[SNEAK PEEK] Nufah

Nufah oleh Shima Rostam

“DAH jumpa Nunu? Apa katanya?”

Sebaik-baik sahaja melihat kelibat anaknya, Syarifah Manora terus bertanya. Tidak sabar hendak tahu dan dalam masa yang sama dia berharap Nufah tetap dengan keputusannya. Dari dahulu lagi dia tidak berkenan dengan gadis itu. Penampilan dan sikapnya tidak menepati kriteria menantu idamannya.
Tengku Firash menggeleng kepala. Menyesal sekalipun, sudah tiada gunanya. Nufah tidak akan kembali lagi. Dian pun sudah pandai mendesak. Pagi tadi dia menerima gambar alat ujian kehamilan daripada Dian. Dua garisan pada alat tersebut, sudah cukup menyatakan yang dia perlu bertanggungjawab terhadap wanita itu. Apa lagi pilihan yang dia ada.
“Nunu dah pergi. Dian akan gantikan tempat Nunu. Majlis tetap diteruskan,” beritahu Tengku Firash.
Syarifah Manora terkejut, tetapi dia sudah boleh mengagak. Dia sendiri lebih sukakan sepupu Nufah menjadi teman anaknya. Dian lebih mesra dan pandai mengambil hatinya. Berbeza dengan Nufah yang agak pendiam dan malu-malu. Dian juga pandai bergaya dan pandai membawa diri. Kalau Dian menjadi menantunya, dia tidak malu membawa gadis itu ke majlis sosialnya. Malah bangga mendapat menantu yang cantik dan bijak.
“Okey, Mummy setuju. Sejak dulu lagi mummy tahu Dian lebih sesuai jadi menantu mummy,” ujar Syarifah Manora gembira.
“Mummy uruskanlah apa yang patut.” Tengku Firash lepas tangan.
Tengku Fateh mendengar tanpa masuk campur. Dia tahu apa yang berlaku di pejabat. Mungkin Tengku Firash lupa, di pejabat ada dipasang CCTV. Di dalam pejabat Tengku Firash pun ada CCTV tersembunyi, jadi dia tahu apa yang telah anaknya dan Dian lakukan. Dia kesal. Tengku Firash tidak pandai memilih.

*****
MENERIMA panggilan daripada Syarifah Manora membuatkan Dian mahu melompat ke bintang. Usahanya telah membuahkan hasil. Impiannya tidak lama lagi akan terlaksana. Tidak sabar untuk bergelar isteri kepada Tengku Firash.
“Nanti mummy datang jumpa ibu dan atuk Dian.
Kita kena uruskan cepat. Majlis tinggal lagi tiga minggu saja,” omel Syarifah Manora.
“Bila mummy nak datang? Nanti Dian bagi tahu ibu.”
“Petang ni. Banyak kita nak kena bincangkan.” Bukan main bersemangat lagi Syarifah Manora bercakap. Dapat menantu pilihan, tentulah dia suka.
“Baik mummy.”
“Kalau Dian nak tahu, mummy lega Dian yang jadi menantu mummy. Nampaknya Firash terbuka juga matanya melihat siapa lebih sesuai untuk menjadi isterinya,” luah Syarifah Manora.
Kembang rasa hati Dian mendengar kata-kata bakal mentuanya itu. Gembira tak terkata. Dia yakin Nufah tidak lagi menjadi saingan dan kudis di dalam kehidupannya dan Tengku Firash.
“Nunu baik mummy. Mummy buatkan Dian rasa bersalah. Seolah-olah Dian yang jahat rampas Firash.”
“Tak ada siapa rampas siapa. Nunu tu yang tak sedar dek untung. Suka hati dia nak putuskan pertunangan ini tanpa memikirkan maruah keluarga. Kalau bukan Dian, siapa lagi yang mampu menghalang keluarga kita daripada mendapat malu.”
Dian gigit bibir mendengar luahan emosi Syarifah Manora. Hatinya puas.
“Tapi mummy…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Sekarang ni Dian kena persiapkan diri menjadi menantu mummy. Nanti mummy bawa Dian ke spa untuk rawatan muka dan badan. Biar berseri ketika majlis kahwin nanti.”
Dian terharu dengan layanan dan penerimaan Syarifah Manora.
“Terima kasih mummy.”
“Jangan berterima kasih. Dian satu-satunya bakal menantu mummy.”
Mereka bercakap seketika sebelum talian diputuskan.
Dian berpaling memandang ibunya. Dia senyum sampai ke telinga.
“Petang nanti mummy Firash nak datang
berbincang pasal majlis.”
“Jadi confirm Dian akan kahwin dengan Firash?” Puan Nora bertanya untuk kepastian. Matanya berkacakaca.
Dian mengangguk. Hatinya puas. Akhirnya dia yang akan naik pelamin menggantikan Nufah.

