[Sneak Peek] Narina Khaulah: The Last Love

Narina Khaulah: The Last Love
-karya Miss Nas


. . . 

NAMUN, sekali lagi Narina dikecewakan. Lelaki itu pergi tanpa sebarang penjelasan sejak dua tahun yang lalu. Narina kembali ke dirinya yang lama sebagai tanda pemberontakan.

“Agh! Kakak! Terkejut Nar, tahu tak. Ingatkan hantu tadi. Dah nak lari pun.”

Narina mengurut dadanya melihat kakaknya di dapur. Narina tekan suis lampu dapur. Hish apalah kakak aku ini. Masuk dapur tak pandai nak buka lampu.

Amara terlihat sedang menadah air panas dalam botol air untuk bancuh susu anaknya, di bilik nanti.

“Pukul 4 pagi ini, tahu pula nak takut pada hantu. Tapi dengan papa dan Allah tak nak pula takut. Balik dah nak subuh, mesti pergi kelab, kan?” Tegur Amara sedikit serius setelah melihat pakaian daring Narina. Mengucap dia tengok. Kalau macam inilah Narina tayang kepada suaminya, tidak teragak-agak Amara tarik rambut adiknya itu.

“Pergi kelab saja. Tengok orang berjoget dan yang terkinja-kinja. Nar tak buat apa-apa pun. Tak macam mereka.I’m clean dari bau-bau yang tidak menyenangkan. Satu biji pil pun tak sentuh.” Narina membela diri.

“Tak buat apa-apa? Masuk kelab itu apa? Pasti ada saja lelaki cuba ambil kesempatan pada Nar. Nar, jangan sampai, kelab itu kena serbu dengan polis dan pencegah maksiat, baru kau tahu nak sedar. Kau bukan bawa nama kau saja, tapi nama papa dan mama.” Tegas Amara menasihati adiknya.

“Kakak, kenapa doa macam itu sekali? Niat Nar suci murni ke kelab itu. Saja nak tengok orang menari-nari sambil mabuk. Bukan Nar sentuh air kencing itu atau biarkan lelaki sentuh Nar. Nar pergi bukan seorang. Bodyguardyang papa upah ramai dalam kelab itu.” Muncung mulut Narina bila ditegur.

“Orang bukannya tahu hati kau itu suci atau tidak. Hati dengan otak kau tak boleh membela diri kau kalau dah kena tangkap dengan polis atau pencegah maksiat. Tempat macam itu tempat pengguna dadah dan penzina bersarang. Jangan malukan nama papa dan mama, Nar. Enough is enough, Narina Khaulah.”

“Aku akan berhenti bila aku rasa nak berhenti. Don’t worry, Amara Khaulah.

Amara mengeluh dengan ayat adiknya. Ingat dia main-main tengah pagi buta ini?

“Nar, kau ingat dengan kembali pada perangai lama, dia akan kembali? Dia tidak akan kembali, Nar. Move on, Nar. Dah dua tahun.” Amara, saat dia ‘sakit’ dulu, dia tahu dua kali percintaan adiknya kecundang di tengah jalan.

Lelaki kedua ini, mereka sudah merancang untuk berkahwin. Di mata papa, lelaki itu betul-betul boleh menjaga dan melindungi Narina yang sedikit nakal. Narina boleh dikawal.

Papa tidak lagi memandang pangkat dan harta pada seseorang itu. Kali ini papa pandang pada ketulusan hati lelaki itu terhadap anak perempuannya.

Saat Amara mula menyentuh soal ‘dia’, air muka Narina berubah. Mata tajam memandang kepada si kakak. Tidak lama kemudian, mata itu bertukar jernih dan berkaca-kaca.

‘Dia’ telah meninggalkan nanar yang paling parah dalam hati Narina. Kenapa dugaan ini yang perlu dia rasai kepada lelaki seperti dia?

“Sampai bila kau nak kenangkan orang yang dah tinggalkan kau? Dia tak akan muncul lagi. Kalau dia muncul, papa tak akan terima dia.”

“Aku tak tunggu dia. Tak. Aku benci dia!” Balas Narina penuh kebencian. Namun sesaat kemudian, hati Narina jadi sebak. Dia tidak mampu menyembunyikan kesedihannya lalu, Narina meraung di situ juga.

Kegagalan cintanya yang kali ini begitu menyakitkan. Dia susah nak move on kerana dia terlalu mencintai lelaki itu.

“Nar, jangan menangis. Mungkin dia bukan jodoh kau.” Amara ikut bersedih. Air mata Narina semakin banyak turun setelah mendengar ayat akhir kakaknya.

“Dia terlalu baik pada aku, kakak. Terlalu baik. Susah aku nak padam cinta aku pada dia dari hati aku. Tapi kenapa dia buat aku macam ini? Mana dia pergi, kak? Kenapa dia tak nak contact aku, kakak?” Lirih Narina bertanyakan kepada Amara kemana si dia pergi.

Amara yang turut merasa sedih, merangkul tubuh adiknya. Belakang adiknya diusap-usap.

“One days you will find the answer. Please, be strong.” Tutur Amara perlahan.

‘TAK guna kau Emely! Kau guna cara kasar nak kenakan aku!’

Narina bengang. Patutlah tiada seorang pun pengawal peribadinya di sini. Rupa-rupanya, dia dan pengawal peribadinya sudah diperdaya oleh permainan licik Emely. Mereka terpisah!

Narina pandang sekeliling. Muka cuak memikirkan dia keseorangan dalam hutan dan hari sudah senja. Dia nak cari jalan keluar macam mana ini? Ini hutan! Dia bukannya tahu selok beluk hutan.

