ZAARA merenung jam dinding di dalam biliknya itu. Sudah menghampiri jam lima petang. Telekung yang tersarung di tubuhnya saat itu pantas dibuka lalu disimpan di tepi katil setelah selesai menunaikan solat asar. Tubuhnya dihempas perlahan ke atas katil. Matanya terasa terlalu berat setelah seharian menguruskan rumah.
Wajah Iman yang sedang nyenyak tidur diusap perlahan lalu dikucup lembut. Dia tidak mahu mengejutkan anak kecil itu. Pejam celik, pejam celik, sudah lebih lima tahun usia perkahwinannya dengan Irham dan sudah empat tahun Allah kurniakan anak kecil itu kepada mereka. Zaara rasa begitu bersyukur kerana dia punya sebuah keluarga yang lengkap walau pelbagai dugaan melanda sebelum ini.
Siapa sangka perkahwinan tanpa cinta dan kerana terpaksa boleh memberikannya sebegitu banyak bahagia yang tidak pernah dia impikan selama ini? Ya, walaupun Irham masih seperti Irham yang dikenalinya lima tahun lalu, masih berlagak, masih tak nak kalah, masih sedingin ais, masih mengekalkan trademark mr. arrogantnya, namun Zaara tahu Irham sayangkan dia.
Kalau tak sayang, tak adalah Irham pernah cuba membuang perangai arrogantnya itu. Tapi Zaara sendiri yang meminta dia berhenti kerana nampak palsu sangat. Sungguh Zaara sudah tidak kesah. Dia sudah terbiasa dengan Irham yang ini. Jadi, dia tidak perlukan Irham yang sebegitu. Irham yang sekarang sudah cukup sempurna bagi seorang Zaara.
IRHAM menjenguk sebelum melangkah perlahan memasuki ruang kamar tidurnya itu. Dia tidak mahu mengejutkan dua insan kesayangannya yang sedang lena tidur. Jam di tangannya dikerling. Sudah menghampiri jam enam setengah petang.
Dia pantas menghampiri Iman sebelum mengucup pipi anak kecil itu. Wajah Zaara yang terlena dipandang seketika. Jelas terpancar keletihan di wajah isterinya itu. Irham mencempung Iman dengan berhati-hati sebelum dibawa ke katil kanak-kanak yang tersedia di sebelah katil bersaiz king itu. Dia meletakkan anaknya dengan berhati-hati sebelum kembali ke katil.
Irham melonggarkan ikatan tali lehernya sebelum melabuhkan punggungnya di atas katil itu. Dia mengengsot mendekati Zaara sebelum baring di sebelah isterinya dengan mengiring menghadap wajah mulus itu. Wajahnya didekatkan dengan wajah Zaara hingga desahan lembut isterinya itu bisa didengar dengan jelas. Tangannya didepang, mendakap Zaara sebelum matanya turut dipejam. Terasa semua keletihan dunia hilang begitu saja saat kehangatan tubuh Zaara meresapi dirinya.
ZAARA terjaga ketika dia merasakan bahunya kian memberat seperti dihempap sesuatu. Matanya dibuka sebelum dia terpanar melihat Irham sedang berbaring di sebelah dengan satu tangan mendakap dirinya. Tangan Irham dialih dengan berhati-hati sebelum dia perlahan. Dia duduk, meraup wajah dan mengikat kembali rambutnya yang sudah kusut. Jam di dinding dipandang seketika kemudian matanya membulat.
“Awak! Bangun, awak!!!” Zaara memanggil Irham sekuat hati membuatkan Irham yang baru saja terlelap, bangun terkulat-kulat.
“Ada apa ni?” Matanya digosok perlahan. Kantuknya masih belum hilang.
“Dah pukul tujuh, awak! Cepatlah bangun solat subuh. Dah lambat ni. Karang awak lambat pergi kerja pula. Saya pun belum solat lagi ni. Astaghfirullahaladzim! Macam mana boleh terlajak tidur ni?” Zaara kelam-kabut lalu pantas turun dari katil.
Belum sempat Zaara membawa langkah ke bilik air, Irham memegang tangan Zaara erat, menghalangnya daripada melangkah.
“Isy, kenapa ni, awak? Dah lambat dah ni.” Zaara kegelisahan. Irham menjeling tajam.
“Sekarang pukul berapa?”
Zaara memandang jam di dinding semula, memastikan yang dia tidak tersilap melihat.
