[SNEAK PEEK] MASIH SETIA

9789831246108-medium

EBUKU Masih Setia Oleh Aisya Sofea

“ASSALAMUALAIKUM,” satu suara menyapaku dari belakang tatkala aku sedang mengambil kuih-muih di meja makan sebaik selesai bersolat tarawih secara jemaah di rumah. Aku segera menoleh dan sedikit tersentak bila berhadapan dengan Rudi yang baru diperkenalkan kepadaku tadi.
“Waalaikumussalam…” balasku perlahan.

Kami berbalas senyuman. Dia senang melihatku. Senyumannya masih terpahat di bibir. “Bila sampai?” soalnya.

“Petang tadi.”

“Penat?”

“Penat sikit,” ujarku.

“Baru pertama kali ke sini?” tanya dia lagi. Dia mendekatiku tetapi berhenti beberapa meter daripadaku. Dia masih membatasi pertemuan kami ini.

Aku menggeleng. “Kali terakhir, lebih kurang 20 tahun lalu.” Jujur aku menjawab soalannya.

“Wah! Lama sungguh tu.” Dia nampak terkejut. Entah pura-pura, entahkan benar-benar terkejut.

Aku mengangguk sambil memerhati suasana kelam di sekeliling kami. Yang kelihatan hanyalah cahaya lampu kalimantang dari rumah jiran tetangga yang tidak berapa jauh letaknya dari rumah unyang ini. “Pernah datang ke Kuala Lumpur?”

Dia menggeleng. “Cuma ke Penang.”

Aku mengerutkan dahi. “Ke Penang? Buat apa ke Penang?” tanyaku kehairanan.

“Oh… medical check-up di sana.”

Aku masih kabur. “Untuk apa medical check-up sehingga ke sana?” tanyaku lagi benar-benar ingin tahu.

Dia nampak keberatan untuk menjawab pertanyaanku. Aku pula terus menunggu sambil mengamati wajahnya sehingga dia rasa tidak keruan.

Kami akhirnya sama-sama ketawa. Sekadar melepaskan rasa lucu. Itu tawa kami yang pertama dalam hubungan yang baru bermula ini.

“Saya pernah dapat tawaran bekerja di syarikat farmaseutikal di sana. Jadi, sebelum mula bekerja, harus buat medical check up… all those kind of things first.”

Baru kini aku mengangguk-angguk faham. Selain memiliki wajah kacak, bersopan santun, menghormati orang tua dan berpendidikan tinggi, dia juga mampu berbahasa Inggeris dengan baik walaupun slanga Inggerisnya kedengaran berbeza sedikit dari segi gaya tutur dan tonasinya.

Aku melemparkan pandangan ke malam kelam bila menyedari yang dia sedang mengamatiku. Tiba-tiba sahaja lidahku rasa kelu dan tidak tahu apa lagi yang mahu dibicarakan. Sedangkan sebelum ini, aku mampu berbual tentang apa sahaja walaupun dengan orang yang baru kukenali. Suasana bertukar hening antara kami berdua.

“Berapa lama di sini?” tanya dia lagi. Mujur dia terus bersuara.

“Hmm… lebih kurang dua minggu. Dua malam di Padang mungkin, sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur,” balasku lembut.

“Jadi, banyak masa di sini nanti?”

Aku mengangguk.

“Bagus sekali!” balasnya penuh erti.

Aku mengerutkan dahi. Ada sesuatu yang tidak jelas di sebalik kata-katanya itu.

Melihat aku yang tertanya-tanya, dia bertindak menjelaskan, “ya… boleh kita berkenalan lebih lama lagi. Boleh bawa kamu ke Bukit Tinggi, berjalan-jalan di Lubuh Sikapiang, Batu Sangkar dan ke mana saja kamu mahu pergi.”

Aku tersenyum. Sukar untuk aku menerima pelawaannya ini. Pergilah Miera. Inilah peluang untuk engkau kenal dengan lebih dekat siapa Rudi sebenarnya. Desis hatiku tiba-tiba.