Resah berdiri, Narina mula berjalan sedikit teragak-agak tanpa arah tujuan. Risau makin ke dalam hutan dengan jalan yang dia pilih. Bahaya kalau tak jumpa jalan keluar. Lagi bahaya kalau orang tak jumpa dia.

Bukan dia tidak pernah dengar, kes orang hilang dalam hutan berminggu-minggu. Dijumpai masih hidup, alhamdulillah. Dijumpai sudah kehilangan nyawa pun ada. Paling sadis, tidak jumpa langsung. Ada kata hilang ke dunia bunian.

Ya Allah, jauhkan aku dari semua itu. Lindungi aku dari segala bahaya, Ya Allah. Narina beria berdoa dalam hati.

“Tak guna, Emely! Aku akan balas balik! Kau tunggu bila aku balik Kuala Lumpur nanti!” Teriak Narina di tengah-tengah hutan.

Tidak lama selepas jeritan Narina tadi, kedengaran unggas-unggas bersahut. Sekeliling dia, dipandang dengan pandangan yang berjaga-jaga. Narina semakin takut. Dia takut bertembung dengan hidupan liar.

“Watch out! Move!”

Saat keseorangan memikirkan nasib diri tersesat dalam hutan saat menyertai aktiviti syarikatnya, tiba-tiba pula Narina mendengar ada suara lelaki menegurnya.

Sebaik saja Narina pusing ke belakang, matanya buntang melihat seorang lelaki sedang buat aksi terjunan dari atas bukit yang sangat tinggi baginya.

“Arghhh!” Narina menjerit panik kerana lelaki itu mahu terjun ke arahnya. Narina tidak sempat nak mengelak sebelum dia dirempuh oleh lelaki asing itu.

Tidak. Narina bukan dirempuh. Tubuhnya sempat ditangkap dan dirangkul kuat bagaikan tidak mahu lepas oleh lelaki itu.

Kalau Narina tiada di situ, lelaki itu boleh landing paling terbaik dengan kedua-dua kakinya jejak tanah. Tetapi bila ada Narina di situ, buatkan lelaki itu tidak boleh landing dengan caranya melainkan menangkap tubuh Narina sebelum mereka sama-sama berguling di atas tanah.

Fuh! Macam adegan dalam filem hindustan. Daun-daun berterbangan dan ada yang sudah melekat di wajah dan baju Narina.

“Ah!” Narina terjerit apabila kakinya tersepak tunggul kayu mati saat mereka berguling. Keadaan badan usah cakap. Rasa dicucuk-cucuk dengan batu dan bendasing hutan.

Tidak sempat Narina nak melayan sakitnya, dia dibangunkan dengan kasar oleh lelaki itu.

“Apa yang kau…”

Lelaki itu sambung lari tanpa pedulikan Narina yang baru nak meminta tolong. Sudahlah buat dia sakit. Ditinggalkan begitu saja.

“Hey!”

Tetapi beberapa saat kemudian, lelaki itu datang semula dan menegur Narina.

“Kau seorang diri dalam hutan? Sesat?” Lelaki itu bertanya dengan dada yang berombak kencang sepertinya lelaki itu memang sudah lama buat larian dalam hutan ini.

Peluh di badan sudah seperti baru lepas mandi. Lenjun bajunya dengan wajah yang nampak sedikit kotor. Mungkin dapat kekotoran itu saat berguling atas tanah tadi.

“Ya, aku sesat. Kau tahu…” Sekali lagi Narina tidak habis cakap. Lelaki itu sudah menarik Narina mengikutnya berlari.

“Hey! Kaki aku sakitlah! Perlahan sikit lariannya.” Marah Narina yang sedang menahan sakit di kakinya. Lelaki itu laju menariknya berlari. Dari satu pokok ke satu pokok dilepasi. Kadang-kadang, Narina terpaksa melangkah dan melompat bagi mengejar langkah deras lelaki itu.

Narina terus berlari mengikut lelaki itu. Ada bukit, bukan turun dengan bertatih-tatih tetapi menyuruh Narina turun dengan menggelongsor. Narina gayat. Dia tidak cukup hidung nak bernafas.

Sampai di satu kawasan, lelaki itu mendadak berhenti buatkan Narina berlanggar dengan tubuhnya. Sekelip mata Narina berada dalam pelukan lelaki itu apabila kakinya tidak boleh nak mengimbangi badan lagi. Dalam sekelip mata pula, dia ditarik menyorok dalam semak.

Narina mula nak meronta-ronta. Tetapi lelaki itu kuat memeluknya. Mulutnya dari awal lagi sudah ditekup.

“Diam, kalau kau nak keluar sebelum hari gelap.” Bisik lelaki itu ke telinga Narina.

Narina sampai mengeliat kegelian apabila hembusan nafas kencang lelaki itu kena ke lubang telinganya.

Narina dan lelaki itu saling berpandangan. Dekatnya mereka.

“Aku tak ada niat jahat pada kau. Aku cuma nak kau diam kalau tak nak tambah lagi masalah dalam hutan ini.” Tegas lelaki itu berkata-kata. Pandangannya tajam kepada Narina.

Narina diam tidak berkutik. Dia mengangguk faham. Seminit bersembunyi, Narina mula rasa kakinya kebas. Bergerak sedikit, lelaki itu menyuruhnya diam.

Tajam mata lelaki itu memandang sekeliling mereka. Telinga Narina mula mendengar bunyi beberapa orang berlari di luar tempat persembunyian mereka. Ada yang menjerit suruh laju lagi berlari mengejar lelaki itu.

Dari siapa lelaki itu menyorok?

. . .

Dapatkan versi e-book di e-sentral.com 

Penerbit & Penulis: Miss Nas