[SNEAK PEEK] MY DEAR, MR. DIMPLE

My Dear, Mr.Dimple Oleh Aifa Batrisya

 

“PIAAAAA!!!!! Bukak pintu ni ceeepaaattttt!!!!!” laung Harlina sekuat hati.

“Piaaaaa…..!!!!!” jeritnya lagi. Kali ini sambil goncang-goncang pintu pula.

“Pia… bukak! Aku tahu kau ada kat dalam bilik ni, kan? Walaupun kau sorok si pinky tu dekat kebun belakang, aku boleh tahu kau ada dalam bilik ni. Itu… selipar kepala kucing kau tu ada kat bawah.”

Hisyhhh… budak ni, kan?” Laju Harlina keluarkan telefon bimbit sebelum mendail, tetapi masuk ke dalam peti suara. Makin hangin dia dibuatnya.

“Pia!!! Woiii sengal! Bukak pintu ni daaa….”

“Lina… sudahlah tu. Kan mama dah kata, Rin tak ada.”

Ma jangan nak tipu Lina. Lina tau, dia ada kat dalam ni. Piaaaaa. Oiii… Pia. Bukak pintu ni copek aaa. Laki kau injured ni. Kapal terbang dia bawak…”

“Kenapa dengan Umar?”

Harlina sudah rasa hendak terburai ketawanya. Mama Dhuha pula hanya mampu geleng kepala bila pintu bilik yang terkunci rapat tadi sudah terbuka seluas-luasnya dengan wajah Sofea tampak cemas.

“Kau bohong aku, ye Lina! Kau dah pakat dengan Umar, kan? Aku benci kau!” jerit Sofea marah sambil berlalu masuk. Tetapi belum sempat pintu bilik ditutup, Harlina meloloskan dirinya untuk masuk.

“Aku tak tipulah wei. Umar memang demam panas, tak boleh bangun,” jelas Harlina dengan tawa bersisa.

Iyalah tu. Kau ingat, aku nak percaya cakap kau tu? Dah jelas kau gelak-gelak lagi nak suruh aku percaya, kan? Dah, pergi balik! Jangan kacau aku!”

“Aku gelak sebab tengok muka cemas kau tadi. Itu je. Tak sangka, kan… sayang jugak kau dengan Si Umar tu sampai pucat muka kau dibuatnya bila aku baru cakap kapal terbang dia bawak… Belum pun habis ayat aku lagi. Haha haha…. Dah, tak payah nak merajuk bagai. Jom ikut aku balik umah. Umar memang demam panas. Mama dengan papa dia outstation. Suka ke tak, kau isteri dia… kena jaga dia sampai sihat. Faham? Dah, pergi kemas!”

Jap. Ini betul ke, tipu-tipu?”

Mata Harlina mencerlung ke arah Sofea.

“Kau ingat ni dalam drama ke apa? Hero pura-pura sakit sebab nak pujuk semula heroin? Hello… you’re not on TV Cik Piaa, oi! Ini betul-betul. Bukan prank ke apa!”

“Betul ni? Kau tak tipu? Mana kau tahu dia demam? Kau ada jumpa dia?”

Harlina sudah tepuk dahi sendiri sambil tayang muka hendak menangis pada Mama Dhuha yang berdiri di sisinya.

Ma… apa ni ma? Anak mama ni banyak sangat baca novel, banyak tengok drama sampai yang realiti pun dia jadi tak percaya. Aku cakap betullah Pia oi! Zamri yang call aku pagi tadi. Tak ada maknanya aku nak jumpa Umar tu. Dia bukannya laki aku, laki kau! Dah, cepatlah! Banyak soal la kau ni…” balas Harlina yang sudah mula naik berang.

Iyalah, iyalah. Tapi kalau kau tipu… siap kau, Lina!” balas Sofea sebelum masuk semula dalam bilik dan kemas apa yang patut sebelum menurut Harlina dari belakang.

“DEMAM… muntah-muntah, pembawakan budak ke bos?”

Laju saja bahu Zamri dilepuk. Kepala dah pening, mata pun dah memanas ni, dia boleh buat lawak pulak. Ingat dibuat-buat ke sakit ni?

“Bos demam rindu ye…?”

Umar kalih ke sisinya pada Zamri yang elok bersila di tepi sofa.

“Zam… lagi sekali awak bukak mulut awak tu… saya potong gaji awak.”

Zamri angguk laju. Ibu jari diangkat sambil buat isyarat ke arah pintu.

“Dah kenapa pulak dengan awak ni? Bisu?”

“Tadi bos jugak tak bagi saya buka mulut.”

“Zammm!!!”

Zamri gelak mengekek.

“Bos…”

Hmmm…”

“Kalau Cik Sofea balik sini kejap lagi, bos cubalah ambik hati dia ye! Janganlah marah-marah dia lagi,” pesan Zamri sambil rendam kain lap dalam besen.