“Insya-ALLAH.” Itu sahaja jawapan yang mampu aku berikan.

“Miera… Rudi… ke mari kalian berdua. Duduk di sini.” Suara unyang nyaring memanggil kami berdua.

Aku dan Rudi saling berpandangan. Ada juga mata-mata lain yang mengamati diri kami. Terutama sekali kedua ibu bapa Rudi dan ibu bapaku termasuk Kak Emi.

“Ya, nyang,” sahut Rudi perlahan sambil duduk bersila di kaki orang tua itu. Sementara aku pula mengambil tempat duduk di sebelah kanannya.

“Kalian berdua sudah kenal?” tanya unyang kepada kami berdua.

Aku dan Rudi berbalas pandang lantas tersenyum.

“Iya, nyang. Kami sudah kenal,” jawab Rudi bagi pihakku.

Unyang menarik nafas. Nafasnya seakan tersekat-sekat. “Bagus, kenal dulu, kemudian baru datang mesra. Unyang senang sekali lihat kamu berdua begini.” Senyumannya bercahaya di wajah tua itu.

Aku tersenyum. Cuba untuk tidak mengalihkan pandangan pada Rudi. “Nyang, biar Miera berkawan dengan Rudi dulu ya?”

Unyang sekadar mengangguk-angguk sambil mengusap kepalaku. “Kamu cicit unyang yang baik. Dari dulu pun kamu memang begitu,” kata unyang kepadaku.

Aku tersenyum. Kali ini aku terpandangkan wajah emak. Emak juga tersenyum. Apakah emak senang melihat kebaikan Rudi dan budi pekertinya itu?

“Rudi, kamu harus jaga Miera baik-baik. Dia satu-satunya waris kaum Piliang yang ada. Jaga Miera sepertimana kamu jaga ibu kamu dan adik-adik kamu,” pesan unyang.

Rudi mengangguk lagi.

Aduh! Belum masanya lagi unyang berpesan begitu kepada Rudi. Cukuplah sekadar meluahkan rasa senangnya bila melihat kami berkenalan dan berkawan. Harapan unyang nampaknya terlalu tinggi. Aku takut jika tidak mampu berada di tempat yang diinginkan. Biar ramai yang memuji keperibadian Rudi, namun Rudi belum tentu mampu menjadi seorang teman dan suami yang baik.

Selang beberapa minit kemudian, aku berbual pula dengan ibu Rudi sambil diperhatikan oleh emak dan Rudi sendiri. Tidak banyak yang kami bualkan. Wanita yang berusia dalam lingkungan 60-an itu bertanyakan tentang taraf pendidikanku, jawatanku di tempat kerja, hobi, masakan yang paling aku gemari dan beberapa perkara lain lagi yang membolehkan dia mengenaliku dengan lebih mendalam lagi. Sementara abah pula kelihatan berbual mesra dengan Pak Yusof, iaitu bapa Rudi.

“Okey tak Rudi tu?” tanya emak sebaik sahaja kami berkumpul semula di dalam bilik lewat malam itu. Emak dan Kak Emi ingin tahu pendapatku dan juga apa yang kami bualkan.

“Setakat ni, okey saja,” ujarku bersahaja sambil menyapu sedikit krim di wajah. Penat rasanya menjawab soalan demi soalan daripada mereka berdua. Mataku pula sudah terasa mengantuk yang amat sangat. “Dia ajak Miera ke Bukit Tinggi. Kalau betul dia nak ajak, Kak Emi temankan Miera sekali? Kalau Jaja dengan Jiha ada, Miera ingat nak ajak dia orang berdua sekali,” pintaku.

“Mak tengok, dia tu budak baik. Susah nak cari anak muda macam dia tu sekarang,” puji emak tanpa menghiraukan kata-kataku tadi.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. “Sekarang nampak. Esok-esok, tak tahu lagi. Kita belum kenal betul dengan dia dan keluarga dia lagi, mak.” Aku mengingatkan.

“Tak baik Miera cakap macam tu. Dia tu saudara kita juga.”

