KISAH AIMAN membawa katak ke sekolah mendapat pelbagai reaksi cikgu-cikgu di situ. Ada yang khusyuk bercerita. Ada yang diam membisu. Ada yang memasang telinga saja. Bahkan ada yang sedikit pun tidak ambil tahu. Bagi mereka itu perkara biasa yang mereka jumpa. Ada lagi kisah murid yang lebih teruk daripada itu.
Mungkin sebagai cikgu baharu, Cikgu Ezudin menganggap itu adalah satu perkara luar daripada kebiasaan. Sebaliknya, guru-guru lain mengatakan itu perkara biasa. Tak ada apa yang istimewanya. Biasalah murid sekolah. Nakal dan degil ibarat isi dengan kuku.
Itu mereka tapi tidak bagi Cikgu Ezudin. Bahkan sebagai denda, dia telah menyuruh Aiman ketuk ketampi dan melompat macam katak. Bahkan di buku tulisan, mengarahkan menulis perkataan katak sebanyak dua muka surat. Itu sebagai pengajaran.
“Cikgu ni tak biasa dengan kehidupan kampung. Biasalah tu mereka membawa katak ke sekolah,” tegur Miss Marsha selaku guru Bahasa Inggeris berasal dari Sarawak itu.
“Tapi, apa mereka buat dengan katak itu?”
“Cikgu, tu perkara biasa saja kat sini. Tu belum tengok kes bawa lastik, batu, botol, biji getah, ikan pelaga, cicak ke sekolah.” Miss Marsha tersenyum.
“Cicak pun ada ke? Tapi apa mereka buat dengan semua tu? Apa mereka buat kat katak tu? Bukannya boleh makan.” Cikgu Ezudin bertanya bagaikan orang bodoh. Dia betul-betul tak tahu. Sukar menduga perangai anak muridnya.
Guru-guru lain seakan tergelak dengan jawapan itu. Sambil memeriksa buku, mereka tetap mencelah untuk menghangatkan perbualan. Menceritakan kepada cikgu baharu itu akan rentak dan langkah murid-murid di sekolah itu. Cikgu Ezudin masih lagi kebingungan.
“Tak apalah. Cikgu masuk kelas nanti, tanyalah. Apa mereka buat dekat katak tu? Apa mereka buat pada haiwan lain? Banyak kepentingan katak ni kepada murid sekolah. Bahkan ada yang tak boleh hidup tanpa benda-benda macam tu.” Miss Marsha memujuk lembut.
Sesekali dia berpaling ke arah cikgu-cikgu lain. Ada yang tertunduk. Ada yang tersengih. Ada yang tersenyum sinis.
“Nak buat eksperimen subjek Sains ke?” soal Cikgu Ezudin lagi.
“Hahaha!” Sekali lagi Cikgu Ezudin digelakkan oleh rata-rata guru. Ada yang menyampuk kuat. Ada yang tersenyum saja. Ada yang menggeleng kepala. Cikgu Ezudin merasakan dia dimalukan. Semakin ditanya semakin kuat gelak ketawa.
“Cikgu, masa saya mengajar di sekolah di Kapit satu ketika dulu macam-macam lagi berlaku.” Miss Marsha menyambung cerita. Mata guru-guru terarah kepada guru Kristian itu.
“Apa yang berlaku?” Cikgu Ezudin bertanya. Cikgu lain memasang telinga. Agak menarik bunyinya.
“Masa tu saya mengajar kat Kapit. Murid-murid begitu kampung dan jakun sekali. Rata-ratanya murid Kristian macam saya. Ada beberapa orang saja murid Melayu. Ketika itu pertengahan tahun persekolahan. Dan guru besar sedang menerima hadiah daripada murid-muridnya.”
“Hari Guru ke?”
“Ya cikgu. Ni kisah Hari Guru.”
“Wah, mesti hebat cerita kamu ni Marsha.” Guru yang lain bersuara.