###

DIAN sibuk dengan persiapan perkahwinannya. Dia mahukan majlis yang meriah dan sempurna. Perlu nampak mewah dan elegan sesuai dengan statusnya sebagai bakal menantu tunggal keluarga diraja itu. Lagipun hubungan keluarga bakal mentuanya dengan sultan negeri sebelah utara itu agak rapat. Sudah tentu dia mahukan majlis perkahwinannya menjadi satu memori indah untuk dikenang sepanjang hayat. Semua sultan negeri lain akan turut menjadi tetamu VVIP mereka. Sudah tentu majlis perkahwinannya nanti menjadi ‘wedding of the year’ tahun ini.

Hatinya puas dan gembira. Impiannya tercapai dan putera idamannya bakal menjadi miliknya dalam masa beberapa hari lagi. Nufah sudah lari jauh. Keluarga mentua menerimanya dengan hati terbuka.
Keluarganya pula sudah merestui pilihannya.
“Darling … I nak tukar tempat resepsi kita. Dewan tu tak cukup besar.” Dielus lengan Tengku Firash dengan mesra. Bibirnya mencium pangkal lengan lelaki itu, sengaja menggoda agar Tengku Firash menunaikan setiap permintaannya.
“Dewan yang boleh muatkan 500 orang tu you cakap tak cukup besar lagi? You nak jemput berapa ramai? Lima ribu orang?” perli Tengku Firash. Dahi dipicit beberapa kali. Serabut dan pening melayan permintaan Dian dan juga mummynya. Semakin dekat harinya, semakin banyak permintaan mereka berdua.
Berbeza dengan Nufah yang tidak banyak kerenah. Selagi dia mampu uruskan sendiri, dia akan uruskan tanpa menyusahkannya. Ada rindu menyelit di hati. Setelah dia kehilangan, barulah dia tahu yang hatinya rindukan bekas tunangnya itu. Telah berkali-kali dia cuba menghubungi Nufah, tetapi nombor telefon gadis itu telah ditamatkan perkhidmatan. Pernah juga dia meminta nombor telefon baru Nufah daripada mentua tidak jadinya, tetapi percuma dia ‘dibasuh’ oleh Encik Nukman.
Firash tidak tahu dari mana Nufah mendapat video dan gambar tersebut. Apa pun, keputusan Nufah membuatkan dia terpukul. Lebih-lebih lagi bekas tunangnya itu tahu kecurangannya. Terbit rasa kesal tetapi semuanya sudah terlambat. Nufah telah pergi dari hidupnya dan dia perlu meneruskan perkahwinan ini.
“Darling … you dengar tak I cakap ni?”
“You buatlah apa yang you rasa terbaik. I don’t mind.” Tengku Firash memberi kata putus. Harapnya, selepas ini Dian tidak lagi merengek hendak itu ini.
Dian senyum lebar. Pura-pura tidak sedar yang air muka Tengku Firash tidak lagi ceria setelah pertunangannya dengan Nufah putus. Apa yang penting, dialah bakal pengantin itu. Ke mana Nufah menghilangkan diri, dia tidak ambil peduli. Lenyap dari muka bumi ini, lagi bagus. Jadi tidak perlu dia risau Nufah kembali merampas Tengku Firash. Akan tetapi dia suka juga kalau Nufah dapat menghadiri majlis pernikahannya nanti. Barulah Nufah tahu Tengku Firash miliknya seorang dan akan berhenti mencintai Tengku Firash.
“Betul ni, ling?” kedua-dua belah tangan merangkul leher Tengku Firash. Sengaja lurah dadanya ditayangkan di hadapan mata lelaki itu. Dia tahu kelemahan bakal suaminya. Lemah apabila dia menggoda. Layan sahaja nafsunya maka Tengku Firsah akan tunduk mengikut kemahuannya.
“Nanti you transfer duit belanja ke akaun bank I ye,” bisik Dian. Bibirnya dirapatkan ke bibir lelaki itu.
“Hmm…” Bayangan Nufah hilang.
Mata Tengku Firash fokus pada bibir mungil itu. Halkumnya bergerak-gerak. Dia tewas apabila tangan Dian menjalar ke bawah. Buat entah kali ke berapa, Tengku Firash kalah lagi dengan godaan nafsunya. Dian tersenyum kemenangan. Dia akan sentiasa menjadi penakluk lelaki itu. Akan cuba dihapuskan bayangan Nufah dari jiwa lelaki itu. Hanya dia yang layak berada di dalam hati Tengku Firash.