“Memanglah saudara. Tapi sebagai individu, kita tak boleh menilai orang dalam masa satu hari aje,” tingkahku perlahan. Aku harus tegas dalam hal ini.

Di sebalik kata-kataku yang agak keras ini, jauh di sudut hati sebenarnya aku juga rasa yakin bahawa Rudi sememangnya lelaki yang baik dan ideal untuk dijadikan suami. Dia cukup senang didekati. Cuma pintu hatiku masih tidak terbuka untuknya biar sebaik mana pun dia padaku, pada keluarga dan pada orang tuaku.

LEWAT tengah hari keesokannya, giliran pak long dan keluarganya pula tiba di hadapan rumah agam unyang ini. Kami benar-benar gembira. Bertemu di bumi orang menambah kegembiraan yang sedang kami nikmati saat ini.

“Betul ke aku dengar unyang nak kahwinkan kau dengan lelaki pilihan dia?” tanya Jaja, kakak sulung antara dua adik-beradik itu sewaktu kami berempat berada di dalam bilik. Seperti yang kami cadangkan, aku dan Kak Emi berkongsi bilik dengan Jaja dan Jiha di tingkat atas. Sementara emak dan abah serta pak long dan mak long di bilik masing-masing.

Kak Emi menjuihkan bibirnya padaku. “Semalam dia ke sini dengan keluarga dia. Berbuka puasa dengan kita orang semua. Ramai jugaklah yang datang.”

“Wah! Akak terlambatlah ni, ya Miera?” usik Kak Jaja nakal.

“Esok lusa akak dapat juga jumpa dia,” tepisku. “Akak kat sini berapa lama?”

“Seminggu aje kot.”

“Pak long tak kerja ke raya ni?” Giliran Kak Emi pula bertanya.

“Sepanjang aku hiduplah kan… mana pernah abah dapat cuti raya. Kau pun tahu kan, tiap kali kau datang rumah kita orang, dia jarang benar ada kat rumah. Kerja, kerja, kerja. Sampailah mak dapat tahu yang kita semua kena beraya kat sini, mak beria-ia suruh abah ambil cuti. Dia nak datang ke sini sambut raya,” cerita Jaja panjang lebar.

Aku tersenyum. “Cuti raya pun ya, nak berjalan tengok negeri orang pun ya, nak shopping telekung kat Bukit Tinggi pun ya juga. Perempuan mana yang tak mahu?”

Jaja mengekeh ketawa. Begitu juga kami bertiga.

“Miera, betul ke unyang nak kasi harta keluarga dia pada Miera?” tanya Jiha tiba-tiba padaku.

Serentak, tiga pasang mata beralih memandangku. Menunggu jawapanku.

Aku menggeleng. “Tak tahulah. Kalau Miera tak setuju dengan rancangan dia, mungkin dia tak kasi kot. Harta tu datang macam pakej. Kalau Miera setuju kahwin dengan lelaki pilihan dia, dia kasilah agaknya.”

“Macam mana pulak tu? Takkanlah tak ada seorang pun yang layak?” tanya Jiha padaku.

Kak Jaja mengeluh melihat adiknya yang setahun lebih muda daripadaku itu. “Kita ni keturunan abah. Orang Minang tak kuat lelaki. Yang penting, perempuan. Kak Miera dari mak ngah, mak ngah pulak dari arwah nenek, satu-satunya anak perempuan. Unyang tu adik kepada arwah unyang kita yang sebenarnya. Maknanya, Miera dan Kak Emi memang kuat kalau ikut adat Minang,” jelas Kak Jaja. Keterangan yang diberi memang jelas untuk orang yang cetek pengetahuannya mengenai adat Minangkabau ini. “Kak Emi tak boleh sebab tak lama lagi Kak Emi dah nak kahwin. Jadi, yang tinggal cuma Miera.”

“Susah jugak jadi orang Minang ni, kan?”