Cikgu Ezudin memandang tepat ke arah guru yang masih bujang itu dan selalu disindir dengan gelaran andartu. Umur sudah mencecah 30 tahun, masih tak kahwin-kahwin lagi. Cantik memang cantik. Kulit putih gebu. Menunggu putera kayangan agaknya. Teringat dia akan bekas kekasihnya, Fatin di Kuala Lumpur.
“Salmi, anak kepada seorang pemilik kedai bunga memberi guru besar hadiah. Guru besar menggoyangkan kotak hadiah itu. Memegangnya di atas kepala, dan berkata, aku yakin aku tahu apa ini. Beberapa kuntum bunga? Itu benar, tapi bagaimana cikgu tahu? Salmi bertanya. Oh, hanya meneka, kata guru besar.
Murid berikutnya ialah anak perempuan kepada seorang pemilik kedai manisan. Guru besar memegang hadiah itu. Menggoyangkannya dan berkata, saya yakin saya boleh meneka apa ini. Sebuah kotak yang penuh berisi gula-gula? Itu benar, tapi bagaimana cikgu tahu? tanya murid itu. Oh, hanya meneka, kata guru besar. Guru besar itu mengucapkan terima kasih.
Hadiah berikutnya adalah daripada anak seorang pemilik kedai minuman keras. Guru memegang kotak hadiah itu, tapi kotak itu bocor. Dia menyentuh setitik kebocoran itu dengan jarinya dan menyentuh ke lidahnya.
Apakah anggur? Guru besar itu bertanya. Tidak, jawab anak murid itu dengan gembira. Guru mengulanginya. Mengambil cairan daripada kotak yang bocor itu ke lidahnya. Apakah champagne? dia bertanya. Tidak, jawab anak murid itu dengan lebih lebar senyumannya.
Guru besar merasai cecair itu lagi sebelum menyatakan, saya menyerah kalah. Apa di dalam bungkusan ini? Anak murid itu menjawab, itu anak anjing!”
“Hahahaha! Sangat kelakar la cerita kamu ni Miss Marsha.” Guru-guru di situ memuji cerita yang disampaikan itu. Cikgu Ezudin ketawa dengan kuatnya. Bilik guru menjadi kecoh seketika.
“Jadi guru besar itu sudah merasa air kencing anjinglah ya? Hahaha!” Cikgu Ezudin ketawa besar. Guru-guru lain menyambung ketawa.
“Tak sanggup! Tak sanggup!” Guru-guru perempuan bersuara dan menunjukkan reaksi muka masing-masing.
“Kalau terkena kat saya, mahu saya sembelih pelajar itu!” Cikgu Ezudin melepaskan keluhan. Dia ketawa. Sekali-sekala dia membetulkan tali leher yang dipakai. Sedikit panas.
“Jadi, Cikgu Ezudin rasa cerita kamu dengan cerita saya mana lagi hebat? Setakat katak tu saya tak hairan.”
“Dengar tu apa Miss Marsha cakap tu, cikgu. Selaku orang berpengalaman. Banyak cerita. Belum ada yang bawa anjing lagi bagi hadiah kat cikgu kan? Saya harap lepas ni cikgu tak terima hadiah katak!” Ustaz Fakri yang diam dari tadi mencelah. Membuatkan suara ketawa lagi kuat bergema.
Cikgu Ezudin pura-pura ketawa. Tapi hatinya sedikit panas. Mungkin ini caranya kaedah buli yang digunakan oleh guru lama kepada guru baharu sepertinya.
“Cikgu teguhkanlah keperibadian anda. Setiap orang adalah berbeza. Anda merupakan sesuatu yang lain daripada yang lain.” Terdengar suara lembut bersuara. Cikgu Ezudin hanya memerhati tuan punya suara itu. Begitu cantik sekali.