Umar buka mata yang tadinya terpejam rapat. Wajah Zamri di sisinya dikerling dengan keluhan.

“Bila masa pulak saya marah-marah dia ni? Dia ada mengadu dekat awak ke?”

Zamri geleng sambil tersengih-sengih.

“Tak adalah Cik Sofea mengadu ke apa. Tapi dari air muka dia, saya tahu dia macam ada masalah. Waktu bos tak ada, dia asyik termenung je sambil pandang gambar bos. Lepas tu, duk cakap sorang-sorang. Ada juga sesekali saya nampak Harlina datang sini dan berbincang sesuatu dengan dia, tapi saya tak tahu pasal apa. Yang pasal kes modeling hari tu pun, Cik Sofea ada tanya pendapat saya jugak. Dia rasa bersalah sangat-sangat pada bos pasal hal tu. Saya tahu, Cik Sofea tu sebenarnya sayang sangat-sangat pada bos. Dia cuba sedaya upaya nak buat bos gembira dengan apa yang dia buat, tapi bila respons bos sebaliknya…”

“Saya tegur sebab saya sayangkan dia, Zam….”

“Itu saya tahu, bos… tapi takkanlah setiap kali Cik Sofea buat salah, bos terus nak tegur dia on the spot. Cik Sofea tu bukan budak kecik lagi, bos. Sikit demi sedikit mesti dia terasa dengan tindakan bos tu. Apa kata lepas ni, bos tunggu dulu sehari dua baru tegur. Kadang-kadang perempuan ni kena dilayan macam tu, bos. Kalau tiap kali buat salah kena tegur, lama-lama dia rasa macam dia asyik menyusahkan kita saja. Bila dia dah mula merajuk, kan ke susah. Macam sekarang ni?”

Umar mencebik. Sempat lagi dia memerli ye!

“Saya tak berapa reti nak ambik-ambik hati ni, lah Zam.”

“Tak susah mana pun bos. Perempuan macam Cik Sofea tu, bukannya nak disogok selalu dengan emas ke, hadiah ke, apa. Dia cuma nakkan perhatian bos. Itu je. Cuba sesekali kalau waktu tengok televisyen sama-sama tu, bos peluk bahu dia ke… puji yang dia lagi cantik dari heroin drama dalam TV ke… ataupun bila dia buat air atau masak sesuatu untuk bos, bos puji ke. Ha, mesti Cik Sofea suka!”

“Nanti dia tuduh saya buang tebiat, macam mana?”

“Belum cuba, belum tahu bos!”

“Ah, awak cakap macam awak ni dah ada isteri saja!” marah Umar sambil langsung berpeluk tubuh.

“Dah boleh marah orang tu, bermakna taklah teruk sangat sakitnya,” tegur suara di muka pintu. Umar berpaling sebelum bingkas duduk daripada baring.

“Sofea!” panggilnya sambil tersenyum.

“Eh, dah baik demam dah bos?”

“Zam…!” Matanya dikecilkan ke arah Zamri. Mencicit Zamri berlari ke arah muka pintu sambil mempersilakan tetamu yang baru tiba itu untuk masuk. Pintu pula ditutup rapat usai dia keluar.

“Dah berapa lama demam?”

“Dua, tiga hari…” balas Umar sambil mata tak putus memandang ke arah Sofea yang berwajah serius, tidak ceria. Diperhatikan saja gerak-geri 

Sofea yang letak beg pakaian dan beg tangannya di atas lantai sebelum labuhkan punggung di sofa berhampiran.

“Kenapa tak call. SMS? Gigih nak upah Lina sampai ke sana memujuk saya balik.”

Umar diam sebelum menunduk. Perlahan-lahan tubuhnya dibaringkan semula ke sofa sambil tangannya diletak ke atas dahi. Mata kemudian dipejamkan rapat sekadar menahan seribu satu rasa yang berbuku di hati. Serba salah, malu, sedih dan rindu bercampur rasa, tetapi sukar untuk diluahkan waktu itu. Dan tanpa sedar, dia tertidur untuk ke sekian kalinya kesan daripada ubat yang baru sahaja ditelannya sebelum Sofea tiba tadi….

“BANGUN, makan.”

Umar buka matanya yang masih terasa berat, perlahan-lahan. Hidungnya sudah terhidu bau sup ayam. Perlahan-lahan dia bangun dan duduk bersandar.

“Mihun sup?” soalnya pada Sofea dengan wajah kusut.

“Haah. Kenapa?”

“Biasa… Zam masakkan bubur nasi je.”

“Haah. Tak ada menu lain dah. Asal demam, makan bubur nasi. Asal masak bubur nasi je, mesti sebab demam. Sama je dalam mana-mana novel. Bosan tau! Kali ni saya tukar. Makan mihun sup. Awak nak ke tak ni?”

Novel? Umar garu kepala. Apa kaitan novel dengan dia yang demam ni?