“Susah apa pulak? Sebenarnya kalau hidup jadi orang Minang, orang perempuan ni banyak untung. Harta dapat kat anak perempuan, kepentingan pun ada pada anak perempuan. Anak lelaki, bila besar kena keluar rumah. Duduk kat surau. Rumah sekadar tempat untuk tukar baju aje. Lelaki kena cari harta, usaha bina kekayaan sendiri,” tambah Kak Emi lagi sama seperti yang diceritakan kepada kami oleh Om Irwan sepanjang perjalanan kami dari Padang ke kampung. “Kita ni kan, nama aje cicit unyang, tapi sikit pun tak menolong di dapur,” keluh Kak Emi sambil bangun dengan niat mahu ke dapur. Membantu menyediakan juadah berbuka puasa.

“Alaah… kalau Miera nak tolong pun, Tante Ard tu mesti suruh Miera duduk kat ruang tamu. Dah ramai sangat orang kat dapur tu. Kita ni buat kacau dia orang aje.”

Dalam masa yang sama, pintu bilik kami diketuk orang. Kebetulan, aku yang berada berdekatan pintu, segera membukanya. Tante Anggriani menjenguk dengan senyuman.

“Ada apa, tante?” tanyaku.

“Rudi dah sampai. Cepat, jangan biarkan dia tunggu lama,” ujar Tante Anggriani yang cukup cantik dengan kecantikan semula jadinya. Kulitnya putih bersih, badannya juga masih berpotongan anak dara walaupun anaknya sudah tiga orang dan meningkat dewasa. Tidak hairanlah emak juga begitu, kerana kecantikan semula jadi itu ada dalam darah daging mereka sendiri. “Cepat! Siapa nak tengok Rudi? Orangnya ganteng sekali untuk Miera!” Wanita itu berseloroh.

“Betul! Handsome. Orangnya ada darah Belanda dari sebelah bapa dia, darah mat saleh mesti handsome, kan?” Kak Emi sempat menambah.

Sepantas kilat, Kak Jaja dan Jiha mendahuluiku menuruni tangga. Aku sekadar mencebik melihat telatah sepupu-sepupuku itu. Mereka mengintai dari jendela, mencari-cari gerangan lelaki yang bernama Rudi di luar rumah.

Rudi segak berdiri di sebelah kenderaan pacuan empat roda sama yang digunakan ketika bertandang ke sini malam tadi. Dia berkemeja T dan berseluar jean serta memegang satu bungkusan untukku.

Saat dia melemparkan senyuman padaku, aku tahu dia berupaya mencairkan hati mana-mana gadis. Memang dia kacak, sekali gus memotretkan dirinya dalam fikiranku dan mungkin juga Kak Jaja dan Jiha.

“Assalamualaikum,” ucap Rudi kepadaku sewaktu aku menghampirinya.

“Waalaikumussalam.”

Dia lantas menghulurkan bungkusan dalam pegangannya kepadaku. “Ini ibu masak untuk berbuka. Katanya, mahu diberi rasa sedikit pada unyang dan yang lain.”

“Bukan masak sesuatu yang istimewa buat Miera?” usik satu suara.

Aku memerhati ke sekeliling. Itu dia, om dan abah di bawah sebatang pohon sedang menyiapkan buluh-buluh untuk membakar lemang malam ini. Abah merenung ke arah kami berdua manakala om dengan senyum lebarnya.

Rudi tersipu-sipu sementara aku hanya ketawa melihat telatahnya.

“Berbuka saja di sini. Om beritahu pada ibu kamu nanti.” Om Fakhri bersuara lagi.

“Tak apalah, om. Rudi hanya mahu hantar masakan ibu ini saja. Usah om…” pintanya separuh merayu.

“Kenapa? Kamu malu? Malu sama Miera atau malu sama keluarga kamu?”

Kali ini wajahnya bertukar kemerahan menahan rasa malu. “Ya… Hari Lebaran saja om,” kata Rudi. Dia terus meninggalkan aku di situ lalu berjalan ke arah om dan abah. Sambil menundukkan wajahnya tanda hormat, dia meminta diri untuk pulang. Sewaktu kembali ke kereta, dia sempat berkata kepadaku, “jumpa nanti hari lebaran?”