*****
“JUMPA?”
“Maaf Tengku, Cik Nufah tidak dapat dikesan,” jelas Encik Wahid, penyiasat peribadi yang diupah untuk mencari bekas tunangnya itu.
“Tak mungkin tak jumpa. Dia tidak keluar negara. Masih berada di Malaysia. I nak tahu dia berada di mana.”
Encik Wahid tunduk. Sebenarnya bukan tidak tahu, tetapi terpaksa merahsiakan keberadaan Nufah atas arahan orang atasannya.
“Tak jumpa … tak jumpa! Sebab tak jumpalah I mahu you cari sampai dapat!” Tengku Firash berang. Tiada guna bayar mahal-mahal tetapi orang yang dicari tidak juga ditemui.
“Credit card? Atm card, takkan dia tak guna?” soal Firash tidak puas hati.
“Tidak ada movement Tengku,” jawab Encik Wahid.
Kening Firash bertaut, tidak percaya. Dia tahu Nufah bukan seorang yang suka pegang banyak tunai di tangan. Dia lebih suka menggunakan kad debit.
“Boost?”
Encik Wahid geleng kepala juga.
“You dah siasat di stesen TBS tu? CCTV?”
“Sudah tengku. CCTV dekat stesen bas dalam proses penyelenggaan, banyak tempat tak berfungsi. Kali terakhir saya nampak Cik Nufah bersalam dengan ayahnya di dalam terminal sebelum ke platform pelepasan. Malangnya saya tidak dapat kesan ke mana Cik Nufah pergi sebab dia beli tiket secara tunai di kaunter,” jelas Encik Wahid panjang.
Dia tunduk, tidak berani menentang mata tajam Tengku Firash, takut lelaki itu dapat mengesan pembohongannya walaupun dia merupakan orang lama dalam bidang ini.
“Bullshit! Tak guna, berambus kau!” Benteng kesabaran Tengku Firash runtuh. Buang masa dan buang duit, Nufah tetap tidak dapat dikesan.
Masa semakin suntuk. Kalau boleh dia tetap mahu Nufah menjadi isterinya walaupun dia mengikut segala kehendak Dian dan mummynya. Dia tahu dia khilaf dan terlanjur melukai Nufah. Namun hati tetap tidak mahu melepaskan Nufah. Cintanya masih kuat untuk Nufah.
Encik Wahid tidak menunggu lama, dia terus angkat kaki. Sebaik-baik sahaja dia menghampiri keretanya, telefon pintarnya berbunyi.
“Semua settle bos.”
“Bagus. Kau kena pastikan Tengku kahwin juga dengan kekasihnya itu. Pastikan majlis mereka berlangsung mengikut perancangan. Aku dah Whatsapp kerja baru kau. Kita kena sediakan hadiah paling istimewa buat pasangan itu sempena perkahwinan mereka.”
“Baik bos, nanti saya tengok Whatsapp dan maklumkan kepada bos semula.”
“Okay then, settled.”
Talian dimatikan. Encik Wahid mendongak melihat bangunan tinggi di hadapannya. Banyak persoalan timbul di dalam benaknya namun dia tidak mempunyai jawapan. Keluarga Tengku Firash ini agak berpengaruh di Malaysia, tetapi bosnya tidak peduli. Aplikasi Whatsapp dibuka. Serta merta kepalanya sakit. Darahnya naik. Majlis perkahwinan Tengku Firash nanti akan terpalit skandal yang bakal mengejutkan Malaysia.

*****
MELIHAT si dia bersedih, hatinya turut berasa sedih, tetapi dia tidak mampu untuk memujuknya. Sekadar menjadi peneman sepanjang perjalanan ini, hatinya sudah cukup puas. Sabar. Masa untuk mereka berdua akan tiba juga. Sebenarnya dia tidak merancang pun untuk datang ke negara ini, tetapi apabila melihat Instagram gadis itu, dia tidak berfikir panjang. Dia mahu berada dekat dengan si gadis.
Duduk bersebelahan, langsung dia tidak diberi peluang untuk berkenalan. Gadis itu membatukan diri. Mata melihat gelap malam tanpa sedikit pun menolehnya di sebelah. Sengaja dia menegur pun, gadis itu buat-buat tidak dengar dan langsung tidak menoleh. Kuat betul jiwanya.
Semakin kuat pula dirasakan untuk menakluki hati gadis itu dan menjadikannya milik dia. Pelik, perasaan ini wujud dalam jiwanya. Tentang kerja sanggup diketepikan. Hampir sepuluh tahun bekerja tanpa cuti, dia sanggup mengambil cuti panjang semata-mata kerana status Instagram gadis itu.
Dia dapat mengagak Nufah akan mencari isteri Nzakir kerana hubungan mereka sangat rapat. Hal itu diketahui melalui penyiasat persendirian yang diupahnya. Lantas dia mengatur perancangannya sendiri. Justeru, apabila kelibatnya disedari oleh Nzakir di stesen bas pagi tadi, dia langsung tidak berasa gusar. Sebaliknya dia berasa lega.
Dia telah bebas untuk membuat pilihan. Jadi pilihannya adalah untuk mengejar cinta pertamanya. Betullah kata orang, kuasa cinta ini sangat kuat sehingga mampu mengubah hidup Sean McAdam.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/341785/NUFAH