[SNEAK PEEK] M.I.L.I PIKAT HATI DIA

M.I.L.I PIKAT HATI DIA Oleh Ashany

PUSING kampung. Selesai!
Makan laksa. Sudah!
Minum ais cendol. Sudah!
“Apa lagi yang kita tak buat ya, Izzat?” soal Rifqal sambil memandang cermin pandang belakang.
“Main layang-layang dan tangkap ikan dekat bendang,” jawab Izzat selamba.
“Amboi hang, Izzat…”
“Awatnya, Cu Mili?”
Mili toleh dan tayang muka geram pada Izzat. Anak saudaranya itu hanya tersengih sambil tayang dua jari buat tanda Peace kepada dia. Nakal sungguhlah. Makin mengada-ada jadinya bila Rifqal pun turut melayan perangai anak saudara yang seorang ini. Sudahlah hari ini punya elok susun ayat tak mahu pergi ke tadika. Siap marah-marah kenapa negeri Kedah kena sekolah hari Ahad? Hujah dia pun tak agak-agak, gaya macam orang dewasa aje bila bercakap tu.

“Awak ada nak pergi mana-mana lagi tak?”
“Awak lupa ya? Kita belum pi merket ni. Satgi bising MasterChef Hajah Rosnah kat rumah tu.”
“Hah… Jomlah. Awak tunjuk jalan,” ujar Rifqal.
“Satgi sampai merket, Izzat tak mo turun tau.”
“La awat? Mana buleh budak kecik duduk dalam keta sorang diri. Bahaya! Satgi kalau jadi apa-apa, macam mana?”
“Cu Rifqal… Kita turunkan Cu Mili ajelah no. Kita tiga dok dalam keta,” pujuk Izzat kepada Rifqal.
“Kita turunlah sama-sama. Kesian Cu Mili nak beli barang.”
“Tak pa aih… Cu Mili besa dah,” jawab Izzat selamba.
“Ooo, lagu tu ka? Cu Mili tak mo belanja hang eskrem la…”
“Kami kenyang dah pun makan ais cendoi.”
Huh?! Bertuah betul anak saudara yang seorang ini! Dapat pak cik baru, lupa terus mak cik yang ada.
“Eh, eh… Awak, depan tu belok kanan.”
Sempat Rifqal jeling dia dengan ekor mata. Benganglah tu, bila dia hampir terlewat memaklumkan arah kepada mamat tu. Itulah, melayan sangat si Izzat yang banyak mulut tu.
“Depan tu, awak cari parking.”
“Mana supermarket yang awak cakap tu? Saya nampak pasar basah aje ni,” soal Rifqal sambil menjengah ke cermin hadapan.
Mili tepuk dahi! Aduhai… Lupa pula yang dia bercakap dengan orang bandar yang tak biasa dengan dialek utara. Masak, masak…

“Merket tu pasar basahlah, awak oi. Sorry, saya tak sengaja…”
Rifqal berhentikan kereta sebaik saja mendapat tempat parkir. Serentak itu, dia menoleh memandang Mili.
“Padanlah Izzat beria-ia tak mahu ikut masuk.”
Mili tersengih.
“Habis tu, awak nak masuk tak? Kalau tak nak, awak jaga budak-budak ni sekejap. Boleh?”
“Awak lama ke? Kalau lama, kita masuk sama-samalah.”
“Sekejap aje. Ma suruh beli sayur lobak dengan sagu. Awak tunggu ajelah dengan budak-budak ni.” Mili tolak pintu kereta.
“Eh, eh, awak… Kejap.”
Mili tak jadi keluar. Dia pusing badan mengadap Rifqal. Apa lagilah mamat ni nak? Orang nak cepat ni.
“Nah, awak belilah apa-apa.” Rifqal hulur duit kepadanya. Mili kerut dahi. Semuanya not RM50, tak tahulah berapa keping. Tapi, rasa macam ada empat ke lima keping juga tu. Gila banyak mamat ni hulur semata-mata nak beli sayur dengan sagu aje.
“Tak payahlah. Awak tu tetamu. Saya ada duit lagi ni. Simpan aje duit awak tu,” tolak Mili mentah-mentah dan terus keluar dari kereta.
Rifqal jongket bahu. Pelik betul dengan gadis yang seorang ini. Orang hulur duit pun dia buat tak kisah dengan reaksi kerut dahi lagi. Siap tolak mentah-mentah pula tu. Kalau orang lain tu, dah kebas aje duit yang dia hulurkan.