Aku mengangguk.

“Jangan lupa makan tu.” Dia mengunjuk ke arah bungkusan yang berada dalam peganganku.

Aku mengangguk lagi.

Dia menatap wajahku saat mahu beredar pergi. Entah kenapa, aku tidak tahu.

“Pergilah,” bisikku perlahan. “Dah hampir waktu berbuka ni.” Aku mengingatkannya.

Dia tersenyum manis. “Nanti kita ketemu lagi,” ujarnya.

Aku mengangguk. “Hari lebaran nanti. Datang rumah, ya?”

Sesaat kemudian, aku melihat dia pergi.

Aku menghulurkan bungkusan makanan itu kepada Tante Ard yang masih sibuk di dapur.

“Apa ni, Miera?” tanya Tante Ard padaku. “Siapa yang beri?”

“Tadi, Rudi datang. Untuk juadah berbuka katanya,” jelasku.

Tante Ard mengerlingku sambil mengerutkan dahinya. “Pastinya ini untuk Miera,” ujarnya. Dia lantas membuka bungkusan yang berbalut kain itu. Kelihatan sebiji mangkuk plastik bertutup kemas di dalam balutan itu. Tante Ard segera membukanya. Rendang. Rendang itu agak istimewa kerana ada hati, limpa, daging dan kentang kecil atau baby potato. Mangkuk di bawahnya pula berisi gulai lemak nangka dengan ikan masin. Aromanya sahaja sudah membuatkan kami kecur liur. “Wah, istimewa sekali ni! Pastinya masakan ini khas untuk Miera. Pasti!” ulang Tante Ard lagi sambil melirikku dengan senyuman penuh erti.

Emak yang kebetulan berada di dapur merenungku.

Unyang dari ruang tamu perlahan-lahan mendekatiku. Kak Jaja pantas mendapatkan unyang dan memimpinnya. “Ada apa?” tanya unyang perlahan.

Tanpa sepatah kata, Tante Ard menunjukkan pemberian Rudi pada unyang.

Unyang mengangguk. “Mereka kelihatan cocok berdua.”

Kak Jaja sudah tersengih-sengih di sisi unyang.

“Kamu juga bila kahwinnya? Orang sekarang suka sendiri dari berkahwin. Berkahwin itu sunnah, mengelak fitnah, meramaikan waris dan umat Nabi Muhammad. Kenapa perlu tunggu lama-lama?”

“Dia mahu kaya dulu sebelum kahwin, nek. Saya juga sudah pening. Hari-hari ingatkan dia. Tapi dia lebih senang begitu,” sampuk mak long, separuh mendengus.

“Betul tu, nek. Kadang-kadang lelaki yang baik susah mahu dicari. Yang baik tu ada, tapi sudah diambil orang. Nggak (tidak) mahu buru-buru, biar dulu sampai jumpa yang benar-benar sesuai.” Giliran emak pula mencelah.

“Kalau susah mahu cari pasangan di kota, pulang saja ke kampung. Sini ramai lelaki yang hebat-hebat. Kamu jangan terlalu memilih. Yang tahu menghormati orang tua, kuat pegangan ugamanya, pandai menjaga nama baik keluarga, bertanggungjawab, punya rasa kasih pada pasangannya, itu sudah memadai.”

Emak dan mak long masing-masing mengangguk, menyokong kata-kata unyang.

Aku dan Kak Jaja sesekali mengeluh. Ternyata, kami sudah terperangkap dalam perbincangan ini.

“Bagaimana Rudi? Bagus kan?” tanya Tante Ard kepadaku.

“Ya, kami kawan saja,” jelasku perlahan.

“Kawan? Itu saja? Rudi tak cukup bagus ke?” tanya Tante Ard lagi.

Aku senyum sahaja.