“Betullah dah pukul tujuh.” Zaara yakin.
“Memanglah. Tapi pagi ke petang?” Irham menyoal lagi. Zaara menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Irham bingkas bangun dari katil tanpa menunggu Zaara membalas. Tuala yang tersidai di penyangkut segera diambil sebelum memandang Zaara semula.
“Lain kali jangan tidur lepas asar, kan dah jadi gila.” Irham mencuit hidung Zaara sebelum membawa langkah ke dalam bilik air.
Zaara terpinga-pinga. Jam di telefon bimbitnya pula dikerling. Subhanallah, tujuh petang rupa-rupanya! Zaara mengetuk dahinya sendiri.
“KEPALA dah okey?” Irham menyoal saat mereka usai bersolat maghrib berjemaah malam itu. Zaara menarik muncung, tidak suka diusik Irham sebegitu.
“Kalau tak okey lagi, saya nak hantar hospital sakit jiwa, boleh kawan dengan Faisal.” Irham ketawa mengekek.
“Awak! Tak baik tau cakap macam tu.” Zaara geram. Kenapa soal Faisal pula yang diungkit? Dia tak bersalah pun dalam soal ini.
Irham terus ketawa mengekek. Terasa lucu sekali saat mengingati kejadian tadi. Macam manalah tujuh petang boleh disangka tujuh pagi? Ini benar-benar lawak! Muncung Zaara kian panjang saat mendengar tawa Irham yang tidak surut dari tadi. Hatinya benar-benar rasa sebal.
“Saya gurau ajelah.” Irham bersuara tidak lama kemudian setelah tawanya hilang. Dia enggan memanjangkan lagi usikannya. Dia bangun melipat sejadah sebelum memandang Zaara semula.
“Okey, saya minta maaf. Tak payahlah nak muncung macam tu sekali. Saya sangkut sejadah dekat bibir awak tu baru tahu.”
Zaara mendengus geram sebelum ikut bangun membuka telekung yang tersarung di kepalanya. Dia langsung tidak membalas kata-kata Irham. Bukan boleh dilayan usikan suaminya itu. Karang makin galak dia mengusik.
“Jom, teman saya makan.” Irham menggenggam erat tangan Zaara sebaik isterinya itu selesai menyangkut telekung dan sejadahnya. Dia menarik tangan isterinya keluar dari bilik dan cuba memujuk isterinya yang masih mencuka.
“Makanlah sorang-sorang.” Zaara langsung tidak memandang ke arah Irham.
“Janganlah macam tu. Tak kesian dekat saya ke? Dari tadi saya tak makan apa-apa tau.” Irham cuba memancing dengan ayat meminta simpati. Perutnya ditekan tanda dia kelaparan. Zaara cuma diam memerhati, tidak memberi sebarang reaksi.
“Jomlah!” Irham tersengih lalu menarik tangan Zaara membuatkan Zaara tidak punya pilihan lagi. Irham tahu panas dalam hati Zaara sudah surut sebaik melihat wajah cemberut isterinya itu sudah kembali normal walau senyuman belum bisa terukir.
“Awak ni jahat, kan!” ucap Zaara sebelum bahu Irham ditampar sepantas kilat. Dia membawa langkah untuk turun ke dapur, ingin memanaskan semula lauk-pauk yang dimasaknya hari ini. Dia meninggalkan Irham terpinga-pinga sambil menggosok bahunya yang pedih.
“IMAN buat apa dekat rumah hari ni?” Irham sibuk melayan anak kecilnya itu di hadapan televisyen. Zaara sibuk di dapur, mengemas selepas selesai makan malam.
“Main game.” Iman mendongak memandang bapanya yang sedang meribanya saat itu.
“Game apa?”
“Game lari-lari dekat keretapi. Game penyek semut. Game Pou,” petah anak kecil itu menjawab membuatkan bibir Irham automatik mengukir senyum.
“Iman main game aje hari ni?” Irham mengucup ubun-ubun Iman sebelum mengusap lembut rambut anaknya. Iman menggeleng.
“Mama bawa pergi supermarket. Beli ikan.” Mulut itu masih laju berceloteh dalam pelatnya yang pekat. Irham mengangguk sebelum berpaling mencari kelibat Zaara yang masih tidak kelihatan. Dari jauh Irham dapat melihat Zaara sedang asyik membasuh pinggan mangkuk. Hatinya jatuh kasihan melihat isterinya itu masih sibuk di dapur saat itu. Satu keluhan keluar dari bibirnya. Anak kecilnya itu dibiarkan menonton sendirian sementara dia melangkah masuk ke dapur menghampiri Zaara.