SEBAIK SAJA kereta diberhentikan di hadapan rumah, cepat-cepat Mili keluar dan meletakkan barang-barang yang dibelinya di atas pagar batu di beranda rumah. Dia mahu kembali semula dan mengambil Nurin yang terlena di  dalam kereta. Sedap sangat kena pendingin hawa, sampai tertidur budak kecil tu. Sebaik saja dia memusingkan tubuhnya, kelihatan Nurin elok sahaja berada di dalam dakapan Rifqal. Si comel Nurin kelihatan seperti terjaga, namun cepat-cepat Rifqal menepuk belakang anak kecil itu perlahan-lahan dan akhirnya kembali terlena. Kunci kereta diserahkan kepada Mili.
“Tolong tutupkan pintu kereta,” bisik lelaki itu perlahan.
Mungkin bimbang suaranya nanti akan mengganggu tidur Nurin. Mili yang tergamam, menerima sahaja kunci yang diserahkan Rifqal. Tergamam sebab lelaki itu nampak superhot dalam aksi begitu. Hailah… Mili… Hati dah bernada sesuatu ke untuk Rifqal?
“Laaa… Awat hang dok tang ni lagi? Abang macho hang dah lama masuk dukung Nurin. Mana barang-barang yang hangpa pi beli?” tegur kak chik.
Mili pamer senyum.
“Nampak macho no lelaki dukung budak lena dalam pelukan?” bisik kak chik sambil gelak-gelak kecil di sebelah telinga.
Itulah, macho, superhot. Apa lagi eh gelaran untuk Rifqal ni? Dua hari ini pun dah mampu buat hati dia berdebar tak menentu sahaja. Entah apa lagilah kejutan daripada Rifqal selepas ini? Masalahnya, ini baru hari ketiga daripada permintaan 15 hari lelaki itu. Masuk hari kesepuluh hingga kelima belas, silap-silap hari bulan boleh cair meleleh hati dia macam keju leleh tu. Telefon bimbitnya berbunyi saat pintu kereta Rifqal ditutup rapat dan dikunci. Dia seluk poket seluar. Nama yang tertera pada skrin telefon bimbit buat mata dia terbuka luas.
Izhar!
Otak beku dan jemari jadi kaku. Jantungnya berdegup kencang. Apa patut dia buat sekarang ini? Perlu ke dia jawab panggilan Izhar ini atau biarkan sahaja ianya terputus? Dia tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Kemudian peti suara dibetulkan sebelum panggilan dijawab. Buat biasa aje, Mili. Buat biasa.
“Assalamualaikum.” Suara garau di sebelah sana memberi salam.
“Waalaikummussalam. Apa khabar?” Pantas dia bertanyakan soalan sebaik saja salam lelaki itu dijawab.
“Alhamdulillah. Mili sihat?”
“Alhamdulillah. Izhar dekat mana ni?”
“Ada kerja sikit di kem. Mili?”
“Kampung.”