“Biar dulu berteman. Nanti lama-lama, pasti suka,” celah unyang. Wajah tuanya menggambarkan keyakinan yang cukup tinggi. Bagaimana jika perasaanku terhadap Rudi masih di tahap yang sama? Tidak pernah menganggap dirinya lelaki istimewa di antara kenalan lelaki yang aku kenali? Marahkah unyang? Kecewakah unyang? Paling membimbangkan jika kesihatannya turut terjejas.

Aku mengeluh panjang. Bagaimana dapat aku lari dari semua ini? Jika aku benar-benar punya kekasih hati, bolehkah aku melarikan diriku dari ini semua? Mungkin dengan Kudin rancanganku gagal. Pasti jelas tergambar di wajahku bahawa aku menggunakan Kudin semata-mata untuk lari dari kemelut ini. Semua orang bagai dapat mengagak.

Aku teringat kata-kata emak pak long. “Kalau Miera ada orang lain, emak mungkin boleh tolong Miera. Tapi sekarang, abah pun tahu Miera belum ada teman lelaki. Macam mana kami nak cakap pada unyang dan Om Irwan sedang hakikatnya Miera masih single. Kalau Miera nak beritahu unyang yang Miera belum bersedia untuk kahwin, terpulang. Tapi sebelum Miera buat macam tu, mak nak ingatkan Miera supaya berhati-hati dengan perkataan yang Miera gunakan pada unyang. Unyang nak sangat keluarga kita bersatu semula. Itu sebab unyang beria-ia nak Miera kahwin dengan lelaki pilihan dia.”

Di mana harus aku cari lelaki yang lebih hebat daripada Rudi? Adakah lelaki di dunia ini yang memegang kunci hatiku ini?

“Tak tidur lagi?” Sapaan Jaja memecahkan lamunanku. “Apa yang Miera fikirkan tu? Panjang betul termenung.”

Aku menarik nafas panjang. “Lelaki yang boleh Miera sayang sampai mati. Yang boleh Miera korbankan jiwa Miera untuk dia. Yang boleh sayang Miera lebih dari segalanya.”

“Patutlah tak boleh tidur,” gumamnya sambil menggeliat sedikit. Kemudian dia menarik selimut hingga ke paras dada.

“Miera fikir pasal Rudi ke?”

“Tak adalah.”

“Habis tu, fikir pasal siapa?”

“Lelaki.”

“Takkan Miera tak tergoda langsung dengan Rudi tu? Rudi dah lebih dari okey, Miera. Akak tengok tak ada yang kurang pun pada dia. Sikit pun Miera tak tergoda ke?”

“Akak tak terfikir ke dia mungkin dah ada teman wanita? Miera musykillah, lelaki macam dia, takkan tak ada girlfriend lagi?”

“Dia pun boleh kata macam tu jugak pasal Miera. Dia pun boleh musykil jugak kalau tak ada lelaki terpikat pada Miera. Tengok diri Miera kat cermin. Miera tak ada kurang apa-apa pun yang boleh buat lelaki tak pandang Miera. Emi dah tentu cantik, tapi Miera sikit pun tak ada bezanya dari Emi. Tu yang akak pelik macam mana Miera boleh tak ada boyfriend.”

Aku mengeluh. “Zaman sekarang ni, nak cari lelaki yang benar-benar ikhlas bukannya senang. Bukan Miera memilih, tapi sekurang-kurangnya kalau dapat yang menyenangkan perasaan Miera pun, dah cukup baik. Tapi yang ada pun macam tak semenggah aje.”

“Takkan tak ada sorang pun yang Miera suka?”

“Tak ada,” tekanku.

“Okey, lelaki macam mana impian Miera sebenarnya? Takkanlah Miera nak lelaki yang serba-serbi sempurna?”

“Miera tak minta lelaki yang serba-serbi sempurna. Mana ada orang yang sempurna kat dunia ni? Cuma Miera nakkan seseorang yang bila Miera pandang, Miera tahu dia untuk Miera. Itu aje.”