“Kalau takut tak kenyang, saya boleh campur nasi dalam sup ni.”

“Eh… tak apa. Okey,” balas Umar sambil cuba menyambut mangkuk yang dihulurkan padanya.

“Dah… biar saya je yang suap. Tangan menggeletar macam tu, nak suap mihun macam mananya! Nanti banyak yang tumpah dari yang masuk dalam mulut,” bebel Sofea lagi.

“Sayang jugak awak pada saya, kan?” Ada senyum mengiringi soalan cepumas yang jarang-jarang keluar dari mulut seorang yang bernama Umar Faliq.

“Sayang tu soal kedua. Nanti, kalau tumpah… saya jugak yang jenuh nak kena mop lantai segala. Kerja saya dah cukup banyak nak basuh baju-baju awak dalam baldi yang kena muntah tu tau!”

Umar tarik muka panjang.

“Awak janganlah cakap macam tu, Sofea. Kalaulah awak boleh nampak pahala yang awak 

akan dapat tu tengah berpusing-pusing keliling awak… mesti awak takkan cakap macam tu.”

“Haah. Awak ingat pahala tu boleh nampak berpusing macam marry-go-round tu ke?”

Pecah tawa Umar seketika. Sesekali kepalanya digelengkan melihat muka cemberut Sofea yang membebel tanpa bunyi. Hanya mulut comelnya yang terkumat-kamit bergerak.

Saya tahu, awak masih sayangkan saya, Sofea… bisik Umar perlahan sambil terus menganga bila sudu berisi mihun sup disua ke arahnya.

“PANAS lagi ni.” Lapor Sofea, gaya misi tidak berbayar.

Wajah Umar yang terkerdip-kerdip memandang ke arahnya dipandang dari kepala hingga ke hujung kaki berkali-kali.

“Bila last awak mandi?”

Errr… tiga hari lepas?”

“Patutlah busuk!”

Umar terdiam. Ikut hati memang mahu terasa, tetapi dipujuk hatinya supaya bersabar. Tahu benar dia yang Sofea masih marahkannya dan cuba meluahkan dengan katakata.

“Dah… bukak baju ni! Dah berapa hari tak tukar agaknya ni. Kalau letak kat Sungai Gombak pun mesti pengsan semua ikan dalam tu sebab keracunan.”

“Sungai Gombak ada ikan lagi ke?”

“Isy, menjawab pulak dia. Cepat bukak!”

Terkial-kial Umar bangun untuk membuka bajunya. Dan siap saja bajunya dibuka, sengaja dia pura-pura terlempar baju ke wajah Sofea. Menjerit kecil wanita itu dibuatnya.

“Eee! Busuk! Busuk! Habis muka tumbuh jerawat nanti ni. Hiyhhh…!” Cepat-cepat baju dibaling ke atas lantai.

“Haaa… baring cepat.” Arah Sofea pada Umar yang terkekek-kekek tertawa.

Umar menurut tanpa merungut. Mata ralit memerhati setiap gerak-geri Sofea yang sibuk mengelap air ke tubuhnya yang sudah beberapa hari tidak dibersihkan. Cuma baju yang ditukar setiap kali dia ingin solat.

“Sofea…”

Hmmm…”

“Maafkan saya, ye….”

Diam. Kali ini Sofea tidak menyahut. Selesai lap bahagian depan badan, tubuh Umar disuruhnya mengiring sebelum dilap dengan air. Selesai baha

gian badan, seluar bermuda Umar dilipat hingga ke lutut sebelum dia sambung lap dengan air.

“Dah… tutup mata tu. Saya nak lap muka awak pulak ni.”

Umar menurut. Matanya dipejamkan tetapi sesekali dia cuba curi pandang sebelum ditegur.

“Tutup mata tu saya kata. Nanti saya jentik mata tu, baru tahu!” marah Sofea.

Cepat-cepat Umar tutup mata sambil tersenyum sendiri menahan tawa. Timbul lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Dan saat itu, mata Sofea seakan terpaku. Hatinya rasa pilu. Sungguh, dia rindukan senyuman itu. Sangat-sangat rindu!

Tanpa sedar, tangannya sudah mengelus perlahan lekukan di pipi Umar sambil matanya menatap segenap penjuru wajah bersih itu dengan rasa sayang yang makin menggebu. Saya sayangkan awak, Umar. Saya rindu sangat-sangat pada awak. Kenapa awak sanggup buat macam ni pada saya?

“Sofea?”

“Eh… bunyi apa tadi tu ye? Air dah masak kut! Saya pergi dapur jap. Ni, tuala. Lap badan awak tu,” jelas Sofea sebelum berlalu terkocoh-kocoh ke dapur.

Umar senyum lagi sambil tangannya meraba perlahan pipinya. Dia dah maafkan kau, Umar. Dia masih sayangkan kau! Desis Umar perlahan sambil terus tersenyum bahagia.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79841/My-Dear-Mr-Dimple