“Oh, kirim salam pada walid dan ma, ya?”
“Insya-Allah. Kirim salam aje ke?”
“Maksud Mili?”
Mili ketawa menutup rasa gugup yang bersarang tiba-tiba. Jarang dia menyoal berkaitan perkara-perkara begini. Mereka tak pernah pun berbicara mengenai masa depan. Yang dia tahu, kehidupan Izhar lebih banyak berkisar di dalam kem. Cuma kadang-kadang sebagai manusia biasa, memang tak dapat lari daripada syak wasangka dan rasa curiga.
“Mili…”
Dia menoleh pada suara yang memanggil namanya. Rifqal sedang tersenyum memandang wajahnya. Dia dapat rasakan yang hatinya semakin berbelah bahagi sekarang ini. Sejenak dia terfikir. Kalau Izhar terus-terusan begini, meletak jarak dalam hubungan mereka, sampai bila dia mampu bertahan? Apatah lagi kalau sering diasak dengan perlakuan-perlakuan spontan Rifqal, tak mustahil suatu hari nanti hati dia boleh beralih arah kepada lelaki garang tersebut.
“Siapa tu, Mili?”
“Sekejap… Izhar, dia orang dah panggil makan tengah hari ni.”
“Oh, okey. Ramai ya? Kalau tak sampaikan salam Izhar tadi pun tak apalah. Izhar faham situasi Mili.”
“Terima kasih. Kita sambung nanti ya?”
“Insya-Allah. Mili jaga diri ya?
Assalamualaikum…”
Klik. Talian dimatikan. Dia sambut salam Izhar dengan hembusan nafas yang sarat bersarang di dada.
Dua-dua baik.
Dua-dua tampan dan bergaya.
Dua-dua punya kerjaya hebat.
Dua-dua dalam pasukan beruniform.
Seorang polis.
Seorang lagi tentera.
Jadi, yang mana satu pilihan dia? Hailah… Susahnya nak buat pilihan bila kita dihadapkan dengan dua pilihan terbaik. Ah, buat masa ini, hati dia lebih berat pada Izhar. Ya, untuk sekarang inilah. Tapi, kalau betul… kenapa dia berani beri peluang dan harapan kepada Rifqal? Memang sengaja cari masalah, kan Mili?
Izhar;
atau;
Rifqal.
“Jom makan. Ma dah panggil dari tadi.” Suara Rifqal kembali menyedarkan dia ke alam nyata.
Dia balas senyuman Rifqal. Lelaki ini kalau tenang-tenang begini, memang kelihatan menarik. Tapi, kalau dia  marah-marah, tayang wajah stone dia tu… memang tak boleh blah langsunglah. Rasa macam nak benam-benam aje kepala dia ke dalam kolam!
“WALID…” panggil Mili.
“Ya, ada apa?” sahut Haji Husin.
“Mili rasa, Mili nak balik lepas asaq nanti.”
“La… Walid ingat hang sambung cuti.”
“Dak, walid. Isnin ni Mili ada department meeting.”
Haji Husin mengangguk. “Dah hang kata lagu tu, tak apalah.”
“Terima kasih, walid.”