Kak Jaja menghela nafas panjang sebelum bersuara. “Macam nilah, Miera. Apa kata Miera kawan dengan Rudi dulu? Kalau ada jodoh Miera dengan dia, Miera lari jauh pun dia tetap jodoh Miera. Mungkin dia bukan lelaki sempurna, tapi mungkin lelaki terbaik untuk Miera.”

Aku merenung jauh mendengar kata-kata Kak Jaja. “Mungkin juga,” gumamku perlahan.

“Dahlah, jangan fikirkan sangat. Just go with the flow. Macam akak kata, kalau Rudi tu jodoh Miera, dia tetap jodoh Miera. Kalau bukan… macam mana unyang nak korang berdua bersatu pun, takkan jadi punya. Itu ajelah yang akak boleh cakap.”

“Yalah penasihat!” sendaku dan tidak semena-mena, kami berdua ketawa geli hati.

Entah berapa lama fikiranku jauh melayang pada seseorang yang entah di mana, entah bagaimana rupa. Tapi aku pasti, biarpun berjuta lelaki wujud di muka bumi ini, pasti ada seorang yang ditakdirkan untukku. Cuma aku tidak tahu di mana ‘dia’ berada sekarang ini.

****

AKU terkejut. Tangan kanannya yang sedang menuang air panas ke dalam cawan-cawan tertumpah secara tidak sengaja ke atas tangan kiriku yang sedang menyusun cawan-cawan kosong berhampirannya. Aku menjerit. Sakit bercampur terkejut.
“I’m sorry. I’m so, so sorry.” Dia menarik tanganku dekat dengannya.

Aku rasa ingin meraung di situ juga. Air itu baru sahaja diambil dari atas api dapur sebaik sahaja selesai dijerang dan dibancuh oleh Tante Anggriani. Pedih, pijar dan panas.

Dia membawaku ke kerusi yang berhampiran. Di situ, dia membuka begnya dan mengeluarkan sejenis krim. Segera disapunya ke tanganku yang kemerahan. Buat seketika, aku rasa lega. Dalam sekelip mata, tanganku terasa dingin.

Kami berpandangan. “Okey?” tanya Dr. Malik perlahan.

Aku mengangguk.

“Again, I’m sorry,” ucapnya, menarik nafas lega pada masa yang sama.

“Tak apa. Silap saya jugak. Saya patut lebih berhati-hati,” ujarku sambil tersenyum. Perlahan-lahan aku menarik tanganku dari pegangannya.

“I promise, there will be no scar at all. As good as new,” janjinya padaku. Sungguh-sungguh.

Entah kenapa aku rasa geli hati dengan kata-katanya itu. Bimbang benar dia akan kesan parut yang bakal kualami nanti. “Kalau ada pun tak apa. Sekurang-kurangnya, bila saya tengok parutnya, ada juga kenangan.” Sebaik ayat itu terucap, baru aku sedar yang aku sudah berlebihan. Aduh! Aku mengetap bibir, tiba-tiba sahaja rasa bersalah.

Dia diam memandangku. “Kenangan? Kenangan awak dengan saya, itu maksud awak?”

Aku ketawa, menutup rasa gemuruh. Perlahan-lahan aku merenggangkan jarak antara kami.

“Rasa-rasanya, awak nak kena air panas lagi tak?”

Aku tersentak. Tawaku mati serta-merta. “Kenapa pulak?”

“Supaya awak sentiasa kenangkan saya,” jawabnya selamba.

Sekali lagi aku melepaskan tawa. Gurauannya cukup bersahaja sehingga aku tidak mampu mengawal gelakku. “Kejamnya. Boleh kena saman ni,” ulasku.

“Samanlah. Saya tak kisah, asalkan saya boleh jumpa awak selalu.”

Serentak, jantungku berdegup kencang. Aku mengerlingnya dari ekor mata.

Bibirnya terkumat-kamit seperti berkata sesuatu, tetapi aku tidak mendengar apa yang sedang diperkatakan. Dari bibirnya, pandanganku beralih ke sepasang anak matanya pula dengan seribu tanda tanya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/71839/masih-setia