“Sudahlah, sambung esok pula.” Irham bersuara di tepi telinga Zaara.
“Oi, mak terkejut!” Zaara melatah membuatkan dia terhempas pinggan ke dalam singki. Dia berpaling melihat Irham dengan wajah geram.
“Isy, awak ni!!! Tak buat saya terkejut tak sah ke?” Hatinya sebal. Mujur pinggan itu tidak pecah. Pinggan itu dikutip semula sebelum dibilas kembali.
“Macam tu pun nak terkejut. Teruk sangat latah awak ni. Dah macam Mak Enon saya tengok.”
“Mana ada!”
“Hah! Tengok. Muka pun dah sama.”
“Isy, awak!” Zaara geram. Lengan Irham dicubit membuatkan Irham mengaduh.
“Sakitlah! Tangan macam ketam!”
“Siapa suruh cakap macam tu?”
“Itu pun nak marah. Betul apa saya cakap.”
“Eee, geramnya. Dah, pergilah depan. Yang kacau saya dekat dapur ni kenapa?”
Irham diam. Air paip yang masih laju mengalir segera ditutup.
“Dah, pergi tidurkan Iman lepas tu tidur. Sambung esok aje kerja ni semua.”
“Eh, mana boleh tinggal kerja sekerat jalan macam ni. Tak baiklah, awak. Kejaplah. Lagi sikit nak siap dah.” Zaara ingin membuka paip air semula namun segera dihalang Irham.
“Saya cakap tak payah, tak payahlah. Dah, pergi tidurkan Iman.”
Zaara mengeluh. Dia memang tak mampu nak lawan arahan tuan besar seorang ni.
“Yalah. Saya pergilah ni.” Zaara ingin melangkah namun dia teringatkan sesuatu. Langkahnya mati. Wajah Irham dipandang semula.
“Eh awak, minggu ni saya nak balik kampung, ya. Dah lama tak jenguk ibu dengan ayah. Awak ikut sekali, ya.”
“Tak boleh. Sibuk,” pendek Irham membalas membuatkan Zaara mencebik.
“Alah, ambillah cuti.”
“Kan saya dah cakap tak boleh. Banyak kerja dekat ofis tu. Tak faham ke?” Jawapan Irham itu membuatkan bibir Zaara menarik muncung panjang.
“Yalah. Saya dengan Iman balik sendiri, awak pergilah kerja tu.”
“Esok saya hantar awak balik kampung. Nanti hari Ahad saya datang ambil.” Irham menerangkan rancangannya kepada Zaara. Zaara buat tidak dengar sahaja. Dia segera melangkah keluar dari dapur dengan wajah mencuka. Irham tersenyum sendiri sebelum matanya jatuh pada pinggan mangkuk di dalam singki. Kemudian lengan baju Melayu yang dipakainya disingsing. Dia kembali membuka paip lalu menghabiskan baki pinggan mangkuk yang masih belum dibilas di dalam singki itu.
“KAMU tak tidur sini ke Irham?” soal Haji Zaidi saat Irham bersalaman dengannya. Ketika itu Irham meminta diri untuk pulang petang itu selepas menghantar Zaara dan Iman ke kampung.
“Orang tu sibuk kerja, ayah. Mana ada masa.” Zaara memerli dari belakang.
Isy, bukannya nak cover aku! bisik Irham dalam hati. Dia membeliakkan matanya memandang Zaara dengan rasa tidak puas hati.
“Janganlah kerja teruk sangat sampai tak ada masa untuk berehat, Irham. Sekali-sekala tidurlah sini, rehatkan fikiran.”
“Hari ni memang tak boleh, ayah. Insya-Allah, nanti Irham datang balik.” Irham memaniskan mukanya, enggan membuatkan bapa mentuanya itu terasa.
“Yalah. Ayah faham. Jaga diri kamu.” Haji Zaidi menepuk bahu menantunya itu. Dia cuba mengurangkan rasa bersalah dalam hati Irham.
“Saya balik dulu.” Irham menghulur tangan ke arah Zaara. Zaara sambut tangan Irham tanpa memandang wajah suaminya itu. Hatinya masih terasa namun dia tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz dengan tidak melayan Irham.
“Bawa kereta elok-elok,” pesan Zaara.