“Apa kata kalau saya drive balik dengan Mili? Boleh balik lewat sikit. Itu pun kalau walid izinkan.”
“Konvoi ke maksud awak?”
Amboi, Mili… Cepat aje mencelah! Yalah kalau macam cadangan mamat tu malam tadi, memanglah dia tak setuju. Nanti dia juga yang patah kaki dan susah untuk bergerak ke mana-mana.
“Baguih juga cadangan hangpa tu. Konvoi dari sini ke Kolumpo. Tapi, hangpa toksah dok bawa keta menyerit sangat no? Biaq lambat, asal selamat,” pesan Haji Husin lagi.
Mili senyum dah mengangguk.
“Dak aih… Mili bawa ikut peraturan.”
Kononlah Mili oi! Bawa ikut peraturan apa kalau empat jam aje dah sampai Kedah? Dari KL pula tu. Sedap sangat tekan minyak sampai tak sedar apa pun. Tahu-tahu dah sampai di depan pintu rumah Haji Husin dan Hajah Rosnah. Selalu macam tu. Bagi dia, kelajuan itu kepuasan!
“Baguihlah lagu tu. Hah, petang ni buleh hang bawa Rifqal tu pi bendang,” cadang Haji Husin tiba-tiba.

Alahai, nak kena bawa Rifqal pergi sawah pula. Isy, macam-macam betul! Haji Husin ni macam semua nak dihidangkan kepada Rifqal ni dalam tempoh satu hari setengah ni. Semalam dah bawa pusing keliling kebun. Pagi tadi, habis kawasan rumah ni dia orang ukur. Lepas tu, sambung pula keliling kampung sampai ke pasar sana tu. Petang nak suruh bawa ke bendang pula?
“Awat hang senyap ja, Mili?” Hajah Rosnah menepuk pahanya. Mili alihkan pandangan pada Hajah Rosnah dan senyum.
“Hang toksah tolak Rifqal masuk bendang pula. Habih terpalit keleboq satgi, mau muntah Rifqal ni,” pesan Hajah Rosnah.
Mili angkat kening dan tayang wajah nakal kepada Rifqal. Cayalah, ma sebab bagi idea dekat Mili! Ala… Lagipun bukan selalu dapat peluang buli pegawai polis. Kalau tak ada Hajah Rosnah dan Haji Husin, jangan haraplah Rifqal ni boleh cakap baik-baik dengan dia. Asyik nak membuli dan ajak bergaduh aje. Siapalah yang tahan dengan mamat ni ya?
“AWAK… Keleboq tu apa? Kenapa saya muntah pula kalau kena?” soal Rifqal polos.
“Keleboq tu…”
“Mili… Hang tok sah nak kelentong Rifqal tu!” jerit kak lang yang entah muncul dari mana.
Alaaa… Ada aje yang selamatkan mamat ni! Tak boleh nak buli langsung. Bukan selalu pun. Agaknya ini aje kut peluang yang ada untuk buli Rifqal sementara dia ada di sini. Itulah, siapa suruh menyerah diri datang ke kampung ni.
“Keleboq tu selut, hang tau dak?” jawab kak lang.
“Ooo… Okey. Terima kasih, kak lang.” Rifqal anggukkan kepalanya.
“Eh, eh. Alif mana?”
“Ada kat dalam nun. Tidoq ja dari balik sekolah tadi.”
“Itulah. Kak chik hang tepon, aku suruh bawa pi klenek. Ini aku bergegaih balik lepas selesai kelas tambahan dengan budak-budak tu.”
“Laaa… Awat kak cik tak habaq kami. Buleh ja kami bawa Alif tu ke klenek.”
“Hang tahulah si Alif tu, kalau demam mana mau orang len. Ibu dia jugalah yang kena tunggu…”
Menggeleng kepala Mili. Nasib baiklah ada kak chik yang tolong jaga dan tengokkan anak-anak abang lang dan kak lang tu sebab masing-masing kerja. Abang lang cikgu sekolah rendah, kak lang pula cikgu sekolah tadika. Hah, dah padanlah dia orang berdua tu. Abang chik itu pun bukan tak ada kelulusan, tapi saja nak duduk kampung dan uruskan sawah milik Haji Husin dan Hajah Rosnah. Katanya sambil-sambil tengokkan sakit pening kedua-dua orang tua tu. Tapi, bagus juga. Sekurang-kurangnya kami adik-beradik yang duduk jauh ni, tak adalah risau sangat dengan keadaan mereka bila ada darah daging sendiri yang menjaga.
“Abang lang dengan abang chik, mana?”
“Lepas sekolah tadi, abang lang dengan abang chik hangpa pi Pejabat Tanah uruskan tukaq nama tanah Haji Azman tu.”
“Eh, awat? Anak-anak Haji Azman juai tanah pusaka depa ka?”
“Ha, la… Depa semua pakat tak mo balik duk sini dah.”
“Ooo…”
“Eh, dah, dah… Aku nak pi bawa Alif tu ke klenek,” ujar kak lang lalu kelam-kabut masuk ke rumah dan meninggalkan kami berdua.
“Awak…”
Dia toleh pandang pada Rifqal.
“Klenek tu klinik?”
Ibu jari diangkat tanda bagus. Faham pun!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96082/mili-pikat-hati-dia