun bukan jenis kurus yang tak bermaya. Terdapat sesuatu yang gagah dengan cara dia berdiri walaupun dia sering menampal senyum di wajah.
“Kejap, kejap. Apa maksud Cikgu Emran, not anymore?” Tiba-tiba Balqis muncul dari belakang Den dengan kerut di dahi. Telunjuknya lurus dihunus ke wajah Azlan.
Azlan mengundur selangkah ke belakang. “Err.”
“Berapa umur kau?” tanya Balqis.
Azlan menjeling ke arah Den.
Den yang masih tersenyum hanya mengangkat bahu sekali, seperti mengatakan, ‘lebih baik kau jawab soalan perempuan itu kalau tak nak kena belasah.’
“Emm, 17.”
“Shit,” Balqis memandang ke arah Den. “Kita dah tak jadi yang paling muda dalam akademi ni.”
“Berapa umur korang?”
“18!” Den menjawab riang.
“Dah, aku tak nak buang masa sembang dekat sini. Ikut aku. Aku tunjuk semua kawasan akademi ni dekat kau,” Balqis bertutur dengan laju, selaju kakinya melangkah meninggalkan Azlan dan Den yang terkebil-kebil di belakang. “Cepatlah!”
Cepat-cepat Azlan dan Den mengejar.
“Awak jangan terasa dengan Balqis. Cara dia cakap memang macam tu. Dia bukan kurang ajar tau,” ujar Den sambil menggaru kepalanya.
Azlan tersenyum nipis. “Oh, takpe.”
“Lagi satu, sebelum awak datang, dia memang bangga jadi antara penghuni akademi ni yang paling muda. So bila awak datang, mungkin dia rasa kedudukan dia dekat sini tergugat. So from now on, she has her eyes on you. Jaga-jagalah.”
“Great.”
Den ketawa kuat. “Selamat datang ke akademi, kawan!”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/267682/pesona