“Tidak seorang pun yang menyerupai kita dalam catatan sejarah kehidupan ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan kita. Dan tidak akan pernah ada orang yang akan serupa dengan kita di kemudian hari. Jadi, kalau anak murid cikgu degil, terimalah keunikan dia.” Ustazah Humaira menyambung lagi. Dari tadi lagi dia asyik mendengar saja. Kali ini dia bersuara. Mungkin untuk memberi sedikit nasihat kepada Cikgu Ezudin.
“Betul cakap ustazah tu, cikgu. Jadi cikgu jangan melenting tak tentu fasal. Kalau cikgu tengah panas, cubalah minta hadis-hadis atau doa penenang hati daripada ustazah kita ni.” Ustaz Fakri mengusik. Cikgu Ezudin memerhati ke arah Ustazah Humaira yang memberikan sekuntum senyuman. Dia membalasnya. Guru-guru lain mula cuba mencipta gosip baharu.
“Kalau rapat dengan ustazah, suami dia tak marah ke?” jujur Cikgu Ezudin bertanya.
“Hahaha! Jangan risau, suami dia tak marah. Bahkan suami dia suka lagi.” Ustaz Fakri mengusik lagi membuatkan guru-guru sekali lagi ketawa besar.
“Lagi elok, kata suaminya.” Miss Marsha mencelah. Diikuti gelak ketawa. Cikgu Ezudin kebingungan.
“Saya masih cik la. Saya mana ada suami lagi.” Ustazah Humaira yang bertudung labuh berwarna merah jambu itu malu-malu. Merah juga muka Cikgu Ezudin dengan jawapan itu.
“Cikgu ni jangan tertekan sangat. Apa kata cikgu pergi jalan-jalan kat sini. Kat pekan Gerik ke?” Ustaz Fakri cuba lari daripada topik. Dia tidak mahu daripada gosip berlakunya fitnah. Daripada fitnah berlakunya pergaduhan.
“Oh, saya tak sempat lagi melawat kawasan di sini. Saya tak tahu lagi apa itu pekan Gerik. Menarikkah?”
“Menariklah cikgu. Kalah Kuala Lumpur. Kalah Dataran Merdeka.” Miss Marsha memberitahu.
“Ya ke? Tak apalah, nanti saya sendiri pergi tengok.”
“Cikgu, Gerik merupakan bandar yang terletak di tengah-tengah perjalanan dan kedudukannya amat strategik sama ada anda dari arah utara, timur, selatan atau barat Semenanjung Malaysia.” Ustaz Fakri cuba menerangkan dengan penuh semangat.
Bagaikan mengajar anak murid di dalam kelas. “Ustaz, kalau ikutkan, dulu saya pun tak tahu apa itu Gerik. Tapi selepas datang sini saya ada la baca sikit sejarahnya.”
“Apa yang cikgu tahu?”
“Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat yang sekarang bernama Gerik itu masih diliputi hutan belantara dan masih terletak di bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai, lalu meneroka hutan di kuala sungai tersebut untuk dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tuan bernama Tok ‘Ad,” terang Cikgu Ezudin.
“Betul tu cikgu. Ni mesti banyak membaca.”
“Saya buat sedikit pembacaan sebelum datang ke sini, ustaz.”
“Ceritalah lagi, cikgu.” Miss Marsha ingin tahu. “Tidak berapa lama selepas itu, Raja Reman yang bernama Tuan Jagong datang memburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tidak jauh dari situ ada perkampungan yang terletak di tengah-tengah hutan. Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda mendengar suatu bunyi yang ganjil terbit dari perdu serumpun buluh.” Cikgu Ezudin menyambung lagi.
“Bunyi apa yang ganjil tu?” Ustazah Humaira yang berasal dari Kelantan juga turut bertanya. Topik berilmu seperti ini begitu menarik minatnya. Mana tahu dia boleh menceritakan kepada murid-murid nanti. Dalam masa yang sama juga dia ingin menambah ilmu.
“Kemudian baginda memerintahkan supaya dipagarkan keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orangnya menggali di situ untuk mengetahui apakah benda yang mengeluarkan bunyi yang ganjil itu. Setelah habis digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan sedang mengerit umbi buluh. Oleh kerana umbi buluh itu sangat keras, maka terbitlah bunyi yang ganjil apabila digerit oleh dekan-dekan itu.”