“Awak pun jaga diri.” Irham sempat berpesan sambil mengusap kepala Zaara sebelum bingkas memasuki perut keretanya.
****
IRHAM merenung jam di pergelangan tangannya sekali lagi. Masa yang berlalu terasa begitu lambat sekali. Dari tadi dia kegelisahan macam cacing kepanasan, menanti detik untuk pulang kerana ada agenda yang dia mahu selesaikan. Walaupun dia CEO kepada syarikat ini, namun itu bukanlah tiket percuma untuk dia pulang atau keluar sesuka hati. Dia harus menjadi contoh kepada para pekerja dan bukannya menyalahgunakan kuasanya.
“Irham…” Satu suara garau menerpa gegendang telinganya membuatkan Irham lekas mengangkat muka. Seraut wajah tua itu tersenyum kepadanya saat mata mereka bertentangan.
“Papa buat apa datang ke ofis ni?” Irham bersuara sebaik melihat wajah itu. Sejak Irham mengambil alih syarikat beberapa tahun lalu, papanya sudah jarang datang ke pejabat. Tapi entah kenapa hari ini papanya muncul, dia sendiri tidak pasti.
“Saja nak tengok keadaan pejabat. Dah lama rasanya papa tak menjengah.” Susuk tubuh itu melangkah masuk ke bilik pejabat Irham sebelum mengambil tempat di atas sofa bersebelahan meja Irham.
“Papa kan tak berapa sihat, papa rehat sajalah dekat rumah. Irham boleh uruskan semuanya, pa.” Irham turut melangkah ke sofa lalu melabuhkan punggungnya di situ. Dia menghadap papanya dengan penuh rasa hormat.
Tan Sri Zahir tersenyum. Dia tahu anak lelakinya itu memang boleh diharap untuk menjaga syarikat itu, namun bukan itu tujuannya datang ke pejabat hari ini.
“Papa percaya pada kebolehan kamu, Am. Cuma…” Tan Sri Zahir berjeda seketika sambil merenung jam di tangan. Baru pukul sembilan setengah pagi.
“Papa tahu kamu nak balik kampung Zaara hari ini. Papa datang ni nak tolong tengokkan ofis.” Wajah Irham berubah sebaik mendengar kata-kata papanya. Perlahan bibir Irham mengorak senyuman lebar.
“Ya ke ni, papa? Macam mana papa tahu?” Irham menyoal dalam nada teruja. Tan Sri Zahir tersenyum. Dia sudah mengagak perkhabaran itu menggembirakan anaknya.
“Mama kamu yang beritahu papa. Alang-alang papa tak ada program hari ini, tak salah kalau papa tolong kamu uruskan syarikat, kan?”
“Molek sangat tu, papa.” Irham tersengih. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya. Memang dari tadi dia asyik menghitung detik untuk pulang.
“Tapi tak menyusahkan papa ke?” Irham menyoal semula, gusar.
“Tak apa, kamu jangan risaulah. Sebelum papa serahkan syarikat ni dekat kamu, sudah tiga puluh tahun papa uruskan syarikat ni sendirian. Setakat tolong urus hari ni, small matter.” Irham ketawa kecil mendengar kata-kata papanya.
“Terima kasih, papa. Hari ini tak ada perkara penting sangat pun untuk diuruskan. Cuma pukul tiga nanti ada dua orang akan datang untuk temu duga jawatan pegawai pemasaran. Itu saja.” Irham mengingatkan sebelum dia sendiri terlupa.
“Tak apa. Kamu baliklah, Irham. Kalau ada hal penting nanti, Hani akan inform papa sendiri.” Irham mengangguk tanda mengerti sebelum mengemaskan barangnya.
“Kalau ada apa-apa, papa call aje Irham, okey?”
Tan Sri Zahir mengangguk perlahan bersama senyuman di wajah. Dia enggan membuang masa Irham yang memang sudah kelihatan begitu teruja untuk pulang.
“Terima kasih, papa.” Irham bersuara ketika melangkah keluar dari biliknya itu dengan pantas.
Zaara, aku datang!!! Irham menjerit dalam hati.
“UHUK… Uhuk…” Zaara yang sedang menghirup kopi panas di dalam cawannya tiba-tiba tersedak. Perit tekaknya saat itu membuatkan wajahnya berubah kelat.
“Kenapa ni, Zaara? Kamu tak apa-apa ke?” Hajah Amina menggosok perlahan belakang Zaara.
“Zaara okey, ibu. Tersedak sikit aje.”