“Oh, sebab itulah dia dipanggil Gerik? Tapi siapa yang menamakan tempat ini dengan nama tu?” tanya guru yang lain.
“Cikgu, Gerik ni sebenarnya Raja Reman telah menamakan sebagai Kampung Gerit. Sebutan ‘Gerit’ itu telah digunakan beberapa lama dan kemudiannya sebutan dan ejaannya diubah daripada ‘Gerit’ menjadi ‘Grik’, kemudian menjadi ‘Gerik’ seperti yang digunakan sekarang.” Tambah Ustaz Fakri.
“Ustaz, dekan tu apa ek? Tak pernah dengar pun?” Ustazah Humaira bertanya lagi.
“Sejenis haiwan seakan-akan tikus. Sekarang masih boleh ditemui di Hutan Belum.” Ustaz Fakri cuba menerangkan. Biar semua tahu. Ilmu harus dikongsi. Sejarah harus dihayati. Dikenang sepanjang zaman buat generasi akan datang.
“Takutnya saya dengan tikus. Geli!” Miss Marsha mencebikkan mukanya.
“Sekarang Gerik telah membangun dengan pesat dan banyak kemudahan, bangunan-bangunan kedai, pusat membeli-belah, serta kawasan-kawasan perumahan baharu telah wujud. Gerik terletak di tengah-tengah lebuh raya yang menghubungkan Butterworth dan Kota Bharu.” Ustaz Fakri meneruskan penceritaan. Ternyata ramai lagi yang tidak tahu tentang sejarah Gerik. Orang Gerik sendiri pun tidak tahu apatah mereka yang duduk di luar.
“Macam tu ke ustaz? Wah, ada sejarah tersendiri Gerik ni. Satu ilmu yang saya dapat hari ini. Tapi ustaz, pernah tak Aiman bawa dekan ke sekolah?” Cikgu Ezudin bertanya. Nada suaranya kali ini lembut. Teratur sekali. Takut benar tersalah cakap. Takut dipersendakan kawan-kawan.
“Hahaha! Kamu ni. Aiman tu budak kampung. Budak hutan. Bukan setakat benda tu je dia bawa. Macam-macam lagilah. Pernah sekali dia bawa beruk ke sekolah.” Ustaz Fakri memulakan cerita.
“Beruk?” Cikgu Ezudin ternganga. Namun dia cepat-cepat menutup. Takut andai cikgu-cikgu lain perasan.
Ustaz Fakri mengiakan, “Ya, dia tambat di belakang sekolah. Apabila duduk dalam kelas dia akan jenguk-jenguk ke luar kelas. Dia tengok beruk dia sedang buat apa.”
“Macam-macam.” Cikgu Ezudin melepaskan keluhan.
“Kalau cikgu nak tahu lagi tentang jalan di Gerik ni ataupun Tasik Banding, cikgu boleh tanya Ustazah Humaira. Dia setiap bulan balik ke Kelantan. Dia orang Kota Bharu. Orang Pasir Tumbuh. Nanti bolehlah ustazah tunjukkan jalan ke tasik tu. Nak balik ke rumah ustazah pun boleh,” usik Miss Marsha sambil memandang Ustazah Humaira. Ustazah Humaira hanya tersenyum menerima gurauan itu.
“Tasik Banding? Cantik ke?”
“Sebab tu la saya suruh cikgu pergi. Kalau cikgu tengok tasik tu sah-sah cikgu tak nak balik. Cantik dan mendamaikan.” Miss Marsha menerangkan lagi. Cikgu Ezudin terbayang-bayang akan keindahan Tasik Banding itu. Adakah secantik Tasik Titiwangsa atau Tasik Permaisuri? Suatu hari nanti dia mesti pergi.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185111/nasi-lemak-ikan-pekasam