“Itulah, jangan minum laju sangat. Kopi tu panas lagi.” Hajah Amina mengomel melihat keculasan anaknya itu.
“Zaara minum perlahan-lahan dah tadi ibu, tapi entah kenapa boleh tersedak juga.” Zaara mempertahankan dirinya sambil mengelap sisa air yang tumpah dengan tisu.
Hajah Amina menggeleng perlahan. Lucu melihat wajah anaknya yang enggan mengaku salah.
“Yalah tu, Zaara. Laki kamu rindukan kamulah tu kut.” Sengaja Hajah Amina mengusik apabila melihat Zaara sudah kembali menghirup kopi panas itu.
Sekali lagi Zaara terbatuk-batuk saat terdengar kata-kata ibunya. Hajah Amina ketawa mengekek melihat gelagat anak tunggalnya itu sambil menggeleng.
“Zaara… Zaara… Perangai tak berubah.”
“Ibu ni suka merepek masa orang tengah minum, kan?” Zaara tak henti mengurut dada, cuba melancarkan kembali pernafasannya yang terganggu.
“Betul apa ibu cakap.” Hajah Amina bersuara sambil tangannya menguis-nguis bihun goreng di atas pinggan.
“Tak ada maknanya dia nak rindukan Zaara ni, ibu. Dia tu asyik sibuk dengan kerja dia aje sampaikan nak ajak balik kampung pun susah.” Zaara mengomel, mulutnya sudah muncung sedepa.
“Isy, kamu ni Zaara… Tak baik cakap macam tu. Irham tu kerja keras untuk kamu juga. Bukan kamu tak tahu, dia tu kan suka balik kampung. Cuma bila dah sibuk sangat yang dia tak mampu nak ikut kamu balik.”
Zaara berjeda sendiri sambil menghirup kopinya semula.
“Kerja keras sampai lupa anak bini.” Zaara bersuara perlahan hingga hampir tidak kedengaran.
“Hah, cakap pasal anak, cuba jenguk Si Iman tu. Entah-entah dah bangun.” Hajah Amina mengingatkan Zaara.
Zaara tergamam seketika sebelum kepalanya sendiri diketuk. Sedap aje cakap Irham lupa anak bini, dia sendiri yang terlupa pasal Iman. Aduh!
ZAARA membuka pintu bilik sederhana besar itu dengan perlahan dan berhati-hati. Dia tidak mahu mengejutkan Iman andai anaknya itu masih tidur.
“Morning, mama,” petah si anak bersuara saat Zaara menjenguk di muka pintu.
“Iman dah bangun?” Zaara terkejut ketika melihat anak kecil itu merenungnya dengan senyuman manja. Ada Tablet di dalam genggaman anak kecil itu.
“Hmmm…” Mulut mungil itu bersuara halus namun matanya tak lepas daripada merenung Tablet.
Zaara melabuhkan punggungnya ke atas tilam sebelum merenung kembali anak kecil yang seolah-olah tidak terkesan langsung dengan kehadirannya. Perlahan Tablet di tangan anak kecil itu dicapai sebelum wajah itu ditatap penuh sayang. Iman yang terkejut pantas memandang ibunya, tidak puas hati.
“Sudah, pergi mandi dulu lepas tu sarapan. Nenek dah masak sedap-sedap tu. Iman tak lapar ke bangun-bangun terus menghadap Tablet?”
“Ala… Cejukkklah, mama,” balas Iman dengan pelatnya yang masih belum hilang.
“Dah, jangan nak mengada-ada. Kalau sejuk, Iman basuh muka dan gosok gigi dulu. Mama bancuhkan susu coklat untuk Iman, okey?”
Wajah yang sudah cemberut itu kembali tersengih saat minuman kegemarannya disebut si ibu. Dengan langkah berat, Iman menuju ke bilik air di belakang rumah sambil diperhati oleh Zaara. Walaupun anak kecil itu pandai berdikari, namun Zaara tetap mengambil langkah berhati-hati. Dia bimbang apa-apa terjadi kepada anak tunggalnya itu.
“Ahhh… Cejukkk!” kedengaran Iman menjerit sebaik air kolah mencecah mukanya. Zaara yang menunggu di luar bilik air, ketawa kecil.
“Perangai sebiji macam papanya. Hesy!” Zaara mengomel sendiri tanpa menyedari senyuman sudah kembali terukir di bibirnya.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79452/miss-you-mrarrogant